Tuesday, 29 July 2014

Mai pekena nasi kandaq beghatoq



… sanggup beratur hingga kira-kira sejam demi menikmati keenakan nasi kandar di gerai bawah pokok ketapang, berdepan bangunan Telekom Malaysia off Jalan Kampung Benggali

LAUK APA?... Inilah keadaan di gerai 'nasi kandaq beghatoq' ini. Lauk-lauk dan kuah sedang diceduk ke pinggan pelanggan. 
 

SEBUAH HOTEL BAJET, JALAN BAGAN LUAR, BUTTERWORTH – Sanggup beratur hingga sepanjang 50 meter dan menghabiskan masa hingga sejam sampai lenguh-lenguh kaki, demi menikmati  sebuah hidangan nasi kandar?

Apa pula hendak dikatakan apabila ada antara yang beratur ini ialah mereka yang sanggup pula bermotosikal kuasa besar dari Ipoh ke sini, semata-mata untuk menjamahnya?

“Sejam sahaja dari Ipoh ke sini. Kalau hari biasa, dengan kelajuan 160 km sejam, cuma 45 minit,” kata seorang anak muda yang beratur di depan penulis, ketika sama-sama menunggu giliran untuk memesan nasi kandar di sebuah gerai bawah pokok ketapang di depan bangunan Telekom Malaysia off Jalan Kampung Benggali di sini, malam Selasa, 29 Julai bersamaan 2 Syawal.

Dan menurut anak muda ini yang kemudian penulis diberitahunya ialah seorang guru di sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak, beliau dan rakan akan kembali ke Ipoh sebaik-baik selepas ‘pekena’ nasi kandar ini!

“Apa yang istimewa sangat nasi kandar ini?” tanya penulis kepada anak muda ini. “Tak taulah… Mungkin kari dan kuah-kuah lain yang di‘taruh atas’ nasi putih panas-panas,” jawabnya pula.

INI BAHARU SEPARUH DARIPADA PANJANGNYA BARISAN YANG BERATUR... Di luar sana dengan kenderaan baharu memasuki laluan ini, ialah Jalan Bagan Luar. 


RM12.60 UNTUK NASI PUTIH + SOTONG + IKAN MERAH

Sudah agak lama juga penulis dikhabarkan mengenai nasi kandar ini khususnya oleh Ketua UMNO Bahagian Bagan, Dato' Ir Shaik Hussein Mydin yang ditemui di Bandar DiRaja Pekan April lepas. Cuma pada malam Selasa, 29 Julai bersamaan hari kedua, Hari Raya Aidil Fitri 1435 H, penulis yang berkunjung ke sini bersama keluarga bagi menziarahi keluarga mertua di Kubang Semang dekat sini, berkesempatan untuk mencubanya.

Setibanya ke kawasan tapak gerai ini berjalan kaki dari hotel 2-bintang ini pada kira-kira 11.05 malam, barisan beratur sudahpun panjang. Ketika itu, gerai ini masih kosong menantikan ketibaan segala nasi dan lauk-pauk yang sepatutnya.

Hanya pada 11.20 malam, baharulah segalanya tiba dengan sebuah kereta tolak. Selepas itu baharulah perniagaan bermula maka pesanan seorang demi seorang diterima yang ada antaranya makan di kawasan yang disediakan atau ‘tapau’ termasuk untuk makan di bilik hotel seperti penulis.

Tiba sahaja giliran penulis pada kira-kira 12.10 tengah malam, Rabu, 30 Julai  (selepas kira-kira sejam beratur), maka pesanlah penulis untuk bungkus nasi putih penuh campur ikan merah, sotong dan sayur kobis, semuanya – RM12.60.

Kemudian, pesan dan beli pula sebungkus teh ais dari gerai bersebelahan, kembalilah penulis berjalan menyeberangi Jalan Bagan Luar untuk ke bilik hotel ini bagi sesi menikmati hidangan dengan sekeluarga empat beranak.

BERATUR MENUJU KEENAKAN... Terletak di bawah pokok ketapang, lauk-pauk bagi jualan di gerai ini dikatakan datangnya dari Restoran Nasi Kandar Jamal Mohamed terletak cuma kira-kira 60 meter dari tapak gerai ini. 

Gerai di bawah pokok ketapang ini dikatakan dibuka sebagai saluran tambahan kepada apa yang boleh turut diperolehi di restoran berkenaan (kiri sekali, kelihatan sebahagiannya dalam foto ini). 


ESOK KITA PEKENA LAGI

Sebaik-baik bungkusan dibuka, terasa segar dan aromanya nasi kandar ini yang hendak dicuba rasa buat pertama kalinya. Tanpa disedari, sebungkus nasi kandar dihabiskan dalam tempoh yang singkat sahaja. Masing-masing beri ‘thumbs-up’ kepada keenakannya.  

Dan esok, ahli keluarga penulis berpesan, kita ‘pekena’ lagi ya. “Boleh,” jawab penulis, “… tapi siapa pula yang sanggup pergi beratur?” penulis tanya semula yang tidak memperolehi apa-apa jawapan. 

RESTORAN NASI KANDAR JAMAL MOHAMED, JALAN KAMPUNG BENGGALI, BAGAN (BUTTERWORTH)... Kelihatan dalam foto ini, di hujung jalan sana. – Khabar

Monday, 28 July 2014

Selamat Hari Raya Puasa


… sambutan sederhana di seluruh negeri, tanpa Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar bagi menghormati kejadian malang menimpa pasawat MH17.

BAGINDA DIIRINGI PADUKA-PADUKA ANAKANDA, CUCUNDA SERTA MENANTU... KDYMM Sultan Pahang dengan KDYTM Tengku Mahkota Pahang di sisi, sedang mengangkat 'takbiratul-ihram', untuk menunaikan solat sunat 'tahiyatul masjid'. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Sambutan sederhana terasa di seluruh negeri, menyambut Hari Raya Aidil Fitri pada hari ini, Isnin, 28 Julai bersamaan 1 Syawal 1435H.

Satu ‘feature’ yang terasa ketiadaannya pada sambutan kali ini bagaimanapun, ialah penganjuran Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar, yang sepatutnya berlangsung antara 11 pagi dan 4 petang di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, dekat sini.

Ia ekoran pembatalannya seperti diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail pada Jumaat, 25 Julai menyusuli pengumuman yang sama oleh Kerajaan Persekutuan pada hari yang sama.

Pembatalan ialah sebagai tanda menghormati serta bersimpati dengan kejadian yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang mengorbankan kira-kira 300 penumpangnya di timur Ukraine baru-baru ini.

Sambutan pagi Syawal sepertimana sambutan-sambutan sebelum ini, bermula dengan solat sunat Aidil Fitri dengan umat Islam bertumpu ke masjid-masjid berdekatan bagi menunaikan solat sunat 2-rakaat itu.

BERSALAMAN DAN BERAMAH-MESRA... Kelihatan para jemaah tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan beramah-mesra dengan Baginda sebaik selesai solat sunat Aidil Fitri pagi Isnin ini. 

AMALAN KUNGJUNG-MENGUNJUNG TERUS BERLAKU

Di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, KDYMM Sultan Pahang diiringi KDYTM Tengku Mahkota Pahang, telah tiba kira-kira 8.40 pagi untuk bersama-sama jemaah lain mengerjakan solat tersebut.

Solat diimamkan oleh Encik Mohd Khalil Mohd Zari manakala khutbah pula dibacakan oleh Mufti Negeri, Sahibus Samahah Dato’ Sri Abdul Rahman Osman. Berlaku sedikit kesilapan yang bagaimanapun tidak membatalkan solat apabila Imam – setelah melafazkan takbir sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama, tidak pula menyebutkan takbir itu untuk rakaat kedua (sebanyak lima kali).

Selepas solat inilah, amalan kunjung-mengunjung terus berlaku yang memeriahkan suasana sambutan. 

  
SUMBANGAN DUIT RAYA... Baginda kelihatan sedang mencemar duli, menyampaikan sumbangan duit Raya kepada kanak-kanak yang beratur panjang untuk menerimanya.  

KUNJUNGAN PERIBADI DI KEDIAMAN MB... Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob yang kurang sihat pada sebelah pagi lalu tidak hadir ke solat sunat Aidil Fitri, kelihatan sedang berbual mesra dengan KDYTM Tengku Mahkota yang tiba sekeluarga ke kediaman beliau di Kubang Buaya untuk berHari Raya bersama-sama. 

Yang turut memerhatikan ialah KDYTM Tengku Puan Pahang dan isteri kepada Menteri Besar, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim. - Khabar  

Saturday, 26 July 2014

Daging batang pinang, 2 kilo!


… persiapan hari memasak sebelum 1 Syawal 1435H.

SESAK DI GERAI JUAL DAGING... 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Daging batang pinang 2 kilogram, sebagai bahan utama untuk memasak rendang daging pada Ahad, 27 Julai bersamaan 29 Ramadan 1435H, bagi menghadapi Hari Raya Aidil Fitri dijangka Isnin, 28 Julai atau 1 Syawal 1435 H.

Harga sekilogram ialah RM26 – harga sepertimana tahun lepas juga, X 2 kilogram = RM52, tetapi diberi diskaun RM2 maka bayarlah cuma RM50. Memadailah untuk sekeluarga empat beranak.

Seperti biasa, di mana lagi boleh diperolehi daging batang pinang ini jika tidak di Pasar Besar Kuantan, dekat sini. Begitu jugalah dengan bahan-bahan lain yang boleh diperolehi seperti santan, serai, lengkuas, halia, daun kunyit, cili kisar, bawang merah dan bawang kecil.

Kacang tanah juga boleh didapati di Pasar Besar Kuantan ini, untuk menu seterusnya bagi membuat kuah satay. Lemang serta ketupat nasi dan ketupat pulut pula, sudah sedia dimasak untuk dibeli sahaja.

Oleh kerana semua inilah maka Pasar Besar Kuantan terus menjadi tumpuan pada hari memasak, terutamanya sejak awal pagi hinggalah ke tengah hari, yang menyebabkan laluan kenderaan ke sini sesak manakala gerai-gerai jualan seperti daging dan santan dikerumuni orang bagi membelinya.

Dan, inilah antara ‘feel’ serta aura yang sememangnya hendak dirasai, sebagai ‘prelude’ kepada sambutan penuh meriah, Hari Raya Aidil Fitri pada esoknya, insyaAllah. 

SESAK KENDERAAN, MEMASUKI JALAN PASAR 2... 

TEMPAT LETAK KERETA BERSEBELAHAN PADANG MPK 2... Bagi mengelak terlibat dalam kesesakan kenderaan di Jalan Pasar 2, lebih baiklah meletakkan kenderaan di sini yang jaraknya tak sampaipun 200 meter dari Pasar Besar Kuantan.  

SESAK DI DEPAN GERAI JUAL DAGING DI TAPAK PASAR TANI DEPAN UTC... Ini pula kesesakan yang dapat dikesani di depan gerai jual daging di tapak pasar tani yang berdekatan dengan Pasar Besar Kuantan. 

Kelihatan, semuanya sabar menanti bagi mendapatkan pesanan daging segar masing-masing.  

SEDANG MENGGELEGAK DI ATAS DAPUR... Inilah rendang daging batang pinang, air tangan isteri dan kedua-dua anak dara penulis; sedang menggelegak di atas dapur. Jangan biar sampai hangit... – Khabar  

Wednesday, 23 July 2014

'Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan?'



… ayat dalam al-Quran, Surah Ar-Rahman yang diulang 31 kali daripada 78 ayat kesemuanya.

Surah dibacakan pada solat sunat terawih lapan rakaat dan ditazkirahkan mengenainya pada malam Rabu, 23 Julai bersamaan 26 Ramadan di Surau Al-Muhajirin.

TAZKIRAH MALAM 26 RAMADAN... Encik Dahlan dalam tazkirahnya yang berlangsung kira-kira 25-minit, yang turut menyebut tentang Surah Ar-Rahman.


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – ‘Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan?’, atau sebutannya, ‘Fabi-ayyi Aala Irobbikuma Tukazziban’.   

Inilah ayat yang diulang-ulang sebanyak 31 kali daripada 78 ayat kesemuanya, dalam Surah Ar-Rahman atau Yang Maha Pemurah, dan dibacakan pada solat sunat terawih lapan rakaat, turut ditazkirahkan mengenainya pada malam Rabu, 23 Julai di Surau Al-Muhajirin di sini.

Kedua-dua solat dan tazkirah diimam dan dikendalikan oleh tetamu dari seberang, Encik Dahlan, yang merupakan pengasas Maahad Tafiz al-Quran As-Sudaniyyah, Kota Medan, Medan, Indonesia.

Sudah sekian lama juga penulis terkesan dengan surah ini, dan mendengar ia dibacakan sekali lagi pada malam Rabu ini, mendorong semakan lebih khusus terhadapnya seterusnya kepada tulisan ini.

Berikut ialah terjemahan kepada sebahagian daripada surah tersebut (Ayat 1 hingga 16);

‘Yang maha pemurah. Dialah yang telah mengajarkan al-Quran. Dialah yang telah menciptakan manusia. Dialah yang telah membolehkan manusia pandai berbicara. Matahari dan bulan beredar menurut peraturan dan perhitungan yang tertentu.

ALLAH MENJADIKAN TUMBUH-TUMBUHAN YANG MELATA

‘Dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu masing-masing tunduk kepadaNya. Dan langit telah ditinggikanNya serta Dia meletakkan neraca (mengadakan undang-undang dan peraturan dengan adil).

‘Supaya kamu tidak melampaui batas dalam timbangan itu. Dan tegakkanlah cara menimbang itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi timbangan itu. Dan bumi pula telah dijadikan rata untuk kesenangan makhluk-makhlukNya.

‘Di bumi itu terdapat pelbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada kelopak-kelopak mayang. Demikian juga, terdapat biji-bijian yang berkulit dan bunga-bungaan yang harum.       

‘Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan?

‘Dia menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat kering seperti tembikar. Dan Dia telah menciptakan jin daripada lidah nyalaan api (yang tidak berasap).

‘Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan?’

AMBIL PENGAJARAN DARIPADA SURAH AR-RAHMAN

Apakah pengajaran yang dapat dikutip daripada surah ini? Antaranya ialah, Allah telah memberikan segala nikmat kebaikan dalam kehidupan kita yang sementara di dunia ini, maka, wajarkah kita berbuat perkara-perkara yang tidak diredhaiNya?

Sebab itulah juga, penulis bersyukur kerana dapat melakukan ibadah pada malam ini – sepertimana juga sebelum-sebelumnya, dalam surau yang berhawa dingin yang sungguh menyelesakan.

Begitulah juga agaknya dengan jemaah-jemaah lain surau ini. Maka kerana itulah agaknya juga, apabila Pengerusi surau, Dato’ Che Wan Khalid Mohammad mengumumkan empat malam lepas tentang kutipan sumbangan bagi pembesaran fasa 1 surau ini – memerlukan lagi RM90,000 untuk mencukupkan keperluan RM420,000; reaksi jemaah adalah  menggalakkan.

Dan dapat dilihat akan kebanggaan Dato’ Che Wan Khalid ketika membuat pengumuman sekali lagi sebelum solat Isya’ disusuli terawih malam ini, betapa katanya, kutipan daripada jemaah dalam tempoh empat hari ini sahaja sudah lebih RM80,000!



‘Maha Suci dan Maha Agung nama Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kurniaan.’ - ayat terakhir dan ayat ke-78 Surah Ar-Rahman ini. – Khabar