“Sejak hari
pertama lagi saya dilantik pada 15 Mei 2018, saya telah menekankan bahawa
penting bagi Kerajaan ini untuk menjadi Kerajaan yang memberi fokus kepada
pencapaian yang menjurus kepada pendekatan berpusatkan rakyat (‘people-centric’),” kata Menteri Besar
DALAM MENYAMPAIKAN UCAPAN 24-MINITNYA... Yang turut kelihatan di belakang ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri - Dato' Sri Norol Azali Sulaiman (kanan sekali); Dato' Abd Aziz Mat Kiram; dan, Encik Abdul Rahim Muda (kiri sekali).
DEWAN SUK, BLOK
C, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri pimpinan Barisan
Nasional (BN) sekali lagi menyatakan penekanannya kepada pendekatan yang memusat atau mengutamakan
rakyat atau ‘people-centric’, dalam mentadbir negeri ini.
Ini dinyatakan sendiri oleh Menteri Besar Dato’ Sri
Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapan 24-minitnya sempena program Perhimpunan Pagi
YAB Menteri Besar Bersama Penjawat Awam Negeri pagi Isnin, 17 Disember di sini.
“Sejak hari
pertama lagi saya dilantik (sebagai Menteri Besar) pada 15 Mei 2018, saya telah
menekankan bahawa penting bagi Kerajaan ini untuk menjadi Kerajaan yang memberi
fokus kepada pencapaian yang menjurus kepada pendekatan berpusatkan rakyat (‘people-centric’),” katanya.
Lanjutan itu, beliau telah menyebut antara inisiatif
yang telah diperkenalkannya termasuk yang dilaksanakan dalam tempoh 100-hari,
dan juga tujuh (7) bulan kini beliau menduduki pejabat utama di Wisma Sri
Pahang.
Antara inisiatif itu ialah penurunan kuasa kelulusan
kebenaran (consent) pindah milik dan gadaian tanah daripada Pihak Berkuasa
Negeri atau Menteri Besar, kepada pentadbir tanah khususnya di daerah-daerah.
MENGHADAPI KHALAYAK DALAM KALANGAN PENJAWAT AWAM NEGERI...
ADUANWANROSDY.COM
Selain itu ialah pengwujudan saluran aduan rakyat
terus kepada Menteri Besar melalui laman sosial ‘aduanwanrosdy.com’ yang menerusinya, semua lapisan masyarakat dapat
mengemukakan aduan secara terus kepadanya.
Begitu juga dengan penubuhan Tabung Perumahan Rakyat
yang mensyaratkan setiap pemaju perumahan yang disyaratkan untuk membina rumah
kos sederhana rendah, perlu menyumbang sejumlah wang kepada Tabung ini yang
akan digunakan untuk membina rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan
rendah.
Berikut disiarkan sepenuhnya ucapan Menteri Besar tersebut;
Penjawat awam di semua peringkat pentadbiran sama ada
diperingkat negeri, daerah mahupun mukim merupakan tonggak utama atau tiang
seri kepada kelangsungan sistem pentadbiran negeri.
Penjawat awam memainkan peranan yang sangat penting
dan menjadi faktor penentu sama ada satu-satu kerajaan itu mampu menjadi kerajaan
yang berkesan dan berjaya atau sebaliknya.
PERANAN PENTING
PENJAWAT AWAM
Tuan-tuan dan puan-puan selaku penjawat awam, perlu sedar
bahawa peranan dan tanggungjawab yang tuan-tuan dan puan-puan laksana dan
tunaikan begitu penting kepada kelangsungan dan kejayaan Kerajaan ini.
Sebagai ketua kerajaan negeri, saya mempunyai
harapan yang sangat tinggi untuk melihat kerajaan negeri yang ada pada hari ini,
mampu menjadi kerajaan yang berjaya, berkesan, dan memuaskan hati rakyat.
Tahun 2018 merupakan tahun pertama saya berkhidmat
sebagai Menteri Besar Pahang.
Sejak hari pertama lagi saya dilantik pada 15 Mei
2018, saya telah menekankan bahawa penting bagi Kerajaan ini untuk menjadi Kerajaan
yang memberi fokus kepada pencapaian yang menjurus kepada pendekatan berpusatkan
rakyat (‘people-centric’).
Bagi mencapai hasrat tersebut, dalam tempoh enam (6)
bulan pertama ini, beberapa inisiatif dan dasar telah diperkenalkan oleh
pentadbiran ini seperti ;
PEROLEHI ‘CONSENT’
DALAM TEMPOH 1, 2 HARI
# Penurunan kuasa kelulusan kebenaran (consent) pindah
milik dan gadaian tanah daripada Pihak Berkuasa Negeri atau Menteri Besar, kepada pentadbir tanah.
Melalui langkah ini, kelulusan kebenaran pindah
milik dan gadaian tanah boleh dilaksanakan dalam tempoh antara satu (1) dan dua
(2) hari sahaja bagi tujuan kasih sayang yang melibatkan suami-isteri,
anak-beranak dan juga waris qadim.
Langkah ini telah memberi impak yang sangat besar
kepada perkhidmatan Kerajaan untuk rakyat kerana sebelum ini, proses kelulusan
kebenaran tersebut memakan masa sehingga enam (6) bulan, dan ada yang memakan
masa sehingga setahun.
Sehingga bulan November 2018, 566 permohonan
kebenaran pindah milik dan gadaian telah diterima dan diluluskan dalam tempoh
masa yang ditetapkan.
Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua
pihak yang terlibat, terutamanya pegawai dan kakitangan yang terlibat di Bahagian
Pendaftaran, Pejabat Tanah dan Galian Pahang, serta di setiap Pejabat Daerah
dan Tanah seluruh negeri ini.
KEJAYAAN PR1MA
PAHANG & RUMAH MAKMUR
# Mewujudkan saluran aduan rakyat terus kepada Menteri
Besar melalui laman sosial ‘aduanwanrosdy.com’.
Menerusinya, semua lapisan masyarakat dapat mengemukakan aduan secara terus
kepada saya, dan terdapat pasukan yang telah ditugaskan untuk meneliti dan
mengambil langkah-langkah wajar terhadapnya.
# Meneruskan legasi projek perumahan mampu milik
negeri Pahang yang dikenali sebagai ‘PR1MA Pahang’ dan juga ‘Rumah Makmur’ yang
kini telah terbukti antara projek perumahan yang mampu menjual rumah berkualiti
pada harga yang sangat mampu dimiliki oleh golongan sasar.
Sehingga November 2018, 14 projek ‘Rumah Makmur’
telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri, melibatkan 5,506 unit rumah.
Manakala, 118 projek PR1MA Pahang telah diluluskan,
melibatkan 37,389 unit rumah yang daripada jumlah itu, 2,770 unit rumah PR1MA Pahang
telah berjaya disiapkan dan telah diduduki.
# Menubuhkan Tabung Perumahan Rakyat yang
mensyaratkan setiap pemaju perumahan yang disyaratkan untuk membina rumah kos
sederhana rendah perlu menyumbang sejumlah wang kepada Tabung ini yang akan
digunakan untuk membina rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah.
SASARAN KUTIPAN
HASIL TANAH MESTI 90 PERATUS
Penetapan sasaran kutipan hasil tanah sebanyak 90
peratus antara perkara yang menjadi fokus utama saya pada tahun 2019.
Ia adalah untuk terus meningkatkan hasil Kerajaan Negeri
terutamanya kutipan hasil tanah yang masih merupakan sumber hasil utama Kerajaan
Negeri.
Walaupun kita terus berusaha untuk mengenal pasti
sumber hasil baharu, sumber hasil tradisional seperti kutipan hasil tanah,
tetap terus diberikan penekanan untuk ditingkatkan.
Dalam pembentangan Bajet Negeri 2019 baru-baru ini, Kerajaan
Negeri telah menetapkan sasaran kutipan hasil tanah untuk tahun 2019 sebanyak RM
388.88 juta.
Sehubungan itu, saya telah menetapkan Indeks Prestasi
Utama (KPI; Key Performance index) bagi kutipan hasil tanah perlu mencapai
sekurang-kurangnya 90 peratus.
KPI LIBATKAN
DARIPADA SS KEPADA ADO
Sasaran ini akan menjadi KPI bagi semua pihak yang
terlibat dalam pengurusan tanah – daripada Penolong Pegawai Daerah, Ketua Penolong
Pegawai Daerah, Pegawai Daerah, Pengarah Tanah dan Galian, Pegawai Kewangan Negeri
dan juga Setiausaha Kerajaan Negeri.
Saya melihat, masih banyak ruang dan peluang
penambah baikan yang boleh kita laksanakan dalam usaha untuk meningkatkan lagi
kadar kutipan hasil tanah di negeri Pahang.
Bagi mencapai sasaran ini, saya menggesa pihak-pihak
yang terlibat untuk mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri tentang apa
yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan lagi pencapaian kutipan hasil tanah
kita.
Penetapan sasaran kutipan hasil Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) juga ialah sebanyak 90 peratus, maka, saya juga berharap agar semua pbt di
negeri pahang memberi penekanan kepada aspek kutipan hasil ini.
Saya kira inilah masa yang paling sesuai untuk kita
mengembling usaha dan pendekatan bagi memastikan kita dapat mengutip hasil
semaksima yang mungkin.
KUTIPAN HASIL
OLEH PBT TAK SAMPAI 66 PERATUS SETAKAT OKTOBER
Berdasarkan pencapaian tahun 2018, secara puratanya,
pencapaian kutipan hasil PBT di Pahang sehingga Oktober lepas masih berada pada
tahap 65.95 peratus.
Saya kira kadar peratus ini amat rendah dan masih
banyak lagi ruang yang boleh dibuat penambah baikan bagi meningkatkan lagi
kadar kutipan hasil.
Saya amat berharap pihak PBT dapat memastikan
kutipan hasil ini ditingkatkan kepada 90 peratus pada tahun depan (2019).
Untuk menjadi sebuah Kerajaan yang berkesan, saya
percaya kita perlu mendengar pandangan dan cadangan rakyat yang merupakan
pelanggan kita.
Kita tidak lagi berada dalam era ‘government is always right’ ataupun
tindakan Kerajaan sentiasa betul. Kita perlu juga mengambil pendekatan ‘bottom-up’, dengan mengambil pandangan,
idea atau cadangan daripada rakyat.
PERLU ADA ‘ENGANGEMENT’
– BOS DAN ANAK BUAH
Sama juga dalam jabatan atau organisasi, ketua
jabatan atau bos bukan tahu segala perkara. Kita perlu mengadakan ‘engagement’ dengan kakitangan dan juga
pihak-pihak yang ada kepentingan untuk mendapatkan maklum balas dan juga
idea-idea baharu dan segar untuk diaplikasikan dalam organisasi.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, saya akan
melancarkan saluran cadanganwanrosdy.com yang
akan menjadi satu platform untuk semua lapisan rakyat memberi sebarang
cadangan, idea dan juga pandangan secara terus kepada saya.
Semua cadangan, idea dan pandangan ini kita akan
nilai dan kaji. Sekiranya ada antaranya yang boleh kita laksanakan, insyaAllah
kita akan cuba laksanakan demi kebaikan dan kemakmuran negeri Pahang yang kita
cintai.
Berkaitan dengan ini juga, saya berhasrat untuk
mengadakan sesi dialog atau ‘engagement’
dengan pegawai-pegawai muda yang berkhidmat di negeri Pahang ini.
Saya percaya, mereka ini ada banyak idea yang boleh
dikongsikan bersama yang selama ini mungkin terperap sahaja ataupun tiada forum
yang sesuai untuk disuarakan kepada pengurusan atasan.
Saya akan meminta pejabat saya untuk mengaturkan
sesi ini pada tahun depan.
SEKTOR PERUMAHN
TERUS JADI FOKUS
Sektor perumahan akan terus menjadi antara fokus
utama Kerajaan Negeri untuk tahun 2019. Kerajaan Negeri akan terus memberi
penekanan kepada pembinaan projek-projek perumahan di bawah program PR1MA Pahang
dan Rumah Makmur.
Bagi tahun 2019, untuk projek PR1MA Pahang, Kerajaan
Negeri menetapkan sasaran untuk menyiapkan lagi 1,000 unit rumah. Manakala bagi
projek Rumah Makmur, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran sekurang-kurangnya dua
(2) projek yang mengandungi 746 unit rumah yang mesti dimulakan pembinaannya
pada tahun 2019.
Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) adalah sebahagian daripada
jentera kerajaan yang penting dalam mencapai kemajuan pembangunan dan aktiviti
ekonomi negeri.
Pada tahun 2017, S-GLC
telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM 2,600 juta (RM 2.6 billion) dengan
keuntungan dicatatkan sebanyak RM 565 juta.
Mulai tahun 2018, Kerajaan Negeri telah menetapkan
bahawa sebahagian daripada keuntungan tahunan S-GLC ini perlu dikembalikan kepada Kerajaan Negeri.
S-GLC JUGA MESTI
SUMBANG KEPADA HASIL NEGERI
Mengambil kira faktor tahun kewangan dan keperluan
audit tahunan setiap S-GLC, kutipan
bagi sebahagian keuntungan tahun 2018 akan dibuat mulai Mac 2019 dan akan
direkodkan sebagai sebahagian daripada hasil Kerajaan bagi tahun 2019.
Ini adalah satu pendekatan baharu yang kita akan
laksanakan pada tahun depan (2019). Kita mahu operasi dan tadbir urus setiap S-GLC di negeri Pahang ditambah baik
supaya boleh menjana keuntungan, dan sebahagian daripada keuntungan tersebut
wajar dipulangkan kepada Kerajaan Negeri.
Bagi maksud penambah baikan kepada tadbir urus S-GLC, Kerajaan Negeri akan menubuhkan ‘Pahang Investment Corporation (PIC)
sebagai satu langkah strategik untuk penstrukturan dan mengawal selia prestasi
serta perkembangan S-GLC.
Dengan meletakkan S-GLC ini di bawah satu bumbung, ia dapat memudahkan Kerajaan Negeri
memantau prestasi berdasarkan KPI yang ditetapkan disamping memberi khidmat
nasihat kepada S-GLC untuk membuat
pelaburan yang betul dengan pulangan yang menjanjikan keuntungan.
Selaras dengan ‘tagline’
saya iaitu Maju Terus Pahang, saya amat berharap agar semua sasaran dan
perancangan yang saya gariskan tadi untuk tahun 2019 dapat dihayati dan
dikongsi bersama oleh semua pegawai dan kakitangan awam sekalian.
BANTUAN KHAS RM
500 UNTUK PENJAWAT AWAM
Seperti yang telah saya umumkan dalam ucapan Bajet Negeri
Pahang 2019 di Dewan Negeri tempoh hari – sebagai menghargai jasa dan
pengorbanan semua pegawai dan kakitangan awam negeri Pahang, pemberian bantuan
khas sebanyak RM 500 kepada semua penjawat awam gred 54 dan ke bawah.
Saya difahamkan, bayaran ini akan dibuat pada hari
esok, Selasa, 18 disember 2018. Gunalah wang tersebut untuk tujuan kebaikan
seperti membeli persiapan persekolahan anak dan lain-lain. – Khabar