… ekoran perjumpaan terbaharu Menteri Besar dengan Duta Besar UAE pada Selasa, 21 Januari
KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menjelaskan, sumbangan USD10 juta oleh Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) kepada Pahang berkaitan banjir, akan berbentuk barangan bukannya wang tunai.
Keputusan terbaharu ini katanya dicapai, hasil pertemuannya dengan Duta Besar UAE ke negara ini, Encik Abdullah Matar Masrouei pada Selasa, 21 Januari lepas.
“Semalam, saya telah bawa rombongan Kerajaan Negeri – Dato’ Sri SS, Dato’ Syed Ibrahim, Dato’ Pegawai Kewangan Negeri yang baharu, Dato’ Zulki-fly dan juga Dato’ Roslan; berjumpa dengan pihak Duta UAE dan juga pegawai-pegawai Bulan Sabit Merah dari UAE yang datang, wakil Kerajaan UAE.
“Kita telah berbincang dan telah capai kata sepakat iaitu mereka akan memberikan sumbangan dalam bentuk material. Mereka tidak bagi sumbangan kewangan. Sebab sumbangan kewangan ini mengikut merekalah, menimbulkan banyak masalah. Sama ada di Chad, samada Yaman – tempat yang mereka pergi beri sumbangan, semua timbul masalah.
“Jadi, tak hendak masalah yang sama timbul di Pahang, bantuan hanya untuk Pahang; mereka akan siapkan, belikan barangan tempatan seperti almari, ‘washing machine’, meja, kerusi, katil; dan ini (semua) yang akan didermakan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media petang Rabu, 22 Januari di sini.
BANTUAN MUNGKIN DIAGIH DALAM SEBULAN-DUA INI
Sambil itu kata Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyenaraikan keluarga-keluarga yang terlibat banjir untuk menerima sumbangan tersebut, dan ini mungkin dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan-dua.
“Masalah sikit timbul mungkin sama ada pembekal boleh membekalkan sekian ribu unit yang kita perlukan sebab melibatkan 15,000 keluarga.
“Maknanya, tak ada bantuan kewangan (daripada sumbangan USD10 juta dari Kerajan UAE ini). Jadi, tak payahlah ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh ke, nak cerita fasal duit, nak berterima kasih kepada UAE, tak payah,” katanya.
Dan beliau mengulangi betapa sumbangan oleh Kerajaan UAE ini ialah ekoran wujudnya hubungan peribadi yang sangat rapat antara Putera Mahkota Abu Dhabi negara Teluk itu, dengan KDYTM Tengku Mahkota Pahang.
Ini sementelah, kedua-duanya pernah belajar bersama di Akedemi Tentera Sandhurst di England. “Hubungan ini sampai sekarang sehinggakan pihak Yayasan Khalifa Zayed Al Nahyan boleh menghantar guru-guru Bahasa Arab ke mari; ha sekarang ini, bantaun banjir,” katanya.
ANG PAU RM150 KEKAL KEPADA WARGATUA 70 TAHUN KE ATAS
Pada persidangan media yang sama, Dato’ Sri DiRaja Adnan ditanyakan mengenai sumbangan ‘ang pau’ sempena Tahun Baharu Cina yang menurutnya, ia akan diteruskan tahun ini dengan kekal sumbangan RM150 seorang bagi warganegara berusia lebih 70 tahun.
“… dan kita akan panjangkan juga kepada umat Islam sempena Hari Raya Puasa, dan juga kepada mereka yang menyambut Deepavali. Dulupun kita buat tetapi tidak umumkan,” tegasnya.
Yang akan mengendalikan urusan pemberian ini pula katanya, ialah Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah di daerah masing-masing. “Siapa yang beri maklumat itu (tentang warganegara berumur lebih 70 tahun itu) kita akan ‘verify’, akan sahkan.
“Tak kira siapa – UMNO ke, MCA ke, DAP ke; yang mustahak maklumat itu sampai ke Pejabat Daerah. Ini kita tak fikir parti. Ini bukan soal parti. Kalau soal parti kita tak bagipun, sebab orang Cina ramai tak mengundi kita hari itu (pilihanraya umum ke-13 pada Mei 2013). Tapi kita bagi juga.
“Jadi kita… Ini soal hak dia sebagai rakyat negeri Pahang dan duit-duit Kerajaan, hasil cukai dan kita beri kepada mereka. Bukan atas ugama ke, fahaman politik ke, tidak. Ini atas (dasar) kemanusiaan,” katanya. – Khabar