Friday, 6 December 2013

Betapa Islamnya UMNO


… Imam Masjidil Haram mengimamkan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dimakmumkan oleh para perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO ke-67.

Beliau turut membimbing bacaan doa Qunut Nazilah, agar dilindungi daripada bala bencana terutamanya berkaitan banjir, yang melanda beberapa negeri termasuk Pahang.

BERDOA QUNUT NAZILAH... Demi melindungi kita daripada bala bencana seperti banjir yang menimpa beberapa negeri termasuk Pahang. Kelihatan Syeikh Dr Khalid sedang memimpin bacaan qunut tersebut sambil yang lain termasuklah Dato' Sri Mohd Najib, ikut serta. 

Tentunya ini sesuatu yang lebih afdal dilakukan berbanding gelagat seorang wakil rakyat parlimen pembangkang - sudahlah tidak menjengok kawasannya ketika awal-awal banjir melanda kawasan diwakilinya, hendak pula jadi jaguh dengan cubaan membuat usul di Parlimen agar dibincangkan soal banjir itu, namun ditolak!

Berbeza sekali dengan pemimpin-pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) kita. Dato' Sri Mohd Najib sendiri misalnya, sebaik-baik menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke-67 pagi semalam, Khamis, 5 Disember, terus bergegas ke Kuantan, kemudian ke Pekan dan Rompin untuk meninjau kejadian banjir di sana. 

Dan beliau turut disertai oleh Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob - seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat, yang sanggup mengorbankan kehadirannya pada PAU kali ini - pertama kali sejak mengetuai negeri pada tahun 1999; demi membuat segala urusan untuk meringankan lagi beban rakyat dilanda banjir di negerinya.      


PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR – Apakah yang boleh dikatakan mengenai UMNO dan para ahli serta perwakilannya pada Perhimpunan Agung UMNO ke-67 ini apabila tokoh Islam seperti Imam Masjidil Haram, Mekah, Syeikh Dr Khalid Ali Al-Ghamidi sendiri hadir mengimamkan solat Jumaat tengah hari 6 Disember di Surau Ar-Rahman, di sini?

Tentulah ini memahatkan lagi hakikat betapa UMNO diiktiraf keIslamannya yang jika tidak, masakan seorang imam dari masjid teragung di dunia, mahu hadir dan mengimamkan makmum yang merupakan ahli-ahli parti keramat itu.

Dan dalam kalangan makmum yang memenuhi setiap ruang dalam surau di tingkat 3 bangunan ini, ialah Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dan Menteri Dalam Negeri yang juga Naib Presiden, Dato’ Sri Zahid Hamidi serta para pemimpin dan perwakilan UMNO sekelian.

(Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kebanyakan pemimpin lain, tidak hadir kerana perlu ke lokasi negeri-negeri mengalami banjir untuk memberi bantuan dan sokongan semangat).

Sebelum mengimamkan solat, Syeikh Dr Khalid telah terlebih membacakan khutbah yang diterjemahkan antara lain bermaksud, penekanan yang diberikannya kepada tiga perkara utama.

IMAM MASJIDIL HARAM MENYAMPAIKAN KHUTBAH DARI ATAS MIMBAR KITA...


MALAYSIA CONTOH NEGARA ISLAM KERANA ‘WASSATIYYAH’NYA

Pertama; ialah tentang kecintaan yang perlu umat Islam sentiasa berikan kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda serta para Sahabat kerana usaha gigih mereka dalam menyebarkan syiar Islam sebelum ini.

Kedua; ialah tentang betapa Islam ialah agama yang menyeru kepada kesederhanaan atau ‘wassatiyyah’; dan ketiga; tentang betapa Islam mementingkan perpaduan ummah atau ‘wedatul ummah’ yang perlu terus dipelihara.

Lalu, Syeikh Dr Khalid telah turut menyebutkan betapa Malaysia merupakan sebuah negara Islam contoh, yang berpaksikan pentadbiran Kerajaannya dengan amalan ‘wassatiyyah’.

Ketika mengimamkan solat kemudian, Syeikh Dr Khalid telah turut membacakan doa Qunut Nazilah, memohon agar dilindungi daripada bala bencana terutamanya berkaitan banjir, yang sedang melanda beberapa negeri termasuk Pahang.

Sebaik-baik selesai solat, para makmum mengambil kesempatan merapati seterusnya bersalaman dengan Syeikh Dr Khalid, serta juga pemimpin utama negara kita, Dato’ Sri Mohd Najib. – Khabar