Saturday, 24 March 2018

BN yang terbaik untuk rakyat!

“… mulai daripada Perikatan sampai Barisan Nasional, sejak Merdeka sampai sekarang, kita boleh menguruskan negara ini dengan baik; maknanya, inilah parti terbaik untuk rakyat,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

PETANG SABTU YANG PENUH BERSEMANGAT... Selain Dato' Sri Mohd Najib dan Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Liow, Dato' Sri Wan Adnan, dan Dato' Sri Abdul Hamid atau lebih popular dengan panggilan, 'Hamid Mandela' (kiri sekali).  


PADANG SRI KEMUNTING, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menggalurkan kejayaan Parti Perikatan disusuli Barisan Nasional (BN) mentadbir negara selama ini ialah bukti betapa BN ialah terbaik, yang sentiasa menjadi pilihan rakyat.

Kejayaan ini disebalik kemajmukan rakyatnya – Melayu, India, Cina, Punjabi dan Orang Asli di Semenanjung Malaysia, serta pelbagai suku kaum seperti Iban, Dayak, Kadazan dan Murut di Sabah dan Sarawak.  

Sambil itu beliau yang juga Pengerusi BN Negeri menegaskan betapa kejayaan BN berpaksikan kepada dua (2) faktor utama iaitu kestabilan sosio-politik serta keyakinan ahli-ahlinya terhadap perjuangan gabungan 13 parti komponen berkenaan, yang harus terus dipelihara.

Ini dinyatakan dalam ucapan luar teks 15-minitnya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya BN Parlimen Kuantan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak petang Sabtu, 24 Mac di sini.

“… mulai daripada Perikatan sampai Barisan Nasional, sejak Merdeka sampai sekarang, kita boleh menguruskan negara ini dengan baik; maknanya, inilah parti terbaik untuk rakyat,” katanya yang disambut tepukan oleh kira-kira 6,000 orang yang hadir.  

KESEPAKATAN, KESEPADUAN DALAM KALANGAN PEMIMPIN KITA... Antara yang turut kelihatan ialah (dari kiri) Dato' Sri Shafik Fauzan; Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato' Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid; 

Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin dan Dato' Sri Norol Azali Sulaiman; dan, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato' Sri Ismail Mutalib. 
   

KENA FAHAMI SEMANGAT BN

“Untuk itu, kita kena memahami semangat Barisan Nasional, 13 adik-beradik dalam Barisan Nasional ini. Ayahnya seorang,” katanya lagi beranalogi, dipercayai merujuk kepada 13 parti komponen BN di bawah Pengerusi, Dato’ Sri Mohd Najib.

Mengenai faktor kestabilan katanya, ia penting kerana tanpanya – baik dalam sebuah organisasi seperti BN ataupun negara; ia tidak memungkinkan kejayaan negara sepertimana yang diperolehi sekarang.    
  
“Kestabilan ini mustahak. Dalam keluarga ke, dalam organisasi ke, apatah lagi dalam negara; kestabilan, keamanan ini penting. Kalau keluarga bercelaru macam mana kita hendak menghadapi kehidupan?

“Kalau organisasi kita bercelaru, macam mana kita hendak menghadapi organisasi-organisasi yang lain? Kalau kita di negeri Pahang ini pentadbiran bercelaru, bagaimana harapan rakyat kepada kita?

“Begitu juga di Malaysia ini tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Kestabilan kita terletak kepada perpaduan, muhibbah antara kaum. Itu kita kena ingat. Bukan senang kita mentadbir Malaysia ini,” katanya lagi dengan merujuk kepada rakyat berbilang kaum yang ada.

PELEPASAN JELAJAH BERMOTOSIKAL... Selain Dato' Sri Mohd Najib, Dato' Sri DiRaja Adnan, serta Dato' Sri Wan Adnan dan Dato' Sri Abdul Hamid; yang turut kelihatan ialah Encik Nara @ Nikman (kiri sekali, di atas pentas). 


MAJORITI TAK BOLEH KETEPIKAN KEPENTINGAN MINORITI

Mengenai faktor keyakinan katanya, ia menjadi pendorong kepada seseorang untuk menjadi ahli UMNO seterusnya BN, dan betapa pula yakin bahawa parti inilah yang boleh menjaga kepentingan bangsa, agama dan negara.

“Kita dah yakin dengan perjuangan – masuk UMNO, masuk Barisan, sebab kita yakin inilah parti yang boleh menjaga kepentingan anak-cucu, bangsa dan negara.

“Kita berbagai-bagai kaum, kita tak mampu untuk bergaduh, tak boleh. Itu sebab kita kena kekalkan semangat muhibbah antara kaum dan salah satu caranya untuk menunjukkan ialah bahawa kita boleh berkongsi kuasa…

“UMNO jadilah pemerintah, jadilah ketua… Sebab, komposisi kaum di Malaysia ini memang majoriti Orang Melayu. Orang Cina, Orang India - dia minoriti tapi kita jangan pula oleh sebab kita majoriti, kita mengenepikan pula kepentingan minoriti. Tak boleh… takkan selamat,” tegasnya.

Sebelum itu, beliau turut menyentuh tentang isu tuntutan UMNO Bahagian Kuantan yang mahukan calon dalam kalangan UMNO diletakkan bertanding bagi kawasan Parlimen Kuantan – bukan calon daripada MCA seperti yang diura-urakan; pada Pilihanraya Umum (PRU) kali ini.

SAMA-SAMA KITA KIBARKAN BENDERA BN... Antara yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Ishak; serta, Setiausaha UMNO Bahagian Kuantan, Dato' Wan Salihin Wan Hassan (kanan sekali).  


PERSPEKTIF BERBEZA PADA KEDUDUKAN BERBEZA

Menurutnya, mungkin ada yang terlupa tentang persefahaman antara kedua-dua UMNO dan MCA tatkala persempadanan semula dilaksanakan melibatkan Parlimen Kuantan hingga membahagikan kawasan itu kepada dua – Parlimen Kuantan dan Parlimen Indera Mahkota.

“Rupa-rupanya perjanjian pada masa itu; kalau pecah dua – UMNO (dapat) satu, MCA (dapat) satu. (Parlimen) Indera Mahkota bagi kepada UMNO, itu sebab Kuantan kita beri kepada MCA, Fu Ah Kiow.

“Kalau ikut sejarah memang – di zaman Dato’ Ali Sharif, Arwah; Dato’ Rahman Talib, Arwah; (Dato’) Rahim Bakar, (Tan Sri) Adam Kadir, Dato’ Fauzi, Tun Khalil; memang UMNO. Tapi apabila pecah kawasan tu, itu persefahamannya,” katanya.

“Minta maaflah pucuk pimpinan UMNO Bahagian. Saya cakap ini tak popular. ‘Apa ini UMNO, apa ini MB; dia Pengerusi UMNO, Pengerusi Barisan Nasional (Negeri) boleh pula tak menyokong’. Bukan tak menyokong…

“Tuan-tuan dan puan-puan tengok daripada bawah. Kalau naik helikopter nampak tinggi sikit, kalau naik kapalterbang lagi nampak tinggi. Nampak perspektif tu lain,” tegasnya sambil beranalogi lagi.

PARA PEMUDA PESERTA JELAJAH BERMOTOSIKAL KITA... 


TAK MUNGKIN MENANG, MENANG BESAR JIKA…

Beliau seterusnya mengulangi kenyataannya sebelum ini betapa jika berdasarkan majoriti kaum, tidak mungkin BN meletakkan calonnya dalam kalangan MIC kerana tidak ada satupun kawasan – baik Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN); yang kaum India ialah majoriti di kawasan-kawasan itu.

Oleh sebab itulah katanya, kawasan-kawasan yang majoriti kaum/pengundi Melayu yang sepatutnya ditandingi oleh calon UMNO, telah diberikan kepada calon-calon MIC sepertimana di kawasan Parlimen Cameron Highlands dan DUN Sabai.

Yang dengan itu juga menurutnya, masyarakat India melihat UMNO – sebagai tulang belakang BN; adalah sebuah parti yang bertolak ansur, bertimbang-rasa serta adil dan saksama lalu mereka mengundi pula calon UMNO yang bertanding di kawasan-kawasan lain.

“Kalau tidak, saya tak mungkin menang besar di Pelangai, Dato’ Sri Sharkar tak mungkin menang di Lanchang, Dato’ Sri Soffi tak mungkin menang di Benta; kalau tak ada Orang India menyokong.

“Orang India sokong fasal apa? Sebab Barisan Nasional patut, adil, saksama walaupun dia tak ada kerusi yang majoriti dia, dibagi juga kerusi Parlimen kepada MIC, dibagi juga sesetengah kerusi DUN kepada MIC. Yang ini kita kena faham,” tegasnya.

KEAKRABAN SESAMA ULUL-AMRI KITA YANG TERJALIN MESRA SEJAK SEKIAN LAMA... Tentu ada sesuatu mustahak yang dibisikkan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan hingga mendapat perhatian penuh minat Dato' Sri Mohd Najib. 


PEMIMPIN PANDAI, BIJAKSANA

Pada penghujung ucapannya, Dato’ Sri DiRaja Adnan menegaskan betapa; “Jadi pemerintah ini bukan sahaja (mesti) cerdik, tetapi bijaksana.

“Siapa pemimpin yang pandai, bijaksana? Ha ini depan kita, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak,” katanya yang secara spontan mendapat tepukan dalam kalangan hadirin.

Selain Dato’ Sri Mohd Najib sendiri, antara yang turut hadir pada majlis penuh semangat petang Sabtu ini ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamed; Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Dato Sri Liow Tiong Lai; Timbalan Pengerusi BN Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin;

Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri; kepemimpinan UMNO Bahagian Kuantan diketuai Dato’ Sri Wan Adnan Wan Mamat; Timbalannya, Dato’ Sri Abdul Hamid Nazahar;

Naib Ketuanya, Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif; serta, Ketua-ketua UMNO sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian, masing-masing Dato’ Zaiton Mat, Encik Nara @ Nikman Nordin, dan Datin Roslina Ibrahim. 


KEMESRAAN YANG TERSERLAH... Bak kata 'idiom' Inggeris, 'a picture is worth a thousand words' atau bermaksud, satu gambar memberi nilai ribuan kata. Dan ini tentu menandakan kemesraan yang terus terjalin antara kedua-dua pemimpin utama negara dan negeri kita. – Khabar     
           

Tuesday, 20 March 2018

Manifesto BN Pahang perlu sikit lagi penambah-baikan

“Apa benda kita boleh bagi (lagi) kepada rakyat. Biasiswa Sekolah Menengah, Sekolah Rendah contoh, kita (akan) tambah RM50, RM50 lagi. Itulah sebagai contoh,” kata Menteri Besar tentang antara intipati Manifesto BN Negeri.
   

RAMAH-MESRA DENGAN PARA PENERIMA... 


TAPAK, PROJEK PERUMAHAN RAKYAT DIMILIKI (PPRM), KAMPUNG BARIS, BENTONG – Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob berkata, Manifesto Pilihanraya BN Negeri kini sudah siap tetapi masih memerlukan sedikit penambah-baikan lagi dan intipatinya ialah berkaitan dengan kepentingan rakyat.

Antara yang disebutnya ialah tentang usaha untuk menaikkan lagi kadar pemberian di bawah kedua-dua Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) dan Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) masing-masing sebanyak RM50 lagi.

“Apa benda kita boleh bagi (lagi) kepada rakyat. Biasiswa Sekolah Menengah, Sekolah Rendah contoh, kita (akan) tambah RM50, RM50 lagi. Itulah sebagai contoh,” katanya kepada wartawan yang menemuinya pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Projek Perumahan Rakyat Dimiliki (PPRM) pagi Selasa, 20 Mac di sini. 

Sebagai latar belakang, Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Pahang (YP), memperkenalkan BSM pada tahun 1983 manakala BSR pada tahun 2002 dengan kadarnya kini ialah masing-masing RM600 setahun (bagi BSM) dan RM300 setahun (bagi BSR).

Sehingga akhir tahun lepas, 162,241 pelajar (tingkatan 1 hingga 6) telah memanfaati BSM dengan nilai keseluruhan, RM272 juta!; dan 102,025 murid (tahun 4 hingga 6) telah memanfaati BSR dengan nilai keseluruhan, RM74 juta!
  
Dato' Sri DiRaja Adnan seterusnya berkata betapa manifesto yang diumumkan oleh puak pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH), merupakan sesuatu yang tidak realistik khususnya tentang janji untuk menghapuskan pelbagai jenis cukai.

“Kalau main semua cukai nak hapus, apa hasil Kerajaan untuk menguruskan negara? Tak munasabah tu… Jadi rakyat jangan mudah tertipu,” katanya.

SERAHAN DAN BERSALAMAN... Dato' Sri Wan Rosdy kelihatan sedang menyampaikan dokumen berkenaan kepada seorang daripada penerima. 


1MDB YANG SENGAJA PEMBANGKANG MOMOK-MOMOKKAN

Menurutnya lagi, apa juga yang dikatakan tidak baik tentang Kerajaan yang ada adalah merupakan persepsi yang digembar-gemburkan oleh puak-puak pembangkang yang termasuklah dalam isu 1Malaysia Development Bank (1MDB).

Sedangkan 1MDB katanya, merupakan satu kaedah Kerajaan untuk melabur ke luar Negara dengan nilai pelaburan yang mungkin besar tetapi boleh mendapat pulangan besar juga dalam tempoh singkat.

“Kita kena ingat, kalau kita melabur di sini RM1 tapi kalau US1 Dolar di Amerika, (di sini) RM4. Kalau satu (1) Paun di England, RM5. Maknanya, dengan pelaburan yang kita buat, kita akan dapat buat keuntungan bawa balik ke negara.

“Tapi, belum sempat apa-apa lagi, 1MDB telah dimomok-momokkan. Dan sekarang ini (dalam) ‘social media’ – kalau momok-momokkan, seolah-olah 1MDB tu satu yang tidak berguna langsung, tidak…

“Jadi terpaksa 1MDB menjual asetnya untuk membayar pinjaman yang telah dibuat. Kalau tidak dikacau hari itu, 1MDB boleh melabur di seluruh dunia dan boleh membawa pulangan kepada negara,” katanya lagi.

HADIRIN PAGI SELASA... 


UMNO RAKAN KONGSI YANG BAIK

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanya tentang kenyataan media yang dibuat oleh tokoh-tokoh tertentu mengenai permintaan untuk parti-parti komponen BN berkenaan untuk bertanding di satu-satu kerusi yang sama.

Menurutnya, seharusnya soal pembahagian kerusi sesama parti komponen BN diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menetap dan menyelesaikannya.   

“Kita kena ingat yer, kita Barisan Nasional ni kita ada sikap tolak-ansur. Kalau semua kerusi majoriti Melayu diberi kepada UMNO, apa hal MIC? Apa hal Gerakan? Apa hal MCA? Mereka rakan-kongsi kita.

“Jadi ada tempat-tempat tu, pucuk pimpinan akan putuskan di mana diberikan untuk parti komponen, di mana tinggal kepada UMNO,” katanya.  

“Dalam hal ini – dari dulu lagi, rakan-rakan komponen ini membantu kita (UMNO). Kita orang UMNO menjadi tonggak memegang kerusi yang banyak (maka) apa salahnya kita, satu-dua kerusi, dua-tiga kerusi di tempat-tempat yang boleh kita bagi (kepada) mereka, kita bagi mereka.

SERAH KEPADA KEBIJAKSANAAN PENGERUSI BN

“Kalau tidak macam MIC, mana ada satu kerusi yang majoriti India? Kena UMNO beri… Tapi, dengan memberi kerusi itu, maka orang India di seluruh negara memerhati (dan berkata) ‘Oh, UMNO ni rakan kongsi yang baik’

“Jadi orang India seluruh negara nanti akan mengundi pula orang UMNO yang ada pengundi-pengundi India yang kalau tak kerana orang India itu mengundi, mungkin kalah,” katanya lagi.

“Kita serah kepada kebijaksanaan YAB Dato’ Sri Mohd Najib (Presiden UMNO dan juga Pengerusi BN) untuk memutuskan. Kita ikut sahaja,” tegasnya.

Yang turut hadir pada majlis pagi Selasa ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Azhar Arshad; dan, Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Bentong, Dato’ Mohammad Shahid Ismail. – Khabar  



Friday, 9 March 2018

Termeterainya MoU dan Perjanjian Sempadan Pahang/Selangor

“Dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Sempadan antara negeri Pahang dan Selangor pada hari ini, maka jarak jajaran sempadan Pahang-Selangor adalah sepanjang 99.5 KM,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan

APABILA DUA MENTERI BESAR BERSAMA... Datuk Sri DiRaja Adnan sedang diringi Dato' Sri Mohamed Azmin sambil kedua-dua Setiausaha Kerajaan Negeri - Dato' Sri Muhammad Safian dan Dato' Mohd Amin (kanan sekali), menyusul. 

Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar Pahang, Encik Kamarul Iskandar Nordin (kiri sekali) dan 'bodyguard', Encik Yaakob (tengah di belakang). 



GRAND BALLROOM, HOTEL CONCORDE, SHAH ALAM – Kedua-dua Menteri Besar Pahang dan Selangor hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Sempadan antara kedua-dua negeri petang Jumaat, 9 Mac di sini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan mengetuai delegasi Pahang manakala rakan sejawatnya, Dato’ Sri Mohamed Azmin Ali mengetuai delegasi Selangor – masing-masing terdiri daripada Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.  

Yang turut hadir ialah kedua-dua Setiausaha Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail dari Pahang, dan Dato’ Mohd Amin Ahya dari Selangor; selain daripada Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Sri Azizan Ahmad dan Ketua Pengarah, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Dato’ Sr Mohd Nor Isa.

Sebelum itu, ketibaan Dato’ Sri DiRaja Adnan disambut oleh Dato’ Sri Mohamed Azmin di lobi hotel sebelum ke Tingkat 1 bagi mengadakan perbincangan tertutup bagi memuktamadkan perjanjian di sebuah bilik berdepanan Dewan ini.

Ini disusuli sesi fotografi berkumpulan sebelum Dato’ Sri DiRaja Adnan yang diiringi Dato’ Sri Mohamed Azmin, memasuki Dewan untuk menyempurnakan majlis petang Jumaat ini.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 14 1/2-MINITNYA... Yang menurut Dato' Sri Mohamed Azmin - sahabatnya sudah hampir 40 tahun; perwatakan Dato' Sri DiRaja Adnan kekal bersahaja serta santai. 


MoU TAHUN 1994

Dalam ucapan luar teks 14 1/2-minitnya, Dato’ Sri DiRaja Adnan antara lain menyebut tentang asas penentuan sempadan antara kedua-dua negeri tersebut yang menurutnya, bersandarkan kepada;

Pertukaran surat-menyurat antara Setiausaha Residen Pahang dan Setiausaha Residen Selangor antara tahun 1927 dan 1929, dan Warta Persekutuan No 112 dan No 3199 pada 14 Januari 1911 dengan kedudukan legeh utama sebagai panduan.

“Dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Sempadan antara negeri Pahang dan Selangor pada hari ini, maka jarak jajaran sempadan Pahang-Selangor adalah sepanjang 99.5 km,” katanya.

Pada 11 Julai 1994 kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, dua (2) MoU telah ditandantangani oleh Menteri Besar bagi kedua-dua negeri tersebut ketika itu, yang telah diadakan di Awana Golf & Country Resorts, Genting Highlands.

MoU berkenaan menurutnya, melibatkan tiga (3) kawasan iaitu; Kawasan A – dari titik sempadan tiga (3) negeri Selangor-Pahang-Negeri Sembilan, ke Genting Sempah, dengan jarak 22.6 KM.

TERTARIK DAN TERHIBUR... Yang kerana perwatakan bersahaja dan bersantai itulah yang turut terpancar pada ucapannya, hadirin tertarik dan terhibur dengan apa yang diperkatakan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan.   


PENGHARGAAN BUAT JAWATANKUASA-JAWATANKUASA BERKENAAN

Kawasan B – dari Bukit Fraser ke titik sempadan tiga (3) negeri Selangor-Pahang-Perak, dengan jarak 16.5 KM, dan, Kawasan C – dari Bukit Fraser ke Genting Sempah, dengan jarak 60.4 KM.

Beliau seterusnya menyatakan penghargaan Kerajaan Negeri kepada jawatankuasa-jawatankuasa yang terlibat dengan projek penandaan dan pengukuran sempadan bersama antara negeri-negeri yang meliputi tiga (3) iaitu;

Jawatankuasa Teknikal Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri-negeri (JBT) yang dipengerusikan oleh Pengarah Tanah Galian Negeri; Jawatankuasa Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri-negeri (JPPSBN) yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri;

Dan, Jawatankuasa Kebangsaan Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri-negeri (JKPPSBN) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

“Usaha-usaha kepada penandaan dan pengukuran sempadan negeri-negeri ini telah bermula sejak tahun 1993 lagi. Dan syukur, Alhamdulillah, dengan bantuan Kerajaan Persekutuan yang menanggung sebahagian kos proses penandaan sempadan ini telah membantu ke arah penandaan sempadan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya.

CENDERAHATI DARIPADA DATO' SRI MOHAMED AZMIN UNTUK SAHABAT 4-DEKADNYA... 


BISIKAN KE TELINGA

Pada awal ucapannya, sebagai reaksi kepada ucapan Dato’ Sr Mohd Nor sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menyebut tentang ‘bisikan’nya ke telinga Dato’ Sri Mohamed Azmin semasa mendengar ucapan Ketua Pengarah JUPEM itu agar kedua-duanya menghulurkan sumbangan kepada mereka yang berkenaan.

Mereka ini dalam kalangan kakitangan JUPEM yang menjalankan kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan tersebut– seorang dipanah petir tetapi terselamat manakala sekumpulan lain terperangkap di atas kawasan tanahtinggi akibat cuaca buruk.

“Saya telah bisikkan kepada saudara saya, Dato’ Sri Mohamed Azmin, bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan beri jamuan sekali kepada pegawai JUPEM,” katanya yang menerima tepukan hadirin. “Dan, di Pahang kita juga akan buat jamuan”.  

“Untuk yang dipanah petir, tapi Alhamdulillah selamat,” katanya lagi, “Saya bercadang untuk beri sedikit ganjaran,” yang sekali lagi menerima tepukan, “… tunai dan saudara saya Dato’ Sri Azmin juga akan beri ganjaran”.

“Bukan susah sangat… Kalau saya nak bagi RM10,000, kita pakat bagi lima(5)-lima (5),” yang tercetus ketawa hadirin. “Kalau nak bagi RM20,000, kita pakat bagi 10-10. Kalau nak bagi RM500, RM250 seorang,” katanya berseloroh yang sekali lagi menyebabkan hadirin tertawa.

LAWATAN KE PAMERAN... 


BISIKAN IALAH ARAHAN

Dato’ Sri Mohamed Azmin pula dalam ucapan 16-minitnya, telah antara lain turut menyentuh tentang cadangan sumbangan ganjaran dan jamuan sepertimana yang Dato’ Sri DiRaja Adnan sebutkan.

“Atas arahan YAB,” katanya yang menyebabkan hadirin ketawa, “Menteri Besar Pahang, yang membisik tetapi sebenarnya dia cara British,” katanya dan hadirin ketawa lagi;

“Sudah tentulah negeri Selangor, sebuah negeri yang Peduli Rakyat,” yang menerima sorakan dan tepukan, “dengan ini saya nak umumkan negeri Selangor adalah Peduli JUPEM,” disusuli tepukan.

“Saya tidak teragak-agak untuk bersama dengan YAB Dato’ Sri DiRaja untuk menyumbangkan ganjaran di atas khidmat cemerlang pegawai yang berkenaan,” katanya dan menerima tepukan lagi.

Dan atas ‘arahan’ Menteri Besar Pahang jugalah menurutnya, Kerajaan Negeri Selangor akan turut mengadakan Majlis Makan Malam sebagai mengenang jasa dan perkhidmatan pegawai dan kakitangan JUPEM.  

BARISAN KENAMAAN... Yang dalam kalangan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - Dato' Sri Shafik Fauzan Sharif; Dato' Sri Abu Bakar Harun; Dato' Sri Johari Ismail; Dato' Sri Norol Azali Sulaiman; Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; 

serta, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) yang juga Pengarah, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-PEN) Pahang, Dato' Suhaimi Mohd Yunus; dan, Pengarah, Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Dato' Indera Nazri Abu Bakar (masing-masing keempat dan ketiga dari kanan).  


PERWATAKAN MASIH SAMA – BERSAHAJA, SANTAI

Sebelum itu, Dato’ Sri Mohamed Azmin turut menyebut tentang persahabatannya dengan Dato’ Sri DiRaja Adnan serta betapa perwatakan baik yang terus ditunjukkan oleh beliau selama tempoh itu hingga kini.

“Persahabatan kami telah melangkau satu tempoh yang begitu panjang, saya ingat sudah hampir 40 tahun. Tapi saya lihat, perwatakan beliau masih sama, bersahaja, santai,” kata Dato’ Sri Mohamed Azmin yang secara spontan menerima tepukan hadirin.

“Tetapi memberikan mesej yang cukup bermakna kepada kita semua pada petang ini supaya majlis yang penuh sejarah ini akan menjadi lembaran baru kepada dua (2) buah negeri – Pahang dan Selangor, untuk menjalin satu kerjasama yang lebih produktif di masa yang akan datang, InsyaAllah,” katanya lagi. – Khabar      



Wednesday, 7 March 2018

Kisah dan Teladan; Orang tua, cucu dan kucing peliharaan yang disalah-sangka kerana tidak selidik kesahihan


“Kalau orang cerdik, dia mesti selidik dulu. Selidik dulu, tengok ya ke tidak. Kalau tidak, jadilah macam cerita orang tua dengan kucing.

“Orang tua tu tinggalkan cucu dia (untuk) kucing jaga (semasa) dia pergi ke ladang. (Apabila) dia balik, dia tengok kucing tu berlumuran darah (pada mulutnya), dia ingatnya kucing tu makan cucu dia (lalu terus) dia bunuh kucing tu.

“Rupa-rupa kucing tu membunuh ular yang nak patuk cucu dia. Ha, periksa dulu…,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.  

SUMBANGAN BUAT SEORANG DARIPADA PESERTA OKU DI PPDK DALAM KAWASAN PANGKALAN UDARA INI... Sumbangan kecil yang penuh bermakna buat adik ini, daripada Menteri Besar yang cukup ambil endah tentang golongan memerlukan ini. 

Yang turut kelihatan ialah Pengurus Kanan Bahagian Operasi, Yayasan Pahang, Encik Airul Amri Amran (berbaju korporat biru).


PANGKALAN UDARA, BATU 10, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob melakarkan kisah teladan yang intipatinya ialah betapa seseorang yang ‘cerdik’ ialah mereka yang menyemak kesahihan berita yang diuar-uarkan sebelum mempercayainya.

Kisah teladan itu melibatkan seorang tua, cucu dan kucing peliharaan, yang kerana tidak ‘cerdik’ – tidak menyemak kesahihan sesuatu punca itulah menyebabkan kejadian buruk lagi sia-sia, berlaku.    

“Kalau orang cerdik, dia mesti selidik dulu. Selidik dulu, tengok ya ke tidak. Kalau tidak, jadilah macam cerita orang tua dengan kucing,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob ketika ditemui wartawan tengah hari Rabu, 7 Mac di sini.

“Orang tua tu tinggalkan cucu dia (untuk) kucing jaga (semasa) dia pergi ke ladang. (Apabila) dia balik, dia tengok kucing tu berlumuran darah (pada mulutnya), dia ingatnya kucing tu makan cucu dia (lalu terus) dia bunuh kucing tu.

“Rupa-rupa kucing tu membunuh ular yang nak patuk cucu dia. Ha, periksa dulu,” katanya lagi sejurus sebelum mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri sempena lawatan kerja ke Pangkalan Udara ini.

MESRA BERSAMA-SAMA PEGAWAI DAN ANGGOTA... 


TIDAK ‘SYOK’NYA

Beliau turut meluahkan perasaan tidak ‘syok’nya dengan gejala yang melanda segelintir rakyat yang kononnya ‘terpelajar’, tetapi terpengaruh dengan fitnah lalu menganggap apa juga yang Kerajaan lakukan adalah salah.

“Sebab dia orang ini ‘terpelajar’, dia ingat semua benda (yang Kerajaan laksanakan) itu salah. Dia mesti mengaku dia itu (sahaja) betul, ha itu baru terpelajar. Kalau dia mengaku benda (yang Kerajaan laksanakan) itu betul, maknanya dia bodoh.

“Ha, ini masalah kita. Padahal semua itu (yang orang ‘terpelajar’ itu percaya, adalah) fitnah belaka. Tapi oleh sebab fitnah itu menarik, dia kata fitnah itu betul,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Oleh kerana sikap segelintir ‘terpelajar’ tersebutlah yang menurutnya betapa rakyat dan negara boleh menjadi ‘regress’ atau berundur ke belakang, bukan ‘progress’ atau maju seperti yang sepatutnya.    

Kepada soalan tentang peluang Barisan Nasional (BN) Negeri ini mengekalkan penguasaannya sebagai Kerajaan pada Pilihanraya Umum ke-14 nanti menurutnya yang juga Pengerusinya, BN tiada masalah untuk berbuat demikian.

SESI FOTO BERKUMPULAN SEBAGAI TANDA KENANG-KENANGAN... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan ialah Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin; Dato' Sri Norol Azali Sulaiman, dan, Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; 

serta, wakil rakyat setempat - Dato' Khairuddin Mahmud (BN - Pulau Manis) (dua dari kiri), dan, tuanrumah yang juga Komander, Pangkalan Udara Kuantan, Kol Wan Amin Hafiz Wan Mahmud.   


ISU NASIONAL ‘TAK JALAN’ DI PAHANG

“Isu nasional di negeri Pahang ini, berdasar kepada kajian kita, ‘tak jalan’ di Pahang ini. Di Pahang ini, orang lebih pentingkan soal kehidupan – mereka ‘complaint’ barang mahal, mereka ‘complaint’ sukar untuk hidup sikit.

“Ini Perdana Menteri telah tangani sekurang-kurangnya dengan kutip GST (sebanyak) RM40 bilion, kita bagi balik kurang-kurang RM7 bilion untuk (pemberian) BR1M selain daripada digunakan untuk membayar gaji (penjawat awam).

“Tinggal lagi, BR1M tu sikit, ha kita mintalah (daripada) Perdana Menteri lebih sikit pada masa akan datang. Tak ada masalah,” katanya.

Beliau juga menyangkal telahan puak-puak pembangkang kononnya bakal memenangi enam (6) daripada 14 kerusi Parlimen di negeri ini yang menurutnya, “(Kalau pembangkang) dapat mempertahan yang dia dah ada empat (4) pun (ketika ini) dah bernasib baik”.

Beliau seterusnya berkata betapa di Pahang, beliau dan rakan-rakanya khususnya dalam UMNO, bekerja sebagai sebuah keluarga atau adik-beradik, tanpa ada Ketua-ketua UMNO Bahagian yang menimbulkan masalah manakala Pengerusi Perhubungannya tidak menunjuk-nunjukkan kuasa.

MENCUBA SIMULATOR... Berada dalam kokpit simulator pesawat pejuang semasa meninjau ke Ground Based Training Systems (GBTS) yang terdapat dalam Pangkalan Udara ini. 


UMNO PAHANG TERBAIK PROGRAM ‘GOTV’

Yang oleh kerana itulah juga menurutnya, bagi program ‘Get Out The Voters’ (GOTV) yang dilaksanakan di negeri ini baru-baru ini, Badan Perhubungan UMNO Pahang ialah terbaik dengan kejayaan mendapat 85 peratus kehadiran.  

Mengenai lawatan mesra sepertimana yang dilakukan hari ini – selain acara-acara lawatan dan perjumpaan yang diselangi dengan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri katanya, ia akan diteruskan lagi.

“Program seumpama ini akan diteruskan yang pada ketika yang sama kita boleh berikan bantuan apa yang patut. Macam tadi kita pergi (ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti), ada pula rumah salah seorang daripada guru tu terbakar. Kita luluskan RM5,000.

“Kemudian itu, saya telah meluluskan RM30,000 ‘outright grant’ untuk Tabung Kebajikan TUDM Kuantan,” katanya, kemudian merujuk kepada Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Roslan Harun yang hadir sama dan berkata, “Esok hantarlah Dato’ Lan”

PEMIMPIN YANG TURUT 'MESRA-KANAK-KANAK'... Sempena lawatan kerja ini, Dato' Sri DiRaja Adnan turut meninjau ke Tadika Kemas yang juga terdapat dalam Pangkalan Udara ini. – Khabar




Saturday, 3 March 2018

"... dengar tapi fikir sendiri. Jangan dengar (percaya/terpengaruh dengan) fitnah, 'check' (semak) dulu," kata Menteri Besar.

Kata-kata ingatan ini diberikan susulan semakin galaknya puak-puak pembangkang menjelajah negara dan negeri ketika ini, untuk mempengaruhi rakyat supaya menumbangkan Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum nanti.

INSENTIF BUAT PENEROKA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan insentif kepada peneroka sambil Dato' Amizar memerhatikan. 


PERKARANGAN, DEWAN ORANGRAMAI, RANCANGAN TANAH FELDA KEMASUL, BENTONG - Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob sekali lagi mengingatkan rakyat supaya semak terlebih dahulu kesahihan berita yang digembar-gemburkan oleh puak-puak pembangkang tentang Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN), sebelum terpengaruh dengannya.

Kata-kata ingatan ini diberikan susulan semakin galaknya puak-puak pembangkang menjelajah negara dan negeri ketika ini, untuk mempengaruhi rakyat supaya menumbangkan Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

"... dengar tapi fikir sendiri. Jangan dengar (percaya/terpengaruh dengan) fitnah, 'check' dulu. Namapun pembangkang, dia bukan apa (selain men)cari kesalahan Kerajaan sahaja," kata Dato' Sri DiRaja Adnan.

"Kita mengalu-alukan sesiapa (sahaja yang) datang. Siapapun datanglah - Rafizi ke, sesiapa(pun) datanglah, tak ada hal.

"Bila dia datang itu, biarlah dia datang, jangan kacau. Kita (amalkan) demokrasi," katanya lagi menjawab soalan wartawan yang menemuinya pada Program Munajat dan Rehlah Dakwah Belia Perdana Peringkat Negeri malam Sabtu, 3 Mac di sini.

MESRA DENGAN HADIRIN... Sambutan ketibaan Dato' Sri DiRaja Adnan pada majlis malam Sabtu ini. Selain Dato' Amizar, yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Khairuddin dan Pengerusi, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Kemasul, Encik Soid Chin (menyusul di belakang Dato' Sri DiRaja Adnan).   


'TABAYYUN'

Soalan oleh wartawan Utusan Malaysia itu bertunjang kepada siri jelajah pembangkang termasuk oleh pemimpin kanan PKR, Encik Rafizi Ramli yang semalamnya berada di Kuantan dan esok pula ke Jerantut.

Pada siri jelajah itulah - yang semakin giat dianjurkan sejak kebelakangan ini menjelang PRU-14, berita-berita negatif tentang Kerajaan yang ada telah diuar-uarkan dalam ceramah-ceramah mereka.

"Kita ini (hendak) menghadapi pilihanraya... Pembangkang berkumpul (menjelajah) di mana-mana bukan satu perkara luar biasa. Semua parti boleh berkempen, pembangkang berkempen juga. Ini bukan satu perkara luar biasalah," kata Dato' Sri DiRaja Adnan lagi.

Dalam ucapan luar teks 26-minitnya sebelum itu, beliau turut antara lain menyentuh tentang dakyah oleh puak-puak pembangkang lalu mengingatkan hadirin dan rakyat agar mengamalkan 'tabayyun' atau semak dahulu kesahihan berita yang disampaikan.

"... yang mustahak sekarang ini ialah 'tabayyun', (yang ber)makna sebelum berita yang dibawa oleh orang 'fasiq' - mana ada orang dalam Malaysia ini yang (terlibat dengan) media sosial (ialah yang terdiri daripada) orang 'tasauf', orang 'sufi', orang 'ugama';


CENDERAHATI BUAT PERASMI... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menerima cenderahati daripada Dato' Amizar. 

Selain Dato' Sri Khairuddin, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Mohd Shahid (kiri sekali), Dato' Mohd Ghazali (tiga dari kanan), serta 'Tok Empat' Ghafar (kanan sekali) yang juga wakil khas di Dewan Undangan Negeri kawasan Pelangai yang Dato' Sri DiRaja Adnan ialah juga wakil rakyatnya. 


'ORANG FASIQ'

"(Orang 'fasiq' yang) membawa berita kita kena semak (kesahihan berita tersebut). Mereka kata Perdana Menteri mencuri duit. Munasabah ke Perdana Menteri mencuri duit?" tegasnya.

Mengenai program munajat dan rehlah dakwah belia anjuran bersama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Majlis Belia Negeri (MBN), Felda dan Kami Anak Felda (KAF) ini katanya, ia harus diperbanyakkan lagi.

Antara yang turut hadir pada majlis malam Sabtu ini ialah Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Bentong, Dato' Mohd Shahid Ismail; Timbalan Pengarah JAIP, Dato' Mohd Ghazali Abdul Aziz;
Pengerusi, Biro Kebajikan dan Keusahawanan KAF, Dato' Amizar Abu Adam;

Naib Ketua UMNO Bahagian Bentong, Dato' Sri Khairuddin Yaakob; Presiden MBN, Encik Wan Emril Nizam Wan Embong; dan, Pengerusi, Majlis Belia Daerah Bentong, Encik Ahmad Nilhakim Abdul Rahim. - Khabar