Tuesday, 10 December 2013

Kerajaan Negeri boleh timbang beri tambahan!


… kepada RM500 kadar nasional; sebagai sumbangan kepada mangsa banjir di Pahang

Berita gembira ini diumumkan oleh Perdana Menteri pada perjumpaan dengan mangsa-mangsa banjir yang masih berbaki di Sekolah Kebangsaan Sungai Isap Murni

TAKLIMAT RINGKAS TENTANG BENTENG YANG PECAH... Kedua-dua Dato' Sri Mohd Najib dan Dato' Sri DiRaja Adnan sedang diberi taklimat tentang benteng yang menyempadani Perkampungan Sungai Isap yang ekoran pecahnya, telah menyebabkan perkampungan itu mengalami banjir buruk.


SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI ISAP MURNI, PERKAMPUNGAN SUNGAI ISAP, KUANTAN – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak petang ini mengumumkan berita gembira kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri ini, yang melibatkan soal kewangan.

“Saya akan bincang dengan Dato’ Sri Adnan,” katanya dengan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob di sisi, pada perjumpaan ringkas dengan mangsa-mangsa banjir yang masih berbaki di sini, sempena lawatannya ke perkampungan ini petang Selasa, 10 Disember.

“Bila saya umum (sumbangan) RM500 itu (ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO ke-67, Sabtu, 7 Disember), ia adalah kadar nasional.

“Kalau bersama Kerajaan Negeri, boleh timbangkan tambahan,” katanya menerusi pembesar suara (hailer) yang serentak itu berderai tepukan tanda sokongan dan terima kasih mangsa-mangsa banjir ini kepadanya.

“Terima kasih PM. Terima kasih MB,” kedengaran mereka berteriak kegembiraan.

BERCAKAP DENGAN MANGSA BANJIR... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Sri Shahidan Kassim; dan, Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Dato' Wan Adnan Wan Mamat. 


TUNGGU LAPORAN JPS BAGI CADANGAN TEBATAN BANJIR

Dato’ Sri Mohd Najib yang sebelum itu turut melawat ke beberapa tempat ditimpa banjir di daerah Pekan, juga menyebutkan tentang ketidak hadirannya ke sini lebih awal, pada Khamis, 5 Disember lepas.

Ia ekoran KDYMM Sultan Pahang telahpun membuat lawatan Baginda pada hari yang sama, lalu beliau berasa perlu untuk tumpukan lawatan banjirnya ke daerah-daerah seperti Pekan dan Rompin.

Dengan lawatannya petang ini katanya, beliau dapat menyaksikan sendiri ‘betapa besarnya kerugian ditanggung oleh penduduk Sungai Isap ini’ – perkampungan yang dikatakan paling terjejas teruk dengan banjir kali ini.  

Bagi kerja-kerja penebatan banjir (flood mitigation) demi mengelak kejadian banjir seumpama ini berulang atau dikurangkan katanya, beliau akan menunggu laporan yang akan disediakan oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) sebelum membuat apa-apa keputusan tentangnya.

“Kita akan lakukan tindakan supaya bencana ini dapat dielakkan atau dikurangkan kesannya,” katanya lagi.

IN THE DRIVER'S SEAT... Kelihatan Dato' Sri DiRaja Adnan sendiri memandu kenderaan pacuan 4-roda ini, membawa Dato' Sri Mohd Najib meninjau-ninjau kawasan dilanda banjir di sekitar perkampungan ini. 


BANJIR TAK DIDUGA, FAHAM-FAHAMLAH AKAN KESULITAN

Beliau seterusnya mengulangi hakikat betapa banjir besar kali ini ialah akibat daripada turunan hujan yang banyak khususnya antara Isnin, 2 Disember dan Selasa, 3 Disember lepas.

“Jika ada apa-apa kesulitan (yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir) pada awal banjir berlaku, harap faham-fahamlah. Ini tidak diduga,” katanya sambil mengesahkan betapa kesesakan jalan dengan kenderaan mangsa banjir menyebabkan trak tentera ‘3-tonner’pun tidak dapat melepasi untuk membantu mangsa-mangsa tersebut.

“Terima kasih atas ketabahan Tuan-tuan dan Puan-puan. InsyaAllah, akan bangkit daripada musibah ini demi masa depan yang lebih baik lagi,” katanya.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan, yang turut serta dalam lawatan ke perkampungan ini termasuk meninjau benteng yang pecah dekat sini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Sri Shahidan Kassim; 

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail;wakil rakyat, Dato’ Mohd Zaili Besar (BN – Panching); serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. 

KESAN BURUK YANG DITINGGALKAN, MENYAYATKAN JIWA... Ini merupakan pandangan biasa di depan deretan rumah yang dilanda banjir di Perkampungan Sungai Isap ini. 'Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul', dan kita sekadar dapat bersimpati.– Khabar