Sunday, 10 March 2013

"Kita dah ada enam (6) Perdana Menteri cuma kita takut, jangan ada pula enam (6) jahanam," kata pelakon veteran, Dato' Aziz Satar.


“Kalau adapun,” katanya tegas, “kita jahanamkan terus!”

SANTAI MENTERI BESAR BERSAMA ARTIS VETERAN KITA... Selain Dato' Aziz, Encik Hamid Gurkha serta artis-artis veteran lain; ialah Dato' Shafik Fauzan (berdiri, dua dari kiri). 


LORONG SUNGAI ISAP 53, PERKAMPUNGAN SUNGAI ISAP, KUANTAN – Pelakon veteran Dato’ Aziz Satar mengingatkan rakyat agar berwaspada terhadap individu seperti ‘enam (6) jahanam’, yang boleh membawa kesan buruk kepada negara.

“Kita dah ada enam (6) Perdana Menteri, cuma kita takut, jangan ada pula enam (6) jahanam. P.Ramlee dah buat (filem berjudul) ‘Enam Jahanam’. Mudah-mudahan tak adalah ya… Kalau adapun, kita jahanamkan terus!” katanya tegas.

Dato’ Aziz yang juga Pengerusi, Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia berkata demikian ketika ditemubual oleh kru RTM Pahang yang sempat menemuinya pada majlis makan tengah hari ala-kampung, Ahad, 10 Mac, di sini.

Ini sementara menunggu kehadiran Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada majlis tersebut yang turut dihadiri kira-kira 40 artis veteran. Mereka berada di Kuantan sejak semalam, menyertai pelbagai program kemasyarakatan anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Pahang.

Antara artis-artis tersebut ialah Dato’ Zulkifli Zain dan isteri, Datin Normala Omar; Mariani; Mimi Loma; Sofia Ibrahim; Halil Chik; Zalifah Ibrahim; Tawil; Zaibo; Wazata Zain; Hamid Gurkha; Rama; Mubarak Majid; S.Mariam; Maria Kamal; Rozita Rohaizad; S.Rohani; R.Ismail; dan Aspalela Abdullah.

'DI MATAMU, KULIHAT SINARAN'... Dato' Zulkifli sedang berduet dengan isteri, Datin Normala menyanyikan lagu nyanyian asal Hail Amir dan Uji Rashid, sambil Encik Hamid turut serta bersama-sama di atas pentas untuk menghiburkan. 

Akrabnya hubungan sesama artis-artis veteran ini khususnya pasangan suami-isteri Dato' Zulkifli-Datin Normala sepanjang majlis tengah hari Ahad ini, benar-benar 'real' serta mengujakan.     


‘BARISAN NASIONAL YANG BUAT… TAK ADA PARTI-PARTI LAIN YANG BUAT’

Dato’ Aziz mengakui betapa penjelajahan anggota-anggota persatuannya ke seluruh negara ialah untuk membantu Kerajaan yang ada pimpinan Barisan Nasional (BN), bagi menerangkan kepada umum mengenai isu-isu semasa.

“Kita akan menjelajah ke seluruh tanahair untuk membantu Kerajaan, di mana kami berpendapat, sepanjang 55 tahun Merdeka, kita sendiri dapat melihat dengan mata kepala kita sendiri, kemajuan-kemajuan yang ada di seluruh Malaysia ini siapa yang buat? Barisan Nasional yang buat… Tak ada parti-parti lain yang buat.

“Jadi, berkemungkinan juga (ekoran) kejayaan-kejayaan ini, banyak parti-parti lain yang iri hati atas kejayaan ini. Jadi, kalau kita sudah tahu keadaan seperti ini, buat apa kita nak alihkan Kerajaan. Buat apa kita nak pilih orang lain, ya,” katanya.

“Maka kita mengharaplah, semua penduduk Malaysia janganlah terpedaya dengan kata-kata orang yang tak bertanggungjawab. Kita sudah nampak segala-galanya elok ya. Kalau boleh bila sampai masanya nak mengundi, janganlah fikir yang lain-lain lagi. Tutup mata, pangkah Barisan (Nasional), habis,” kata Dato’ Aziz lagi penuh yakin.

Menurutnya, sepanjang negara Merdeka selama 55 tahun dan pula mempunyai enam Perdana Menteri dan pula UMNO sudah berusia 66 tahun, “Angka enam dah kawin. Angka limapun dah kawin.

'PAK AZIZ' DITEMUBUAL MEDIA... 


‘TAKKAN KITA LUAKAN JASA…’

“Bila sudah bercantum antara angka ini, apa tidaknya kita orang Islam dan orang Melayu sebenarnya, kita bersatu balik seperti angka lima (dan enam) yang sudah bercantum. InsyaAllah, dalam masa yang singkat ini, kemungkinan orang Melayu akan bersatu balik,” katanya.  

Kepada soalan tentang kecenderungan segelintir artis-artis muda mutakhir ini yang lebih gemar menyertai parti-parti pembangkang katanya, mereka seharusnya memandang ke belakang sambil menghargai jasa yang telah Kerajaan BN laksanakan selama ini.

“(Dalam pada) kita pandang ke depan, kita (seharusnya juga) pandang ke belakang. Jadi, orang (Kerajaan BN) sudah berjasa kepada kita, takkan kita lupakan jasa dia orang (BN)… Umpama bapak dan mak kita yang sudah berkorban apa sahaja, kita nak lupakan jasa dia orang?” tanya kembali Dato’ Aziz.  

Menurutnya, enam Perdana Menteri kita sudah berkorban serta banyak berjasa kepada negara dan rakyatnya, yang tidak mungkin terbalas maka setidak-tidaknya, rakyat perlu membantu Kerajaan yang ada.

“Ini cogankata cukup baik sekali. Setiap rakyat kena berkorban apa saja. Sebab kita ini ibarat pembantu kepada Kerajaan. Kalau tak ada rakyat, tak ada Kerajaan; jadi sama-sama kita membantu,” katanya lagi.

Selain artis-artis serta juga penduduk setempat pelbagai peringkat umur bukan setakat yang tua sahaja; yang turut hadir ialah ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shafik Fauzan Sharif; dan, Pengarah, JASA Pahang, Encik Yusof  Jamaludin. – Khabar