13,257
unit kini dalam pelaksanaan atau 88 peratus daripada sasaran membina 15,000
unit rumah mampu milik di bawah PR1MA Negeri Pahang bagi tempoh lima tahun
antara 2014 – 2018.
MENJENGUK KE LUAR JENDELA... Perancangan yang baik menjamin hasil yang baik, sepertimana pada program rumah mampu-milik PR1MA Negeri Pahang ini.
Oleh YOPE
KEY-DARE
Alamaya, INDERA
MAHKOTA 5, KUANTAN – Cekap,
berkesan serta melangkaui jadual dan jangkaan menerusi kaedah ‘menang-menang’
melibatkan tiga pihak – Kerajaan Negeri, pemaju dan terutamanya pembeli dalam
kalangan rakyat-jelata.
Inilah
yang boleh dikatakan tentang projek pembinaan rumah mampu milik Perumahan
Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Negeri Pahang – yang di dalam Manifesto Barisan
Nasional (BN) Negeri bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 lepas,
berjanji membina 15,000 unit dalam tempoh lima tahun antara tahun 2014 dan
2018.
Namun,
hanya dalam tempoh setahun selepas PRU ke-13 itu kini, sebanyak 13,257 unit
atau kira-kira 88 peratus daripada sasaran 15,000 unit, telahpun bermula serta
dalam pelbagai peringkat pembinaan.
Kesemua
13,257 unit ini meliputi hampir ke seluruh daerah di negeri ini, merangkumi 29 kawasan
dengan keluasan tanah keseluruhannya – dibina di atas Tanah Kerajaan, kira-kira
669 hektar.
Dan
di bawah PR1MA Negeri Pahang ini, spesifikasi unit rumah ditetapkan, yang
utama, harga jualannya cuma RM150,000 (diskaun 10 peratus bagi kakitangan
Kerajaan) untuk rumah berkembar setingkat berkeluasan lantai minimum 93 meter
persegi (1,000 kaki persegi) berbanding harga di pasaran antara RM270,000 dan
RM300,000.
'WORKMANSHIP' YANG BAIK... Tentu rakyat kita berbangga untuk memiliki rumah sebegini, dan pada harga yang murah pula lagi - 40 hingga ke 50 peratus lebih murah daripada di pasaran!
RAKYAT KDYMM
SULTAN PAHANG LAYAK MEMOHON, SELAIN…
Yang
lain ialah unit-unit ini mesti mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik mandi
dengan keluasan bilik tidur utama mestilah 16 meter persegi (168 kaki persegi)
dan keluasan dua bilik tidur lain masing-masing kira-kira 11.2 meter persegi
(120 kaki persegi).
Manakala,
kemasan lantai mestilah daripada jubin jenis seramik bagi keseluruhan ruang
rumah meliputi ruang tamu, ruang makan, bilik tidur, bilik air dan dapur.
Kemasan dinding bagi tandas dan dapur pula mestilah daripada jubin jenis
seramik dengan ketinggian hingga paras 1,600 milimeter (lima kaki) dari aras
lantai.
Mereka
yang layak memohon untuk memiliki unit-unit ini pula ialah rakyat Malaysia
dengan keutamaan kepada rakyat KDYMM Sultan Pahang, berpendapatan seisi rumah
tidak lebih RM5,000 sebulan, keutamaan kepada mereka yang berumur 40 tahun ke
bawah, dan, telah menetap di negeri ini secara terus-menerus tidak kurang
daripada lima tahun.
Satu
daripada kesemua 29 kawasan yang dimaksudkan ialah di KM 23, Jalan
Kuantan-Gambang dekat sini, berkeluasan kira-kira 22.1 hektar dengan sasaran
pembinaan sebanyak 308 unit.
Sehingga
kini, 100 unit daripadanya sedang dalam pembinaan dengan kemajuan kira-kira 30
peratus, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang November tahun depan (2015).
Baki 208 unit akan bermula selepas itu dan dijangka siap pada Jun 2018.
MENTERI BESAR
IALAH MENTOR PR1MA NEGERI PAHANG
Menteri
Besar Datuk Sri Adnan Yaakob – mentor kepada PR1MA Negeri Pahang ini, yang
diwujudkan sebagai pelengkap kepada PR1MA kendalian Kerajaan Persekutuan, telah
hadir merasmikannya pada pagi 15 Mei lepas.
“… semasa
PRU-13, Barisan Nasional telah menjanjikan bahawa kalau dipilih lagi oleh
rakyat, kita akan membina 15,000 unit rumah mampu milik untuk tempoh lima
tahun, 2014 – 2018.
“Rupa-rupanya,
dalam tempoh setahun ini, kita telah (mula) membina 13,000 (unit). Bermakna,
‘target’ (usaha mencapai sasaran 15,000 unit) itu berjalan (dengan baik),” katanya pada
persidangan media kemudiannya.
Sehubungan
itu, beliau menjelaskan ramuan di sebalik kejayaan tersebut yang menurutnya,
disandarkan kepada pendekatan ‘menang-menang’ – baik kepada Kerajaan Negeri,
pemaju yang dilantik mahupun kepada rakyat kelak.
“Kerajaan
mempermudahkan segala proses birokrasi, termasuk (dengan) mengenakan premium
yang sangat rendah (terhadap pemaju, yang mengusahakan Tanah Kerajaan bagi
pembinaan unit-unit PR1MA Negeri Pahang ini) maka pihak pemaju dapat jimat
kosnya,”
katanya.
KERAJAAN NEGERI
KENAKAN PREMIUM CUMA RM2,000 BAGI 1 LOT
Dengan
adanya prosedur birokrasi yang diringkaskan katanya, kerja-kerja sebenar di
atas tapak dapat berjalan lancar dan segera, yang seterusnya menyumbang kepada
kadar yang cepat dalam dalam kerja-kerja pelaksanaan PR1MA Negeri Pahang ini.
Berhubung
dengan premium, memang Kerajaan Negeri mengenakannya pada kadar yang amat
rendah – hanya RM2,000 bagi setiap lot tanah yang ditetapkan seluas 40 kaki X
70 kaki atau 2,800 kaki persegi (bersamaan 12.2 meter X 21.3 meter atau 260
meter persegi).
Kadar
ini bersamaan cuma kira-kira 71 sen sekaki persegi sedangkan harga semasa bagi
pemilikan tanah di pasaran khususnya di Kuantan ketika ini paling rendahpun ialah
kira-kira RM5.60 sekaki persegi, atau murahnya lapan kali ganda!
Dalam
pada itupun, Kerajaan Negeri menurut Adnan, sedia menawarkan kadar premium
lebih rendah malah percuma, jika Tanah Kerajaan yang dipilih bagi pelaksanaan PR1MA
Negeri Pahang ialah di kawasan yang kurang sesuai seperti berpaya, yang
memerlukan kerja-kerja penambakan tanah yang banyak lalu kos yang besar.
Ini
ekoran kesedaran betapa kos bagi penambakan tanah sahaja adalah membebankan iaitu
kira-kira RM1.5 juta bagi kerja-kerja penambakan setebal semeter untuk keluasan
tanah kira-kira 4.05 hektar sahaja.
JAWATANKUASA
TEKNIKAL PR1MA BAGI PERCEPATKAN
Ke
arah mempercepatkan dan membanteras gejala birokrasi, Kerajaan Negeri
menubuhkan Jawatankuasa Teknikal PR1MA Negeri Pahang yang dipengerusikan oleh
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, dianggotai 13
jabatan teknikal berkenaan.
Pada
peringkat awal dahulu, jawatankuasa ini akan bermesyuarat hanya setelah
menerima tujuh permohonan daripada pemaju untuk menjayakan projek PR1MA Negeri
ini namun kemudian ditetapkan, mesyuarat akan dipanggil walaupun menerima satu
permohonan.
Dalam
pada itupun, setiap jabatan teknikal yang termasuk pejabat Pengarah Tanah dan
Galian (PTG) Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pengurusan Air Pahang Bhd
(PAIP) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB), diberi tempoh tiga minggu untuk menyemak
dan memberi ulasan terhadap permohonan pemaju bagi menjayakan PR1MA Negeri di
satu-satu kawasan.
Jawatankuasa
teknikal inilah juga yang akan membuat keputusan mengenai permohonan para
pemaju, kemudian diangkat terus kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri
yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, untuk kelulusan muktamad.
Yang
dimaksudkan dengan ‘menang-menang’ melibatkan Kerajaan Negeri-pemaju-rakyat
tadi – Kerajaan Negeri memudahcarakan proses dan kelulusan bagi memajukan Tanah Kerajaan dengan projek PR1MA Negeri
Pahang ini, sambil mendapat pulangan RM2,000 bagi setiap lot (40 kaki X 70
kaki) yang diluluskan itu.
RAKYAT BELI
RM150,000 SEUNIT - DISKAUN 40 KE 50 PERATUS!
Misalnya,
bagi projek di KM23, Jalan Gambang-Kuantan, jumlah unit yang akan dibina ialah
308 buah maka, hasil yang bakal diperolehi oleh Kerajaan Negeri menerusi kenaan
premium ialah RM616,000 (308 unit X RM2,000 kadar premium).
‘Menang’nya
pemaju kerana memperolehi peluang niaga yang luas serta memperolehi keuntungan
dengan ‘margin’nya ialah antara 10 dan 20 peratus, yang boleh dikatakan lumayan
bersandarkan suasana ekonomi ketika ini.
Manakala,
‘menang’nya rakyat pula – kumpulan sasaran sebenar, memperolehi rumah yang
selesa dan pula, dengan kadar mampu
milik – RM150,000 atau penjimatan antara RM120,000 hingga RM150,000 setelah memperolehi
diskaun hingga 40 ke 50 peratus! (daripada harga di pasaran antara kira-kira
RM270,000 dan RM300,000).
Oleh
kerana itulah, PR1MA Negeri Pahang dilihat berjaya dan akan memperolehi
kejayaan yang lebih dengan semakin galaknya pemaju-pemaju perumahan
berebut-rebut untuk turut membangunkannya.
Ini
tentunya baik sementelah sambutan rakyat terhadap unit-unit rumahnya begitu
menggalakkan juga, hinggakan kata Adnan, “Ohh…
tak menang tangan. Terlebih borang daripada rumah (yang ditawarkan)”.
Dengan
gambaran yang positif inilah juga adalah diyakini, sasaran membina 15,000 unit
rumah seperti yang telah diuar-uarkan, bukan sahaja bakal tercapai malah melebihi
daripada sasarannya dalam tempoh lima tahun ini. – Khabar