# Dengan penurunan kuasa kelulusan kebenaran pindah milik dan gadaian
tanah daripada Pihak Berkuasa Negeri/Menteri Besar kepada Pentadbir Tanah
Daerah
# Diskaun pengurangan premium mesti menurut kadarnya
“Saya berasa amat sukacita, kerana dalam tempoh tidak sampai 100 hari
memimpin Kerajaan Negeri; Orang Tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan
barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, telah membuat beberapa
keputusan penting yang berkaitan rakyat.
“Antaranya ialah penurunan kuasa daripada menteri besar atau pihak
berkuasa negeri kepada pentadbir tanah daerah, bagi kelulusan kebenaran pindah
milik tanah dan gadaian tanah.
“Bagi urusan pindah milik antara ‘waris qadim,’ kelulusan boleh
diberikan dalam tempoh 1 atau 2 hari sahaja. Manakala, urusan pindah milik
selain ‘waris qadim’ dan antara berlainan bangsa; kelulusan boleh diberikan
dalam tempoh cuma 10 hari,” titah Baginda.
MEMERIKSA PERBARISAN...
DEWAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – KDYMM Pemangku Raja Pahang menzahirkan kesukacitaan Baginda dengan
beberapa keputusan oleh Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Dato’ Sri Wan
Rosdy Wan Ismail, dalam tempoh tidak sampaipun 100 hari mentadbir negeri.
Keputusan-keputusan itu ialah
berkenaan penurunan kuasa daripada Menteri Besar atau Pihak Berkuasa Negeri
kepada Pentadbir Tanah Daerah, berkaitan kelulusan kebenaran pindah milik tanah
dan gadaian tanah.
Juga berkenaan penetapan
kadar-kadar tertentu kepada diskaun yang boleh Kerajaan Negeri berikan terhadap
permohonan untuk mengurangkan premium tanah.
Ini merupakan antara intipati
kepada Titah DiRaja yang Baginda lafazkan sempena Istiadat Pembukaan Penggal
Pertama Dewan Negeri Ke-14 pada pagi Isnin, 23 Julai di sini.
“Saya berasa amat sukacita, kerana dalam tempoh tidak sampai 100 hari
memimpin Kerajaan Negeri; orang tua saya, yang amat berhormat menteri besar dan
barisan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri, telah membuat beberapa
keputusan penting yang berkaitan rakyat.
MELAFAZKAN TITAH DIRAJA...
“Antaranya ialah penurunan kuasa daripada Menteri Besar atau Pihak Berkuasa
Negeri kepada Pentadbir Tanah Daerah, bagi kelulusan kebenaran pindah milik
tanah dan gadaian tanah.
“Bagi urusan pindah milik antara ‘waris qadim,’ kelulusan boleh
diberikan dalam tempoh satu (1) atau dua (2) hari sahaja. Manakala, urusan
pindah milik selain ‘waris qadim’ dan antara berlainan bangsa; kelulusan boleh
diberikan dalam tempoh cuma 10 hari.
“Selain itu, saya dimaklumkan bahawa semua pemotongan atau ‘diskaun’
yang diberi keatas permohonan mengurangkan premium tanah, mestilah menurut
kadar yang berpatutan. Ianya melibatkan permohonan bagi tanah-tanah kerajaan
yang baru diluluskan dan juga semua urusan berkaitan tukar syarat tanah.
“Dengan ketegasan baru ini saya amat berharap, ia dapat menyumbang kepada
peningkatan hasil negeri, insyaAllah,” titah
Baginda.
Berikut disiarkan sepenuhnya Titah
DiRaja tersebut;
MENGHADAP BAGI MENYEMBAH-SAMPAIKAN TITAH DIRAJA... Menteri Besar sedang mengorak langkah untuk menghadap Baginda bagi menyembah-sampaikan Titah DiRaja.
Alhamdulillah, saya bersyukur ke
hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya,
dapat saya berangkat dan melafazkan Titah DiRaja dalam Istiadat Pembukaan Penggal
Pertama, Dewan Negeri Pahang yang ke-14 pada pagi yang berbahagia ini.
Saya turut bersyukur kerana Pilihanraya
Umum kali ke-14 telah dapat dilaksanakan dalam suasana yang aman. Saya
menghargai peranan yang dimainkan semua pihak dalam menjayakan pilihanraya umum
yang lalu. Penghargaan juga kepada seluruh rakyat-jelata yang telah menggunakan
hak dan menunaikan kewajipan untuk memilih kerajaan bagi mentadbir negeri.
Pada kesempatan ini, amatlah
bertepatan bagi saya untuk mengucapkan penghargaan dan setinggi-tinggi terima
kasih kepada bekas Menteri Besar, Yang Berhormat Dato’ Sri Diraja Adnan bin Yaakob,
yang telah berjaya mengemudi Kerajaan Negeri saya selama kira-kira 19 tahun
dengan cemerlang.
Saya berharap Yang Berhormat Dato’ Sri
DiRaja dapat terus menyumbang khidmat baktinya, sungguhpun kini pada kedudukan
yang berbeza pula.
Sukacita juga saya menzahirkan
ucapan tahniah kepada Orang Tua saya, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, atas pelantikan sebagai Menteri
Besar Pahang dan juga kepada sekelian Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
yang baru dilantik.
Semoga Kerajaan Negeri saya akan dapat terus
meningkatkan kemakmuran negeri agar rakyat-jelata dapat terus hidup dengan
penuh sejahtera, insyaAllah.
SUASANA DALAM DEWAN YANG MULIA...
Kepada sekelian Ahli-ahli Yang Berhormat,
saya turut ingin mengucapkan tahniah di atas kepercayaan yang telah diberikan
oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum yang ke-14 tempoh hari.
Sesungguhnya, kepercayaan yang
diberi itu datangnya bersama dengan amanah yang perlu digalas. Amanah yang
diberi oleh rakyat ini bukanlah sesuatu yang boleh dipersenda dan diabaikan.
Kerana itu, Allah Subhanahu Wata‘ala berfirman dalam Surah Al-Anfal ayat ke-27
:
ÙŠَٰٓØ£َÙŠُّÙ‡َا
ٱلَّØ°ِينَ Ø¡َامَÙ†ُواْ Ù„َا تَØ®ُونُواْ ٱللَّÙ‡َ Ùˆَٱلرَّسُولَ ÙˆَتَØ®ُونُÙˆٓاْ
Ø£َÙ…َٰÙ†َٰتِÙƒُÙ…ۡ ÙˆَØ£َنتُÙ…ۡ تَعۡÙ„َÙ…ُونَ ٢٧
yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman,
janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasulnya; dan janganlah kamu mengkhianati
amanah-amanah yang dipercayakan kepada kamu, sedang kamu mengetahui.”
Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian.
KEBERANGKATAN KERABAT-KERABAT DIRAJA... YAM Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Abdullah, turut berangkat ke Istiadat pagi Isnin ini.
Sesungguhnya saya berasa sukacita
melihat pertumbuhan positif ekonomi negeri Pahang, yang disumbangkan oleh
sebahagian besarnya daripada iklim ekonomi negara yang memberangsangkan.
Prospek pertumbuhan ekonomi negara
dianggarkan pada kadar 5.9 peratus bagi tahun 2017, berbanding 4.2 peratus bagi
tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ekonomi yang sihat ini
telah membantu Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan agenda pembangunan melalui
pelaksanaan projek-projek Rancangan Malaysia ke-11 yang kini memasuki tempoh
pelaksanaan ‘Rolling Plan’ yang ke-3.
Saya merasa sangat sukacita dengan
kelulusan sebanyak 300 projek yang bernilai RM2.2 bilion pada tahun 2017 untuk
negeri Pahang di bawah ‘Rolling Plan’ ke-3 ini.
Adalah menjadi harapan saya agar
kesinambungan Rancangan Malaysia ke-11 di negeri saya dapat diteruskan lagi
terutamanya berhubung projek-projek yang memberi impak terus kepada rakyat
jelata.
PAPAN TANDA BESAR DALAM PERKARANGAN WISMA SRI PAHANG INI...
Sehubungan itu, adalah amat
bertepatan bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri saya untuk terus
bekerjasama tanpa mengira perbezaan fahaman politik. Saya turut menggesa Kerajaan
Negeri untuk menyokong usaha-usaha Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan
pembangunan ekonomi negara dan
seterusnya negeri saya.
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Pelaburan di negeri saya telah meningkat
kepada RM24.3 billion pada tahun 2017 berbanding RM16.7 billion pada tahun
2016.
Peningkatan pelaburan ini turut dipacu melalui
usahasama di antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Kerajaan
Negeri saya.
Tanah dan galian serta perhutanan
terus menjadi tulang belakang dan penyumbang terbesar kepada hasil negeri. Bagi
tahun 2018, kutipan hasil tanah dan galian dianggar menyumbang sejumlah RM337.7
juta; manakala hasil perhutanan bakal menyumbang sejumlah RM102.45 juta.
Saya berpandangan, negeri saya ini
mempunyai potensi yang tinggi untuk meningkatkan lagi hasil negeri selain
bergantung kepada hasil tanah dan galian, serta perhutanan semata-mata.
Kerajaan saya wajar bersikap
proaktif dalam menggalakkan pelaburan swasta terutamanya dalam sektor
pembuatan. Selain itu, Taman Teknologi Pahang mempunyai potensi yang tinggi
untuk dijadikan ‘hub’ bagi industri-industri makanan halal, bioteknologi,
teknologi maklumat, komunikasi dan agriteknologi. Industri-industri ini telah
dikenal-pasti antara perniagaan global yang paling pantas berkembang ketika
ini.
Peningkatan pelaburan dalam
projek-projek berimpak tinggi dan pertumbuhan industri-industri ini kelak,
bukan sahaja akan dapat meningkatkan hasil negeri; malahan ianya turut berupaya
mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada rakyat saya. Misalannya,
pembinaan ‘Malaysia-China Kuantan Industrial Park’ (MCKIP), bakal mewujudkan
kira-kira 4,000 peluang pekerjaan baru.
Bagi merancakkan lagi pelaburan, adalah wajar
bagi Kerajaan saya untuk turut membangunkan infrastruktur negeri. Melalui
perancangan yang teliti dan peningkatan infrastruktur yang berterusan, Pelabuhan
Kuantan berpotensi menjadi pelabuhan utama di wilayah pantai timur dan menjadi
“gerbang utama ke Asia Pasifik.”
Disamping itu, pembinaan laluan keretapi ‘East
Coast Rail Link’ (ECRL) akan meningkatkan pula saling hubungan kawasan-kawasan
ekonomi dan perindustrian dari Pelabuhan Kuantan hingga ke Tumpat di Kelantan
dan Pelabuhan Kelang di pantai barat.
Sehubungan itu, saya mengalu-alukan keputusan Kerajaan
Persekutuan untuk mengkaji semula kos pembinaan
laluan keretapi ini. Saya berharap, dengan terbinanya laluan keretapi
ini kelak; lebih banyak kawasan pertumbuhan ekonomi yang bakal diwujudkan.
Selain itu, Kerajaan saya juga
wajar memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan penternakan yang turut
berpotensi tinggi dalam meningkatkan hasil negeri. Ianya juga adalah selari
dengan hasrat negara untuk memaksimakan
pendapatan melalui sektor ini.
Sehubungan itu,
saya inginkan semua pihak berganding bahu dalam memastikan sektor pertanian
dapat berkembang pada kadar 3.6 peratus. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan
saya wajar menggalakkan penggunaan teknologi yang mampu meningkatkan
produktiviti pertanian dan penternakan.
Saya ingin melihat
negeri Pahang menjadi sebuah negeri pengeluar makanan hasil ternakan yang utama
di Malaysia, seterusnya menyumbang kepada usaha untuk negara mencapai matlamat
membekalkan bahan makanan yang cukup untuk keperluan negara.
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Penerokaan sumber-sumber hasil yang
baru secara tidak langsung akan memelihara alam sekitar kerana ianya akan
berupaya untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil semulajadi semata-mata.
Tidak dinafikan bahawa sektor
perhutanan boleh membekalkan sumber kayu-kayan yang tinggi nilainya. Namun
demikian, aktiviti pembalakan yang tidak terkawal boleh membawa kepada
kemusnahan hutan.
Bagi memelihara dan mengurus
khazanah hutan negeri, saya menyeru Jabatan Perhutanan Negeri untuk
memperkasakan amalan pengurusan hutan secara berkekalan ataupun “sustainable
forest management.” Pendekatan holistik “forest beyond timbers” juga, wajar
untuk diamalkan bagi memelihara khazanah hutan negeri saya.
Saya juga menyeru Kerajaan Negeri
untuk melaksanakan program pemulihan ke atas hutan terosot atau “degraded
forest” dan tanah-tanah terbiar.
Selain itu, ancaman utama kepada
pemeliharaan khazanah hutan adalah aktiviti pembalakan haram. Bagi membendung
gejala ini, Jabatan Perhutanan Negeri wajar menggunakan teknologi masa kini
selain daripada bergantung kepada kaedah penguatkuasaan tradisional.
Penggunaan teknologi “remote
sensing” dan “geographic information system mapping” boleh mengesan aktiviti
pembalakan haram dalam masa yang singkat. Aktiviti pemantauan udara dengan
menggunakan “unmanned ariel vehicle” juga boleh melipat-gandakan keberkesanan
usaha-usaha pencegahan.
Begitu juga peri mustahaknya untuk
memelihara sungai kerana ia mempunyai banyak kepentingan kepada kehidupan
seharian rakyat jelata, terutamanya sebagai sumber air mentah.
Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini
saya dapati, sikap mengambil mudah terhadap kepentingan sungai sangat jelas
dipertontonkan. Sampah sarap dan sisa buangan industri telah disalur terus ke
dalamnya seolah-olah tanpa kawalan. Perbuatan tidak bertanggungjawab seperti
ini, telah mencemari sungai-sungai di negeri saya.
Oleh itu, saya ingin menyarankan
kepada sekelian rakyat agar dapatlah bersama-sama menjaga kebersihan
sungai-sungai dan alam sekitar. Kerajaan saya hendaklah mengambil tindakan yang
tegas kepada mana-mana pihak yang mencemari sungai serta merosakkan alam
semulajadi negeri saya.
Saya turut berharap, dalam
melaksanakan projek-projek pembangunan; aspek kepentingan pemeliharaan alam
sekitar hendahlah turut ditekankan.
Sesungguhnya, sama-samalah kita
menginsafi bahawa apa yang kita nikmati pada hari ini adalah tinggalan daripada
generasi yang terdahulu, dan apa yang kita lakukan hari ini menjadi tinggalan
kepada generasi akan datang.
Oleh itu, berpada-padalah dalam
meneroka sumber alam negeri. Jangan kelak kita menyesal apabila tiada lagi yang
tinggal untuk diwarisi anak cucu kita.
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Raja dan rakyat berpisah tiada. Denyutan nadi
dan keluh resah rakyat jelata seringkali dirasai oleh saya.
Kerana itulah saya sangat
bersimpati dengan sebilangan rakyat yang masih lagi dihimpit oleh tekanan sara
hidup yang meningkat. Saya amat memahami bahawa ekonomi negara masih terkesan
oleh keadaan dan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini.
Saya mengambil maklum bahawa kadar
kemiskinan negeri telahpun menunjukkan penurunan daripada 0.7 peratus pada
tahun 2014, kepada 0.2 peratus pada tahun 2016. Usaha-usaha hendaklah digiatkan
agar penurunan kadar kemiskinan negeri dapat diteruskan.
Kerana itu, saya sangat berbangga
dan mengucapkan syabas kepada Kerajaan saya di atas pelaksanaan program rumah
mampu milik di bawah “PR1MA Pahang” seperti yang telah diilhamkan oleh bekas Menteri
Besar, Yang Berhormat Dato’ Sri DiRaja Adnan bin Yaakob pada tahun 2013.
Program “PR1MA Pahang” adalah
aku-janji Kerajaan saya untuk membina 15,000 buah rumah mampu milik dalam
tempoh 5 tahun antara tahun 2013 dan 2017; dengan nilai jualan yang rendah
berbanding harga pasaran.
Saya bersyukur dan berbangga,
kerana akujanji ini telah dapat ditunaikan. Sehingga Mei 2018, Kerajaan Negeri
saya telah meluluskan sebanyak 109 projek melibatkan 35,813 buah rumah mampu
milik di seluruh negeri.
Daripada jumlah ini, 8 projek
dengan 2,652 buah rumah telah siap diduduki dan 21 projek yang melibatkan 4,983
buah rumah sedang rancak dalam pembinaan. Manakala, sejumlah 30 projek lagi
dengan 7,807 buah rumah telah lulus kebenaran merancang.
Namun disebalik kejayaan ini,
terdapat desas-desus mengenai segelintir kecil rakyat yang memiliki lebih dari
sebuah rumah dan menyewakan rumah tersebut sebagai “homestay” ataupun rumah
persinggahan.
Pada hemat saya, ini adalah
merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab serta perlakuan yang tidak
adil kepada rakyat yang benar-benar memerlukan rumah mampu milik. Sehubungan
itu, saya menggesa Kerajaan saya untuk menyiasat perkara ini dan mengambil
tindakan yang sewajarnya.
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Saya juga merasa amat sukacita dengan
usaha-usaha yang telah diambil khususnya oleh Yayasan Pahang, dalam
meningkatkan akses dan kecemerlangan pendidikan rakyat jelata.
Saya sedia maklum, peruntukan yang besar telah
disediakan bagi usaha-usaha tersebut. Sejumlah RM74 juta telah disalurkan
melalui skim Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan RM272 juta lagi melalui skim Biasiswa
Sekolah Menengah (BSM).
Bagi meningkatkan ekonomi rakyat,
agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Pelajaran dan Jabatan Tenaga Kerja
wajar memainkan peranan dalam membantu Kerajaan saya membangun dan memantapkan
modal insan di negeri ini.
Ke arah itu, usaha-usaha seperti sumbangan
bantuan pendidikan dan penyediaan kursus-kursus yang selaras dengan keperluan
industri semasa, hendaklah dilipat gandakan lagi.
Saya juga menyeru institusi-institusi
pengajian tinggi di negeri ini untuk terus menumpukan kepada pembangunan
pekerja berkemahiran demi memenuhi keperluan semasa dan peluang pekerjaan yang
bakal diwujudkan.
Bagi aspek kebajikan rakyat, saya
turut sukacita dengan peningkatan liputan bekalan air bersih kepada 98 peratus
kawasan-kawasan luar bandar dan 100 peratus ke kawasan-kawasan bandar.
Bagi tahun 2018, Kerajaan saya
telah memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi tujuan pembinaan projek-projek
pembangunan infrastruktur bekalan air baru serta menaiktaraf sistem yang sedia
ada.
Menyentuh mengenai aspek kesihatan
rakyat-jelata, saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri
yang terus berusaha dalam menambah fasiliti dan meninggikan kualiti
perkhidmatan kesihatan di negeri saya.
Saya turut berterima kasih kepada Kementerian
Kesihatan Malaysia dengan pembukaan 2 buah pusat hemodialisis iaitu di Chemomoi,
Bentong dan di Sungai Koyan, Lipis. Selain itu, perkhidmatan ambulan di seluruh
negeri telah turut ditingkatkan melalui penyediaan sebanyak 19 buah ambulans
baru.
Adalah menjadi harapan saya agar
semua agensi berkaitan dapat mengembleng tenaga bagi mempromosikan kepentingan
gaya hidup sihat. Melalui pendekatan ini, taraf kesihatan rakyat akan dapat
ditingkatkan dan dalam masa yang sama akan dapat mengurangkan bebanan rakyat
dengan kos perubatan yang semakin meningkat.
Mengenai masyarakat Orang Asli,
saya berharap usaha dan langkah mewartakan tanah rezab mereka dapat
dipercepatkan. Disamping itu, peluang ekonomi untuk Orang Asli hendaklah juga
diusahakan. Orang Asli tidak lagi boleh mengamalkan kehidupan seperti dahulu,
bahkan mereka mesti menyesuaikan diri dengan peredaran masa. Adalah wajar bagi Kerajaan
saya untuk tidak mengabaikan kepentingan Orang Asli dan berterusan meningkatkan
taraf hidup masyarakat Orang Asli.
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Agama Islam adalah agama bagi Persekutuan
seperti yang termaktub dalam perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai Ketua Agama Islam, saya inginkan
ajaran Islam dijadikan sebagai panduan dalam semua urusan pentadbiran dan
pembangunan di negeri saya.
Pendidikan agama juga adalah tidak
kurang pentingnya. Maka, adalah wajar bagi Jabatan Pelajaran Negeri untuk
meningkatkan kerjasama bagi menambah-baik dan membangunkan sekolah-sekolah
agama rakyat di negeri saya.
Usaha juga perlu ditingkatkan bagi memperkasa Mahkamah
Syariah dan pentadbiran undang-undang Islam negeri. Bagi mencapai hasrat ini,
satu kajian khusus wajar dilaksanakan segera.
Malaysia adalah sebuah negara yang
unik dengan kepelbagaian bangsa dan agama. Semua rakyat jelata adalah bebas
untuk mengamalkan agama yang dianuti mereka. Namun demikian, kebebasan ini
tidaklah termasuk kebebasan untuk mencampuri urusan agama lain.
Nasihat saya, hentikanlah
perdebatan berhubung sebarang isu-isu yang melibatkan sensitiviti agama.
Perdebatan yang berterusan hanya kelak mengundang padah kepada keharmonian
negeri.
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Saya berasa amat sukacita, kerana
dalam tempoh tidak sampai 100 hari memimpin Kerajaan Negeri; Orang Tua saya, Yang
Amat Berhormat Menteri Besar dan barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,
telah membuat beberapa keputusan penting yang berkaitan rakyat.
Antaranya ialah penurunan kuasa
daripada Menteri Besar atau Pihak Berkuasa Negeri kepada Pentadbir Tanah Daerah,
bagi kelulusan kebenaran pindah milik tanah dan gadaian tanah.
Bagi urusan pindah milik antara
‘waris qadim,’ kelulusan boleh diberikan dalam tempoh 1 atau 2 hari sahaja.
Manakala, urusan pindah milik selain ‘waris qadim’ dan antara berlainan bangsa;
kelulusan boleh diberikan dalam tempoh cuma 10 hari.
Selain itu, saya dimaklumkan bahawa
semua pemotongan atau ‘diskaun’ yang diberi keatas permohonan mengurangkan
premium tanah, mestilah menurut kadar yang berpatutan. Ianya melibatkan
permohonan bagi tanah-tanah kerajaan yang baru diluluskan dan juga semua urusan
berkaitan tukar syarat tanah.
Dengan ketegasan baru ini saya amat
berharap, ia dapat menyumbang kepada peningkatan hasil negeri, insyaAllah.
Saya juga ingin mengingatkan Kerajaan
saya, serta semua penjawat awam dan penjawat di syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan
Negeri agar sentiasa memegang amanah dan mengamalkan prinsip integriti yang
tinggi. Amalan urus tadbir yang baik, akauntabiliti dan budaya kerja yang
berkualiti; akan dapat meningkatkan keyakinan rakyat kepada Kerajaan saya.
Ahli-ahli Yang Berhormat
Pada kesempatan ini, saya
merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam termasuk Angkatan Tentera
Malaysia dan Polis Diraja Malaysia; serta semua jentera-jentera Kerajaan Pusat
dan Kerajaan Negeri di atas khidmat bakti yang telah dicurahkan bagi
menjamin keamanan, kemajuan dan
kesejahteraan negeri saya.
Kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian,
saya ingin berpesan agar menjadikan dewan yang mulia ini sebagai tempat untuk
berkongsi kebijaksanaan dan bukannya tempat untuk beradu kekuatan.
Masa depan negeri dan rakyat jelata
bukanlah sesuatu yang boleh diadu-domba. “Dayung sudah di tangan dan perahu
sudah di air;” maka ayuhlah mendayung seiringan bagi mengemudi negeri Pahang ke
arah kecemerlangan.
Mengakhiri titah, saya berdoa
semoga Allah Subhanahu Wata‘ala melimpahkan rahmat dan kesejahteraan kepada
rakyat dan negeri Pahang Darul Makmur. – Khabar