Friday, 30 January 2015

KDYMM Sultan Pahang berangkat lagi ke Cameron Highlands, tinjau kemajuan projek tebatan banjir Sungai Bertam


… keberangkatan kedua dalam tempoh kira-kira dua (2) bulan selepas 19 November, menunjukkan ambil beratnya Baginda tentang usaha pemulihan tanahtinggi ini

PERSEMBAHAN TAKLIMAT 'ON-SITE'... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Ir Mohd Soffi (dua dari kiri).

PUSAT GERAKAN RELA DAN BOMBA SUKARELA, LEMBAH BERTAM, CAMERON HIGHLANDS – KDYMM Sultan Pahang telah berkenan berangkat mencemar duli, ke daerah ini bagi meninjau kemajuan terkini mengenai projek tebatan banjir di Lembah Berta mini.

Keberangkatan kali kedua petang Jumaat, 30 Januari – tidak sampaipun 80 hari selepas keberangkatan pada Rabu, 19 November lepas; menunjukkan lagi sikap ambil beratnya Baginda terhadap usaha-usaha pemulihan kawasan tanahttinggi ini.

Keberangkatan Baginda dengan helikopter dari Kuala Lumpur di padang Kelab Golf Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata dekat sini, telah disambut oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Baginda kemudian – dengan diiringi oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan, terus ke sini bagi meninjau serta dipersembahkan taklimat mengenai projek tebatan banjir berkenaan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mengenai taklimat tersebut, BERNAMA melaporkan bahawa Baginda telah menzahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan pihak berkenaan, dalam menangani usaha pemulihan selepas kejadian banjir lumpur yang dialami di Lembah Bertam ini, November lepas.

SANA TU... KDYMM Tuanku kelihatan, sedang menunjukkan ke satu arah sambil menitahkan sesuatu yang berkaitan dengan kerja-kerja tebatan banjir Sungai Bertam ini.


TINDAKAN TIDAK SEPERTI YANG DIHARAPKAN

Menurut laporan berita itu, Baginda telah menyifatkan tindakan yang diambil sebagai tidak efisien dan tidak lancar, tidak sepertimana yang diharap-harapkan.

“Cameron Highlands adalah sebuah pusat peranginan yang unggul. Jadi, adalah penting untuk kita mengekalkan kecantikannya,” titah Baginda semasa sesi taklimat tersebut.

Lanjutan itu, Baginda turut menitahkan agar semua agensi terlibat, perlu bekerjasama dalam menghadapi serta menangani krisis atau bencana seperti banjir lumpur yang dialami.

“Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Pahang bahawa, Kerajaan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan mereka. Kita semua sentiasa bekerja sebagai satu pasukan.

“Jadi saya harap, pihak yang berkenaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya,”
titah Baginda lagi.

Antara yang turut hadir ialah Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, dan, Dato’ Shafik Fauzan Sharif; serta, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato’ Ab Rahman Hamzah. 

BERSEDIA UNTUK MENERIMA PERSEMBAHAN TAKLIMAT... – BERNAMA/Khabar

Thursday, 29 January 2015

Anggaran kerugian RM610 juta akibat banjir di Pahang!



… yang daripadanya, RM348.5 juta sahaja babitkan prasarana asas – jalan dan jambatan; RM65.15 juta pula babitkan pertanian.

PERSIDANGAN MEDIA BERSAMA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memperkatakan sesuatu sambil Dato' Sri Ismail; serta Dato' Sri Muhammad Safian (kiri sekali) dan Dato' Mohd Arif memerhatikan.
 

BILIK GERAKAN NEGERI, TINGKAT 7, BLOK B, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kira-kira RM610 juta! Inilah anggaran kerugian akibat banjir yang dialami di seluruh negeri ini akhir tahun lepas.

Yang daripadanya, kerugian membabitkan prasarana asas seperti jalan dan jambatan ialah kira-kira RM348.5 juta; manakala kerugian babitkan aset, prasarana serta hasil berkaitan pertanian ialah kira-kira RM65.15 juta.

Dan daripada 65.15 juta ini pula, kerugian terbesar ialah dari ternakan, kira-kira RM14.239 juta; disusuli akuakultur termasuk penternakan ikan dalam sangkar, kira-kira RM12.351 juta; dan buah-buahan, kira-kira RM9 juta.

Angka-angka anggaran ini dimaklumkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada persidangan media tengah hari Khamis, 29 Januari di sini.

Mereka sebelum itu, telah mempengerusikan bersama Mesyuarat Penyelarasan Pasca Banjir Negeri Pahang, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; dan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Mohd Arif Ab Rahman.

MENYEMAK BUTIRAN... Bersandarkan butiran dan maklumat yang ada, Dato' Sri DiRaja Adnan mengumumkannya dengan Dato' Sri Ismail di sisinya. 


219 RUMAH MUSNAH PERLU DIBINA BAHARU SEMULA

Mesyuarat bermula pada 10 pagi dan berakhir kira-kira satu-setengah jam kemudian.  

“Yang saya nak sebut ini ialah, kita ada 219 buah rumah yang hilang, yang terpaksa dibuat baharu dan banyak juga rumah yang perlu dibuat kerja-kerja pembaikan.

“Ini kita akan lakukan juga dengan kadar yang segera, menggunakan dana dari Kerajaan Persekutuan, juga dana dari Tabung Bencana Negeri,” sepertimana kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media ini.  

Kesemua 219 rumah yang rosak teruk dan perlu dibina semula ini menurutnya, terletak di tujuh (7) daerah terbabit banjir iaitu di Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Rompin, dan, Kuantan.

Mengenai kos katanya, ia dianggarkan antara RM40,000 dan RM45,000 sebuah sepertimana spesifikasi sebuah rumah baharu yang dicadangkan oleh Kementerian Kerjaraya.

ALL SMILE... Tentu sesuatu yang menarik yang berlaku sehingga Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Ismail - kedua-duanya tokoh negeri, seorang wakili negeri dan seorang lagi persekutuan; tersenyum lebar. 


DAPAT HABUAN TUNAI RM10,000?

Dan pula katanya, ada kemungkinan Kerajaan mendapatkan perkhidmatan para pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Kor Jurutera DiRaja, untuk membantu dalam pembinaan semula rumah-rumah baharu ini.

Tambahan kepada itu ialah, “… seperti yang kita bincang dalam mesyuarat tadi, Dato’ Sri Ismail Sabri ada menyebutkan, kita akan memberi bantuan mengikut dua (2) kategori; yang tak teruk dengan yang teruk.

“Yang teruk itu, mungkin sampai mencapai RM10,000 kita beri. Yang kurang teruk itu, mungkinlah kadar RM4, RM5,000 (untuk) sebuah rumah,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Beliau turut ditanya tentang prestasi jentera Kerajaan dalam menangani secara berkesan, kejadian bencana banjir kali ini yang menurutnya, “Kita dapati, mutu kerja atau prestasi, atau keberkesanan operasi banjir ini sangat memberangsangkanlah”.

Sementelah pula katanya, Kerajaan Negeri turut mendapat penghargaan daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri serta juga Ketua Setiausaha Negara (KSN);

PENGHARGAAN DARAIPADA PM & TPM

“… memberitahu bahawa kita (Kerajaan Negeri serta jabatan-jabatan dan agensi-agensi berkenaan) telah dapat mengendalikan bencana banjir dengan baik sekali.

“Sebab kita belajar dah banyak tahun. Tiap-tiap tahun kena banjir jadi setiap tahun itu kita menambah baik perkhidmatan kita, kerja kita,” katanya. – Khabar

Tuesday, 27 January 2015

TOL bagi tanah diteroka haram untuk penanam sayur kecil-kecilan Cameron Highlands



“Penerokaan tanah haram secara besar-besaran kita tak boleh biarkan.

“Tapi, penerokaan tanah haram semata-mata kita tahu, adalah benar-benar untuk menjamin, menyara keluarga; ini kerajaan boleh pertimbangkon TOL, permit dan sebagainya,” kata Menteri Besar.

PERISTIWA MANIS PAGI SELASA... Para penerima kelihatan begitu gembira menerima apa yang dihajati selama ini daripada Menteri Besar sendiri.
 

DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, MARAN – Dalam pada giat membanteras kegiatan penerokaan tanah secara haram di Cameron Highllands, tanah-tanah yang ditinggalkan akan dipulihkan dengan pelbagai cara termasuk penanaman semula hutan;

Manakala, mana-mana tapak yang sesuai pula akan dikeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada penanam-penanam sayur kecil-kecilan untuk mengerjakannya sebagai mata pencarian keluarga.        

Inilah antara keputusan dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Banjir Kilat dan Tanah Runtuh Cameron Highlands dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob petang semalam, Isnin, 26 Januari di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Tan Sri Muhyiddin ada menyebut mengenainya pada persidangan medianya semalam, dan Dato’ Sri DiRaja Adnan diminta mengulas lanjut pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik dan Notis 5A pagi Selasa, 27 Januari di sini.  

Nyata betapa keputusan yang diambil ini adalah berteraskan sikap mengambil beratnya Kerajaan Negeri dan Persekutuan terhadap nasib penanam-penanam sayur kecil-kecilan di Cameron Highlands, yang menghadapi kesukaran hidup seharian akibat kerja-kerja penguatkuasaan ketika ini.  

DALAM PENUH KEBANGGAAN DAN KESYUKURAN... Semoga penerima-penerima suratan hakmilik tanah ini dapat menginsafi dan bersyukur, serta memelihara pemilikan dokumen penting ini dengan sewajar-wajarnya. 
 

KECIL-KECILAN = 2 HEKTAR

“Dalam mesyuarat tersebut, isu-isu penguatkuasaan, isu-isu untuk memulihkan semula Cameron Highlands telah dibincangkan dan Kerajaan Negeri telah membawa satu perkara iaitu;

“… kita berpendapat perlunya penanam-penanam sayur yang bergerak secara kecil-kecilan untuk menyara keluarga, diberikan pertimbangan dan ini telah dipersetujui oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan juga mesyuarat.

“Ini bermakna, penanam-penanam sayur yang selama ini mengerjakan tanah semata-mata untuk menyara keluarga (seluas) dua (2) hektar sebagai contoh; kita akan pertimbangkan selepas ini.
              
“Kita akan kenalpasti lokasi-lokasi sesuai untuk kita pertimbangkan Lesen Pendudukan Sementara kepada petani-petani, penanam-penanam sayur kategori ini,” katanya sambil memberitahu, TOL diberhentikan pengeluarannya di kawasan tanahtinggi itu sejak tahun 2000 lagi iaitu setahun selepas beliau menjadi Menteri Besar.

“Dan perkara ini saya selalu sebutkan dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya, dan menambah kata betapa;

MENEMUI MEDIA... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan; yang diapit kanan-kiri oleh Dato' Sri Ismail dan Dato' Shahaniza ialah, Encik Mohamad Ariffin, Dato' Wan Salman, Cik Nurhidayah, dan, Dato' Syed Ahmad Fuad (kiri sekali).  


TAK BOLEH BIARKAN PENEROKAAN TANAH HARAM BESAR-BESARAN

“Penerokaan tanah haram secara besar-besaran kita tak boleh biarkan. Tapi, penerokaan tanah haram semata-mata kita tahu, adalah benar-benar untuk menjamin, menyara keluarga; ini kerajaan boleh pertimbangkon TOL, permit dan sebagainya”.

Pun begitu beliau menegaskan betapa, “… bukan semua kawasan yang telah dikuatkuasakan itu akan diberi kepada orang (penanam sayur secara kecil-kecilan). Mana yang sesuai tanam semula pokok, (akan di)tanam semula pokok. Mana yang sesuai untuk ‘landscaping’, (akan dibuat semula) ‘landscaping’.

Lanjutan kepada persetujuan tersebut katanya, Kerajaan Negeri telah ditugaskan untuk mengenal pasti penanam-penanam sayur kecil-kecilan berkenaan yang menurutnya, ada antara tanah berkenaan telah diusahakan sejak zaman datuknya lagi.

“… sejak zaman datuk dia, bapak dia lagi – 60 tahun, 45 tahun, 30 tahun yang lalu. Kita akan senaraikan dan kita akan perakukan untuk dikeluarkan TOL atas tanah yang sesuai, yang telah diteroka secara haram selama ini,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Selain itu katanya, tanah-tanah yang diterokai haram dan telah dilakukan kerja-kerja penguatkuasaan, akan ditanam semula dengan hutan oleh Jabatan Perhutanan serta tindakan-tindakan lain demi memulihkannya agar Cameron Highlands kembali menjadi tempat yang menarik untuk dilawati oleh para pelancong.    

BERPADALAH DENGAN YANG ASAS SAHAJA  

Menjawab soalan wartawan tentang tempoh bagi mengenal pasti penanam-penanam sayur kecil-kecilan ini katanya, Kerajaan Negeri telah memberi jaminan untuk menyelesaikannya dalam sebulan lebih ini.  

“… YAB Timbalan Perdana Menteri semalam bagi tahu, Pelan Struktur dan sebagainya (untuk Cameron Highlands), yang dibuat oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa, akan disiapkan dalam tempoh enam (6) bulan.

“Dan, pengeluaran TOL ini mesti disesuaikan juga dengan segala peraturan dan syarat yang ketat, yang mesti dipatuhi oleh semua pemegang TOL di Cameron (Highlands) nanti,” tegasnya.

Mengenai tempoh musim tengkujuh yang kebiasaannya akan berakhir cuma pada Mac sejak bermula November lepas, kata Menteri Besar, langkah berjaga-jaga dalam kalangan rakyat haruslah ada.

“Pendek kata, siapa yang balik ke rumah itu, jangan selesa dan kita berpada dengan perkara asas sahajalah. Jangan kita terlalu ghairah atau beriya sangat membeli peralatan, perabut rumah, tak payah,” katanya.

‘WEATHER PHENOMENON, DUE TO NATURAL FORCES’

Menurut seorang pakar kajicuaca katanya lagi, apa yang dialami sekarang merupakan ‘weather phenomenon, due to natural forces’ yang turut menyatakan betapa pula kegiatan pembalakan dan pertanian merupakan faktor penyumbang sahaja.

“Betul juga sebab, kita banjir besar dah tiga (3) kali – tahun (19)26 yang paling teruk, tahun (19)70-71, 2014-2015. Maknanya, perkara-perkara yang buruk yang orang ramalkan itu dan dikeluarkan pula oleh orang yang pakar, kita kena ambil kiralah,” katanya.

Antara yang turut hadir pada Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik dan Notis 5A ini ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ismail Mutalib yang juga wakil rakyat Parlimen (BN – Maran);

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shahaniza Shamsuddin yang juga wakil rakyat (BN – Kuala Sentul); wakil-wakil rakyat – Dato’ Wan Salman Wan Ismail (BN – Jengka); Encik Mohamad Ariffin Awang Ismail (BN – Chenor); Cik Nurhidayah Shahaimi (BN – Luit); dan, Pegawai Daerah Maran, Dato’ Syed Ahmad Fuad Syed Taha.

Pada majlis ini, seramai 37 orang penduduk sekitar daerah ini, telah menerima suratan hakmilik mereka, dan baikinya, 249 orang menerima notis 5A masing-masing. – Khabar   

Wednesday, 21 January 2015

Bil air bulan Januari percuma!


… babitkan seluruh 310,000 akaun domestik atau 1.55 juta pengguna/rakyat termasuk yang tidak terbabit banjir, menyebabkan Kerajaan Negeri dan PAIP korbankan kutipan yang sepatutnya kira-kira RM5.58 juta!

“‘(It) can be a burden to PAIP’ tapi tak apalah, ini (merupakan) ‘a small sacrifice to the people’,” kata Menteri Besar.

SUMBANGAN PERODUA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bersalaman dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Dato' Aminar Rashid Salleh yang menyerahkan cek bagi membantu mangsa banjir di Pahang. 

Yang turut kelihatan ialah Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zulki-fly Osman (kiri sekali); dan, seorang pegawai tertinggi PERODUA. Majlis penyampaian/penerimaan ini diadakan semasa Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri berhenti rehat seketika.
 

BILIK MESYUARAT, TINGKAT 6, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menganggapnya sebagai satu pengorbanan kecil Kerajaan Negeri dan Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) kepada rakyat khususnya yang terbabit banjir;

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini mengumumkan pengecualian pembayaran bil air bagi bulan Januari ini, kepada seluruh penduduk negeri sama ada yang terbabit banjir ataupun tidak.

Pengecualian ini mengambil kira beban yang harus ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir terutamanya, yang perlu menggunakan jumlah air yang banyak untuk membersihkan kediaman masing-masing.

Ketika ini, PAIP mempunyai 310,000 akaun domestik atau kira-kira 1.55 juta pengguna atau jumlah penduduk Pahang (310,000 X 5 orang sebuah rumah/akaun domestik)  – yang menggunakan air kurang daripada 35 meter padu sebulan.

Kutipan bulanan daripada mereka ialah kira-kira RM5.58 juta, maka pengecualian pembayaran bil untuk bulan Januari sahaja bermakna, sebanyak itulah juga yang dikorbankan sebagai hasil bulanan kepada PAIP.

LAGI SUMBANGAN UNTUK MANGSA BANJIR... Kali ini pula daripada YTL Land & Development Bhd yang diketuai oleh Pengarah Eksekutifnya, Dato' Hamidah Maktar (bersalaman dengan Dato' Sri DiRaja Adnan). 

Yang turut kelihatan ialah (dari kiri ke kanan) Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; seorang pegawai YTL Land & Developpment Bhd; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail; dan, seorang lagi Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Shafik Fauzan Sharif. 
  

PENGORBANAN KECIL DEMI RAKYAT

“Kita bincang tadi (dan putuskan) bulan Januari, ‘the whole of January, we won’t charge anything,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media tengah hari Rabu, 21 Januari di sini, selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

“‘(It) can be a burden to PAIP’ tapi tak apalah, ini (merupakan) ‘a small sacrifice to the people’,” katanya.

Bagi akaun atau pengguna komersil bagaimanapun, menurutnya, mereka tetap perlu membuat pembayaran seperti biasa sungguhpun turut terbabit banjir memandangkan mereka mampu melakukannya.   

“… while they are trying to rehabilitate their businesses, their factories… so in the course (of doing the rehabilation exercises), they can just add up (to it) the electricity and the water bills,” katanya.

Lanjutan itu, beliau menyarankan agar Tenaga Nasional Bhd (TNB) meneladani tindakan Kerajaan Negeri dengan kemungkinan melakukan yang sama ke atas bil-bil pengguna domestic yang menggunakan bekalan elektriknya.

DATO' SRI DIRAJA ADNAN SEDANG HENDAK MEMULAKAN PERSIDANGAN MEDIANYA... 

GANTI SECARA PERCUMA SURATAN HAKIMILIK TANAH HILANG AKIBAT BANJIR

“Kalau pihak TNB boleh juga menimbangkan, lebih baik; (demi) untuk meringankan beban (rakyat, khususnya) orang kampong (yang terjejas akibat bencana banjir),” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri untuk tidak mengenakan apa-apa yuran ke atas rakyat terbabit banjir, bagi mendapatkan suratan hakmilik tanah baharu yang asalnya telah kehilangan akibat bencana itu.  

Yang perlu mereka lakukan hanyalah membuat laporan polis kemudian membawanya ke Pejabat Daerah dan Tanah Daerah berkenaan, untuk dipanjangkan ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) di Kuantan bagi urusan pengeluaran suratan hak milik tanah baharu.

Beliau juga ditanya tentang pemberian RM500 oleh Kerajaan Persekutuan kepada setiap mangsa banjir yang menurutnya, akan dilaksanakan penyampaiannya pada esok, Khamis, atau lusa, Jumaat.   
“Kita nak bagi cepat, tak boleh tunggu-tunggu. Semalam saya bermesyuarat dengan YAB Timbalan Perdana Menteri; YAB Timbalan Perdana Menteri, YAB Perdana Menteri sendiri telah mengarahkan diberi secepat mungkin.

TAK PAYAH TUNGGU HINGGA SEMUA LENGKAP

“Kita (se)patut(nya) nak bagi pertengahan bulan dua (Februari), tak boleh… Kita kena bagi minggu ini juga,” tegasnya, dan menambah kata, “Tak payah tunggu semua sekali lengkap baharu (hendak) bagi, tak payah. Kita akan terus bagi”.

Kepada soalan lain wartawan sama ada Kerajaan Negeri akan mencontohi Kerajaan Persekutuan yan g pada semalam, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak mengumumkan penstrukturan semula Bajet Negara 2015 ekoran kejatuhan harga minyak katanya;

“… We are not dependent upon oil, so (we are) not affected. Thus, no changes (to the State Budget 2015). For the Federal Government, it’s the best that they can do considering the present situation that we are in.

“There is no other choice, there is no other recourse except to adjust. And it’s all about adjustment…,” katanya. – Khabar