Sunday, 18 August 2013

Usaha untuk adunkan kehendak/pendirian pelbagai golongan rakyat

... demi dapatkan ‘nota lagu yang harmoni’ bagi terus menjamin sokongan mereka, kata Dato’ Sri DiRaja Adnan

BERTEMU MEDIA... Foto ini dirakam semasa Dato' Sri DiRaja Adnan hadir pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri pada Sabtu, 17 Ogos di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan. Kelihatan beliau di sisi Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak yang sedang berpersidangan media.   

KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – “It boils down to (getting) the support of the people, (identifying and acknowledging) their stand.

“This is the stand of the Chinese. This is the stand of the Malays. This is the stand of the Indians. This is the stand of the Orang Asli. This is the stand of the professionals regardless of Malays, Chinese, or Indians.

“How (are) we (to) try to jive all these things into one, so that we get a very harmonious note and with that, we get their (continous and bigger) support”.

Bunyinya agak ‘philosophical’ tetapi inilah yang Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sebut, merumuskan tentang apa yang perlu Barisan Nasional (BN) Negeri pimpinannya lakukan, bagi mengekalkan malah meningkatkan sokongan rakyat kepada BN.

Intipati kepada kata-katanya itu ialah; mengenal pasti dan mengiktiraf kehendak serta pendirian rakyat pelbagai kaum dan profesion, kemudian mengadun dan berusaha ke arah memenuhi kehendak itu demi mendapat sokongan berterusan malah lebih besar daripada mereka.  

MELANCARKAN E-MAMPAN... Dato' Sri DiRaja Adnan turut menyempurnakan pelancaran E-MAMPAN sempena Majlis Rumah Terbuka petang Ahad itu. Yang turut kelihatan ialah Dato' Saariah.

TERUS DOKONG, SOKONG DATO’ SRI NAJIB & TAN SRI MUHYIDDIN

Dalam pada itu, beliau memaklumkan betapa Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri yang dipengerusikannya baru-baru ini, mengambil keputusan agar perbincangan lanjut diadakan bagi mengenal pasti premis serta prinsip-pronsip dan rumusan-rumusan yang betul sebelum satu-satu tindakan diambil.

Ini menurutnya, adalah antara tiga (3) tajuk utama yang dibincang dan dipersetujukan pada Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri tersebut dengan dua (2) yang lain ialah tentang pemilihan kepimpinan UMNO dan mengenai ‘terus mendokong, menyokong kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak, dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin’.
      
“Kalau kita bertindak atas rumusan yang salah, atas premis yang salah, maka keputusannya tidak tepat. Ini kita akan dapatkan daripada berbagai-bagai pihak,” katanya pada persidangan media sempena Majlis Hari Raya Bersama Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) petang Ahad, 18 Ogos bersamaan 11 Syawal, di sini.

Mengenai pemilihan UMNO khususnya peringkat nasional katanya, mesyuarat yang sama turut memutuskan betapa siapa-siapapun dalam kalangan pemimpin UMNO di negeri ini, boleh menawarkan diri untuk bertanding.

“Saya dah tua. Sebab UMNO sekarang ini banyak mengamalkan politik baharu. Politik baharu inpun saya tak berapa faham. Politik baharu ini – kerja kuat, tak tidur, tak makan, jumpa orang; bertanding, kalah. Ha itu politik baharu, saya tak suka politik baharu ni.

JAMU SELERA... Sebahagian daripada kira-kira 1,000 ahli MAMPAN yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka petang Ahad itu.

‘TAK BOLEH HIDUP MENONGKAT LANGIT’

“Tapi saya dah tua, dah (berusia) 63 (tahun). Walaupun segar-bugar InsyaAllah, Alhamdullillah, Allah Taala berikan saya kesihatan, tapi saya fikir saya dah tua, bagi orang muda lawan (bertanding),” tegasnya.

Menurutnya, beliau akan terus menawarkan diri untuk kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Bentong – jawatan yang disandangnya sejak 1986 atau kira-kira 27 tahun sudah sekarang.

“Tinggal lagi, saya kini sedang mengenal pasti calon-calon untuk pilihanraya akan datang. Siapa nak ganti saya sebagai calon (di Dewan Undangan Negeri kawasan Pelangai). Siapa nak ganti orang tertentu sebagai calon.

“Kita tak boleh hidup menongkat langit. Ada orang sepenggal, ada orang lima (5) penggal. Ada orang 12 penggal, tengok keadaanlah,” katanya.

Pada persidangan media sama, beliau ditanya tentang langkah sama ada akan membawa pulang pelajar-pelajar Pahang khususnya tajaan Yayasan Pahang (YP) yang seramai kira-kira 800 orang, di negara sedang bergolak, Mesir.

CENDERAHATI BUAT YUNA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan cenderahati kepada Yuna sambil ayahnya, Dato' Mat Zara'ai (berdiri di belakang Dato' Sri DiRaja Adnan) memerhatikan.


JANGAN BERANI TAK BERTEMPAT

“Kita tunggu dulu perkembangan selanjutnya. Hanya kita menasihatkan pelajar-pelajar Pahang, jangan cuba menunjukkan keberanian bukan pada tempat. Duduk di tempat masing-masing, ikut peraturan dan sentiasa berhubung dengan pegawai kita, Ustaz Khairul Anwar yang berada di Mesir,” katanya.

Selain Pengurus Besar, YP, Dato’ Saariah Saad, yang turut hadir pada majlis petang Ahad yang turut diserikan dengan persembahan penyanyi terkenal Yuna; ialah ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Johari Hussein; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Mat Zara’ai Alias yang juga ayah Yuna;

serta, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YP iaitu Dato’ Sri Abdul Jabbar Ibrahim dan Dato’ Ahmad Munawar Abdul Jalil dan kira-kira 1,000 ahli MAMPAN hingga memenuhi setiap ruang lobi kompleks ini.

PERSEMBAHAN ISTIMEWA OLEH YUNA...
– Khabar