Wednesday, 12 March 2014

MAWILLA 1 Tanjung Gelang, sedia jadi markas operasi menyelamat


… jika ada nanti kerja-kerja menyelamat babitkan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang. 


TANDA SIMPATI DAN AMBIL BERATNYA KITA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menurunkan tanda tangannya pada 'white board' yang disediakan oleh Kolej Antarabangsa IKIP dan diletakkan di depan pintu masuk utama Kompleks Yayasan Pahang, untuk ditanda tangani oleh pelawat sekelian. 
 


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Markas Wialayah Laut (MAWILLA) 1, Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di Tanjung Gelang dekat sini, akan dijadikan markas operasi bagi kerja-kerja menyelamat berkaitan insiden pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang.

“Saya tidak mahu menimbulkan kekeliruan dengan menambah, membuat kenyataan tetapi, Markas Wilayah Laut (MAWILLA) 1 di Tanjung Gelang, akan dijadikan markas operasi jika ada kerja-kerja menyelamat yang akan dilaksanakan dan perlu mengangkut peralatan ataupun barang mereka yang dijumpai terselamat sebagainya.

“Saya telahpun beritahu Laksamana Muda Dato’ Azhari, kita bersedia untuk membantu. Kerajaan Negeri bersedia untuk membantu,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media sempena Majlis Pelancaran Program Jelajah Informasi Usahawan Negeri Pahang yang disempurnakannya petang Rabu, 12 Mac di sini.

Laksamana Muda Dato’ Azhari Abdul Rashid ialah Panglima, MAWILLA 1.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan wartawan tentang peranan yang mungkin diberikan kepada negeri ini khususnya MAWILLA 1, dalam menghadapi operasi menyelamat berkaitan dengan insiden kehilangan Penerbangan Malaysia MH370 itu.  


BERPERSIDANGAN MEDIA... Dato' Roslan (kanan sekali) turut serta pada persidangan petang Rabu ini.



ZIARAH BAGI ZAHIRKAN SIMPATI

Ketika ditanya pula tentang dirinya yang dilihat berada di sebuah hotel di Putrajaya – Hotel Everly, yang menempatkan waris-waris kepada penumpang pesawat MH370 itu petang semalam katanya;

“Saya pergi ke Everly Hotel sebab pertamanya, rasa simpati sesama manusia. Dan yang keduanya, ada kawan dengan adik saya, ada ayahnya pernah menjadi jurutera daerah Lipis, ada yang kawan dengan anak saudara saya,

“… dan ada juga yang kawan dengan saya, sebagai contohnya Saudara Selamat Omar, adalah ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh satu masa dulu, ahli
jawatankuasa Bahagian Bera.

“Saya kenal beliau dan beliau menunggu berita mengenai anaknya, jurutera MAS, yang dijangka ke China untuk membaiki pesawat di sana. Itu sebab saya pergi, untuk menunjukkan rasa simpati,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi, Barisan Nasional (BN) Negeri serta Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, turut ditanya mengenai bantuan yang akan dihulurkan bagi membantu BN dalam kempen Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Kajang.  


AKAN TURUT KE KAJANG 

UMNO Pahang katanya, telahpun menghantar kumpulan pemimpin dan ahli-ahli parti kira-kira 200 orang kebanyakannya dari sayap Pergerakan Wanita dan Pemuda, untuk
membantu dalam kempen BN di sana,

“Malam tadipun sebagai contohnya, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Sharkar (Shamsuddin) telahpun berceramah dalam satu ceramah.

“Saya akan ke sana dalam sehari-dua lagi untuk menyelia, memantau dan melibatkan diri dalam kempen di sana nanti, InsyaAllah,” katanya. – Khabar