Tuesday, 25 March 2014

Melahirkan profesional berpendidikan Islam kental


… antara intipati ucapan Menteri Besar kepada para pelajar sekolah-sekolah menengah agama negeri (SMAN)

KITALAH JUARA... Menteri Besar sedang membantu juara keseluruhan MASISUPA Ke-30, menjulang piala.

SEKOLAH MENENGAH AGAMA AL-FALAH, BATU TALAM, RAUB – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan para pelajar sekolah menengah agama negeri (SMAN) supaya belajar bersungguh-sungguh agar dapat menjadi profesional yang berpendidikan Islam kental kelak.  

Dalam ucapan luar teks 14-minit ketika merasmikan penutupan Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-sekolah Ugama Pahang (MASISUPA) ke-30 pada pagi Selasa, 25 Mac di sini katanya;

“Kalau saya dapat jadi (semula seperti) saudara-saudara, anak-anak semua; saya akan belajar bersungguh-sungguh. Cita-cita saya ialah (untuk) menjadi ahli ilmuan, ahli falsafah, yang pakar dalam bidang saya ceburi.

“Mungkin saya boleh jadi jurutera, mungkin saya boleh menjadi doktor, mungkin saya boleh jadi peguam. Tapi, pada ketika yang sama, saya mempunyai pendidikan Islam yang kental dan kalau bolehnya, saya hafaz, saya menjadi hafiz”.

Untuk rekod, terdapat 18 SMAN di negeri ini, dengan kira-kira 9,800 pelajar dan 640 guru. SMAN ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang untuk tahun ini, diperuntukkan kira-kira RM71.76 juta bagi menguruskannya

LAGI DENGAN PEMENANG... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan ialah Dato' Shahiruddin dan Dato' Syed Ibrahim (kanan sekali).

LAHIRKAN PELAJAR SERBA-SERBI ADA DALAM DIRI
   
Sebenarnya kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, SMAN serta para pelajarnya adalah ‘special’ kerana selain mengikuti pelajaran akademik lalu menduduki peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka juga perlu mempelajari pendidikan Islam serta Bahasa Arab.

Ini akan menjadikan mereka para pelajar yang ‘serba-serbi’ ada dalam diri masing-masing yang oleh itu menurutnya, “Itu sebab, anak-anak jangan rasa rendah diri. Ingatlah kata Menteri Besar ini”.

SMAN yang ada sekarang katanya, sudah mempunyai infrastruktur dan kemudahan yang baik yang menyumbang kepada pencapaian yang meningkat dalam peperiksaan-peperiksaan yang diduduki oleh pelajar-pelajarnya.

Dengan peredaran masa juga menurutnya yang juga seorang bekas guru, tanggapan masyarakat terhadap SMAN atau dahulunya dikenali sebagai Sekolah Arab, sudah jauh berubah kepada yang lebih positif.
    
Semasa beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Agama Pelangai (Januari 1969 hingga Mei 1972) katanya, kemudahan di sekolah itu tidaklah sepertimana yang terdapat hari ini.

MESRA MENTERI BESAR DENGAN PELAJAR SEKOLAH AGAMA... Sebaik-baik menyempurnakan penutupan, Dato' Sri DiRaja Adnan telah meluru ke khemah yang menempatkan para pelajar untuk bersalaman dan beramah-mesra dengan mereka.

DULU SMAN IALAH SEKOLAH PILIHAN TERAKHIR

Ketika itu juga kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, kebanyakan pelajar yang dihantar belajar ke SMAN atau Sekolah Arab, merupakan pelajar-pelajar yang tidak dapat melanjutkan ke sekolah-sekolah lain.

“Sekolah Menengah Agama atau pun Sekolah Arab pada masa itu, dianggap sebagai sekolah pilihan terakhir, sekolah untuk menampung pelajar-pelajar yang kurang cergas, yang kurang cerdrik.

“Saya ingat lagi, saya telah mengumpulkan pelajar-pelajar saya dan saya beritahu mereka, ‘Kamu semua ingat, masyarakat semua memikirkan Sekolah Arab, Sekolah Menengah Agama ini sebagai tong sampah untuk budak-budak yang tidak cerdik.

““Kamu kena buktikan perkara ini salah. Kamu kena belajar rajin-rajin. Kalau orang lain boleh buat, kenapa kamu tak boleh buat?’.

“Dan Alhamdulillah, 4, 5 orang dari kumpulan pelajar-pelajar itu telahpun dapat menjejak kaki ke universiti diantaranya sekarang ini ialah Pegawai Daerah Jerantut, Dato’ Syed Mutalib (Syed Hassan);

ZIARAHI GOLONGAN TUA, MEMERLUKAN... Sudah lama menjadi amalan, ada sahaja ruang masa dan kesempatan selepas hadiri acara-acara rasmi, Menteri Besar akan turut menziarahi golongan memerlukan seperti Encik Abdul Jalil Bagor, 90-an, di Kampung Batu Talam ini. 

Selain bertanya khabar, yang turut penting yang dilakukan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan ialah huluran bantuan - baik kewangan mahupun barangan keperluan, kepada golongan sebegini. 


FUNDAMENTALIST ISLAM BUKAN PENGGANAS

“Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, Dato’ Syed Mohd Nor (Syed Jaafar); dan beberapa orang lagi yang juga menjadi pegawai-pegawai kerajaan sekarang ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar kita umat Islam, berusaha sedaya-mungkin bagi membetulkan persepsi negatif pihak Barat terhadap Islam, dengan pelabelan sebagai pengganas.   

“Yang sebenarnya, Islam tidak mengganas. Orang yang benar-benar menjadi ‘fundamentalist’ Islam, dia tidak mengganas. Orang yang memegang ajaran Islam sebenarnya dia tak ada sebab menjadi pengganas.

“Yang menjadi pengganas ialah ‘extremist’. Bila ‘extremist’, pelampau ini; bukan kata Islam sahaja – pelampau Hindu ke, pelampau Kristian ke, pelampau Amerika tak ada ugama ke, pelampau apa sahaja, pelampau komunispun; mereka juga akan jadi ‘terrorist’.

“Kita kena betulkan ini semua dan kita kena uar-uarkan, tunjukkan contoh. Saya selalu sebut bagaimana ugama Islam ini begitu cantik sekali. Dalam peperangan sebagai contoh, kita tidak boleh memotong bekalan air mengalir ke kubu musuh,” katanya.  

AMBIL KISAH, AMBIL BERATNYA MB KITA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mengusap ke pipi Encik Salehudin Abdul Rashid, 87, yang mengalami 'strok' lalu terlantar di baringan. 

Kedatangan Menteri Besar menziarahi, adalah atas sikap mengambil kisah, mengambil beratnya. Ini pula, bukannya dalam tempoh menghadapi apa-apa pilihanraya yang membuktikan ketulusan hati untuk semata-mata menziarahi lalu menghulurkan bantuan yang diperlukan.    

ANTARA YANG TURUT HADIR

Antara yang turut hadir pada MASISUPA yang berlangsung selama lima (5) hari itu ialah Pengerusi, Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad;

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shahiruddin Ab Moin yang juga wakil rakyat (BN – Dong); wakil rakyat setempat, Dato’ Abdul Aziz Kiram (BN – Batu Talam); Pegawai Daerah Raub, Dato’ Ismail Mohd Ali; serta, Pengarah JAIP, Dato’ Mohd Noor Rani. – Khabar