Thursday, 30 August 2012

"..., Manusia Dipegang Pada Janjinya".


… perutusan Menteri Besar sempena sambutan Hari Kemerdekaan bertemakan, ‘55 Tahun Merdeka. Janji Ditepati’ pada Jumaat, 31 Ogos 2012 bersamaan 13 Syawal 1433H.

BEBAS DARIPADA BELENGGU PENJAJAHAN... Serta usaha yang harus berterusan bagi memelihara kemerdakaan negara kita yang berdaulat. 

 
kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, dan Salam 1Malaysia.

Syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan keizinannya juga, kita dapat sama-sama merayakan sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 bertemakan – ‘55 Tahun Merdeka. Janji Ditepati’.

Sepertimana dengan tema Hari Kemerdekaan yang sudah-sudah, tema kali ini juga dilihat wajar, yang menepati keadaan serta kehendak semasa.

Menurut peribahasa Melayu kita, ‘Jika kerbau dipegang pada talinya, jika manusia dipegang pada janjinya’. Yang bermaksud, janji yang dilakukan oleh manusia mestilah ditepati.

‘Janji’, sepertimana maksud diberikan oleh Kamus Dewan ialah, pernyataan kesediaan untuk berbuat atau memberi sesuatu.

QURAN & HADITH JUGA ADA SEBUT TENTANG JANJI

Dalam al-Quran sendiri ada menyebut tentang janji, serta keperluan dan kemestian untuk menepatinya.

Misalnya, ayat 40, surah al-Baqarah, Allah Subhanahu Wata’ala berfirman yang maksudnya;

‘Wahai Bani Isra’el (anak cucu Nabi Ya’akob Alai-hissalam)! Ingatlah akan segala nikmat yang telah aku kurniakan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganku, supaya aku sempurnakan perjanjianku dengan kamu; dan kepada akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut (bukan kepada sesuatu yang lain)’.
  
Tentang janji juga ada diperkatakan dalam hadith sepertimana misalnya yang memetik Rasulullah S.A.W sebagai bersabda;

‘Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga (3) – bila berkata ia dusta, bila berjanji ia mengengkari, dan, bila dipercayai ia khianati’.

‘KEHIDUPAN INI SELURUHNYA DIIKAT DENGAN JANJI’

Pak Hamka juga ada menyebut tentang janji yang menurutnya, ‘Kehidupan ini seluruhnya diikat dengan janji. Mengakui sebagai hamba Allah ertinya akan menepati janji dengan Allah. Mungkir janji dengan manusiapun bererti memungkiri janji dengan Allah’.

Oleh kerana pentingnya persoalan tentang janji, maka, amat wajarlah janji dijadikan sebagai sebahagian utama dalam tema sambutan Hari Kemerdekaan kita tahun ini – ‘55 Tahun Merdeka. Janji Ditepati’.      

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekelian

Apabila menyebut tentang sejarah, tiada sesiapa dapat menafikan bahawa ia merupakan peristiwa-peristiwa sebenar yang berlaku pada masa lepas yang berserta dengan fakta-faktanya.

Sejarah bukanlah cerita dongengan. Sejarah ialah hakikat yang telah berlaku pada masa lampau, agar dapat kita jadikannya iktibar untuk menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

Sejarah membuktikan betapa sejak negara ini terjajah, dengan pencerobohan tentera Portugis pada tahun 1511 ke atas Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka; usaha penentangan dan perjuangan memerdekakan negara terus-menerus dilakukan untuk selama 446 tahun berikutnya. 

PERJUANGAN SECARA GERILA, OLEH GOLONGAN AGAMA DAN SASTERAWAN  

Bermula dalam bentuk serangan gerila yang dirintis oleh bekas-bekas Kesultanan Melayu Melaka dan Johor, kemudian muncul tokoh-tokoh seperti Raja Haji, Dol Said, Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor, Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Dato’ Mat Salleh, Sharif Mashahor, dan Rentap; 

Perjuangan itu seterusnya digerakkan pula oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, dan, Syeikh Abdullah Fahim; serta, yang diperjuangkan oleh guru-guru dari pondok agama Gunung Semanggol dan ‘Sultan Idris Training College’ (SITC). 

Yang turut terlibat selepas itu ialah para novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan seperti Zainal Abidin Ahmad (atau, Za’ba), A.Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad (atau, Pak Sako), dan Usman Awang.

Hinggalah penjajah Jepun yang menguasai negara pada tahun 1942, menyerah kalah pada 15 ogos 1945, apabila Hiroshima dan Nagasaki di bumi Jepun sendiri, musnah akibat ledakan bom atom.

Harapan untuk mencapai kemerdekaan begitu tinggi ketika itu, namun hampa apabila Inggeris kembali menjajah.

PENENTANGAN TERHADAP ‘MALAYAN UNION’

Lebih hampa lagi, apabila Inggeris mahu memperkenalkan ‘Malayan Union’, yang intipatinya ialah untuk memberikan hak sama rata khususnya dalam aspek kerakyatan kepada semua kaum tanpa mengira keturunan dan kesetiaan terhadap negara.

Yang turut ditentang terhadap gagasan itu ialah peminggiran hak kaum Melayu dan Bumiputera sebagai penduduk asal negara ini, serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-raja Melayu.

Tempo penentangan dan perjuangan menuntut kemerdekaan dalam kalangan rakyat semakin memuncak selepas itu, hinggalah tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada 11 Mei 1946, yang kemudian bersama-sama Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC); mewujudkan Parti Perikatan untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah inggeris.

Usaha ini penting sebagai memenuhi syarat penjajah Inggeris yang hanya akan memberikan kemerdekaan jika terdapat bukti dan komitmen daripada UMNO yang mewakili kaum Melayu yang merupakan golongan majoriti; dapat bekerjasama dengan dua kaum lain iaitu Cina dan India menerusi parti-parti MCA dan MIC.

Dan kerjasama ini betul-betul menjadi apabila Parti Perikatan yang menyertai pilihanraya umum pertama pada 27 julai 1955, berjaya memenangi 51 daripada 52 kerusi Majlis Perundangan Persekutuan yang dipertandingkan.

BAPA KEMERDEKAAN... Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj... 

 
TUNKU KE LONDON DAPATKAN KEMERDEKAAN

Maka, pada 18 Januari 1956, pemimpin UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, telah mengetuai rombongan ke London, bagi mendapatkan kemerdekaan negara ini.

Bersama-sama dalam rombongannya ialah Dato’ Abdul Razak Hussein, Dr Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S.Lee, Encik T.H.Tan, dan, Encik Burhan Shamsuddin.

Yang turut menyertai ialah wakil Raja-raja Melayu terdiri daripada Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid, dan, Dato’ Mohd Seth.

Pada 8 Februari 1956, Perjanjian Merdeka termeterai dengan menetapkan 31 ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan bagi negara ini yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Lanjutan itu, persekutuan yang baru diwujudkan di bawah nama Malaysia pada 16 September 1963, melalui penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak.

BANYAK RANJAU, KINI MAKMUR

Pada awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan indonesia menakluk Malaysia, dan tuntutan oleh Filipina terhadap Sabah.

Selain itu, pada 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia.

Pada hari ini, setelah 55 tahun merdeka dan setelah 49 tahun pembentukan Malaysia, kita berada dalam sebuah negara yang aman-makmur dengan rakyat-jelata hidup sejahtera.

Dan kita hanya dapat bersyukur atas keadaan yang dinikmati ini, yang sebahagian besar juga ialah kerana sumbangan kepemimpinan yang berkesan oleh Kerajaan yang ada, Insya-Allah.  

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekelian
  
Sebagaimana susah dan lama masanya hingga lebih empat (4) abad negara kita cuba melepaskan diri daripada belenggu penjajahan, usaha untuk mengisi dan mempertahankan kemerdekaan bukanlah juga satu kerja mudah.

ADA JAMINAN KEMERDEKAAN KITA INI?

Sungguhpun kini negara kita sudah 55 tahun merdeka, adakah jaminan bahawa kemerdekaan ini akan terus terpelihara dan dapat dipertahankan untuk lebih 50 tahun lagi?

Adakah negara kita boleh bertahan seperti Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka yang selama 110 tahun, sebelum ia jatuh kepada Portugis pada tahun 1511?

Adakah negara kita boleh bertahan selama Kerajaan Soviet Union, yang kemudian berpecah-belah setelah mentadbir jajahan takluknya kira-kira 83 tahun?

Di sinilah perlunya kita sentiasa bermuhasabah diri dengan memastikan, apa juga perilaku dan gelagat kita, hendaklah tidak sehingga negara kita musnah sepertimana Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka ataupun Soviet Union.

Dalam usaha kita hendak mengisi dan mempertahankan kemerdekaan ini, kita hendaklah sentiasa berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang termaktub panduan untuk kita bagi menjayakan negara merdeka dan berdaulat ini.

AKURLAH PADA PERLEMBAGAAN YANG TELAH SAMA-SAMA KITA SEPAKATI

Perlembagaan Persekutuan ini telah sama-sama kita sepakati dahulu ketika kita hendak merdeka, dengan asalnya dikaji dan digubal secara teliti menerusi sebuah suruhanjaya bebas dikenali, Suruhanjaya Reid.

Kini, jika ada usaha untuk mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan, maka ini adalah usaha terkebelakang yang memungkiri segala persepakatan yang telah tercapai dahulu. Ini sewajarnya tidak boleh, dan tidak sama sekali dibenarkan berlaku.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekelian

Dengan komposisi kaum yang pelbagai dalam kehidupan masyarakat majmuk negara ini, sesungguhnya tiada satu-satu kaumpun boleh hidup dalam kepompongnya tersendiri (atau, ‘live in isolation’).

Kita sesungguhnya, saling perlu-memerlukan dan kita perlu saling lengkap-melengkapi sesama kita, dengan menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai sandaran utamanya.

TAK BOLEH SANDARKAN KEPADA UNDANG-UNDANG RIMBA

Kehidupan kita ini tentulah perlu berpandukan kepada undang-undang yang telah termaktub, bukan undang-undang rimba atau ‘law of the jungle’.

Undang-undang yang paling agung di negara ini pula, yang mengatasi (supercede) segala undang-undang lain yang ada, tentulah Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan itu pula, ada secara jelas menyebut mengenai hak serta kepentingan antara kaum sepertimana berikut; 

‘Adalah menjadi tanggung jawab yang dipertuan agung memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini’.    

Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, juga memberi sandaran kukuhnya kepada Perlembagaan Persekutuan ini.

JANGAN TERPENGARUH KEPADA USAHA ‘TIKUS MEMBAIKI LABU’

Masalahnya, ada pihak yang terus-menerus mempertikaikan gagasan ini, serta apa juga perkara baik yang diperkenal dan dilaksanakan oleh Kerajaan yang ada.

Pertikaian itu seolah-olah hingga ke tahap, apa juga yang diperkenal dan dilaksanakan oleh Kerajaan yang ada, kononnya akan hanya membawa keburukan kepada negara dan rakyat-jelata.

Lalu, dicadangkan perkara-perkara alternatif yang  sebahagiannya tidak masuk akal hingga boleh kita umpamakan pula usaha itu seperti ‘tikus’ yang hendak ‘membaiki labu’.

Daripada segi pengalaman, Kerajaan yang ada pimpinan Barisan Nasional (BN) inilah yang luas pengalamannya. Sejak memenangi pilihanraya umum pertama tahun 1955, ia terus-menerus menerajui kepimpinan negara dengan melepasi dengan jayanya pilihanraya umum-pilihanraya umum berikutnya (pada 1959, 1964, 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995, 1999, 2004), dengan yang terakhir pada pilihanraya umum bulan Mac, 2008. 

Dengan pengalaman luas inilah dan kini, kepimpinan yang sama ini juga mengambil komitmen besar untuk melakukan transformasi menerusi terutamanya, pengenalan Model Baharu Ekonomi (MBE); nescaya usaha mentabdir demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyatnya dapat ditingkat dan dijayakan lagi.

‘DI BAWAH SARANG YANG TERJATUH, MASIH ADAKAH TELUR YANG TIDAK PECAH?’

Dengan ini juga, apa yang telah Kerajaan usahakan selama ini dan akan diperbanyakkan lagi, janganlah dibenar dirosakkan oleh mana-mana pihak sekalipun.

Jika kerosakan dibenarkan berlaku, bahananya pasti meluas, hingga tidak dapat tidak, akan turut memberi kesan negatif kepada kehidupan harian rakyat-jelata juga.

Dalam hal ini, renungilah peribahasa Cina yang diterjemah bermaksud, “Di bawah sarang yang terjatuh, masih adakah telur yang tidak pecah”.

Dan, percayalah pula kepada hakikat betapa, “Seekor burung dalam genggaman, bernilai dua (2) ekor daripada yang bebas di hutan”. 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekelian

Sekianlah sahaja perutusan saya sempena sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 pada tahun ini.

Semoga apa yang telah saya sebutkan tadi dapat difahami dalam perspektif yang betul, saya sudahi dengan ‘Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’. – Khabar      



Sunday, 26 August 2012

Syahdu dan Ceria pada Aidil Fitri


DALAM PENUH KESYAHDUAN... Mengaminkan doa setelah selesai menunaikan solat.


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Aidil Fitri terus disambut dengan penuh kesyahduan dan keceriaan pada Ahad, 19 Ogos bersamaan 1 Syawal 1433 H,  bermula dengan solat sunat Aidil Fitri dua (2) rakaat.

Di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dekat sini, solat sunat berjemaah tersebut sepertimana kelaziman, turut menyaksikan KDYMM Sultan Pahang dan anakanda, KDYTM Tengku Mahkota Pahang, telah berangkat mencemar duli untuk sama-sama menunaikannya.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan turut menyertai pada solat tersebut yang diimamkan oleh Imam 1, Encik Mohd Khalil Mohd Zari.

Selesai solat sunat, ialah salam-bersalaman yang boleh mengeratkan tali silaturrahim sesama jemaah tanpa mengira latar darjat mahupun usia. Lanjutan itulah, tradisi kunjung-mengunjung bermula…  

DAKAPAN MESRA UMARA' KITA...


KEBERANGKATAN KDYTM TENGKU MAHKOTA... Ke Rumah Terbuka Aidil Fitri Menteri Besar di Dewan Konvensyen Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan pada 1 Syawal. Lihatlah ramainya hadirin memenuhi ruang dalam Dewan yang menyerikan lagi majlis rumah terbuka tersebut.


MENYAMBUT KEHADIRAN TETAMU... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang bersalaman dengan anggota keluarga Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail (kanan). Yang turut kelihatan ialah Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Dato' Zulkifli Yaakob (berbaju Melayu merah jambu). 


HADIRIN DAN HADIRAT... Ini merupakan sebahagian daripada mereka yang hadir pada Rumah Terbuka Aidil Fitri Menteri Besar dalam pakaian penuh segak dan bergaya. - Khabar
  
        

Terima kasih Polis!!!


… malanglah kepada mereka yang tidak tahu mengenang jasa dan budi

'STATEMENT' YANG LANGSUNG TAK BOLEH DITERIMA... Malang dan malulah bagi mereka yang membuat 'statement' begini. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN“Too many cops, too little justice” atau terjemahannya, terlalu ramai polis, terlalu sedikit keadilan.

Inilah ‘false and very misleading statement’ yang penulis terserempak, dicatkan ke atas tembok sebuah kedai di Indera Mahkota 8, bersebelahan dengan premis aiskrim ‘yougurt’ terkemuka dekat sini.

Penulis percaya, ini bukanlah kerja tangan pemilik kedai terbabit. Ia lebih merupakan angkara ‘budak-budak nakal’ yang entah apa asasnya, sanggup membuat ‘statement’ tohmahan sebegitu.

Jika yang menyokong di belakang ‘budak-budak nakal’ ini ialah parti-parti politik maka tidak bertanggungjawab sangatlah parti-parti politik tersebut.

Dan, jangkaan ini dibuat berasaskan hakikat bahawa inilah yang parti-parti politik ini ghairah lakukan – memburuk-burukkan Kerajaan yang ada termasuk menerusi memperlekeh-lekehkan agensi-agensi penguatkuasa undang-undangnya seperti polis.

KONSEP ‘OMNIPRESENCE’ YANG BERKESAN

Memanglah ‘statement’ yang dipaparkan ini tidak benar langsung. Terlalu ramai polis?

Jika di daerah Kuantan ini, cuma ada 898 anggota polis berbanding 416,000 penduduk keseluruhannya. Atau, seorang (1) anggota polis bagi setiap 463 orang penduduk! Terlalu ramai polis macam mana?

Daripada segi ini, penulis boleh angkat tabik kepada pasukan polis yang mungkin kerana konsep ‘omnipresence’ yang diamalkanlah maka kehadiran polis dalam kalangan penduduk begitu terasa hingga disalah anggap sebagai ‘terlalu ramai’.

Oleh kerana keberkesanan serta kehadiran anggota-anggota pasukan polislah juga, kadar jenayah di daerah dan negeri ini keseluruhannya telah dapat dikurangkan daripada setahun ke setahun.

Misalnya, bagi tempoh enam (6) bulan pertama antara Januari dan Jun lepas (2012), jenayah yang dilaporkan di seluruh negeri ialah 2,870 kes, berbanding tempoh enam (6) bulan pertama antara Januari dan Jun 2011, sebanyak 3,312 kes;

Iaitu, penurunan sebanyak 442 kes atau negatif 13.35 peratus.

KES JENAYAH SEMAKIN TURUN

Daerah Kuantan ini sendiri mengalami penurunan sebanyak 139 kes atau negatif 8.89 peratus iaitu daripada 1,564 kes antara Januari dan Jun 2011 kepada 1,425 kes antara Januari dan Jun tahun ini (2012).

Bandingan kes jenayah yang berlaku untuk sepanjang tahun antara tahun 2011 dengan 2010, juga menunjukkan penurunan tersebut;

Iaitu sebanyak 180 kes atau negatif 2.75 peratus yakni daripada 6,543 kes yang berlaku pada sepanjang tahun 2010, kepada 6,363 kes pada sepanjang tahun lepas (2011).

Daerah mencatatkan peratus penurunan tertinggi ialah Kuantan sendiri, negatif 10.77 peratus iaitu daripada 3,369 kes sepanjang tahun 2010 kepada 3,006 kes sepanjang tahun lepas.

Angka-angka kata orang, tidak boleh menipu (ENG: Numbers do not lie). Berdasarkan angka-angka inilah kita percaya bahawa peranan polis dalam menjagai keselamatan orang ramai adalah sangat besar maka kita harus berbangga dan berterima kasih kerananya.

Bukannya terikut dengan gelagat ‘budak-budak nakal’ yang mungkin tiada kerja lain maka di’nukilkan’ kenyataan-kenyataan yang langsung tidak boleh dipercayai kesahihannya. – Khabar    


MATA KE MATA ;

*** Jika yang menyokong di belakang ‘budak-budak nakal’ ini ialah parti-parti politik maka tidak bertanggungjawab sangatlah parti-parti politik tersebut.

*** Jika di daerah Kuantan ini, cuma ada 898 anggota polis berbanding 416,000 penduduk keseluruhannya. Atau, seorang (1) anggota polis bagi setiap 463 orang penduduk! Terlalu ramai polis macam mana?

*** Daripada segi ini, penulis boleh angkat tabik kepada pasukan polis yang mungkin kerana konsep ‘omnipresence’ yang diamalkanlah maka kehadiran polis dalam kalangan penduduk begitu terasa hingga disalah anggap sebagai ‘terlalu ramai’.

*** Daerah Kuantan ini sendiri mengalami penurunan sebanyak 139 kes atau negatif 8.89 peratus iaitu daripada 1,564 kes antara Januari dan Jun 2011 kepada 1,425 kes antara Januari dan Jun tahun ini (2012).



Saturday, 18 August 2012

Balik Raya Yop

... sempena Hari Raya Aidil Fitri pada Ahad, 19 Ogos bersamaan 1 Syawal 1433 H 


FENOMENA BALIK KAMPUNG TERSERLAH LAGI...



LEBUHRAYA SESAK ADALAH BIASA... Penulis yang hendak beraya ke kampung halaman di Batu 8, Hulu Kinta, Perak dari kediaman di Indera Mahkota, Kuantan terpaksa tempuhi perjalanan kira-kira lapan setengah (8 1/2) jam bermula 8 pagi, Sabtu, 18 Ogos untuk sampai ke sana. 

Yang paling sesak dengan perjalanan sekadar 40 km sejam ialah di laluan-laluan Lembah Beringin-Tanjung Malim-Slim River-Sungkai di Lebuhraya Utara-Selatan. Hanya setelah melepasi Hentian Sebelah Ladang Bikam baharulah perjalanan lancar dengan kenderaan dapat memecut lebih 100 km sejam. 

Namun, ini tidak sekali-kali mematikan keceriaan penulis untuk menemui ibu dan sanak-saudara di Batu 8 yang tidak jauh dari pekan kecil Tanjung Rambutan. 

Foto ini dirakam semasa melepasi Behrang, dengan kelajuan paling tinggi 40 km sejam dan ada kalanya berhenti sebentar. 



KEDIAMAN, ALAMAYA YANG DITINGGALKAN... 

- Khabar

Wednesday, 15 August 2012

Tasik Chini semakin pulih



Laporan ia bakal lenyap tahun 2030 ialah sebelum usaha pemulihan diambil, tetapi kini usaha tersebut sedang dilaksanakan


PERHATIAN BERAT DAN KHUSUS BUAT TASIK CHINI... Dato' Sri DiRaja Adnan diberi penerangan oleh Prof Dato' Dr Mushrifah semasa lawatan ke pameran selepas Menteri Besar merasmikan Forum Antarabangsa Pengurusan Bersepadu Lembangan Tasik Chini yang diadakan pada 7 Julai 2009 di sebuah hotel di Kuantan. 

Sudah tentu ekoran pemerhatian berat Kerajaanlah maka forum ini dianjurkan, yang tumpuan utama tentulah ke arah memastikan Tasik Chini terus terpelihara. 


KOMPLEKS YAYASAAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Tasik Chini semakin pulih sejak pelbagai usaha pemulihan dilaksanakan di bawah seliaan Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada awal tahun 2000 lagi.

Maka, dakwaan mengatakan ia dalam keadaan nazak dan akan lenyap menjelang tahun 2030 sepertimana kata Transparency International (TI) yang dilaporkan oleh dua (2) akhbar tempatan, adalah tidak tepat.

Dan ketidak tepatan ini malangnya, ekoran badan tersebut dipercayai menggunakan laporan oleh PPTC sendiri mengenai tasik tersebut semasa mula-mula usaha pemulihan hendak dijalankan.  

“Sejak mula hingga kini, keadaannya semakin pulih (maka tidak timbul lagi jangkaan awal PPTC sendiri betapa tasik tersebut bakal lenyap),” kata Ketua Koordinator, PPTC, UKM, Prof Dato’ Dr Mushrifah Idris.

Prof Dato’ Dr Mushrifah berkata demikian pada persidangan media oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengenai tasik semulajadi berkenaan, ketika Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri berhenti rehat seketika pada pagi Rabu, 15 Ogos di sini.

BUNGA TERATAI, TANDA KEMEGAHAN TASIK CHINI...


TIADA LAGI ‘E-COLI’ DI TASIK CHINI

Akhbar-akhbar tersebut pada Isnin, 13 Ogos telah melaporkan secara negatif mengenai Tasik Chini. Berita Harian dalam laporan muka depan bertajuk besar ‘Tasik Chini bakal lenyap 2030’ antara lain menyebut;

“Tasik Chini di Pahang yang diiktiraf sebagai kawasan Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bakal musnah pada 2030 akibat kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan tidak terkawal di sekitarnya”.  

Antara kejayaan dalam usaha pemulihan itu setakat ini kata Prof Dato’ Dr Mushrifah, ialah dengan terhapusnya ancaman kuman ‘e-coli’ (kuman penyebab taun) dalam kandungan air di tasik tersebut, sebahagiannya ekoran kempen kesedaran dan penyediaan kemudahan tandas (sanitation) lebih teratur kepada penduduk Orang Asli di persekitaran.

Bahawa Prof Dato’ Dr Mushrifah dilihat pihak yang berwibawa untuk bercakap mengenai Tasik Chini tidak boleh disangkal malah diperkukuhkan dengan kejayaan beliau selaku penerima Anugerah Hari UNESCO Malaysia 2011 dan merupakan penyelidik pertama Malaysia yang mendapat Zamalah UNESCO untuk biotek pada 1998.

Dan beliau pernah dilaporkan berikrar untuk memastikan Tasik Chini – satu daripada dua (2) tasik semulajadi di negara ini, terus terpelihara, tidak pupus seperti Tasik Mentiga yang sudah kering dan hilang daripada peta.

PROF DATO' DR MUSHRIFAH... Penyelidik pertama Malaysia yang mendapat Zamalah UNESCO untuk biotek pada 1998. 


CUMA TINGGAL DUA LAGI TASIK SEMULAJADI

“Kini tinggal dua (2) saja lagi tasik yang ‘natural’, Tasik Bera dan Tasik Chini. Tasik yang lain semuanya sudah ‘bungkus’. Ia mengikut umurnya. Jika ia tasik natural, makin lama makin tua.

“Jadi semakin lama ia banyak terjejas oleh penghakisan, pemendapan, jadi makin lama ia akan mendak jika kita tidak berusaha menjaganya,” Prof Dato’ Dr Mushrifah dilaporkan sebagai berkata pada persidangan medianya pada 24 Januari lepas di Bangi.

Pada persidangan media pagi Rabu itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menegaskan betapa ‘sampling’ air yang diambil dari tasik tersebut setiap bulan, tidak menunjukkan kandungan air di situ tercemar.

“Sejak 2010, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah wujudkan 23 stesen pemantauan. Persampelan air diambil sebulan sekali dan ia (kandungan air di tasik) masih berada dalam kelas 2 (yang tidak membahayakan),” katanya.
   
Jikapun kandungan air berkenaan dikatakan mengandungi bahan logam tetapi ia adalah secara semulajadi (natural occurance) kerana kawasan persekitaran Tasik Chini sememangnya mengandungi kandungan logam yang tinggi.

SATU LAGI PUSINGAN SIASATAN AKAN DILAKUKAN

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, dua (2) aktiviti – perlombongan dan pembalakan, yang dikatakan menjadi punca kepada pencemaran Tasik Chini namun tiada bukti menunjukkan kedua-dua aktiviti tersebut yang berada di luar kawasan yang dirizabkan, adalah penyumbang kepadanya.

Sungguhpun begitu katanya, satu lagi siasatan akan dilakukan termasuk beliau sendiri serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Prof Dato’ Dr Mushrifah dan wakil-wakil media, akan membuat tinjauan ke tasik berkenaan pada awal bulan depan.

Pada permulaan persidangan media, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menegaskan betapa Kerajaan Negeri bersikap terbuka serta senada dengan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang sering menegaskan bahawa zaman “Kerajaan mengetahui semua, betul semua; sudah berlalu.

“Rakyat sudah celik, rakyat sudah cerdik. Dan dalam hubungan ini kita (Kerajaan Negeri)  mengalu-alukan sebarang kritikan, sebarang kenyataan yang dibuat oleh semua pihak, dengan syarat kenyataan ataupun laporan dan ulasan itu mestilah bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, Tasik Chini dengan keluasan 5,085 hektar, telah dirizabkan di bawah Seksyen 62 (1) Kanun Tanah Negara untuk kegiatan pelancongan sejak tahun 1989 lagi.

UKM IALAH PENYELIA ALAM SEKITAR TASIK CHINI

UKM kemudiannya dilantik untuk menjalankan kajian yang ekoran daripada itulah wujudnya laporan-laporan berkenaan yang diterbitkan pada tahun-tahun 2003 dan 2004 serta penubuhan PPTC di kawasan tasik tersebut.  

“Sekarang ini, Tasik Chini diuruskan daripada segi penyeliaan untuk menjaga alam sekitar, persekitaran, kebersihan tasik dan sungai; kita serahkan kepada UKM.

“Tapi, bidang kuasa yang lain seperti melulus, menolak apa-apa permohonan sama ada membalak, melombong dan sebagainya, Kerajaan Negeri masih bertanggungjawab ke atasnya,” katanya lagi. – Khabar


MATA KE MATA;

*** “Kerajaan mengetahui semua, betul semua; sudah berlalu.

“Rakyat sudah celik, rakyat sudah cerdik. Dan dalam hubungan ini kita (Kerajaan Negeri)  mengalu-alukan sebarang kritikan, sebarang kenyataan yang dibuat oleh semua pihak, dengan syarat kenyataan ataupun laporan dan ulasan itu mestilah bertanggungjawab.”

*** “Sekarang ini, Tasik Chini diuruskan daripada segi penyeliaan untuk menjaga alam sekitar, persekitaran, kebersihan tasik dan sungai; kita serahkan kepada UKM.

“Tapi, bidang kuasa yang lain seperti melulus, menolak apa-apa permohonan sama ada membalak, melombong dan sebagainya, Kerajaan Negeri masih bertanggungjawab ke atasnya.”

*** “Sejak 2010, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah wujudkan 23 stesen pemantauan. Persampelan air diambil sebulan sekali dan ia (kandungan air di tasik) masih berada dalam kelas 2 (yang tidak membahayakan).”

*** Antara kejayaan dalam usaha pemulihan itu setakat ini kata Prof Dato’ Dr Mushrifah, ialah dengan terhapusnya ancaman kuman ‘e-coli’ (kuman penyebab taun) dalam kandungan air di tasik tersebut, sebahagiannya ekoran kempen kesedaran dan penyediaan kemudahan tandas (sanitation) lebih teratur kepada penduduk Orang Asli di persekitaran.


Tuesday, 14 August 2012

"Selalulah lihat pada yang elok-elok sahaja dalam kehidupan"


 
BERSIKAP POSITIF TENTANG KEHIDUPAN... Eric sedang menyampaikan persembahannya. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN“Selalulah lihat pada yang elok-elok sahaja dalam kehidupan” atau Bahasa Inggerisnya, “Always look on the bright side of life”.

Ini bukanlah ‘quotation’ hebat daripada tokoh falsafah terkenal. Ia sekadar tajuk lagu nyanyian kumpulan pelawak Inggeris 60-an (yang dikatakan sama hebatnya dengan kumpulan muzik Beatles), dianggotai lima anak muda, dikenali sebagai Monty Python.

Lagu ini dinyanyikan semula oleh seorang daripada bekas anggotanya, Eric Idle, pada penutupan Sukan Olimpik London 2012 malam Ahad, 12 Ogos, yang dapat kita saksikan menerusi siaran langsung RTM awal pagi Isnin, 13 Ogos lepas.

Segmen oleh Eric Idle ini penulis lihat agak istimewa kerana berbanding dengan kemunculan artis-artis lain dengan persembahan ringkas masing-masing (termasuk oleh  Spice Girls), persembahan Eric lebih panjang.

Bermula daripada beliau berjalan memasuki ‘meriam’ gergasi hinggalah diletupkan lalu jatuh ke bawah bukan ke atas seperti disangkakan, hinggalah beliau menyampaikan lagu tersebut dengan selingan tarian ‘Bhanggara’ di tengah-tengahnya.

DAN, TAMATLAH SUDAH... Dengan turunnya bendera Olimpik ini, maka berakhirlah sudah Sukan Olimpik London 2012 (27 Julai - 12 Ogos) disertai 10,500 atlet dari 204 negara termasuk Malaysia (tempat ke 63) yang kosnya melibatkan RM44,000 juta (atau, 9,000 juta paun)
 
 
LIHATLAH ‘SEGELAS AIR YANG SEPARUH PENUH’

Yang menangkap perhatian penulis ialah pada bait-bait lagu tersebut yang jelas mengajak kita supaya sentiasa berfikiran positif terhadap kehidupan. Ia seolah-olah mengajak kita supaya melihat ‘segelas air yang separuh penuh’ yang lebih positif konotasinya, daripada melihatnya sekadar, ‘segelas air yang separuh kosong’.

Berikut ialah antara lirik lagu tersebut, yang rupa-rupanya merupakan karya serta lirik ditulis oleh Eric sendiri;

“Some things in life are bad, They can really make you mad, Other things just make you swear and curse. When you’re chewing on life’s gristle, Don’t grumble, give a whistle, And this’ll help things turn out for the best.

“And… always look on the bright side of life. Always look on the light side of life.”   

Atau terjemahannya lebih-kurang begini;  “Ada sesetengah perkara dalam kehidupan adalah sukar, Ia boleh sahaja menjadikan kita gila, Yang lain hanya akan membuat kita mencela dan menyumpah. Bila kita mengunyah kehidupan yang liat, jangan bersungut, Cubalah bersiul, Dan ini akan membantu menjadikannya baik pula.

“Dan… selalulah lihat pada yang elok-elok sahaja dalam kehidupan”. – Khabar