… sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasanya, kata
Menteri Besar kepada wartawan selepas mengiringi KDYMM Sultan Pahang menziarahi
keluarga arwah
INDERA MAHKOTA 2, KUANTAN – KDYMM Sultan
Pahang yang baharu kembali dari luar negara dengan berangkat tiba di Pangkalan
TUDM, Batu 10 dekat sini, telah menziarahi keluarga Allahyarham Ahmad Rafli
Abdul Malek pada pagi Jumaat, 22 November di sini.
Baginda yang diiringi YAM Tengku Muda Pahang dan Menteri
Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, telah meluangkan masa bertanya khabar dengan
keluarga Allahyarham khususnya balunya, Puan Rosmahwani Abdul Wahab.
Jelas sekali, keluarga Allahyarham kelihatan berbesar
hati dengan keberangkatan Baginda yang turut diringi sama oleh Setiausaha
Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail serta para pembesar dan ketua-ketua
jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Dato’
Sri DiRaja Adnan yang ditemui wartawan kemudian, telah dilaporkan sebagai
berkata betapa ziarahan Baginda membuktikan, “Tuanku Sultan sangat prihatin terutama kepada rakyat yang ditimpa
musibah.
“Hari ini kita
lihat, bagaimana Tuanku menasihati balu dan anak-anak Allahyarham agar sentiasa
bersabar dengan ujian yang menimpa”.
ALLAHYARHAM PETUGAS
DEDIKASI
Allahyarham
Ahmad Rafli ialah Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Agama Islam
Pahang (JAIP) yang maut ditembak di rumahnya ini pada Ahad, 10 November lepas
dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Bukit Ubi keesokannya, Isnin,
11 November.
Dato’
Sri DiRaja Adnan juga dilaporkan berkata, keempat-empat anak Allahyarham yang
sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai peringkat, akan diberikan biasiswa
oleh Yayasan Pahang (YP).
Beliau
yang juga Pengerusi YP berkata, keputusan itu diambil sebagai tanda penghargaan
Kerajaan Negeri terhadap jasa Allahyarham yang semasa hayatnya, telah bertugas
dengan penuh dedikasi.
“Perkara ini
sudah dibincangkan dan kita akan menukar status pinjaman pelajaran anak sulung
Allahyarham, Mohd Asyraff (22 tahun), yang kini belajar di sebuah institusi
pengajian tinggi (IPT) di Mesir, kepada biasiswa penuh.
“Begitu juga kepada tiga anaknya (yang lain) – Mohd Abrar (20), Mohd Amin (15), dan Mohd Akashah (12), yang mana mereka juga akan menerima biasiswa Yayasan Pahang untuk membiayai pengajian dan persekolahan,” katanya.
KENAIKAN GRED PERLU
DISEGERAKAN
Diminta mengulas mengenai cadangan menaikkan gred jawatan Allahyarham daripada Gread 48 kepada 52, Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata, kertas cadangan mengenainya sudah dimuktamadkan oleh JAIP dan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat.
Semakan gred jawatan itu katanya, penting disegerakan bagi memastikan keluarga Allahyarham menerima kadar pencen yang lebih baik bagi menampung perbelanjaan harian mereka. – Khabar