Saturday, 30 March 2013

Dato' Sri Mohd Najib baharu hendak genap 4 tahun sebagai Perdana Menteri


… pada 2 April ini, sejak menduduki kerusi nombor satu negara pada 3 April 2009 selepas Pilihanraya Umum ke-12 (PRU-12) pada Mac 2008. Maka, banyak yang perlu diselesaikan sebelum ‘memanggil’ serta menghadapi pilihanraya umum

SUMBANGAN KEPADA YANG MEMERLUKAN... Dato' Sri DiRaja Adnan yang diiringi Laksamana Muda Dato' Mohamad Roslan (dua dari kanan, bertopi) dan Encik Sabri (di belakang Dato' Sri DiRaja Adnan); sedang beramah-mesra sambil memberikan sumbangan kepada yang memerlukan. 


MARKAS WILAYAH LAUT (MAWILLA) 1, PANGKALAN TLDM, TANJUNG GELANG, KUANTAN – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak baharu hendak menempuh genap empat (4) tahun di jawatan itu – bukan lima (5) tahun sepertimana sangkaan sesetengah pihak.

Dalam tempoh sesingkat itupun – sejak menduduki jawatan tersebut pada 3 April, 2009, banyak dasar dan program telah diperkenalkan yang tentulah memerlukan masa untuk melaksana dan menjayakannya.

Inilah yang dibayangkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sebagai menjawab kepada persoalan mengenai tarikh pembubaran Parlimen yang belum diumumkan, bagi memberi laluan kepada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13).

Menurut Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), jika tidak dibubarkan dalam tempoh yang ada ini maka Parlimen ke-12 akan terbubar secara otomatik pada Selasa, 30 April, seterusnya memberi laluan kepada PRU-13 yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.  

Setakat ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ialah yang pertama terbubar secara otomatik, pada Khamis, 28 Mac lepas. DUN seterusnya ialah Pahang sendiri, yang dijangkah terbubar secara begitu pada 12.01 pagi Isnin, 8 April ini.

WIRA-WIRA YANG GUGUR DI LAHAD DATU... Diiringi Encik Sabri, Menteri Besar kita sedang melihat secara dekat, foto wajah wira-wira kita yang gugur dalam usaha menangani pencerobohan di Lahad Datu. 


‘NOT A QUESTION OF SCARED OR WHAT’

“… you must remember, he is coming into his 4th (complete) year as the Prime Minister,  not the 5th (as some might think). He took over from Tun Abdullah (and became the PM on April 3, 2009).

“Banyaklah perkara-perkara yang perlu diselesaikan. Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi – semuanya menunju kepada kebaikan. Dengan adanya program(-program) ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri membuat sesuatu tu dengan teratur,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya menegaskan betapa, “It is not a question of scared or what (to dissolve the Parliament to make way for the General Election) . PM being very meticulous man, he wants to see everything are in order, in place.

“Saya tahu YAB seorang yang begitu teliti – teliti, berhati-hati dan membuat sesuatau perkara secara sistematik. Jangan persoalkan,” katanya pada persidangan media sempena Program Gerak Mesra Komuniti 1Malaysia Negeri Pahang pagi Sabtu, 30 Mac di sini.

Kepada soalan sama ada perjumpaannya semalam, Jumaat, 29 Mac dengan Perdana Menteri di Putrajaya ada Perdana Menteri memberikan apa-apa petanda mengenai tarikh pembubaran Parlimen itu, beliau menjawab tiada.  

KHALAYAK D TANJUNG GELANG PADA PAGI SABTU... 


SENARAI AKHIR CALON DAH DIMUKTAMAD

“No. Only the PM knows. We don’t know. No inkling, no indication (given by the PM on) when is the general election,” katanya sambil mengiyakan betapa DUN Pahang mungkin akan turut terbubar sepertimana DUN Negeri Sembilan, menjelang 8 April ini.   

Apabila terbubar kelak katanya, kerajaan sementara (caretaker government) akan meneruskan urusan pentadbiran negeri tetapi dengan kuasa-kuasa asas (basic) lalu, tidak lagi boleh membuat keputusan yang melibatkan implikasi kewangan seperti meluluskan bajet atau menaikkan gaji kakitangannya.

“‘Caretaker government’ ni dia tak boleh buat ‘decision’ yang melibatkan ‘financial implication’ – luluskan bajet, nak naik gaji orang… tak boleh. Dia (kerajaan sementara itu, akan mengendalikan) mesyuarat biasa aje,” katanya.

Tentang soal calon pula katanya yang juga Pengerusi, Barisan Nasional (BN) Negeri, senarai akhirnya telahpun dimuktamadkan pada perjumpaan dengan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, petang semalam itu.

“Of course there will be some addition, subtraction, there will be some changes, (and) that is only normal, that is to be expected. Normally, towards the end, there will still be some changes,” katanya.  

KD TERENGGANU... Berlabuh sementara menungggu untuk misi di Lahad Datu. KD Pahang yang turut berpangkalan di sini, kini sudahpun berada di Lahad Datu untuk misi yang serupa. 

Sempena Program Gerak Mesra Komuniti 1Malaysia, orangramai diberi keistimewaan untuk menaiki kapal perang KD Terengganu ini. 


PROGRAM GERAK MESRA CETUSAN MB, DIJAYAKAN SEJAK 2004 LAGI

“Saya telah menyampaikan senarai nama kepada YAB Perdana Menteri, dah  bincang – sekejap aje, 20 minit. Ada setengah negeri setengah jam, ada sesetengah negeri 15 minit, ada sesetengah negeri 20 minit.

“Pokoknya, semalam PM telah panggil semua pengerusi Barisan Nasional negeri untuk memuktamadkan senarai. Tapi senarai pilihanraya ni, nama sahaja muktamad, sebenarnya, sehinggalah (hari) penamaan calon, ianya boleh juga bertukar mengikut kepada kesesuaian,” katanya lagi.

Mengenai Program Gerak Mesra ini – satu lagi program kemasyarakatan yang dicetuskan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan dan dianjurkan sejak tahun 2004 lagi katanya, program ini diadakan dalam bentuk bersantai, bagi membolehkan pegawai, anggota dan juga keluarga TLDM di sini bersama-sama dengan orangramai, demi mengeratkan lagi perpaduan antara mereka.

Antara yang turut hadir pada program tiga (3) hari dengan kemuncaknya hari ini ialah tuanrumah sendiri, Panglima, Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Dato’ Mohamad Roslan Mohamad Ramli;

Pengarah Pemangunan Negeri, Dato’ Zulki-fly Osman; Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Norhayad Ahmad; Pengarah, Jabatan Penerangan Negeri, Encik Sabri Abdullah; ketua-ketua jabatan serta pemimpin-pemimpin politik setempat. – Khabar  

Thursday, 28 March 2013

Geran untuk tapak rumah ibadat bukan Islam



… antara satu lagi kandungan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13

BERSATU, BERSEMANGAT DALAM GELOMBANG BIRU... 
  

DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, BENTONG – Tapak bagi rumah-rumah ibadat bukan Islam di atas tanah Kerajaan selama ini cuma dirizabkan sedemikian tetapi kini, Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) mahu menukarnya kepada status geran atau tanah hak milik pula.

Dan perkara ini akan menjadi antara kandungan utama dalam Manifesto BN Negeri bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13), yang pasti ditunaikan apabila BN sekali lagi diberi kemenangan lalu kekal memerintah negeri selepas pilihanraya itu.

Inilah antara apa yang dikatakan oleh Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Negeri, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan 40-minit melancarkan ‘Gelombang Biru Parlimen Bentong’ pada petang Khamis, 28 Mac di sini;

Yang kemudian diminta mengulasnya pada persidangan media yang diadakan pada penghujung majlis tersebut.

“Sekarang ni,” menurutnya, “Rumah-rumah ibadat orang bukan Islam (yang) terletak atas tanah Kerajaan,  kita rizabkan sebagai (tapak) rumah ibadat untuk satu-satu kaum tertentu. Sedangkan rumah ibadat itu telahpun berada begitu lama.

BERSILA KITA... Tanpa menghiraukan sofa empuk yang telah disediakan, bagi menunjukkan lagi ke'bersamaan'nya dengan khalayak sekelian, Dato' Sri DiRaja Adnan mengajak seluruh barisan kepimpinan BN Parlimen Bentong untuk bersila di depan pentas, bersamanya. 


ATAS SEMANGAT 1MALAYSIA

“Atas kesedaran (serta semangat) 1Malaysia (yang dicetus dan diamalkan oleh) kepimpinan YAB Perdana Menteri, jadi kita menunjukkan bahawa kita (juga) prihatin. (Maka,) kalau kita menang pilhan raya (umum) ni esok, rumah ibadat tu –
tapaknya kita beri geran, suratan hakmilik.

“Ini termasuk (dalam) manifesto, manifesto Barisan Nasional Negeri,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Kepada soalan lanjut wartawan tentang kenaan premium ke atas tapak-tapak yang dbreikan geran atau hak milik itu katanya, kalaupun dikenakan, ia akan bersifat ‘biasanya, nominal sahaja’.

“Terpulang kepada Kerajaanlah – RM10,000 ke, RM1,000 ke, RM100 ke, RM10 ke ataupun RM1… Terpulanglah. Mungkin kalau rumah ibadat tu selalu didatangai oleh orang kaya-kaya, ha , kita boleh kena(kan) premium (yang relatif tinggi).

“Tapi kalau (rumah ibadat bukan Islam itu dikunjungi oleh) orang kampung, orang biasa, penoreh getah semua tu… (yang berpendapatan tidak besar) nak premium apa?” katanya lagi.

SAMA-SAMA KITA PATERIKAN IKRAR, UNTUK MENANGKAN BN... Dengan penuh tertib, khalayak dalam kalangan pemimpin dan ahli BN sedang mengangkat serta melafazkan ikrar. 


TUNJUKKAN BN BERSIAP SEDIA

Beliau turut mengulas mengenai dakwaan pembangkang konnonnya Parlimen belum juga dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU-13, ialah kerana Perdana Menteri takut untuk menghadapi pilihanraya tersebut.    

Kononnya pula ada yang mendakwa, sungguhpun Perlembagaan Persekutuan membenarkan tetapi adalah salah daripada segi moralnya apabila Perdana Menteri belum juga lagi mengumumkan pembubaran tersebut.

“Itulah guna(nya) Perlembagaan, itulah guna undang-undang. Dan ikut amalan konvensyenpun, memang Perdana Menteri parti pemerintah yang mempunyai – bukan kuasa, pendapat dia kemudian dia kemukakan kepada kalau di Britain, Queenlah, kalau di Malaysia, Yang Dipertuan Agong.

“Itu telah diperuntukkan (dalam Perlembagaan Persekutuan). Maknanya, kalau tidak diisytiharkan pembubaran, akan sampai satu tempoh pembubaran otomatik. Dah ada dalam undang-undang, tak apalah,” katanya.

Mengenai majlis petang Khamis ini katanya, ia dianjurkan bagi menunjukkan kepada ahli-ahli BN dan juga parti-parti pembangkang bahawa BN di sini sudah bersiap-sedia untuk menghadapi PRU-13.

BAIKNYA KEPIMPINAN BN KITA; DALAM PADA AKUR KEPADA KEHENDAK DAN KEPERLUAN MAJORITI, YANG MINORITI TURUT DILAYANINYA... Dato' Sri DiRaja Adnan sambil Dato' Sri Liow di sisi, sedang melayani masalah yang dikemukakan hingga ke meja makan, oleh seorang warga Sikh ini. 


BEKERJA SECARA SISTEMATIK

“Kita bersiap untuk melaksanakan proses demokrasi iaitu pilihanraya. Dan yang pentingnya ialah, kita lihat tadi, jentera semua komponen bekerjasama. Yang penting sekarang ini ialah menggerakkan gerakan dan bekerja secara sistematik,” katanya.

Yang turut hadir pada majlis penuh bersemangat ‘membara’ dengan ‘lautan’ baju biru memenuhi setiap sudut Dewan ini ialah Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Liow Tiong Lai yang juga ahli parlimen Bentong serta Pengerusi MCA Negeri;

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Hoh Khai Mun yang juga Timbalan Pengerusi MCA Negeri serta wakil rakyat (BN – Bilut); Pengerusi, MIC Negeri, Dato’ M.Davendran yang juga wakil rakyat (BN – Sabai);

Pengerusi, Gerakan Negeri, Dato’ Dr Ng Kwang Chye yang juga wakil rakyat (BN – Ketari); serta, Pengerusi PPP Negeri, Dato’ A.Elayppan. – Khabar 

Wednesday, 27 March 2013

Cadangan bina 'outer ring-road', 'flyover' dan lebih banyak jambatan


… selain menambah-baikkan sistem perparitan, bagi atasi masalah-masalah kesesakan lalulintas serta banjir kilat di bandar Kuantan.

Pengumuman Perdana Menteri memperuntukkan RM100 juta untuk atasi kedua-dua masalah itu kata Menteri Besar, seperti ‘pucuk dicita, ulam mendatang’ dan pula, ‘kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan’.

MENTERI BESAR SENDIRI MENGISLAMKAN SAUDARA BARU... 


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Cadangan asal ialah untuk membina jalan lingkaran luar (outer ring-road) termasuk jejambat (flyover); dan beberapa lagi jambatan menyeberangi Sungai Kuantan – bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas di bandar Kuantan ini.

Dengan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak memperuntukkan RM100 juta termasuk RM50 juta untuk mengatasi masalah kesesakan lalulintas di bandar ini. maka cadangan ini mungkin boleh dilaksanakan.

Ini sepertimana dikatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sebagai menjawab soalan wartawan tentang pengumuman Perdana Menteri itu, pada persidangan media sempena Program PengIslaman Saudara Baru Masyarakat Orang Asli Daerah Rompin dan Raub pagi Rabu, 27 Mac di sini.

“Kita telah bincang dan Alhamdulillah, salah satu yang patut kita lakukan ialah untuk kita buat beberapa jalan ‘outer-ring road’ dan juga ‘flyover’. Selain dari itu, dengan mengambil kira pengalaman dari negara luar; di Sungai Kuantan ini, mungkin kita perlu bina beberapa buah jambatan.  

“Alhamdulillah, ‘pucuk dicita, ulam mendatang’, ‘kecil tapak tangan, nyiru kita tadahkan’, kita bertuah dapat seorang Perdana Menteri yang prihatin, bukan sahaja kepada rakyat Pahang, seluruh Malaysia ni.

BERSAMA-SAMA BEKAS 'PASTOR' ISMAIL... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang tekun mendengar penerangan oleh bekas 'pastor', Encik Ismail Bahnok. Encik Ismail, yang pernah menjadi 'pastor' dalam agama Kristian selama 16 tahun, akhirnya memeluk Islam pada tahun 2009 dan turut hadir pada majlis pagi Rabu itu.


ORANG ‘GANU DATANG ‘SHOPPING’ HARI JUMAAT

“Takdir Allahnya, Pahang adakan (menjadi tuanrumah kepada) PJJD (Program Jelajah Janji Ditepati) sebagai penutup, Grand Finale (pada Sabtu, 23 Mac, bila mana) YAB Dato’ Sri Perdana Menteri umumkan peruntukan untuk baiki ataupun mengatasi kesesakan jalan/lalulintas,” katanya.  

Semasa peringkat awal beliau menjadi Menteri Besar lagi katanya, Kerajaan Negeri telah meminta sebuah institusi pengajian tinggi tempatan untuk melakukan kajian mengenai masalah kesesakan lalintas di bandar ini.

“Sekarang ini, dengan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan tu nampaknya, lebih cepatlah kita melaksanakan langkah-langkah untuk mengatasi kesesakan jalan sebab, tiga-empat tahun yang lalu, dari Rumah Rasmi Menteri Besar ke pejabat, tujuh ke lapan minit aje. Sekarang saya perlu masa 15 minit ataupun  17 minit untuk sampai.

“Maknanya, bilangan kenderaan telah bertambah (maka) berlaku ‘traffic jam’. Kalau hari Jumaat, Sabtu, ‘confirm’ (wujud kesesakan lalulintas itu) sebab saudara-saudara kita dari Terengganu juga datang ‘shopping’ di sini kerana hari Jumaat ‘public holiday’ di sana,” katanya.

Kepada soalan tentang sama ada Kerajaan Negeri turut telah mengenal pasti lokasi-lokasi tertentu serta langkah-langkah khusus bagi megatasi masalah kesesakan lalulintas itu, beliau menjawabnya positif.  

KHALAYAK SAUDARA BARU KITA...


BULATAN ‘TERBESAR’ DI DUNIA, DI TELUK CHEMPEDAK

Antaranya, ialah dengan membina jalan pintas tepian pantai meminggiri Bukit Pelindung dari pantai peranginan popular Teluk Chempedak, untuk ke Jalan Beserah. “Di Teluk Chempedak itu, kita ada bulatan yang ‘terbesar’ di dunia. Kita akan buat jalan potong, merentas melalui pinggir Bukit Pelindung, terus ke Jalan Beserah,” katanya.

Mengenai peruntukan RM50 juta lagi bagi mengatasi masalah banjir kilat di bandar ini katanya, ia boleh digunakan untuk menambah-baikkan sistem perparitan di bandar ini yang selama ini tidak begitu baik (not that good).

“So, with the allocation of RM50 million, hopefully will cover all the projects in the pipeline, which we have put on hold because of limited funds.

“Since the funds are now forthcoming, the relevant department that is the Jabatan Pengairan, will do the necessary and hopefully the drainage system in Kuantan will improve (thus, rid off the problem of flash floods after heavy rainfalls),” katanya.

Mengenai majlis pagi Rabu ini, yang disertai oleh 126 Orang Asli dari Bukit Ibam, Rompin dan Sungai Bilut, Raub katanya, ia merupakan program berterusan oleh Yayasan Pahang (YP), bertujuan untuk melebarkan lagi dakwah Islamiah dengan menerima seberapa ramai yang boleh, saudara-saudara baru Islam.

PEGAWAI KHAS MB TURUT MENGISLAMKAN... Pegawai Khas kepada Menteri Besar yang juga bekas wakil rakyat serta bekas Kadi daerah Jerantut, Dato' Ahmad Jaafar turut mengIslamkan saudara baru kita.


TIADA PAKSAAN DALAM UGAMA

“Mereka dengan sukarela, memeluk ugama Islam dan hari ini kita menerima mereka. Tetapi yang penting ialah, kita mengamalkan satu prinsip iaitu kebebasan berugama dan ini sesuai dengan (ayat) al-Quran sendiri – ‘La ikra, hafiddin’, tiada paksaan dalam ugama.

“Namun hari ini, 126 orang masyarakat Orang Asli dari Rompin dan Raub, dari Bukit Ibam, Sungai Bilut; dengan sukarela hendak memeluk Islam maka kita anjurkan majlis ini,” katanya.

Lanjutan kepada ini katanya, ialah program susulan (follow-up programme) yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai dan penggerak dari Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) – sebuah badan di bawah YP, ke arah mengajar dan memantau pergerakan mereka sebagai seorang saudara baru.

Pemantauan kata Menteri Besar lagi, turut dilakukan oleh pegawai-pegawai PETAMA yang kemudian mengemukakan laporan mereka ke mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YP yang diadakan kira-kira tiga (3) bulan sekali.

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Rabu ini dengan Menteri Besar sendiri antara yang turut mengIslamkan saudara-saudara baru ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Pembangunan  Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail; ahli Lembaga Pemegang Amanah YP, Dato' Sri Abdul Jabbar Ibrahim;

Timbalan Setiusaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), yang juga Pengarah, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato’ Mahadiah Mohamad; Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri, Encik Esa Hamid; dan, Pemangku Pengarah, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP), Encik Rosdi Ismail.

BERMESYUARAT EXCO YANG TERAKHIR?... Inilah barisan Exco Kerajaan Negeri termasuk ex-officio dikemudikan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan. Foto ini ialah sebelum mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri pada petang Rabu, 27 Mac di Kompleks Yayasan Pahang ini. 

Mesyuarat yang terakhirkah sebelum Dewan Undangan Negeri seterusnya Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihanraya Umum ke-13?

Selain Dato' Sri DiRaja Adnan (duduk tengah di barisan depan) ialah (dari kiri ke kanan) ex-officio - Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Norzan Ahmad; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato' Mat Zara'ai Alias; dan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail; Dato Hoh Khai Mun; Dato' Ishak Muhammad; serta, Dato' Mohd Sharkar Shamsuddin. 

Yang lain ialah (berdiri, dari kiri ke kanan) Dato' Mohd Sahri Ab.Aziz; Dato' Wan Rosdy; Dato' Wan Adnan Wan Mamat; Dato' Ir Mohd Soffi Abdul Razak; Dato' Foong Kah Fue; dan, Dato' Shafik Fauzan Sharif. - Khabar 

Monday, 25 March 2013

Pembangunan tanah di Pahang mesti tak babitkan kawasan-kawasan rizab!


… demi pelihara alam sekitar dan kemapanan hutan, serta jagai kebajikan masyarakat minoriti Orang Asli kita.

TUNAI BUAT PELAJAR STPM CEMERLANG... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan cek olok-olok yang turut disertakan dengan cek sebenar kepada pelajar cemerlang ini. Sebagai tanda murah hatinya juga, beliau sendiri tambahkan lagi RM200 kepada nilai itu kemudian. 


KOLEJ ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH (KIPSAS), KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menegaskan  betapa ketetapan dibuatnya agar apa-apa rancangan pembangunan tanah yang hendak diluluskan di negeri ini, mesti tidak membabitkan kawasan-kawasan rizab seperti tadahan air dan tanah Orang Asli.

Ia agar negeri ini menurutnya, dapat terus memelihara alam sekitar lalu menjamin kemapanan (sustainability) hutan, serta menjagai kebajikan dan hak-hak masyarakat minoriti Orang Asli yang telah diwartakan kawasan tanah mereka.

“Kalau kita (luluskan) rancangan pembangunan (tanah) satu tempat, pastikan tak terlibat tadahan air, tak terlibat rizab Orang Asli, tak terlibat sebarang rizab yang lain – hidupan liar sebagainya,” tegasnya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan wartawan pada pesidangan media sempena Majlis Konvokesyen Prauniversiti Negeri Pahang yang julung-julung kali dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) untuk pelajar-pelajar lepasan tingkatan enam, petang Isnin, 25 Mac di sini.

Sungguhpun dengan ketetapan tegas begitu, Dato’ Sri DiRaja Adnan akui, ia masih dilanggari yang puncanya ialah sifat tamak pihak-pihak tertentu termasuklah mereka yang dilesenkan untuk melaksanakan kerja-kerja melibatkan tanah dan perhutanan.

WAJAH YANG BERJAYA... Seorang daripada pelajar lagi, sedang menerima sijil daripada Dato' Sri DiRaja Adnan sambil Encik Rosdi disebelahnya, memerhatikan.  


‘YANG TAMAK, TAMAKLAH JUGA’

“Tapi kadang-kadang manusia ni, susahlah kita nak cakap. Yang tamak tu, tamak jugalah,” katanya dalam nada kesal.

“Katalah kita meluluskan (rancangan pembangunan) tanah itu satu (1) hektar untuk cucuk-tanam. Kadang-kadang orang yang dapat tu ‘bengkok’, dia akan buat sesetengah tempat, 10 hektar. Yang ada lesen (untuk) satu hektar, yang tak ada lesen 10 hektar.

“(Yang melibatkan pula) penebangan hutan. Ia ada syarat-syarat tertentu; pokok (yang hendak ditebang) ni (mestilah ukuran) lilitan sekian-sekian, cara tebang macam mana, tepi sungai jangan usik, ada ‘buffer zone’nya,” tegasnya.

Bagi menangani masalah pelanggaran dan ketidak patuhan inilah menurutnya, aspek-aspek penguatkuasaan oleh jabatan-jabatan berkenaan perlu dipertingkatkan; “walaupun pada keseluruhannya, keadaan masih terkawal”.

Atas tanggungjawab jabatan-jabatan tersebutlah menurutnya, untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan termasuk bagi menambahkan bilangan kakitangan mahupun peralatan yang diperlukan.

SAAT MEMBAHAGIAKAN... Inilah antara penerima pada Majlis Konvokesyen Prauniversiti Negeri Pahang petang Isnin itu. Dengan adanya majlis konvokesyen ini, ia tentu dapat menjadi pembakar semangat untuk mereka melakukan yang lebih baik lagi apabila menjejakkan ke universiti kelak. 


KERJA PENGUATKUASAAN BUKAN MUDAH

“Sekarang ni kita mempunyai alat-alat canggih; GPS, ‘remote sensing’ semua. Kita boleh gunakan satelit. Terpulang kepada inisiatif jabatanlah. Saya hanya boleh memberikan panduan,” katanya lagi.
  
Beliau juga berkata, pakar-pakar perhutanan ada maklumkan kepadanya bahawa pokok-pokok yang mencapai usia matangnya perlu ditebang yang jika tidak, akan mati hingga memberi kesan buruk kepada pokok-pokok lain.

“… kalau ikut amalan, kita jangkakan setiap 25, 30 tahun, hutan tu pusing balik. Kita tebang kawasan A, kita ikut syarat-syarat yang telah ditentukan, (dan sesudah) 20 tahun kita akan datang balik (di kawasan A yang sama, kita masih dapat) tebang sebagaimana kita tebang 20 tahun dahulu.

“Tapi kalau kita kerja kawasan A, kita tidak ikut peraturan, kita langgar semua – buffer zone sebagainya, lilitan pokok; 20 tahun akan datang, kita datang (semula ke kawasan yang sama tetapi) tak ada hutan. Itu mustahak penguatkuasaan tu,” katanya.

Dalam pada itupun, Dato’ Sri DiRaja Adnan tetap akur betapa kerja-kerja penguatkuasaan khususnya di dalam kawasan hutan dengan segala halangannya, bukanlah kerja mudah.

'UP-CLOSE' WITH THE MB... Menteri Besar sedang melayani soalan wartawan pada persidangan media. Di sebelahnya ialah Encik Rosdi. 


SYARAT ADA ZON PENAMPAN DI KEDUA-DUA TEBING, TIGA KALI GANDA LEBAR SUNGAI

Menurut rekod, syarat-syarat diterima-pakai di Pahang berkaitan perhutanan khususnya, ialah antara yang paling ketat. Malah, Pahang ialah negeri pertama dalam kalangan negeri di Semenanjung Malaysia yang menerima-pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 1993 pada 23 Disember 1993 lagi.

Di bawah Akta yang dipinda inilah, hukuman bagi kesalahan mengambil hasil hutan dari hutan simpan kekal dan tanah kerajaan tanpa kebenaran diberatkan lagi, yakni denda tidak melebihi RM500,000 (sebelumnya, cuma RM10,000) dan penjara tidak kurang setahun tetapi tidak melebihi 20 tahun (sebelumnya, cuma tidak lebih tiga tahun).

Selain itu, Kerajaan Negeri juga mewajibkan apa juga kerja perhutanan/pembalakan hendaklah menuruti piawaian MC&I (Malaysian Criteria and Indicator). 

Dan ini diperketatkan dengan ketetapan, jika kawasan berkenaan ada sungai, bagi sungai yang lebarnya lebih tujuh (7) meter mesti ada zon penampan (buffer zone) seluas tiga kali ganda lebar sungai itu di tebing kiri dan kanannya! 

Bagi sungai yang lebarnya kurang tujuh (7) meter, hendaklah masih mempunyai zon penampan itu seluas 20 meter di kedua-dua belah tebingnnya.

RAKYAT AKAN SOKONG BN MENANG SEMUA 14 PARLIMEN

Pada persidangan media yang sama, Dato' Sri DiRaja Adnan juga Pengerusi, Barisan Nasional (BN) Negeri, ditanya sekali lagi tentang peluang kemenangan BN Negeri dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.   

“Hati saya ada rasa sedaplah… Saya yakin pengundi negeri Pahang akan beri kemenangan kepada Barisan (Nasional),” katanya sambil menegaskan agar beliau tidak dilihat bercakap besar tentangnya.

“Saya yakin di negeri Pahang ni, rakyat akan beri sokongan kepada Barisan Nasional untuk menang kesemua 14 kerusi parlimen. Rakyat akan beri sokongan. (Ini) berdasarkan kepada reaksi, laporan, kajian kita – kajian oleh jabatan-jabatan, kajian oleh pihak-pihak yang berkecuali, ada ‘research group’.

“Yang mustahak sekarang ialah calon. Calon akan menentukan menang-kalah. (calon yang dipilih juga) akan menentukan menang besar, menang kecil. Calon, calon,” katanya lagi.

Yang turut hadir ialah isterinya, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim – yang juga seorang Pengetua di Sekolah Menengah Panglima Perang, Indera Mahkota; serta, Timbalan Pengarah, JPNP, Encik Rosdi Ismail. – Khabar                 

Saturday, 23 March 2013

Sambutan hebat, 'electrifying' rakyat Pahang buat Perdana Menteri!!!


... senario menggalakkan bagi Barisan Nasional (BN) menghadapi dan menang besar pada pilihanraya umum ke-13.

Perdana Menteri turut umumkan peruntukan RM100 juta untuk atasi masalah kesesakan lalulintas dan banjir kilat di bandar Kuantan ini.

Juga bakal bina 20,000 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di negeri ini.

SINGGAHAN KE 'BOOTH' YAYASAN PAHANG... Dato' Sri Mohd Najib kelihatan gembira semasa mengikuti persembahan kanak-kanak ini ketika melawat ke 'booth' Yayasan Pahang (YP) sempena program JJD siri terakhir ini. 

Selain Tok Puan Indera Datin Sri Rosmah dan Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Pengurus Besar YP, Dato' Saariah Saad (sebelah kanan Tok Puan Indera Datin Sri Rosmah). 


PADANG MPK 2, KUANTAN – Rakyat Pahang memberi sambutan hebat kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang berada di negeri ini sehari suntuk pada Sabtu, 23 Mac kerana hadir merasmikan beberapa program.

Dengan sambutan hebat serta ‘electrifying’ ini, memberikan senario positif kepada Barisan Nasional (BN) khususnya di negeri ini, untuk menghadapi seterusnya menang besar pada pilihanraya umum akan datang.   

Bermula dengan program sosio-ekonomi untuk golongan memerlukan – Rimbunan Kasih pada sebelah pagi di Tanjung Besar, Lipis; disusuli program untuk belia, 1M4U pada awal petang di Pekan; jengahannya ke majlis anjuran Gabungan Persatuan Cina Pahang di Stadium Darul Makmur bersebelahan, yang turut dihadiri oleh pelakon terkenal dari Hong Kong, Jackie Chan;

Sehinggalah kemuncaknya dengan kehadiran beliau bagi melabuhkan tirai Program Jelajah Janji Ditepati (JJD) – yang terakhir selepas pertama kali dianjurkan di Batu Pahat, Johor pada April 2012, pada sebelah malam, di sini.

Kesemuanya menampakkan sambutan hebat rakyat dalam kalangan pelbagai latar sama ada kaum, ugama, usia mahupun mata pencarian dengan bukan setakat kehadiran mereka yang puluhan ribu, malah memberikan tindak-balas baik kepada apa yang Perdana Menteri ucapkan.

KHALAYAK JJD DI BAWAH KHEMAH... 


KUANTAN SEBAGAI DESTINASI AKHIR JJD TEPAT

Inilah juga yang turut mendorong Perdana Menteri dan juga Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, yang berucap pada majlis-majlis berkenaan, memberikan pujian tinggi kepada mereka.

Pada awal ucapan 29-minitnya lagi di sini, Dato’ Sri Mohd Najib berkata; “Saya lihat, begini ramainya yang berhimpun pada malam ini, maka tepatlah kita pilih Kuantan, Pahang sebagai tuanrumah kepada majlis terakhir dalam siri Jelajah Janji Ditepati”, yang disambut sorakan gembira hadirin.

Malah, pada bahagian-bahagian tertentu ucapannya, pertanyaan beliau mengenai sesuatu perkara telah disambut serentak dengan jawapan yang memuaskan oleh kalangan khalayak sekelian.

“Oleh kerana majlis ini majlis terakhir (dalam siri JJD), saya akan mengetuai Kerajaan Barisan Nasional untuk meminta mandat baharu daripada rakyat. Saya nak tanya, orang Kuantan dah bersedia?” yang disambut, “Sudah…”.

“Saya nak tanya, orang Pahang dah bersedia?” yang sekali lagi dijawab, “Sudah…”.

'GRAND FINALE'... Sesuai dengan acaranya - terakhir daripada siri-siri JJD, pertunjukan bunga api turut diselitkan sebagai antara acara kemuncaknya.  


SEMANGAT NAK HADAPI PILIHANRAYA SUDAH MELUAP-LUAP

“Kita tunggu sahaja, bila lagi? Tak sabar-sabar lagi. Semangat kita dah meluap dah sekarang. Kita semua pendekar-pendekar belaka. Kita tidak akan berundur seincipun.

“Selagi kita belum menang, kita akan berjuang berhabis-habisan, pastikan kejayaan Kerajaan Barisan Nasional yang ada pada hari ini,” kata Dato’ Sri Mohd Najib yang disambut dengan sorakan, “Ya…”.

Oleh kerana orang Pahang khususnya di Kuantan ini yang menurutnya ‘baik-baik belaka’, Dato’ Sri Mohd Najib mengumumkan keputusan untuk memberi peruntukan RM50 juta kepada Kerajaan Negeri pimpinan Dato’ Sri DiRaja Adnan, untuk mengatasi masalah kesesakan lalulintas di bandar ini.

Bagi usaha untuk menangani seterusnya mengatasi masalah banjir kilat di bandar ini juga, beliau mengumumkan peruntukan lagi RM50 juta kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakannya.

“Saya nak serah RM50 juta lagi kepada Kerajaan Negeri. Buatlah. Gunakan duit RM100 juta tu sebaik-baiknya. Kita nak bantu, kita nak laksanakan yang terbaik untuk rakyat,” kata penuh semangat Perdana Menteri lagi.

TANDATANGANI PLAK 'RIMBUNAN KASIH'... Dalam ucapan 22-minitnya sempena pelancaran program Rimbunan Kasih di Tanjung Besar, Lipis pada sebelah pagi, Dato' Sri Mohd Najib turut memuji kecepatan Kerajaan Negeri pimpinan Dato' Sri DiRaja Adnan membangunkan projek sosio-ekonomi melibatkan 70 peserta dalam kalangan yang memerlukan, tinggal dalam unit-unit rumah KOTO berkonsepkan sistem IBS dan bekerja di ladang-ladang berteknologi tinggi berdekatan dengan dibayar gaji bulanan RM1,000. 

Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Shukry (dua dari kiri).  


JANJI BN DITEPATI

“Percayalah. Bila kita janji, janji kita di…?,” yang sekali lagi disambut khalayak, “Tepati”.  

“Oleh itu bila sampai masanya kita adakan pilihanraya. Bila parlimen dibubarkan dengan perkenan Yang Dipertuan Agong nanti, kita akan minta mandat daripada rakyat berdasarkan bahawa janji-janji kita telah ditepati.

“Tapi percayalah. Perjalanan kita ini masih jauh lagi. Sebab jika kita hendak jadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi, ia tak boleh makan masa setahun, dua tahun.

“Janji kita bila? Janji kita pada tahun 2020 nanti. Sampai tahun 2020 nanti, pada masa itulah saya berharap Kerajaan kita dapat mengisytiharkan sebagai sebuah negara maju.

“Tetapi, sebelum kita dapat sampai pada tahun 2020, kita kena melangkah satu jambatan yakni jambatan pilihanraya yang akan datang. Kalau kita menyeberang jambatan itu, dapat kita pintas ke sebelah sana, saya yakin dan percaya, dengan mandat baharu itu, Kerajaan akan melakukan yang le…bih baik lagi.

ANAK-ANAK RIMBUNAN KASIH DENGAN PERALATAN MODERN... Foto ini dirakam ketika anak-anak peserta Rimbunan Kasih mengikuti kelas komputer di Pusat Pembelajaran yang turut disediakan di bawah program sosio-ekonomi di Tanjung Besar ini. 


AKAN TERUS BEKERJA BERSUNGGUH-SUNGGUH

“Kita akan bekerja bersungguh-sungguh. Janji (untuk) ditepati lima tahun (akan datang), insyaAllah, Malaysia akan bersinar sebagai negara yang berjaya dan keunggulan Malaysia akan terserlah nanti,” katanya.

Selain isteri kepada Perdana Menteri sendiri, Tok Puan Indera Datin Sri Rosmah Mansor dan Dato’ Sri DiRaja Adnan, antara yang turut hadir pada majlis-majlis sehari suntuk hari Sabtu ini ialah, ahli-ahli kabinet dan ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri;

Ketua Pengarah, Jabatan Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Shukry Mohd Salleh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Muhammad Safian Ismail; dan, Pengarah, Pejabat Pembangunan Negeri (SDO), Dato’ Zulki-fly Osman. – Khabar  



Monday, 18 March 2013

Gelagat 'biawak sikat' dan 'cerita lawak' pembangkang!!!

Menteri Besar ibaratkan demikian ekoran kenyataan berdolak-dalik mereka terhadap satu-satu isu, dan pula, asyik membangkang tanpa alasan kukuh

TUNGGANG VESPA KE MAJLIS PENYAMPAIAN... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan bergaya, menunggang motorsikal Vespa ke tapak majlis di Wisma Raya ini. 


WISMA RAYA, RANCANGAN TANAH FELDA JENGKA 14, MARAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan  Yaakob menempelak pembangkang dengan  mengumpamakan mereka sebagai ‘biawak sikat’, yang sering mengutarakan ‘cerita lawak’ hingga menjadi bahan ketawa rakyat semata-mata.

“Sekali nak tutup Lynas, ini tak jadi pula tutup Lynas, nak buat ‘inquiry’ baru. Ini biawak sikat ni, ya... ‘cameleon’,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan merujuk kepada pendirian yang berubah-ubah oleh kepimpinan tertinggi parti itu berkaitan projek pemprosesan tanah jarang Lynas di Gebeng, Kuantan.

Beliau ditanyakan mengenai gelagat puak-puak pembangkang tersebut pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik Tanah kepada 116 peneroka Rancangan Tanah Felda Jengka 14 pada pagi Isnin, 18 Mac di sini.

Dalam temubual dengan portal berita berpangkalan di Australia – The Sydney Morning Herald baru-baru ini, ketua pembangkang, Dato’ Sri Anwar Ibrahim telah menyebut mengenai kesediaan beliau menyokong projek tersebut jika siasatan awam yang mahu dibuat semula, mengesahkan kilang itu selamat.

Ini bertentangan sama sekali dengan ucapannya pada Himpunan Hijau di Kuantan tahun lepas, membantah operasi kilang itu sambil memberi jaminan akan menghentikannya jika pembangkang menguasai Kerajaan kelak.

BERTANYA KHABAR SAMBIL SAMPAIKAN GERAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bertanyakan sesuatu sebelum menyerahkan suratan hakmilik kepada peneroka ini. Di sebelahnya ialah Dato' Ismail Said (berbaju biru). 


BERIYA-IYA HENDAK BAKAR, KEMUDIAN SOKONG PULA JIKA…

Begitulah kerasnya pendirian tersebut hinggakan soal mengenai memansuhkan projek itu ada tersebut dalam manifesto pilihanraya mereka yang telah diumumkan tidakpun beberapa lama sebelum ini.

Pendirian yang sama turut dikongsi oleh Encik Wong Tack – calon yang telah diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP sendiri, yang akan bertanding di parlimen Bentong atas tiket parti itu, pada pilihanraya umum kali ini.

Sedangkan Encik Wong, Pengerusi, Himpunan Hijau, ialah orangnya yang beriya-iya mengeluarkan kenyataan untuk membakar kilang bernilai pelaburan RM2,300 juta itu, jika Barisan Nasional (BN) masih menguasai tampuk kepimpinan negara selepas pilihanraya ini.

Atas sebab-sebab yang beliau sendiri tahu, Encik Wong jugalah yang kemudian telah meminta maaf atas kata-kata berbaur ugutan berkenaan.

Nyata sekali, Dato’ Sr DiRaja Adnan tidak pelik langsung dengan gejala puak-puak pembangkang tersebut yang kelihatan semakin menjadi-jadi menjelangnya Pilihanraya Umum ke-13 yang sedang dinanti-nantikan.

BERLATAR BELAKANGKAN KAIN RENTANG BN, IALAH SESI FOTO BERKUMPULAN PARA PENEROKA PENERIMA GERAN PADA PAGI ISNIN... Semoga ini juga melambangkan sokongan peneroka ini terhadap Kerajaan yang ada, pimpinan BN.  


‘ASYIK BANGKANG SAHAJA, BILA NAK SELESAI?’

Ketika ditanya oleh wartawan mengenai puak-puak pembangkang yang sama yang mempertikaikan majlis-majlis penyampaian suratan hakmilik tanah kepada peneroka sementelahan hampirnya pilihanraya umum itu katanya;

“… memanglah kerja dia (membangkang terhadap apa juga usaha Kerajaan termasuk  menganjurkan majlis-majlis penyampaian suratan hakimilik tanah). Sebenarnya, kita memberi geran sepanjang saya jadi M.B, yang ini je dekat pilihanrayanya.

“Sebelum ini, pergi ke Bera, pergi ke Jengka – banyak dah geran saya beri, jauh sebelum pilihanraya. Memang kerja pembangkang… Sebab itu Tompel (dalam filem ‘Anak Bapak’) marah (dengan dialognya)  ‘Asyik bangkang sahaja, bila bicara nak selesai?’.

“Saya, bila cerita fasal pembangkang ni, saya teringatkan Allahyarham (A.R) Tompel, Allahyarham P.Ramlee. Pendekkan cerita, macam cerita lawak aje pembangkang ni, jadi bahan ketawa,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengumumkan lawatan rasmi Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak ke Pahang pada Sabtu, 23 Mac ini untuk antara lain, melancarkan Program Jelajah Janji Ditepati (PJJD) – merupakan penutup dan yang terakhir dalam siri PJJD ke negeri-negeri.

MASAK TEMPOYAK IKAN PATIN... Berada di bahagian dapur ini sungguh mengujakan, apatah lagi dengan bau dan aroma masakannya, yang menusuk ke hidung. Foto ini dirakam ketika golongan wanita sedang memasak sebagai hidangan makan tengah hari sempena Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik pagi Isnin ini. 


KUANTAN, SIRI TERAKHIR JELAJAH JANJI DITEPATI

Sehubungan itu, beliau menggesa orangramai khususnya penyokong-penyokong Kerajaan serta ahli-ahli parti dalam Barisan Nasional (BN), agar dapat bersama-sama hadir pada program tersebut yang akan diadakan di Padang MPK 2 di Kuantan.

“Pada ketika yang sama juga, ada satu acara lain yang tidak dapat dielakkan di Stadium Darul Makmur (bersebelahan) yang juga Perdana Menteri akan pergi sekejap, kemudian tu akan ke PJJD.

“Silalah datang, 23 haribulan (Mac ini, hari Sabtu, pada sebelah) malam,” katanya.

Selain PJJD menurutnya, Perdana Menteri akan berada di Tanjung Besar, Lipis pada pagi Sabtu tersebut, untuk melancarkan program perumahan dan sosio-ekonomi anjuran dan biayaan Kerajaan Negeri, dikenali sebagai Rimbunan Kasih.

Program ini katanya, disasarkan terhadap golongan miskin, dengan mereka disediakan rumah selain kawasan tanah untuk menjalankan aktiviti ekonomi, ke arah melepaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Antara yang turut hadir pada majlis penyampaian suratan hakmilik tanah ini ialah Ahli Parlimen-Ahli Parlimen, Dato’ Ismail Said (BN – Kuala Krau) dan Dato’ Ismail Mutalib (BN – Maran); wakil rakyat-wakil rakyat – Wan Salman Wan Ismail (BN – Jengka), Dato’ Ahmad Munawar Abdul Jalil (BN – Luit), Dato’ Shahaniza Shamsuddin (BN – Kuala Sentul); Pegawai Daerah Maran, Dato’ Fadzila Salleh; serta, Pengurus Besar, Felda Wilayah Jengka, Dato’ Shaari Din. – Khabar