Monday, 13 January 2014

Terus akrabnya hubungan Pahang/UAE



… selain meneruskan program penghantaran guru Bahasa Arab UAE ke negeri ini, juga sumbangan USD10 juta bagi pulihkan prasarana asas akibat banjir.

Ini ekoran akrabnya hubungan persahabatan antara KDYTM Tengku Mahkota Pahang dengan Tengku Mahkota Abu Dhabi, UAE

AKRABNYA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bersalaman dengan delegasi dari UAE khususnya Yayasan Khalifa Zayed Al Nahyan, sambil Abdullah Matar (kiri) menyaksikan.


HOTEL HYATT REGENCY, KUANTAN – Keakraban hubungan diplomatik antara negeri Pahang dengan negara Semenanjung Arab – Emiriyah Arab Bersatu (UAE), terserlah lagi.

Selain penerusan program penghantaran guru-guru Bahasa Arab dari UAE – 14 orang guru tersebut berada di sekolah-sekolah agama di seluruh negeri, dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) mengenainya pada pagi Isnin, 13 Januari, di sini;

Kerajaan negara itu juga telah menyatakan komitmen untuk menyumbang kira-kira USD10 juta (RM32.5 juta) bagi membantu negeri ini dalam kerja-kerja membaik-pulih prasarana asas yang rosak akibat bencana banjir baru-baru ini.

Dan ini adalah ekoran akrabnya hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara KDYTM Tengku Mahkota Pahang dengan Tengku Mahkota Abu Dhabi, UAE, Jen Sheikh Mohamad Zayed Al Nahyan.

Perkara-perkara ini dinyatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan antara Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan Yayasan Khalifa Zayed Al Nahyan, UAE.

HUBUNGAN PERIBADI TERJALIN SEKIAN LAMA

Yang turut menyaksikan ialah Duta Besar UAE ke Malaysia, Abdullah Matar Al Mazrouei. Selain itu ialah, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas Khas Negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengarah, JAIP, Dato’ Mohamad Roslan Harun; serta, Naib Presiden, Yayasan Khalifa Zayed Al Nahyan, Mohamed Al Bastaki.

“Hubungan peribadi yang terjalin sejak sekian lama antara KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan Tengku Mahkota Abu Dhabi menyebabkan kerajaan UAE berbesar hati membantu Pahang menangani masalah berkaitan banjir,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Menurutnya, hubungan akrab antara KDYTM Tengku Mahkota Pahang dengan Tengku Mahkota Abu Dhabi itu telah membuka ruang untuk bantuan berkenaan disalurkan demi meringankan beban semua pihak dalam mengharungi bencana banjir yang melanda negeri ini.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan UAE akan menghantar wakilnya dijangka mingggu depan, bagi menilai kerosakan prasarana membabitkan sistem perparitan dan jalan raya, perumahan serta harta benda, sebelum menyalurkan sumbangan berkenaan.

Beliau juga berkata, sumbangan Kerajaan Negeri termasuk berbentuk barangan elektrik seperti televisyen dan peti ais kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini, ditangguhkan berikutan usaha-usaha bagi melengkapkan butiran serta maklumat terkini mengenai mangsa.

… AGAR, TIADA MANGSA BANJIR KETINGGALAN

Ia agar tiada mangsa banjir yang ketinggalan daripada menerima sumbangan-sumbangan berkenaan, katanya.

“Pada awalnya kita hendak bagi semalam dan hari ini, tetapi saya minta tangguh sebab kita hendak siapkan semua dahulu. Kita akan cari tarikh yang sesuai kelak,” katanya lagi. – Khabar