Monday, 28 October 2013

Hutan dan tanah ditarah berleluasa = Mendapan teruk pada empangan dan sungai = Banjir lumpur di Cameron Highlands!


… Kerajaan Negeri berterima kasih atas kelulusan RM40 juta oleh Kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja tebatan banjir termasuk kemungkinan membina empangan baharu yang dialirkan air limpahan dari empangan sedia ada, sebelum disalurkan kembali ke Sungai Bertam.     

TEMUI MEDIA... Selain fokus kepada majlis pagi Isnin itu, lalu mengulas tentang program 1BistariNet, Menteri Besar yang 'media-friendly' ini turut sudi menerima soalan yang berkaitan hal lain termasuklah tentang kejadian banjir lumpur di Cameron Highlands. 

Kelihatan, beliau bersahaja dan secara 'sporting' menerima soalan lalu menjawab apa yang telah dipersoalkan.  


HOTEL ZENITH, KUANTAN – Hutan ditarah secara berleluasa di Cameron Highlands  menyebabkan tanah gondol lalu mudah mengalirkan lumpur ke dalam empangan dan sungai apabila hujan, hingga menyebabkan mendapan yang teruk kepada kedua-duanya;

Yang dengan itu, empangan dan sungai menjadi cetek yang kerananya, menyebabkan ia tidak mampu menampung lebihan air daripada turunan hujan yang banyak, hingga menyebabkan banjir lumpur.

Inilah yang digambarkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob tatkala diminta mengulas oleh wartawan, mengenai banjir lumpur yang melanda Lembah Bertam, Cameron Highlands baru-baru ini, hingga mengorbankan nyawa.

Dato’ Sri DiRaja Adnan sendiri telah mengiringi KDYTM Tengku Mahkota Pahang ke tanahtinggi tersebut pada petang Khamis, 24 Oktober lepas, bagi meninjau serta diberikan taklimat mengenai kejadian awal pagi Rabu, 23 Oktober itu.  

“Kenapa sungai dan empangan mendap? Sebab, hutan-hutan ditarah, ditebang berleluasa. Banjir-banjir lumpur masuk ke dalam dam (Empangan Sultan Abu Bakar),” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media sempena Hari Profesionalisme BistariNet peringkat negeri pagi Isnin, 28 Oktober di sini.

DEMI MEMBESTARIKAN PARA PELAJAR, ANAK BANGSA KITALAH JUGA... Dato' Sri DiRaja Adnan diapit kiri-kanan oleh Encik Rosdi dan Dato' Yeoh; sedang berada di atas pentas bagi laksanakan tugasannya pagi Isnin itu.  


‘KITA KENA SAMA-SAMA JAGA ALAM SEKITAR’

“Kalau dam itu dulu katalah misalannya, boleh 100 kaki air dalamnya, tapi disebabkan lumpur banyak, lumpur 80 kaki, jadi (maka, kedalaman bagi menampung jumlah) air jadi 20 kaki. Boleh menampung 20 kaki sahaja.

“Mungkin kalau (jumlah air yang masuk ke dalam empangan tersebut adalah) lebih daripada itu, itu yang (menyebabkan) banjir (lumpur) itu…,” katanya.

“Maknanya, kita kena sama-sama jaga alam (sekitar, dengan tidak melakukan kerja-kerja penarahan dan penebangan hutan apatah secara haram). Saya baca kenyataan akhbar beberapa orang (yang menyatakan, kononnya kejadian banjir lumpur ialah ekoran kerja-kerja pembangunan, sedangkan) bukan soal pembangunan apa sangat.

“Ini soal kita (segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, yang telah) meneroka secara berleluasa (dan haram),” katanya sambil memaklumkan betapa, “Baru-baru ini saya balik (dari Kuala Lumpur ke Kuantan menaiki helikpoter dan melepasi kawasan) jauh sikit dari situ; hala ke Lipis, selepas Cameron Highlands; habis bukit ditarah.

“Saya sudah arah ‘dia orang’ pergi tengok,” katanya lagi, yang mungkin merujuk kepada pegawai-pegawai di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri, menandakan sikap seriusnya terhadap gejala penerokaan tanah secara berleluasa dan haram di kawasan tanahtinggi berkenaan.

KHALAYAK GURU, MEMENUHI RUANG DEWAN... 


BINCANG DENGAN PIHAK KESELAMATAN FASAL BEKAL SENJATA API

Dalam pada itu, Menteri Besar itu berterima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang juga Menteri Kewangan, yang telah mengumumkan peruntukan RM40 juta dalam ucapan Bajet 2014, bagi melaksanakan kerja-kerja tebatan banjir di sana.

“… kita difahamkan, perlu buat sesuatulah – bukan sahaja (untuk) mendalamkan sungai, mungkin ada ‘back-up system’; kita lepaskan ke satu kawasan, buat dam (empangan) lain (yang mana limpahan air berlebihan dari empangan sedia ada ditakung), baharu lepaskan ke Sungai Bertam,” katanya.

Kepada soalan wartawan Berita Harian merujuki laporan berita muka depan akhbar itu tentang saranan Pegawai Daerah Cameron Hinglands, Dato’ Ahmad Daud agar penguatkuasanya dibekalkan senjata api untuk menangani pihak-pihak yang bertindak kasar bagi menghalang kerja-kerja penguatkuasaan, katanya, beliau perlu berbincang dengan pihak keselamatan mengenainya.

Pada persidangan media yang sama, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengulas tentang pengenalan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST: Goods and Services Tax) yang juga Perdana Menteri umumkan dalam ucapan Bejat 2014, dan akan mula berkuatkuasa 1 April, 2015.

Mahu tidak mahu katanya, GST perlu dilaksanakan memandangkan ia lebih baik daripada sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST : Sales and Service Tax) yang diamalkan sekarang.

MENINJAU KE BILIK BENGKEL... Bagi memberi kesan yang lebih baik kepada pembelajaran tentang pelakasanaan 1BestariNet di sekolah-sekolah kelak, beberapa bengkel turut dianjurkan melibatkan bilangan guru yang lebih kecil. 

Dato' Sri DiRaja Adnan telah mengambil kesempatan untuk menjengah ke bilik-bilik bengkel ini. 


MASYRAKAT SUKAR UNTUK TERIMA PERUBAHAN

“Tapi masalahnya masyarakat Malaysia ini, menerima sesuatu perubahan itu sangat sukar.

“Kalau kita ambil di Pahang sahaja. Apabila pihak MPK (Majlis Perbandaran Kuantan) cuba tukar laluan trafik sebagainya, sibuk! Satu, dua, tiga minggu, komplen sahaja. Tapi apabila nyata perubahan itu baik untuk pengguna jalanraya maka tidak ada komplen lagi.

“Begitu juga (dengan soal pengenalan) GST ini. Semua negara telah menggunakan GST. Yang saya tahu, Brunei dengan Malaysia sahaja yang belum lagi. Singapore, Thailand (amalkan GST dengan kadar), tujuh (7) peratus. Negara-negara lain, (ada yang kenakan kadar GST hingga) 10 peratus. Kita hanya enam (6) peratus.

“Dan, saya diberitahu juga, ramai orang minta supaya lebih banyak barangan diberikan pengecualian (daripada dikenakan cukai di bawah GST) dan pihak Kementerian Kewangan telah menjawab bahawa permohonan permintaan ini akan dilayan,” katanya lagi.

Menurutnya, beberapa bulan yang lepas, Kerajaan Negeri telahpun diberikan taklimat oleh Kementerian Kewangan mengenai GST ini dan beliau sendiri telah mengingatkan para pegawai kementerian itu agar system ini tidak akan membebankan rakyat.

BANYAK BARANGAN KEPERLUAN ASAS DIKECUALIKAN CUKAI

“Dan nyata sekali, insyaAllah, kalau berdasar kepada pengummamn bajet yang dibuat oleh Perdana Menteri, Menteri Kewangan, nyata sekali, banyak barangan (keperluan asas) yang dikecualikan.

“Sesuatu yang baharu ini memang ditentang (sesetengah) orang tetapi kalau kita (Kerajaan) beri penerangan bersungguh-sungguh, insyaAllah, GST akan difahami dan diterima oleh masyarakat,” katanya penuh keyakinan.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengulas mengenai 1BestariNet yang katanya, program tersebut akan melibatkan 10 juta pengguna, 500,000 guru, 5.5 juta pelajar serta empat (4) juta ibubapa di seluruh negara.

Di Pahang sahaja katanya, angka tersebut ialah 32,500 guru, 261,477 pelajar serta 299,267 ibubapa.

“(From the briefing and viedo presentations given) I could see apart from the exchange of knowledge (between rural and urban students via 1BestariNet), we can also foster solidarity among students and that’s good for Malaysia – being (a) multiracial, multicultural (country),” tegasnya.

1BESTARINET ADA ‘CONTENT FILTERING’

Beliau seterusnya menegaskan tentang ‘selamatnya’ sistem 1BestariNet ini, yang turut mempunyai elemen tapisan kandungan (ENG : Content filtering) padanya yang boleh menapis bahan-bahan yang tidak bersesuaian daripada dapat dicapai oleh pelajar.   

Adalah difahamkan, 1BestariNet merupakan kaedah pembelajaran baharu menerusi kemudahan internet, kendalian YTL Communications Sdn Bhd iaitu anak syarikat kepada YTL Corporation Bhd.

Pada majlis pagi Isnin itu, lebih 2,000 guru terdiri daripada Pengetua/Guru Besar, guru penolong kanan dan guru Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dari 731 sekolah menengah dan rendah seluruh Pahang, menyertainya.  

Yang turut hadir ialah isteri kepada Menteri Besar, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim, yang juga Pengetua, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang, di Indera Mahkota dekat sini (selaku peserta bengkel yang turut dianjurkan);

Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Encik Rosdi Ismail; Pengarah Eksekutif, YTL Corporation Bhd, Dato’ Yeoh Soo Keng; serta, Pengarah Eksekutif, YTL Communications Sdn Bhd, Puan Yasmin Yusuf. – Khabar  


Sunday, 27 October 2013

Penduduk Lembah Tembeling terus nikmati pembangunan


@ Projek jalan tar RM121 juta sepanjang 22 km menghubungkan Kampung Tuit ke Kampung Pagi kini sudah 60 peratus siap

@ Peruntukan RM280 juta juga diperolehi daripada Kerajaan Pusat bagi pembinaan jalan sambungan lagi 35 km dari Kampung Pagi ke Kampung Bantal.

@ Projek pembiakan ikan ‘sturgeon’ bagi penghasilan telur ikan atau ‘caviar’ untuk pengeksportan, dengan pelaburan RNM120 juta oleh Felda Global Ventures (FGV)

@ Kerajaan Negeri luluskan Projek Agropolitan, termasuk pembinaan 639 unit rumah 3-bilik, 2-bilik air

@ Atas permintaan wakil rakyatnya, Kerajaan Negeri setuju peruntukkan kira-kira 450 ekar tanah SKC milik PKNP, untuk aktiviti-aktiviti ekonomi yang keuntungannya diberi kepada para peserta

APABILA MENTERI BESAR MENJALA... Ditemani antara lain Dato' Wan Amizan (bertopi putih), Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menebarkan jala di Sungai Pengau, cabang kepada Sungai Tembeling yang di luar sana. 

Ini merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dilakukan bersempena lawatan sehari-suntuk Menteri Besar ke Hulu Tembeling pada hari minggu itu. 


KAMPUNG PAGI, HULU TEMBELING, JERANTUT – Penduduk Lembah Tembeling khususnya dalam Dewan Undangan Negeri kawasan Tahan di sini, akan terus menikmati pembangunan dengan terlaksananya pelbagai lagi projek di sini.

Projek-projek itu ialah bagi pembinaan jalan tar sepanjang 22 km bernilai RM121 juta, menghubungkan Kampung Tuit ke Kampung Pagi ini yang kini sudahpun 60 peratus siap;

Pembinaan satu lagi projek jalan tar sepanjang 35 km bernilai RM280 juta menghubung-sambungkan Kampung Pagi ini ke Kampung Bantal;

Projek pembiakan ikan ‘sturgeon’ bagi penghasilan telur ikan atau ‘caviar’ untuk pengeksportan, dengan pelaburan RNM120 juta oleh Felda Global Ventures (FGV);

Kerajaan Negeri pula meluluskan Projek Agropolitan bagi manfaat sosio-ekonomi peserta/penduduk, termasuk pembinaan 639 unit rumah 3-bilik, 2-bilik air;

SEBAHAGIAN JALAN YANG AKAN DITAR DAN DILEBARKAN... Inilah bahagian akhir Jalan Kampung Tuit-Kampung Pagi, yang bukan sahaja akan ditar tetapi akan turut dilebarkan. 
  

MENTERI BESAR TINJAU PEMBINAAN JALAN KAMPUNG TUIT-KAMPUNG PAGI

Dan, atas permintaan wakil rakyatnya, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan kira-kira 450 ekar tanah SKC milik PKNP, untuk aktiviti-aktiviti ekonomi yang keuntungannya diberi kepada para peserta/penduduk.

Perkara-perkara ini diuar-uarkan dalam ucapan-ucapan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan wakil rakyat, Dato’ Wan Amizan Wan Abdul Razak (BN – Tahan) pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar dengan penduduk gugusan kampung Hulu Tembeling pada tengah hari Ahad, 27 Oktober, di Sekolah Kebangsaan Kampung Pagi, di sini.

Sebelum itu, perjalanan darat kira-kira sejam dari Kuala Tahan ke sini dengan kenderaan pacuan 4-roda oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan, turut menyaksikan beliau meninjau kemajuan pembinaan jalan tar Kampung Tuit-Kampung Pagi, yang asalnya ialah laluan lori pengangkut balak. 

Dalam ucapan luar teks 26-minitnya pada Majlis Ramah Mesra itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan memuji Dato’ Wan Amizan, yang menerusi usaha kerasnya, berjaya membawa beberapa projek pembangunan biayaan Kerajaan Persekutuan, ke Dewan Undangan Negeri kawasan Tahan ini.

Beliau memberikan contoh bagaimana projek jalan bertar RM121 juta menghubungkan Kampung Tuit ke Kampung Pagi ini dapat dijayakan, yang asalnya tercetus katanya, “… sebenarnya sejak (wakil rakyat kawasan ini ialah) Allahyarhamha, Kak Long Kamariah lagi, disambung oleh Chu Rahimah; disambung pula oleh Ustaz Ahmad Jaafar.  

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 26-MINITNYA...

DATO’ WAN AMIZAN SUSUN SEMULA USAHA DAPATKAN PROJEK

“Mula lagi, memanglah pada setiap Dewan Undangan Negeri masa itu saya jadi ADUN biasa, lepas itu jadi Exco kemudian itu menjadi Menteri Besar; isu pembangunan di Tahan terutamanya hal jalan ini, dibawa setiap masa.

“Tapi Alhamdulillah, bila YB Dato’ Wan Amizan menjadi wakil rakyat, beliau telah menyusun semula projek ini dan beliau telah menggunakan daya usaha sendiri – pergi ‘memanjat’ ke Kementerian, pergi ‘memanjat’ ke EPU, Unit Perancangan Ekonomi (di Jabatan Perdana Menteri). Berjumpa Perdana Menteri.

“Akhir-akhirnya, beliaupun mendapatkan surat dari Menteri Besar. Saya tak sangka, rupa-rupanya surat Menteri Besar yang dibawa oleh Dato’ Wan tadi, rupanya laku. Lepas dapat surat itu baharulah terlaksana projek ini dan orang yang patut berterima kasih antara lain ialah (kepada) bekas Menteri Kemajuan Wilayah ketika itu Tan Sri Aziz Shamsuddin,” katanya yang serentak itu diikuti tepukan oleh para hadirin sekelian.

“Terima kasih kepada Dato’ Wan kerana menyusun. Terima kasih kepada MB kerana keluarkan surat,” katanya disambut tepukan lagi sambil beliau tegaskan tentang perlunya penduduk dan JKKK bekerjasama dengan wakil rakyat mereka, yang boleh memudah dan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan di kawasan ini.

Pada persidangan media kemudian, Dato’ Sri DiRaja Adnan diminta mengulas lanjut mengenai projek jalan Kampung Tuit-Kampung Pagi yang kadar siapnya kini ialah kira-kira 60 peratus.

DARI 'ANGLE' SEBERANG SUNGAI... Lagi aksi Menteri Besar kita sedang menebarkan jala, serta berjaya juga mendapat seekor-dua ikan lampam bersaiz sederhana besarnya.

DENGAN ADANYA JALAN, TAHAN DAPAT DIBANGUNKAN LAGI

“Dengan adanya rangkaian jalanraya ini insyaAllah, kawasan ini boleh dibuka lagi dan satu masa juga (kelak), akan ada jalan yang menghubungi Jerantut ke Sungai Lembing (di Kuantan). Itupun dalam ‘pipeline’ juga, dalam perancangan,” katanya.

Kepada permintaann Dato’ Wan Amizan dalam ucapannya sebelum itu, supaya sebuah Rancangan Tanah Kelompok diwujudkan yang boleh dimanfaati oleh para penduduk sebagai peserta katanya, Kerajaan Negeri juga bersetuju dengan permintaan tersebut.

“Kita telah bersetuju supaya pihak PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang) yang telah diluluskan kawasan Sijil Kebenaran Mencari-gali (SKC), untuk menyerahkan balik kepada Kerajaan tanah seluas 450 ekar, dengan tujuan untuk diberikan kepada orang kampung untuk aktiviti pertanian dan lain-lain,” katanya.

Selain Dato’ Wan Amizan, yang turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri 1, Dato’ Mohd Ridzwan Mohd Tahar; Pengarah, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato’ Mahadiah Mohamad; Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Dato’ Zulki-fly Osman; Pegawai Daerah Jerantut, Dato’ Syed Abdul Mutalib Mohd Hassan; dan Ketua Eksekutif, PKNP, Dato’ Lias Mohd Nor.

DALAM PERJALANAN PULANG... Dari jeti Kampung Pagi, untuk kembali ke Kuala Tahan dengan menaiki bot panjang 40 kuasa kuda, menempuhi lima (5) jeram termasuk yang agak 'adventurous', Jeram Panjang dan Jeram Dedari. Perjalanan menghiliri Sungai Tembeling ini mengambil masa kira-kira 40-minit untuk tiba ke destinasi. – Khabar     



  



Usaha tegas Kerajaan Negeri sanggah gerakan buruk-burukkan Islam


… termasuk lulus enam resolusi, antaranya usaha wujudkan pelan induk bagi memperkasakan gerakan dakwah Islamiah di Pahang  


MENERIMA RESOLUSI 6-PERKARA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menerima resolusi enam perkara berkenaan daripada Prof Madya Dr Asyraf, sambil yang lain menyaksikan iaitu (dari kiri ke kanan) Dato' Abdul Rahman; Sahibus Samahah Dato' Abdul Rahman; dan, Dato' Ahmad Munawar


NOTA EDITOR;

Esok, Khamis, 24 Oktober, akan berlangsunglah persidangan proses Semakan Berkala Sejagat atau ‘Universal Periodic Review’ (UPR) mengenai hak asasi manusia di Malaysia oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau Human Rights Council, United Nation (UNHRC) di Geneva, Switzerland.

Beberapa pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) di Malaysia telah menubuhkan apa yang dikenali sebagai ‘the Coalition of Malaysian NGOs’ in the UPR Process (COMANGO), khusus untuk mengemukakan beberapa tuntutan terhadap Kerajaan Negara ini, terutamanya dalam soal kebebasan beragama dan hak asasi manusia, pada persidangan tersebut.

Sebelum itu, pada 11 Julai lepas, ada dilaporkan betapa mereka telah mengadakan taklimat mengenainya yang dipengerusikan oleh seorang pemimpin parti pembangkang dan dihadiri oleh wakil-wakil NGO antaranya daripada Majlis Peguam dan NGO yang dikenali sebagai Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) yang dikatakan memperjuangkan gejala Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender (LGBT).

Bertentangan dengan COMANGO ialah gabungan NGO Melayu-Islam yang dikatakan peka dengan implikasi dan kesan serius daripada persidangan tersebut lalu menubuhkan Muslim-Unviersal Periodic Review Organisation (Muslim-UPRo) bagi menyanggah desakan COMANGO.

Dan kini, 17 orang wakil Muslim-UPRo sudah berada di Geneva untuk maskud tersebut. Maka, persidangan media oleh Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berkaitan hal yang sama pada tengah hari Rabu, 23 Oktober di Bilik Mesyuarat, Tingkat 6, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Kuantan; adalah bertepatan dengan masanya.

Berikut disiarkan secara ‘verbatim’, apa yang telah diluahkan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media yang turut dihadiri oleh kesemua anggota Exco Kerajaan Negeri, serta, Mufti Negeri, Sahibus Samahah Dato’ Abdul Rahman Osman; Ketua Hakim Syarie, Dato’ Abdul Rahman Yunus; dan, Pengerusi, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Prof Madya Dr Asyraf Dasuki.

Yang lain ialah Pengurus Besar, Yayasan Pahang, Dato’ Saariah Saad; Ahli Lembaga Pengelola, Yayasan Pahang, Dato’ Ahmad Munawar Abdul Jalil; serta, Presiden, Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Wan Emril Wan Embong.  


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN“Pada hari ini, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif selaku Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Ugama Islam Negeri, kita akan menghadap dan memaklumkan ke sisi KDYMM Sultan Pahang

“… tentang tuntutan yang dibuat oleh gabungan NGO Malaysia (COMANGO) yang dalam usaha mereka untuk mewujudkan apa yang disebutkan soal; saya sentuh satu aspek sahaja – liberalisme di Malaysia ini, yang kita dapati tidak sesuai dengan masyarakat kita terutamanya masyarakat Islam.

“Beberapa pihak telah mengadakan perbincangan, saya pengerusikan sekejap tadi dan kemudian Dato’ Mufti, Dato’ Ketua Hakim Syar’ie, kemudian kita juga jemput Prof Madya Dr Asyraf Dasuki, untuk bersama-sama membincangkan tentang ancaman yang akan kita hadapi jika gerakan COMANGO dibiarkan berleluasa.

“Mereka telah ke peringkat antarabangsa iaitu ke peringkat semasa Semakan Berpenggal Sejagat yang dibuat iaitu Universal Periodic Review. Ini dilakukan oleh Human Rights Council (HRC) ataupun Majlis Hak Asasi Manusia, United Nations yang berpangkalan di Geneva, yang dibuat empat tahun sekali.

“Dipendekkan cerita seolah-olah COMANGO ini ingin melaporkan, ingin buat ‘report’ kepada HRC ini, atau Majlis Hak Asasi Manusia ini, bahawa keadaan di Malaysia ini menindas kebebasan termasuk juga kebebasan berugama.

KESERIUSANNYA... Wajah serius yang diperlihatkannya pada persidangan media tengah hari Rabu itu, adalah selari dengan seriusnya isu yang umat Islam negara ini hadapi dalam mendepani NGO-NGO sepertimana COMANGO. 


COMANGO ANGGAP MALAYSIA TINDAS HAK ASASI, BEBAS BERUGAMA

“Kita telah ada juga wujudkan sebuah gabungan, pertubuhan dan kita telahpun hantar wakil ke Geneva dan mereka telahpun berada di sana sekarang; untuk memberikan hujah-hujah mempertahankan keadaan di Malaysia.

“COMANGO memberi anggapan seolah-olahnya Malaysia ini menindas hak asasi manusia, menindas kebebasan berugama kemudian mereka cuba menggalakkan perkara-perkara liberal yang bertentangan dengan ugama.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut tetapi antara perkara lainnya ialah soal seperti LGBT, kemudian itu soal perkembangan syiah di Malaysia, contohnya.

“Dan kita agak dukacita kerana dalam COMANGO juga, pertubuhan yang dianggotai oleh cerdik-pandai Islam tapi cerdik pandai mereka itu hanya pada peringkat tertentu, bukannya soal Islam.

“Mereka memperjuangkan hak asasi dan tak cukup dengan itu, membuat tohmahan, melaporkan seolah-olah kita di Malaysia ini menindas hak asasi dan juga menindas kebebasan berugama.

AKAN SEMBAH MAKLUM KE SISI KDYMM SULTAN PAHANG

“Atas kesedaran itulah kita pagi tadi, ada sikit perbincangan di kalangan cerdik-pandai kita dan mengambil keputusan kita akan menyembah maklum ke sisi KDYMM Tuanku Sultan Pahang selaku Ketua Ugama, tentang keadaan yang boleh mengancam, boleh mengancam kesucian ugama Islam dan mengancam akidah umat Islam di Malaysia termasuk di Pahang.

“Saya akan sembah-maklum ke sisi Tuanku Sultan dan pada ketika yang sama, kita juga meluluskan resolusi untuk kita kemukakan kepada YAB Perdana Menteri supaya Kerajaan Malaysia mengambil pertimbangan, mengambil kira bahawa, bukan sahaja COMANGO yang boleh bersuara.

“Ada banyak lagi di sana, NGO-NGO Islam yang merangkumi berbagai-bagai fahaman politik tetapi semata-mata untuk mempertahankan kesucian ugama Islam; ada bersama-sama untuk menentang gerakan COMANGO ini.

“Kita berharap, janganlah sampai keadaan di Malaysia ini menjadi kucar-kacir, bukan sahaja pertelingkahan antara Islam dan bukan Islam, tetapi besok, pertelingkahan antara mazhab pula. Yang ini yang kita hendak elakkan.

“Kita telah luluskan resolusi hasil perbincangan ini dan kita akan sembah-maklum ke sisi Tuanku (Sultan) dan juga KDYTM Tengku Mahkota, dan resolusi ini ada enam;

JANGAN PERTIKAI ASPEK ‘FUNDAMENTAL’

“Pertamanya, kita memandang serius dan kita kecewa dengan sikap dan pendirian COMANGO yang cuba mempertikaikan perkara yang menyentuh aspek ‘fundamental’ negara yang telah dimaktub dalam Perlembagaan.

“Keduanya, kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang memperuntukkan Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan bahawa Islam adalah ugama rasmi dan ugama lain boleh diamalkan dengan bebas; tidak perlu dipertikaikan.

“Ketiga, Kerajaan Negeri Pahang mengambil pendirian menyokong lapan resolusi yang dikemukakan oleh Muslim-UPRo – ini pertubuhan yang akan menyanggah COMANGO.

“Kita menyokong lapan resolusi yang dikemukakan oleh Muslim-UPRo ini yang merupakan gabungan mewakili NGO-NGO Islam yang juga membuat representasi ke Semakan Berpenggal Sejagat, Universal Periodic Review yang sedang diadakan di Geneva, Switzerland.

“Yang keempat, kita minta supaya sokongan terhadap Muslim-UPRo ini untuk kita menangkis hujah COMANGO, diberi sokongan oleh semua pihak di seluruh negara.

KOMITED UNTUK GEMBLING TENAGA ULAMA, CENDEKIAWAN, NGO ISLAM

“Kelimanya, Kerajaan Negeri komited untuk menyelaraskan dan menggembling tenaga para ulama, cendekiawan dan NGO-NGO Islam yang bersama-sama menyokong untuk kita meratakan kefahaman kepada rakyat akan ancaman puak-puak seperti COMANGO ini.

“Dan yang keenamnya, bagi merealisasikan hasrat di atas, kita akan merangka satu pelan induk. Apa yang akan kita namakan nanti, kita akan mohon perkenan KDYMM Tuanku Sultan dulu dan juga Tuanku Tengku Mahkota;

“… dan ianya merangkumi semua organisasi termasuk agensi Kerajan dan bukan Kerajaan, semata-mata untuk wujudkan satu pelan induk yang bersepadu dan holisitik bagi memperkasakan gerakan dakwah Islamiah di negeri Pahang ini dan juga untuk pastikan supaya kesucian ugama Islam tidak tergugat dan akidah umat Islam di negeri Pahang juga tidak terancam”. – Khabar 

Tuesday, 15 October 2013

Raya Korban

... sempena Hari Raya Aidil Adha 1434 Hijrah.  

TUNDUK, TAWADOQ'... KDYMM Sultan Pahang yang diiringi anakanda-anakanda - KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan YAM Tengku Muda Pahang; serta Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob, kelihatan sedang menunaikan solat sunat Aidil Adha pada pagi Selasa, 15 Oktober di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan. 

Diimamkan oleh Encik Mohd Khalil Mohd Zari; selepas itu, jemaah sekelian telah sama-sama mendengar khutbah yang disampaikan oleh Mufti Negeri, Sahibus Samahah Dato' Abdul Rahman Osman (dalam foto ini, bersolat di sebelah kiri Dato' Sri DiRaja Adnan).

BERSALAMAN DENGAN JEMAAH... Sepertimana kelaziman, KDYMM Sultan Pahang berkenan menerima salaman daripada para jemaah yang turut hadir pagi Hari Raya Korban ini. 

BERANGKAT PULANG... KDYMM Sultan Pahang turut berkenan menerima salaman daripada kalangan pemimpin, yang kelihatan dalam foto ini ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato' Ishak Mohamad; ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - Dato' Shafik Fauzan Sharif (sedang tunduk bersalam) dan Dato' Abu Bakar Harun; serta, Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato' Roslan Harun. - Khabar        





Sunday, 13 October 2013

14 koperasi di Pahang ialah antara 100 terbaik di negara ini!!!


… yang membanggakan Menteri Besar, lalu berpesan agar ‘ini perlu kita kekalkan’

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 16-MINITNYA... 


HOTEL M.S.GARDEN, KUANTAN – Sebanyak 14 koperasi di Pahang tergolong dalam kalangan 100 koperasi terbaik negara maka Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan menyarankan agar prestasi cemerlang ini terus dikekalkan.

“Yang paling menariknya, koperasi di negeri Pahang ini ada 14 buah yang merupakan 100 koperasi teratas dalam Malaysia,” katanya disusuli secara sederap, tepukan para hadirin.  

“Maknanya, 100 koperasi yang terbaik ini, 14 dari Pahang, lebih 10 peratus dari Pahang (dan) ini perlu kita kekalkan,” katanya lagi dalam ucapan luar teks kira-kira 16-minitnya pada program Sembang Koperasi tengah hari Ahad, 13 Oktober di sini.

Program anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) ini dihadiri sendiri oleh menterinya – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Hasan Malek, serta, ahli-ahli koperasi dan orangramai yang memenuhi setiap ruang dewan di tingkat 5, hotel milik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) ini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya berkata betapa, sesebuah koperasi yang diuruskan dengan baik dan sempurna, dapat menjadi kekuatan kepada koperasi serta ahli-ahlinya untuk menangani isu-isu seperti kenaikan harga barangan keperluan atau kemelesetan ekonomi.   

BINCANG DI MEJA MAKAN... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang berbincang sesuatu dengan Dato' Hasan, sebaik-baik tiba di meja makan. Yang turut kelihatan ialah Dato' Shahiruddin (kiri sekali). 


KUKUHKAN LAGI KOPERASI MASING-MASING

“Itu sebabnya tuan-tuan dan puan-puan; datang pada hari ini betul… bersembang-sembang dan lebih kurang. Tapi jangan lupa bila balik nanti, mengukuhkan lagi pergerakan koperasi kita,” katanya.

Beliau turut menyebut statistik berkaitan koperasi di negeri Pahang ini iaitu terdapat 819 koperasi berdaftar dengan keanggotaan seramai 296,799 orang atau hampir 300,000 orang.

Modal syer atau saham terkumpul menurutnya, ialah RM240.1 juta manakala aset atau harta terkumpul pula pada keseluruhannya, bernilai RM498.3 juta!

“Maknanya, pergerakan koperasi di negeri Pahang ini sebenarnya adalah besar. Dan sudah pasti, kalau koperasi itu besar, dapat buat kuntungan maka faedahnya dapat dinikmati oleh koperasi (serta anggota-anggotanya).

“Seperti kata Dato’ Hasan tadi, kalau ‘company’, syarikat; orang tertentu, beberapa orang sahaja (yang akan menikmati keuntungan). Tapi kalau koperasi, kita ramai-ramai boleh mendapat faedah,” katanya lagi.

BERMESRA DENGAN HADIRIN, SEMASA BERJALAN MASUK KE DEWAN... 


TAUKE AKAN BANGKRAP JIKA TIDAK BELI DUA MINGGU

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyentuh tentang gerakan kepenggunaan yang antara lain katanya, ia (kepenggunaan) sebenarnya, ialah ‘senjata  yang paling ampuh’ untuk menghadapi dan mengatasi isu kenaikan harga barangan.

Beliau berkata betapa beliau difahamkan, pengeluar ayam misalnya, boleh jatuh muflis sekiranya pengguna – dengan kuasa dan gerakan kepenggunaannya, tidak membeli ayam selama cuma dua (2) minggu sebagai tindak-balas kepada kenaikan harga ternakan tersebut.

“Begitu juga saya difahamkan; kalau harga ikan naik, jangan beli ikan dua (2) minggu, maka tauke ikan akan bangkrap.

“Oleh sebab itu, kita kena bersama-sama dalam gerakan koperasi ini, bukan (setakat) soal menambah saham sahaja. Bukan (setakat) soal menambah harta sahaja. Tetapi, untuk (turut) menjaga kedudukan kita sebagai pengguna.

“Ini adalah satu cara yang sangat berkesan. Dan, kita tidak mati kalau tak makan ikan dua (2) minggu. Kita tidak mati kalau tak makan ayam dua (2) minggu,” katanya lagi.

HADIRIN, PADA MAJLIS SANTAI TENGAH HARI HUJUNG MINGGU... 


HASRAT PM UNTUK BELA RAKYAT

Beliau seterusnya berkata, memanglah menjadi hasrat Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, untuk terus membela rakyat termasuklah mereka dalam golongan berpendapatan rendah.

Ekoran itu katanya, banyak ikhtiar serta usaha dilakukan untuk menjana dan menggerakkan ekonomi negara yang dengannya, rakyat termasuklah golongan berpendapatn rendah, dapat turut menikmat kesan limpahan daripadanya.

Dalam pada itupun beliau mengakui, betapa sebahagian tertentu rakyat yang marah terhadap Kerajaan apabila Kerajaan mengumumkan baru-baru ini, penarikan subsidi minyak sebanyak 20 sen dan kemarahan ini kononnya bakal diterjemahkan dalam bentuk undian pada pilihanraya umum akan dating.

“Tapi, mereka tidak sedar bahawa Kerajaan sekarang ini, dalam perbualan saya dengan YAB Perdana Menteri; ialah untuk mencari satu jalan, satu mekanisme bagaimana subsidi Kerajaan  ini dapat dinikmati oleh orang yang layak,” katanya.

“Sekarang ini,” katanya lagi, “Kalau saya menunggang motosikal dan orang (lain khususnya yang lebih berada) punyai kereta ‘porche’, kereta ‘mercedes’; dia dapat subsidi (minyak) juga. Ini jangan kira nelayan-nelayan asing yang datang ke laut dalam kita dan orang kita pula pergi menjual (kepada nelayan-nelayan asing ini) ke tengah laut, (minyak) disel dan sebagainya.

HANYA YANG LAYAK DAPAT SUBSIDI

“Dan jangan kira lagi, pemandu-pemandu dari negara-negara jiran (yang mengisi minyak di negara ini) – semuanya menikmati subsidi”.

“Saya percaya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan penuh yakin, “Kalau YAB Perdana Menteri diberikan sokongan, apabila kaedah memberi subsidi ini dapat diatur semula – hanya yang layak sahaja yang dapat subsidi;

“… maka subsidi yang berjumlah RM24 bilion setahun itu (yang tidak lagi digunakan untuk menampung subsidi untuk minyak berkenaan) boleh digunakan untuk diberikan terus kepada rakyat”.

Selain Dato’ Hasan, yang turut hadir pada program tengah hari cuti hujung minggu ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri, Dato’ Shahiruddin Ab. Moin;


Ahli Parlimen, Dato’ Manan Ismail (BN – Paya Besar); wakil rakyat negeri, Encik Suhaimi Jusoh (BN - Lepar); Pengerusi Eksekutif SKM, Dato’ Nik Ali Mat Yunus; dan, Pengarah SKM Negeri, Encik Mohamad Zawawi Mahmud. – Khabar 

Sunday, 6 October 2013

Terjemahkan kehebatan kempen MT dan sayap-sayap kepada kempen pilihanraya umum kelak!


… saranan Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada Majlis Pengenalan Calon-calon MT dan Exco pergerakan sayap-sayap UMNO 2013 peringkat negeri.

MEMPERKENALKAN... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan memperkenalkan seorang demi seorang, calon-calon bagi pemilihan Pergerakan Puteri UMNO.  


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan agar kehebatan berkempen untuk pemilihan Majlis Tertinggi (MT) UMNO serta sayap-sayapnya, dapat diterjemahkan dalam kempen pada pilihanraya umum kelak.

“… kalau kita terjemahkan cara kita berkempen untuk pemilihan Majlis Tertinggi dan lain-lain sayap ini, dalam kempen pilihanraya umum, parti kita tak (akan) kalah.  

“Tapi, nampak sangat UMNO ini,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, “… kempen untuk jawatan dalam parti lebih hebat daripada kempen untuk menang pilihanraya…

“Oleh sebab itu, mengambil sempena malam ini, marilah dengan semangat kita yang berkobar-kobar untuk memilih kepimpinan parti, bersama-sama mengambil iktibar, mengkaji, menyedari bahawa parti kita UMNO perlu diperkasakan lagi,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar, berkata demikian dalam ucapan ringkas 14-minit pada Majlis Pengenalan Calon-calon Ahli MT dan Exco pergerakan sayap-sayap UMNO 2013 peringkat negeri malam Ahad, 6 Oktober di sini.

THE BIG WITS... Dato' Sri DiRaja Adnan diapit kiri-kanan oleh (dari kanan, Dato' Mukhriz; Dato' Sri Mohamad; Dato' Sri Idris; Dato' Mohamad; dan Encik Azlan.


CALON-CALON NAIB PRESIDEN TURUT HADIR

Sebahagian tertentu calon-calon berkenaan turut hadir antaranya ialah calon-calon untuk jawatan naib presiden – Dato’ Mukhriz Mahathir dan Dato’ Wira Ali Rustam; calon-calon untuk MT – Dato’ Sri Mohamad Hassan; Dato’ Sri Idris Haron; Encik Azlan Man; Dato’ Ismail Sabri Yaakob; Dato’ Hassan Malek; Dato’ Sri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Dato’ Sri Mohamad Aziz.  

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, sungguhpun keanggotaan UMNO ialah kira-kira tiga (3) juta orang, tetapi ‘semangat, kekentalan dan darah perjuangan’ parti dan anggotanya banyak menyusut.

“UMNO tidak lagi dihormati oleh orang seperti dahulu. Ini kita kena ingat.

“Bermakna, kita dalam proses kempen ini, jangan merasakan sedap sendiri. Kita perlu juga memikirkan kembali bagaimana untuk kita, kalau menang nanti, bersama-sama dengan Presiden, Dato’ Sri Najib Tun Razak, Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengukuhkan semula semangat perjuanagan UMNO supaya kita boleh menang insyaAllah, dalam Pilihanraya Umum ke-14 nanti,” katanya.

Beliau memberikan contoh betapa keputusan dua (2) pilihanraya umum yang lepas tidak menunjukkan petanda yang baik hingga para pemimpin dan anggota UMNO boleh masih berselasa dengannya.

CALON-CALON MT DI ATAS PENTAS...


‘TREND TIDAK SELESA KEPADA KITA’

“Soalnya sekarang ini ialah, (pada pilihanraya umum tahun) 2008, kita menang 140 (kerusi parlimen); (pilihanraya umum tahun) 2013, kita menang 133… Maknanya, ‘trend’ itu tidak menunjukkan satu keselesaan kepada kita.

“Mungkin (pada pilihanraya umum akan datang pada tahun) 2018 nanti, tinggal 103 (kerusi)! (Dengan jumlah kerusi parlimen sebanyak) 103 tak boleh memerintah,” katanya mengingatkan tentang keberangkalaian senario buruk tersebut

Oleh sebab itulah juga katanya, sama ada calon ataupun para penyokong, perlu berusaha kea rah mengukuhkan parti dan beliau sendiri sengaja tidak menawarkan diri untuk bertanding jawatan MT kali ini demi mengukuhkan UMNO Negeri.

“Saya tak bertanding senang sahaja, sebab saya fikirkan, tenaga saya lebih diperlukan untuk mengukuhkan UMNO Negeri Pahang, (agar negeri ini) jangan jatuh ke (pihak) pembangkang, itu sahaja,” katanya disusuli tepukan para hadirin yang kira-kira 2,000 orang.

Beliau seterusnya meluahkan harapannya kepada para calon yang memenangi jawatan-jawatan yang ditandingi kelak, agar dapat bersama-sama membantu kepimpinan parti yang ditunjangi oleh Dato’ Sri Mohd Najib.

WANITA PENUHI DEWAN...


TAK PERLU CALON YANG KAKI ‘JACK’

Kepimpinan utama parti dan negara itu beliau percaya, memerlukan bantuan, sokongan, dan fikiran yang terbuka daripada calon-calon yang menang ini.

“Jangan menang MT esok, (apabila) bercakap dalam MT; meng‘jack’ saja, meng‘jack’, membodek, membodek… ‘Oh, Dato’ Sri Pengerusi… Minta maaf. Kita menang pilihanraya ini. UMNO menambahkan kerusinya, daripada 79 kepada 88. Kita menang…’

“Kita kalah!!! (Daripada) 140 (kerusi parlimen yang diperolehi pada pilihantraya umum tahun 2008), tinggal 133 (pada pilihanraya umum tahun 2013), boleh khabar (kepada) Presiden, menang lagi. Ahhh… macam ini nak masuk MT, susahlah.

“Maknanya, (perlu) orang yang berani bercakap. Dengan penuh hormat kepada Presiden tapi bercakap, bercakap dengan tertib dan teratur. Tapi kalau dengan pakai kipas, meng‘jack’ saja, susah sikit. Kalau ‘jack’ (dengan beri) ubat (penyelesai masalah yang) betul tak apa. Ubat salah…,” katanya. – Khabar     



Saturday, 5 October 2013

Ceria di padang golf

... sempena perasmian oleh KDYMM Sultan Pahang, Kelab Golf DiRaja Pekan 18-lubang pagi Sabtu, 5 Oktober

AKRAB DAN MESRANYA, SESAMA PEMIMPIN KITA... Apakah agaknya yang menarik, hingga mencuit hati lalu berketawa-riang kedua-dua pemimpin negara dan negeri kita - Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak dan Menteri Besar, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Foto ini sempat dirakam oleh Jurufoto, Yayasan Pahang, ENCIK RAMLI ABDUL AZIZ ketika kedua-dua pemimpin berkenaan menyertai yang lain, hendak memulakan perlawanan persahabatan antara Pasukan Perdana Menteri dengan Pasukan KDYMM Sultan Pahang.

Perlawanan persahabatan ini ialah sempena perasmian Kelab Golf DiRaja Pekan yang disempurnakan sebelum itu oleh KDYMM Sultan Pahang di Kelab Golf DiRaja 18-lubang, bernilai RM12 juta ini pada pagi Sabtu, 5 Oktober.

Yang turut kelihatan serta sama-sama ketawa ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail.

KEAKRABAN YANG TERUS TERSERLAH... Bak kata pepatah Inggeris, 'A picture is worth a thousand words'. - Khabar

Wednesday, 2 October 2013

Pilihlah yang terbaik antara yang baik, kata Dato' Sri DiRaja Adnan

… sebagai reaksi kepada soalan wartawan yang meminta pandangannya mengenai pemilihan UMNO akan datang.

Kepada soalan wartawan juga tentang sokongan Badan Perhubungan UMNO Negeri kepada Dato’ Maznah Mazlan yang tawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia –

“Dato’ Maznah is from Pahang. How can I as the State (UMNO Liaison) Chief, cannot say that we (the State UMNO Liaison) are supporting her?”

BUKU, SEBAGAI CENDERAHATI BUAT MB... Seperti tahu-tahu minat mendalam Menteri Besar kita terhadap buku, itulah yang diberikan sebagai cenderahati kepadanya. Kelihatan Dato' Sri DiRaja sedang menerima buku-buku tersebut daripada Dato' Sri Prof Mashkuri.  


HOTEL ZENITH, KUANTAN – Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob meminta para perwakilan yang akan mengundi pada pemilihan UMNO pertengahan bulan ini, agar dapat memilih yang terbaik daripada yang baik.

Mereka yang menawarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan dalam parti, “… memang semua baik. Tapi, kita memilih yang terbaik antara yang baik,” katanya pada persidangan media di sini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Menteri Besar, berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan pada persidangan media itu selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa ke-6 mengenai Ekonomi dan Pengurusan Perniagaan (IEBMC), pagi Khamis, 3 Oktober, di sini.

Persidangan ini anjuran Kolej Perniagaan dan Perakaunan (COBA), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kampus Sultan Hj Ahmad Shah, Muadzam Shah, Rompin. Yang turut hadir ialah Naib Canselor universiti itu, Dato’ Sri Prof Mashkuri Yaacob; serta, Timbalannya, Dato’ Prof Madya Dr Shaari Md Nor yang juga Pengerusi IEBMC.

Berikut ialah butiran yang telah diperkatakan pada persidangan media tersebut dan disiarkan secara ‘verbatim’;

MENTERI BESAR DENGAN PESERTA DALAM DAN LUAR NEGARA...


… UNTUK BANTU PRESIDEN DAN TIMBALAN PRESIDEN

Mengenai pemilihan UMNO katanya; “Kita berharap, mereka yang memilih nanti, akan memilih pemimpin yang boleh dipercayai, boleh diharapkan untuk membantu Presiden dan Timbalan Presiden mengendalikan parti.

“Matlamat kita bukan masa sekarang. Empat-lima tahun akan datang, (bagi menghadapi) Pilihanraya Umum yang ke-14. Kita perlu mengukuhkan parti, itu yang penting.

“Memang orang berkata, ini pemilihan sesama keluarga. Masalahnya, setiap kali selepas pemilihan, sesama keluarga yang selalu bergaduh.

“Kita berharap mereka akan mengotakan apa yang mereka katakan. Semua calon mengatakan, pertandingan dalam keluarga, mesti pemil;ihan secara sihat.

“Dan pihak yang mengundi mesti mengundi secara rasional, bijaksana. Kita mesti memilihi yang terbaik. Mereka yang bertanding ini memang semua baik. Tapi kita memilih yang terbaik antara yang baik”.

GABUNGAN ANTARA YANG BERPENGALAMAN DAN YANG MUDA

Mengenai kerancakan golongan muda menawarkan diri untuk bertanding katanya;

“Calon-calon muda memang kita alu-alukan dalam proses kita untuk meremajakan parti. Kita hanya boleh bercakap, tetapi terpulang kepada pihak yang akan memilih. Sebab, calon-calon muda ini sebenarnya belum lagi terserlah, terkedepan. Kitapun tidak dapat menilai mereka ni, sejauh mana kebolehan mereka.

“Ini, kita boleh lihat dari dua sudut. Kalau kita kata ingin meremajakan UMNO, mesti ketengahkan orang-orang muda. Tapi, pada ketika yang sama pula, kita mesti tengokkan ‘track record’. Orang muda mana ada ‘track record’.

“Macam kita mohon pinjaman banklah. Kita pinjam bank sebab kita tak ada duit untuk memulakan petniagaan. Bank nak tengok pula, perniagaan kita dah maju ke belum. Tak ada duit, macam mana nak mula berniaga. Macam mana nak tunjuk maju ke tidak?

“Begitulah juga dengan pemilihan ini. Oleh sebab itu, mungkin cara terbaik ialah kita memilih campuran antara mereka yang berpengalaman dengan mereka yang baharu menonjolkan diri.

ORANG LAMA TAK BOLEH DUDUK DIAM SAHAJA

“Memang orang muda ini bersemangat tapi orang lamapun perlu ada juga. Kalau orang muda semua bersemangat tinggi, main pakai langgar sahaja semua perkara; tak boleh juga.

“Orang lamapun begitu juga. Lama sangat, duduk diam sahajapun, tak boleh juga. Takut nak langgar, langsung duduk diam, tak jadi juga”.

Mengenai sokongan Badan Perhubungan UMNO Negeri kepada penacalonan Dato’ Maznah Mazlan pula katanya;

“No, it’s so simple. Dato’ Maznah is from Pahang. How can I as the State Chief, cannot say that we are supporting her? But at the same time, if we were to support Dato’ (Sri) Shahrizat, we have our reasons too.

“So, we have to look at how they campaign. And, of course the voters, that means the UMNO people who are going to be the voters, to vote for leaders; they klnow what they are doing.

“Either Maznah or Shahrizat, to me personally, doesn’t make any difference. Because, both of them are my good friends. But for not to say supporting Maznah, is not right also because I come from Pahang, you see”. – Khabar