Monday, 31 December 2012

Ketepikan yang remeh-temeh, kata Menteri Besar dalam perutusan Tahun Baharu 2013;

... pastikan pentadbiran Kerajaan berjalan lancar, yang bolehkan rakyat terus berada dalam keadaan aman, tenteram dan makmur.


NOTA EDITOR;

Berikut disiarkan perutusan Tahun Baharu 2013 bermula Selasa, 1 Januari 2013 oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang dirakamkan pada penghujung persidangan media sempena Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang (HPC) Yayasan Pahang (YP) pada petang Jumaat, 28 Disember.


SELAMAT TAHUN BAHARU 2013... Tahun yang mencabar khususnya dengan Pilihanraya Umum ke-13 menanti. Kebetulan pula, tahunnya 2013 dan pilihanraya umum juga yang ke-13 selepas pilihanraya umum pertama tahun 1955 (sebelum Merdeka). 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN “Saya, bagi pihak Kerajaan Negeri, ucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2013 kepada semua rakyat negeri Pahang dan juga rakyat Malaysia.

“Kita berharap tahun 2013 ini, akan mendorong kita untuk bekerja lebih kuat dalam bidang masing-maing dan kesemuanya menjurus untuk memakmurkan negara.

“Saya juga menyeru supaya kita bersama-sama memberikan kerjasama kepada YAB Perdana Menteri, yang bertngkus-lumus untuk mewujudkan satu proses transformasi dalam bidang Kerajaan dan bidang ekonomi, untuk menguatkan negara kita menghadapi cabaran.

“Jika semua orang boleh memberi sokongan insyaAllah, dasar yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri ini akan memberikan manfaat kepada negara kita.

“Kita boleh bayangkan, dalam keadaan negara kita yang mempunyai satu sistem pentadbiran yang mantap dan pada ketika yang sama mempunyai kedudukan ekonomi yang juga kuat, kukuh;

LINGKUNGAN BERPENDAPATAN TINGGI

“Dan kita (akan) dapati rakyat berada dalam lingkungan mereka yang berpendapatan tinggi, sudah pastilah ia membawa erti bahawa negara kita makmur.

“Saya berharap, kalau boleh, kita pelbagai kaum di Pahang ini, ketepikanlah perkara remeh-temeh. Yang pentingnya, Kerajaan mesti berjalan, pentadbiran mesti lancar dan rakyat mesti berada dalam  keadaan aman, tenteram dan makmur”. – Khabar     
     

Sunday, 30 December 2012

Pelihara disiplin, saran Dato' Sri DiRaja Adnan kepada anggota RELA

… sementelah RELA, pasukan sukarela dengan keanggotaan yang semakin besar,
seramai 3.01 juta orang   

MENTERI BESAR DENGAN KHALAYAK RELA... 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob melahirkan kebimbangan tentang aspek disipilin dalam kalangan anggota-anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang semakin ramai, kira-kira 3.01 juta orang.

Sehubungan itu, beliau yang juga berpangkat Kolonel Kehormat dalam pasukan itu, menyarankan agar anggota-anggota RELA terus memelihara disiplin termasuk dalam aspek pakaian.

“Apabila kita mempunyai sedemikian rupa banyaknya (jumlah keanggotaan), ada satu perkara nanti yang mungkin timbul ialah tidak adanya disiplin sebab, kita adalah pasukan sukarelawan. Kita bukan anggota tentera atau polis.

“Kita ini di bawah pasukan sukarelawan. Kalau terlepas pandang, kita kurang disiplin;maka keberkesanan pasukan akan terjejas. Sebab itu saya berharap di negeri Pahang ini, walaupun kita ramai ahli tetapi kita mesti pastikan disiplin itu dijaga dengan rapi.

“Salah satu disiplin itu ialah (dalam aspek) ‘uniform’. Ini menampakkan disiplin,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada Program Perhimpunan RELA Negeri Pahang bersama Menteri Besar yang dihadiri kira-kira 3,000 anggota, petang Ahad, 30 Disember di sini.

ANGGOTA RELA DALAM KALANGAN ORANG ASLI... Berlilitan di kepala ini ialah anggota RELA Orang Asli kita, dari daerah Bera. 


ANGAN-ANGAN DATO’ SRI DIRAJA ADNAN TENTANG RELA

“Saya berangan-angan pada satu masa, bercita-cita untuk lihat, pasukan RELA di negeri Pahang khususnya, akan dilengkapkan dengan ‘uniform’ , pakaian seragam yang benar-benar seragam – dari baju, seluar, kasut, stoking, sampailah beret,” katanya lagi disusuli tepukan gemuruh tanda persetujuan oleh para hadirin.

Dalam pada itupun katanya, beliau difahamkan bahawa Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dan juga Menteri Dalam Negeri, Dato’ Sri Hishamuddin Hussein, telahpun mengambil maklum mengenainya.

“… dan saya difahamkan, ianya dalam proses pelaksanaan. Insya-Allah, kita tunggu sahajalah nanti,” katanya lagi.

Sebelum itu, beliau melahirkan rasa terkejutnya apabila mengetahui betapa ramainya keanggotaan RELA, 3.01 juta orang di seluruh negara yang daripadanya, 1.85 juta ialah Relawan, selebihnya 1.16 juta ialah Relawati.

Di Pahang sendiri katanya, terdapat 207,800 anggota RELA iaitu, 133,117 merupakan Relawan dan lagi 74,683 ialah Relawati.

MELIMPAH... Oleh kerana kehadiran yang begitu ramai hingga memenuhi setiap ruang, kerusi; sebahagiannya dengan rela hati duduk bersila di atas lantai di bahagian depan Dewan ini. Begitulah ramainya...  


WUJUDKAN KESEIMBANGAN KAUM DALAM RELA

“Hanya kita tengok sini dari segi kaum, nampaknya orang Melayu (lebih) ramai masuk Rela (iaitu kira-kira) 77.5 peratus. (Kira-kira) 12.6 peratus (ialah) Cina; Orang Asli, 4.8 peratus; India, 4.4 peratus; (dan) lain-lain kaum, 0.7 peratus.

“Saya berharap di negeri Pahang ini, kita dapat tingkatkan supaya lebih ramai lagi kaum-kaum yang lain (selain Melayu, agar dapat turut) menyertai RELA,” katanya.

“Saya ucapkan terima kasih banyak kepada pegawai dan anggota RELA di Pahang ini, yang telahpun memberikan khidmat-bakti, tidak jemu. Dan hari ini, kita pergi ke mana sahaja, mesti ada orang topi kuning (anggota RELA),” katanya lagi mengakhiri ucapan yang disusuli tepukan.

Pada persidangan media kemudian, Dato’ Sri DiRaja Adnan mengulas lanjut kepada ucapannya khususnya tentang keperluan anggota-anggota RELA untuk berdisiplin serta mempunyai pakaian seragam yang lengkap.

Selain itu beliau menambah, anggota-anggota RELA seharusnya didedahkan dengan latihan-latihan yan sesuai selain mengikuti ceramah-ceramah khususnya yang berkaitan dengan ancaman keselamatan.

MELAYANI MEDIA... 


TIGA (3) JUTA ANGGOTA BOLEH KUMPUL RM3 JUTA

Dengan keanggotaan yang ramai juga katanya, ia dapat menjadi landasan yang  baik ke arah menjayakan aspek-aspek kebajikan yang berkaitan dengan anggota-anggota RELA sendiri.    

“Kita bayang(lah), tiga (3) juta ahli RELA seluruh Malaysia. Katalah berlaku apa-apa hal (ke atas sesama anggota RELA yang memerlukan bantuan), satu (1) orang (keluar) belanja RM1 sahaja bagi (beri) kepada orang berkenaan, (sudahpun terkumpul) RM3 juta,” katanya.

Antara yang turut hadir pada petang hari minggu itu ialah Pengerusi, Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, Dato’ Mohd Sahfri Ab.Aziz; serta beberapa anggota Exco Kerajaan Negeri;

Wakil kepada Menteri Dalam Negeri, Dato’ Abdul Hamid Nazahar; Ketua Pengarah RELA, Dato’ Mustafa Ibrahim; dan, Pengarah RELA negeri, Encik Razali Ahmad. – Khabar  

Friday, 28 December 2012

Turunan hujan hingga 300 mm dalam tempoh 18 jam, selain sampah sarap menyumbat longkang;


... antara penyebab utama banjir kilat di bandar Kuantan pada Isnin, 24 Disember

# Turunan hingga 300mm itu sepatutnya ialah sukatan turunan hujan biasa untuk tempoh enam (6) bulan, tetapi turun dalam tempoh singkat 18 jam tersebut.

# Perdana Menteri secara dasar setuju beri peruntukan untuk atasinya, termasuk bagi projek membesarkan longkang dan ‘culvert’.    

MAJLIS ANJURAN YP PETANG JUMAAT, DI BENTONG... YP terus dengan komitmennya dalam meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan anak-anak kita, tanpa mengira latar ekonomi mahupun kaum. 


KOLEJ VOKASIONAL TENGKU AMPUAN AFZAN, BENTONG – Hujan terlalu lebat daripada biasa serta longgokan sampah sarap yang banyak hingga menyumbatkan longkang-longkang yang ada.

Inilah antara penyebab utama kepada berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan tumpuan dan komersil di bandar Kuantan, pada tengah hari hingga petang Isnin, 24 Disember lepas.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mendedahkan perkara ini sebagai reaksi kepada soalan wartawan pada persidangan media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang (HPC) Yayasan Pahang (YP) daerah Bentong petang Jumaat, 28 Disember, di sini.

“Banjir di Kuantan baru-baru ini, adalah kerana hujan terlalu lebat. Dalam tempoh tak sampai 18 jam, hujan yang turun adalah 300 mm. 300 mm ini adalah sukatan hujan biasa yang  turun (dalam tempoh) enam (6) bulan (tetapi) turun dalam tempoh 18 jam,” katanya.

Beliau juga berkata, “Banjir ini juga berlaku kerana longkang tersumbat. Bila kita pergi tengok, sayapun pergi tengok; longkang itu yang banyaknya… botol mineral, pembungkus makanan, kotak rokok, ha itu sahaja.

SULAM MENYULAM, ANTARA PELAJAR CEMERLANG SERTA IBUBAPA...


MPK AKUI SAMPAH IALAH ‘VOLUME’ PALING BESAR

“Dan memang diakui oleh pihak MPK (bahawa) sampah merupakan ‘volume’ yang paling besar, bukannya pasir ataupun tanah. Sampah sarap, yang kita sendiri (tahu) patut tak boleh ada dalam longkang”.

“Saya tak salah(kan) orangramai. Orangramai tak salah... Yang salahnya, kotak rokok nak masuk situ, apa nak buat?” katanya lagi penuh berkiasan, disusuli ketawa kecil para wartawan.

Ekoran itulah, pada mesyuarat yang dipanggilnya dengan jabatan-jabatan dan agensi-agensi Kerajaan terbabit dua hari lepas, beberapa keputusan dicapai termasuk usaha untuk membesarkan longkang dan ‘culvert’ yang ada.

Perdana Menteri pula katanya, telahpun pada dasarnya bersetuju untuk memberi peruntukan yang akan disalurkan menerusi jabatan-jabatan berkenaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Tinggal lagi, (sedang) tunggukan angka sahaja. Jabatan (yang berkenaan) sedang membuat ‘rough estimate’ (mengenainya nilai peruntukan yang diminta dan bakal disalurkan itu),” katanya lagi.

HARDEST-HIT AREA... Kompleks membeli-belah milik warganegara kita juga ini, ialah antara yang terjejas teruk dengan banjir kilat petang sehari menjelang Hari Natal itu. 

Secara mudah, salahkanlah sepenuh dan sebulat-bulatnya kepada Kerajaan. Tetapi, bukankah kita juga yang turut menjadi penyumbang kepada sampah sarap yang mengalir ke dalam longkang lalu menyumbatkannya?


YP BELANJA RM600 JUTA DALAM TEMPOH 12 TAHUN INI

Mengenai majlis yang dihadirinya itu, kata Menteri Besar, seramai 278 orang menerima HPC masing-masing iaitu 136 orang kerana kejayaan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 142 lagi dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Selain sijil, mereka juga masing-masing menerima sumbangan wang RM200 bagi PMR dan RM150 bagi UPSR.

Beliau yang juga Pengerusi YP berkata, sejak penubuhannya pada tahun 1983 hingga kini, RM750 juta telah YP belanjakan bagi pemberian insentif sepertimana anjuran majlis hari ini serta juga sumbangan biasiswa dan pinjaman untuk manfaat pelajar.

Daripada jumlah tersebut katanya, kira-kira RM600 juta dibelanjakan dalam tempoh 12 tahun terakhir ini, yang merupakan lonjakan yang besar daripada tempoh-tempoh sebelumnya.

Selain Pengurus Besar YP, Dato’ Saariah Saad; yang turut hadir ialah Pemangku Pengarah Pelajaran negeri, Encik Rosli Ismail; Pegawai Pelajaran daerah, Encik Liew Kim Joon; dan tuanrumah, Pengarah, Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan, Encik Hashim Putih. – Khabar   

Tuesday, 25 December 2012

Pewaris Che' Mok

… kucing-kucing peliharaan, yang sungguhpun bukan jenis Parsi mahupun Siam, tetapi tetap menghibur dan mententeramkan jiwa.

COMEL & CHE' LANG... Comel (di atas), dan Che' Lang. Serius, tanpa 'senyuman'. Namun, pewaris Che' Mok yang setia bersama tuannya.   


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Comel, Che’ Lang, Comel Jr (CJ), Tompok, Baby, Nyek Nyek, Junior Jr (JJ), Tompok Jr (TJ), Baby Jr (BJ) @ Cher-mare, Jingga, dan, Che’ Lang Jr (LJ). 

Inilah kesebelasan kucing peliharaan kediaman ini. Mereka ialah pewaris kepada ibu, nenek serta moyang mereka, Che’ Mok – yang kematiannya beberapa tahun lepas semasa penulis masih tinggal di kuarters kerajaan di JKR 582, Jalan Teluk Sisek, benar-benar menyedihkan.

Kematian Che’ Mok ialah akibat penyakit urat-saraf yang jarang dihidapi. Bermula dengan jalannya yang terhuyung-hayang akibat kaki belakangnya yang semakin lemah dari hari ke sehari.  

Doktor di klinik haiwan Jalan Beserah segera dirujuki dan setelah ujian dilakukan, mengesahkan tentang penyakit urat-saraf tersebut, sambil mengesyorkan ubat-ubatan sebagai proses rawatan.

Bagaimanapun, ia menjadi semakin buruk apabila kedua-dua kaki belakang tidak lagi dapat berfungsi menyebabkan Che’ Mok terpaksa mengheret kaki belakangnya itu apabila sahaja hendak berjalan menuju ke satu-satu lokasi.

Melihatkan keadaannya ketika itupun sudah menyayat hati.


COMEL JR (CJ) @ JUNIOR, TOMPOK & BABY... Sungguhpun jantan, CJ @ Junior yang berbadan besar, bersifat manja yang kerana itu turut dipanggil Che' Dan. Tompok yang juga berbadan besar pula, 'pemalu' tetapi amat pembela terhadap 'sepupu' serta anak-anak saudaranya. Baby pula, betina, yang sangat manja, yang sering merebahkan badan meminta kita mengusap dan membelainya.     


KEADAAN CHE’ MOK YANG MENYAYAT HATI

Dari bahagian kaki, melarat ke bahagian tengah badan, seterusnya ke bahagian kedua-dua kaki depan. Ketika ini, lagilah menyedih serta menyayatkan. Hurungan lalat ke bahagian mukanya, tidak lagi boleh dilakukan apa-apa oleh Che’ Mok.  

Makannya – makanan tin yang doktor haiwan bekalkan, perlu penulis suapkan dengan menggunakan alat ‘syringe’. Buang air besarnya perlu penulis lakukan dengan menekan-nekan bahagian perutnya, manakala buang air kecilnya, dengan menekan-nekan pundi kencingnya.

Dan ini – semuanya atas apa yang telah diajarkan oleh doktor haiwan berkenaan, berlarutan kira-kira dua (2) minggu. Setelah itu, dengan dua-tiga kali dibawa mendapat rawatan serta ‘warded’ di klinik doktor haiwan itu, Che’ Mok akhirnya meninggal dunia di klinik berkenaan.

Pada pagi keesokannya, doktor haiwan berkenaan menelefon dan memaklumkan, “Sorry to convey to you that Che’ Mok has died, believed to be last night. She was still alive when I went to the clinic in the evening. But this morning she has gone”.

Penulis masih ingat, ketika hadir ke klinik untuk ‘menuntut’ balik mayat Che’ Mok; setelah dibuka plastik putih penutupnya, kelihatan aman sekali kucing kesayangan penulis ini.


NYEK NYEK, JUNIOR JR (JJ) & TOMPOK JR (TJ)... Antara ketiga-tiga ini, Nyek Nyek hampir menyerupai neneknya, Che' Mok lebih kepada bulu lebat halusnya, tetapi bukan pada warnannya. Jinaknya, ya, seperti Che' Mok.


ANAK-ANAK CHE’ MOK ‘KEPINGA-PINGAAN’  

Usapan ke tubuhnya yang berbulu lebat halus warna putih-keperangan, berbelang-belang hitam pudar; terasa lembut sekali seolah-olah Che’ Mok sedang bertiduran sementara, bukan untuk selama-lamanya.

Tanpa disedari, bercucuran air mata. Begitulah juga dengan ahli-ahli keluarga penulis yang lain. Dalam kesedihan, mayat Che’ Mok yang dimuatkan oleh doktor berkenaan dalam kotak, dibawa pulang ke kuarters kediaman di Jalan Teluk Sisek itu.

Sekembalinya, mayat Che’ Mok penulis bawa untuk dilihat oleh anak-anaknya ketika itu, termasuklah Comel yang soalah-olah ‘kepinga-pingaan’. Penulis kemudian mencangkul- gali lubang di halaman selatan kuarters itu untuk pengkebumian.

Yang paling menyedihkan ialah ketika menurunkan mayat Che’ Mok ke dalam lubang   ini…

Dan, bersemadilah Che’ Mok di dalamnya yang selepas itu, apabila seringkali menimang anaknya, Comel, sebutan piawai penulis ialah; ‘Co…mel. Comel ni comel… tapi tak comel macam ‘tut, tut…’ (merujuk kepada Che’ Mok)’.

BABY JR (BJ), JINGGA & CHE' LANG JR (LJ)... Cicit-cicit Che' Mok. 


‘… TAPI TAK COMEL MACAM TUT, TUT…’

Dan hari ini, pewaris Che’ Mok, Comel masih bersama-sama penulis, begitu juga anaknya, Che’ Lang, yang penulis bawa berpindah-sama ke kediaman baharu ini sejak awal tahun ini.

Menurusi pewaris Che’ Mok inilah, lahirnya cucu – Che’ Lang sendiri; dan kemudian adik-beradiknya, Comel Jr (CJ) dan Tompok; serta, Nyek Nyek, Junior Jr (JJ), Tompok Jr (TJ) (anak-anak Comel daripada tiga kali kelahiran);

serta cicit – Baby, dan kemudian adik-beradiknya, Baby Jr (BJ) @ Cher-mare, Jingga, dan, Che’ Lang Jr (LJ) (anak-anak Che Lang daripada dua kali kelahiran).  
   
Dan kesebelasan mereka inilah, diketuai Comel; yang menjadi penyeri serta penenteram jiwa. Namun, bagaimana penyeri dan comelpun mereka di mata penulis, ‘… tapi tak comel macam tut, tut…’ – Khabar  

    

 

Sunday, 23 December 2012

Selamat Hari Natal

... kepada seluruh penganut agama Kristian di negara dan negeri ini yang bakal menyambutnya pada Selasa, 25 Disember. 

PERJALANAN YANG MENGESANKAN...

POKOK KRISMAS LILITAN KAWAT BERDURI... Persediaan menyambut Hari Natal di Bethlehem, sebuah bandar di Tebing Barat yang dikuasai regim Israel, kira-kira lapan (8) km dari Jerusalem. - Khabar  

Kerajaan prihatin - amalkan keterangkulan dengan ambil kira kebajikan semua golongan rakyat, kata Menteri Besar

Antara buktinya, penempatan semula penghuni flat PAKR Lapang Besar yang asalnya 128 orang, ke rumah teres Taman Kempadang Sejahtera, Kampung Pak Mahat yakni;

# Daripada menghuni flat sempit 2-bilik tidur, 1-tandas berharga RM25,000 yang dibayar secara sewa-beli;

ke rumah teres (landed property) selesa 3-bilik tidur, 2-tandas bernilai semasa RM170,000 secara percuma, dan diberi tunai RM10,000 pula lagi!  

# Penyewa gerai SUKMA milik Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di kawasan yang sama, diberikan pampasan RM31,000 seorang X 26 penyewa.

PENERIMA MANFAAT DARIPADA BERBILANG KAUM... Dato' Sri DiRaja Adnan yang diiringi Dato' Sri Muhammad Safian (kiri sekali), Dato' Ir Mohd Soffi, Dato' Sri Tiew dan Dato' Chang, sedang mendengar penjelasan oleh seorang penerima yang merupakan penyewa asal gerai SUKMA Lapang Besar. 


TAMAN KEMPADANG SEJAHTERA, KAMPUNG PAK MAHAT, KUANTAN – Hanya Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri yang prihatin, yang mampu melaksanakan usaha ke arah memelihara malah meningkatkan kebajikan rakyat daripada pelbagai golongan.

Ini sepertimana terbukti pada proses penempatan semula 128 penghuni asal flat Lapang Besar dekat sini – flat sempit 2-bilik tidur, 1-tandas berharga RM25,000 seunit yang dibayar secara sewa-beli;

Ke rumah teres (landed property) selesa seluas 1,400 kaki persegi (20’ X 70’), 3-bilik tidur, 2-tandas bernilai semasa RM170,000 sebuah yang diberikan secara percuma, serta diberikan tunai RM10,000 pula lagi.

Inilah yang ditekankan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada ucapan luar teks 20-minitnya pada Majlis Penyampaian Cek Bayaran Pampasan dan Kunci Rumah kepada Penyewa-beli Flat PAKR dan Penyewa Gerai SUKMA Lapang Besar pagi Ahad, 23 Disember, di taman perumahan baharu ini.

“Yang penting pada hari ini tuan-tuan dan puan-puan sekelian, Kerajaan (BN Negeri terus memperlihatkan sikap) prihatin. ‘Inclusivity’, ‘inclusiveness’, kita ambil kira semua orang,” katanya.

MENJENGOK KE DALAM RUMAH CONTOH... Inilah rupanya ruang tamu di dalam rumah teres setingkat berkenaan. Menyelesakan... Sungguhpun tidak besar tetapi, ia masih lebih selesa daripada sekadar ruang sempit sebuah flat. Lagipun, ukurannya ialah 20' X 70' yang merupakan lebih daripada memadai bagi sebuah rumah teres. 


PROSES BERMULA SEJAK 2009 LAGI

“Perjumpaan hari ini,” tegasnya, “… bukan sebab pilihanraya (umum ke-13) sudah (hampir) datang. Ini (proses penempatan semula tersebut), belum pilihanraya lagi kita sudah ambil tindakan (sejak tahun 2009)”.

Asalnya, menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, Kerajaan Negeri telah membina flat berkenaan pada tahun 1980, kemudian siap dan mula diduduki oleh kesemua 128 penghuni pada Jun 1983.

Merekapun katanya, membuat bayaran bulanan secara sewa-beli untuk harga RM25,000 seunit flat tersebut kepada Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Perumahan, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sejak Ogos 2009 pula, Bahagian Perumahan tersebut telah menjalankan soal-selidik ke atas kesemua penghuni ini mengenai usaha untuk menempatkan semula mereka ke luar dari flat berkenaan.

Ia ekoran usaha kata Menteri Besar lagi, untuk membangunkan tapak asal tersebut dengan projek-projek komersil yang sepadan dengan lokasi di dalam bandar serta nilai hartanah di kawasan berkenaan.

KEMUDAHAN SURAU YANG TURUT DISEDIAKAN... Pemaju turut membina surau berkapisiti 100-jemaah dalam satu-satu masa ini. Bersebelahan surau ini ialah tempat mengambil wudhu yang turut dibina ruang luas bagi kemudahan memandikan jenazah. 


‘TAK ADA KERAJAAN BUAT MACAM NI’

Sejak Ogos 2009 lagi menurutnya, beberapa siri perjumpaan telah diadakan termasuklah pada Mac 2011, serta pada tahun ini iaitu pada bulan September, dan dua (2) kali pada bulan Disember ini.

Daripada perjumpaan-perjumpaan dan perbincangan-perbincangan yang telah diadakan, persetujuan dicapai agar kesemua penghuni di flat PAKR Lapang Besar, dipindahkan ke tapak baharu seluas 8.1 hektar (20 ekar) di Taman Kempadang Sejahtera ini.

“Pemajunya (Taman Kempadang Sejahtera) ialah syarikat Jasa Imani Sdn Bhd – syarikat yang sama yang telah membangunkan East Coast Mall, Putra Square dan SASICC (Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, di kawasan persekitaran flat Lapang Besar berkenaan).

“Daripada 128 penghuni asal flat PAKR Lapang Besar ini; 75 daripadanya bersetuju dengan tawaran percuma rumah teres setingkat, 3-bilik tidur, 2-tandas dilengkapi kipas, lampu, kabinet dapur dan jeriji besi pintu depan, serta wang tunai RM10,000.

“Tak ada Kerajaan (selain Kerajaan BN Negeri yang) buat macam ni. Carilah kerajaan (lain) dalam dunia ini,” katanya.

UNTUNG DICARI, KEBAJIKAN RAKYAT TETAP DIJAGA

Selainnya menurut Menteri Besar, 48 orang memilih untuk sekadar menerima pampasan wang tunai RM90,000; tiga (3) sudah meninggal dunia yang kini melalui proses undang-undang bagi menentukan pewaris untuk diserahkan pampasan RM90,000; dan, dua (2) lagi sudah terbatal perjanjian sewa-beli mereka sejak dahulu.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan Negeri, Dato’ Ir Mohd Soffi Abdul Razak serta ahli-ahli jawatankuasanya atas kejayaan yang dicapai ini
   
Terima kash juga diucapkannya kepada Pengerusi Eksekutif, Jasa Imani Sdn Bhd, Dato’ Sri Tiew Kin Thin atas kerjasama baik yang telah diberikan kepada Kerajaan Negeri bagi menjayakan usaha penempatan semula tersebut.

Sambil tidak menafikan betapa, “… beliau (Dato’ Sri Tiew selaku ahli perniagaan, mesti) mementingkan keuntungan, tetapi beliau tidak lupa untuk menjaga kepentingan mereka yang terlibat.

“Kalau beliau untungpun, tak banyak (malah) mungkin beliau rugi di sini (dalam membangunkan Taman Kempadang Sejahtera ini serta menawarkannya secara percuma + pemberian pampasan-pampasan berkenaan). Kalaupun ada untung beliau dapat ambil, mungkin daripada pembinaan unit-unit baharu di kawasan yang ditinggalkan dahulu (di Lapang Besar) dan ini patut untuk beliau.

TAMBAH NILAI, DAN AMBIL PELUANG DARIPADANYA

“Sebab (dalam soal) pembangunan (hartanah) ini kita kena sesuai juga. Kalau kita terus adakan flat di kawasan Lapang Besar itu, maka ianya mungkin jadi satu perkara yang menyakitkan mata, dalam Bahasa Inggerisnya, ‘eyesore’ kepada orangramai.

“Biarlah di situ (di Lapang Besar dan sekitarnya) kita jadikan kawasan komersil . Yang pentingnya Dato’ Sri Tiew, dia ikut apa yang Kerajaan minta, untuk kita bantu kepada tuan-tuan dan puan-puan sekelian,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.  

Beliau seterusnya mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan janji-janji manis puak-puak pembangkang termasuklah untuk memberikan tanah kepada generasi kedua dan ketiga Felda, dan juga bekas-bekas kakitangan Felda dan anggota pasukan keselamatan negara.   

“Kita ambil contoh Felda, kita (kata pembangkang menerusi tawaran mega 3+6 mereka) bagi semua orang. Tak cukup tanah tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Itu sebab Dato’ Sri Najib Tun Razak, berpakat dengan semua orang, pergi ‘listing’kan Felda tu.

“Tambah nilai dan kita ambil kesempatan daripada tambah nilai itu. Kalau nenek saya ada tanah satu (1) ekar, cucu ada 10 orang, harga RM100,000, (maka) dapat RM10,000 seorang (cucu-cucu berkenaan).

JANJI PEMBANGKANG, JANJI ‘MAT JENIN’

“Tapi kalau cucu dia cerdik, ada tanah satu (1) ekar dia buat 10 rumah banglo, (kemudian) jual (pada harga) RM1 juta satu, ada (dapat) RM10 juta. Jadi, cucu 10 orang dapat RM1 juta seorang.

“Mana (lebih) cerdik? Dapat RM10,000 (seorang) ke, (atau) dapat RM1 juta (seorang)?

“Begitulah juga tanah, tanah Felda ini, yang tak cukup hendak diberi kepada anak-anak Felda ini… Tapi pembangkang kata, ohh, kita akan bagi semua. Ini semua janji Mat Jenin…” tempelaknya.

Selain penyerahan cek bayaran pampasan kepada penyewa beli/penghuni flat berkenaan, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyampaikan bayaran pampasan masing-masing RM90,000 kepada yang berkenaan serta juga masing-masing RM31,000 kepada 26 penyawa asal gerai SUKMA Lapang Besar berkenaan.

Antara yang turut hadir selain Dato’ Ir Mohd Soffi dan Dato’ Sri Tiew ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Yang Dipertua MPK, Dato’ Zulkifli Yaakob; Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Norhayad Ahmad; dan, wakil rakyat (BN – Teruntum), Dato’ Chang Hong Seong. – Khabar          

Saturday, 15 December 2012

Menyalahkan pihak yang disalah-laporkan?

... berkaitan isu pengeksportan sisa tanah jarang Lynas

SYUKUR ATAS KEPUTUSAN MAHKAMAH... Ini merupakan sebahagian daripada pekerja LAMP yang berada di Kompleks Mahkamah Kuantan pagi Khamis, 8 November bagi mengikuti perbicaraan mengenai nasib kilang mereka. 

Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Dato' Mariana Yahya kemudian memutuskan, kilang mereka boleh beroperasi setelah beliau menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) yang diberikan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) kepadanya sebelum ini; oleh tiga (3) penduduk Kuantan. 

Foto ini ialah sepertimana tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia keluaran Jumaat, 9 November. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Yang menyalah-lapor tentang isu pengeksportan produk daripada sisa tanah jarang Lynas ialah sebuah akhbar berbahasa Mandarin, Guang Ming Daily. Namun, yang dipersoal dan dipersalahkan ialah pihak yang disalah-laporkan – Lynas Malaysia Sdn Bhd.  

Bagaimanakah keadaan ‘terbalik-kot’ ini boleh berlaku, yang hanya menimbulkan persoalan, kot-kot ini merupakan satu lagi siri usaha terancang pihak-pihak tertentu demi  mensabotaj projek RM2,300 juta tersebut.

Isu terbaharu berkaitan projek yang dikemudikan anak Melayu – Dato’ Mashal Ahmad, Pengarah Urusan syarikat tersebut yang induknya, Lynas Corporation, disenaraikan di Pasaran Saham Australia (ASX); ialah ekoran berita yang disalah-lapor oleh Guang Ming Daily yang tersiar pada 8 Disember.

Sehari sebelumnya, Lynas Malaysia Sdn Bhd telah menjemput dan menerima 50 penduduk setempat termasuk media-massa yang berpejabat di Kuantan ini ke kilangnya, Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di kawasan perindustrian Gebeng.

Tujuan jemputan ialah bagi memenuhi tuntutan untuk terus ‘engage’ dengan penduduk setempat, sambil memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman dan menyentuh tanah jarang berkenaan yang telahpun dibawa ke LAMP dari lombongnya di Mount Weld, Perth, Australia.

'ENGAGING' PENDUDUK KUANTAN KHUSUSNYA DI PERSEKITARAN... 


GUANG MING SAHAJA YANG SILAP-LAPOR

Keesokannya, media-massa berkenaan telah melaporkannya tanpa apa-apa masalah atau kontroversi termasuk akhbar Utusan Malaysia, yang mana mengenai produk daripada sisa tersebut diberitakan;

“… Dato’ Mashal Ahmad menyatakan, tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh penduduk di bandar ini kerana operasi mereka selamat dan pihaknya telah membina sebuah loji untuk memproses sisa nadir bumi (tanah jarang) kepada produk sintetik sebelum dieksport ke luar negara.”

Tetapi, berbeza sekali dengan apa yang disiarkan pada muka depan akhbar berbahasa Mandarin tersebut dengan mengutip Dato’ Mashal kononnya berkata, di bawah undang-undang antarabangsa, sisa tanah jarang tidak boleh dieksport lalu memberi gambaran betapa sisa tersebut akan kekal berada di negara ini.

Ekoran itulah, pada 10 Disember, Lynas Malaysia Sdn Bhd mengeluarkan kenyataan akhbar menafikan laporan salah Guang Ming Daily tersebut dengan Dato’ Mashal menegaskan betapa dalam taklimat medianya pada Jumaat, 7 Disember, beliau menekankan sebanyak lima (5) kali bahawa sisa berkenaan akan dijadikan produk, untuk dieksport.

Kaedahnya ialah, dengan merendahkan kadar radiasi sisa tersebut khususnya sisa WLP (Water Leach Purification) hingga ke bawah 1 Becquerel/gram yang langsung tidak merbahaya, kemudian dijadikan produk ‘aggregate synthetic’ sebelum dijual ke luar negara.

LALUAN MASUK KE MCKIP... Terletak tidak sampaipun 1 kilometer dari LAMP, laluan masuk ke MCKIP dengan keluasan sebenar kira-kira 607.5 hektar, kelihatan hampir sedia untuk menerima kemasukan pelabur. 

Foto ini dirakam pada petang Jumaat, 14 Disember. Dengan siapnya 'start-up zone' (zon pemula) seluas kira-kira 20.25 hektar ini terlebih dahulu, maka bersedialah ia untuk dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak. 

MCKIP merupakan 'sister park' kepada China-Malaysia Qinzhou Industrial Park (CMQIP) yang seluas 5,467.5 hektar di Qinzhou, yang telah dilancarkan bersama oleh Dato' Sri Mohd Najib dan  Perdana Menteri China, Wen Jiabao pada 1 April lepas.


EMPAT MENTERI PERCAYA BULAT-BULAT LAPORAN SALAH?

Pada hari yang sama juga, keluar kenyataan daripada keempat-empat menteri – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, dan, Menteri Kesihatan mengenai hal sama.

Seperti menerima bulat-bulat apa yang telah disalah-laporkan oleh akhbar harian tersebut, keempat-empat menteri mengulangi kenyataan sama tentang keperluan segala sisa daripada projek berkenaan, termasuk produk yang dihasilkan daripadanya, dieksport ke luar negara.

Selepas inilah, sepertimana biasa amalan puak-puak pembangkang projek ini, telah segera ‘jump on the bandwagon’ serta ‘menangguk di air keruh’, lalu memaparkan keadaan seolah-olah Lynas Malaysia Sdn Bhd ialah pesalah yang seharusnya dihukum.

Semuanya kerana salah-lapor sebuah akhbar harian bernama Guang Ming Daily, yang menerusi wartawannya, telah turut melaporkan tentang kononnya Dato’ Mashal menunjukkan kemarahannya apabila diajukan soalan-soalan.

Dalam hal ini, mungkin pemilik akhbar harian ini, Media Chinese International Ltd – syarikat yang disenaraikan di kedua-dua Bursa Malaysia dan Pasaran Saham Hong Kong, menyemak kembali tahap profesionalisme wartawan akhbar berkenaan.

MENGAMATI MODEL MCKIP... Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob, sedang memerhatikan model MCKIP yang dipamerkan sempena majlis penerangan mengenainya anjuran Dewan Perniagaan Cina Pahang (DPCP) di Hotel Zenith, Kuantan pada 10 Oktober. 

Selain Tan Sri Ong Ka Ting - Utusan Khas Perdana Menteri ke China, yang juga Pengerusi, Majlis Perniagaan Malaysia-China; yang turut kelihatan ialah Pengerusi DPCP, Dato' Sri Lim Sing (kiri sekali); Menteri Kesihatan Dato' Sri Liow Tiong Lai; 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail; wakil rakyat (BN - Semambu), Dato' Pang Tsu Ming; serta, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Dato' Jebasingham Issace John (di belakang Dato' Sri DiRaja Adnan). 

Tidak mungkin MCKIP ini mahu dijayakan jika tidak kerana selamatnya persekitaran di situ, yang mana LAMP milik Lynas Malaysia Sdn Bhd yang ditohmahkan sebagai bahaya, hanya terletak tak sampaipun 1 kilometer darinya.   


AKHBAR-AKHBAR MILIK MEDIA CHINESE INTERNATIONAL LTD

Begitulah juga bagi syarikat ini mengambil perhatian terhadap etika kewartawanan sebenar akhbar-akhbar lain yang turut di bawah kendaliannya khususnya Sin Chew Daily, serta juga Nanyang Siang Pau dan China Press.

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tiong Hiew King, ialah juga Pengerusi Eksekutif, Kumpulan Rimbunan Hijau yang kini berusaha bersama-sama rakan-niaga yang lain, untuk membangunkan Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) yang tidak sampaipun 1 kilometer jaraknya dari LAMP.

Sebagaimana beliau mahu memastikan MCKIP berjaya apatah pula dengan kepentingan saham 30 peratus dalam konsortium Malaysia (yang akan bekerjasama dengan konsortium negara China), tentu juga beliau tidak ingin projek besar sebegini tergugat oleh salah-laporan akhbar-akhbar harian Cina miliknya.

Setakat ini bagaimanapun, segala laporan yang dihasilkan oleh akhbar-akhbar tersebut mengenai MCKIP adalah positif, berbanding asyik negatif sahaja yang dilaporkan mengenai LAMP yang jika ianya terlalu merbahaya, tidak mungkin bahayanya itu tidak mengancam MCKIP yang begitu berhampiran.

Penulis sendiri dapat menghidu sikap ‘dwi-piawai’ (double-standard) akhbar-akhbar harian Cina ini – sikap penentangan melampau terhadap LAMP (hinggakan ada dalam kalangan wartawannya turut berbaju-T warna hijau, menyertai Himpunan Hijau 2.0 menentang projek LAMP di Padang MPK4, dekat sini sebelum ini), dan terlalu penyayang terhadap MCKIP.

TAN SRI TIONG... 


BERSIKAP POSITIF, ATAUPUN BERKECUALI DALAM LAPORAN

Alangkah baik jika sikap itu sama sahaja – positif terhadap MCKIP yang sebahagian besarnya melibatkan usahawan Cina, juga positiflah atau paling tidakpun, berkecuali terhadap LAMP yang sebahagian besar kepimpinan dan pekerjanya ialah Melayu.

Apatah pula, kedua-dua projek besar ini mempuyai matlamat yang sama sahaja, demi keuntungan dan kepesatan ekonomi, ke arah  membangunkan negeri untuk kesejahteraan rakyat tak kira kaumlah juga. 

Maka, kepada Tan Sri Tiong – tokoh kelahiran Sarawak yang berjaya menerusi laluan ‘rags to riches’ ini, mohon perbetulkanlah perkara ini tanpa perlu beralasan atas nama kononnya kebebasan akhbar,  sebelum ia menjadi lebih parah. – Khabar   

Wednesday, 12 December 2012

Tangani pembohongan pembangkang

… Menteri Besar ulas ‘Tawaran 3+6’ oleh puak-puak pembangkang, sambil menegaskan tentang usaha berterusan Kerajaan yang sejak sekian lama, dalam menangani dan mengatasinya.  

'IN THE DRIVER'S SEAT'... Sepertimana lancarnya perjalanan bas RapidKuantan yang dipandu oleh Dato' Sri DiRaja Adnan ini, begitulah 'pemanduan' yang dilaksanakannya dalam memacu pembangunan negeri sekaligus menolak apa juga cubaan untuk menafikan kemajuan yang Pahang alami selama ini, dengan rakyatnya hidup sejahtera.

DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Tiadalah satupun yang baharu mengenai apa yang dikenali sebagai ‘Tawaran 3+6’ oleh puak-puak pembangkang, melainkan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Inilah yang cuba dikatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob,
mengenai ‘Tawaran 3+6’ puak-puak berkenaan dalam ucapan penangguhan 28-minitnya, bagi mesyuarat ketiga, penggal kelima, Dewan Undangan Negeri ke-12.

Persidangan oleh 42 orang wakil rakyat ini berlangsung selama enam (6) hari bermula Isnin, 3 Disember (rehat pada Sabtu, 8 Disember dan Ahad, 9 Disember) dan tamat petang Selasa, 11 Disember, di sini.

Persidangan ini juga dijangka yang terakhir sebelum menghadapi pembubaran, bagi memberi laluan kepada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) yang diura-ura diadakan pada awal tahun depan. Tempoh Parlimen sekarang akan berakhir pada 28 April tahun itu (2013).

‘Tawaran 3+6’ itu – kononnya ‘tawaran mega kepada rakyat Pahang’ jika mereka menang PRU-13 kelak, dikatakan diumumkan pada apa yang dikenali sebagai Himpunan Rakyat Pahang, Ahad, 9 Disember di Kerdau, Temerloh.


DALAM KAWALAN... Selain memiliki lesen memandu PSV untuk kenderaan darat bas, Dato' Sri DiRaja Adnan juga memiliki lesen penerbangan - Student's Pilot Licence (SPL) dengan lebih 500 jam penerbangan. Sepertimana juga pemanduan kenderaan darat seperti bas yang perlu sentiasa berhati-hati, apatah pula untuk menerbangkan helikopter.

Foto ini dirakam tatkala Dato' Sri DiRaja Adnan hendak menerbangkan pulang dari Padang Awam, Felda Kemasul ke Kuantan, setelah hadir mengiringi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Bicara Tokoh, Rabu, 5 Disember di sana. 

Kelihatan, Dato' Sri DiRaja Adnan sedang teliti dalam persediaan untuk menerbang-pandu helikopter berkenaan jenis AS 365 N3 Dauphin buatan syarikat Eurocopter, Perancis ini. Kelajuan penerbangan ialah 140 knots (259 km sejam) pada paras ketinggian 762 meter (2,500 kaki) di udara.  

Oleh kerana ketelitian dan sikap berhati-hati sebeginilah juga maka ekonomi negeri sentiasa kekal sihat dan cergas - tanpa perlupun untuk membuat 'Tawaran 3+6' (seolah-olah 'tagline' untuk jualan murah akhir tahun); lalu dapat terus memastikan 'Negeri Makmur, Rakyat Sejahtera'.

   
HADIR CUMA 5,200 ORANG TAPI KATA 60,000 ORANG

Mengenai bilangan kehadiran pada himpunan itu sendiri menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, “Hadirnya 5,200 (orang) lebih, kita bilang seorang-seorang. Budak kitapun ada juga pergi. Tapi keluar suratkhabar dia orang, keluar blog dia orang; 60,000. Amboi…

“… tak apalah, ‘super-impose’, tak ‘super-impose’ ke. Tapi, pembohongan kalau kita tak tangani, kitapun akan menghadapi masalah”.

Mengenai tawaran pertama berkaitan penyediaan lot-lot rumah kepada rakyat negeri ini kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, itulah yang Kerajaan Negeri usaha dan lakukan sekarang termasuk membina rumah-rumah bagi manfaat rakyat.

Berhubung dengan tawaran kedua untuk menyelesaikan permohonan tanah yang sudah sekian lama dipohon katanya, banyak yang telah Kerajaan Negeri selesaikan namun ada juga kekangan yang dihadapi di kawasan-kawasan tertentu.

“… ada tempat-tempat, kata(lah) Triang (sebagai) contoh, macam mana kita nak beri? Satu keluarga, katalah Lim; takkan satu keluarga Lim dapat 500 ekar. (Keluarga) Ho, dapat 300 ekar… Tak bolehlah.

LULUS 34,000 HEKTAR SEBAGAI TANAH ORANG ASLI

“Saya dah sebutkan daripada dulu lagi. Kalau misalannya untuk soal ‘bread and butter’,  cari makan (di atas tanah seluas) 4-5 ekar, 10 ekar, kita boleh bagi untuk hidup, jalanlah. Mana Kerajaan kacau. Kita tahu rakyatpun nak hidup, (rakyat di) Cameron Highlandspun nak hidup.

“Tapi, kalau (ada yang) datang dari Sitiawan, dari Singapura, pergi teroka bawa ‘bulldozer’, tak bolehlah… Tak boleh kita buat macam itu. Jadi ini (‘Tawaran 3+6’ tersebut) nak bagi (tanah kepada) semua. Tak cukup tanah,” katanya.

Berhubung dengan tawaran ketiga untuk mewartakan tanah komuniti Orang Asli, Dato’ Sri DiRaja Adnan bertanya balik, “Kita tak warta ke sekarang ini?” yang kemudian meminta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail menyebutkannya.

“Yang telah diwartakan (sebagai tanah Orang Asli ialah seluas) 4,200 lebih hektar. Yang telah diluluskan sebanyak lebih kurang, 34,000 hektar tetapi belum diwartakan,” bangun Dato’ Wan Rosdy memberikan angka-angka terbaharu ini.    

“Maknanya,” sambung Dato’ Sri DiRaja Adnan, “… dalam proses mewarta. Proses mewarta ini bukannya senang. Kalau zaman dahulu, sebelum kita keluar geran kekal itu, ‘final title’ itu, geran akhir; kena sukat, tarik batu pancang, tarik benang –,bukan senang. Kita wartakan, bukan tak wartakan…”

CUKAI PINTU TAK PERNAH NAIK SEJAK TAHUN…   

Tawaran keempat pula ialah untuk memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada lot perumahan atau bangunan sedangkan katanya, inilah yang dilaksanakan pada mesyuarat-mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Bagi tawaran kelima untuk menurunkan cukai pintu dengan mengambil kira peningkatan hasil hutan dan mineral pula beliau menegaskan betapa, tiada keperluan untuk itu sementelah ia (cukai pintu berkenaan) tidak pernahpun dinaikkan sejak 1986 lagi.

“Cukai pintu tak pernah naik (sejak 1986). Bila tak pernah naik tu, tak payahlah turun…,” tegasnya.

Kepada tawaran keenam berkaitan dengan sistem tender terbuka bagi semua hasil utama negeri sepertmana kononnya dilaksanakan di bawah Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri pimpinan bukan Barisan Nasional (BN), Dato’ Sri DiRaja Adnan mengambil contoh apa yang diamalkan oleh Yayasan Pahang (YP) yang turut dipengerusikannya.

“… misalannya konsesi balak Yayasan Pahang. Kita (keluarkan) tender bagi (memilih tawaran dengan nilai) yang tertinggi kecuali sekali kita bagi orang nombor dua (tertinggi nilai tawarannya) sebab orang yang dapat (tender) tertinggi ini, semua blok dia dapat.

NEGERI PAKATAN BANYAK JUGA MASALAH

“Kesian pula (yang lain), (maka) kita bagi (kepada pembida yang membuat nilai tawaran kedua tertinggi itu, tetapi perlu membayar bagi memperolehi konsesi balak berkenaan) dengan harga yang nombor satu (nilai tertinggi),” katanya lagi.

“Saya tak tahulah kalau di Pulau Pinang dan di Selangor, semua tender (dengan memberi kepada tawaran tertinggi). Saya tak tahulah,” katanya dan segera menambah;

“Tapi yang saya tahu, banyak juga masalah. Janji nak bagi air ‘free’lah, macam-macam; sampai orang buat tunjuk perasaan (menuntut pembekalan air secara percuma itu)”.

Masih mengenai ‘Tawaran 3+6’ yang berkaitan dengan tiga (3) tawaran yang ada kaitannya dengan Kerajaan Persekutuan pula, sekali lagi Dato’ Sri DiRaja Adnan mematahkannya dengan mudah.

Mengenai tawaran untuk menempatkan peserta Felda Plantation dalam kalangan generasi kedua dan ketiga Felda, anak-anak Pahang, bekas kakitangan Felda serta bekas-bekas anggota polis dan tentera katanya, ia tidak praktikal sementelah keluasan tanah milik Felda Plantation itu tidak mencukupi.

MINYAK KEPUNYAAN PETRONAS

Oleh sebab itulah katanya, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, memperkenalkan langkah terbaik dengan menyenaraikan ke Bursa Malaysia, Felda Global Venture Holdings Bhd (FGVH) yang boleh dimanfaati oleh para peneroka.

“Lepas tu nombor dua (2), (tawaran) memberikan royalti minyak sebanyak 20 peratus setahun, bukannya 5 peratus, kepada Kerajaan Pahang setelah pengeluaran minyak beroperasi kelak. Ini kenyataan bodoh YB Tuan Yang Dipertua!

“(Minyak) yang (ditemui di Blok PM307, kira-kira 86.39 batu nautika dari Kuantan) di Pahang ini, bukannya hasil petroleum kepunyaan Pahang. Ini kepunyaan Petronas. Di bawah undang-undang, Akta Petroleum 1974. Tak ada sebab. Tak ada jalan kita boleh dapat walaupun satu sen.

“Tapi disebabkan Kerajaan Persekutuan prihatin, Perdana Menteri dari Pahang, kemudian cukai yang dikutip di Pahangpun hampir RM1 bilion (menerusi RM793 juta cukai jualan dan cukai perkhidmatan, RM603 juta sahaja dari zon otomatif Peramu, Pekan); maka Kerajaan ambil keputusan untuk beri RM100 juta setahun mulai tahun 2014,” katanya.

“Kalau semua negeri yang ada hasil petroleum (di luar sempadan tiga (3) batu nautika perairan negeri masing-masing) minta 20 peratus, apa tinggal Kerajaan Persekutuan untuk diagih-agihkan untuk pembangunan?” beliau mempersoalkan.  

PAKATAN TAK TAWANPUN, KERAJAAN SUDAH BUAT

Mengenai tawaran ketiga yang berkaitan dengan Kerajaan Persekutuan itu juga terutamanya untuk memberi perhatian serius dalam meningkatkan kemudahan asas melibatkan jalan-jalan – Jerantut-Benta dan Jerantut-Maran katanya, ia memang dalam perancangan ke arah menyiapkan kerja-kerja menaikkan tarafnya.

“Itu kalau mereka menawan Kerajaan Persekutuan,” katanya. “Tak usah (hendak) tawanlah. Dia tak tawanpun kita sudah buat. (Tetapi) kalau dia tawan (dan) dia buat perkara yang dia buat (janjikan) ini, habis lingkup,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dengan tegas.

Sebelum itu, pada awal ucapan penangguhannya ini, beliau mengajak kesemua ahli Dewan/wakil rakyat supaya bersyukur kepada Allah SWT, “… kerana daripada 1.5 juta  rakyat negeri Pahang ini, kita 42 orang terpilih, termasuk Speaker seorang, 43 orang; dipilih untuk menganggotai Dewan yang paling tinggi sekali dalam negeri Pahang ini”.

Dewan Undangan Negeri ini pula katanya, merupakan badan perundangan yang membuat dan meluluskan undang-undang.

“Kita, badan perundangan yang tinggi sekali dan di atas puncak itu ialah, Raja Pemerintah, KDYMM Sultan Pahang yang mengetuai – dari segi Perlembagaan (Persekutuan), ketiga-tiga cabang sama ada perundangan, eksekutif dan juga kehakiman.

PULANGKANLAH KEPADA TAKDIR ALLAH

“Hanya Raja Pemerintah mewakilkan kepada ketiga-tiga ketua cabang ini untuk menjalankan urusan pentadbiran seharian. Badan perundangan, (diketuai oleh) Speaker; eksekutif,(oleh) Menteri Besar; dan kehakiman, (oleh) Hakim.

“Kalau di Pahang ini ialah Mahkamah Tinggi yang diketuai oleh Ketua Hakim Mahkamah Tinggi. Kalau di peringkat Malaysia , badan kehakimannya diketuai oleh Ketua Hakim Negara,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta ahli-ahli Dewan/wakil rakyat sekelian supaya menyerahkan kepada ketentuan Allah SWT mengenai nasib mereka sama ada terus kekal dalam jawatan tersebut atau tidak pada PRU-13 kelak.

“Proses di dunia ini memang sekali di atas, sekali di bawah. Sekali ke dalam, sekali ke luar. Sekali ke kiri, sekali ke kanan. Ini memang perkara biasa. Maka, terpulanglah kepada takdir Allah SWT yang menentukan.

“Yang pentingnya, kita telah sedaya-upaya dengan ikhlas, berkhidmat untuk rakyat, untuk negeri,” katanya yang sebelum itu, turut menyampaikan ucapan penggulungan 43-minitnya ke atas usul Bajet Negeri 2013 yang dibentangkannya pada Selasa, 4 Disember.

Selepas ucapan penangguhan ini, Speaker, Dato’ Sri Wan Razali Mahussin turut menyampaikan ucapan ringkas 10-minitnya, sebagai tanda berakhirnya persidangan sebelum PRU-13 itu. – Khabar