Friday, 13 December 2013

Kerajaan Negeri 'top-up' lagi RM250 kepada setiap rumah terbabit banjir



“Kita 'go by the house, not by the heads of the families (in a house)',” kata Menteri Besar.

Beliau juga anggarkan nilai kerugian kira-kira RM390 juta, libatkan kira-kira 13,000 rumah terbabit banjir di seluruh Pahang dengan kira-kira 4,000 rumah sahaja di Perkampungan Sungai Isap.

MENTERI BESAR, PADA PERSIDANGAN MEDIA PETANG JUMAAT...


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Lagi RM250 bagi setiap rumah terbabit banjir, kepada RM500 ‘kadar nasional’ yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, Selasa, 10 Disember lepas.

Inilah nilai tambahan yang Kerajaan Negeri persetujui dan diumumkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri petang Jumaat, 13 Disember di sini.

“Kerajaan Negeri (akan) beri RM250 satu rumah,” katanya, sambil menjelaskan rasionalnya jika diberikan menurut keluarga yang berkemungkinan, ada yang akan mendakwa, terdapat lebih daripada sebuah keluarga dalam sesebuah rumah itu pula.

“Kita ‘go by the house not by the heads of the families (in a house)’,” tegasnya. Kepada soalan tentang bila pembayaran itu dapat dilakukan katanya, “Kita akan beri secepat mungkin”.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan untuk Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan khusus kepada mangsa-mangsa banjir yang mengalami ‘total lost’ yang nilainya hanya akan diketahui selepas bancian dilakukan.

KEKESALANNYA... 


BANTUAN KEPADA YANG ALAMI ‘TOTAL LOST’

“Kita ada cara kita. Kita pergi banci dulu, kemudian itu Kerajaan (Negeri) akan keluarkan (bentuk-bentuk serta nilai bantuan) macam mana yang patut,” katanya lagi pada persidangan media yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail.

Beliau juga diminta mengulas pengumumannya sebelum ini tentang pengecualian bil air ke atas mangsa-mangsa banjir yang menurutnya, Kerajaan Negeri kini memutuskan untuk memberikan rebat dengan misalnya, jika bil berkenaan ialah RM80, yang perlu dibayar mungkin RM20 sahaja.

Sungguhpun begitu katanya, Kerajaan Negeri belum tentukan lagi kadar rebat berkenaan namun beliau memberi jaminan, “… tapi, (nilai rebat yang akan ditentukan itu kelak) akan meringankan (beban mangsa-mangsa banjir), insyaAllah”.

Beliau turut ditanya mengenai anggaran kerugian yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri ini. Dengan berdasarkan apa yang telah disebutkasn oleh seorang mangsa banjir mengenai anggaran kerugian kira-kira RM28,000 terhadap rumahnya di Perkampungan Sungai Isap;

“Kita ‘round-up the figure’ (menjadi), RM30,000. Kalilah, (kira-kira) 13,000 (buah rumah, yang terjejas banjir di seluruh Pahang) kali 30 (RM30,000). Tidak RM390 juta?” beliau mengagakkan, dan menambah kata betapa, terdapat kira-kira 4,000 rumah terbabit banjir di Perkampungan Sungai Isap sahaja.  

NAMUN, TETAP BERSEMANGAT DEMI MEMBANTU RAKYAT...


POST-MORTEM TELITI SOP

Mengulas lanjut tentang mesyuarat lebih dua (2) jam yang dipengerusikannya tadi katanya, ia lebih merupakan mesyuarat ‘post-mortem’ bagi meneliti kelemahan yang wujud, puncanya lalu mencari jalan untuk mengatasinya.

“Pada ketika yang sama juga, kita berbincang untuk memperbaiki SOP, ‘Standard Operating Procedure’. Kalau berlaku lagi banjir, bagaimana lagi kaedah-kaedah yang kita patut buat.

“Tadi, (ia) lebih merupakan mendengar pandangan dari semua ketua-ketua jabatan, agensi-agensi terlibat sama ada tentera, polis, bomba, pegawai-pegawai daerah dan juga pengarah-pengarah jabatan, agensi yang ada.

“Kita akan adakan mesyuarat sekali (lagi) untuk membincangkan kertas yang kita akan bentuk berdasarkan kepada perbincangan pada hari ini. Dan yang paling menarik ialah, insyaAllahnya, KDYMM Tuanku Sultan dan juga KDYTM Tengku Mahkota akan juga berangkat untuk hadir dalam satu lagi perjumpaan untuk mengukuhkan lagi SOP yang sedia ada,” katanya.

Beliau seterusnya mengulangi apa yang telah dikatakannya sebelum ini betapa masalah yang timbul pada bencana banjir kali ini ialah ekoran ia (banjir berkenaan) berlaku di luar dugaan serta melibatkan bilangan mangsa banjir yang terlampau ramai.

PUSAT PEMINDAHAN UNTUK 400, 500 ORANG TAPI YANG DATANG HINGGA 3,000 ORANG  

Sebagai contoh katanya, sebuah pusat pemindahan banjir sememangnya telah disiapkan untuk menampung antara 400 hingga 500 orang yang pada kebiasannya, adalah memadai. “Sekali-sekali datang, 3,000 orang. Jadi, ini semua jadi masalah kepada kita,” katanya.

“Kita juga dapati, kita tidak dapat menyelamatkan mangsa banjir dengan segera, tidak dapat menghantar bantuan makanan dengan segera; ini semua kita maklum, jalan ataupun laluan telahpun dipenuhi oleh kereta-kereta yang hendak diselamatkan menyebabkan lori bawa makanan atau lori yang hendak menyelamatkan mangsa banjir, tidak dapat pergi,” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya menyebut tentang aduan-aduan yang diterimanya menerusi sistem pesanan ringkas (sms) ke telefon bimbuitnya yang mana katanya, ada antaranya berasas dan yang lain sengaja digembar-gemburkan.

“Saya dapat tahu, satu contoh; ibu minta ‘pampers’ untuk anak, tiga (3) keping diberi oleh petugas (di pusat pemindahanm banjir). Kemudian, bapa datang juga minta ‘pampers’, diberi juga tiga (3) keping.

“Dan, ada juga anak dia yang besar sikit datang minta untuk adik dia yang kecil tadi. Jadi, untuk satu ‘baby’ itu, tiga (3) kali orang datang minta. Cuba bayangkan, kalau kita bagi sekali dating kita bagi sekotak, sekali datang bagi sekotak…

TAK DISALUTI SIFAT TOLAK-ANSUR, KASIH-SAYANG

“Saya bukan hendak menyalahkan sesiapa, tapi dalam keadaan bencana ini, seelok-eloknya kita kena bertolak-ansur juga. (Sebenarnya) kita semua susah…,” katanya dalam nada agak kecewa.  

Beliau turut mendedahkan betapa para petugas di pusat pemindahan berkenaan, menjumpai hingga sembilan (9) kotak yang memuatkan selimut dan lemek (atau lebih dikenali sebagai ‘toto) yang sengaja disimpan oleh mangsa-mangsa banjir di dalam tandas.

“… terpaksa (para petugas) ambil balik (bahan-bahan keperluan ini, dan) letak dalam stor. Saya tak hendaklah sebut benda ini, tak baik… Tapi, terpaksalah.

“Dan kita tahu, mangsa yang pulang, balik ke rumah, bawa barang yang memerlukan kenderaan jugalah untuk mengangkutnya. Apakah makna ini?” kata serta tanya Menteri Besar itu lagi.

Beliau seterusnya berkata betapa semasa menghadapi bencana banjir kali ini, ‘sifat kemanusiaan kita ni, tidak ada langsung disaluti oleh sifat tolak-ansur, kasih-sayang.

PUJI PENGLIBATAN KELUARGA DIRAJA

“Sifat kemanusiaan manusia sebagai manusia itu, rupa-rupanya benar-benar ‘selfish’, mementingkan diri. Ini juga termasuk dalam perbincangan kita tadi bagaimana untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Beliau memuji penglibatan keluarga DiRaja – daripada KDYMM Sultan Pahang, KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan isteri, KDYTM Tengku Puan Pahang hinggalah YAM Tengku Muda Pahang dan yang lain, hingga mampu membantu menangani dan mengatasi masalah yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir.

KDYTM Tengku Puan Pahang menurutnya, telah sanggup mencemar duli untuk memasak dari pagi hingga ke malam, di pusat-pusat pemindahan banjir yang berkenaan, demi menjamu mangsa-mangsa banjir.

“Saya diberitahu oleh mereka yang menyertai rombongan Tuanku Tengku Puan memasak ke pusat-pusat pemindahan banjir ini, hari semalam sahaja cuti sehari. Hari ini, mula balik, di merata-rata tempat dari Kuantan, Pekan sampailah ke Maran.

“Dan, keprihatinan YAB Perdana Menteri sendiri, datang beberapa kali, dan hari itu saya bawa YAB ke batasan di Sungai Isap, kemudian bawa sendiri YAB melihat kerosakan yang dialami oleh semua mangsa-mangsa banjir,” katanya lagi.

CADANG WUJUD SATU PUSAT PEMINDAHAN BESAR

Antara yang turut dibincangkan pada mesyuarat petang ini katanya, turut meliputi cadangan mewujudkan satu pusat pemindahan banjir yang besar di satu tempat yang jika bukan musim banjir, boleh digunakan oleh pihak tentera dan polis sebagai tempat latihan.

Di pusat-pusat pemindahan sedia ada pula katanya, cadangan diutarakan agar ianya dinaikkan taraf dengan memperbanyakkan bilik air, membesarkan setor simpana makanan serta melengkapkan kemudahan dan peralatran dapur di sana.

“Ini semua dalam penelitian kita dan insyaAllahnya, kita akan dapat bantuan dari Kerajaan Persekutuan. Sebab banjir ini seperi kata YAB Perdana Menteri kepada saya, banjir ini selalu berlaku, atau ‘annual affair’.

“Jadi kita kena cari jalan bagaimana ia boleh dikurangkan, kita cari jalan, bak kata YAB Perdana Menteri, bagaimana rakyat boleh dibantu untuk menghadapi saat-saat getir itu,” katanya. – Khabar