Thursday, 7 March 2013

Mahu bina 15,000 unit rumah dalam tempoh 5 tahun (2013 - 2017), dan ditawarkan kepada yang berpendapatan bulanan RM5,000 ke bawah

… hingga kini, lebih 60 lokasi di seluruh Pahang dikenal pasti bagi pelaksanaannya, kata Menteri Besar yang menyingkap sedikit lagi kandungan manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri bagi menghadapi pilihanraya umum kelak.  

LEGA MEMBANTU... Kelegaan jelas terpancar pada wajah-wajah semua. Bagi Dato' Sri DiRaja Adnan, beliau lega kerana dapat memberi lalu membantu, manakala nelayan, mereka lega kerana dapat menerima lalu mengurangkan sedikit beban bulanan mereka. 


WISMA BELIA, INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Sebanyak 15,000 unit rumah mampu milik akan dibina dalam tempoh lima (5) tahun ini (2013 – 2017), yang akan ditawarkan kepada pasangan suami-isteri atau keluarga berpendapatan bulanan RM5,000 ke bawah.

Setakat ini, kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan pada pagi Khamis, 7 Mac di sini, lebih 60 lokasi telah dikenal pasti di seluruh negeri ini untuk pelaksanaan.

“Ini akan (turut) dimasukkan dalam manifesto (Barisan Nasional) negeri,” katanya mendedahkan sedikit lagi kandungan pada Manifesto BN Negeri yang belum diumumkan secara rasmi, bagi menghadapi pilihanraya umum kelak.

Pada persidangan media sempena Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 566 Orang Asli daerah Bentong pagi Isnin, 4 Mac di sini, beliau telah mendedahkan antara kandungan manfesto itu yang berkaitan usaha berterusan untuk memajukan masyarakat Orang Asli.

“Dalam manifesto Barisan Nasional Negeri Pahang, kita menjanjikan akan membuat lebih banyak lagi kita namakan Program Penyusunan Kampung termasuk di Cameron Highlands, di Bentong dan di lain-lain tempat.

MESRANYA PEMIMPIN KITA DENGAN NELAYAN KITA... Apakah agaknya yang dibualkan, hingga kelihatan begitu mesra antara kepimpinan negeri dan negara kita dengan para nelayan khususnya abang kita ini.


TAK TENTUKAN KATEGORI SESIAPA

“Dan pada ketika yang sama, kita menjanjikan proses pengwartaan lebih kurang 14,000 hektar tanah (sebagai tanah Otrang Asli) dan ada tanah-tanah tertentu kita (akan) berikan hak milik kepada individu,” katanya pada pagi Isnin itu.

Ketika diminta mengulas lanjut tentang usaha Kerajaan Negeri hendak membina 15,000 unit rumah itu pula khususnya tentang siapa-siapakah yang layak untuk memohon, kata Dato’ Sri DiRaja Adnan; “Kita tak tentukan kategori sesiapa”.

“Kita tentukan untuk (membuka tawaran kepada) mereka yang berpendapatan bersama (suami-isteri/keluarga) RM5,000 (sebulan), kita akan beri peluang. Dan rumah ini pasti boleh dimiliki oleh ramai orang,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau memberi contoh apa yang dimaksudkannya mampu-milik, dengan merujuk kepada projek yang bakal dilaksanakan oleh pemaju pilihan Kerajaan Negeri di kawasan tanahtinggi Cameron Highlands yang sememangnya tinggi nilai hartanah termasuklah rumah dan apartment.

Rumah atau apartment di situ katanya, kebiasaannya bernilai antara RM450,000 dan RM500,000 seunit tetapi pemaju lantikan Kerajaan Negeri katanya, mampu menawarkannya pada harga RM120,000 seunit


NELAYAN KUANTAN KITA...

DARIPADA RM200,000 JADI RM180,000, DAN TURUN LAGI KE RM120,000

Dan harga RM120,000 itu katanya, telah direndahkan daripada asal RM200,000 dengan diskaun 10 peratus kepada kakitangan Kerajaan, menjadikannya bernilai RM180,000 seunit.  
 
“… ada rombongan datang jumpa (saya dan) bagi tahu, tak mampu RM180,000. Saya tanya (mereka) berapa boleh beli? RM120,000 (jawab mereka. Maka) kita bincang balik dengan pihak pemaju (dan) pihak pemaju kata boleh (tawar dengan harga) RM120,000.

“Ini (di) Cameron ni. Orang lain jual RM450,000 – RM500,000, bentuk apartment juga (dengan) ‘tiles’ semua siap; dia (pemaju) kata boleh jual RM120,000 tapi syarat, letak syarat pula…

“Kalau biasa tujuh (7) tingkat, dia minta dibenarkan lapan (8) tingkat (bagi pembinaan bangunan apartment berkenaan). (Saya) tanya kenapa? (Jawab pemaju bahawa) tingkat yang lapan (8) itulah untungnya. Jadi kita benarkan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Dalam pada itu beliau mengingatkan orangramai khususnya bakal-bakal pembeli, agar memberikan kerjasama dengan akur kepada arahan bayaran ansuran bulanan bagi mereka yang membuat pinjaman bank untuk memiliki unit-unit rumah/apartment yang ditawarkan.


PERWIRA DI MEDAN JUANG... Kita hanya doakan yang terbaik buat perwira-perwira kita di Lahad Datu. Kepada lapan (8) yang gugur, pengorbanan mereka tetap dihargai yang tidak mungkin dapat digalang-gantikan dengan wang ringgit.

SAGUHATI PAHANG BUAT PERWIRA INSIDEN LAHAD DATU

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanyakan tentang kemungkinan Kerajaan Negeri akan membuat sumbangan kepada waris-waris pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang terkorban dalam peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang masih dalam usaha untuk menamatkannya ketika ini.

“Ada. Kita dah putuspun semalam. Kita akan buat sumbangan untuk pegawai dan anggota polis terkorban dan mereka yang juga cedera - cedera parah, cedera ringan. ‘Quantum’nya kita akan tentukan kemudian.

“Tapi, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) atas tanda simpati Kerajaan Negeri, telah luluskan semalam (Rabu, 6 Mac),” kata Menteri Besar.

Yang turut hadir pada majlis pagi Khamis ini ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Wira Johari Baharum.

Seramai 967 nelayan daerah Kuantan menerima Elaun Sara Hidup bulanan bagi bulan Januari 2013, sebanyak RM200 yang di‘top-up’ lagi RM100 oleh Kerajaan Negeri pada majlis ini.

Elaun Sara Hidup ini diperkenalkan sejak 2008 bagi menampung bebanan nelayan akibat daripada kanaikan harga minyak tahun-tahun 2006/2007 lepas. Untuk rekod, terdapat 2,568 nelayan di negeri ini meliputi Persatuan-persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuantan ini sendiri (967 nelayan), Rompin (810 nelayan), Pekan (564 nelayan) dan Nenasi (227 nelayan). – Khabar