… tentang kriteria pemberian bantuan pendidikan – pinjaman dan biasiswa Yayasan Pahang, tanpa sebarang kuota atau menurut kaum dan fahaman politik
DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Asalkan layak dan memerlukan. Dan pula, tanpa penetapan apa-apa kuota atau mengambil-kira latar-belakang kaum dan fahaman politik.
Inilah sandaran utama Yayasan Pahang (YP) dalam menghulurkan bantuan-bantuan pendidikan – termasuk biasiswa dan pinjaman; kepada anak-anak Pahang, sepertimana ditegaskan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob;
“Kepada ibubapa saya nak beritahu. Yayasan Pahang ini tak ada pilih(-pilih). Layak sahaja, jalan… Apa yang menyebabkan layak? Pertama, pelajar itu cemerlang. Kedua, pelajar itu dari golongan yang susah tapi cemerlang, ha kita bagi.
“Tak kira Cina, Melayu, India, kita bagi semua. Kita tak kira fahaman politik emak-ayah masing-masing.,.,” katanya dalam ucapan luar teks 21-minitnya pada Majlis Kecemerlangan Pendidikan Negeri Pahang 2013 – Hadiah Menteri Besar Pahang (HMBP) petang Selasa, 9 Julai di sini.
“Kita tak ada kuota. Tak ada kuota untuk Orang Asli, tak ada kuota untuk orang Melayu, Cina, India tak dak…
MEMBERI, SEBAB LAYAK
“Kuota kita ialah; kelayakan dan keperluan seseorang itu! Dia perlu, dia layak, ha itu kuota, ambillah awak,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi YP.
Beliau turut mengisahkan tentang maklumat yang diperolehi, ada ibubapa yang anak mereka ditaja YP bagi pembelajaran di Mesir, tetapi memberi sokongan kuat kepada parti pembangkang pada pilihanraya umum lepas.
Ekoran itu, beliau diminta oleh banyak pihak supaya membuat keputusan menarik balik tajaan berbentuk biasiswa yang diperolehi oleh anak pasangan ibubapa tersebut tetapi, “Saya kata tak boleh. Biarlah,” katanya, disusuli tepukan para hadirin tanda menghargai sikap budimannya.
“Sebab, kita memberi bukan sebab emak-ayah dia orang PAS atau orang UMNO, atau orang DAP, atau orang PKR.
“Kita beri mereka hadiah, kita beri mereka biasiswa, pinjaman; sebab mereka layak. Itu yang penting,” katanya disambut tepukan lagi. “Tapi kalau boleh, bila dah anak dapat biasiswa tu, ayahya undi UMNO lagi elok…,” disambut pula dengan ketawa kecil tanda bersetuju.
PATI SEGALA PATI, CRÈME DE LA CRÈME
Dato’ Sri DiRaja Adnan turut berkata betapa anak-anak pelajar yang hadir pada majlis petang Selasa ini – yang seramai 302 orang, ialah golongan ‘pati segala pati’ atau ‘cream of the cream’, yang dalam Bahasa Perancis, ‘crème de la crème’.
“Anak-anak yang ada ni – ‘cream of the cream’, ‘crème de la crème’, pati sagala pati ini, insyaAllah, pada satu masa nanti, akan menjadi pemimpin-pemimpin dalam bidang masing-masing,” yang disusuli tepukan.
“Mungkin (apabila berada di alam pekerjaan selepas belajar, akan) ada (yang) jadi Pengurus Besar, Yayasan Pahang. Mungkin ada juga jadi Tan Sri. Mungkin juga menjadi ahli Exco. Mungkin juga menjadi Menteri Besar,” katanya sambil menasihatkan mereka untuk terus rajin belajar.
Beliau juga mengulang-sebut tentang peruntukan besar – kira-kira RM757 juta yang dimanfaati oleh kira-kira 740,000 anak Pahang; yang telah YP sumbangkan demi pendidikan, sejak penubuhannya pada tahun 1983 semasa Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak ialah Menteri Besar.
Selain Pengurus Besar, YP, Dato’ Saariah Saad; yang turut hadir pada majlis yang menyaksikan dewan penuh dengan kehadiran sama ibubapa kepada 302 pelajar; serta, para guru khususnya daripada 66 sekolah cemerlang ialah;
YANG TURUT HADIR
Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YP, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Dato’ Mohamad Jaafar, yang juga Timbalan Speaker, Dewan Undangan Negeri, dan, Dato’ Ahmad Munawar Abdul Jalil;
Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, Encik Norul Azali Sulaiman dan Syed Ibrahim Syed Ahmad; Ketua Polis Negeri, DCP Dato’ Sharifuddin Ab. Ghani; dan, Timbalan Pengarah, Pelajaran Negeri, Encik Rosdi Ismail. – Khabar