Saturday, 27 June 2020

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!


CALON BN KITA, SDR MOHD SHARIM MD ZAIN... Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Sdr Shahril Hamdan sedang memperkenalkan calon kita ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat malam Sabtu.


PUSAT MEDIA, KAMPUNG SALONG, PEKAN – Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!

Dengan mengambil iktibar daripada maksud sebenar peribahasa ini, penting sangatkah soal tempat kelahiran seseorang diungkit-ungkit segelintir pihak dalam konteks pencalonan Sdr Mohd Sharim Md Zain pada Pilihanraya Kecil (PRK) N23 Chini ini?

Memang tidak dinafikan, Sdr Mohd Sharim mewakili Barisan Nasional (BN) ialah anak kelahiran Kedah dengan dua (2) angka di tengah selepas sengkang (ENG; hyphen) pada nombor kad pengenalannya ialah -02-.

Namun hakikatnya, beliau dibesarkan oleh ibubapanya yang berhijrah ke negeri ini ke Rancangan Tanah Felda Chini 3. Malah, beliau bersekolah kemudian mencari nafkah, berkeluarga dan bermastautin sudah sekian lama di sini

Wartawan turut bertanyakan hal ini kepada Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan katanya; “Tak ada masalah. Kita kira calon yang kita pilih ialah calon yang diterima oleh pengundi-pengundi.

BUALAN MESRA SESAMA DUA TOKOH, PEMIMPIN KITA... Dato' Sri Wan Rosdy kelihatan berbincang sesuatu dengan Menteri Kanan (Keselamatan), Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO Malaysia. 


SDR MOHD SHARIM DIBESARKAN DI CHINI

“Kebetulan peneroka Felda kita semua tahu, datang dari banyak negeri, selain dari Pahang. Dan dia (Mohd Sharim) sebenarnya dibesarkan di Felda Chini, tak ada masalah, tak ada isu,” katanya kepada wartawan UMNO on-line ketika ditemui petang Sabtu, 27 Jun di perkarangan Dewan Dato’ Sri Abu Bakar, Kampung Bukit Udang.

Mengenai perkara yang sama, bekas Ahli Parlimen Johor Bharu, Tan Sri Shahrir Samad telah mendedahkan betapa dia sebenarnya kelahiran Kuantan dengan dua (2) angka di tengah selepas sengkang pada nombor kad pengenalannya ialah -06-.

Memang pada peringkat awal pencalonannya tahun 1978 menurutnya yang juga bekas Pengerusi FELDA, isu ini dimainkan tetapi akhirnya, penerimaan penduduk/pengundi Johor Bharu terhadapnya terus menyerlah.

Pokok-pangkal katanya, bukan tempat atau negeri kelahiran yang sepatutnya menjadi perhitungan tetapi, di mana seseorang dibesarkan serta tahap penglibatan sosio-politiknya di sana.

Ini Tan Sri Shahrir dedahkan pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat malam Sabtu, 27 Jun dalam khemah besar tertutup bersebelahan tapak pasar tani kekal di Pusat Bandar Chini.

BERKONGSI SATU PENTAS YANG SAMA... Yang pada majlis inilah kata Menteri Dalam Negeri, Dato' Sri Hamzah Zainuddin (di atas pentas, duduk tiga dari kiri) yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU); pertama kalinya pemimpin-pemimpin BN, PAS dan BERSATU berkongsi pentas yang sama tanda persepakatan erat sesama mereka.


NEGERI KITA TUMPAHKAN TAAT-SETIA DAN KHIDMAT TERBAIK KITA

Sehubungan itulah, penulis bangkitkan tentang peribahasa ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Betapa pentingnya kita apabila berada apatah lagi membesar di satu-satu tempat atau negeri, maka di situlah kita tumpahkan taat-setia dan perkhidmatan terbaik kita.

Ini sepertimana juga dengan calon anak muda, anak peneroka berusia 41 tahun kita, Sdr Mohd Sharim. Penglibatannya dalam politik serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) adalah sepenuhnya bertunjang di negeri ini.

Mengambil semangat inilah juga agaknya, Yayasan Pahang (YP) menetapkan bagi mana-mana pelajar berkelahiran luar Pahang tetapi bermastautin di negeri ini selama 10 tahun dan ke atas, adalah dikira layak – dengan mematuhi syarat-syarat am; untuk menerima bantuan-bantuan pendidikan yang dianjurkannya.

Atas semangat peribahasa ini juga, penulis tamsilkan pula kepada rakan penulis yang sangat rapat; berasal dari Ipoh kini berkhidmat dengan Kerajaan Negeri dan sudah bermastautin di Kuantan sejak 1989 lagi.

Sesudah lebih 30 tahun di bumi Tok Gajah ini, entah sudah berapa banyak nilai zakat - bukan setakat zakat fitrah, malah zakat harta; yang telah disumbangkannya ke negeri ini tanpa gagal setiap tahun.


SEPERTIMANA TERSIAR DALAM RUANGAN MINDA PEMBACA AKHBAR BERITA HARIAN... Artikel yang sama diolah semula dan tersiar pada Khamis, 16 Julai 2020'


PEGANG ERATLAH – ‘DI MANA BUMI DIPIJAK, DI SITU LANGIT DIJUNJUNG’

Dan rakan penulis yang amat rapat ini tidak pula pernah merungut mengenainya (sungguhpun – tentunya kita dapat fahami; diapun agak kecewa baru-baru ini kerana tidak dapat balik kampung berHari Raya di Ipoh, ekoran perintah larangan perjalanan rentas negeri akibat penularan wabak pandemik COVID-19).

Dan kerana inilah juga, seorang wakil rakyat dalam sebuah Dewan Negeri di
sebelah ‘utagha pada satu ketika dahulu, akhirnya terkedu dan tersipu lalu tunduk patuh apabila dititahkan ke atasnya peribahasa ini, setelah berdegil dengan perkara-perkara tertentu kerana kononnya dia bukan anak kelahiran negeri itu.

Maka, berpegang eratlah kita sama-sama kepada peribahasa ‘di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung’ ini – sama ada oleh kita yang berasal dari luar Pahang apatah lagi anak jati Pahang sendiri. – Khabar
  

RM9.5 juta peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi memulihkan kembali rumah generasi kedua terbengkalai di Chini 3


Kelulusan diperolehi pada April 2020 lagi, atas usaha Kerajaan/FELDA serta Arwah Dato’ Sri Abu Bakar dan kerja-kerja pemulihan akan bermula September ini.    

“Kerja ini akan dimulakan pada September 2020 dan ini telah dirancangkan sebelum Arwah meninggal dunia lagi. Jadi tidak timbul isu (kononnya atas) sebab Pilihanraya Kecil (hendak diadakan), kita nak buat (semula) rumah ini,” tegas Menteri Besar

SEBUAH ANTARA PERUMAHAN GENERASI KEDUA FELDA @ PERUMAHAN GENERASI BAHARU FELDA (PGBF)... Foto sekadar hiasan. 
   

PUSAT MEDIA, KAMPUNG SALONG, PEKAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan, FELDA telahpun mendapat kelulusan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM9.5 juta sejak April (2020), bagi memulihkan kembali projek rumah terbengkalai bagi generasi kedua di Rancangan Tanah FELDA Chini 3 dekat sini.

Ekoran itu katanya, 29 unit rumah teres setingkat yang terbengkalai akan dipulihkan  bermula September 2020 ini, termasuk melaksanakan kerja-kerja infrastruktur bagi tapak asal pembinaan 100 unit di sana.

“Kerja ini akan dimulakan pada September 2020 dan ini telah dirancangkan sebelum Arwah meninggal dunia lagi (pada 6 Mei 2020). Jadi tidak timbul isu (kononnya atas) sebab Pilihanraya Kecil (hendak diadakan), kita nak buat (semula) rumah ini.

“Ianya telah dirancangkan lebih awal lagi, cuma Arwah tidak dapat melihat (hasilnya) kerana Arwah telah kembali ke Rahmatullah dan kita rasa sangat dukacita,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy dalam temubual eksklusif dengan wartawan-wartawan BERNAMA dan Stesen Televisyen TV3.

“Jadi, isu yang dimainkan kononnya Kerajaan tidak ambil perhatian, Kerajaan tidak mengambil peduli; cuma bila PRK (hendak diadakan) baru Kerajaan menitikberatkan isu rumah ini, adalah tidak betul sama sekali.

ASALNYA PROJEK INI UNTUK MEMBINA 100 UNIT

“Itu adalah tohmahan, fitnah dan ini jelas menunjukkan mereka cuba menimbulkan keadaan supaya seolah-olah Arwah ataupun Kerajaan tidak berbuat apa-apa kepada (usaha membantu) mereka,” katanya lagi.

Asalnya projek ini katanya, ialah untuk membina 100 unit rumah teres setingkat dengan kos RM17.8 juta dan FELDA telah melantik kontraktor pada September 2013 lagi bagi membangunkannya.

Malangnya kata Dato’ Sri Wan Rosdy, kontraktor berkenaan gagal menyiapkan keseluruhan 100 unit rumah tersebut, tetapi sekadar 29 unit itupun tidak siap sepenuhnya hingga memaksa FELDA menamatkan (khidmat) kontraktor berkenaan.

Menurut rekod yang diperolehi menerusi pejabat FELDA Wilayah Kuantan, penamatan itu ialah pada Mei 2018 disusuli kemudian usaha untuk memulihkan kembali projek ini dengan pembentangan Pelan Penyelamatan dan Pelan Penyiapan kepada Kerajaan Persekutuan pada bulan Julai dan Oktober 2018.

Ini disusuli rundingan demi rundingan dengan pelbagai pihak antara Jun 2019 dan Februari 2020 antaranya dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) serta Kementerian Kewangan sehinggalah keputusan kelulusan peruntukan itu pada April 2020.

JANGKA SIAP DALAM TEMPOH SETAHUN  

“Dan baki 71 unit rumah lagi akan diusahakan oleh pihak FELDA dengan kos sebanyak RM6.4 juta. Bagaimanan kita dapat RM6.4 juta ini ialah atas kiraan RM90,000 satu unit rumah, dikalikan dengan 71 unit.

“Jangka siap dalam tempoh setahun. Cuma saya harap, kontraktor (yang dilantik kali ini) jangan jadi macam dulu tahun 2013. Bila dah ‘award’ gagal, hingga menyusahkan rakyat,” katanya. – Khabar

Kilang kertas RM80 juta di Paloh Hinai bakal sediakan 3,000 pekerjaan, jangka siap/beroperasi penuh dalam tempoh tiga (3) tahun


Fasa 1 yang sedang dalam peringkat akhir pembinaan dan bakal menawarkan 250 peluang pekerjaan, dijangka siap hujung tahun ini   

LAWATAN KERJA BERSAMA DATO' SRI MOHD NAJIB DAN DATO' SRI WAN ROSDY 19 JUN (2020) LEPAS...


PUSAT MEDIA, KAMPUNG SALONG, PEKAN – Kilang kertas RM80 juta – NextGreen Pulp & Paper Sdn Bhd di Paloh Hinai, Pekan dalam Dewan Negeri (DN) Chini yang bakal menyediakan 3,000 pekerjaan untuk anak tempatan, dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga (3) tahun.

Fasa 1 yang sedang dalam peringkat akhir pembinaan dan bakal menawarkan 250 peluang pekerjaan, dijangka siap pada suku terakhir tahun 2020 ini.

Kilang NextGreen Pulp & Paper Sdn Bhd ini ialah milik syarikat tersenarai di Bursa Malaysia iaitu NextGreen Global Bhd (NGGB), yang juga pemaju Taman Teknologi Hijau (GTP; Green Technology Park) di kawasan seluas 166 hektar (410 ekar) di Paloh Hinai, bersebelahan Lebuhraya Tun Razak Kuantan-Segamat.

Keseluruhan GTP bernilai pelaburan RM2,000 juta (RM2 billion) dan dibangunkan dalam tempoh lima (5) tahun, demikian kata Pengarah Urusan NGGB, Dato’ Lim Thiam Huat.

Menurutnya, kilang NextGreen Pulp & Paper Sdn Bhd menganjurkan ‘teknologi hijau’ dengan usaha menghasilkan kertas menggunakan tandan kosong buah kelapa sawit yang boleh diperolehi secara mudah dari kilang-kilang kelapa sawit di daerah Pekan termasuk Chini.

TEKNOLOGI GUNA TANDAN KOSONG BUAH KELAPA SAWIT

“Kilang ini ialah yang pertama di dunia menghasilkan teknologi ‘Preconditioning Refiner Chemical-Recycle Bleached Mechanised Pulp (PRC-RBMP)’ yang memproses tandan kosong buah kelapa sawit (EFB; Empty Fruit Bunches) bagi menghasilkan bahan-bahan pulpa dan kertas untuk tujuan percetakan, kertas tisu dan pembungkusan.

“Teknologi PRC-RBMP ini memungkinkan ketidak bergantungan kepada kayu/pokok untuk mengeluarkan kertas maka boleh menyelamatkan sehingga 255 juta pokok setahun,” katanya.

Teknologi PRC-RBMP ini juga menurut Dato’ Lim, telah dipatenkan di Malaysia, Thailand, Indonesia dan China.       

Prospek kejayaan dan masa depan kilang NextGreen Pulp & Paper Sdn Bhd menurutnya, adalah besar memandangkan industri pulpa dan kertas dunia dianggarkan bernilai USD500,000 juta (USD500 billion) setahun, bersamaan kira-kira RM2,146 juta juta (RM2.146 trillion) (1 USD = RM4.29). 

Apatah pula, industri pulpa dan kertas dunia masih dikuasai oleh kilang-kilang dan pengeluar pulpa dan kertas berasaskan kayu (wood-based) lalu memerlukan kerja-kerja penebangan pokok yang boleh memudaratkan alam sekitar.  

KERJASAMA DENGAN KPF DAN IKBN

Baru-baru ini pada 19 Jun 2020, kilang ini dikunjungi oleh bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan, diringi Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada lawatan itu, kedua-duanya turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kilang ini dengan Koperasi Permodalan FELDA (KPF).

Selain itu, kilang ini turut mengambil inisiatif memperkenalkan program perantis (apprenticeship) dan latihan industri dengan kerjasama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang berdekatan. – Khabar  

Thursday, 25 June 2020

Pelaburan RM400 juta bagi penubuhan taman penyelidikan berkaitan benih tanaman tropika di Gambang, Kuantan; mula kerja tapak bulan depan (Julai)


“Jadi kita kena pergi ke arah itu (pembekalan makanan sebagai ‘food security’). Caranya salah satu ialah, kita pastikan mendapat benih yang baik, supaya ‘yield’nya akan menjadi (lebih) tinggi,” kata Menteri Besar

MELANCARKAN GTSRP...


BALLROOM 2, HOTEL CORUS, KUALA LUMPUR – Tidak sampai empat (4) bulan selepas menandatangani perjanjian di Bangkok pada 6 Mac lepas (2020), hari ini, projek bernilai pelaburan RM400 juta bagi penubuhan taman penyelidikan berkaitan benih tanaman tropika di Gambang, Kuantan dilancar, dan kerja-kerja tapak akan bermula bulan depan (Julai 2020).

Taman penyelidikan ini – Global Tropical Seeds Research Park (GTSRP) akan dimajukan oleh Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), atas tanah berkeluasan kira-kira 448.8 hektar (1,109 ekar) di Sungai Pohoi, Mukim Hulu Lepar, Gambang.

Ini turut bermakna, pusat penyelidikan milik GWG yang sedia ada di Chiang Mai, Thailand, dipindahkan ke Pahang.

Bakal dibangunkan sepenuhnya dalam tempoh lima (5) tahun, GTSRP disasarkan bagi menjadikan Pahang sebagai hab pertanian termaju di negara ini menjelang tahun 2025, dengan mencipta 1,000 peluang pekerjaan.

Di bawah Fasa 1 ini, GTSRP memerlukan 30 penyelidik berkelulusan kedoktoran dan sarjana; 50 pembantu penyelidik berkeluluan ijazah pertama; lagi 50 pembantu teknikal berkelulusan diploma dan sijil kemahiran; serta, 100 orang lagi untuk mengisi kekosongan jawatan pelbagai bidang.

HASIL BERKUALITI TINGGI YANG DIPAMERKAN...


BENIH HASILKAN ‘YIELD’/HASIL TINGGI

“… supaya setiap benih yang dihasilkan di sini akan mengeluarkan ‘yield’ atau hasil yang tinggi,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada persidangan media sempena Majlis Pelancaran GTSRP tengah hari Khamis, 25 Jun di sini.

“Sebagai contoh, kalau dalam keadaan biasa, padi contohnya – satu (1) ekar mungkin boleh mengeluarkan 4, 5 tan (seekar), tapi kalau ada benih yang baik seteleh dikaji, mungkin boleh dapat sehingga 12, 13 tan (seekar),” katanya.

Ketika ditanya wartawan tentang kemungkinan penubuhan GTSRP boleh menyumbang kepada pengukuhan faktor ‘food security’ negara katanya, sewajarnya ke arah itulah hendaknya.

“… supaya kita dalam keadaan apa sekalipun, tidak menghadapi masalah (pembekalan) makanan sebab makanan ialah sesuatu yang perlu yang tidak dapat tidak, harus kita sediakan kepada rakyat kita.

“Kita sekarang ini belum (bersedia menyediakan makanan mencukupi) sebagai contoh, (stok bekalan) beras kita cuma dapat bertahan selama tiga (3) bulan. Apa jadi sekiranya negara yang kita import – Thailand, Vietnam, India; apabila berlaku apa-apa mereka menghentikan ‘supply’ kepada negara kita?

MESRA-PELABUR – ANTARA TARIKAN FDI KE PAHANG

“Jadi kita kena pergi ke arah itu (pembekalan makanan sebagai ‘food security’). Caranya salah satu ialah, kita pastikan mendapat benih yang baik, supaya ‘yield’nya akan menjadi (lebih) tinggi,” katanya lagi.

Dato’ Sri Wan Rosdy turut ditanyakan tentang kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Pahang serta sasaran Kerajaan Negeri untuknya pada tahun ini yang menurutnya, ialah kira-kira RM2,000 juta (RM2 billion) terutamanya dalam sektor-sektor pertanian dan perindustrian.

Dan antara tarikan negeri ini bagi kemasukan FDI ialah kerana Pahang antara lain, mengamalkan sikap ‘mesra pelabur’ – mengurangkan karenah birokrasi yang boleh melambatkan proses kemasukan pelaburan.

Selain itu, Pahang juga memiliki keluasan tanah dan bekalan air mencukupi, disamping menawarkan kemudahan infrastruktur yang baik kepada para pelabur dan golongan perniagaan.

Beliau turut menyentuh mengenai status terkini berkenaan 19 Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua (2) Perjanjian yang telah ditandatangani dengan pelabur-pelabur asing dari Singapura (pada 2 Ogos, 2019), China (pada 20 September 2019) dan Thailand (pada 6 Mac 2020).

21 MoU/PERJANJIAN BERNILAI PELABURAN RM3,733 JUTA (RM3.733 BILLION)

Kesemua 21 MoU dan Perjanjian yang ditandatangani ini bernilai pelaburan kira-kira RM3,733 juta (RM3.733 billion) iaitu RM1,134 juta (RM1.134 billion) dari Singapura, RM1,386 juta (RM1.386 billion) dari China; dan, RM1,213 juta (RM1.213 billion) dari Thailand.

“Daripada (lebih) 20 syarikat yang kita sign Mou dan Agreement (Perjanjian), ada dua (2) sahaja yang tarik diri sebab tidak kesesuaian tanah dengan industri yang hendak dibangunkan,” katanya.

“Ini sekaligus saya hendak tolak tohmahan yang pelabur-pelabur lari dari Pahang kerana atas sebab-sebab tertentu seperti kenaikan kadar cukai tanah sebagainya. Ini tidak benarlah.

“Kalau tidak takkan Dr Chua datang melabur di Gambang, kemudian nak melabur pula ke Cameron Highlands. Lepas itu dia kata, kalau ada di tempat lain dia nak tambah lagi,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Dr Chua yang dimaksudkan ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, GWG, Dr Chua Kim Aik dan beliau juga telah turut menyatakan persetujuan untuk melabur di Cameron Highlands di atas tanah berkeluasan 8.1 hektar (20 ekar).

EMPAT (4) DARIPADA 19 MoU SUDAH JADI PERJANJIAN

Berhubung status terkini FDI-FDI ini, maklumat diperolehi ialah, empat (4) daripada 19 MoU yang ditandatangani ketika itu kini, telahpun menandatangani Perjanjian yang lebih konkrit.

Keempat-empatnya ialah satu (1) dari Singapura dan tiga (3) dari China iaitu –

Satu (1) dari Singapura melibatkan Perjanjian antara Ananas Republic Private Limited dengan PKPP pada 15 Januari 2020. Projek bernilai RM10 juta ini ialah bagi pengeluaran nanas di kawasan seluas 101.2 hektar (250 ekar) di Pekoti Timur, Rompin. Malah, kerja-kerja menanam telahpun dimulakan.

Tiga (3) dari China pula melibatkan –

i) Zhongxin Resources Regeneration Technology Sdn Bhd bagi pengeluaran ‘specialty paper, grey board, pulp board, plastic particles’ bernilai pelaburan RM122.48 juta di MCKIP 1, Kuantan.

Perjanjian jual-beli tanah dengan pemaju MCKIP 1 telah ditandatangani manakala Lesen Pengilang telah lulus sejak Mei 2019. Kerja-kerja tapak dijangka bermula pada September 2020.

SELEBIHNYA SEDANG MEMUKTAMADKAN TERMA
ii) TNP Power Sdn Bhd bagi pembinaan kilang penjana bersepadu tenaga dan haba bersepadu (ENG; combined heat and power generation plant) bernilai pelaburan RM341.74 juta di MCKIP 1 juga.

Perjanjian jual-beli tanah dengan pemaju MCKIP 1 telah ditandatangani manakala prmohonan Lesen Janakuasa dibuat kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) sejak Ogos 2019 dan sedang tunggu kelulusan. Kerja-kerja tapak dijangka bermula pada September 2020 juga.

iii) ND Paper (M) Sdn Bhd bagi pembinaan kilang pengeluar kertas dan palpa bernilai pelaburan RM522.2 juta di Taman Perindustrian Bentong.

Perjanjian antara syarikat/pelabur dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah dilakukan pada 22 April 2020.

MoU selebihnya sama ada dalam peringkat sedang memuktamadkan terma dan syarat sebelum Perjanjian ditandatangani; mahupun peringkat melakukan kajian lanjut oleh pelabur-pelabur tersebut.

ANTARA YANG TURUT HADIR

Antara yang turut hadir pada majlis tengah hari Khamis ini selain Dato’ Sri Wan Rosdy yang juga Pengerusi PKPP, dan Dr Chua ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak;

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Encik Abd Rahim Muda yang juga wakil rakyat (BN – Lepar) kawasan GTSRP akan didirikan; Timbalan Pengerusi PKPP, Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin yang juga wakil rakyat (BN – Dong); dan, Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, Dato’ Suhaimi Mohd Yunus. – Khabar