Tuesday, 26 November 2013

Gantung perkhidmatan dua (2) persidangan Dewan ke atas wakil rakyat pembangkang dari Semambu


… ekoran ungkapan ‘Bajet lebihan palsu’ ke atas Bajet Negeri 2014, serta kedegilan untuk tidak menarik balik dan mohon maaf, setelah diberi peluang berbuat demikian.  

Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri membuat keputusan ini selepas undian secara belah-bahagi oleh wakil rakyat kedua-dua Kerajaan dan pembangkang, ke atas usul untuk mengambil tindakan ke atasnya, menyaksikan 29 bersetuju, 12 tidak.
   
“Ini kali pertama saya mengambil tindakan yang bertentangan dengan jiwa dan perasaan saya.

“Tetapi, demi untuk menjaga kehormatan Dewan, saya mesti dan wajib bentangkan usul yang berkaitan dengan ADUN kawasan Semambu,” tegas Menteri Besar semasa mengemukakan usul berkenaan.


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Wakil rakyat pembangkang, Encik Lee Chean Chung (PKR – Semambu) digantung perkhidmatan selama dua (2) persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang, ekoran kedegilan untuk masih mempertahankan ungkapan ‘Bajet lebihan palsu’ yang diucapkannya semasa membahas Bajet Negeri 2014 pada Selasa, 19 November lepas.

Ini disebalik peluang yang telah diberikan kepadanya untuk meminta maaf dan menarik balik ungkapan tersebut atau menghadapi usul untuk diambil tindakan, semasa Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menggulung perbahasan pada tengah hari Selasa, 26 November di sini.

Malah, peluang tersebut digunakan seolah-olah mahu menegakkan benang yang basah dengan ‘penjelasannya’ konon ungkapan ‘Bajet lebihan palsu’ tidak melibatkan sebarang ‘moral judgement’ dan pula beliau kononnya, tidak menyifatkan ‘Bajet lebihan palsu’ berkenaan sebagai mempunyai konotasi negatif terhadapnya.

“Oleh kerana kita telah mendengar hujah-hujah yang telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar, dan sayapun telah bertanya kepada ADUN Semambu sebentar tadi sama ada dia mahu menarik balik atau mengekalkan kenyataan itu. Ahli-ahli Dewan telah mendengar bahawa dia tetap dengan pendiriannya itu.

“Justeru itu, saya kira ini, di bawah Peraturan 36 (6), satu sangkaan jahat, menghina bukan sahaja ahli Dewan malah menghina Dewan yang mulia ini dan menghina Speaker yang ada ini.

UNDI SETUJU 29 LAWAN 12 TIDAK SETUJU

“Jadi saya kira, eloklah kita pergi kepada usul yang telah dibaca dan kita membuat pengundian kepada usul tersebut. Putuskan undian secara belah-bahagi. Bersetuju bangun,” kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Mohamad.

Sebaik-baik selesai undian, Dato’ Ishakpun mengumumkan; “Ahli-ahli YB yang bersetuju seramai 29,” yang disusuli tepukan ke meja oleh wakil rakyat-wakil rakyat Kerajaan, “… yang tidak bersetuju, 12”.

(Seorang wakil rakyat Kerajaan tidak mengundi – Dato’ Suhaimi Mohd Shah (BN – Sungai Lembing) kerana mempunyai urusan di luar negara selaku seorang daripada kepimpinan tertinggi sebuah persatuan seni silat kebangsaan).   

“Dengan itu, saya menggunakan kuasa saya sebagai Speaker, memutuskan bahawa YB ADUN Semambu, Encik Lee Chean Chung, N13, digantung perkhidmatannya sebagai ahli Mesyuarat Dewan Negeri selama dua kali mesyuarat, atas tuduhan berasaskan kepada  Peraturan 36 (4), yang dibaca bersekali dengan Peraturan 36 (6),” kata Dato’ Ishak lagi.

Dengan keputusan itu bermakna, wakil rakyat berkenaan tidak dapat menyertai persidangan-persidangan Dewan Undangan Negeri yang akan datang – yang pertama, dijangka diadakan pada bulan April atau Mei tahun depan (2014); dan yang kedua, dijangka pada bulan Ogos atau September tahun yang sama.

KENYATAAN TIDAK BERTANGGUNGJAWAB, TUDUHAN BERAT

Dalam ucapan penggulungannya sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menyebut tentang perasaan dukacitanya dengan ungkapan ‘Bajet lebihan yang palsu’ yang telah digunakan oleh wakil rakyat pembangkang ‘first-termer’ berusia lewat 30-an itu.

“Ini satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab, tuduhan yang berat. Kalau bajet lebihan ini palsu maknanya, ia tidak benar. Kalau tidak benar apa maknanya? Ianya bohong.

“Kalau Menteri Besar sebuah Kerajaan membentangkan bajet yang bohong, maknanya Menteri Besar dan juga Kerajaan, adalah tidak bertanggungjawab, menipu rakyat. Sedangkan, adalah tugas kita bersama-sama, menjalankan amanah yang telah diberikan oleh rakyat kepada kita,” katanya.

Dan semasa membentangkan usul tersebut pula – yang kemudian disokong oleh ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Sharkar Shamsuddin, awal-awal lagi Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menyebut betapa;

“Ini kali pertama saya mengambil tindakan yang bertentangan dengan jiwa dan perasaan saya.

PENGHINAAN TERHADAP AHLI DEWAN DAN DEAN YANG MULIA

“Tetapi demi untuk menjaga kehormatan Dewan, saya mesti dan wajib bentangkan usul yang berkaitan dengan ADUN kawasan Semambu,” katanya, seorang yang cukup berpengalaman dengan rekod menjadi wakil rakyat selama tujuh (7) penggal – kira-kira 15 tahun daripadanya sahaja ialah sebagai Menteri Besar.  

“… bahawa perkataan ‘merupakan satu bajet lebihan yang palsu’ tersebut bermaksud dan mempunyai implikasi perundangan yang amat besar, yang memberi konotasi bahawa Menteri Besar telah membentangkan satu bajet, merupakan satu bajet lebihan yang palsu kepada Dewan yang mulia ini.

“Dan bahawa tuduhan tersebut adalah merupakan satu penghinaan kepada ahli Dewan, yang bererti penghinaan kepada Dewan yang mulia ini.

“Maka inilah dipersetujui bahawa YB Lee Chean Chung, ADUN kawasan Semambu, berasaskan kepada Peraturan 36 (4) dibaca bersekali dengan Peraturan 36 (6), hendaklah digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat Dewan Negeri Pahang selama tempoh yang difikirkan munasabah dan setimpal oleh Yang DiPertua, bermula dari tarikh keputusan usul ini diluluskan,” katanya. – Khabar