Tuesday, 16 April 2013

Menangi hati rakyat, laksanakan perkara yang tidak sebabkan rakyat benci



Pesanan Menteri Besar sempena majlis pengumuman serta penyerahan watikah bagi calon-calon (BN)

“Salah satu yang menyebabkan rakyat, pengundi benci kepada kita, meluat kepada kita ialah kalau kita menunjukkan sikap takbur, sombong, berlagak, bergaya, kitalah yang pandai…

“Yang lebih rakyat marah ialah kalau kita bergaduh sesama sendiri.

“Oleh sebab itu, untuk kita menang hati rakyat ini, kita kena melaksanakan beberapa perkara supaya rakyat tidak menaruh kebencian kepada kita. Jangan kita berlagak, jangan kita menunjuk-nunjuk, dan yang pentingnya, jangan kita berkelahi sesama sendiri”

'TOK NAN' BERPESAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang meneliti notanya, semasa menyampaikan ucapan luar teks 17-minitnya pada majlis tengah hari Selasa itu. 


NOTA EDITOR ;

Berikut disiarkan sepenuhnya, ucapan luar teks Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sempena Majlis Pengumuman serta Penyerahan Watikah bagi calon-calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13), pada tengah hari Selasa, 16 April di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Kuantan.

Selepas ucapan 17-minit ini, beliau meluangkan masa kira-kira 28-minit lagi bagi mengumumkan senarai calon 14 bagi Parlimen dan 42 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, serta menyampaikan watikah kepada mereka.


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Assalamumualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia.

Kita bersyukur kepada Allah pada hari ini, kerana Barisan Nasional dapat mengadakan majlis pengumuman senarai calon dan juga penyampaian watikah kepada calon-calon.

Kita bersyukur kerana kita dapat menjalankan majlis ini dalam keadaan aman dan tenteram. Saya ingin mengingatkan, majlis ini bukan bertujuan untuk kita mengadakan pertandingan untuk mencari ratu cantik, atau, ini bukan majlis untuk main-main dan ianya bukan majlis untuk suka-suka.

Kita kena ingat, rakyat memerhati. Maknanya, sesiap yang terpilih, janganlah ghairah sangat. Beban menanti. Siapa yang belum terpilih, jika ingin dipilih nanti, sabar-sabar. Tunjukkan bukti, bekerja.

Tetapi kita harus ingat, proses pilihanraya ini adalah satu proses yang penting kerana ia akan menentukan corak Kerajaan yang akan dipilih oleh rakyat untuk mentadbirkan urusan negara.

KHALAYAK BN TENGAH HARI SELASA ITU... 


DASAR-DASAR YANG BERI FAEDAH KEPADA RAKYAT

Buat masa ini, kita yakin dan penuh percaya dengan kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Hj Abdul Razak. InsyaAllah, negara akan dapat memacu segala kemajuan dalam banyak aspek bagi bersaing dalam dunia serba global ini.

Dalam tempoh empat tahun sahaja YAB menjadi Perdana Menteri, kita telah dapat lihat kerangka dasar yang besar-besar yang telah dicipta semata-mata untuk merobah, men‘transform’kan negara kita ini ke arah satu keadaan yang lebih gemilang lagi.

Dari segi pelaksanaan, kita telah dapat lihat, bagaimana dasar-dasar yang diutarakan oleh YAB Perdana Menteri, telah memberikan faedah kepada rakyat.

Saya tahu, YAB Perdana Menteri adalah seorang yang berdisiplin, penuh sistematik, banyak idea dan yang penting ialah, dapat menterjemahkan idea itu kepada satu kerangka besar dan kemudian melaksanakan dalam bentuk program-program yang memberi faedah kepada rakyat dan negara.

Untuk itu, kita mesti lekatkan dan sematkan dalam hati bahawa inilah sebuah Kerajaan, inilah seorang pemimpin yang kita wajib beri sokongan (disusuli tepukan oleh khalayak yang hadir).

MENTERI BESAR BERSAMA MUKA-MUKA BAHARU... Dato' Sri DiRaja Adnan dihampiri oleh muka-muka baharu calon BN kita, bagi mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberkan. 


‘MOTHER OF ALL BATTLES’

Dan dalam hubungan ini, kita juga harus mengenepikan kepentingan peribadi. Kita tidak boleh menganggap bahawa kepentingan perbadi kita mengatasi segala-galanya sehingga kita boleh mewujudkan satu suasana yang tidak selesa dan tidak stabil untuk parti, terutamanya pucuk pimpinan parti, memandu kita menghadapi piliahnaraya yang mencabar ini.

Sewaktu ditanya oleh seorang wartawan – saya percaya wartawan asing; kononnya pilihanraya ini ialah ‘mother of all battles’, ibu kepada segala peperangan, Perdana Menteri telah mengatakan, kalau ianya merujuk kepada akan timbul suasana kekacauan sebagainya, Perdana Menteri kata tidak.

Tapi kalau merujuk bahawa pilihanraya ini sangat sengit bagi parti pemerintah yakni Barisan Nasional mempertahankan, maka beliau mengakui ya, memang sengit. Tetapi beliau telah menyatakan keyakinan bahawa insyaAllah, Barisan Nasional boleh uruskan ini dengan sokongan rakyat (disusuli tepukan lagi).

Barisan Nasional wajib menang. Wajib menang bukan kerana apa, kita yakin bahawa Barisan Nasional boleh jadi satu Kerajaan yang sangat baik dan akan melakukan keadilan dan kesaksamaan untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Kita juga harus ingat bahawa, menukar Kerajaan bukan seperti menukar barangan – menukar baju, menukar seluar, menukar kamera, menukar kereta. Hanya Kerajaan yang zalim sahaja patut ditukar.

MUKA BAHARU TEMUI MEDIA... Calon BN muka baharu bagi Parlimen Kuantan, Dato' Sufian Awang yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, sedang memberikan ulasannya kepada media. 


KEKUATAN KITA MELEBIH KELEMAHAN

Tetapi Kerajaan Barisan Nasional sejak Merdeka sampai sekarang, dahulunya Perkatan; telah menunjukkan bahawa kita menjaga semua (tepukan lagi). Dan dalam proses itu, kita tahu, ada kelemahan tetapi bila dikaji kesemuanya, kekuatan kita melebihi segala kelemahan yang ada.

Dan kelemahan inipun insyaAllahnya, akan dapat kita atasi melalui konsep, semangat Barisan Nasional iaitu kita bersatu-padu, berbincang dalam satu keadaan yang penuh muhibbah dan melaksanakan segala yang dibincangkan itu untuk semua.

Ini kita boleh dapat lihat seperti apa yang telah dilakukan oleh YAB Perdana Menteri. Jika saya ambil contoh, pemberian geran kepada sekolah-sekolah. Kalau kita lihat Bajet 2013 yang dibentangkan pada tahun 2012, semua sekolah – sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan Cina, jenis kebangsaan Tamil, ‘mission school’, sekolah ugama; semuanya diberikan peruntukan, untuk menggambarkan bahawa kita adalah adil dan saksama.

Keadilan dan kesaksamaan ini akan boleh diterjemahkan lagi jika kita terus diberikan mandat oleh rakyat. Untuk mendapat mandat maka kita kena menang. Untuk kita menang, kita kena tawan hati dan jiwa rakyat.

Salah satu yang menyebabkan rakyat, pengundi benci kepada kita, meluat kepada kita ialah kalau kita menunjukkan sikap takbur, sombong, berlagak, bergaya, kitalah yang pandai… Yang lebih rakyat marah ialah kalau kita bergaduh sesama sendiri.

MENERUSKAN 'LEGACY' CEMERLANG ARWAH DATO' TAN AMINUDDIN... Seorang lagi muka baharu - Encik Mohd Ariffin Awang Ismail yang bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri kawasan Chenur tinggalan arwah, Dato' Tan Aminuddin Ishak; sedang menerima watikah daripada Dato' Sri DiRaja Adnan. 
  

JANGAN  BERKELAHI SESAMA SENDIRI

Oleh sebab itu, untuk kita menang hati rakyat ini, kita kena melaksanakan beberapa perkara supaya rakyat tidak menaruh kebencian kepada kita. Jangan kita berlagak, jangan kita menunjuk-nunjuk dan yang pentingnya, jangan kita berkelahi sesama sendiri.

Kita boleh lihat bagaimana parti-parti pembangkang yang berkelahi sesama sendiri, satu tempat mengumumkan tiga-empat calon yang berlainan; ianya menimbulkan kebencian kepada rakyat.

Saya tidak percaya kekuatan kita bergantung kepada kelemahan pembangkang. Kalau pembangkang bergaduh, ha itu kekuatan kita, tidak... Kekuatan kita bukan bergantung kepada kekuatan orang, jauh sekali bergantung kepada kelemahan orang lain.

Tetapi, kekuatan kita dijanakan oleh kita sendiri. Kita boleh memilih untuk kuat atau kita lemah (khalayak bertepuk lagi).  

Oleh sebab itu, tuan-tuan dan puan-puan, saudara-saudari sekelian, saat ini ialah saat yang boleh menimbulkan semangat, tetapi kita juga mengenangkan ada kawan-kawan kita yang telahpun dapat peluang  - ada sepengal, ada dua penggal, ada tiga penggal, ada empat penggal, ada lima penggal, ada tujuh penggal; yang terpaksa tidak dipilih lagi.

PANGKAT YANG TIDAK LAGI DIHORMATI?

Memanglah, bukanlah senang untuk kita melepaskan jawatan. Alangkan Pengerusi JKKK yang ada ahli 10 orangpun kita berasa segan untuk melepaskan jawatan, inilah pula satu kedudukan yang kononnya Yang Berhormat.

Tapi saudari-saudari sekelian kita kena ingat, nilai maruah, nilai harga diri, nilai wakil rakyat sekarang begitu rendah sekali. Orang tak ‘respect’ lagi dah. Bukan macam dulu.

Kita sebut sahaja – Pak Haji?, Pak Lebai? Guru? Professor? Doktor? ‘Lawyer’? ‘Engineer’? YB-YB?, Dato’-Dato’?, Datin-Datin?, – semuanya sangat dihormati dulu tetapi sebagaimana nilai duit yang semakin jauh semakin turun jika dibandingkan dengan dahulu, begitu jugalah nilai harga diri.

Janganlah ingat dengan ‘title’ YB tu, kita boleh bawa ke mana-mana, jangan…. Lagi YB lagi banyak (yang kena) ‘declare bankrupt’. Lagi YB lagi banyak yang kena saman. Kita kena ingat ini semua.

Saya menganggap, saudara-saudari seperti saya pagi ini. Kita terima semua ini dengan penuh kusyuk, tawadduk, bahawa ini ketentuan Allah SWT.

SEBAK KENANGKAN RAKAN YANG DIGUGURKAN

Saya mengambil masa sedikit kerana malam tadi saya menyelesaikan beberapa hal berkaitan komponen parti, sampai pukul 3 pagi.

Dan pagi tadi, saya menghubungi dan berjumpa dengan kawan-kawan, rakan-rakan (mulai sebak), yang terpaksa saya bagi tahu yang mereka tidak bertanding lagi. Bukan senang kerja ni (terketar-ketar suara kerana sebak). Ini kita memilih orang, kita memberitahu orang.

(Cuba) kita rasakan kalau kita pula diberitahu orang. Tapi saya fikir balik semula, dari susah-payah saya memilih orang, dengan susah payah saya kena pilih; biarlah saya memilih orang daripada kena pilih.

Kerana, saya cuba jalankan tugas ini dengan sebaik-baik mungkin. Bahkan pada peringkat pemilihan calon, saya telah mencuba sedaya-upaya supaya tidak adapun yang diganti.

Proses pemilihan ini berjalan empat kali. Kali pertama, kali kedua, kali ketiga, kali keempat. Kali pertama, kali ketiga (tiada perubahan, tetapi) kali ketiga, ada perubahan. Kali keempatpun ada perubahan.

‘KADAR-KADARLAH KE DIRI, INSAFLAH…’

Kepada rakan-rakan yang telahpun berkhidmat, (tetapi) tidak lagi bertanding, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka (sebak lagi, disusuli tepukan leh khalayak).

Dan kita kena ingat, yang bertanding pada hari ini (setelah) dipilih, belum tentu menang. Dan kalau menang, jangan lupa, kita akan jadi juga (sepertimana) nasib kawan-kawan kita yang mungkin penggal akan datang, kita dipanggil untuk diberitahu bahawa kita tidak bertanding.

Bermakna, kadar-kadarlah ke diri. Insaflah diri. Cermin diri. Sukat diri elok-elok. (khalayak bertepuk). Yang sudah bertanding, tidak dipilih; mereka patut berpuas hati ada jasa rakyat, ada jasa parti kepada mereka. Dan ada jasa mereka kepada parti.

Tetapi bagi orang yang sudahpun berkhidmat ini, insyaAllah, kita tidak akan lupakan mereka.

Tetapi bagi diri saya, kalau saya tidak bertanding, kalau saya bersara, saya tidak akan katakan bahawa saya banyak jasa kepada parti. Tapi, jasa parti kepada saya lebih banyak. (disusuli tepukan lagi).

JANGAN LARI DARI RAKYAT

Yang baru kalau terpilih, kerjalah kuat-kuat. Aturlah program. Dengan rakyat ni mudah sahaja. Kenduri-kendara pergi. Sakit-demam pergi. Boleh tolong, tolong. Kalau tak boleh tolong, panjangkan kepada Kerajaan, terutama (yang berkenaan) peruntukan.

Jangan kita lari dari rakyat. Pilihanraya kita jumpa rakyat, lepas pilihanraya kita lari dari rakyat, ini sesuatu yang tidak patut.

Kalau kita boleh kekalkan sebagaimana (semasa) pilihanraya kita mendekati rakyat dan ini berkekalan sepanjang pentadbiran, pengurusan ataupun perkhidmatan kita, insyaAlah, parti kita tak akan jadi kalah sampai bila-bila (tepukan lagi).

Jangan ingat nak kaya, jangan ingat nak selesa. Kita harus ingat, wakil-wakil rakyat ni bukan semua yang akan jadi ahli Kerajaan. Ahli Kerajaan maknanya Menteri, Exco; sebahagian besar akan menjadi ‘backbenchers’, penyokong kerajaan. Yang ini mengendalikan rakyat.

Bagi yang belum tetapi berminat, bekerja, bersabar. Berserahlah kepada Allah. Tetapi ingat, kadang-kadang yang Allah Taala kurnia kepada kita, apa juga bentuknya, itulah yang terbaik.

SAMA-SAMA BEKERJA MENANGKAN PARTI

Kalau Allah kurnia kepada kita untuk kita berhenti jadi wakil rakyat, itulah terbaik untuk kita, kita kena ingat. Mungkin kalau kita terus jadi wakil rakyat, macam-macam perkara lain pula akan timbul.

Oleh sebab itu, tak usahlah meminta beriya sangat. Tidak ada orang yang buat ‘application’ untuk jadi wakil rakyat, untuk jadi Exco, jadi Menteri, Menteri Besar; tak dak. Ini semua ketentuan Allah.

Dalam kempen ini saya berharap, yang terpilih, yang tidak terpilih, sama-samalah bekerja menangkan parti.

Percayalah, satu masa nanti, ada cara yang kita tak tahu, Allah Ta‘ala akan atur mungkin untuk kita. Jangan lupa, ini mungkin bukan masa kita. (Tapi) satu masa, mungkin anak kita.

Ini berlaku pada diri saya. Walaupun arwah ayah saya Setiausaha UMNO Bahagian (Bentong) bertahun-tahun, akhirnya anak dia jadi wakil rakyat.

RAKYAT AKAN BERI KEPERCAYAAN KEPADA BN  

Saya harap kita bekerja sama-sama. Soal lain kita bincangkan antara calon-calon dengan saya, bagaimana bergerak sebagainya. Yang penting, kita dahulukan parti daripada segala-galanya.

Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir. Itulah pesanan saya secara ringkas. Dan kita berharap Allah Taala akan beri kekuatan kepada kita , melindungi kita setiap masa, dan berusahalah untuk kita menangi hati dan jiwa rakyat.

InsyaAllah, rakyat akan pilih kita. Bila pilih kita bermakna, memilih part kita. Memilih parti kita bemakna memilih kita.

Oleh sebab itu, bekerja bersungguh-sungguh, ada masalah cuba selesaikan dan saya percaya dan yakin, di negeri Pahang ini insyaAllah, rakyat akan beri kepercayaan kepada Barisan Nasional (disambut tepukan).

Tolong petik kata-kata saya dengan tepat ya. Saya tidak kata kita akan sapu bersih, tidak. Saya katakan bahawa rakyat, pengundi negeri Pahang akan beri kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk memenangai kesemua 14 kerusi parlimen (tepukan gemuruh oleh khalayak).

MAAF KEPADA YANG KECEWA, JANGAN MARAH  

Dan kita juga insyaAllah, Allah Taala akan gerakkan hati rakyat untuk memilih kita memenangi bilangan besar dalam Dewan Undangan Negeri.

Bersama-sama kita berdoa kepada Allah, insyaAllah, kita jumpa lagi. Ini kali keempat saya memberikan watikah. Kali keempat saya terlibat memilih calon. Tapi saya beritahu, dari zaman Tun Mahathir, Tun Abdullah, kita hanya dipanggil sekali, semua selesai.

Tetapi, tidak dengan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Hj Abdul Razak, yang memang-memang teliti sehingga saya sendiri terlibat empat kali.

Sekian sahajalah, saya ucapkan terima kasih. Saya minta maaf kepada semua terutama yang berasa kecewa dan sebagainya, janganlah marah kepada saya. Anggap sebagai satu-satu yang baik untuk kita semua.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. – Khabar