… dengan sasaran
kedatangan 15 juta pelancong, dan RM9,900 juta pendapatan, kata Menteri Besar
MENTERI BESAR SEDANG MENGGULUNG PERBAHASAN, DENGAN UCAPAN LUAR TEKS 56-MINITNYA... Foto ini dipetik daripada kumpulan 'whatsapp' Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
DEWAN UNDANGAN
NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri akan menganjurkan
program Tahun Melawat Pahang 2017 dengan sasaran kemasukan 15 juta pelancong
dan RM9,900 juta hasil pendapatan.
Ketika
bercakap pada penggulungan perbahasan atas Ucapan Bajet Negeri 2015 pagi
Jumaat, 19 Disember di sini, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob
berkata, penganjurannya bermatlamat untuk mengembangkan industri pelancongan
negeri ke tahap lebih tinggi.
Kali
terakhir Kerajaan Negeri menganjurkan program sebegini ialah pada tahun 1994
atau kira-kira-kira 20 tahun lepas, “Dan
kita mempunyai produk yang menjadi kekuatan kita – Taman Negara, Pulau Tioman,
bunga rafflesia, ada tanahtinggi dan ada acara-acara bertaraf antarabangsa,” katanya.
Ke
arah menjayakan Tahun Melawat Pahang 2017 ini katanya lagi, ia akan berlangsung
dalam tiga (3) fasa iaitu fasa pertama untuk tahun depan (2015), akan meliputi usaha-usaha
perancangan dan persediaan.
Fasa
kedua bagi tahun berikutnya, 2016, meliputi gerak-kerja pemasaran dan promosi;
dan, fasa ketiga pada tahun 2017, akan merupakan fasa pelancaran dan menjayakan
Tahun Melawat Pahang 2017 itu sendiri.
TIADA LAGI TOL
BAHARU DI CAMERON SEJAK TAHUN 2000
“Bukanlah
bermakna kita menggalakkan orang datang ke Pahang pada tahun 2017 sahaja, tidak…
“Dengan adanya
program ini, ‘being part of promoting and marketing’ kita berharap, In-sya-Allah,
lebih kurang 15 juta pelancong akan datang ke negeri Pahang dan perbelanjaan
ataupun wang yang terlibat, RM9.9 billion,” katanya.
Dalam
ucapan penggulungan 56-minitnya (11.11 pagi hingga 12.07 tengah hari), Dato’
Sri DiRaja Adnan turut menyentuh soal pembangunan tanah di Cameron Highlands,
betapa Lesen Pendudukan Sementara (TOL) baharu di sana tidak lagi dikeluarkan
sejak tahun 2000 lagi.
“(Sebaik-baik) saya
menjawat jawatan Menteri Besar, saya terus ‘stop’kan. Cukup (dengan pengeluaran)
TOL yang (sedia) ada. Kita kira dah pada masa itu, cukup…,” tegasnya.
Dan
sejak tahun 2007 pula katanya, kerja-kerja memperbaharui TOL yang sebelumnya boleh
dilakukan di pejabat daerah dan tanah-pejabat daerah dan tanah, hanya boleh diluluskan
pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang lazimnya bermesyuarat di Kuantan.
‘DEMI ALLAH,
DEMI RASUL…’
Menurutnya,
langkah ini diambil bagi menutup segala tuduhan dan tohmahan tentang kononnya
berlaku salah guna kuasa dan gejala rasuah di peringkat pejabat daerah dan
tanah-pejabat daerah dan tanah berkenaan.
“Tapi, ada pula
sesetengah pihak mengeluarkan kenyataan – ahhh… ini menambahkan (lagi) birokrasi.
Oh, kat Kuantan pula.
“Sebenarnya kita
hendak menolak atau menghindari, untuk kita menjauhi tuduhan-tuduhan,
tohmahan-tohmahan dan perbuatan salah guna kuasa dan rasuah di peringkat daerah,
(maka) kita bawa ke (MMK) Kuantan,” katanya.
“Aihh. Menteri
Besar, (ahli-ahli) Exco (Ahli-ahli MMK) tak makan duit-duit orang menanam sayur
ni. Tak ada rasuah, saya berani ‘guarantee’. Demi Allah, demi Rasul, tak ada
kita mengambil duit rasuah dari penanam sayur Cina di Cameron Highlands dengan
Bukit Tinggi, tak dak…
“Tapi bila tak
bersumpah yang (kepada perkara-perkara) lain, jangan pula ingat yang lain – (meng)agak
yang lain pula disapunya. Ha ini payah juga. Bersumpah payah, tak bersumpahpun
susah. Tak dak, tak dak…,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.
PATUHILAH UNDANG-UNDANG
“Yang pentingnya
orang-orang Cameron, ikut undang-undang, patuhi undang-undang, peraturan. Dan
Kerajaan – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, akan cuba membantu di mana
yang patut,”
katanya.
Sehubungan
itu, beliau menyarankan agar mereka yang memiliki TOL yang sah supaya
meneruskan pekerjaan mereka sebagaimana biasa yang ketika ini bagaimanapun, sedang
mengalami masalah ketiadaan pekerja.
Kerajaan
Negeri menurutnya, akan cuba menyelaraskan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN)
supaya mereka akan mendapat kembali pekerja-pekerja yang diperlukan dalam kadar
sesegera yang boleh.
Beliau
turut mengulas tentang apa yang disebutnya sebagai ‘the new craze’ (BM:
Kegilaan terbaharu) iaitu terhadap bahan mineral ‘bauxite’ yang Kerajaan Negeri
terima terlampau banyak permohonan untuk pengeluarannya termasuk dari kawasan
Rancangan Tanah Felda Bukit Goh dekat sini.
Bagi
membendung kegiatan ini katanya, Kerajaan Negeri tidak lagi membenarkan
pengeluaran bahan mineral ini menerusi kaedah pemindahan tanah, sebaliknya
mereka perlu melalui prosedur sepertimana kerja-kerja perlombongan yang perlu
membuat permohonan untuk SKC dan MC.
PELBAGAI LAGI
PERKARA TURUT DIULAS
Dalam
ucapan penggulungan yang sama itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan truut menyentuh beberapa
lagi perkara seperti soal pentingnya untuk memelihara keharmonian antara kaum;
pemeliharaan alam sekitar;
Begitu
juga dengan soal pendidikan; kutipan zakat; pemerkasaan sekolah-sekolah agama; hal-hal
berkaitan Orang Asli; peruntukan untuk pembangkang; dan, hutan simpan kekal
Lesong. – Khabar