Tuesday, 27 December 2016

Harapan baharu buat Cameron Highlands.

 
… namun, sikap dan disiplin petani perlu diperbetulkan manakala NGO perlu turut memainkan peranannya, bukan sekadar mencari kesalahan

 
NOTA EDITOR;

Berikut ialah antara artikel yang dipetik daripada Khabar Pahang edisi cetak – Bil 24 Tahun 18, Tahun 2016, yang sedang dalam proses penerbitan/percetakan dan dijangka siap untuk edaran yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan Negeri pada Januari, 2017.

Sama-samalah kita memanfaatinya.   

DATO' A RAHMAN HAMZAH...
 

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Harapan baharu buat Cameron Highlands – inilah yang boleh dikatakan tentang kawasan tanahtinggi ini berdasarkan kepada Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands 2030;
 
Dan yang lebih penting, tentang pelaksanaan serta juga tindak-balas positif masyarakat setempat terhadapnya termasuklah mempunyai sikap dan disiplin yang betul terutamanya oleh para petani serta badan-badan bukan Kerajaan (NGO) di sana.
 
Inilah intipati yang dapat digarap menerusi temubual dengan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato’ A Rahman Hamzah pada Sabtu, 27 Ogos di Bilik Mesyuarat, Kelab Golf Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Cameron Highlands.
 
“Inilah perkara (mengenai sikap dan disiplin para petani) yang perlu mengambil masa lah,” kata Dato’ A Rahman, kemudian terus menyebut tentang NGO di sana dengan mempersoalkan peranan mereka.
 
“NGO ini, minta maaflah, macam dia lebih nak mencari kesalahan… Ia bukan nak berganding bahu mencari (jalan penyelesaian). Ok, (isu) sampah sarap dalam sungai - ia akan kata (sebab) ‘JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) tak cuci’. Apa Jabatan Alam Sekitar buat?’
 
KEHIJAUAN YANG MENDAMAIKAN... Disebalik banyak perkara negatif yang gemar diperkatakan, masih tidak dapat menafikan tentang sebahagian besar kawasan tanahtinggi ini yang masih terpelihara alam sekitarnya sepertimana terserlah pada foto ini. 
 
 
PATI TIDAK PEDULIKAN APA YANG TERJADI
 
“Tapi, ia tak pernah kata (nasihati masyarakat setempat), ‘Eh, janganlah buang sampah dalam sungai’. Ia tak pernah khabar (beritahu mereka), ‘Eh, kenapa kita kena buang sampah dalam sungai? Kenapa kita lepaskan sisa racun ke dalam sungai?” beliau menempelak.
 
Yang menambah-burukkan lagi ialah apabila para petani menggaji pekerja dalam kalangan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang tidak megambil kisah tentang tindakannya yang memudaratkan alam sekitar.
 
“Pendatang asing ini, ini bukan negara dia, bukan tanahair dia. Dia apa peduli, janji siap kerja. Ini – plastik, baja, campak ke mana? Campak ke sungai sahajalah. Tauke kebun bayar gaji dia tapi, sungai kotor ke, dia peduli apa,” kata Dato’ A Rahman lagi.
 
“Kenapa tauke tu tak boleh atur (supaya) pekerja yang menjaga kebunnya secara sempurna, kita tengok kebun diapun sangat cantik; tetapi, aktiviti membuang sampah (secara teratur) tak dapat diterapkan kepada mereka?” beliau mempersoalkan.
 
Berikut disiarkan sebahagian lagi kandungan hasil daripada temubual petang Sabtu itu, yang disiarkan secara ‘verbatim’. Ia ekoran soalan-soalan yang dikemukakan tentang pencerobohan tanah, kedatangan pelancong, dakwaan rasuah terhadap kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah;
 
SUNGAI YANG KEMBALI BERSIH...
 
 
TIADA LAGI PENCEROBOHAN BAHARU
 
Sehinggalah kepada hal-hal mengenai pengenalan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) Elektronik (E-LPS) yang mana Cameron Highlands ialah daerah pertama dilaksanakan sebagai projek perintis.
 
“Daripada segi pencerobohan tanah kita nampak, ia terkawal. Pencerobohan baharu boleh dikatakan tiada. Cuma yang ada sikit, yang masih teroka semula sungguhpun sudah dibuat operasi.
 
“Pendatang asing (PATI) sungguhpun dikatakan sudah berkurangan tapi apabila sahaja ada operasi, masih lagi ada, masih ada kena tangkap. Kalau siasat 10 orang, ada sangkut satu (1), siasat 30 orang, ada sangkut tiga (3), empat (4) orang. So, pedatang asing ini dia datang, cuba dan cuba”.
 
“Berkaitan dengan pelancongan ini (tiada kesan)… Sebab, setiap hujung minggu kita dapati Tanah Rata, Brinchang, Kia Farm – daripada segi lalulintas; sibuk, sesak. Keluhan orang ramai ialah berkaitan kesesakan lalulintas dan juga kekurangan tempat letak kereta.
 
“Jadi, bagi pihak berkuasa pula, dilemma. Orang datang nak melancong, nak selesa tapi yalah, ada kesukaran. Kesukaran daripada segi nak beli-belah di pasar malam Brinchang, bagaimana nak letak kereta.
 
LALULINTAS DAN BANGUNAN-BANGUNAN DI PEKAN KECIL TANAH RATA... Kesesakan jalan ini adalah perkara biasa terutamanya pada cuti-cuti perayaan ataupun cuti rehat hujung minggu.
 
 
JARAK PENDEK, AMBIL MASA BERJAM-JAM
 
“Perjalanan dari Tanah Rata ke Brinchang, Brinchang ke Kia Farm kadang-kadang mengambil masa yang tak munasabahlah lamanya. Kadang-kadang jarak dua-tiga km, 45 minit. Jarak tujuh (7) km berjam-jam jadinya”.
 
Mengenai kawasan yang dicerobohi haram serta tindakan ke atasnya, katanya; “Kita ada ‘data base’ untuk tindakan kita (memusnahkan struktur dan tanaman di atas tanah yang dicerobohi secara haram) ada 5,580 ekar. Kita sudah mengambil tindakan lebih daripada 85 ‘percent’. Kita ada ‘balance 15 percent’ belum ambil tindakan.
 
“Pencerobohan (ada dua jenis); yang berdasarkan sindiket dan (mempunyai) kemampuan kewangan yang besar.
 
“(Yang satu lagi ialah), banyak pula pencerobohan yang berlaku akibat daripada memang dia mencari rezeki tapi, oleh kerana Kerajaan Pahang telah membekukan permohonan LPS, jadi dia hendak tak hendak, ceroboh.
 
“Jadi sekarang ini, ada dua pertimbangan. Pertimbangan bahawa, jenis yang bersindiket, yang menggunakan modal besar ini, satu tindakan lain yang tegas yang sangat serius kena buat.

RUMAH BATU UNTUK MASYARAKAT ORANG ASLI KITA... Yang membuktikan Kerajaan - Persekutuan mahupun Negeri; tidak pernah meminggirkan kaum minority sepertimana Orang Asli. 
 
 
ADA PULA YANG AMBIL KESEMPATAN NAK DAPATKAN LPS
 
“Tetapi kepada pekebun-pekebun kecil, petani-petani kecil yang orang kata bergantung hidup kepada kebun tadi secara tradisi, turun-temurun – ha yang itu ada pertimbangan lainlah sepertimana yang selalu dijelaskan oleh YAB Menteri Besar.
 
“YAB Menteri Besar selalu kata, Kerajaan Negeri akan memikirkan keputusan yang sesuai dan perlu kepada keadaan”.
 
“Fail dia (untuk pemberian LPS kepada petani-petani kecil) kita sedang proses. Cuma, yalah, dalam kita memproses fail, ada juga orang yang mengambil kesempatan pula. Kita kata, orang yang betul-betul susah sebab kebun dia dimusnah (yang perlu diproses/bantu).
 
“Tapi, ada pula kumpulan-kumpulan yang mengambil kesempatan - mohon sama, merayu sama (untuk mendapatkan tanah di bawah LPS). Itu yang memerlukan kita masa untuk menapis supaya kita dapat membela orang yang betul”.
 
Dato’ A Rahman juga menyebut tentang soal keberanian luar biasa, penceroboh-penceroboh ini. “Keberanian orang yang ceroboh tu, dia sangat berani. Tapi, apa faktor dia menjadi berani tu tak dapat nak dikesan. Tiba-tiba dia berani. Kalau tengok di merata-rata – ‘reserve’ jalan, ‘reserve’ sungai, banyak digunakan. Sepatutnya kawasan-kawasan itu disimpan sebagai ‘reserve’.

LADANG DI LERENG BUKIT... Ini memang hakikat bahawa, kerana tamak dan kedegilan, cerun yang curam juga diterokai untuk melakukan tanaman secara komersil yang tentunya merosakkan alam sekitar serta membahayakan.
 
TAK KELUAR LAGI PERMIT TOLAK TANAH, SUNGAIPUN JERNIH
 
“Persoalan sekarang, bagi kita, kita kata kita simpan sebagai ‘reserve’. Bagi dia, tanah kenapa tidak digunakan. Ha itu satu, (menjawab soal) kenapa dia ceroboh. Bila dia ceroboh, ha ini satu (lagi masalah) pula, apabila dia gunakan buruh-buruh asing”.
 
“Alhamdulillah, memang dah jernih. Sungai-sungai sudah jernih. Sebabnya, kita sudah tak keluarkan permit menolak tanah. Kalau dulu, dia orang minta - minta, lulus. Tapi sekarang kita kata, betul-betul sangat perlu baru lulus.
 
“Tapi bila kita kata sangat perlu baru lulus, diapun macam tak minta. Jadi boleh perhatilah, sungai-sungai ini kebanyakan sudah bersih”.
 
Mengenai dakwaan rasuah dalam kalangan penjawat awam katanya; “Fasal rasuah tak rasuah ini, saya tak berani nak bagi ulasan yang tepatlah sebab, rasuah ini apabila… Saya selalu juga sarankan dengan masyarakat yang mengadu kata ada rasuah, saya kata, rasuah ini perlu dilaporkan.
 
“Kempen SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) ada, dan kesalahannya sebenarnya (ialah ke atas) pemberi dan penerima. Yang ini yang jadi masalahnya. Kalau dia sudah beri, dia takkan lapor kalau yang menerima itu bersetuju.
 
DAKWAAN RASUAH LEBIH KEPADA ‘HEARSAY’
 
“Jadi, yang mengatakan ada rasuah, tak ada rasuah ni, ia ‘hearsay’ sahaja. Dia dengar-dengar cerita. Kalau dia ‘report’pun, bukti tak kukuh.  
 
“Beginilah. Cakap berlapisnya – kalau tak ada angin, pokok taklah beriya bergoyangnya. Tapi orang kata, sedang mana anginnya menyebabkan pokok bergoyang? Kalau angin kuat sangat, pokokpun tumbang kan?
 
“Mungkin ada, mungkin tidak. (Soalnya ialah) pembuktiannya. Benda-benda ini nak tuduh, sebab ini melibatkan maruah orang. Bila ada pembuktian, ha macam saya sendiri selaku Ketua Jabatan, (bila) selagi tak ada bukti, tak ada laporan; saya kata, kakitangan saya memang mematuhi peraturan berdasarkan jawatan yang dia sandanglah.
 
“Saya selalu beritahu, kalau betul-betul kakitangan Kerajaan minta (rasuah), buatlah (laporan). Buat perangkappun boleh. Tak ada masalah. (Tapi) tak ada pula berlaku. Benda ini susah nak diulaslah”.
 
Berkaitan dengan E-LPS, “E-LPS memang dimulakan di daerah Cameron Highlands oleh kerana nak jadikannya sebagai ‘pilot’ sebab, semua masalah yang boleh timbul akibat LPS boleh dikesan di Cameron Highlands.
 
E-LPS DAPAT PERCEPATKAN PROSES, ELAK PENYELEWENGAN
 
“Misalnya, kenapa lewat, kenapa tak itu, kenapa tak ini. Jadi, memang kalau E-LPS itu digunakan sepenuhnya memang ia dapat membantu dalam mempercepatkan proses.
 
“Sebab, urusan LPS ini prosesnya berulang-ulang. Bila dah lulus - tahun ini lulus, tahun depan kena ‘renew’. Tahun depan lagi kena ‘renew’, tahun depan lagi kena ‘renew’. Lepas tahun keempat lulus, tahun kelima kena pula mohon semula.
 
“Benda tu sentiasa berulang-ulang. Jadi, bila dia berulang itu dan kita buat secara ‘manual’, kita kena uruskan satu-satu (maka lambat).
 
“Tapi kalau melalui komputer (E-LPS), dia jalan sahajalah. Ia akan mempercepatkan sahaja. Dan mungkin (juga dari segi) penyemakan. Sebab, kita ‘computerise’kan hingga kepada pelan. Pelan-pelanpun kita ‘digitalise’kan.
 
“So, selepas ini, tak ada sudah kisah - pelan boleh alih, pelan berubah bentuk, tak ada. Sebab, kita mulakan daripada jual, lulus, - semua pakai pelan yang sama. Kita kena ucapkan tahniahlah kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) kerana memilih Cameron Highlands”.
 
E-LPS SEPENUHNYA BERMULA TAHUN 2017
 
“Tapi setakat ini, kita belum gunakan sepenuhnya sebab kita tengah (sedang) kutip data. Daripada segi ‘target’nya, kita akan cuba tahun depan (2017) sepenuhnya. Kita akan hentikan pemprosesan secara manual, terus guna E-LPS.
 
“Sebab kemampuannya (E-LPS) memang sangat tinggi. Boleh buat surat makluman penerimaan, surat memberitahu kelulusan, surat penolakan – semua boleh dijana melalui sistem itu sahaja”.
 
“Daripada segi pelan itulah. Pelan tadi apabila kita ‘digitalise’kan, dan pelan kita sekarang ini, kita bandingkan dengan imej (satelit). So selepas ini, imej ini kita akan sentiasa minta daripada Agensi Remote Sensing Negara. 

“Bila gambar (imej) itu datang, kita boleh ‘overlay’ dengan pelan maka kita boleh nampak (keadaan sebenar atas tanah). Kita sekarang sudah tak payah hantar orang ke ‘on the ground’.
 
Katakan sebagai contohnya, dia (kawasan yang) empat segi tepat (yang ada pada) pelan. Tapi, kalau kita dapat gambar (imej satelit), ia tiba-tiba jadi empat segi bujur; ha, ‘something wrong’ dah berlaku di situ.
 
SUHU HINGGA CECAH 14 DARJAH SELSIUS PADA MALAM
 
“Kalau dulu kan kita selalu khabar, (alasan-alasan diberikan tentang kenderaan) ‘land rover’ rosak, bukit curamlah apa semua. Sekarang, apa (lagi hendak dialasankan tentang) curamnya… gambar (imej) satelit yang ia putar dunia berapa kali sehari?”
 
Beliau juga berkata betapa, “Ekoran daripada kejadian (tahun) 2014, membawa kesan yang amat positiflah kepada kemajuan Camerons – semua pihak baik Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, bertindak untuk memastikan…
 
“Camerons ini (kehebatannya) ialah suhunya. Apabila kita kata pembangunan dikawal, pencerobohan tanah dikawal; kemungkinan besar suhu diapun kita dapat – satu keadaan yang sentiasa macam sekarang, purata 18 (darjah selsius).
 
“Kita pernah sampai, malam-malam, 14 (darjah selsius), siang-siangpun 22 (darjah selsius). Maknanya, sejuk itu selesa… Nak pakai kemejapun sedap, kalau nak bergaya nak pakai ‘coat’, nak pakai jaketpun, macam orang tak hairanlah.
 
“Di sini maknanya, cuacanya selesa, sedap. Dan itupun sebab pelancong datangpun…” – Khabar

 

# Dato’ A Rahman telah berpindah-kerja ke Lipis pada jawatan yang sama, berkuatkuasa 17 Oktober.      

 

Rumah Makmur – rumah teres setingkat, RM80,000 sebuah pula.


... lanjutan kepada kejayaan PR1MA Pahang; kini menyasarkan golongan rendah dan sederhana rendah, berpendapatan seisi rumah di bawah RM5,000 sebulan

 
NOTA EDITOR;

Berikut ialah antara artikel yang dipetik daripada Khabar Pahang edisi cetak – Bil 24 Tahun 18, Tahun 2016, yang sedang dalam proses penerbitan/percetakan dan dijangka siap untuk edaran yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan Negeri pada Januari, 2017.

Sama-samalah kita memanfaatinya.    

MODEL RUMAH MAKMUR BERTIANG, DI KAMPUNG TIRAM...

 
kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Dengan kejayaan lebih 35,000 unit rumah kembar setingkat RM150,000 sebuah yang sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang.

Dan ini sudahpun melampaui lebih sekali ganda daripada sasaran 15,000 unit untuk dibina dalam tempoh lima (5) tahun antara 2014 dan 2018 sepertimana akujanji dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lepas (tahun 2013);

Tumpuan Kerajaan Negeri kini ialah ke arah membina Rumah Makmur - rumah teres setingkat bernilai RM80,000 sebuah dengan sasaran terhadap golongan rendah dan sederhana rendah, berpendapatan seisi rumah di bawah RM5,000 sebulan pula.

Ini telah pertama kali disebut oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob semasa kempen Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan Rompin di Pontian Jaya dekat Kuala Rompin pada pertengahan tahun lepas.

“Sekarang ini, kita akan buat pula rumah yang berharga RM80,000 ke bawah. Kita dah beritahu mana-mana (pihak) yang berminat, dia boleh buat rumah (berharga) RM80,000 ke bawah,” katanya dalam ucapan luar teks 27-minitnya pada Majlis Pelancaran PR1MA Pahang pagi Isnin, 4 Mei (2015) di sana.

LEBIH 1,200 UNIT RUMAH MAKMUR SEDANG DIBINA 

Selepas itulah, usaha digerakkan dengan giatnya bagi merealisasikan pelaksanaan ‘produk’ perumahan baharu di bawah PR1MA Pahang ini dengan yang pertama di kenalpasti ialah sebuah kawasan seluas 100 ekar di Kampung Tiram, Indera Mahkota dekat sini.

Di Kampung Tiram ini, sebanyak 563 unit Rumah Makmur kini dalam peringkat pembinaan. Oleh kerana letaknya di tepi Sungai Kuantan dan pula sering dilanda banjir, rumah teres dengan luas binaan minimum 800 kaki persegi di sini ialah bertiang.

Lanjutan kepada itu, tiga (3) lagi kawasan dikenalpasti dan kini dalam pelbagai peringkat pembinaan iaitu di kawasan seluas 122 ekar di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Maran; seluas 73.7 ekar di Kuala Lanar, Lipis; dan, seluas 100 ekar di Keratong, Rompin.

Di Bandar Tun Abdul Razak, jumlah yang akan dibina ialah sebanyak 189; di Kuala Lanar, 290 unit, dan di Keratong, 200 unit.

Jika harga rumah kembar RM150,000 adalah murah, lebih murah daripada harga di pasaran kira-kira RM300,000 sebuah; harga Rumah Makmur yang sebuahnya RM80,000 juga adalah juga lebih murah daripada harga di pasaran kira-kira RM160,000!

AKSES LEBIH LUAS KEPADA RUMAH MAMPU-MILIK

Menurut maklumat yang diperolehi daripada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, projek Rumah Makmur ialah penambah-baikan kepada PR1MA Pahang, dengan matlamat untuk memberi akses perumahan mampu milik yang lebih luas kepada rakyat-jelata.

Selain berkeluasan mempunyai luas binaan minimum 800 kaki persegi di atas tanah berkeluasan 1,100 kaki persegi; spesifikasi lain Rumah Makmur ini ialah – tiga (3) bilik dengan bilik tidur utama berkeluasan 160 kaki persegi manakala dua (2) bilik tidur lain ialah masing-masing 120 kaki persegi.

Terdapat dua (2) bilik air, bumbung daripada bahan ‘metal deck’ dan jubin konkrit; kemasan lantai untuk ruang-ruang tamu dan makan, serta dapur dan bilik air ialah jubin seramik manakala untuk  bilik tidur ialah lepaan simen.

Bagi menjayakan pembinaannya, Kerajaan Negeri menetapkan pihak pemaju membina   sekurang-kurangnya 50 peratus atau lebih jenis Rumah Makmur RM80,000 ini manakala selebihnya, mereka dibenarkan membina projek pembangunan bercampur atau komersil.

Demi meringankan lagi beban pemaju, masih di peringkat cadangan agar bayaran   pelupusan  tanah atau premium  untuk projek perumahan ini dikecualikan. Namun, bayaran berkenaan untuk pembangunan bercampur atau komersil dikenakan berdasarkan nilaian yang ditetapkan   oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Negeri.

KEUTAMAAN PEMOHON IALAH RAKYAT KDYMM SULTAN PAHANG

Mengenai kelayakan mereka untuk memohon mendapatkan Rumah Makmur ini pula telah disyaratkan mereka mestilah warganegara Malaysia dengan keutamaan kepada rakyat  KDYMM Sultan Pahang;

Pendapatan seisi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan; keutamaan kepada yang berumur 40 tahun ke bawah; telah menetap di negeri ini secara terus-menerus tidak kurang lima (5) tahun; serta belum lagi memiliki rumah.

Prosedur pemilihan pula ialah - permohonan hendaklah melalui Bahagian Perumahan,  Pejabat   Setiausaha Kerajaan Negeri secara atas talian; 70 peratus peserta dipilih oleh Bahagian yang sama dengan pengesahan oleh wakil rakyat setempat dengan senarai dimuktamadkan oleh Kerajaan Negeri;

Baki lagi 30 peratus dipilih oleh pemaju dengan syarat-syarat kelayakan pemilikan sepertimana   ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dan pula tawaran turut dikeluarkannya kepada peserta yang berjaya.

Dengan segala tindakan ini sahajalah diyakini, program perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah di bawah Rumah Makmur, akan dapat dijayakan dengan berkesannya. – Khabar 

 

Saturday, 17 December 2016

Teratai rai kanak-kanak termasuk 20 anak-anak Rohingya, berkhatan



“… program ini turut membabitkan anak-anak Rohingya di bandar ini untuk melalui pengalaman berkhatan mengikut cara dan tradisi negara ini seperti kanak-kanak lain,” kata Datin Sri DiRaja Junaini Kassim.

POSE BERKUMPULAN... Datin Sri DiRaja Junaini yang disertai anggota-anggota Teratai lain, sedang bersesi foto kumpulan dengan anak-anak yang sedia memakai kain pelikat masing-masing sebelum mulanya acara sebenar - berkhatan. 

TUKAR KE BERBAJU-T, BERKAIN PELIKAT... Selepas sesi inilah, nama-nama dipanggil - 10 setiap panggilan; untuk naik ke bilik khas bagi kanak-kanak ini menjalani acara berkhatan yang turut dilakukan oleh Dato' Dr Khaled (kiri sekali). 
 

HOSPITAL PAKAR KPJ PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Persatuan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pahang (Teratai) dengan kerjasama Hospital Pakar KPJ Pahang telah menganjurkan Majlis Khatan Beramai-ramai pagi Sabtu, 17 Disember di sini.

Yang Dipertua Teratai, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim yang juga isteri kepada Menteri Besar, hadir ke sini tepat 8.30 pagi bersama-sama beberapa anggotanya, untuk menyempurnakan majlis perasmiannya.

Menyambut ketibaan ialah wakil Pengarah Perubatan hospital ini, Dato’ Dr Khaled Mat Hassan dan Pengurus Operasi, Encik Khairul Hasanain Abdul Hamid yang turut disertai oleh 71 kanak-kanak termasuk 20 anak-anak Rohingya serta ibubapa mereka.

Dalam ucapan perasmiannya, Datin Sri DiRaja Junaini – selain mengalu-alukan kerjasama Hospital Pakar KPJ Pahang ini; turut menyambut baik penyertaan secara percuma anak-anak berkenaan serta anak-anak Rohingya.

Anak-anak Rohingya ini ialah mereka yang menerima pendidikan di Pusat Pembelajaran Rohingya Kuantan, Indera Mahkota 5, Bandar Indera Mahkota kira-kira 5 KM dari sini. Pusat Pembelajaran ini telah beroperasi dua (2) tahun sejak 2014.
 
DIARAK BAK MEMPELAI... Datin Sri DiRaja Junaini serta Dato' Dr Khaled dan Encik Khairul Hasanain (berbaju Melayu biru); mengiringi kanak-kanak ini yang diarak dengan bunga manggar dan bunga telur untuk acara bersiram. 
 

PENUHI TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT  

“… program ini turut membabitkan anak-anak Rohingya di bandar ini untuk melalui pengalaman berkhatan mengikut cara dan tradisi negara ini seperti kanak-kanak lain,” kata Datin Sri DiRaja Junaini sepertimana dilaporkan oleh Berita Harian.

Majlis berkhatan ini turut dimeriahkan dengan acara bersiram oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Jalan Bukit Ubi dekat sini, selepas kanak-kanak ini diarak dari pintu masuk lobi utama ke kawasan parkir diiringi paluan kompang.

Media-massa tempatan turut membuat liputan acara ini termasuk dari stesen-stesen televisyen – Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3 yang diwakili kru TV9nya dari Temerloh.

Dalam kenyataan akhbar Hospital Pakar KPJ Pahang yang diedarkan kepada pihak media, ia antara lain menyebut, menjadi tanggungjawap sosial korporat (CSR)nya dengan sokongan padu Teratai untuk sama-sama membantu anak-anak dalam kalangan yang memerlukan, dengan menawarkan perkhidmatan berkhatan tersebut secara percuma.

Bagi melancarkan lagi program menurut kenyataan akhbar sama, seramai 10 orang doctor termasuk Dato’ Dr Khaled, 30 orang jururawat serta 20 orang anggota pekerja sokongan dilibatkan.

SEMBURAN AIR KE ARAH ANAK-ANAK... Dengan bantuan peralatan disediakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datin Sri Junaini sedang menghalakan semburan air ke arah kana-kanak yang bakal dikhatankan di tingkat bawah bangunan hospital ini. 

LENCUN, BASAH KUYUPLAH MEREKA... 
 

BANGUNAN HOSPITAL 11-TINGKAT, 188 KATIL
 
Hospital Pakar KPJ Pahang ini merupakan hospital ke-26 dalam rangkaian hospital KPJ di negara ini. Beroperasi di bangunan 11-tingkat dengan kapasiti 188 katil, ia mempunyai keseluruhannya 25 orang pakar dan 369 anggota kerja.

Dirasmikan oleh KDYMM Sultan Pahang yang diwakili oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang baru-baru ini, hospital ini menawarkan perkhidmatan dan kemudahan perubatan yang canggih dan terkini.

Ini termasuklah dalam pemeriksaan jantung oleh pakar perunding jantung dengan sokongan rawatan angiogram dan angioplasty;  dewan pembedahan yang moden, perkhidmatan makmal, farmasi, CT Scan, MRI, dan fisioterapi.

“Selain itu, hospital ini turut menyediakan pelbagai perkhidmatan pakar termasuk pakar perunding kanak-kanak, perkhidmatan pakar perunding tulang, pakar perunding sakit puan dan pakar perunding pembedahan,” menurut kenyataan itu lagi. 

SESI FOTO BUAT KENANGAN... Datin Sri DiRaja Junaini bersama-sama anggota-anggota Teratainya. – Khabar



Tuesday, 6 December 2016

Komitmen berterusan Kerajaan Negeri sokong langkah banteras rasuah



“Usaha SPRM ini mesti diteruskan dan mesti diberikan ruang , diberikan sebanyak-banyak ruang untuk mereka bertindak. Pastikan rasuah ini sekurang-kurangnya dalam kawalan,” kata Menteri Besar.

TANDA O.K DAN BAGUS... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menunjukkan tanda okay manakala yang lain tanda bagus, sebaik-baik selepas beliau melekatkan poster tentang usaha memerangi rasuah pada sebuah meja makan di kawasan R&R ini. 

Selain Dato' Shamsun Baharin (kiri sekali), yang turut kelihatan ialah (dari kanan) Dato' Nik Fauzi; Ir Mohd Saleh; dan, pelakon terkenal tanahair - Encik Zizan Nin. 


KAWASAN REHAT & RAWAT (R&R) TEMERLOH ARAH TIMUR, TEMERLOH – Kerajaan Negeri sekali lagi menyatakan komitmennya untuk terus menyokong langkah-langkah yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ambil bagi membanteras gejala rasuah.

Ini dinyatakan sendiri oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan luar teks 19-minit ketika merasmikan Kempen Kesedaran Pencegahan Rasuah Zon Timur dan sekali diulangi pada persidangan media kemudian petang Selasa, 6 Disember di sini.

Lanjutan itu, beliau menegaskan betapa; “Usaha SPRM ini mesti diteruskan dan mesti diberikan ruang , diberikan sebanyak-banyak ruang untuk mereka bertindak. Pastikan rasuah ini sekurang-kurangnya dalam kawalan”.

Sambil memuji program yang SPRM anjurkan petang ini katanya, langkah-langkah seperti mengadakan kempen pencegahan rasuah mesti dilakukan secara berterusan yang jika tidak ia mungkin dilupakan.

Sedangkan menurutnya, gejala rasuah boleh mendatangkan kesan buruk kepada negara jika ia tidak dibendung dengan sewajarnya.

SERAH-TERIMA POSTER KEMPEN... Dato' Shamsun Baharin sedang meyerahkan poster berkenaan kepada Dato' Sri DiRaja Adnan sambil yang lain memerhatikan - (dari kiri) Dato' Abu Bakar, Dato' Sri Shahiruddin, Dato' Sri Ir Mohd Soffi, Encik Zizan dan Ir Mohd Saleh.
 

PEOPLE MUST BE MADE AWARE OF SPRM’S EXISTENCE

“So the effort by SPRM to continue eradicating corruption by having this awareness campaign is commendable. We must continue to do this otherwise people may not be aware that SPRM is in existence.

“By having these periodic campaign – campaign of awareness and probably by the distribution of pamphlets, booklets; (the) people will be made to be aware of (the fact) that SPRM is always there for them,” he added.

“Jadi,” katanya lagi, “… untuk orang yang selalu melakukan rasuah, dia akan ingat ‘Ada rupanya SPRM, sentiasa berada di mana-mana’”.

Beliau seterusnya mengingatkan betapa sesebuah negara boleh menjadi sebuah negara yang gagal atau ‘failed nation’ sekiranya gejala rasuah berleluasa di negara berkenaan sepertimana beberapa negara luar.

“Kita hendak jangan sampai kita jadi parah, jangan sampai jadi barah,” tegasnya pada persidangan media yang turut disertai oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamsun Baharin Mohd Jamil.

KHALAYAK PETANG SELASA... 
 

TAHAP KEYAKINAN RAKYAT SEMAKIN TINGGI TERHADAP SPRM

Dato’ Shamsun Baharin turut ditanya mengenai kesan yang telah diperolehi hasil daripada pelbagai langkah yang SPRM ambil dalam membanteras gejala rasuah di negara ini.

Daripada segi tahap keyakinan masyarakat terhadap SPRM katanya, ianya meningkat daripada cuma 65.8 peratus tahun lepas, kepada kira-kira 73 peratus pada tahun 2016, setakat ini.

“Ini merupakan satu peningkatan yang saya rasa amat baiklah. Dan kita mengharapkan, kalau ikut ‘international standard’, kita akan cuba – dengan usaha-usaha yang kita laksanakan;

“… supaya akhirnya kita dapat melepasi 80 peratus daripada segi tahap keyakinan masyarakat terhadap agensi pembanterasan rasuah seperti SPRM,” katanya.

Kepada soalan tentang bilakah sasaran 80 peratus itu akan tercapai katanya, jika boleh, ‘as soon as possible’lah yang kerana itu SPRM mempelbagaikan usaha dengan melibatkan pelbagai sektor masyarakat dalam menjayakan langkah-langkah pembanterasannya.

MAHU CAPAI TAHAP KEYAKINAN 80 PERATUS  

“Mungkin boleh dicapai dalam tempoh setahun?” tanya wartawan wanita dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang segera dijawab oleh Dato’ Shamsun Baharin;

“InsyaAllah, kalau katalah (dapat) sokongan padu daripada seluruh sektor dan seluruh lapisan masyarakat saya rasa, tidak mustahil untuk kita capai”.

Selain Dato’ Shamsun Baharin; antara yang turut hadir pada majlis petang Selasa ini ialah Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin, Dato’ Abu Bakar Harun, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad, dan, Dato’ Norol Azali Sulaiman;

Begitu juga Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Mohd Fadzli Mohd Kenali; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir Mohd Saleh Santhiman; serta, Pengarah, ANIH Bhd, Dato’ Nik Fauzi Nik Hussein. – Khabar