Sunday, 25 June 2017

Kira-kira 13,500 orang dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar, hadiri Rumah Terbuka Menteri Besar sempena Hari Raya Aidil Fitri

“Ianya memberikan petanda bahawa; pertama sekali – negara, negeri kita aman. Yang kedua, kita mampu mengadakan jamuan.

“Dan yang ketiganya, rakyat berbilang kaum, berbilang ugama datang secara tidak langsung menunjukkan perasaan muhibbah antara satu sama lain dan menunjukkan bahawa di Malaysia ini, perpaduan kaum begitu erat,” kata Menteri Besar.

KEBERANGKATAN TIBA KDYMM PEMANGKU RAJA... KDYMM Pemangku Raja diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan, memasuki Dewan sambil bersalaman dengan mereka yang hadir. 

Yang turut kelihatan ialah KDYTM Tengku Puan Pahang; begitu juga Pesuruhjaya Kehakiman, Dato' Sharif Abu Samah (paling kiri, berkopiah putih) yang juga bekas Pegawai Khas (Undang-undang) kepada Menteri Besar. 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Kira-kira 13,500 orang dalam kalangan rakyat pelbagai latar – kaum, ugama, usia dan kerjaya; hadir pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar sempena Hari Raya Aidil Fitri pada Ahad, 25 Jun @ 1 Syawal 1438 Hijrah di sini.

Inilah – sepertimana biasa, menggembirakan tuanrumah, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob. Dan beliau menyatakan kegembriaarn itu pada persidangan media yang diadakan kemudian;

“… sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri, Pejabat Menteri Besar sejak dahulu sehingga sekarang, telah mendapat sambutan yang baik.

“Kita menganggap apabila kita membuat sesuatu majlis jamuan dan keramaian, yang paling menggembirakan kita ialah apabila kedatangan (orangramai) sangat memuaskan.
Kita risau kalau kita buat kenduri-kendara, majlis; orang(ramai) tak datang.

“Tapi hari ini kita lihat, sebagaimana tahun-tahun yang lepas, lebih kurang 13,500 orang,” katanya merujuk kepada perkiraan secara manual yang diseliakan oleh pegawai dan kakitangan Pejabat Pembangunan Negeri (SDO).  

DI MEJA MAKAN... Selain KDYMM Pemangku Raja Pahang dan isteri, KDYTM Tengku Puan Pahang serta Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan di meja utama ini ialah isteri Menteri Besar, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim. 


PERPADUAN KAUM BERTAMBAH ERAT

Ianya memberikan petanda bahawa, pertama sekali – negara, negeri kita aman. Yang kedua, kita mampu mengadakan jamuan.

“Dan yang ketiganya rakyat berbilang kaum, berbilang ugama datang secara tidak langsung menunjukkan perasaan muhibbah antara satu sama lain. Dan menunjukkan bahawa di Malaysia ini, perpaduan kaum begitu erat,” katanya lagi.

Beliau turut berkata betapa selain Kerajaan Negeri/Pejabat Menteri Besar; KDYMM Sultan Pahang dan KDYMM Pemangku Raja Pahang turut menganjurkan Istana Terbuka sepertimana tahun yang sudah-sudah.

Kedua-duanya, masing-masing bertempat di Istana Abu Bakar, Bandar DiRaja Pekan dan di Istana AbdulAziz, Bandar Indera Mahkota dekat sini.   

“… dan saya setiap kali, akan menghadirinya, begitu juga ramai sangat yang datang. Pendek kata, ketiga-tiga majlis ini (Istana Terbuka dan Rumah Terbuka) sentiasa dihadiri oleh rakyat.

KESERASIAN PEMIMPIM 'NUMERO UNO' KITA DENGAN ANAK-ANAK KECIL... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mengagah anak kecil ini sambil usahawan terkenal tempatan, Dato' Sri Peter Cheah (kiri sekali) memerhatikan. 


RAKYAT BERSAMA-SAMA KERAJAAN YANG ADA

“Dan ianya memberi petanda bahawa rakyat adalah bersama-sama dengan Kerajaan dalam mempertahankan keamanan dan mengeratkan perpaduan kaum dan pada ketika yang sama dapat lihat semangat setiakawan itu antara semua pihak dapat dijalinkan.

“Dan yang pentingnya, hari ini kita menjamu selera tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Saya yakin dan percaya, tradisi Istana Terbuka ini dan juga tradisi Rumah Terbuka kepimpinan Kerajaan Negeri, insyaAllah akan diteruskan dari masa ke semasa,” katanya.

“Kita lihat pada hari ini, Istana Abu Bakar, Istana AbdulAziz dan Pejabat Menteri Besar mengadakan sambutan pada hari yang sama dan ianya memberikan kemeriahan kepada sambutan Hari Raya Aidil Fitri di Kuantan dan di Pahang amnya,” katanya lagi.

Pada persidangan media sama, beliau turut ditanya tentang hal-hal lain termasuk mengenai isu bauksit khususnya mengenai tempoh moratorium yang masih berkuatkuasa dan mengenai politik.

Mengenai isu bauksit, beliau mengulangi apa yang telah disebutnya sebelum ini betapa, “Apa-apa keputusan mengenai bauksit akan dibuat oleh pihak Menteri Sumber Asli. dan memang Menteri Sumber Asli sentiasa akan bertanya, merundingi Kerajaan Negeri serta melapor juga tindakan yang akan dibuat.

BERFOTO KUMPULAN DENGAN HADIRIN... Dato' Sri DiRaja Adnan turut sudi kepada permintaan hadirin untuk berfoto kumpulan. Yang turut kelihatan ialah Pengarah Pembangunan Negeri (SDO), Dato' Indera Zulkifli Yaakob (kanan sekali). 


BAUKSIT; TERSERAH KEPADA KEPUTUSAN KERAJAAN PUSAT

“Dan setakat hari ini, kita bersetuju supaya moratorium ini disambung sehingga (selepas) Pilihanraya Umum tetapi Kerajaan Negeri menyerahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membuat sebarang pertimbangan untuk disesuaikan dengan keadaan,” katanya.

Mengenai politik katanya, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memang bekerja setiap masa demi menjagai kepentingan rakyat yang mereka wakili di kawasan-kawasan pilihanraya masing-masing.

“Tinggal lagi apabila tempoh parlimen atau dewan undangan negeri itu hampir (tamat, lalu perlu diadakan pilihanraya) biasalah, kita kena kerja kuat lagilah. Kalau kita tak kerja kuat, orang pelik pula. Kenapa tak kerja kuat? Dewan nak hambis tempoh, pilihanraya dah dekat.

“Kalau kita kerja kuat pula, ‘ho tengok, wakil rakyat… MB naik basikal, dekat pilihanraya ler tu… MB buat rumah terbuka ini, dekat piliahanraya ler tu… Bukan begitu… pilihanraya-pilihanrayalah,” katanya lagi.

“Proses mengenalpasti calon (untuk hadapi pilihanraya) ini kita buat dari masa ke semasa. Tapi bagi kita di negeri Pahang ini, yang penting ialah prestasi dan juga kelayakan calon-calon itu sendiri.

LAGI KEMESRAAN MENTERI BESAR DENGAN YANG HADIR... 


PILIH CALON YANG RAKYAT SUKA, BUKAN YANG KITA SUKA

“Sebab saya sendiri berfikir cara mudah. Yang penting, menang. Yang penting parti mesti menang. Bagaimana parti mesti menang? Parti mesti disukai oleh orangramai. Bagaimana parti boleh disukai oleh orang ramai? Calonnya. Kalau calonnya disukai oleh orangramai , dipilih calon itu; ‘automatic’ parti itu menanglah,” katanya.

“Jadi sekarang ini, kembali kepada calon. Kita akan pilih calon yang orang suka. Kita tak boleh ketengahkan calon yang kita suka. Kita ketengahkan calon yang pengundi suka. Bukan pengerusi perhubungan suka. Bukan pucuk pimpinan suka, tak….

“Kalau kita pilih calon main siapa yang kita suka tanpa mengambil kita siapa calon pengundi suka, jawabnya beratlah.

“Jadi prinsipnya mudah. Saya akan memilih calon yang rakyat suka. Kalau wakil rakyat yang ada sekarang ini kesemuanya rakyat suka, prestasi memuaskan, ayuh jalan… ‘carry on’ bertanding, tak ada masalah,” katanya lagi. 

BERSAMA MENGAMINKAN DOA... Sebelum itu, KDYMM Pemangku Raja Pahang telah berangkat ke Masjid Negeri, Masjid Sultan Ahmad 1 dekat sini, bagi menunaikan solat sunat Aidil Fitri. – Khabar


   



Saturday, 24 June 2017

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Esok, (Ahad, 25 Jun) Hari Raya - Seperti yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Dato' Sri Syed Danial Syed Ahmad menerusi rangkaian televisyen awam dan swasta malam ini...                                                                                                                                                                                                            


- Khabar

Tuesday, 20 June 2017

Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada bulan barakah

“Dan kita baca ikrar tadi dengan penuh penghayatan,” kata Menteri Besar

KEMESRAAN TERUS TERJALIN... Berjabat tangan mesra antara Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Dzulkifli tanda hubungan erat antara kedua-dua Kerajaan Negeri dan SPRM demi perjuangan membanteras gejala rasuah.


BILIK GERAKAN NEGERI, TINGKAT 7, BLOK B, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengetuai Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada majlis petang Selasa, 20 Jun di sini. 

Kesemua Ahli MMK hadir yang termasuklah Ex-Officio – Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Shamsulbahri Ibrahim; dan, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Roslan Harun.

Menyaksikan majlis petang Ramadan ke-25 ini ialah Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Dzulkifli Ahmad; Timbalannya, Dato’ Azam Baki; serta pegawai-pegawai kanan SPRM yang lain. 

Sungguhpun Pahang merupakan negeri kesembilan majlis ini diadakan namun kepada Dato’ Sri DiRaja Adnan; “… bulan ini bulan barakah. Elok sangatlah. Walaupun negeri Pahang ini nombor 9 tapi pada bulan puasa. 

“Dan kita baca ikrar tadi dengan penuh penghayatan,” katanya pada persidangan media bersama Dato’ Dzulkifli yang turut dihadiri oleh Dato’ Azam, bersempena dengan majlis tersebut. 

SESI BERFOTO BERKUMPULAN... In 'full-force', yang menunjukkan komitmen pentadbiran Kerajaan Negeri dalam memerangi rasuah dan penyalah gunaan kuasa.


TAHNIAH BUAT KERAJAAN NEGERI 

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin mengucapkan penghargaan, terima kasih kepada Ketua Pesuruhjaya, Dato’ Dzulkifli kerana sudi datang,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Lima (5) perkara ditekankan dalam IBR itu yang antaranya ialah; ‘Saya akan berusaha sedaya-upaya agar kakitangan-kakitangan di bawah seliaan saya tidak akan melibatkan diri dalam sebarang bentuk jenayah rasuah dan salah guna kuasa dalam apa-apa jua urusan berkaitan dengan Kerajaan Negeri Pahang dan;

‘Saya akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan seberapa segera, sebarang bentuk perlakuan jenayah rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan saya atau kakitangan-kakitangan di bawah seliaan saya’.   

Bercakap pada persidangan media yang sama, Dato’ Dzulkifli menyatakan betapa majlis petang ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang bagi memastikan pentadbirannya bersih daripada sebarang gejala rasuah dan penyalah gunaan kuasa. 

“Oleh itu saya ucapkan tahniah dan syabas kepada kepimpinan Dato’ Sri (DiRaja Adnan) dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang yang telah menunjukkan komitmen yang sebegini untuk memastikan negeri ini khususnya, dan secara amnya negara kita, bebas daripada rasuah dan penyalah gunaan kuasa. 

SENTIASA MESRA-MEDIA... Bersedia untuk memulakan sesi persidangan media petang Ramadan ke-25.


KATAKAN TIDAK KEPADA RASUAH 

“InsyaAllah, kalau momentum yang sebegini berterusan saya jangkakan dan sebagaimana SPRM telah visikan, kita nak memastikan negara pada tahun 2020 adalah sebuah negara maju dan bersih daripada gejala rasuah dan penyalah gunaan kuasa. 

“Dan masyarakat yang wujud ketika itu ialah satu masyarakat yang berani untuk mengatakan tidak kepada rasuah – menolak dan membencinya; bersama-sama kami untuk memerangai rasuah,” tegasnya. – Khabar



  

Monday, 12 June 2017

Tanda timbang-rasa Kerajaan Negeri; 1 – 2 hektar tanah TOL untuk pekebun kecil Cameron

“Kita akan tentukan mana-mana (pekebun kecil) yang benar-benar tulen kita akan berikan keputusan untuk mereka mengusahakan tanah dalam lingkungan satu (1), dua (2) hektar untuk satu famili, bergantung kepada jumlah tanggungan,” kata Menteri Besar.

KERJA-KERJA PEROBOHAN SEDANG DILAKSANAKAN... 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Disebalik kemusnahan yang telah mereka ‘sumbang’kan terhadap tanahtinggi Cameron Highlands sebelum ini; mereka – penanam sayur dan buah-buahan haram khususnya, patut insaf dan berterima kasih kerana Kerajaan Negeri masih bertimbang-rasa terhadap mereka.

Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) ke atas tanah-tanah berkenaan, yang telahpun diambil tindakan meroboh dan memusnahkan oleh Majlis Keselamatan Negera (MKN) dalam kedua-dua Ops Gading 1 dan 2 baru-baru ini.

Keluasan keseluruhan kebun-kebun haram yang telah dimusnahkan itu, dianggarkan 7,000 hektar atau kira-kira 10 peratus daripada keluasan Cameron Highlands yang seluas kira-kira 71,218 hektar.

Kerajaan Negeri hanya akan mengeluarkan TOL yang perlu diperbaharui setahun ke setahun, untuk kira-kira 2,000 hektar manakala selebihnya menjadi tanggungjawab Jabatan Perhutanan Negeri untuk ditanam semula dengan pokok-pokok yang sesuai.    

Bagaimanapun, sepertimana ditegaskan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, pengeluaran TOL ini hanya kepada pekebun kecil, yang dijangkakan lebih 1,000 orang – bukan pengusaha besar-besaran yang bukanpun penduduk asal tanahtinggi itu.
SUNGAI BERTAM YANG BERKELODAK... 


MAAF DAN DUKACITA BUAT PENGUSAHA BESAR

Pekebun-pekebun kecil ini pula hendaklah yang telah mengerjakan tanah-tanah berkenaan lebih 10 tahun. Dan setiap mereka akan diberikan TOL bagi tanah seluas antara sehektar dan dua (2) hektar sahaja, untuk ditanami sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Kita akan tentukan mana-mana (pekebun kecil) yang benar-benar tulen kita akan berikan keputusan untuk mereka mengusahakan tanah dalam lingkungan satu (1), dua (2) hektar untuk satu famili, bergantung kepada jumlah tanggungan.

“Untuk pengusaha-pengusaha besar, dukacita, kita tak dapat melayan permintaan mereka,” Dato’ Sri DiRaja Adnan dilaporkan sebagai berkata.

“Dan matlamatnya ialah untuk kita membantu pekebun-pekebun kecil yang mencari makan, pada ketika yang sama, kita cuba menguatkuasakan agar jangan ada lagi penerokaan haram di Cameron Highlands,” katanya lagi.

Umum mengetahui betapa punca utama kepada kemusnahan di kawasan tanahtinggi itu ialah akibat sikap tamak para pekebun, sama ada melibatkan pekebun kecil apatah lagi pengusaha besar.

PEKEBUN ‘HALAL’PUN ADA YANG TEROKA HARAM

Ada dalam kalangan pekebun kecil yang ‘halal’pun; oleh kerana tamak, tanah yang dilulus TOL kepada mereka sebelum ini sekadar dua (2) hektar tetapi telah melangkauinya hingga meliputi kira-kira 8.1 hektar termasuk di kawasan yang mempunyai kecuraman yang tajam, hingga mencemarkan.

Oleh kerana sikap tamak jugalah; ada dalam kalangan mereka telah engkar kepada arahan supaya mengeluarkan sedikit perbelanjaan bagi membina kolam perangkap kelodak di kebun masing-masing bagi mengelak aliran turun kelodak ke dalam anak-anak sungai dan sungai-sungai di sebelah hilirnya.

Maka kini, tutuplah ‘bab’ yang lepas, bukalah lembaran baharu. Sebagai Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab, pekebun-pekebun kecil yang sudah mengerjakan tanah di situ ada antaranya hingga 30 tahun, akan dibantu mendapatkan TOL.

Difahamkan, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands sedang bertungkus-lumus memproses permohonan TOL daripada lebih 1,000 pekebun kecil dan setakat ini, satu ‘batch’ mengandungi beberapa puluh permohonan telah siap untuk dibawa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bagi kelulusan.

Kadar bayaran yang dikenakan bagi TOL ini cuma RM200 seekar (0.405 hektar) setahun maka setiap pekebun kecil hanya perlu membayar antara kira-kira RM495 bagi sehektar dan kira-kira RM988 bagi dua hektar, setahun.   

UNTUNG BERSIH RM2,000 SEEKAR SEBULAN

Kadar bayaran ini tentunya tidak membebankan memandangkan pendapatan bersih yang boleh diraih daripada mengusahakan tanah TOL seluas sehektar dan dua hektar sahajapun adalah lumayan.

Menurut mereka yang arif tentang pengeluaran/pemasaran hasil sayur-sayuran dan buah-buahan di kawasan tanahtinggi itu, pendapatan bersih yang boleh dikaut itu ialah kira-kira RM2,000 untuk seekar atau 0.405 hektar.

Maka, untuk tanah seluas sehektar, pekebun kecil akan mampu memperolehi pendapatan bersih kira-kira RM4,900 sebulan atau kira-kira RM59,000 setahun, manakala bagi yang dua (2) hektar ialah kira-kira RM9,800 sebulan atau kira-kira RM118,000 setahun!

Oleh itulah kita mengharapkan agar pekebun-pekebun kecil yang bakal diberikan kelulusan TOL ini tidak beberapa lama lagi, agar sudah-sudahlah.

Janganlah diulangi perbuatan buruk yang lepas-lepas, sebaliknya mengusahakan tanah ini dengan menurut peraturan-peraturan yang ditetapkan demi kesejahteraan diri dan kelestarian Cameron Highlands juga. – Khabar 

Friday, 9 June 2017

Majlis Iftar Bersama Petugas Media & Jabatan/Agensi Berkaitan

… kira-kira 150 orang dalam kalangan petugas media tempatan, serta dalam kalangan kakitangan Jabatan dan Agensi Kerajaan hadir.

CENDERAHATI BUAT KETUA BIRO BERNAMA PAHANG... Dato' Shahaniza sedang menyerahkan 'goodies' berupa kuih Raya kepada Cik Shamsiah Mohamed sambil Dato' Abdul Wahab memerhatikan.


DEWAN BANKUET, MANGALA RESORT & SPA, GAMBANG, KUANTAN – Sepertimana tradisi, tahun ini sekali lagi para petugas media tempatan terutamanya, telah diraikan oleh Pejabat Menteri Besar pada Majlis Iftar Ramadan petang Jumaat, 9 Jun di sini.

Bertetamu utamakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato’ Shahaniza Shamsuddin; kira-kira 150 mereka hadir, yang turut meliputi kakitangan Pejabat Menteri Besar sendiri;

Jabatan Penerangan Negeri; Jabatan Penyiaran Negeri; penyambut tetamu dan pengawal dari Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri; serta dari Yayasan Pahang (YP) dan LKPP Corporation Sdn Bhd.

Dalam kalangan petugas media; kesemua organisasi media tempatan diwakili – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), RTM Pahang, TV3, Astro Awani, TV9, TV Al-Hijrah, Utusan Malaysia, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro, the New Straist Times (NST), the Star dan Sinar Harian.

Begitu juga dalam kalangan akhbar-akhbar ‘vernacular’ – China Press, Nanyang Daily serta Sin Chew Daily. Petugas-petugas dari portal berita Pahang-ku juga turut hadir secara ‘full force’ pada Majlis Iftar ini.

CENDERAHATI BUAT... Ketua Biro Berita Harian Pahang, Encik Abdul Razak Raaf.

BEGITU JUGA BUAT... Ketua Biro Utusan Malaysia Pahang, Encik Mohd Shariza Abdullah.


‘MOMENT’ HARGAI JASA BEKAS PETUGAS

Majlis petang Jumaat ini turut disempurnakan dengan ‘moment’ menghargai jasa-jasa bekas petugas media – Abdul Manan Ahmad (bekas Pegawai Foto di Pejabat Menteri Besar) dan Baharin Arop (bekas pegawai Jabatan Penerangan Negeri).

Dalam ucapannya, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Dato’ Abdul Wahab Mohamad Ali – selaku ‘host’, telah menyatakan penghargaan tingginya atas kerjasama yang telah para petugas media hulurkan demi menguar-uarkan tentang aktiviti dan kemajuan negeri.

Sementelah pula Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 dijangka diadakan dalam tempoh tidak beberapa lama lagi yang lebih memerlukan petugas-petugas media untuk terus memberikan kerjasama tersebut.

Mengenai kedua-dua Abdul Manan dan Baharin katanya, ada kalanya jasa besar seseorang itu terlepas pandang (overlooked) yang apabila disedari maka segera diadakan majlis untuk menghargai mereka sepertimana petang ini.

Beliau turut menyatakan terima kasihnya yang tidak terhingga kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), YP dan LKPP Corporation Sdn Bhd yang telah membiayai keseluruhan kos penganjuran Majlis Iftar ini.  

Selain Dato’ Shahaniza dan Dato’ Abdul Wahab; yang turut hadir ialah Pengarah Penyiaran Negeri, Puan Norbai‘yah Baharuddin; serta wakil-wakil dari YP, Puan Zarina dan LKPP Corporation Sdn Bhd, Encik Ridzuan. 


PESANAN SUA... Dato' Abdul Wahab di belakang rostrum.


MEJA KETUA-KETUA BIRO... Yang turut berada di meja VIP ini ialah Ketua Biro China Press, Encik Lee Woon Wei dan Ketua Biro The Star, Encik Ong Han Sean (membelakangkan kamera).


SESI BERFOTO KUMPULAN... Sambil turut laungkan, 'Selamat Hari Raya' yang dijangka disambut kira-kira dua (2) minggu lagi. – Khabar