… saran Menteri
Besar ekoran kejadian pelajar/kadet polis sekolah maut akibat kepanasan
melampau semasa latihan
MENTERI BESAR, ISTERI SERTA IBUBAPA ALLAHYARHAM MOHD AMMAR... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan meluahkan rasa simpatinya kepada ayah Allahyarham, Encik Abdulloh manakala yang sama dilakukan oleh isteri, Datin Sri DiRaja Junaini kepada ibu Allahyarham, Sharifah Jamilah.
KAMPUNG PERAMU,
TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan Kementerian Pelajaran supaya menyemak
kembali kandungan ko-kurikular di sekolah-sekolah bagi mengelakkan kejadian
buruk ke atas para pelajar yang terlibat.
Beliau
yang ditemui wartawan petang Ahad, 27 April di sini, selepas menziarahi keluarga
Allahyarham Mohd Ammar Abdulloh, 17, – pelajar dan juga kadet polis yang
meninggal dunia malam Rabu, 23 April lepas setelah pengsan semasa menjalani
latihan di Kampung Pandan, dekat sini berkata;
Beliau
ada membuat saranan yang sama kepada para pegawai kementerian berkenaan, semasa
menyertai taklimat banjir berkaitan kementerian dan Jabatan Pelajaran Negeri
kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, tahun lepas.
“Ini semua yang
kita kena kaji baliklah. Lasak-lasaklah tapi sayapun tengok, para saintis yang
mereka I-Pad, I-Phone sebagainya, (mereka) tidak lasak. Yang penting, mereka
adalah orang bijak, kreatif dan iniovatif.
“Saya tak nampak
yang latihan lasak ini boleh mendatangkan banyak faedahlah (terutamanya) apabila
berlaku kematian sebagainya. Walaupun peratusannya kecil tapi ianya berlaku.
ZIARAHAN MENTERI BESAR DISAMBUT MESRA...
‘KALAU KENA
KEPADA KELUARGA KITA?’
“(Hari) ini berlaku
kepada keluarga orang lain. Kalau kena kepada keluarga kita? Na‘uzubuilahlah. Jadi
ini semua kena kaji balik,” katanya selepas menziarahi keluarga Allahyarham
Mohd Ammar khususnya kedua-dua ibubapanya, Encik Abdulloh Salleh, 49, dan
isteri, Sharifah Jamilah Syed Alwi, 43.
Menurutnya,
dalam keadaan cuaca panas berterusan yang dialami daerah dan negeri ini ketika
ini, menjadi sebab yang lebih kepada kepimpinan sekolah supaya mengurang atau
meniadakan aktiviti luar bilik darjah supaya pelajar tidak terdedah dengan
cuaca tersebut.
“Keadaan panas
ini memang menjadi masalah kepada kita semua. Ini juga perlu diambil kira oleh pihak
sekolah untuk mengurangkan, atau kalau boleh, tidak mengadakan aktiviti yang
boleh mendedahkan para pelajar kepada keadaan yang sangat panas,” katanya.
Sehubungan
itu, beliau menyarankan agar kepimpinan sekolah sentiasa berusaha untuk mengimbangi
dalam menjagai kepentingan tiga pihak iaitu kepentingan ibubapa, kepentingan
pelajaran pelajar, dan juga kepentingan jabatan mereka.
“Tapi, apapun… kita
(kepimpinan dan pengurusan sekolah) kena fikirkan yang terbaik untuk
pelajar-pelajar,”
tegasnya.
LAPORAN BERITA MENGENAI ALLAHYARHAM MOHD AMMAR... Seperti dilaporkan pada muka surat 13 akhbar Barita Harian keluaran Jumaat, 25 April.
ZIARAH ATAS RASA
SIMPATI
Mengenai
ziarahannya ke rumah keluarga Allahyarham Mohd Ammar petang Ahad ini katanya,
ia berasaskan kepada rasa simpatinya terhadap ibubapa dan keluarga yang kehilangan
anak mereka.
“Saya dapat
merasakan dan saya datang bersama isteri saya untuk menyatakan simpati saya dan
saya juga telah menyatakan kepada kedua-dua ibubapa dan kedua-dua bapa saudara Allahyarham
bahawa, ini semua kejadian yang tidak dijangka, tidak disangka. Dan ini semua
takdir Allah belaka.
“Saya telah
melihat sijil kematian Allahyarham tadi dan saya dapati Allahyarham meninggal
dunia disebabkan oleh ‘heat stroke’ dan ‘mutliple organ failure’.
“Kitapun tidak
tahu secara terperinci kenapakah berlaku ‘multiple organ failure’ itu iaitu,
bagaiamana paru-paru, hati, buah pinggang Allahyarham tidak berfungsi. Apa
sebabnya ini kita tidak ketahui.
“Walau apapun,
saya berasa sangat simpati dan telahpun memberitahu keluarga Allahyarham, ini semua
takdir Allah. Yang penting ialah untuk kita mendoakan kesejahteraan Allahyarham
di alam barzakh. Mudah-mudahan dimasukkan bersama-sama dengan para syuhadah,
ahli-ahli syurga,”
katanya lagi.
TURUT ZIARAHI DATUK KEPADA ALLAHYARHAM MOHD AMMAR... Sementelah diberitahu yang datuk dan nenek kepada Allahyarham Mohd Akmar, masih hidup dan tinggal bersebelahan rumah, Dato' Sri DiRaja Adnan dan isteri, turut menziarahi mereka.
Datuk, Syed Alwi Syed Taib, 84, - ayah kepada Sharifah Jamilah atau ayah mertua kepada Encik Abdulloh bagaimanapun tidak sihat dan terlantar baring sejak lebih sebulan akibat masalah prostat. Lalu, Dato' Sri DiRaja Adnan telah menawarkan kepada keluarga ini agar Syed Alwi mendapatkan rawatan di sebuah hospital pakar di Subang Jaya, Selangor.
ALLAHYARHAM JUGA
PANDAI LUKIS DAN LAKAR KARIKATUR
Dato’
Sri DiRaja Adnan turut menyatakan rasa tertariknya dengan hakikat betapa
Allahyarham ialah seorang yang mempunyai bakat melukis termasuk dalam lakaran
karikatur.
Dan
daripada lukisan-lukisan dan lakaran ini termasuk satu, Allahyarham telah
melukis wajah ibunya, Sharifah Jamilah kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, jelas betapa
Allahyarham Mohd Ammar seorang budak
yang baik serta suka mendekati ugama.
“Sebagai contoh,
dengan melukis kalimah Allah, kemudian itu Nabi Muhammad. Melukis potret mak
dia… dan sayapun berasa sangat sedihlah. Walau apapun, ini telahpun berlaku dan
saya percaya setiap yang berlaku ini ada hikmahnya,” katanya lagi.
Kehadiran
Dato’ Sri DiRaja Adnan yang diiringi isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim ke
sini, ialah selepas menziarahi jenazah Allahyarham Wan Hamidi Wan Razak, 40, yang
meninggal dunia awal pagi Ahad ini di kediaman ibunya di Rancangan Tanah Felda
Jengka 12, Maran.
Allahyarham
Wan Hamidi ialah adik kepada wakil rakyat negeri, Wan Amizan Wan Razak (BN –
Tahan). – Khabar