“Ingatlah, ingatlah,
bahawa inilah kali pertama saya sebagai Perdana Menteri minta mandat daripada
rakyat Malaysia. ‘The first time’.
“Dan saya nak
meneruskan amanah rakyat. Tugas belum habis lagi. Tugas transformasi belum
selesai lagi. Banyak yang kita nak lakukan”
… kata Perdana
Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dalam ucapannya pada Majlis Pecah
Tanah UiTM Kampus Raub – sehari sebelum hari pengundian bagi Pilihanraya Umum
ke-13 (PRU-13) pada Ahad, 5 Mei.
TAPAK,
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM) KAMPUS RAUB, MUKIM GALI, RAUB – Sehari
sebelum hari pengundian pada esok, Ahad, 5 Mei bagi Pilihanraya Umum ke-13
(PRU-13), Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak telah meminta rakyat memberikan mandat kepadanya untuk terus memimpin negara selepas PRU-13 ini.
“Ingatlah, ingatlah,
bahawa inilah kali pertama saya sebagai Perdana Menteri minta mandat daripada
rakyat Malaysia. ‘The first time’.
“Dan saya nak
meneruskan amanah rakyat. Tugas belum habis lagi. Tugas transformasi belum
selesai lagi. Banyak yang kita nak lakukan”.
Ini
dikatakan oleh Dato’ Sri Mohd Najib pada penghujung ucapan luar teks 21-minitnya
sempena Majlis Pecah Tanah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub bernilai
RM230 juta pada pagi Sabtu, 4 Mei di sini.
Pada
penghujung ucapannya itu juga, Dato’ Sri Mohd Najib – Ahli Parlimen serta Ketua
UMNO Bahagian Pekan, telah pertama kali memperkatakan tentang bekas Ketua
Penerangan di bahagian itu – Dato’ Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, yang juga bekas
wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Pulau Manis, Pekan.
AKRABNYA PEMIMPIN KITA... Dato' Sri Mohd Najib kelihatan memperkatakan sesuatu kepada Dato' Sri DiRaja Adnan, sebaik-baik tiba di pentas utama.
MOHD ARIFF SABRI
@ SAKMONGKOL
Sejak
tidak dicalonkan semula, Dato’ Mohd Ariff Sabri telah aktif menulis
artikel-artikel dalam blognya – Sakmongkol AK47; yang sebahagian besarnya mencemuh
Dato’ Sri Mohd Najib serta kepimpinannya.
Beliau
kemudian menyertai DAP dan pada PRU-13 ini, telah dicalonkan untuk bertanding atas
tiket parti cauvanis Cina itu di kawasan Parlimen Raub ini, menentang calon BN,
Dato’ Hoh Khai Mun.
“Saya tahu,
parti DAP letak Ariff Sabri – ha biarlah sebut namanya, tak payah selindung-selindung.
Sebab dia orang Pekan jadi kena sebut. Dia jadi wakil rakyat satu penggal,” kata Dato’ Sri
Mohd Najib.
“Bila jadi wakil
rakyat di Pekan, dia berbalah dengan semua orang – penghulu, ketua kampong,
ketua cawangan. Orang tak hendak dia lepas satu penggal. Sebab tu dia kena
ganti, tak dapat jadi wakil rakyat.
“Bila dia tak dapat
jadi wakil rakyat, dia minta saya tolong dia. Dia minta Dato’ Nan tolong dia. Dah
kita tolong dia, bukan tak tolong dia. Tapi akhirnya, sebab dia ni tidak ada
prinsip, dia pula boleh masuk parti DAP, jadi calon di Raub ini.
ATAS JENTERA 'DRILLER'... Dato' Sri Mohd Najib mengangkat tangan dan memberi syarat bagus selepas menyempurnakan majlis pecah tanah itu.
JANGAN SOKONG
KERANA DIA ORANG MELAYU
“Inilah kisah Ariff Sabri yang sebenarnya. Jadi orang ni tak boleh pakai tuan-tuan dan puan-puan. Tak
boleh pakai…,”
kata Dato’ Sri Mohd Najib yang disusuli dengan sorakan dan tepukan oleh hadirin
sekelian.
“Janganlah kita
sokong dia kerana dia orang Melayu, jangan, jangan. Kita kena pilih. Ada orang Melayu
yang baik, ada orang Melayu yang tak berapa… tak baik langsung. Bukan tak
berapa baik, tak baik langsung.
“Macam orang Cina,
orang Indialah; ada juga yang baik, ada yang tak baik. Lagi baik kita sokong
calon Barisan Nasional, Dato’ Hoh Khai Mun mewakili MCA. MCA ni rakan kita.
Bila memperjuangkan untuk memartabatkan Islam, MCA tak pernah halang. Yang
menentang kita DAP.
“Tanya orang
Pulau Pinang. Orang Melayu Pulau Pinang dah rasa terpinggir kerana DAP di Pulau
Pinang. Mereka dah tolak DAP di Pulau Pinang. Takkan orang Melayu di Raub nak
sokong DAP…,” katanya
lagi diikuti tepukan oleh hadirin sekali lagi.
Pada
awal ucapannya, Dato’ Sri Mohd Najib telah menyebut tentang manfaat besar yang
bakal dinikmati oleh penduduk Raub dan persekitarannya, dengan terbina serta
siapnya UiTM Kampus Raub ini pada tahun 2015 kelak.
DASAR
TRANSFORMASI NASIONAL BERJAYA
Sementelah
pula dengan kemasukan kira-kira 3,000 pelajar serta para pensayarahnya, yang bakal
mewujudkan kuasa beli yang besar hingga boleh menyemarakkan aktiviti perniagaan
dan ekonomi di sini.
“Ini akan
mendorong pembangunan dan perkembangan bandar Raub dan seluruh kawasan Raub ini
yang mana ini adalah jasa Kerajaan Barisan Nasional untuk masyarakat di sini,” katanya lagi.
“Percayalah,
Dasar Transformasi Nasional kita memang sudah berjaya dan apatah lagi kalau
kita memberi sokongan yang padu, mandat yang kukuh kepada Kerajaan Barisan
Nasional; saya jamin, InsyaAllah, lima tahun akan datang lebih baik daripada
empat tahun sebelum ini,” katanya lagi.
Dato’
Sri Mohd Najib seterusnya mengajak hadirin yang kira-kira 7,000 orang yang
hadir pada majlis itu menjawab kepada beberapa soalan, yang menerima reaksi
amat positif dan serentak daripada mereka.
“Soal yang harus
kita tanya pada diri kita; Siapa yang akan menentukan keamanan kepada negara kita?
BN ke Pakatan Rakyat?” yang dijawab hadirin sekelian, “BN…”
BN JAMIN KEAMANAN,
KESTABILAN DAN KEMAJUAN NEGARA
“Siapa yang akan
dapat menjamin kestabilan negara kita? BN atau Pakatan Rakyat?” dijawab secara
spontan oleh hadirin lagi, “BN…”
“Siapa yang akan
bawa kemajuan ke dalam negara kita?” sekali lagi jawab hadirin, “BN…”. “Siapa janji ditepati?” sekali lagi sorakan, “BN…”
“Jelas,
kalau itulah pilihan kita, maka Barisan Nasionallah yang kita akan sokong pada
hari esok nanti” kata Dato’ Sri Mohd Najib menyimpulkan, yang serentak itu
juga menerima tepukan para hadirin.
Dalam
ucapannya juga, beliau membangkitkan tentang beberapa rakan karib atau ‘inner-circle’
kepada ketua pembangkang, Dato’ Sri Anwar Ibrahim, yang kemudian meninggalkan
pemimpin itu apabila hilang kepercayaan kepadanya.
Antara
yang disebutnya ialah Chandra Muzaffar yang pernah berkata betapa jika Dato’
Sri Anwar menjadi Perdana Menteri, akan berlaku malapetaka besar atau ‘unmitigated
disaster’ kepada negara.
RAKAN-RAKAN BAIK,
‘INNER-CIRCLE’ TINGGALKAN ANWAR
Nama-nama
lain yang disebutnya ialah ahli akademik, Dr Sidek Baba; pakar otak/urat saraf,
Dr Halili Rahmat; bekas pegawai-pegawainya, Ezam Mohd Nor dan Anuar Shaari; peguam-peguam,
Dato’ Zulkfli Nordin dan Yumtes Vijay; serta, Wee Choo Keong, Gobalakrishnan,
dan Dato’ Nallakarrupan.
Yang
turut hadir pada majlis pecah tanah ini selain Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja
Adnan Yaakob ialah Naib Canselor, UiTM, Dato’ Sri Prof Ir Sahol Hamid Abu
Bakar; serta, calon-calon BN bagi Parlimen Raub, Dato’ Hoh Khai Mun;
Dan,
kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Dong, Dato’ Shahiruddin Ab
Moin; DUN kawasan Batu Talam, Dato’ Abdul Aziz Kiram; serta, DUN kawasan Teras,
Puan Weng Lai Heng. – Khabar