Friday, 13 December 2013

Hanya sebab roti?




… ekoran keluarnya tidak lebih 40 orang - bukan 100, dari parti UMNO, sertai sebuah parti pembangkang


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Hanya kerana tidak mendapat cukup roti daripada petugas pusat pemindahan banjir menyebabkan tidak lebih 40 orang keluar parti UMNO menyertai sebuah parti pembangkang?

Namun, inilah hakikatnya seperti yang didedahkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob ketika ditanya mengenainya, pada persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri petang Jumaat, 13 Disember, di sini.

Pertanyaan menjurus kepada dakwaan sebuah parti pembangkang beberapa hari lepas, kononnya kira-kira 100 orang ahli UMNO di kawasan Tanah Putih Baru dekat sini, menyertai parti itu ekoran tidak puas hati dengan pengendalian urusan banjir di situ baru-baru ini.

“Saya diberitahu oleh pihak PKR sendiripun, yang menghubungi saya dan juga pihak UMNO sendiri. Sebenarnya, bilangan itu tidak sampai 40 orang dan sebab keluar UMNO masuk Pakatan Rakyat ini, minta maaf saya cakap ya, sebabnya roti sahaja, roti.

“Roti itu ada kemudian itu pegawai (petugas di pusat pemindahan mangsa banjir berkenaan) itu mungkin agak ‘strict’ sikit, dia bagilah yang patut-patut. Orang yang berkenaan ini minta lebih, dia (petugas tersebut) tak bagi.

TAK ADA HAL TU…

“Jadi , itu sahaja sebab keluar UMNO ni, mudah sahaja,” kata Menteri Besar yang juga Pengerusi, Perhubungan UMNO Negeri serta juga Pengerusi, Barisan Nasional (BN) Negeri.

“Tak ada hal tu, kita tak ada masalah. Ini cerita sebenar. Dia (yang mengetuai tidak lebih 40 orang itu) keluar sebab tak dapat roti, ha, marah, marah. Betul juga... Kita kena faham juga dia sebab masa itu banjir, dia tertekan, anak-cucu nak makan. Roti ada, orang (petugas tersebut) tak bagi cukup, memang dia marah.

“Tapi orang (petugas) itu tak bagi, ada sebab-sebab dia pula. Mungkin nak bagi orang lain pula,” katanya.

“Dan saya kenal orang ni,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi dan menambah kata betapa, “Dia pernah datang jumpa saya semasa jamuan sebagainya. Orangnya baik tapi hari itu dia ‘fed up’ sangat.” – Khabar