Berpedomankan ketegasan dan political will tinggi Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail susulan suasana sosiopolitik negeri yang mengizinkan; telah menjadi daya penggalak kepada UPNP menjayakan misinya.
SEPERTIMANA TERSIAR PADA HALAMAN 14 AKHBAR UTUSAN MALAYSIA TERBITAN 6 NOVEMBER... Sungguhpun segelintir orang menganggap media cetak sudah lapuk, namun pembaca Utusan Malaysia seluruh negara masih tinggi - mencecah purata 1.2 juta orang sehari.Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Wira tak didendang. Inilah frasa tepat bagi merujuk peranan berkesan namun secara diam-diam ubi oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, dalam membanteras gejala penerokaan tanah secara haram di negeri ini.
Dan Pahang ialah satu-satunya negeri menubuhkan unit bersepadu ini, berupa gabungan keanggotaan beberapa jabatan dan agensi penguat kuasa negeri termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri.
Berpedomankan ketegasan dan political will tinggi Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail susulan suasana sosiopolitik negeri yang mengizinkan; telah menjadi daya penggalak kepada UPNP menjayakan misinya.
Pedoman ini menurut Pengarah UPNP, Encik Ahmad Rizal Ali penting, membuat kesemua 164 pegawai penguat kuasa beliau berasa selesa dalam melaksanakan tugas mereka tanpa gentar atau memihak (fear nor favour).
Apatah lagi apabila ada kesedaran awam tentang pengaruh besar UPNP lalu mampu melancarkan lagi operasi mereka. Encik Ahmad Rizal memberi contoh pada satu operasi hendak dijalankan, telah cuba dihalang oleh pihak berpengaruh di kawasan berkenaan.
REKOD KEJAYAAN/KEBERKESANAN UPNP
“Tapi, bila pegawai penguat kuasa kami sebut mereka dari UPNP, pihak terbabitpun berlembut, mungkin tahu UPNP dapat sokongan kuat Menteri Besar yang terbukti konsisten tegasnya,” katanya.
Antara kejayaan utama UPNP ialah pada November 2019 di bawah Ops Gading di Cameron Highlands termasuk Sungai Ichat, membabitkan kawasan kira-kira 2,258 hektar atau bersamaan hampir 3,000 padang bolasepak yang daripadanya, 84 peratus berjaya diambil tindakan.
Hasilnya, Ops Gading – yang turut disertai jabatan dan agensi penguat kuasa lain; diiktiraf berjaya. Di Sungai Ichat sendiri, air sungainya yang tercemar teruk tahap 4 akibat gejala penerokaan tanah haram tersebut, telah pulih sepenuhnya sehingga tahap 1!
Dan sejak penubuhannya hujung tahun 2019, UPNP telah menjalankan pelbagai siri penguatkuasaan melibatkan kesalahan-kesalahan bukan sahaja di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1965, malah Akta Perhutanan Negara 1984, Enakmen Mineral Negeri 2001 dan Enakmen Sumber Air 2007.
Bagi tahun 2021 sehingga 25 Oktober lepas sahajapun, 100 kes tangkapan dibuat. Ia juga berjaya melakukan operasi serbuan, rampasan, sitaan jentera/kenderaan dan peralatan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti perlombongan haram, pemindahan bahan batuan dan penerokaan Tanah Kerajaan.
LEBIH RM7 JUTA NILAI RAMPASAN/SITAAN
Rampasan dan sitaan ini meliputi 62 jengkaut, 49 lori, 15 lori hantu, tujuh (7) jentolak, masing-masing tiga (3) lori panjang dan backhoe, serta masing-masing satu (1) traktor dan kenderaan pacuan empat roda, kesemuanya bernilai RM7.36 juta.
Begitu juga yang membabitkan peralatan iaitu 18 pam pasir, 10 pam air, lapan (8) jenerator, dua (2) enjin air serta masing-masing satu pontoon, palong, dram (trommel) dan alat pengesan logam, kesemuanya pula bernilai RM180,500.
UPNP juga telah membuka 83 kertas siasatan membabitkan kesalahan di bawah KTN 1965, Enakmen Mineral Negeri 2001 dan Enakmen Sumber Air 2007 yang daripadanya, 28 dalam tindakan, 23 menunggu izin untuk dikompaun, 17 ditawarkan kompaun dan tujuh (7) untuk lakukan pendakwaan.
Tahun 2021 ini sehingga 25 Oktober juga, ia mengeluarkan 25 tawaran kompaun bernilai RM948,000 yang daripadanya, telahpun menerima kutipan bayaran RM351,000.
Selain itu, UPNP juga berjaya melakukan pendakwaan di Mahkamah Sesyen Raub pada 25 Oktober lepas bagi kesalahan di bawah Enakmen Sumber Air 2007 dengan denda RM70,000 dikenakan ke atas tertuduh yang mengaku bersalah. Dan ini julung kalinya pendakwaan dilakukan di bawah Enakmen Sumber Air 2007 sejak diwartakan.
GIACC SARANKAN PENUBUHAN UPNP
UPNP turut menjalankan operasi penguatkuasaan bersama-sama Jabatan Perhutanan Negeri bagi memusnahkan tanaman durian Musang King secara haram dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub seluas 101 hektar.
Menyingkap sejarah penubuhan, ia bermula dengan pertemuan Ketua Pengarah, Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) ketika itu, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dengan delegasi Kerajaan Pahang diketuai SUK Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak.
Pada pertemuan 26 April 2019 itu, Tan Sri Abu Kassim menyarankan Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah badan penguat kuasa bersepadu melibatkan pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan, demi membanteras gejala penerokaan tanah haram.
Dato’ Sri Dr Salehuddin menyahut saranan ini, lalu segera menganjurkan beberapa siri bengkel untuk memperhalusinya. Dalam masa sama, cadangan penubuhannya diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang meluluskannya pada mesyuarat 9 Oktober tahun sama.
Sejak itu, bergeraklah UPNP dengan bidang kuasanya meliputi usaha menangani 88 jenis kesalahan di bawah 10 Enakmen Negeri dan empat (4) Akta Persekutuan, serta melibatkan jabatan-jabatan berkepentingan – selain PTG dan Jabatan Perhutanan ialah Jabatan Perikanan, Badan Kawal Selia Air (BKSA) di Pejabat SUK Negeri, dan kesemua 11 Pejabat Daerah dan Tanah; serta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
SETELAH DUA TAHUN UPNP, PASUKAN ELIT PULA DITUBUHKAN
Setelah dua (2) tahun berlalu, Dato’ Sri Wan Rosdy sendiri melihat ada keperluan menubuhkan apa yang dinamakan Pasukan Elit Penguatkuasa yang masih di bawah UPNP, tetapi dianalogikan seperti Unit Tindakan Khas (UTK), Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Peringkat awal ini, 20 orang dalam usia 35 tahun ke bawah, terpilih menganggotainya. Bagi memantapkan kemahiran mereka, latihan sebulan termasuk cara penggunaan senjata api diadakan di Kem Gerakan Am Bukit Galing, Kuantan yang tamat hujung bulan lepas (Oktober 2021).
Penubuhan Pasukan Elit Penguatkuasa ini adalah pelengkap, dan dijangkakan usaha risikan seterusnya pembanteraan gejala penerokaan tanah secara haram dapat digiatkan, sekaligus membuktikan Kerajaan Negeri sangat serius dalam menangani isu ini. – Khabar