Wednesday, 19 March 2014

Buah hati, pengarang jantung; wartawan luar negara - Revisited



… ekoran ucapan membangga diri pemimpin pakatan pembangkang tentang konon kehebatannya mengendalikan media antarabangsa.

MEET-THE-PRESS... Suasana pada persidangan media kendalian Pemangku Menteri Pengangkutan, Dato' Sri Hishamuddin Hussein setiap hari jam 5.30 petang, mengenai perkembangan insiden MH370.  


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, BANDAR INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Membaca laporan berita dakwaan seorang pemimpin pakatan pembangkang kononnya dia lebih dicari media antarabangsa mengenai isu kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370; hanya mengembalikan kisah silam ketika beliau masih dalam Kerajaan.

Bahawasenya, dialah satu-satunya digelar – malah mengatasi kepemimpinan tertinggi negara ketika itu; ‘Darling of foreign press corps’ atau diterjemahkan lebih-kurang bermaksud, ‘Buah hati, pengarang jantung; wartawan luar negara’.

Tidak hairanlah, sebuah portal pro-pembangkang melaporkan pada hari ini, Rabu, 19 Mac merujuk kepada ucapan pemimpin berkenaan pada kempen Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kajang, malam tadi, Selasa, 18 Mac betapa;  

‘… the international media was now more comfortable interviewing him (pemimpin pakatan pembangkang berkenaan) because of his ability to handle questions related to MH370.’

Seterusnya, portal berita itu mengutip pemimpin berkenaan sebagai berkata; “Today at 3 pm, more media are preparing to interview me. They said if they interviewed me, I answer their questions.”

UCAPAN MENDABIK-DADA

Pemimpin itu juga dilaporkan berkata; “Now the roles have been reversed, instead of blanking me out, now all the international media want to interview me again.”

Ucapan mendabik-dada sebegini mungkin boleh mempersonakan khalayak yang mendengar khususnya mereka yang tiada pengalaman tentang cara-cara beliau melayani media termasuk ketika masih berkuasa dahulu;

Tetapi, sudah tentu tidak malah memualkan khususnya kepada wartawan-wartawan yang pernah satu ketika dahulu, berkhidmat dengan organisasi-organisasi berita media utama negara, yang terpaksa berdepan dengan karenahnya.

“Orang kampung dan orang yang tak tahu apa di Kajang fasal kewartawanan dan selok-belok sidang akhbar mungkin bolehlah dia main cakap syok sendiri... Mailah cakap dengan wartawan tempatan yang selalu mengadap dia di sidang akhbar,” kata seorang wartawan.

Ini sepertimana laporan sebuah portal berita pro-Kerajaan yang diketuai kenalan kepada penulis, yang sama-sama berada pada era tatkala pemimpin berkenaan masih ditampuk kuasa.

‘WHAT GOES AROUND COMES AROUND’

Memang ketika itu, pemimpin tersebut begitu sayangkan sangat wartawan-wartawan luar negara dengan pertemuan serta wawancara-wawancara khas kerap diaturkan untuknya dengan mereka.

Manakala wartawan tempatan, dianak-tirikan. Cubaan untuk menemuramahnya selepas satu-satu acara rasmi yang beliau hadiripun, seringkali berakhir kehampaan dengan ungkapan popularnya untuk mengelak diri – ‘Harigato huzaimas’.

Penulis sendiri mengalaminya. Pernah, oleh kerana terlalu kecewa dengan gelagatnya yang gemar berjalan laju, cuba mengelak wartawan yang mengejarnya dari belakang, penulis mengajak wartawan lain supaya berhenti daripada mengejarnya lagi.

Alangkah puas hatinya penulis, setelah pemimpin itu tiba ke kereta rasminya, sebelum masuk, dia memandang dan melambai tangan ke arah kami yang sudahpun berhenti kira-kira 100 meter dari jarak keretanya.

Sesegara itu juga kami memalingkan muka ke arah lain, seolah-olah tidak tahupun yang pemimpin berkenaan sedang memandang kembali dan melambaikan tangannya ke arah kami.

Bak kata pepatah Inggeris, ‘What goes around comes around.’ – Khabar