Monday, 8 April 2013

"Jangan dengar propaganda pembangkang"



“Kalau ikutlah orang yang tak suka Kerajaan ni, tak ada benda yang Kerajaan buat ini elok. Semua tak betul,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan.

BAHAGIA... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan riang menyampaikan suratan hakmilik tanah kepada para penerima yang tentunya bahagia dengannya. 


DEWAN ORANGRAMAI, FELDA JENGKA 22, MARAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengingatkan rakyat termasuk peneroka Felda, supaya tidak terpengaruh dengan propaganda buruk pembangkang terhadap Kerajaan yang ada.

Kepada puak-puak pencemuh dan pembangkang ini menurutnya, tidak satupun yang baik, yang telah dilakukan selama ini oleh Kerajaan yang ada pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Jangan dengar propaganda (pembangkang). Kalau ikutlah orang yang tak suka Kerajaan ni, tak ada benda yang Kerajaan buat ini elok,” katanya dalam ucapan luar teks 36-minit pada penyampaian suratan hakmilik tanah kepada 671 peneroka Felda Jengka 21 dan Jengka 22 pagi Isnin, 8 April di sini.

“Semua tak betul,” katanya lagi sambil menyebut betapa dalam hal berkaitan penganjuran majlis penyampaian suratan hakmilik tanahpun dipertikaikan dengan antara lain mereka  mendakwa, “Memanglah hak kita, nak bagi apa beriya sangat?”
  
Sedangkan katanya, banyak perkara yang perlu diusahakan termasuk oleh pentadbiran tanah di daerah-daerah berkenaan, ke arah menentu dan mengeluarkan suratan hakmilik tanah berkenaan, lalu majlis dianjurkan bagi menyerahkannya kepada para peneroka.  

IKRAR PENEROKA... Dengan tangan kanan didakapkan di dada, para peneroka kita yang diketuai oleh Encik Shaari sendiri, melafazkan ikrar tanda sokongan jita kepada Kerajaan pimpinan BN kita.  


MENTERI BESAR SEBAK

“(Jadi, saya) hendak mengatakan bahawa, bukanlah semua yang Kerajaan buat ni tak baik. Kalau ikut cakap pembangkang, semua tak baik, tidak…,” tegas Menteri Besar itu lagi.

Pada awal ucapannya, beliau telah mengejutkan khalayak apabila tiba-tiba sebak – sesuatu yang jarang dilihat berlaku kepadanya yang sering dianggap sebagai seorang yang tegas dan cekal hati.

Mengakui betapa hari ini merupakan hari yang sangat berbahagia terutamanya kepada peneroka dan pasangan mereka, tetapi, berbahagia bercampur sedih kepada peneroka yang kehilangan pasangan kerana kematian.

“… kerana, rakan hidup kita bersama-sama… ehem,” yang kedengaran suaranya terketar-ketar menahan sebak, kemudian mengakui juga betapa beliau mudah sedih apabila bercakap mengenainya.

“Mana yang telahpun kehilangan pasangan, kembali ke rahmatullah, kita juga berasa sedih. Walau apapun, tidak ada yang lebih baik untuk mereka melainkan doa kita setiap lepas sembahyang,” katanya lagi dalam nada sebak.

SEBAHAGIAN LAGI KHALAYAK PENEROKA KITA...


GERAN BOLEH DIGADAI UNTUK PERNIAGAAN YANG ‘VIABLE’

“Kok ya, kok tidakpun, suami kita ke? Isteri kita ke? Sama-sama susah (dulu) dengan kita. Itulah dia… kok basah, kok kering kain baju. Kok berpeluh, kok duduk sama-sama, kok rehat , kok suka-suka, kok bergaduh-gaduh, kok berkelahi-kelahi, kok belanga sampai ke kepala;

“Semuanya itu adalah sebahagian daripada jasa, kebahagian kita bersuami-isteri. Jadi kepada mereka, mestilah kita panjatkan doa setiap kali selepas sembahyang,” katanya lagi.

Pada persidangan media kemudian, beliau berkata betapa dalam ucapannya tadi sepertimana lazim, menasihatkan para peneroka supaya tidak mudah-mudah menjual tanah yang telah dimiliki dengan penerimaan suratan hakimilk tanah masing-masing.

“Ini semua saya ingatkan, supaya harta ini dijaga dengan teliti sekali, jangan dijual. Kalau untuk digolok-gadai, itu mungkin boleh kita (Kerajaan Negeri) timbang untuk sesuatu perkara yang munasabahlah.

“Kalau digolok-digadai untuk membuat perniagaan yang ‘viable’ tak apa. Tapi kalau digolok, digadai, semata-mata untuk nak buat perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah, kita tak akan benarkan,” tegasnya.

BERGAYA TUNGGANG VESPA... 


MANIFESTO BN YANG SANGAT LENGKAP

Mengenai manifesto BN untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, beliau ucapkan tahniah kepada beliau kerana menghasilkan manifesto yang sangat lengkap (comprehensive).

“Nampak jelas bahawa Barisan Nasional telah mengemukakan manifesto yang mengambil kira semua aspek kehidupan, dan juga semua kelompok masyarakat.

“Bukan macam manifesto Pakatan Rakyat (yang) tertinggal kaum India, tertinggal kaum Asli. Apabila ada komplen, baharulah disusun semula. Ini kita katakan kerja Pak Pandir – sekali buat, sekali tambah, sekali tarik, sekali tambah;

“Tapi (kita, BN) tidak. Kita buat dengan teratur, dengan teliti dan ini saya ingin mengucapkan tahniah keada YAB Perdana Menteri atas penerbitan sebuah manifesto, sebuah akujanji, sebuah janji Barisan Nasional yang sangat-sangat tersusun, jelas, mantap dan praktikal,” katanya.

Antara yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC Dato’ Jamaluddin Abdul Majid; Pengurus Besar, Felda Wilayah Jengka, Encik Shaari Din; Ketua Penolong Pagawai Daerah Maran, Encik Saknudin Zamli; bekas-bekas wakil rakyat Dato’ Mohamad Jaafar (BN – Jenderak), Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN – Kerdau); Wan Salman Wan Ismail (BN – Jengka) ; dan, Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Encik Shahnon Bakar.  – Khabar