Thursday 30 May 2013

Pelaburan RM246 juta untuk bina kilang ubat-ubatan dan bagi kerja-kerja penyelidikan demi wujudkan vaksin generasi baharu ubati penyakit denggi


… libatkan usahasama syarikat-syarikat tempatan termasuk Pahang Technology Resources Sdn Bhd (PTR), dengan syarikat-syarikat separa-kerajaan Rusia yang dijangka dapat melaksanakan perpindahan teknologi berskala penuh berkaitan ubat-ubatan.

… dengan jangkaan pulangan hasil bagi 10 tahun pertama sahaja sehingga RM1,463 juta!

BERSEDIA UNTUK BERPERSIDANGAN MEDIA... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sharifah Fatimah (tiga dari kanan), Dato' Normala (sebelah kirinya), Encik Sazali (sebelah kiri Dato' Sri DiRaja Adnan), dan, Dr Ram (dua dari kanan).


HOTEL HYATT REGENCY, KUANTAN – Usahasama bernilai pelaburan RM246 juta (USD80 juta) melibatkan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri – Pahang Technology Resources Sdn Bhd (PTR) dengan syarikat-syarikat tempatan dan syarikat separa-Kerajaan Rusia, sedang dirangka bagi pembinaan kilang ubat-ubatan (farmaseutikal) dan kerja-kerja untuk melahirkan vaksin generasi baharu mengubati penyakit denggi.

Yang menerusinya – satu-satunya usahasama berkaitan ubatan-ubatan dan pengeluaran vaksin melibatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pengkomersilan oleh negara Rusia dengan negara luar; akan berlakulah pemindahan teknologi berskala penuh ke negara ini.

Selain, ia turut memberi pulangan kewangan yang agak besar yakni, bagi tempoh 10 tahun pertama operasinya sahajapun, kilang ini dijangka dapat menjana hasil hingga RM1,463 juta!

Setakat ini, dua lokasi dikenalpasti bagi pembinaan kilang yang diiktiraf ‘state-of’the art’ ini iaitu di Lanchang, Temerloh dan di Gambang, dekat sini; dan dijangka dapat dimulakan dalam tempoh dua tahun daripada sekarang.

Inilah khabar gembira yang disampaikan pada persidangan media oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang juga Pengerusi PTR, pada tengah hari Khamis, 30 Mei, di sini.

USAHASAMA DAPAT LAMPU HIJAU WISMA PUTRA  

Yang turut hadir ialah wakil-wakil syarikat tempatan berkenaan termasuklah Pengarah Eksekutif, PTR, Dato’ Sharifah Fatimah Syed Omar dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Sazali Mohd Nor.

Begitu juga daripada Medical Today Sdn Bhd iaitu Dato’ Normala A.Kahar dan Dr Ram Prakash.

Selain PTR dan Medical Today Sdn Bhd, satu lagi yang mewakili syarikat tempatan ialah Biopharma Today Sdn Bhd, manakala syarikat separa-Kerajaan Rusia berkenaan ialah NT Pharma LLC dan syarikat pengedarannya, Aboilek LLC.

“Pahang Technology Resources Sdn Bhd (PTR) – syarikat GLC Pahang, telah ambil inisiatif untuk bekerjasama dengan beberapa pihak seperti Biopharma Today Sdn Bhd dan Medical Today Sdn Bhd, untuk mengeluarkan bahan farmaseutuikal yang berasaskan kajian, dapatan teknologi dari Rusia.

“Kita telah dapat lampu hijau dari pihak Wisma Putra dan banyak rundingan telah berlangsung antara PTR dengan Biopharma dan Medical Today ini,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada permulaan persidangan media tersebut.

40 PERATUS PENDUDUK DUNIA TERDEDAH JANGKITAN DENGGI

Menurut kenyataan media yang turut diedarkan, satu detik bersejarah akan tercipta apabila dua professor terkemuka Rusia dari NT Pharma – Prof Kachik Sayadyan dan Prof Ravshan Ataullakhanov, mulakan kerja bagi melahirkan vaksin generasi baharu mengubati penyakit denggi.

“Dengan lebih sepertiga daripada penduduk dunia tinggal di kawasan-kawasan yang diancam denggi, penyakit ini telah menjadi penyebab utama kepada masalah kesihatan dan kematian di rantau tropika dan sub-tropika.

“Hari ini, kira-kira 2,500 juta penduduk atau 40 peratus daripada penduduk dunia, tinggal di kawasan-kawasan yang mempunyai risiko kepada jangkitan denggi. Denggi amat memudaratkan di sekurang-kurangnya 100 negara di Asia, rantau Pasifik, benua-benua Amerika dan Afrika, serta di negara-negara Carribean.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat antara 50 juta dan 100 juta jangkitan denggi berlaku setiap tahun, termasuklah 500,000 kes demam denggi berdarah (DHF: Dengue hemorrhagic fever) dengan 22,000 kematian, kebanyakannya kanak-kanak.

“Malaysia sahajapun, berdasarkan kepada statistic tahun 2011, terdapat 17,850 kes demam denggi dan 1,372 DHF yang daripadanya, berlaku 34 kematian akibat daripada jangkitan merbahaya itu.

HINGGA KINI, TIADA LAGI VAKSIN UBATI DENGGI

“Hingga hari ini, tiada vaksin di dunia yang dapat berlindung daripada jangkitan denggi,” menurut kenyataan enam (6) halaman tersebut.

Pada persidangan media yang sama, Dato’ Sri DiRaja Adnan ditanyakan mengenai langkah-langkah yang akan diambil agar projek usahasama yang sedang dirangka ini tidak menerima nasib serupa – bantahan lantang oleh segelintir pihak sepertimana dialami oleh projek pemprosesan tanah jarang – Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, dekat sini.   

“Based on the past experience, we need to pre-empt and condition the minds of the people first. So probably, we (will) concentrate on the PR exercise by explaining to the people (about this project).

“We need this PR treatment first. We’ll explain. But, there are those people that do not want to accept facts, for the simple reason that they want to politicize everything for their own benefit.

“If that is so, we do not have much choice. But if it is proven that this is very beneficial to the state, to the country and to the people, then why not we move on. If we were to listen to all the negative talks about what we should do, then we’ll have to close shop, like what Abraham Lincoln used to say,“ tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan. – Khabar      

Monday 27 May 2013

KDYMM Sultan Pahang rasmi Kompleks Mahkamah Kuantan bernilai RM159 juta


… satu lagi mercutanda menarik dan terbaharu Kuantan, khususnya di Bandar Indera Mahkota

MENGAMATI MODEL... KDYMM Sultan Pahang sedang memerhatikan model Kompleks Mahkamah Kuantan. Di sisi kanan Baginda ialah Tun Ariffin.   


BANDAR INDERA MAHKOTA, KUANTAN – KDYMM Sultan Pahang telah berkenan berangkat mencemar duli, merasmikan Kompleks Mahkamah Kuantan bernilai RM159 juta pada pagi Isnin, 27 Mei di Indera Mahkota 14 di bandar baharu ini.

Terletak di atas tanah lereng bukit berkeluasan 9.4 hektar, kompleks mahkamah ini menempatkan 23 bilik perbicaraan bagi meliputi ketiga-tiga mahkamah – Tinggi, Sesyen dan Majistret.

Beroperasi sejak 23 Julai 2012, kompleks mahkamah yang luas dengan keupayaan tempat letak kereta 800 petak; ia turut dilengkapi kemudahan sokongan seperti ruang pejabat, perpustakaan, bilik fail dan bilik mesyuarat.

Dalam titah ucapan perasmian, KDYMM Sultan Pahang antara lain menitah-sebut tentang kesukacitaan Baginda melihat kejayaan pelaksanaan satu lagi, apa yang Baginda sebut, ‘projek kemakmuran’ di negeri ini.

“Saya amat sukacita melihat pelaksanaan satu lagi projek kemakmuran di negeri Pahang yang mana dapat memperluas kemudahan kepada rakyat dalam sistem kehakiman,” titah Baginda.

MESRA, SEORANG RAJA... Tentu ada sesuatu yang menarik hingga kelihatan KDYMM Sultan Pahang gembira dengan Dato' Sri DiRaja Adnan turut sama di sisi Baginda. Foto ini dirakam ketika KDYMM Sultan Pahang bersemayam di pentas utama sempena perasmian Kompleks Mahkamah Kuantan ini.  

 
PUAN NANCY – MENTERI DI JPM YANG BAHARU, TURUT HADIR
  
Sehubungan itu, Baginda menitahkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana dapat memastikan kelancaran dan kejayaan dalam pelaksanaan projek ini.

Titah tahniah juga Baginda juruskan kepada Kerajaan Pusat khususnya Jabatan Perdana Menteri (JPM) ekoran sikap mengambil beratnya terhadap keperluan rakyat Baginda lalu mengesyorkan pembinaan kompleks ini.

Baginda seterusnya menitah-harap agar kewujudan kompleks ini akan membolehkan rakyat Baginda dapat menikmati ‘penyampaian perkhidmatan kehakiman’ yang jauh lebih baik daripada sebelumnya.

Selain Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, antara mereka yang turut hadir pada majlis yang bersejarah ini ialah Menteri di JPM, Puan Nancy Shukri serta Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria. – Khabar 

Monday 20 May 2013

MB dan para Exconya


… Barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) @ Exco Negeri dan portfolio diumumkan, dengan pengenalan Jawatankuasa Perpaduan Negeri yang Menteri Besar sendiri pengerusikan;

Menteri  Besar juga mempengerusikan Jawatankuasa Perancangan, Kewangan, Tanah, Perhutanan dan Sistem Penyampaian Awam yang keanggotaannya ialah kesemua ahli MMK serta para ex-officio.

'ALL THE MB'S MEN, PLUS A WOMAN'... Dato' Sri DiRaja Adnan disamping para Exconya termasuk ex-officio; (duduk, dari kiri ke kanan) Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Norzan Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail; Dato' Mohd Sharkar; Dato' Ir Mohd Soffi; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato' Mat Zara'ai Alias; dan, Dato' Wan Rosdy. 

Yang lain ialah (berdiri, dari kiri ke kanan) Encik Norol Azali; Dato' Shahaniza; Dato' Abu Bakar; Dato' Shafik Fauzan; Dato' Shahiruddin; Dato' Mohd Johari; dan, Syed Ibrahim. 


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini mengumumkan 16 portfolio atau jawatankuasa bagi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pimpinannya.

Pengumuman ini dibuat pada persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat khas MMK Negeri – yang pertama selepas Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13), pada tengah hari Isnin, 20 Mei, di sini.  

Portfolio-porfolio itu ialah Jawatankuasa Perancangan, Kewangan, Tanah, Perhutanan dan Sistem Penyampaian Awam; Jawatankuasa Hal Ehwal Ugama Islam dan Pelajaran; Jawatankuasa Pelaburan dan Perindustrian;

Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli dan Kebajikan Masyarakat; Jawatankuasa Badan-badan Bukan Kerajaan; dan, Jawatankuasa Khas Perpaduan Negeri; yang kesemua enam (6) portfolio ini turut dipengerusikannya.

Berbanding portfolio lain, Jawatankuasa Perancangan, Kewangan, Tanah, Perhutanan dan Sistem Penyampaian Awam dianggotai oleh kesemua ahli MMK Negeri termasuk ahli-ahli ex-officio yakni Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri.

SIAP-SEDIA, HADAPI MEDIA... Dato' Sri DiRaja Adnan memberi 'pose' dalam senyuman yang menarik, sebelum bersedia hadapi media bagi mengumumkan portfolio untuk kesemua 10 ahli Exconya, termasuk untuk dirinya. 


DATO’ MOHD SHARKAR JAGA KEBUDAYAAN & PELANCONGAN

Portfolio-portfolio lain ialah, Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan yang dipengerusikan oleh Dato’ Mohd Sharkar Shamsuddin; Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar oleh Dato’ Ir. Mohd Soffi Abdul Razak;

Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran oleh Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail; Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industr Asas Tani oleh Dato’ Shafik Fauzan Sharif;

Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan oleh Dato’ Shahiruddin Ab. Moin; Jawatankuasa Hal Ehwal Felda oleh Dato’ Abu Bakar Harun; Jawatankuasa Belia dan Sukan oleh Dato’ Mohd Johari Hussain;

Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas oleh Encik Norol Azali Sulaiman; Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia oleh Dato’ Shahaniza Shamsuddin; serta,

Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas oleh Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Kesemua mereka dijangka hadir pada Mesyuarat MMK Negeri sebenar yang telah dijadualkan pada lusa, Rabu, 22 Mei, juga bertempat di tingkat 6, Kompleks Yayasan Pahang ini.   

EXCO KOMUNIKASI YANG LAMA BERTEMU YANG BAHARU... Dengan berpindahnya Dato' Mohd Sharkar ke portfoilio Kebudayaan dan Pelancongan; slotnya pada Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan ICT yang kini dikenali sebagai Komunikasi dan Multimedia, diambil-alih oleh wanita tunggal dalam barisan Exco Kerajaan Negeri, Dato' Shahaniza.  


TOKOH SEPERTI PROF AKAN ANGGOTAI J/K KHAS PERPADUAN

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai Jawatankuasa Khas Perpaduan Negeri kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, MMK Negeri akan berbincang seterusnya menamakan keanggotaannya kelak.

Setakat ini katanya, beliau telahpun mengenal pasti beberapa tokoh untuk dipertimbangkan bagi menganggotai jawatankuasa tersebut, yang termasuk dalam kalangan profesor dan ketua-ketua masyarakat.

Fungsi jawatankuasa ini katanya, ialah untuk melihat serta memenuhi keperluan masyarakat khususnya kaum Cina, yang tidak lagi diwakili dalam Kerajaan ekoran keputusan MCA mengenainya.

“No one will be sidelined and it is our responsibilities to look after every segments of the society including seats which we lost to the opposition,” katanya. – Khabar

Thursday 16 May 2013

Menteri Besar sendiri akan pengerusikan Jawatankuasa Khas Perpaduan Negeri?



… jawatankuasa yang akan ditubuhkan demi merangkul penglibatan semua kaum khususnya Cina.

Dengan Menteri Besar sendiri mempengerusikan, menunjukkan pentingnya jawatankuasa ini apatah pula ianya berkaitan dengan aspek perpaduan antara kaum di negeri ini.

ADUNAN SEIMBANG, LAMA DAN BAHARU... KDYMM Sultan Pahang, disamping KDYTM Tengku Mahkota dan Dato' Sri DiRaja Adnan, berfoto kumpulan dengan ahl-ahli MMK yang dilantik. 
  

ISTANA ABU BAKAR, BANDAR DIRAJA PEKAN – Sebuah Jawatankuasa Khas Perpaduan Negeri bakal ditubuhkan demi mengukuhkan perpaduan antara kaum di negeri ini terutamannya, dengan menggiatkan lagi usaha untuk merangkul penglibatan kaum Cina di dalamnya.

Sebagai tanda menunjukkan pentingnya Jawatankuasa Khas Perpaduan Negeri ini, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sendiri dijangka akan mempengerusikannya.

Perkara ini disebut oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media selepas selesainya Majlis Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tengah hari Khamis, 16 Mei di sini.

Pada majlis ini yang disempurnakan oleh KDYMM Sultan Pahang, diiiringi anakanda, KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan isteri, KDYTM Tengku Puan Pahang, serta YAM Tengku Muda Pahang; 10 orang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menerima suratcara pelantikan masing-masing.

Kesemua 10 ialah dari parti UMNO iaitu muka-muka lama – Dato’ Mohd Sharkar Shamsuddin (BN – Lanchang), Dato’ Ir Mohd Soffi Abdul Razak (BN – Benta), Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail (BN – Jelai), dan, Dato’ Shafik Fauzan Sharif (BN – Inderapura).

TITAH DIRAJA 10-MINIT BAGINDA... 


50 PERATUS MUKA BAHARU DALAM MMK NEGERI  

Muka-muka baharu pula ialah – Dato’ Abu Bakar Harun (BN – Chini), Dato’ Mohd Johari Husin (BN – Tioman), Encik Noorul Azali Sulaiman (BN – Guai), Dato’ Shahaniza Shamsuddin (BN – Kuala Sentul), dan, Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN – Kerdau).

Muka lama yang kembali dilantik ke dalam MMK Negeri kali ini ialah – Dato’ Shahiruddin Ab. Moin (BN – Dong).  
  
Bagaimanapun, ‘portfolio’ mereka belum ditentukan yang hanya akan diputuskan, menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, pada Mesyuarat Khas MMK pagi Isnin, 20 Mei di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Kuantan.  

“Mungkin saya sendiri yang akan ‘handle’. Mungkin saya jadi Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli, dan juga, saya mungkin jadi Pengerusi, Jawatankuasa Khas Perpaduan Negeri.

“Kenapa MB sendiri? Maknanya, (Jawatankuasa Khas Perpaduan Negeri) itu penting,” katanya yang juga Pengerusi BN Negeri serta Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri.

AHLI EXCO PALING KANAN... KDYMM Sultan Pahang sedang mengurniakan suratcara berkenaan kepada Dato' Mohd Sharkar yang mendahului sembilan (9) yang lain sempena majlis pagi Khamis itu. 


DUA (2) PERATUS CINA YANG UNDI BN NAK JAGA JUGA

Sebelum ini, Dato’ Sri DiRaja Adnan sudah membayangkan penubuhan Jawatankuasa tersebut berikutan ketetapan MCA – parti komponen BN, tidak mahu mana-mana ahlinya dilantik ke dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan, mahupun Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri jika parti itu tidak menunjukkan prestasi baik pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13).  

Sepertimana peringkat Parlimen, prestasi MCA di peringkat negeri Pahang ini juga jelas merudum apabila; daripada lapan (8) kerusi yang ia tandingi di Semambu, Teruntum, Ketari, Bilut, Tras, Mentakab, Damak dan Ceka; cuma dua (2) kerusi terakhir dimenanginya.

Berikutan itu, timbul kebimbangan betapa hal-hal melibatkan kaum Cina tidak akan diambil-peduli oleh Kerajaan Negeri menerusi MMKnya, sekaligus dibimbangi boleh merencatkan lagi perhubungan seterusnya perpaduan kaum di negeri ini.

“Saya nak nyatakan, Kerajaan, apabila kita umumkan Jawatankuasa Exco (MMK) esok, kita akan umumkan juga Jawatanluasa Khas yang dibentuk untuk memberi perhatian kepada orang Cina.

“Biar hampir 98 peratus (kaum Cina) tak mengundi Barisan (menerusi calon BN dari parti MCA), tak mengapa. Ini demokrasi. Tapi, kurang-kurang, dua (2) peratus ni (yang mengundi BN), nak jaga juga,” tegasnya.

MUKA BAHARU... KDYMM Sultan Pahang sedang menitah-tanyakan sesuatu kepada mjuka baharu - Syed Ibrahim (kiri sekali). Syed Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Syed Ibra, ialah juga bekas Pegawai Khas kepada MB sebelum beliau dipilih dan menang pada Pilihanraya Kecil DUN Kerdau dan sekali lagi menang di kawasan yang sama pada PRU-13.  


NO MORE TIME TO REST ON OUR LAURELS

Menjawab soalan wartawan tentang apa-apa pesanan yang hendak diberikan kepada ahli MMK yang mengangkat sumpah jawatan masing-masing pada hari ini katanya, beliau akan memberikannya pada Mesyuarat Khas MMK pagi Isnin tersebut.

“Saya akan buat Mesyuarat Khas Exco (MMK) pada hari Isnin. Hari itu, saya akan berikan nasihat – Kita perlu bergerak dengan mengambil kira keadaan persekitaran dan kita tengok perubahan yang begitu mendadak dalam dunia sekarang ini.

“Kita tak boleh lagi main-main sebab, dalam keadaan sekarang ni – propaganda, persepsi, cerita bohong; orang (kebanyakan rakyat) percaya, kita kena cari jalan macam mana mengatasi(nya),” katanya.

“It’s going to be a tough job, not so easy. Going to be tough. So,” katanya dan menambah, “… tak ada lagi dah duduk-duduk. All these while, we have not been warming the chair but I’m just re-emphasising;

“No more time to rest on our laurels. We got to work very, very hard and we must serve the people. And like the Prime Minister always said, we must be inclusive. Meaning to say, whether the people voted for Barisan Nasional or not, they will not be sidelined.

'A ROSE AMONG THE THORNS'... Satu-satunya calon wanita yang dilantik sebagai ahli MMK. Ini merupakan penggal kedua Dato' Shahaniza - yang juga bekas Ketua Penerangan, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia; sebagai wakil rakyat, kali ini terus dilantik ke jawatan yang lebih berat tanggungjawabnya ini.  


TITAH TUANKU PELIHARA PERPADUAN

“We will go by priority. If for example that (a particular) constituency or that place happened to have voted for the opposition and they have water problem which the government can overcome, (then) the government will (try to) overcome,” katanya lagi.

Sementara itu, Majlis Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Ahli MMK Negeri bermula kira-kira 11.05 pagi dengan keberangkatan masuk KDYMM Sultan Pahang ke Balai Menghadap di sini.

Sebaik-baik Baginda bersemayam, nama pertama dipanggil ialah Dato’ Mohd Sharkar, disusuli dengan yang lain. Setiap seorang dikurniakan oleh Baginda, Suratcara berkenaan; dibaca kemudian ditandatangani dengan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail bertindak sebagai saksi.

KDYMM Sultan Pahang seterusnya berkenaan menyampaikan titah ucapan kira-kira 10-minitnya, yang antara lain mengingatkan rakyat tentang pentingnya mereka untuk sentiasa memelihara perpaduan antara kaum.

Bagi memberkati majlis, Mufti Negeri, Sahibus Samahah, Dato’ Abdul Rahman Osman telah membacakan doa, sebelum majlis berakhir pada kira-kira 12.25 tengah hari yang disusuli dengan santapan/jamuan tengah hari. – Khabar

Wednesday 15 May 2013

'Qaplah Jingga'


… seperti diduga, puak pembangkang terus berdegil lalu tetap anjurkan perhimpunan tapi diminta alih dari ‘venue’ asal di padang, Taman Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Kuantan-Gambang, ke perkarangan Ibupejabat, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jalan Beserah.

Kehadiran, menurut jangkaan Polis ialah kira-kira 5,000 orang, sebahagian besarnya belia Cina berpakaian serba-hitam termasuk yang tertera padanya lambang anti-Lynas.

Kenderaan yang kebanyakannya bernombor pendaftaran dari luar Pahang, diletak di bahu-bahu jalan bermula persimpangan Jalan Beserah-Jalan Tengku Muhammad berhampiran Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), hingga menyesakkan lalulintas.  

SEBAHAGIAN KHALAYAK YANG HADIR... Foto ini dimuat-naik daripada foto yang sama tersiar dalam akhbar The Star, keluaran hari ini, Rabu, 15 Mei.  


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Seperti diduga, puak pembangkang terus berdegil lalu tetap menganjurkan perhimpunan pada malam tadi, Selasa, 14 Mei tetapi diminta alih dari tapak asal di padang, Taman Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Kuantan-Gambang, ke perkarangan Ibupejabat, Parti Keadilan Rakyat (PKR), di Jalan Beserah, dekat sini.

Seperti diduga juga, kehadiran penyokong-penyokongnya boleh dikira ramai – menurut jangkaan Polis kira-kira 5,000 orang, dengan kira-kira 60 peratus daripadanya ialah belia-belia Cina atau kategori pengundi saluran 5 di pusat-pusat pengundian.

Seperti yang diminta, mereka mengenakan pakaian serba-hitam tanda bersetuju dengan tema tidak rasmi perhimpunan, ‘Blackout 505’, yang merujuk kepada bantahan terhadap keputusan hari pengundian pada Ahad, 5 Mei bagi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) lepas.

Dan pada awal-awal ucapan berdegar-degar 19-minitnya, ketua puak tersebut, Dato’ Sri Anwar Ibrahim telah memuji kehadiran semua dengan menggelar mereka sebagai ‘Great Malaysians’, yang kononnya berani untuk hadir pada malam itu.

Kemudian, mencurah-curahlah dakwaan rasuah yang dijuruskan terhadap Kerajaan yang ada khususnya Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, termasuklah yang sudah lapuk dan tidak dapat dibuktikan seperti pembelian kapal selam ‘Scorpene’ daripada syarikat di Perancis.

‘KEMENANGAN’ PUAK PEMBANGKANG DIROMPAK?

Mengenai PRU-13 sendiri, beliau ada menyebut betapa ‘kami menang pilihanraya, kamu (Barisan Nasional) rompak kemenangan kami’, lalu membangkitkan lagi perihal warganegara Bangladesh yang kononnya telah turut mengundi, hingga memberikan kemenangan kepada BN.

Yang ironinya, orang kanannya sendiri – Encik Rafizi Ramli, telahpun membuat kenyataan betapa puak pembangkang akan memfailkan petisyen ke mahkamah bagi membantah keputusan pilihanraya – ekoran kekalahan tipis mereka di tangan calon BN, di 27 kawasan seluruh negara.

Maka, perlukah lagi mereka menjelajah serta menjaja ke seluruh negara termasuk ke negeri ini, dengan membangkitkan kemarahan awam khususnya khalayak yang turut serta, yang sebahagian besarnya kaum Cina; terhadap Kerajaan yang ada? – Khabar





Monday 13 May 2013

'Jangan buat qaplah!!!'



… Polis minta orangramai tidak sertai perhimpunan haram anjuran puak pembangkang di Taman Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Kuantan-Gambang malam esok

SATU LAGI PERHIMPUNAN HARAM ANJURAN PEMBANGKANG... Poster hitam-putih ini  dipapar pada sebatang pokok di depan Padang MPK 1, berdepan dengan Mahkota Square di bandar Kuantan yang aman-sejahtera ini. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN“Jangan buat qaplah,” inilah pesanan yang seharusnya kita warga Kuantan yang cinta-damai; tegas memberitahu puak pembangkang pimpinan anak kelahiran Cherok Tok Kun, Butterworth, Pulau Pinang itu.

Ia ekoran hajat puak tersebut untuk menganjurkan apa yang disebut sebagai ‘Himpunan Rakyat Pahang’ pada malam esok, Selasa, 14 Mei di padang, Taman Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Kuantan-Gambang, dekat sini.

Bertemakan ‘Suara Rakyat – Suara Keramat, Tolak Penipuan PRU 13’, orangramai diajak hadir dengan berpakaian warna hitam, sebagai tanda membantah terhadap keputusan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Sedangkan, PRU-13 jugalah menyaksikan mereka kekal menguasai negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, serta memenangi 89 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Ini tentunya tidak memadai sementelah matlamat mereka untuk menguasai Putrajaya atau tampuk pemerintahan negara, masih tidak kesampaian menerusi proses demokrasi PRU-13; lalu menjadi dorongan untuk menganjurkan perhimpunan haram itu.

AKAN JEJAS KETENTERAMAN AWAM, SEBABKAN KESESAKAN LALULINTAS

Selari dengan pandangan kita mengenai perhimpunan itu, Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada hari ini, Isnin, 13 Mei, telah mengeluarkan amaran kepada orangramai, ‘agar tidak terpedaya dengan hasutan pihak tertentu yang mengajak mereka menyertai perhimpunan haram di Taman Mahkota Aman di sini, esok’.

Menurut berita yang diceduk dari portal berita – Utusan Online, Ketua Jabatan Pengurusan, IPK Pahang, ACP Anuar Osman dilaporkan berkata, setakat ini, polis tidak menerima sebarang notis atau permohonan daripada pihak penganjur memaklumkan mengenai perhimpunan tersebut.

Berita yang dikutip dari portal berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pula melaporkan ACP Anuar sebagai berkata, Pahang police advised the people not to attend the Pakatan Rakyat illegal rally at Taman Mahkota Aman on Tuesday, for it could create a tense atmosphere in the state capital”.

Beliau juga dilaporkan sebagai menegaskan betapa, “… stern action would be taken against its participants, organisers and speakers for no permit had been issued for the rally”.

Berita yang sama turut melaporkan bahawa, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff mengakui menerima beberapa aduan daripada para penduduk yang membantah perhimpunan tersebut, yang dilihat boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk di sekitar tapak perhimpunan. – Khabar

Thursday 9 May 2013

Bukan masa untuk menghukum sesiapa



… kata Menteri Besar merujuk kepada keputusan PRU-13 yang BN tidak dapat sokongan penuh kaum Cina  

MAMBACAKAN SURAT IKRAR TAAT-SETIA... Wajah tegas namun tawadduk, pemimpin utama kita semasa berdiri, dengan tangan kanan menekap ke kitab suci al-Quran; membacakan surat ikrar taat-setia ke sisi KDYMM Sultan Pahang yang tercinta. 


ISTANA ABU BAKAR, BANDAR DIRAJA PEKAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menegaskan, ini bukan masanya untuk menghukum mana-mana pihak ekoran keputusan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) yang menunjukkan kaum Cina tidak memberi sokongan besar kepada Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, beliau mengingatkan, sokongan meleset kaum Cina menerusi tindakan mereka dan rakyat melaksanakan hak demokrasi masing-masing itu, haruslah diterima dengan hati terbuka.

“… bukan semua orang Cina menolak Barisan Nasional. Ada juga orang Cina yang mengundi (Barisan Nasional). Peratus(nya yang) kecil (atau) besar tak kira tapi… We cannot blame the whole lot.

“In any group… if there is a mistake made, we cannot blame the whole group. We got to look at it very openly. We won because, the majority of the Malays, Indians and Orang Asli, voted for us.

But, there were still a number of Chinese – though small in number; who voted for Barisan Nasional. So, we cannot discard them,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan kepada wartawan ketika ditemui setelah selesai Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar pada petang Khamis, 9 Mei, di sini.

ANGKAT SEMBAH... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mengangkat sembah, begitu juga Dato' Sri Wan Wahid di sisinya. 

Mengiringi ialah Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar, Dato' Hamdan Husein (sebelah kiri Dato' Sri DiRaja Adnan), serta, Setiausaha Sulit kepada KDYMM Sultan Pahang, Encik Ahmad Khirrizal Ab. Rahman (sebelah kanan Dato' Sri Wan Wahid). 


HORMATI KEPUTUSAN MCA UNTUK TIDAK DILANTIK JADI EXCO

“So in that sense,” katanya, “… the people have already exercise their democratic rights and now we got to take it openly,” lalu menegaskan betapa, “It’s not the time to punish anybody (nor) any quarter”.  

Kepada soalan tentang keputusan kepimpinan anggota komponen BN, MCA untuk tidak menerima sebarang pelantikan ke kabinet Kerajaan Pusat BN mahupun Majlis Mesyuarat Kerajaan-kerajaan (MMK) Negeri ekoran sokongan merudum kaum Cina, katanya, ia sedang dikaji.

Disebalik beliau ingin sangat melantik ahli-ahli parti tersebut ke dalam MMK Negeri pimpinannya, namun, keputusan pucuk kempimpinan parti tentang ketidak penerimaan tersebut wajar pula dihormati.    

Sambil itu pula, beliau mengakui betapa dengan ketiadaan wakil MCA dalam MMK Negeri kelak, boleh memberi kesan kepada usaha memulih dan menggalakkan perpaduan kaum di negeri dan negara ini.  

Sehubungan itu, beliau membayangkan kemungkinan mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi menangani masalah-masalah yang mungkin dihadapi oleh kaum Cina khususnya yang ‘bersahabat dengan kita’.

TANDA KASIH-SAYANG DAN SETIANYA KE SISI BAGINDA... 


PULIHKAN KEADAAN, KUKUHKAN MASYARAKAT

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi BN Negeri berkata, perbincangan sudahpun dilakukan bagi mendapatkan maklum-balas (feedback) berkaitan PRU-13, manakala ‘post-mortem’ mengenainya akan dilakukan sebaik-baik selesai pelantikan ahli-ahli MMK pada Khamis, 16 Mei depan.

“It’s not about Pakatan (Rakyat), (nor) about Barisan Nasional, no… It’s about the government, about the country – the future of the country, our future generation; what is going to happen to them.

“We cannot allow the racial tension (that has been) going, all year round, all these racial remarks (that have) been made, and the racial overtone (that has been floated, continues). This is not nice.

“So, kita di Pahang ini, seperti titah Tuanku kepada ahli-ahli Dewan tadi, (mestilah) bersatu-padu (serta) cuba pulihkan keadaan (dengan) kukuhkan (perpaduan dalam) masyarakat,” katanya.

Mengenai pelantikannya sebagai Menteri Besar – bagi penggal keempat selepas penggal-penggal 1999 – 2004, 2004 – 2008, dan, 2008 – 2013; beliau menyatakan kesyukuran ke hadrat Allah, junjungan kasih ke sisi KDYMM Sultan Pahang, serta berterima kasih kepada Perdana Menteri; atas pelantikan ini.

SURAT IKRAR TAAT-SETIA DITANDATANGANI... Sambil KDYTM Tengku Mahkota memerhatikan sebagai saksi, Dato' Sri DiRaja Adnan menurunkan tandatangannya pada surat ikrar taat-setia.


TINGGALKAN DALAM LIPATAN SEJARAH

Sebenarnya kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, pelantikan ini merupakan tanggungjawab besar apatah lagi dengan melihat kepada keadaan politik semasa khususnya dalam tempoh pasca PRU-13 ini.

“Tapi, saya akan cuba sedaya-upaya dengan rakan-rakan yang lain, dengan panduan daripada Perdana Menteri dan juga dengan naungan Tuanku Sultan sendiri; untuk mencari jalan supaya kita dapat mengukuhkan perpaduan masyarakat di Pahang ini.

“…  dan kita memandang ke hadapan, melipat buku, tinggalkan lipatan sejarah yang telah terjadi dan kita memandang ke hadapan untuk kita pertama sekali, mewujudkan perpaduan kaum, dan kedua, untuk kita mencari jalan bagaimana masyarakat di Pahang ini boleh ditingkatkan persefahaman mereka;

“… dan yang lebih penting dari itu saya ingin katakan, kita kena sesuaikan dengan keadaan politik semasa, itu saja,” katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, gerakan penerangan dan juga penyebaran maklumat yang lebih terkini akan digiatkan supaya dapat menyedarkan rakyat tentang ‘trend’ yang tidak sihat yang melanda ketika ini, yang jika tidak ditangani, boleh merosakkan keamanan negara.

MERBAHAYA BILA UNDI ATAS GARISAN PERKAUMAN

“Kalau kita katakan, mengundi atas dasar garisan perkauman, ini merbahaya kepada negeri dan negara. Kita tak nafikan bahawa DAP ada dapat sokongan orang Melayu, PAS dapat sokongan orang Cina.

“Tapi ‘trend’ ini jika berterusan, ia akan membawa kepada ketidak stabilan kepada negara. Tinggal lagi, apa yang telah berlaku kita tinggalkan, (sebaliknya) kita padang ke hadapan,” katanya lagi.

Pada majlis yang berlangsung di Balai Menghadap di sini, ia bermula dengan keberangkatan masuk KDYMM Sultan Pahang yang diiringi KDYTM Tengku Mahkota Pahang; KDYTM Tengku Puan Pahang; YAM Tengku Muda Pahang; serta anakanda-anakanda Baginda, tepat jam 5 petang.

Sejurus kemudian, Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang, Dato’ Sri Wan Wahid Wan Hassan, telah membacakan isi kandungan suratcara pelantikan Dato’ Sri DiRaja Adnan sebagai Menteri Besar.  

Selepas membacanya, suratcara berkenaan dititah-bawa dan dipersembahkan kepada KDYMM Sultan Pahang, yang kemudian mengurniakannya kepada Dato’ Sri DiRaja Adnan.

MAJLIS 15-MINIT PENUH MAKNA  

Ini disusuli dengan Dato’ Sri DiRaja Adnan membacakan surat ikrar taat-setia ke sisi KDYMM Tuanku Sultan, kemudian menandatanganinya, diikuti KDYTM Tengku Mahkota serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Sufian Ismail turut menandatanganinya sebagai saksi.

Mengakhiri majlis yang berlangsung kira-kira 15-minit yang penuh bemakna dan bersejarah itu ialah bacaan doa oleh Mufti Negeri, Sahibus Samahah, Dato’ Abdul Rahman Osman. – Khabar  
  

Sunday 5 May 2013

BN, 30 lwn pembangkang, 12


… Kerajaan Negeri terus kekal di tangan Barisan Nasional (BN) dengan kemenangan majoriti 2/3 

MENEMUI MEDIA PADA AWAL PAGI ISNIN...

 
DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, BENTONG – Barisan Nasional (BN) terus kekal menguasai negeri ini setelah memenangi 30 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) ini.

Di peringkat Parlimen pula, ia memenangi 9 daripada 14 kawasan Parlimen, yang turut menyumbang kepada kemenangan BN dengan 133 kerusi, ke atas puak-puak pembangkang di peringkat nasional.

Ketika diminta mengulas keputusan ini pada pertemuannya dengan pihak media awal pagi Isnin, 6 Mei di sini, Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Negeri, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob  telah menyatakan kesyukurannya dengan kejayaan BN Negeri tersebut.

Berikut ialah transkrip penuh apa yang telah beliau perkatakan;

“Kalau kita tengok, ini satu fenomena yang dialami di seluruh negara.

SETIA BERSAMA TUNGGU PENGUMUMAN...
 
PENGUNDI CINA TA BERI SOKONGAN KEPADA CALON BN

“Walau bagaimanapun, saya bersyukur kepada Allah dan berasa bertuah juga kerana Barisan Nasional masih lagi mendapat kepercayaan untuk mentadbir Malaysia, dan di negeri Pahang ini, kita masih menang 30 dari 42 kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Yang jelas nampaknya, calon-calon MCA tidak dapat kepercayaan pengundi-pengundi kerana mereka kalah di enam (6) kerusi. Dan, MIC juga mengalami kekalahan di Sabai, UMNO kalah di tiga (3) buah kerusi (dan, Gerakan kalah di dua (2) kerusi).

“Tapi yang jelas dapat kita lihat ialah, pengundi-pengundi Cina tidak memberikan sokongan kepada calon-calon Barisan Nasional dan pada ketika yang sama, pengundi-pengundi Cina boleh juga beri sokongan kepada calon-calon PAS.

“Dan ada juga orang Melayu yang menyokong calon DAP. Itu sebab calon-calon MCA kalah. Tapi, sebahagian besar daripada pengundi-pengundi Melayu masih lagi dengan Barisan Nasional.

“Apapun, kita tuggulah selanjutnya, bagaimana Kerajaan akan dibentuk dan sebagainya,” katanya. – Khabar      

Turun mengundi


... sempena hari pengundian bagi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) 

KAMI SUDAH LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB... Dato' Sri DiRaja Adnan dan Datin Sri DiRaja Junaini menggayakan 'pose' yang diminta oleh jurufoto, dengan menunjukkan jari telunjuk kiri masing-masing yang telah dicalit dakwat kekal. 

LIGHTER SIDE... Sebelum meninggalkan tempat pengundian, Dato' Sri DiRaja Adnan sempat membeli aiskrim yang dijual di situ. Yang turut kelihatan ialah penyokong PAS (yang berpakaian-T hijau) yang teruja dengan kehadiran serta 'sporting'nya Menteri Besar kita.  
  

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BENTONG, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyertai kira-kira 13 juta pengundi berdaftar di seluruh negara, menunaikan tanggungjawab mengundi pada petang ini, Ahad, 5 Mei di sini.

Beliau tiba di perkarangan sekolah ini diiringi isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim – yang punya pusat mengundi yang sama seperti Dato’ Sri DiRaja Adnan di sekolah ini; pada kira-kira 3 petang.

Sambil bersalaman dengan orangramai, Dato’ Sri DiRaja Adnan dan isteri melangkah masuk ke kawasan sekolah, mendaftar diri seterusnya mengundi dengan Dato’ Sri DiRaja Adnan mengundi di saluran 1 manakala Datin Sri DiRaja Junaini di saluran 2.

Setakat 3 petang ini, peratusan keluar mengundi di pusat mengundi di sekolah pinggir bandar Bentong ini ialah kira-kira 70 peratus, yang dijangka meningkat pada penghujung tempoh pengundian pada 5 petang ini.  

Sementara itu, Menteri Kesihatan yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Bentong ini, Dato’ Sri Liow Tiong Lai, tiba di pusat mengundi SEKOLAH KEBANGSAAN SULAIMAN di pusat bandar, kira-kira 8.30 pagi tadi untuk turut melaksanakan tanggungjawabnya.

DATO' SRI LIOW DAN ISTERI, MENGUNDI... 

ANAK GADIS, CURI TUMPUAN... Anak gadis Dato' Sri Liow - Cik Liow Jie Hui, kelihatan sedang menanti namanya didaftarkan untuk mengundi. Selain ayah dan ibunya, Dato' Sri Liow dan Datin Sri Lee; yang turut kelihatan ialah Encik Leong (di sebelah kanan Dato' Sri Liow). 
   

ISTERI DAN ANAK PEREMPUAN DATO’ SRI LIOW TURUT MENGUNDI

Selain diiringi isteri, Datin Sri Lee San Loo dan anak perempuan, Cik Liow Jie Hui; calon BN bagi Dewan Undangan Negeri kawasan Bilut, Encik Leong Kim Soon – yang juga bekas setiausaha politik Dato’ Sri Liow, turut kelihatan.

Dato’ Sri DiRaja Adnan dan Dato’ Sri Liow dijangka berada di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah dekat sini pada malam ini, untuk sama-sama menantikan keputusan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) khususnya bagi Parlimen Bentong serta DUN-DUN di bawahnya. – Khabar  

   

Saturday 4 May 2013

Perdana Menteri Minta Mandat



“Ingatlah, ingatlah, bahawa inilah kali pertama saya sebagai Perdana Menteri minta mandat daripada rakyat Malaysia. ‘The first time’.

“Dan saya nak meneruskan amanah rakyat. Tugas belum habis lagi. Tugas transformasi belum selesai lagi. Banyak yang kita nak lakukan”

… kata Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dalam ucapannya pada Majlis Pecah Tanah UiTM Kampus Raub – sehari sebelum hari pengundian bagi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) pada Ahad, 5 Mei.

APABILA PERDANA MENTERI BERUCAP... 


TAPAK, UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM) KAMPUS RAUB, MUKIM GALI, RAUB – Sehari sebelum hari pengundian pada esok, Ahad, 5 Mei bagi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13), Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak telah meminta rakyat memberikan mandat kepadanya untuk terus memimpin negara selepas PRU-13 ini. 

“Ingatlah, ingatlah, bahawa inilah kali pertama saya sebagai Perdana Menteri minta mandat daripada rakyat Malaysia. ‘The first time’.

“Dan saya nak meneruskan amanah rakyat. Tugas belum habis lagi. Tugas transformasi belum selesai lagi. Banyak yang kita nak lakukan”.

Ini dikatakan oleh Dato’ Sri Mohd Najib pada penghujung ucapan luar teks 21-minitnya sempena Majlis Pecah Tanah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub bernilai RM230 juta pada pagi Sabtu, 4 Mei di sini.

Pada penghujung ucapannya itu juga, Dato’ Sri Mohd Najib – Ahli Parlimen serta Ketua UMNO Bahagian Pekan, telah pertama kali memperkatakan tentang bekas Ketua Penerangan di bahagian itu – Dato’ Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, yang juga bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Pulau Manis, Pekan.

AKRABNYA PEMIMPIN KITA... Dato' Sri Mohd Najib kelihatan memperkatakan sesuatu kepada Dato' Sri DiRaja Adnan, sebaik-baik tiba di pentas utama. 


MOHD ARIFF SABRI @ SAKMONGKOL

Sejak tidak dicalonkan semula, Dato’ Mohd Ariff Sabri telah aktif menulis artikel-artikel dalam blognya – Sakmongkol AK47; yang sebahagian besarnya mencemuh Dato’ Sri Mohd Najib serta kepimpinannya.

Beliau kemudian menyertai DAP dan pada PRU-13 ini, telah dicalonkan untuk bertanding atas tiket parti cauvanis Cina itu di kawasan Parlimen Raub ini, menentang calon BN, Dato’ Hoh Khai Mun.    

“Saya tahu, parti DAP letak Ariff Sabri – ha biarlah sebut namanya, tak payah selindung-selindung. Sebab dia orang Pekan jadi kena sebut. Dia jadi wakil rakyat satu penggal,” kata Dato’ Sri Mohd Najib.

“Bila jadi wakil rakyat di Pekan, dia berbalah dengan semua orang – penghulu, ketua kampong, ketua cawangan. Orang tak hendak dia lepas satu penggal. Sebab tu dia kena ganti, tak dapat jadi wakil rakyat.

“Bila dia tak dapat jadi wakil rakyat, dia minta saya tolong dia. Dia minta Dato’ Nan tolong dia. Dah kita tolong dia, bukan tak tolong dia. Tapi akhirnya, sebab dia ni tidak ada prinsip, dia pula boleh masuk parti DAP, jadi calon di Raub ini.

ATAS JENTERA 'DRILLER'... Dato' Sri Mohd Najib mengangkat tangan dan memberi syarat bagus selepas menyempurnakan majlis pecah tanah itu. 


JANGAN SOKONG KERANA DIA ORANG MELAYU

“Inilah kisah Ariff Sabri yang sebenarnya. Jadi orang ni tak boleh pakai tuan-tuan dan puan-puan. Tak boleh pakai…,” kata Dato’ Sri Mohd Najib yang disusuli dengan sorakan dan tepukan oleh hadirin sekelian.

“Janganlah kita sokong dia kerana dia orang Melayu, jangan, jangan. Kita kena pilih. Ada orang Melayu yang baik, ada orang Melayu yang tak berapa… tak baik langsung. Bukan tak berapa baik, tak baik langsung.

“Macam orang Cina, orang Indialah; ada juga yang baik, ada yang tak baik. Lagi baik kita sokong calon Barisan Nasional, Dato’ Hoh Khai Mun mewakili MCA. MCA ni rakan kita. Bila memperjuangkan untuk memartabatkan Islam, MCA tak pernah halang. Yang menentang kita DAP.

“Tanya orang Pulau Pinang. Orang Melayu Pulau Pinang dah rasa terpinggir kerana DAP di Pulau Pinang. Mereka dah tolak DAP di Pulau Pinang. Takkan orang Melayu di Raub nak sokong DAP…,” katanya lagi diikuti tepukan oleh hadirin sekali lagi.

Pada awal ucapannya, Dato’ Sri Mohd Najib telah menyebut tentang manfaat besar yang bakal dinikmati oleh penduduk Raub dan persekitarannya, dengan terbina serta siapnya UiTM Kampus Raub ini pada tahun 2015 kelak.  

KHALAYAK RAUB PAGI SABTU... 


DASAR TRANSFORMASI NASIONAL BERJAYA

Sementelah pula dengan kemasukan kira-kira 3,000 pelajar serta para pensayarahnya, yang bakal mewujudkan kuasa beli yang besar hingga boleh menyemarakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi di sini.

“Ini akan mendorong pembangunan dan perkembangan bandar Raub dan seluruh kawasan Raub ini yang mana ini adalah jasa Kerajaan Barisan Nasional untuk masyarakat di sini,” katanya lagi.

“Percayalah, Dasar Transformasi Nasional kita memang sudah berjaya dan apatah lagi kalau kita memberi sokongan yang padu, mandat yang kukuh kepada Kerajaan Barisan Nasional; saya jamin, InsyaAllah, lima tahun akan datang lebih baik daripada empat tahun sebelum ini,” katanya lagi.

Dato’ Sri Mohd Najib seterusnya mengajak hadirin yang kira-kira 7,000 orang yang hadir pada majlis itu menjawab kepada beberapa soalan, yang menerima reaksi amat positif dan serentak daripada mereka.

“Soal yang harus kita tanya pada diri kita; Siapa yang akan menentukan keamanan kepada negara kita? BN ke Pakatan Rakyat?” yang dijawab hadirin sekelian, “BN…”

MAKCIK BERTUAH... Bertuahnya makcik ini, nombornya dicabut sebagai pemenang hadiah bertuah. 


BN JAMIN KEAMANAN, KESTABILAN DAN KEMAJUAN NEGARA

“Siapa yang akan dapat menjamin kestabilan negara kita? BN atau Pakatan Rakyat?” dijawab secara spontan oleh hadirin lagi, “BN…”  

“Siapa yang akan bawa kemajuan ke dalam negara kita?” sekali lagi jawab hadirin, “BN…”. “Siapa janji ditepati?” sekali lagi sorakan, “BN…”

 “Jelas, kalau itulah pilihan kita, maka Barisan Nasionallah yang kita akan sokong pada hari esok nanti” kata Dato’ Sri Mohd Najib menyimpulkan, yang serentak itu juga menerima tepukan para hadirin.

Dalam ucapannya juga, beliau membangkitkan tentang beberapa rakan karib atau ‘inner-circle’ kepada ketua pembangkang, Dato’ Sri Anwar Ibrahim, yang kemudian meninggalkan pemimpin itu apabila hilang kepercayaan kepadanya.

Antara yang disebutnya ialah Chandra Muzaffar yang pernah berkata betapa jika Dato’ Sri Anwar menjadi Perdana Menteri, akan berlaku malapetaka besar atau ‘unmitigated disaster’ kepada negara.

RAKAN-RAKAN BAIK, ‘INNER-CIRCLE’ TINGGALKAN ANWAR

Nama-nama lain yang disebutnya ialah ahli akademik, Dr Sidek Baba; pakar otak/urat saraf, Dr Halili Rahmat; bekas pegawai-pegawainya, Ezam Mohd Nor dan Anuar Shaari; peguam-peguam, Dato’ Zulkfli Nordin dan Yumtes Vijay; serta, Wee Choo Keong, Gobalakrishnan, dan Dato’ Nallakarrupan.

Yang turut hadir pada majlis pecah tanah ini selain Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob ialah Naib Canselor, UiTM, Dato’ Sri Prof Ir Sahol Hamid Abu Bakar; serta, calon-calon BN bagi Parlimen Raub, Dato’ Hoh Khai Mun;

Dan, kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Dong, Dato’ Shahiruddin Ab Moin; DUN kawasan Batu Talam, Dato’ Abdul Aziz Kiram; serta, DUN kawasan Teras, Puan Weng Lai Heng. – Khabar