Friday, 22 November 2013

Biasiswa Yayasan Pahang (YP) buat anak-anak Arwah Ahmad Rafli


… sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasanya, kata Menteri Besar kepada wartawan selepas mengiringi KDYMM Sultan Pahang menziarahi keluarga arwah
                        
TITAH-NASIHAT KDYMM TUANKU... KDYMM Sultan Pahang kelihatan sedang bertitah-nasihat sesuatu dengan Puan Rosmahwani tekun mendengar di sisi. Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri DiRaja Adnan (kanan sekali). 
  

INDERA MAHKOTA 2, KUANTAN – KDYMM Sultan Pahang yang baharu kembali dari luar negara dengan berangkat tiba di Pangkalan TUDM, Batu 10 dekat sini, telah menziarahi keluarga Allahyarham Ahmad Rafli Abdul Malek pada pagi Jumaat, 22 November di sini.

Baginda yang diiringi YAM Tengku Muda Pahang dan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, telah meluangkan masa bertanya khabar dengan keluarga Allahyarham khususnya balunya, Puan Rosmahwani Abdul Wahab.

Jelas sekali, keluarga Allahyarham kelihatan berbesar hati dengan keberangkatan Baginda yang turut diringi sama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail serta para pembesar dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang ditemui wartawan kemudian, telah dilaporkan sebagai berkata betapa ziarahan Baginda membuktikan, “Tuanku Sultan sangat prihatin terutama kepada rakyat yang ditimpa musibah.

“Hari ini kita lihat, bagaimana Tuanku menasihati balu dan anak-anak Allahyarham agar sentiasa bersabar dengan ujian yang menimpa”.

ALLAHYARHAM PETUGAS DEDIKASI

Allahyarham Ahmad Rafli ialah Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang maut ditembak di rumahnya ini pada Ahad, 10 November lepas dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Bukit Ubi keesokannya, Isnin, 11 November.
   
Dato’ Sri DiRaja Adnan juga dilaporkan berkata, keempat-empat anak Allahyarham yang sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai peringkat, akan diberikan biasiswa oleh Yayasan Pahang (YP).

Beliau yang juga Pengerusi YP berkata, keputusan itu diambil sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa Allahyarham yang semasa hayatnya, telah bertugas dengan penuh dedikasi.

“Perkara ini sudah dibincangkan dan kita akan menukar status pinjaman pelajaran anak sulung Allahyarham, Mohd Asyraff (22 tahun), yang kini belajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Mesir, kepada biasiswa penuh. 

“Begitu juga kepada tiga anaknya (yang lain) – Mohd Abrar (20), Mohd Amin (15), dan Mohd Akashah (12), yang mana mereka juga akan menerima biasiswa Yayasan Pahang untuk membiayai pengajian dan persekolahan,”
katanya.

KENAIKAN GRED PERLU DISEGERAKAN  

Diminta mengulas mengenai cadangan menaikkan gred jawatan Allahyarham daripada Gread 48 kepada 52, Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata, kertas cadangan mengenainya sudah dimuktamadkan oleh JAIP dan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat.

Semakan gred jawatan itu katanya, penting disegerakan bagi memastikan keluarga Allahyarham menerima kadar pencen yang lebih baik bagi menampung perbelanjaan harian mereka. – Khabar