Wednesday 7 November 2012

Penduduk Kuantan bodoh sebab tidak sokong puak anti-Lynas?


... ekoran iklan 'Adakah kamu bodoh?' dalam akhbar Cina ajak penduduk Kuantan berama-ramai ke Mahkamah Tinggi yang dengar permohonan puak-puak anti-Lynas berkaitan projek tersebut. Malangnya, kehadiran masih kecil.      

'HARASSMENT'... Beginikah caranya kamu - puak-puak anti-Lynas menangani masalah? Dengan mengganggu seorang ketua jabatan Kerajaan - Ketua Pengarah, AELB, Raja Abdul Aziz Raja Adanan, yang hanya menjalankan tugasnya secara profesional dan bertanggngjawab. 

Sedangkan kamu kata hendak mendapatkan keadilan lalu menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan. Maka, serahkanlah sepenuhnya kepada mahkamah untuk memutuskan.      


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Adakah penduduk Kuantan bodoh hanya kerana tidak bersama-sama puak-puak anti-Lynas dalam menyuarakan penentangan terhadap projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, dekat sini?

Jika menurut piawaian puak-puak anti-Lynas yang ‘minoriti lantang’ ini khususnya kumpulan yang menamakan diri sebagai Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), jawapan kepada persoalan ini sudah tentunyalah ya.

Ia ekoran ajakan mereka agar penduduk Kuantan yang ‘bijak’ supaya turun beramai-ramai pada Rabu, 10 Oktober lepas di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuantan untuk memperlihatkan tekad mereka menentang Lynas; tidak mendapat sambutan.

Yang hadir dikatakan, tidak sampaipun 200 orang.

(Mahkamah Tinggi Kuantan pada 10 Oktober itu, dijadual membuat keputusan mengenai permohonan puak-puak tersebut menarik balik pengeluaran Lesen Operasi Sementara (TOL) oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd bagi memulakan pengeluaran di LAMP, tetapi kemudian ditangguhkan ke 8 November).

TEMPAH IKLAN DALAM AKHBAR CINA LAGI

Apatah pula ajakan itu, turut dilakukan menerusi iklan dalam tiga akhbar ‘vernacular’ Cina tempatan edisi timur yang SMSL tempah dan disiarkan sehari sebelum itu, pada 9 Oktober.

Lalu diharap kehadiran penduduk Kuantan yang ramai kononnya untuk membuktikan kepada dunia menerusi media tentang kuatnya azam penduduk di sini untuk mempertahankan bumi mereka daripada kemusnahan. 

Iklan berbahasa Mandarin itu mempamerkan ayat-ayat yang serupa dalam ketiga-tiga akhbar berkenaan, menyoalkan tentang kebijaksanaan/kebodohan penduduk dengan tajuk besar; ‘Adakah kamu bodoh?’ disusuli empat (4) persoalan antaranya ialah;

‘Apabila Kerajaan China tidak berani untuk menerokai tanah jarang tetapi beberapa pihak berkuasa di Malaysia mengatakan bahawa sisa dari kilang tanah jarang Lynas boleh mudah dlupuskan. Kalau kamu percaya, maka kamu adalah bodoh!!’

‘Apabila New York Times menyiarkan artikel mengenai Lynas, baharu itu rakyat Malaysia sedar bahawa sebetulnya akan ada kilang pemprosesan logam tanah jarang terbesar di dunia di Gebeng. Kalau kamu percaya bahawa kementerian berkaitan melaksanakan tugasnya secara telus, maka kamu adalah bodoh!!’

TAK SAMPAIPUN 200 ORANG HADIR

Dan, ayat-ayat akhir pada iklan berkenaan menyebut; ‘Kami merayu kepada seluruh penduduk yang tidak berpuas hati, marah dan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi nyawa keluarga mereka, supaya mengorbankan dua (2) jam daripada masa mereka, dari 8 pagi hingga 10 pagi untuk berada di Mahkamah Tinggi Kuantan.

‘Ini ialah untuk membolehkan media tempatan dan antarabangsa menyaksikan tekad penduduk Kuantan yang tidak membiarkan tanahair yang cantik mereka ini dimusnahkan oleh Lynas’.

Gagalnya perhimpunan puak-puak anti-Lynas pada hari itu bukan setakat kerana kecilnya bilangan penduduk Kuantan yang hadir malah, selain media tempatan khususnya akhbar-akhbar ‘vernacular’ Cina berkenaan, tiadapun kelihatan satu organisasi media antarabangsa di sana.

Dengan gagalnya perhimpunan yang diharap-harapkan besar itu, bukankah bermakna ajakan mereka tidak disahut maka bodohlah penduduk Kuantan yang berjumlah kira-kira 500,000 orang berbanding mereka yang ‘bijak’, yang tidak sampaipun 200 orang?

Bahawa mereka sanggup menggunakan perkataan bodoh dalam iklan berkenaan yang turut dicetak dalam bentuk ‘flyers’ bagi edaran umum, jelas menunjukkan sikap dwi-standard – mereka boleh menggunakannya tetapi dianggap biadap jika pihak lain melafazkannnya sungguhpun secara tidak sengaja atau ‘slip-of-the-tongue’ sekalipun.

SEGALA PERSOALAN TELAHPUN DIJELASKAN 

Kepada persoalan-persoalan yang ditimbulkan, bukanlah payah untuk menjawabnya. Malah, telahpun diberikan penjelasan mengenainya oleh Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang mana AELB di bawahnya; mahupun syarikat yang terlibat, yakni Lynas Malaysia Sdn Bhd.

“Lynas datang ke Malaysia dengan satu matlamat iaitu melabur dalam industri logam tanah jarang.

“Kami (Lynas) tidak pilih untuk melabur di Australia ataupun China (yang Lynas telahpun memperolehi kelulusan untuk melabur di kedua-dua negara itu) pada asasnya kerana faktor ekonomi,” kata seorang pemimpin kanan syarikat itu berulang-ulang kali.

Faktor ekonomi yang dimaksudkan termasuklah ekoran berdaya-saingnya kos sumber manusia mahupun bahan-bahan mentah sokongan seperti air dan elektrik yang diperlukan, yang terdapat dengan banyak dan mudahnya di negara ini, bagi menjayakan pelaburan Lynas ini.   

Ini sekaligus menjawab persoalan SMSL tentang ketidak relaan negara China menerokai industri bahan mentah logam tanah jarang tersebut. Dan pula, bukanlah rahsia betapa negara China ialah pengeluar terbesar dengan memonopoli 97 peratus daripada keseluruhan pasaran logam tanah jarang dunia.

TAKLIMAT PROJEK KEPADA WAKIL RAKYAT SEJAK 2009 LAGI

Bodohkah penduduk Kuantan jika mereka percaya kepada penerangan dan penjelasan yang telahpun mereka terima sebagai hakikat nyata, mengenai faktor utama kehadiran Lynas di negara ini?

Begitu juga dengan persoalan tentang kononnya ketidak telusan Kerajaan dalam menerima kemasukan pelaburan Lynas ini. Rakyat dikatakan hanya mengetahui mengenainya setelah akhbar New York Times melaporkannya pada 8 Mac 2011.

Sedangkan, umum juga telah mengetahui betapa sejak Julai 2009 lagi, wakil-wakil rakyat dari kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang, telahpun sama-sama diberikan taklimat mengenai projek pemprosesan logam tanah jarang ini.

Taklimat pada 23 Julai melibatkan 24 orang wakil rakyat termasuklah keempat-empat wakil rakyat parti pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pahang yang meliputi masing-masing dua daripada PAS dan DAP, serta ahli-ahli parlimen pembangkang dari Indera Mahkota dan Hulu Langat.

Pada 29 Julai pula, atau enam hari selepas itu, satu lagi taklimat dianjurkan kali ini kepada 12 wakil rakyat serta kepimpinan PAS negeri dan daerah Kuantan ini yang turut termasuk wakil rakyat PAS dari kawasan Beserah, di mana Gebeng terletak yang akan terdirinya projek Lynas ini.   

TIADA YANG BERBANTAH SEMASA TAKLIMAT, TAPI KEMUDIAN…

Pada taklimat-taklimat ini, tiada pula yang berbantah-bantah mengenainya maka harapannya ialah, sebagai wakil rakyat, mereka juga dapat berperanan menerang dan menjelaskan tentang projek ini kepada rakyat yang mereka wakili.

Namun, segala-galanya senyap sehinggalah laporan berita separuh benar akhbar New York Times mengenai projek Lynas itu tersiar, kemudian diserabutkan pula oleh kejadian gempa bumi disusuli tsunami hingga meosakkan reaktor nuklear di Fukushima, Jepun tiga hari kemudian pada 11 Mac 2011.

Hanya selepas inilah, soal tentang projek Lynas heboh diperkatakan, yang dimanipulasikan secara bijak oleh pihak pembangkang hingga seolah-olah ada kebenaran kepada apa yang telah diuar-uar dan ditohmahkan.
  
Mengenai hal ini, Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pernah mengulas dengan berkata; “Rakyat berasa terancam kerana pembinaan kilang tersebut (LAMP) telah disensasikan oleh pembangkang apabila dikaitkan dengan kesan kebocoran radiasi yang berlaku di Fukishima, Jepun akibat kejadian gempa bumi dan tsunami’.  

Maka, dengan berlatar-belakangkan kepada iklan yang sama itu, bodohkah penduduk Kuantan jika mereka tidak dapat menerima persoalan SMSL mengenai ketidak-telusan Kerajaan dalam hal berkaitan pelaburan melibatkan Lynas ini?  

Jadi, siapakah yang bodoh sebenarnya? – Khabar