… maka, Kerajaan
sama yang ada, pimpinan Barisan Nasional (BN) ini, tidak perlu diubah seperti
yang dicita-cita dan dicanangkan oleh pihak pembangkang
KAD PENGENALAN BAHARU BUAT MENTERI BESAR... Dato' Sri Mohd Najib riang ketawa apabila beliau menyampaikan kad pengenalan yang diperbaharui oleh Dato' Sri DiRaja Adnan, di ruang pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam bangunan UTC Pahang ini. Yang turut kelihatan ialah Datin Sri DiRaja Junaini.
DATARAN UTC
PAHANG, JALAN STADIUM, KUANTAN – Perubahan besar terbukti berlaku di
negara ini ketika ini, hasil usaha Kerajaan sama yang ada, pimpinan Barisan
Nasional (BN).
Oleh
itulah menurut Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, Kerajaan sama
yang ada ini, tidak perlu diubah sepertimana kehendak dan dicanangkan oleh
puak-puak pembangkang.
“… saya nak
nyatakan dalam majlis ini, Kerajaan pimpinan Barisan Nasional telah terbukti
selama empat tahun ini bahawa, perubahan yang besar mam…pu diusahakan oleh
kita, tanpa perubahan Kerajaan,” katanya dalam ucapan luar teks
17-minitnya merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang pagi Khamis, 11
April di sini.
“Jadi, kalau
orang kata, canang sana-sini nak perubahan, (kononnya) Kerajaan mesti diubah
kepada yang baru; ini tidak semestinya, sebab apa…? Sebab Kerajaan hari ini
telah membuktikan bahawa perubahan yang besar boleh berlaku kepada negara kita
dengan Kerajaan yang sama, yang ada pada hari ini.
“Kalau kita
tidak melakukan perubahan, saya tak berani bercakap sedemikian. Saya tidak mahu
bohong kepada rakyat,” katanya sambil memberi contoh kejayaan mewujudkan
UTC dan pula pertumbuhan ekonomi negara tahun
sudah, lebih tinggi iaitu 5.6 peratus berbanding unjuran oleh Bank Dunia pada 4.5
peratus.
KEMESRAAN YANG TERSERLAH... Dato' Sri Mohd Najib mungkin berkata sesuatu yang melucukan hingga beliau bersama-sama Dato' Sri DiRaja Adnan dan Datin Sri DiRaja Junaini, tersenyum riang. Foto dirakam semasa kenamaan masih berada di atas pentas pada majlis perasmian ini.
BR1M 3,4, 5 AKAN
DILANCAR
“Orang tak
percaya kita boleh bagi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) kepada rakyat – BR1M 1,
BR1M 2, dan insya-Allah, BR1M 3, 4, 5 akan kita lancar,” katanya lagi
yang dituruti secara serentak, sorakan dan tepukan oleh kira-kira 30,000
khalayak yang hadir pada majlis pagi Khamis ini.
Menurutnya,
perubahan sebenar memang sedang berlaku di negara ini; “Orang putih kata, ‘real change and real progress is taking place in
Malaysia’. Oleh itu, tak timbul sama sekali, kita perlu mengubah Kerajaan. Sebab
yang penting, bukan mengubah Kerajaan, yang penting ialah perubahan untuk
kesejahteraan rakyat”.
Sehubungan
itu, beliau berharap rakyat dapat menilai kemampuan dan keberkesanan Kerajaan
yang ada berdasarkan perubahan yang telah diusahakan, yang membawa manfaat
kepada rakyat juga.
“Dan inilah mesej
utama, tak payah saya cakap perkara lain,” katanya lagi.
Dato’
Sri Mohd Najib seterusnya menempelak pihak pembangkang yang membuat gesaan
supaya membuat perubahan kepada Kerajaan yang ada ini, sambil mempersoalkan kemampuan mereka sendiri untuk membawa
perubahan kepada negara.
KHIDMAT KAUNTER RUANG PEJABAT MPK... Dato' Sri Mohd Najib yang turut sempat menjengah ke ruang pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), menanyakan sesuatu pada borang yang disediakan di kaunter berkenaan. Yang turut kelihatan di belakang ialah, Yang Dipertua MPK, Dato' Zulkifli Yaakob.
KARAM, JIKA SATU
KAPAL TIGA NAKHODA
“… macam mana
dia nak bawa perubahan kalaulah dalam satu kumpulan itu (dalam Pakatan Rakyat) ada
tiga nakhoda. Cuba bayangkan sebuah kapal ada tiga nakhoda. Apa nasib kepada
kapal tu?
“Apa dia?” tanya beliau
kepada khalayak yang secara spontan menjawab, “Karam…”.
“Karam… orang
Pahangpun dah faham, karam dia sebut. Orang Pekan sebut, mengkarak…,” katanya,
disusuli ketawa oleh khalayak sekelian.
Beliau
turut berkata, betapa pengalaman dan ‘track record’ perlu diambil kira dalam
penilaian rakyat untuk memberikan kepercayaan kepada mana-mana pihak untuk menerajui
negara.
“Lebih-lebih
lagi waktu dalam Kerajaan dulu. Apa dia buat? Apa hasil dia dalam Kerajaan ? Bagaimana
bila dia berdepan dengan krisis? Macam mana nilai kepimpinan dia? Itulah patut
kita kaji, ”
katanya, tidak menamakan sesiapa tetapi difahami umum yang menjurus kepada seorang
pemimpin parti pembangkang.
Dalam
peringkat awal ucapannya, Dato’ Sri Mohd Najib menggariskan tiga (3) kriteria utama
yang harus ada, dalam usaha mewujudkan UTC, dan juga Pusat Transformasi Luar
Bandar (RTC) di negara ini.
PERDANA MENTERI DALAM KHALAYAK 30,000 ORANG...
KOS UTC PAHANG
PAHANG CUMA RM37 JUTA
Ketiga-tiganya
ialah; pelaksanaannya mesti pantas, lalu mengucapkan tahniah kepada Kerajaan
Negeri dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan kerana dapat menyiapkan projek UTC
Pahang dalam tempoh cuma lima (5) minggu.
Kedua,
ia mesti merupakan projek atau program yang dapat dilaksanakan dengan perbelanjaan
paling minima dan kos yang dibelanjakan untuk pengwujudan UTC Pahang ialah RM37
juta sahaja.
Dan
ketiga, ia perlu beri kesan yang besar kepada rakyat misalnya, UTC Pahang memberi kemudahan
kepada rakyat untuk berurusan dengan jabatan dan agensi tertentu dengan
pembukaannya tujuh (7) hari seminggu dari 8.30 pagi hingga 10 malam.
“Saya dah pergi
banyak negara dan saya berani bertanya, adakah mana-mana negara di dunia yang
menyediakan perkhidmatan seperti ini untuk kesejahteraan rakyat, dari pukul
8.30 pagi sampai pukul 10 malam tiap-tiap hari?
“Tuan-tuan…, tak
ada negara lain di dunia macam mana yang kita lakukan di Malaysia ni. Ini belum
sebut lagi, ‘amende’ yang ada di dalam tu. Ini orang Pahang sebut amende ni.
Apa benda maknanyalah.
DARI PENUNGGANG VESPA KE 'SUPERBIKE'... Dato' Sri DiRaja Adnan yang sememangnya terkenal sebagai peminat nombor satu motosikal 'vespa', telah sempat singgah ke ruang pejabat Pahang All Bikers Club serta bergaya di atas motosikal 'superbike' ini.
MACAM-MACAM ADA
DI UTC PAHANG
“Macam-macam
benda ada dalam UTC ni. Macam Dato’ Nan sebut tadi, dari segi perkhidmatan Kerajaan,
pusat dan negeri, swasta, NGO (Pertubuhan bukan kerajaan),” katanya yang
selain itu ialah ‘gymnasium’, dan gelanggang memanah.
Begitu
juga 55 buah gerai manakala di bahagian luar di Dataran UTC ini turut
disediakan ialah sebuah gelanggang futsal serta 380 petak pasar tani yang akan
beroperasi tiga (3) kali seminggu.
Antara
yang turut hadir pada majlis pelancaran ini ialah Menteri Besar, Dato’ Sri
DiRaja Adnan Yaakob dan isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri
Yaakob; Dato’ Sri Jamaluddin Jarjis; bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’
Sri Wan Razali Wan Mahussin;
Ketua
Setiausaha Negara, Dato Sri Ali Hamsa; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian
Kewangan, Dato’ Sri Dr Irwan Siregar Abdullah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’
Sri Muhammad Safian Ismail; serta para kenamaan, ketua-ketua jabatan Kerajaan
Negeri dan Persekutuan. – Khabar