Thursday, 2 January 2014

Tekad jadi hamba Allah lebih baik


… sempena Tahun  Baharu 2014 – tema utama khutbah Jumaat di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan.

ALUNAN AZAN... Bilal sedang mengumandangkan azan sempena solat Jumaat, 3 Januari di Masjid Sultan Ahmad Shah, UIAM kampus Kuantan.   


MASJID SULTAN AHMAD SHAH, UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM), INDERA MAHKOTA 8, KUANTAN – Sempena Tahun Baharu 2014 pada Rabu, 1 Januari lepas, khutbah yang disampaikan pada Jumaat, 3 Januari di sini, turut memperkatakan mengenainya.

Yang membuktikan betapa sambutan kedatangan tahun baharu masehi tidak bertentangan dengan Islam selagi ia tidak melibatkan maksiat atau apa-apa perkara yang ditegah oleh ajaran agama kita.

Sehubungan dengan itu, khutbah yang sama menyarankan umat Islam supaya menyambut Tahun Baharu dengan menanamkan tekad untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik daripada tempoh-tempoh sebelumnya.

“Kita patut gunakan kedatangan Tahun Baharu, bersyukur dan berterima kasih kerana dipanjangkan kehidupan untuk muhasabah diri ke arah yang lebih baik,” demikian antara yang diucapkan oleh khatib menyampaikan khutbah tersebut.

Beliau turut menjelaskan maksud ‘muhasabah diri’ iaitu menilai diri sendiri dan betapa ini wajar dilakukan setiap malam sebelum tidur sementelah kita banyak melakukan dosa termasuklah dosa-dosa mata (penglihatan), mulut (percakapan) dan telinga (pendengaran).   

INDAH DAN TENANGNYA, DI TAMAN HOTEL EDC-UUM, SINTOK, KEDAH... Penulis menyambut ketibaan Tahun Baharu 2014 di sini, kerana mengambil-pulang anak yang selesai kertas peperiksaan terakhir, tahun terakhir pengajiannya di universiti ini pada Selasa, 31 Disember (2013).  


BANYAK JUGA MANUSIA BERHAK DITIMPA AZAB

Beliau kemudian mengungkapkan Surah Al-Haj, ayat 18 yang antara lain bermaksud;

“Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi, tunduk sujud kepada Allah dan (antaranya, termasuklah) matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-ganang, pokok-pokok kayu, binatang-binatang dan sebahagian besar manusia?

“Dan banyak pula (antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya). (Ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah, maka dia tidak akan  beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya.

“Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkannya”.

Sepertimana menyambut Tahun Baharu masehi tidak menjadi kesalahan, khatib juga mengkhutbahkan betapa menanam azam Tahun Baharu begitulah juga.

“Apapun juga yang baik dibenarkan oleh Islam asalkan bukan maksiat atau yang ditegah Allah,” katanya dan menambah, “Sebaik-baik azam ialah untuk tingkatkan ibadah bagi menghadapi alam barzakh dan akhirat”.

KOLEJ KEDIAMAN BANK RAKYAT, BUKIT KACHI, SINTOK, KEDAH... Antara beg milik anak penulis pada pagi Rabu, 1 Januari yang sedang 'menanti' untuk diangkat ke bonet kereta bagi perjalanan kira-kira 9-jam Sintok-Butterworth-Tanjung Malim-Batang Kali-Genting-Karak-Gambang-Kuantan. – Khabar