Saturday, 8 March 2014

"Apa yang salah di alam nyata, juga salah di alam maya"


… ingatan terhadap pencebur media sosial khususnya yang asyik bertohmah berkaitan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370




Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – “Apa yang salah di alam nyata, juga salah di alam maya,” demikian kata-kata Pengarah Kanan Komunikasi Strategik, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Sheikh Raffie Abdul Rahman dalam temubual menerusi telefeon secara ‘live’ dengan sebuah stesen televisyen swasta pagi Ahad, 9 Mac.

Dan penulis mohon ‘re-phrase’ kata-kata itu dengan sedikit tambahan; “… yang akan turut dipersoalkan di alam baqa”.

Ingatan sebegini tentu bertepatan sekali ekoran keghairahan beberapa pencebur media sosial yang tidak bertanggungjawab, sehingga sanggup menyiarkan kata-kata tohmahan berkaitan insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370, Kuala Lumpur-Beijing, sejak awal pagi Sabtu, 8 Mac.

Begitulah teruk tohmahan tersebut seolah-olah tiada pertimbangan yang bersandarkan naluri kemanusiaan yang normal dalam jiwa-raga mereka.

Sungguhpun begitu penulis percaya, mereka tidaklah ramai – segelintir cuma. Yang majoriti masih waras, lalu setia menantikan setiap laporan sahih tentang insiden yang dialami, melibatkan kira-kira 227 penumpang dan 12 anggota kru di atasnya.

Dan kita terus berdoa untuk mereka. 

'LOWWWW CLASSSS'... Ini antara kata-kata tohmah dan nista yang tersiar dalam alam maya kita. Meminjam dialog dalam filem Masam-masam Manis arahan P.Ramlee, kita boleh kata kepada pencebur media sosial sebegini - 'Lowwww Classss". – Khabar