“Sebagai Menteri
Besar, sudah tentulah saya ingin melihat kebajikan rakyat negeri Pahang ini
daripada segenap segi, akan dapat dipertingkat dan diperkemaskan,” katanya.
DATO' SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL...
NOTA EDITOR;
Asalnya,
Menteri Besar baharu kita, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail agak ‘reluctant’
untuk memberikan temubual eksklusif sepertimana hasil/tulisannya disiarkan
dalam halaman 9 akhbar Mingguan Malaysia pada Ahad, 10 Jun.
‘Reluctant’nya
beliau penulis boleh fahami. Sementelah beliau, sepertimana yang penulis
kenalinya sejak berbelas-belas tahun lepas; bukanlah seorang yang suka kepada ‘limelight’.
Sebaliknya, beliau seorang yang lebih suka ‘let one's work to do the talking’ kerana
mempercayai betapa ‘actions speak louder than words’.
Namun,
atas kesedaran betapa beliau kini ialah pemimpin eksekutif negeri yang ‘numero uno’;tentunya
apa yang menjadi hasrat dan hala-tujunya dalam memimpin pentadbiran negeri, perlu turut diketahui oleh segenap penduduk negeri.
Dan,
antara ‘platform’ terbaik untuk menguar-uarkannya tentulah menerusi pelbagai
saluran media termasuklah Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia – ya, akhbar milik
UMNO Malaysia tetapi, masih yang paling tinggi pengedarannya di seluruh negara.
Maka,
dipersetujui dan berlangsunglah temubual eksklusif ini pada malam Jumaat lepas,
8 Jun bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 800, Jalan Teluk
Sisek, Kuantan. Temubual berlangsung selepas Majlis Berbuka Puasa bersama-sama
dengan Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Berikut
disiarkan sepenuhnya hasil temubual tersebut yang dikendalikan oleh Ketua Biro,
Utusan Malaysia cawangan Pahang, Sdr Mohd Shariza Abdullah, dibantu oleh anak
buahnya, wartawan Sdr Mohamad Shofi Mat Isa dan jurufoto, Sdr Ahmad Zakki
Jilan. MSA merujuk kepada Mohd Shariza Abdullah manakala DSWR ialah Dato’ Sri
Wan Rosdy.
MSA; Rakyat mungkin
belum mengenali Dato’ Sri. Siapa sebenarnya Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang
kini memegang jawatan Menteri Besar ke-15 ini?
DSWR; Saya sebenarnya
anak kampung, menetap di kawasan pedalaman dan belajar di daerah Lipis. Saya
melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara (ITM) dalam bidang Diploma
Pengajian Perdagangan.
Selepas
itu, saya bekerja sekejap sebelum menyambung pelajaran ke Universiti Sains
Malaysia (USM).
Maknanya,
saya ini anak kampung yang duduk di Tanjung Gahai. Infrastruktur langsung tiada
pada waktu itu, membaca buku pakai pelita dan kena menaiki bot untuk ke sekolah
dan ke bandar.
MSA; Pernah menjadi
pegawai Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dan Bernas, bagaimana Dato’ Sri
boleh terlibat dalam politik dan mengapa memilih UMNO sebagai landasan
perjuangan?
DALAM AKSI DAN 'ELEMENT'NYA...
INGIN BALAS JASA
KERAJAAN
DSWR; Semasa bertugas
dengan LPN sekejap kemudian dikorporatkan dan diswastakan, saya sedar bahawa saya
boleh belajar, boleh buat diploma dan ijazah sebenarnya adalah disebabkan oleh Kerajaan
yang ada pada ketika itu yang sediakan kemudahan pelajaran.
Sampai
satu peringkat, saya terfikir untuk membalas semula jasa Kerajaan dan dengan
sendiri berasa terpanggil untuk berbuat demikian.
Kebetulan
pula bidang saya adalah Sains Kemasyarakatan pengkhususan Sains Politik. Saya
ada minat tetapi tidaklah begitu ‘ambitious’ dalam politik. Saya sekadar
berminat, bila ada peluang saya suka balik kampung. Apabila ada program
politik, saya akan turut serta tetapi tidak menojolkan diri dan minat ada di
situ.
Tetapi
tanpa disangka, saya telah diminta oleh ramai ahli-ahli politik setempat untuk
melibatkan diri dalam politik. Ketika itu saya Pengurus Bernas dan Bernas tiada
halangan sebab ia sektor swasta.
Saya
tidak boleh menolak sebab ramai yang minta saya turut serta dalam politik,
mereka hanya mengatakan dapat persetujuan daripada saya. Saya masa itu tiada
masalah. Sudah berkerja, gajipun sudah o.k dan anak-anakpun sudah besar.
Saya
tidak menolak harapan rakan-rakan yang berada di kampung dalam bahagian Lipis
ketika itu.
SAMA DALAM MATLAMAT, TAPI AKAN BERBEZA DARIPADA SEGI PENDEKATAN, 'METHODOLOGY'...
TANPA
DISANGKA-SANGKA, TIDAK PULA MERANCANG
Apabila
saya menceburkan diri dalam politik di peringkat Bahagian, saya dapati ada
penerimaan daripada masyarakat setempat dan ini dapat dibuktikan apabila saya
telah diminta untuk bertanding jawatan.
Saya
mendapat antara kedudukan paling tinggi dalam jawatan dan setiap kali ada
pemilihan, saya mendapat tempat tertinggi. Ekoran itu, saya turut serta dan
bila saya menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, saya keluarkan pandangan,
pendapat, tidak mendesak, mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan ketika itu.
Apabila
sampai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11, nama saya tanpa disangka-sangka disebut
untuk menjadi calon. Oleh sebab minat itu ada dan saya pula tidak merancang
untuk menjadi wakil rakyat, tidak bertujuan untuk menjatuhkan sesiapa dan
sebagainya; saya diminta untuk bertanding. Jadi, atas dasar tersebut saya
menawarkan diri bertanding dalam PRU-11.
MSA; Difahamkan, Dato’
Sri hanya mengetahui tentang pemilihan sebagai Menteri Besar dalam perjalanan (ke
Istana Abu Bakar, Pekan), sebelum pelantikan pada sebelah petang 15 Mei lepas.
Bagaimana Dato’ Sri menerimanya?
DSWR; Penerimaan ini
sepertimana saya menerima jawatan saya sebagai wakil rakyat, dicalonkan sebagai
Exco Kerajaan Negeri dan ditawarkan sebagai Menteri Besar. Ketiga-tiga ini saya
rasa sama sahaja.
DALAM TEMUBUAL MALAM JUMAAT...
TERIMA
TANGGUNGJAWAB PENUH AMANAH/ ‘SENSE OF URGENCY’
Maknanya,
tidak disangka-sangka. Saya serah kepada Allah SWT sebab kerja ini, kita hendak
berkhidmat. Kalau kita ditawarkan, kita kena bekerja dan apabila mendapat
berita, saya terima tanggungjawab ini dengan penuh amanah.
Saya
akan pikul tanggungjawab ini lebih-lebih lagi dalam keadaan landskap politik
yang berubah ketika ini.
MSA; Bagaimana Dato’
Sri melihat syarat pelantikan Menteri Besar selama dua (2) tahun atau satu
tempoh yang diperkenankan oleh Istana Pahang?
DSWR; Saya ingat
tempoh dua (2) tahun ini bagus. Ini mungkin KDYMM Pemangku Raja, Tengku Mahkota
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ingin lihat supaya kita ada ‘sense of
urgency'.
Maknanya,
dalam masa dua (2) tahun ini, ‘you must do something’, mungkinlah. Jadi bagi
saya, ini tidak ada masalah sebab kita semua ingin menawarkan diri untuk
berkhidmat.
BERSAMA ISTERI TERCINTA... Foto ini dirakam semasa Dato' Sri Wan Rosdy dengan isteri, Datin Sri Burhah Mohammed di sisi; sedang menyampaikan perutusan Hari Raya Aidil Fitri yang dirakam oleh kru stesen televisyen RTM dan TV3. Ini disusuli kemudian dengan temubual eksklusif dengan Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia tersebut.
SAMA TAPI
PENDEKATAN, ‘METHODOLOGY’ BERBEZA
MSA; Apakah
pendekatan atau acuan pentadbiran yang Dato’ Sri mahu terapkan selepas
menggantikan Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang menjadi Menteri Besar sejak
empat (4) penggal lepas?
DSWR; Lebih kurang
sama, untuk rakyat, tetapi mungkin pendekatan, ‘methodology’ berbeza dan sudah
tentulah ada ruang-ruang untuk saya pertingkat dan perkemaskan lagi. Tetapi
kita punya ‘core business’ itu untuk rakyat, sama sahaja tidak lari tetapi cara
itu mungkin berbeza sikit.
Yang
penting, matlamat sama, faedah dapat kepada rakyat, kita bantu rakyat dan beri
kebajikan kepada rakyat.
MSA; Mengetuai
Kerajaan Negeri Pahang pada saat berlakunya perubahan besar dalam landskap
politik negara. Apakah cabarannya?
DSWR; Saya ingat
tiada cabaran yang besar sangat sebab rakyat sudah membuat pilihan dan
kedua-dua pihakpun ingin berkhidmat kepada rakyat.
BERSAMA RAKAN SEPERJUANGAN, DATO' SRI SHAFIK FAUZAN SHARIF...
KERAJAAN
PAHANG/PERSEKUTUAN SAMA-SAMA NAK BERI PERKHIDMATAN TERBAIK KEPADA RAKYAT
Kita
di Pahangpun ingin berkhidmat kepada rakyat dan di peringkat Persekutuanpun
ingin memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Jadi, demi rakyat saya ingat tiada
masalah.
Kalau
Kerajaan Negeri Pahang minta sesuatu untuk rakyat, saya ingat Kerajaan
Persekutuan tidak akan menghalang, malah akan memberikan kerjasama yang baik.
MSA; Pentadbiran Dato’
Sri mungkin berdepan kekangan termasuk daripada segi kewangan kerana Pahang
kini negeri berstatus pembangkang. Bagaimana hendak menyerap cabaran ini?
DSWR; Saya tidak
menafikan apabila di peringkat Persekutuan tidak sehaluan dengan negeri,
maknanya kita ini pembangkang. Tetapi di negeri Pahang, kita adalah Kerajaan.
Saya
tidak fikir akan menimbulkan masalah yang begitu besar. Cuma untuk
projek-projek besar, Kerajaan Negeri mungkin tidak ada kemampuan
kewangan. Namun daripada segi untuk memberi kebajikan dan perkhidmatan
yang kosnya tidak begitu banyak, tidak ada masalah.
MUKA DEPAN AKHBAR MINGGUAN MALAYSIA TERBITAN 10 JUN...
GLC NEGERI
DIHARAP SUMBANG DANA KEPADA KERAJAAN NEGERI
Saya
sendiri insyaAllah, akan memperkemaskan lagi kedudukan kewangan Kerajaan Negeri.
Kita juga akan melihat anak-anak syarikat Kerajaan Negeri dapat menyumbang
kewangan kepada Kerajaan Negeri.
Saya
harap mereka dapat meningkatkan kecekapan, mengurus kewangan dengan baik,
mengelakkan pembaziran dan mencipta keuntungan yang lebih daripada sekarang.
MSA; Apakah
perancangan Dato’ Sri untuk memajukan Pahang?
DSWR; Saya nampak,
kita akan mempertingkatkan sistem penyampaian sebab kita dapat rungutan
daripada bawah.
Contohnya,
untuk mendapatkan pertukaran hakmilik (tanah) memakan masa yang agak lama dan
saya telah menurunkan kuasa saya – yang sepatutnya perkara tersebut sampai ke
Menteri Besar; kita turunkan kuasa tersebut ke peringkat pentadbiran sehingga
ke peringkat Pegawai Daerah.
MENURUNKAN KUASA
KE PERINGKAT DAERAH SEKALIPUN
Tetapi
perkara yang penting, contohnya pertukaran hakmilik daripada Bumiputera kepada
bukan Bumiputera, itu mesti sampai kepada tangan Menteri Besar untuk
keputusannya.
Tetapi,
pertukaran hakmilik untuk kasih-sayang sebagai contohnya, daripada ayah kepada
anak dan ibu kepada anak; kita boleh buat di peringkat daerah, dalam masa
sehari atau dua hari perkara ini boleh diselesaikan.
Itu
salah satu yang kita akan percepatkan dan saya juga melihat untuk meningkatkan
hasil sebagai contohnya, jika daripada dahulu kita mengenakan cukai kawasan
pertanian tetapi oleh sebab peredaran masa, tanah tersebut ada dimajukan dengan
stor, yang sepatutnya dikenakan cukai perniagaan yang lebih tinggi daripada
cukai pertanian. Itu pun kita akan lihat.
Jika
benar ada perniagaan di situ, ada stor, cukainya kita akan naikkan serta merta.
Dengan ini, secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan kepada negeri
dan saya rasa pihak peniaga mereka tiada masalah sebab dahulu pertanian, bila
dah buka perniagaan, mereka ada stor dan dapat keuntungan lebih daripada
pertanian.
Matlamat
saya, insyaAllah, kita akan cuba berdikari (sebab) negeri Pahang ada kedudukan
kewangan yang stabil. Kita mampu untuk berdikari, untuk bayar gaji (para
penjawat awamnya) dan untuk melaksanakan program-program tertentu dan
sebagainya.
Tetapi
untuk projek-projek mega memang tidak mampu untuk kita melaksanakannya.
FOKUS KEPADA
PENTADBIRAN NEGERI
MSA; Menyentuh
mengenai UMNO, lazimnya Menteri Besar menjadi Pengerusi Badan Perhubungan
Negeri tetapi sehingga kini, Dato’ Sri DiRaja Adnan masih menjalankan tugas
berkenaan. Apakah Dato’ Sri akan mengambil alih tugas ini?
DSWR; Di Pahang ini,
semangat kerjasama kita ini macam keluarga. Saya sendiri sebenarnya, apabila
Dato Sri DiRaja Adnan minta saya pegang jawatan tersebut, saya sendiri minta
beliau pegang jawatan itu atas alasan, saya ingin memberikan tumpuan, fokus
kepada pentadbiran negeri.
Dengan
keadaan politik yang ada pada hari ini, kita kena komited dan
bersungguh-sungguh. Kalau saya Menteri Besar dan saya juga Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Negeri, agenda dan fokus saya terbahagi kepada dua.
Keadaan
politikpun tidak begitu tenteram dan sebagainya. Saya rasa saya akan beri
perkhidmatan yang kurang berkesan. (Sebaliknya) kalau saya fokus kepada
pentadbiran, Dato’ Sri DiRaja Adnan pegang jawatan Pengerusi Perhubungan,
masing-masing memainkan peranan dan kita ada ‘synergy’.
Dato’
Sri DiRaja Adnan fokus kepada politik, beliau boleh berikan tumpuan yang
sepenuhnya. Saya (pula) fokus kepada pentadbiran, tetapi dalam masa yang sama
kita akan sekali.
TAK BERTANDING
KERUSI MKT
Maknanya,
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar akan duduk sekali,
berbincang sekali dan sebagainya. saya ingat tidak ada masalah. Dalam erti kata
lain, ia akan menjadi lebih berkesan.
Tiada
tempoh ditetapkan untuk jawatan itu kerana kita satu keluarga dan kita bekerja
sebagai satu kumpulan.
MSA; Dato’ Sri tidak
bertanding untuk apa-apa jawatan tertinggi pada pemilihan UMNO kali ini.
Mengapa mengambil keputusan ini?
DSWR; Saya sendiri
menawarkan diri untuk tidak bertanding Majlis Tertinggi kerana bagi saya, untuk
menjaga negeri lebih penting. Parti bukan tidak penting, tetapi ramai orang
lain yang boleh jaga parti ini dan kita lihat di Pahangpun, ramai yang hendak
bertanding Majlis Tertinggi.
Elok
kita bagi peluang kepada rakan-rakan. Jadi saya sendiri, saya tidak fikir
banyakpun, saya sendiri rasa tidak perlu untuk saya bertanding sebagai ahli
Majlis Tertinggi UMNO.
KEWANGAN NEGERI
BERTAMBAH BAIK
MSA; Harapan Dato’ Sri?
DSWR; Sebagai Menteri
Besar, sudah tentulah saya ingin melihat kebajikan rakyat negeri Pahang ini
daripada segenap segi, akan dapat dipertingkat dan diperkemaskan,
Kedudukan
kewangan negeri bertambah baik, hutang dengan Kerajaan Persekutuan mungkin kita
boleh kurangkan dan yang lebih pentingnya, rakyat akan mendapat banyak manfaat
daripada Kerajaan yang ada di negeri ini.
Kita
akan usahakan ke arah itu mengikut keupayaan kita, kedudukan kewangan sedia ada
dan insyaAllah, jika semua berjalan dengan baik, Pahang akan menjadi lebih maju
daripada sekarang. – Khabar