“Ini hak kita. Ini
kita mesti laksanakan tapi kita tidak nafikan hak kaum lain,” kata Perdana
Menteri tentang perlunya langkah-langkah ‘affirmative’ untuk terus membantu
Melayu, Bumiputera
DATO' SRI MOHD NAJIB... Seperti terpapar pada skrin, semasa menyampaikan penggulungan selama sejam tiga minitnya, petang Sabtu itu.
PUSAT DAGANGAN
DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib
Abdul Razak meminta semua pihak agar tidak bersikap apologetik dalam usaha
membantu Melayu dan Bumiputera menerusi langkah-langkah ‘affirmative’ demi meningkatkan
taraf ekonomi mereka.
Di
sesetengah negara luar katanya, langkah-langkah ‘affirmative’ diperkenal dan
dilaksanakan bagi membantu golongan minoriti, yang merupakan segmen rakyat yang
terpinggir di negara berkenaan.
Ini
menurutnya, ada ditimbulkan semasa beliau ditemubual pada wawancara khas dalam
rancangan terbitan stesen televisyen swasta – Cable News Network (CNN) semasa
beliau berada di London baru-baru ini.
“Di sesetengah negara,
soal ‘affirmative action’ ini (dirangka dan dijruskan) kepada mereka yang minoriti.
(Kerajaan) mereka tak mahu minoriti terpinggir.
“Tapi dalam negara
kita, kalau majoriti (kira-kira 67 peratus rakyat negara ini ialah Melayu dan
Bumiputera) terpinggir, lagi parah keadaannya dalam negara kita. Lebih parah
saya kata.
POTRET LAKARAN, TUJUH NEGARAWAN TERBILANG... Inilah lakaran ketujuh-tujuh tokoh yang pernah mengetuai parti keramat UMNO kita ini - bermula dengan Dato' Onn Jaafar; disusuli Tunku Abdul Rahman Al-Haj kemudian Tun Abdul Razak Hussein; hinggalah kepada Tun Hussein Onn diikuti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi; serta Dato' Sri Mohd Najib.
Potret ini terdapat pada satu sudut dinding di Aras 4, PWTC yang serba-sibuk dengan laluan perwakilan sempena PAU ke-67 ini.
BILA MASA KAUM
LAIN TERBANTUT PERKEMBANGAN MEREKA?
“Sebab itulah
saya kata, demi keadilan sosial, dan kestabilan jangka panjang, orang Melayu
dan Bumiputera mesti ditingkatkan kedudukan mereka. Seimbang, kongsi kekayaan. Itu
dia saya kata. Jangan apologetik. Ini hak kita. Ini kita mesti laksanakan tapi
kita tidak nafikan hak kaum lain,” katanya lagi.
Dato’
Sri Mohd Najib yang juga Presiden UMNO, berkata demikian ketika menggulung
perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke-67 petang Sabtu,
7 Disember di sini.
Penggulungannya
secara luar teks itu, mengambil masa kira-kira sejam tiga minit (63-minit),
bermula pada kira-kira 4.44 petang dan berakhir pada kira-kira 5.47 petang.
Beliau
kemudian bertanya sinis, yang pada setiap kali pertanyaan itu dijawab oleh para
perwakilan yang hadir secara serentak dan berteriak, “Tidak…”
“Bila masa kaum
lain terbantut perkembangan, kedudukan mereka dalam negara kita? Bila masa…?”
KAWASAN LOBI PWTC...
KERAJAAN
PIMPINAN UMNO ADIL KEPADA SEMUA
“Bila masa kita
laksanakan DEB (Dasar Ekonomi Baharu, 1970 – 1990), adakah mereka ini
terpinggir? Adakah rezeki mereka terputus?”.
Dengan
jawapan tidak tersebut, Dato’ Sri Mohd Najib menyimpulkan, “Terbukti bahawa Kerajaan pimpinan UMNO adalah adil kepada semua kaum
di negara ini,” yang disusuli tepukan
oleh para perwakilan sekelian.
“Jangan menuding
dekat kita kata ‘we are racist’lah, inilah, itulah. ‘We are not racist. UMNO
has never been racist. UMNO has always been very fair to all…,” katanya lagi
dan menambah;
“Dan kita nak mereka
bersama-sama dengan kita. Orang Cina, India, Iban, Kadazan semua, sama-sama
dengan kita, ‘move forward together’ tetapi kepimpinan negara ini, terajunya
mesti dipegang oleh parti UMNO ini,” yang diikuti dengan tepukan dan sorakan.
Beliau
seterusnya menyebut tentang komitmennya serta rakan-rakan dalam kepimpinan
Kerajaan dan parti, untuk memastikan agar langkah-langkah meningkatkan taraf
ekonomi Melayu dan Bumiputera dijayakan
termasuk menerusi peranan yang bakal dimainkan secara lebih berkesan oleh syarikat-syarikat
berkaitan Kerajaan (GLC).
KPI DAN ‘SCORE
CARD’ UNTUK PANTAU KETUA-KETUA GLC
Ke
arah itu katanya, beliau telahpun menemui Ketua-ketua Eksekutif bagi kesemua GLC
serta telah menegaskan kepada mereka betapa Agenda Pemerkasaan Bumiputera ia
juga sebahagian daripada Agenda Nasional yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
“Untuk
memperlihatkan kesungguhan kita memantau perkara ini dengan teliti maka kita
akan jadikan ini sebagai KPI (Key Performance Index) pada setiap CEO GLCs dan
saya dan rakan-rakan akan memantau perkara ini.
“(Pada setiap) akhir
tahun, saya nak tengok ‘report card’nya. Saya nak tengok ‘score card’nya. (Jika)
‘score card’nya baik, baiklah, boleh sambung (kontrak sebagai CEO) agaknya…,” katanya tegas.
Dalam
pada itu, beliau membayangkan betapa rakyat sendiri haruslah menghadapi ketidak
selesaan sedikit demi keselesaan jangka masa panjang, berkaitan langkah Kerajaan
merasionalisasikan subsidi yang bernilai kira-kira RM46,000 juta ketika ini.
Antara
tindakan perasionalan subsidi itu ialah dengan menarik balik subsidi ke atas gula
sebanyak 34 sen, selain kelulusan yang Kerajaan berikan kepada Tenaga Nasional
Bhd (TNB) untuk menaikkan kadar tarif elektrik berkuatkuasa 1 Januari depan.
TAKE SHORT TERM
PAINS, GET LONG TERM GAINS
Langkah
itu menurutnya, ialah seumpama ‘take some short term pains, to get long term
gains’ lalu memberikan analogi, “… macam
kalau kita sakit, kita kena makan antibiotik betul tak?
“Kalau makan ‘antibiotik,
kena habiskan ‘course’nya. Kalau seminggu, seminggu(lah ubat antibiotik itu
diambil). Inilah yang saya kata, kalau nak sihat, kita kena perkukuhkan ekonomi
kita. Bila ekonomi kita kukuh, kita boleh beri bantuan lebih lagi pada masa
akan datang.
“Tak apalah, ‘short
term pain’ sikit. Bukannya sakit sangat, tak… Kita jentik sikit sahaja, tapi
kesihatan, insyaAllah, kita akan lebih sihat. Dan insyaAllah, apabila fajar menyinsing
(pada tahun) 2020, kita akan jadi negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.
Dalam
ucapan penggulungannya itu juga, beliau turut mengingatkan tentang betapa
Kerajaan pimpinan UMNO, sentiasa bersungguh-sungguh dalam usaha untuk
meninggikan syiar dan syariat Islam di negara ini.
Betapa
pula pada PAU kali ini, beliau menerima kunjungan tiga (3) tokoh Islam dari
luar negara yang mana ketiga-tiganya pula mengiktiraf UMNO dan Kerajaan yang
dipimpinnya, telah memainkan peranan besar dalam perkembangan Islam.
PENGIKTIRAFAN
TOKOH ISLAM TERHADAP UMNO
Ketiga-tiganya
ialah pemimpin-pemimpin dari kumpulan Fatah dan Hamas dari Negara Palestin yang
bergolak – masing-masing Dr Abdullah Abdullah dan Khaled Mashal, serta, Imam Masjidil
Haram, Mekah, Syeikh Dr Khalid Ali Al-Ghamdi.
“Apa kata Dr
Abdullah? Dia kata Malaysia, ‘under UMNO leadership, is an inspiration to the
Muslim world’,”
katanya yang disusuli tepukan.
Khaled
Mashal pula – pemimpin Hamas yang pernah diracuni pasukan perisikan Mossad yang
di bawah pentadbiran Kerajaan Israel hinggalah diancam oleh Kerajaan Jordan
pimpinan Raja Hussein ketika itu, untuk membatalkan perjanjian damai Jordan-Israel
lalu Kerajaan Israel memberikan ‘antidote’ atau penawar maka sembuhlah Khaled;
“Selama ini dia (Khaled)
akui kepada saya, kami lebih rapat dengan PAS. Kami lebih mengenali PAS. Tapi hari
ini, kami akui bahawa perjuangan UMNO itulah perjuangan yang berada di atas
landasan yang betul,”
kata Dato’ Sri Mohd Najib yang disusuli tepukan.
“Malah dia (Khaled)
kata, Malaysia boleh bangga kerana Malaysia adalah ‘role model’ kepada dunia
Islam.
MAHU UMNO
DAMAIKAN FATAH/HAMAS
“Dua pemimpin
Islam yang bertelagah, yang tak boleh bersama dengan satu sama lain, dua-dua
menghormati kita dan dua-dua kata kalau boleh, dia nak UMNO bantu supaya boleh
damai antara Fatah dan Hamas,” katanya yang sekali lagi disusuli tepukan.
Mengenai
pertemuannya dengan Syeikh Dr Khalid pula katanya, secara di luar jadual, Imam
Masjidil Haram itu telah sudi mengimamkan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman dalam
bangunan PWTC milik UMNO.
“Dan dia (Syeikh
Dr Khalid) puji kita kerana dengan jelas katakan, ‘Sunnah wal Jamaah’ ialah
pegangan keIslaman kita,” katanya sambil menyebut betapa usaha untuk meminda
Fasal 3 (3) dalam perlembagaan parti akan dilaksanakan dengan menggantikan ayat ‘Islam
agama rasmi’ kepada ‘Islam agama Persekutuan dan Islam pegangan Sunnah wal Jamaah’.
Dato’
Sri Mohd Najib seterusnya mengingatkan para perwakilan sekelian betapa mereka
harus sedar bahawa, sepertimana parti-parti politik luar negara seperti Kongres
di India; Liberal Democratic Party (LDP) di Jepun; dan Golongan Karyawan
(Golkar) di Indonesia, parti UMNO juga tidak kebal.
“Kena ubah cara
buat kerja. Tak boleh lagi ‘business as usual’. Jiika kita tak faham ‘the new
environment and the new politics’, kita akan kecundang. Parti UMNO tak kebal
sepertimana (juga dengan) parti-parti Golkar, LDP dan Kongres.
UMNO TIDAK KEBAL
“Kita tak kebal.
Hanya parti yang sanggup berubah ikut tuntutan zaman, menjadikan ia relevan; parti
itu akan terus memegang tampuk kepimpinan negara,” katanya.
Pada
awal penggulungannya, Dato’ Sri Mohd Najib ada berseloroh tentang seorang
Melayu yang tidak memahami Bahasa Inggeris, tetapi berada di kota London lalu
berlakulah perbualan beliau dengan seorang orang putih di sana.
“…dia (orang
Melayu berkenaan) ditanya – sebab nama orang kita panjang, orang putih ini tanya;
‘How do you like to be addressed?
“Dia (orang
Melayu itu) jawab, ‘Bentong, Pahang’,” yang serentak itu menderaikan ketawa,
kerana orang Melayu tersebut tersalah faham kepada soalan yang bertanyakan
bagaimana hendak memanggilnya, dengan alamat rumahnya.
“Itulah
akibatnya, kalau kita tak mahir dalam Bahasa Inggeris.
“Tapi saya
percaya, di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan yang dibawah Tan Sri Muhyiddin,
akan dapat tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris anak-anak kita," kata Dato' Sri Mohd
Najib. – Khabar