POSE ENCIK ZAMRI DI DEPAN MERCU TANDA LADANGNYA...
NOTA
EDITOR;
Berikut
ialah artikel mengenai Zamri Agro Farm hasil temubual Editor Eksekutif, Khabar
Pahang dengan pemiliknya, Encik Zamri Othman pada Khamis, 26 Oktober lepas.
Artikel
ini ialah untuk siaran dalam ruangan Tekad, Kudrat & Iradat majalah Khabar
Pahang versi cetak Bil 25 Tahun 19 Tahun 2017 yang kini dalam proses
penerbitan, yang dijangka siap untuk edaran oleh Jabatan Penerangan Negeri pada
hujung bulan/tahun ini.
Sama-samalah
kita mengikutinya serta mengambil pengajaran mana-mana yang patut daripadanya,
insyaAllah.
ZAMRI AGRO FARM,
KAMPUNG PADANG FREE, PAMAH RAWAS, MUKIM HULU DONG, RAUB – Siapa sangka?
Daripada seorang pegawai ‘procurement’ atau pemerolehan di sebuah syarikat di
Shah Alam, Selangor, kini ialah pengusaha dan pengeluar anak benih durian
Musang King antara terbesar di negara ini.
Jumlah
pengeluaran kini ialah 30,000 anak benih yang mahu ditingkatkan menjadi 120,000
anak benih atau lebih empat (4) kali ganda daripada asal, pada tahun depan
(2018).
Dan
anak benih-anak benih ini telah diiktiraf oleh Jabatan Pertanian sebagai yang
asli – klon D197 atau Musang King atau dulunya lebih dikenali sebagai Raja
Kunyit; hasil cantuman antara pokok induk klon sama dengan durian kampung.
Inilah
orangnya, Encik Zamri Othman, anak tempatan berusia 42 tahun, berkelulusan
Ijazah Sarjana Muda Pengurusan daripada Universiti e Asia (AeU), Kuala Lumpur,
yang sanggup tinggal di sini berjauhan daripada isteri di Shah Alam, demi
menjayakan pengusahaannya.
Dan
atas tekad dan kudratnya itu serta beberapa lagi usaha pertaniannya, beliau
telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Peladang Jaya Lelaki sempena Hari
Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) Negeri 2017 pada Mei lepas.
ANAK BENIH MUSANG KING...
KELUAR WANG
SIMPANAN BELI TANAH
“Sejak berhenti
kerja tahun 2014 (selepas 20 tahun berkhidmat dengan syarikat berkenaan), di
sinilah tempat saya,”
kata Encik Zamri pada temubual dengan penulis pada tengah hari Khamis, 26
Oktober di sini.
Setahun
sebelum itu lagi (2013), Encik Zamri sudah menunjukkan hasratnya ke arah itu
dengan mengeluarkan RM80,000 wang simpanannya, membeli tanah tiga-setengah (3
½) ekar bersebelahan tanah 3 ½ ekar lagi milik keluarga, menjadikan keluasan
keseluruhannya, tujuh (7) ekar, di sini.
Matlamat
utamanya ketika itu ialah untuk menanam pokok durian Musang King, sejajar
dengan kesesuaian tanah di sini apatah pula daerah Raub memang sudah terkenal
dengan penghasilan buah durian klon tersebut.
Beliaupun
membeli kira-kira 200 anak pokok durian, RM70 seanak pokok – 197 daripadanya sahaja
merupakan klon Musang King manakala selebihnya, satu (1) klon IOI dan dua (2)
lagi klon Duri Hitam; kemudian menanamnya.
Kepada
anak muda lepasan pengajian pengurusan yang pernah pula terlibat dengan
kerja-kerja pemerolehan di tempat kerjanya sebelum ini; membeli dan menanam
mungkin satu perkara yang boleh dikatakan tidak susah, tetapi;
TANDA PENGESAHAN OLEH JABATAN PERTANIAN... Inilah pokok Musang King yang daripadanya dicantumkan bagi menghasilkan anak benih Musang King yang sejati.
TAK BOLEH AMALKAN
3T – TEBANG, TEBAS, TINGGAL
“… untuk
menjaganya, satu perkara lain. Ia perlukan pengetahaun serta penjagaan yang
baik khususnya membaja. Kita tak boleh amalkan 3T – tebang, tebas, tinggal,” kata Encik Zamri
tentang pengalaman awalnya menanam dan menjagai anak pokok durian ini.
Oleh
kerana kegigihan dan menerusi katanya, ‘penjagaan cantik dan rapi’, hanya
selepas tiga (3) tahun lima (5) bulan, pokok-pokok duriannya ini telahpun
mengeluarkan hasil yang diharap-harapkan.
Dalam
pada itupun, sepertimana beliau gigih mempelajari secara ‘informal’ kaedah-kaedah
terbaik menanam dan menjagai pokok durian, Encik Zamri cuba melakukan yang sama
untuk menghasilkan anak-anak benihnya pula.
Di
sinilah beliau menghadapi cabaran besar – lokek ilmu! Hampir tidak ada
sesiapapun yang mempunyai ilmu tersebut khususnya dalam kalangan pengusaha anak
benih-anak benih durian Musang King yang ditemui, sanggup berkongsi ilmu
tersebut dengannya.
“Terpaksalah saya
gagahkan diri, cuba hasilkan anak benih-anak benih ini menerusi ‘trial and
error’,”
katanya. Maka, banyak kalilah, tanpa jemu atau putus asa, beliau mencuba,
gagal, dan mencuba lagi.
JERNIHNYA SUMBER AIR DI SINI, YANG DIPEROLEHI DARI HUTAN SIMPAN BERSEBELAHAN... Yang menerusi paip kira-kira 7 KM daripada puncanya telah dialirkan ke sini.
CANTUM ‘MATA
TUNAS’ DENGAN ‘POKOK PENANTI’
Sehinggalah
beliau menemui kaedah sendiri dengan mencantumkan ‘mata tunas’ daripada daun
pokok induk Musang King, dengan ‘pokok penanti’, yang asalnya daripada tunas
biji durian baka kampung.
‘Pokok
penanti’ ini, fungsinya sekadar sebagai pokok tumpang yang berupaya menyerap
segala zat daripada tanah, sementara tunas daripada cantuman dapat tumbuh dan
membesar.
Apabila
sahaja tunas sudah membesar dan berupaya dengan sendiri menyerap zat-zat yang
diperlukan terus dari tanah, maka ‘pokok penanti’pun hilang fungsinya lalu
boleh ditanggalkan dengan mudah daripada tunas yang sudahpun membesar itu.
Sejak
itulah, Encik Zamri tidak menoleh ke belakang lagi. Satu anak benih ke satu
anak benih Musang King dihasilkannya, yang dalam pada itu, beliau mendapatkan
Jabatan Pertanian untuk mengesahkan kaedah percantumannya.
Mempelajari
daripada pengalaman buruk yang silam, Encik Zamri tidak mahu menjadi seorang
yang lokek ilmu. Dia senang sahaja menurunkan ilmunya itu kepada penduduk
setempat maka terlahirlah kini, 20 pencantum dalam kalangan mereka.
ANTARA POKOK MUSANG KING YANG TURUT DITANAM DI LERENG BUKIT DAN DUA (2) KOLAM IKANNYA...
BELI BIJI DURIAN
KAMPUNG RM1 SEKILOGRAM
Selain
itu, beliau juga menawarkan peluang pendapatan apabila – daripada biji buah
durian kampung yang dibuang begitu sahaja, beliau membelinya pada harga RM1
sekilogram.
Yang
daripada biji-biji buah durian kampung inilah, beliau bajakannya lalu tumbuh
tunas yang kemudian menjadi ‘pokok penanti’, dicantumkan dengan ‘mata tunas’ daun durian Musang King untuk
melahirkan anak benih-anak benih Musang King berkenaan.
“Ini adalah satu
lagi kepuasan kepada saya. Selain melahirkan pencantum-pencantum baru, saya
juga memberi peluang buat duit kepada penduduk kampung daripada melihat
biji-biji buah durian dibuang begitu sahaja,” katanya.
Bermula
dengan memasarkan anak benih-anak benih ini untuk permintaan tempatan dengan
harga jualan RM15 seanak benih setinggi antara empat (4) inci dan lapan (8)
inci yang dikira murah berbanding kira-kira RM25 seanak benih di pasaran;
Khabar
tentang pengeluar anak benih ini oleh anak muda Melayu apatah lagi kerana
‘originality’ klon Musang Kingnya, kemudian segera tersebar hingga melampaui
bukan setakat sempadan mukim, malah daerah dan negeri.
MAHU HASILKAN
120,000 ANAK BENIH TAHUN DEPAN
Dan
beliau amat profesional dalam penjualannya. “Pernah ada pembeli dari Pulau Pinang yang beli 100 anak benih dan
tanam di kebunnya,” kata Encik Zamri, “…
yang kemudian dapati, ada dua (2) tidak tumbuh seperti sepatutnya (maka) saya
gantikan kedua-duanya secara percuma”.
Dijangka
dapat menghabiskan jualan keseluruhan 30,000 anak benihnya (dengan nilai jualan
RM450,000) pada hujung tahun ini, Encik Zamri sudahpun merancang untuk
menghasilkan ‘batch’ baharu dengan jangkaan kira-kira 120,000 anak benih pada
tahun depan (2018).
Dengan
bantuan pencantum-pencantum yang telah dilahirkannya, beliau percaya,
sasarannya itu akan tercapai, seterusnya dapat memenuhi permintaan yang semakin
tinggi terhadap anak benih-anak benih klon Musang King ini.
Bagaimanapun,
untuk ‘batch’ terbaharu ini, beliau tidak dapat lagi menawarkan harga RM15
seanak benih, sebaliknya akan menjual pada harga antara RM18 dan RM22 seanak
benih dengan jangkaan nilai jualan antara RM2.16 juta dan RM2.64 juta.
Bukan
kerana hendak maraih keuntungan berlipat kali ganda tetapi menurutnya, cuma
bagi menampung secara sewajarnya, kos penghasilannya yang semakin meningkat
sekarang.
JUGA TERNAK IKAN
KELAH DALAM KOLAM
Namun
beliau percaya, harga baharu itu nanti masih rendah jika dibandingkan dengan
harga yang turut akan meningkat lebih tinggi lagi (malah, ada yang menjualnya
sehingga RM40 seanak benih) di pasaran tempatan.
Sungguhpun
penghasilan dan pengeluaran anak benih Musang King ialah ‘core business’nya di
ladang seluas tujuh (7) ekar ini, Encik Zamri juga turut mengusahakan jenis
pertanian lain termasuklah penternakan ikan kelah!
Kepada
sesetengah orang, mungkin tidak pernah tahu tentang penternakan ikan itu
melainkan kehidupan secara liar ikan yang terlalu sensitif terhadap alam
sekitar tersebut di kawasan-kawasan yang tidak tercemar seperti di santuari
ikan kelah di Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut.
Tetapi
di sini, di dalam satu daripada dua (2) kolam, dengan keluasan 160 kaki X 150
kaki dan kedalaman sembilan (9) kaki, telahpun terdapat kira-kira 5,000 ekor
atau kira-kira empat (4) tan atau 4,000 kg ikan tersebut.
Setiap
seekor kini katanya, telahpun mencapai berat antara 500 gm dan 2 kg. Dengan harga
sekilogram ikan tersebut ialah RM400, dikalikan dengan 4 tan atau 4,000 kg yang
bersamaan dengan RM1.6 juta.
AIR BERSIH, JERNIH
DARI HUTAN SIMPAN GUNUNG BENUM
“Sekarang, saya
tunggu masa yang sesuai sahaja untuk ‘harvest’ dan jual,” katanya.
Sepertimana
tidak lokek ilmu, Encik Zamri juga tidak berahsia tentang kejayaannya menternak
ikan kelah yang sangat sensitif ini iaitu, mengisi kolamnya dengan air bersih
lagi jernih.
Air
ini diperolehi dari sungai dalam Hutan Simpan Gunung Benum bersebelahan, dialir
ke sini dengan kuasa graviti sejauh kira-kira tujuh (7) KM menerusi ‘polypipe’ yang
berdiameter kira-kira empat (4) inci.
Begitu
jugalah, air yang sama digunakan bagi mengisi satu lagi kolam seluas 180 kaki X
180 kaki, berkedalaman sembilan (9) kaki juga, yang diternaknya pula ikan
tilapia yang kini jumlahnya ialah kira-kira 6,000 ekor.
Setiap
ekor kini sudahpun mencecah kira-kira 2 kg yang dikalikan dengan 6,000 ekor bersamaan
dengan 12,000 kg. Harga sekilogram ikan tilapia kini ialah RM70 X 12,000 kg
bersamaan dengan RM840,000 nilai jualan keseluruhan.
KEKAL ‘MODEST’,
MAHU ‘SLOW DOWN’ UMUR 45 TAHUN
Sungguhpun
dengan kejayaan-kejayaannya ini, Encik Zamri dilihat tetap kekal ‘modest’ atau
bersederhana termasuklah dalam menentukan jumlah pendapatan bulanannya. “Saya tak ambil banyak (sebagai pendapatan
tetap bulanan).
“Malah, untung
yang dapatpun dibahagi menurut bahagian tertentu kepada anak-anak buah saya,” katanya.
Dengan
sikap sebegini serta dengan kegigihan beliau yang menurutnya akan mula ‘slow
down’ pada usia 45 tahun; adalah dijangkakan Encik Zamri akan dapat menempuh
lebih kejayaan, insyaAllah. – Khabar