Sunday, 3 December 2017

Encik Zamri – daripada pegawai ‘procurement’ kepada pengeluar anak benih durian Musang King antara terbesar negara

POSE ENCIK ZAMRI DI DEPAN MERCU TANDA LADANGNYA...   



NOTA EDITOR;

Berikut ialah artikel mengenai Zamri Agro Farm hasil temubual Editor Eksekutif, Khabar Pahang dengan pemiliknya, Encik Zamri Othman pada Khamis, 26 Oktober lepas. 

Artikel ini ialah untuk siaran dalam ruangan Tekad, Kudrat & Iradat majalah Khabar Pahang versi cetak Bil 25 Tahun 19 Tahun 2017 yang kini dalam proses penerbitan, yang dijangka siap untuk edaran oleh Jabatan Penerangan Negeri pada hujung bulan/tahun ini.

Sama-samalah kita mengikutinya serta mengambil pengajaran mana-mana yang patut daripadanya, insyaAllah.  


ZAMRI AGRO FARM, KAMPUNG PADANG FREE, PAMAH RAWAS, MUKIM HULU DONG, RAUB – Siapa sangka? Daripada seorang pegawai ‘procurement’ atau pemerolehan di sebuah syarikat di Shah Alam, Selangor, kini ialah pengusaha dan pengeluar anak benih durian Musang King antara terbesar di negara ini. 

Jumlah pengeluaran kini ialah 30,000 anak benih yang mahu ditingkatkan menjadi 120,000 anak benih atau lebih empat (4) kali ganda daripada asal, pada tahun depan (2018). 

Dan anak benih-anak benih ini telah diiktiraf oleh Jabatan Pertanian sebagai yang asli – klon D197 atau Musang King atau dulunya lebih dikenali sebagai Raja Kunyit; hasil cantuman antara pokok induk klon sama dengan durian kampung. 

Inilah orangnya, Encik Zamri Othman, anak tempatan berusia 42 tahun, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan daripada Universiti e Asia (AeU), Kuala Lumpur, yang sanggup tinggal di sini berjauhan daripada isteri di Shah Alam, demi menjayakan pengusahaannya. 

Dan atas tekad dan kudratnya itu serta beberapa lagi usaha pertaniannya, beliau telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Peladang Jaya Lelaki sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) Negeri 2017 pada Mei lepas.

ANAK BENIH MUSANG KING...


KELUAR WANG SIMPANAN BELI TANAH

“Sejak berhenti kerja tahun 2014 (selepas 20 tahun berkhidmat dengan syarikat berkenaan), di sinilah tempat saya,” kata Encik Zamri pada temubual dengan penulis pada tengah hari Khamis, 26 Oktober di sini. 

Setahun sebelum itu lagi (2013), Encik Zamri sudah menunjukkan hasratnya ke arah itu dengan mengeluarkan RM80,000 wang simpanannya, membeli tanah tiga-setengah (3 ½) ekar bersebelahan tanah 3 ½ ekar lagi milik keluarga, menjadikan keluasan keseluruhannya, tujuh (7) ekar, di sini. 

Matlamat utamanya ketika itu ialah untuk menanam pokok durian Musang King, sejajar dengan kesesuaian tanah di sini apatah pula daerah Raub memang sudah terkenal dengan penghasilan buah durian klon tersebut. 

Beliaupun membeli kira-kira 200 anak pokok durian, RM70 seanak pokok – 197 daripadanya sahaja merupakan klon Musang King manakala selebihnya, satu (1) klon IOI dan dua (2) lagi klon Duri Hitam; kemudian menanamnya.

Kepada anak muda lepasan pengajian pengurusan yang pernah pula terlibat dengan kerja-kerja pemerolehan di tempat kerjanya sebelum ini; membeli dan menanam mungkin satu perkara yang boleh dikatakan tidak susah, tetapi; 

TANDA PENGESAHAN OLEH JABATAN PERTANIAN... Inilah pokok Musang King yang daripadanya dicantumkan bagi menghasilkan anak benih Musang King yang sejati.  

TAK BOLEH AMALKAN 3T – TEBANG, TEBAS, TINGGAL

“… untuk menjaganya, satu perkara lain. Ia perlukan pengetahaun serta penjagaan yang baik khususnya membaja. Kita tak boleh amalkan 3T – tebang, tebas, tinggal,” kata Encik Zamri tentang pengalaman awalnya menanam dan menjagai anak pokok durian ini. 

Oleh kerana kegigihan dan menerusi katanya, ‘penjagaan cantik dan rapi’, hanya selepas tiga (3) tahun lima (5) bulan, pokok-pokok duriannya ini telahpun mengeluarkan hasil yang diharap-harapkan. 

Dalam pada itupun, sepertimana beliau gigih mempelajari secara ‘informal’ kaedah-kaedah terbaik menanam dan menjagai pokok durian, Encik Zamri cuba melakukan yang sama untuk menghasilkan anak-anak benihnya pula. 

Di sinilah beliau menghadapi cabaran besar – lokek ilmu! Hampir tidak ada sesiapapun yang mempunyai ilmu tersebut khususnya dalam kalangan pengusaha anak benih-anak benih durian Musang King yang ditemui, sanggup berkongsi ilmu tersebut dengannya. 

“Terpaksalah saya gagahkan diri, cuba hasilkan anak benih-anak benih ini menerusi ‘trial and error’,” katanya. Maka, banyak kalilah, tanpa jemu atau putus asa, beliau mencuba, gagal, dan mencuba lagi. 

JERNIHNYA SUMBER AIR DI SINI, YANG DIPEROLEHI DARI HUTAN SIMPAN BERSEBELAHAN... Yang menerusi paip kira-kira 7 KM daripada puncanya telah dialirkan ke sini.  

CANTUM ‘MATA TUNAS’ DENGAN ‘POKOK PENANTI’

Sehinggalah beliau menemui kaedah sendiri dengan mencantumkan ‘mata tunas’ daripada daun pokok induk Musang King, dengan ‘pokok penanti’, yang asalnya daripada tunas biji durian baka kampung.

‘Pokok penanti’ ini, fungsinya sekadar sebagai pokok tumpang yang berupaya menyerap segala zat daripada tanah, sementara tunas daripada cantuman dapat tumbuh dan membesar.

Apabila sahaja tunas sudah membesar dan berupaya dengan sendiri menyerap zat-zat yang diperlukan terus dari tanah, maka ‘pokok penanti’pun hilang fungsinya lalu boleh ditanggalkan dengan mudah daripada tunas yang sudahpun membesar itu. 

Sejak itulah, Encik Zamri tidak menoleh ke belakang lagi. Satu anak benih ke satu anak benih Musang King dihasilkannya, yang dalam pada itu, beliau mendapatkan Jabatan Pertanian untuk mengesahkan kaedah percantumannya.

Mempelajari daripada pengalaman buruk yang silam, Encik Zamri tidak mahu menjadi seorang yang lokek ilmu. Dia senang sahaja menurunkan ilmunya itu kepada penduduk setempat maka terlahirlah kini, 20 pencantum dalam kalangan mereka. 

ANTARA POKOK MUSANG KING YANG TURUT DITANAM DI LERENG BUKIT DAN DUA (2) KOLAM IKANNYA...


BELI BIJI DURIAN KAMPUNG RM1 SEKILOGRAM

Selain itu, beliau juga menawarkan peluang pendapatan apabila – daripada biji buah durian kampung yang dibuang begitu sahaja, beliau membelinya pada harga RM1 sekilogram. 

Yang daripada biji-biji buah durian kampung inilah, beliau bajakannya lalu tumbuh tunas yang kemudian menjadi ‘pokok penanti’, dicantumkan dengan  ‘mata tunas’ daun durian Musang King untuk melahirkan anak benih-anak benih Musang King berkenaan.

“Ini adalah satu lagi kepuasan kepada saya. Selain melahirkan pencantum-pencantum baru, saya juga memberi peluang buat duit kepada penduduk kampung daripada melihat biji-biji buah durian dibuang begitu sahaja,” katanya. 

Bermula dengan memasarkan anak benih-anak benih ini untuk permintaan tempatan dengan harga jualan RM15 seanak benih setinggi antara empat (4) inci dan lapan (8) inci yang dikira murah berbanding kira-kira RM25 seanak benih di pasaran; 

Khabar tentang pengeluar anak benih ini oleh anak muda Melayu apatah lagi kerana ‘originality’ klon Musang Kingnya, kemudian segera tersebar hingga melampaui bukan setakat sempadan mukim, malah daerah dan negeri. 

MAHU HASILKAN 120,000 ANAK BENIH TAHUN DEPAN

Dan beliau amat profesional dalam penjualannya. “Pernah ada pembeli dari Pulau Pinang yang beli 100 anak benih dan tanam di kebunnya,” kata Encik Zamri, “… yang kemudian dapati, ada dua (2) tidak tumbuh seperti sepatutnya (maka) saya gantikan kedua-duanya secara percuma”.

Dijangka dapat menghabiskan jualan keseluruhan 30,000 anak benihnya (dengan nilai jualan RM450,000) pada hujung tahun ini, Encik Zamri sudahpun merancang untuk menghasilkan ‘batch’ baharu dengan jangkaan kira-kira 120,000 anak benih pada tahun depan (2018). 

Dengan bantuan pencantum-pencantum yang telah dilahirkannya, beliau percaya, sasarannya itu akan tercapai, seterusnya dapat memenuhi permintaan yang semakin tinggi terhadap anak benih-anak benih klon Musang King ini. 

Bagaimanapun, untuk ‘batch’ terbaharu ini, beliau tidak dapat lagi menawarkan harga RM15 seanak benih, sebaliknya akan menjual pada harga antara RM18 dan RM22 seanak benih dengan jangkaan nilai jualan antara RM2.16 juta dan RM2.64 juta. 

Bukan kerana hendak maraih keuntungan berlipat kali ganda tetapi menurutnya, cuma bagi menampung secara sewajarnya, kos penghasilannya yang semakin meningkat sekarang. 

JUGA TERNAK IKAN KELAH DALAM KOLAM

Namun beliau percaya, harga baharu itu nanti masih rendah jika dibandingkan dengan harga yang turut akan meningkat lebih tinggi lagi (malah, ada yang menjualnya sehingga RM40 seanak benih) di pasaran tempatan. 

Sungguhpun penghasilan dan pengeluaran anak benih Musang King ialah ‘core business’nya di ladang seluas tujuh (7) ekar ini, Encik Zamri juga turut mengusahakan jenis pertanian lain termasuklah penternakan ikan kelah! 

Kepada sesetengah orang, mungkin tidak pernah tahu tentang penternakan ikan itu melainkan kehidupan secara liar ikan yang terlalu sensitif terhadap alam sekitar tersebut di kawasan-kawasan yang tidak tercemar seperti di santuari ikan kelah di Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut. 

Tetapi di sini, di dalam satu daripada dua (2) kolam, dengan keluasan 160 kaki X 150 kaki dan kedalaman sembilan (9) kaki, telahpun terdapat kira-kira 5,000 ekor atau kira-kira empat (4) tan atau 4,000 kg ikan tersebut. 

Setiap seekor kini katanya, telahpun mencapai berat antara 500 gm dan 2 kg. Dengan harga sekilogram ikan tersebut ialah RM400, dikalikan dengan 4 tan atau 4,000 kg yang bersamaan dengan RM1.6 juta. 

AIR BERSIH, JERNIH DARI HUTAN SIMPAN GUNUNG BENUM

“Sekarang, saya tunggu masa yang sesuai sahaja untuk ‘harvest’ dan jual,” katanya. 
Sepertimana tidak lokek ilmu, Encik Zamri juga tidak berahsia tentang kejayaannya menternak ikan kelah yang sangat sensitif ini iaitu, mengisi kolamnya dengan air bersih lagi jernih. 

Air ini diperolehi dari sungai dalam Hutan Simpan Gunung Benum bersebelahan, dialir ke sini dengan kuasa graviti sejauh kira-kira tujuh (7) KM menerusi ‘polypipe’ yang berdiameter kira-kira empat (4) inci.

Begitu jugalah, air yang sama digunakan bagi mengisi satu lagi kolam seluas 180 kaki X 180 kaki, berkedalaman sembilan (9) kaki juga, yang diternaknya pula ikan tilapia yang kini jumlahnya ialah kira-kira 6,000 ekor. 

Setiap ekor kini sudahpun mencecah kira-kira 2 kg yang dikalikan dengan 6,000 ekor bersamaan dengan 12,000 kg. Harga sekilogram ikan tilapia kini ialah RM70 X 12,000 kg bersamaan dengan RM840,000 nilai jualan keseluruhan. 

KEKAL ‘MODEST’, MAHU ‘SLOW DOWN’ UMUR 45 TAHUN

Sungguhpun dengan kejayaan-kejayaannya ini, Encik Zamri dilihat tetap kekal ‘modest’ atau bersederhana termasuklah dalam menentukan jumlah pendapatan bulanannya. “Saya tak ambil banyak (sebagai pendapatan tetap bulanan). 

“Malah, untung yang dapatpun dibahagi menurut bahagian tertentu kepada anak-anak buah saya,” katanya. 

Dengan sikap sebegini serta dengan kegigihan beliau yang menurutnya akan mula ‘slow down’ pada usia 45 tahun; adalah dijangkakan Encik Zamri akan dapat menempuh lebih kejayaan, insyaAllah. – Khabar 

Saturday, 2 December 2017

MaBIQ – bukan sekadar ikan patin gulai tempoyak


… kini, Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran yang Ustaz Jamal asaskan, punyai tiga cawangan dengan lebih 200 pelajar termasuk 44 orang di Kemboja.

USTAZ JAMAL, PENGASASNYA... Ustaz Jamal sedang menerangkan sesuatu pada temubual pagi Selasa itu. 


NOTA EDITOR;

Berikut ialah artikel mengenai Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran (MaBIQ) hasil temubual Editor Eksekutif, Khabar Pahang dengan pengasasnya, ‘Ustaz Jamal’ pada Selasa, 10 Oktober lepas.

Artikel ini ialah untuk siaran dalam ruangan Syiar majalah Khabar Pahang versi cetak Bil 25 Tahun 19 Tahun 2017 yang kini dalam proses penerbitan, yang dijangka siap untuk edaran oleh Jabatan Penerangan Negeri pada hujung bulan/tahun ini.

Sama-samalah kita mengikutinya serta mengambil pengajaran mana-mana yang patut daripadanya, insyaAllah.  


MaBIQ 2, LOT 2087, JALAN PANTAI, KAMPUNG SEPAT, KUANTAN – MaBIQ bukanlah sekadar kedai makan di Kampung Peramu dekat sini, menyajikan keenakan lauk-pauk ikan patin gulai tempoyak, masak pais, kuah lemak daging salai dan sambal hitamnya.

MaBIQ atau Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran ialah sebuah institusi ‘pondok’ modern persendirian yang asalnya cuma ada lima (5) pelajar kini mencecah 224 orang termasuk 44 orang di cawangan ketiganya – Madrasah Tahfiz dan Ilmu Al-Quran (MaTIQ) di Kampung Sanjai, lima (5) jam perjalanan dari Phnom Penh, Kemboja.

Beribu pejabat di MaBIQ Utama di Kampung Peramu yang juga terdapat Restoran MaBIQ; selain MaTIQ (44 pelajar) dan MaBIQ 2 di sini (150 pelajar), ialah MaBIQ 1 di Madrasah Al-Fatihah di Bukit Genting, Jerantut (30 pelajar).

Matlamat utama MaBIQ ialah untuk melahirkan para hafiz Al-Quran yang bakal menjadi pendidik atau mempunyai kerjaya lain, yang taat dengan ajaran Allah serta mahir dalam pelbagai bahasa.

Oleh itulah telah ditetapkan silibusnya meliputi 35 peratus atau 50 jam seminggu untuk Pengajian Islam yang termasuklah tentang mengerjakan solat sempurna, ilmu-ilmu tauhid dan feqah, serta ilmu akhlak dan keperibadian muslim;

BANGUNAN DUA-SETENGAH TINGKATNYA... Kemas dan rapi, termasuk datarannya yang menyambungkan bangunan dua-setengah tingkat ini dengan bangunan pejabat (kanan) dan bangunan Surau dan Dewan (kiri). 


EMPAT SYAHADAH @ PENYAKSIAN MaBIQ

Sebanyak 25 peratus atau 36 jam seminggu bagi Tahfiz al-Quran yang termasuklah tilawah dan hafazan al-Quran serta ilmu tajwid; 20 peratus atau 25 jam seminggu Akademik yang termasuklah pengajian Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab Komunikasi dan Bahasa Arab Tinggi, Matematik dan Sains serta Ilmu Mantiq;

Dan, 20 peratus atau 25 jam seminggu lagi ialah Amali dan Kemahiran Hidup yang termasuklah latihan menjadi imam solat, latihan menjadi guru agama, latihan-latihan kepimpinan dan keusahawanan, latihan-latihan pertanian dan penternakan serta, latihan-latihan pidato dan mengajar kitab.

Hala tujunya pula terangkum di bawah empat (4) syahadah atau penyaksian iaitu, syahadah tamat belajar (selama enam tahun), syahadah tahfiz al-Quran, syahadah kelayakan imam, dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia seterusnya Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).  

Pengasasnya, Ustaz Jamaluddin Abdul Jabbar, 49, anak kelahiran Kampung Tebing Tinggi, Jerantut, berkelulusan Sarjana Agama Ilmu Pendidikan Islam dari Universiti Islam Negeri, Yogyakarta, Indonesia.

Dibantu isterinya, Umee Ruziani Ab Ghani, 42, anak kelahiran Kampung Beserah dekat sini, berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) dalam pengajian TESL (Teaching English as a Second Language) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

SUASANA NYAMAN DAN SELESA DALAM KELAS YANG BER'AIR-COND'... Turut belajar di MaBIQ 2 serta dalam kelas ini ialah Adam (tiga dari kiri) yang merupakan anak lelaki kepada Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Encik Kamaluddin Sudin. 


BERMULA LIMA (5) PELAJAR, YURAN RM1 SEHARI 

Selain Pengasas, Ustaz Jamal ialah Pengerusi dan Pengetua MaBIQ manakala isterinya, Umee ialah Pengurus Kewangan merangkap Pengurus, Restoran MaBIQ yang cukup terkenal dengan lauk-pauk yang telah disebutkan awal tadi.

Segala-galanya bermula pada tahun 2007 apabila Ustaz Jamal – di atas tanah dua (2) lot seluas suku ekar di Kampung Peramu yang dibelinya menggunakan wang simpanan yang ada dengan harga RM125,000; didirikan pusat pengajiannya pertama.

Bermula kecil maka, jumlah pelajarpun kecil – setakat lima (5) orang sahaja. Bagi menarik minat, tawaran istimewa dibuat antaranya yuran cuma RM1 sehari yang dapat meningkatkan jumlah kepada puluhan orang.

Entah kenapa, jumlah itu merosot tidak beberapa lama kemudian. Sebagai seorang yang juga kreatif, sekali lagi tawaran dibuat tetapi kali ini menterbalikkan – daripada pelajar yang perlu membayar tetapi kini beliau pula sendiri menawarkan RM1 sehari kepada setiap mereka yang ingin belajar di MaBIQ.

Langkah ini berjaya, dengan pelajar kembali meningkat kepada 27 orang pada tahun 2009 dan kepada 36 orang pada tahun 2010 – tahun yang sama beliau yang berkhidmat sebagai pegawai di Yayasan Pahang (YP), meninggalkan kerjaya berbelas-belas tahun di situ untuk membangunkan MaBIQnya sepenuh masa.

LAGI SUASANA PEMBELAJARAN YANG SELESA DI DALAM KELAS... 


SUMBANGAN-SUMBANGAN TIDAK TERDUGA

“Saya perlu ambil langkah ini (berhenti dari YP dan tumpu sepenuh masa kepada MaBIQ). Saya sedar ini bukannya mudah tapi ia cabaran besar yang perlu saya tanggung,” kata Ustaz Jamal pada temu-bual dengannya pagi Selasa, 10 Oktober lepas di pejabatnya di sini.

Cabaran dan bebanan utamanya tentulah kewangan sementelah beliau tidak lagi menikmati gaji bulanan sebagai kakitangan YP. Namun beliau bersyukur kerana bebanan tersebut banyak diringani oleh sumbangan-sumbangan yang tidak diduga daripada masyarakat, berupa kewangan dan barangan keperluan dapur termasuk beras.

Selain itu, beliau perlu berbuat sesuatu agar punca kewangan bulanannya mestilah lebih terjamin yang dapat membantu dalam membiayai kos operasi seharian, pusat pengajiannya itu.

Ketika itulah juga, bersandarkan kepakaran masakan lauk-pauk tradisional ala-Jerantut yang ada pada keluarganya, Restoran MaBIQ dibuka dengan sajian masakan tersebut. Lokasinya, bersebelahan dengan kelas pengajian MaBIQ di situ.

Oleh kerana keistimewaan dan keenakan masakan tersebut – lauk-pauk ikan patin gulai tempoyak, masak pais, kuah lemak daging salai dan sambal hitamnya; semakin hari ia menjadi tumpuan ramai khususnya pada waktu makan tengah hari.

DEWAN YANG LUAS... Ustaz Jamal sedang menerangkan sesuatu tentang Dewan yang boleh memuatkan kira-kira 600 orang pada satu-satu masa. 


RESTORAN MaBIQ, PENJANA KEWANGAN MaBIQ

Sehinggalah MaBIQ lebih dikenali dengan elemen restorannya berbanding sebagai sebuah pusat pengajian yang tidak menjadi masalah kepada Ustaz Jamal selagi Restoran MaBIQ dapat menjana kewangan yang dapat disalurkan untuk pembangunan MaBIQ sendiri.

Yang menjadi masalah apabila ada dalam kalangan pengunjung restoran yang marah-marah dengan Ustaz Jamal kononnya, Restoran MaBIQ menyediakan sajian yang sedap-sedap kepada pengunjung tetapi pelajar MaBIQ di sebelah, diberi makan sajian ala-kadar.

Sudah tentulah berbeza kerana kos yang berbeza antara kedua-dua sajian tersebut sementelah yuran bulanan yang dikenakan ke atas pelajarnyapun rendah, cuma RM310 yang termasuk makan-minum, kemudahan asrama dan pengajian (berbanding di Lembah Kelang, tidak kurang RM700 sebulan).     

(Itupun menurut Ustaz Jamal, daripada 150 pelajar di sini, 75 peratus tiada masalah untuk membuat bayaran yuran bulanan ini tetapi 25 peratus lagi tidak, yang terpaksa beliau redalah sahaja).

Apatah pula dengan hasil kewangan daripada perniagaan di Restoran MaBIQlah yang dapat menampung sehingga kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan kos pembiayaan pusat-pusat pengajian MaBIQ.

BANGUNAN DI KeLBIM... Dengan bekalan elektrik ditiadakan, para pelatih akan diajar kemahiran hidup di kem latihan Islam ini apabila ianya beroperasi kelak. 

 
USTAZ JAMAL KENA TENGKING

“Ada yang tengking saya dan kata; ‘Tak apa, bagi mereka makan apa yang kita makan. Biar saya bayar’ (untuk pelajar MaBIQ agar mereka dapat turut menikmati juadah di Restoran MaBIQ). Ini buat saya risau,” kata Ustaz Jamal.

Lanjutan itulah, beliau terpaksa memikirkan usaha untuk mencari tapak lain untuk pusat pengajian MaBIQ yang akhirnya diperolehi di kawasan seluas kira-kira seekar di sini (MaBIQ 2), dengan harga kira-kira RM320,000.

Maka MaBIQ yang asal di Kampung Peramu dikekalkan sebagai Restoran MaBIQ selain menjadikanya ibu pejabat dan dikenali sebagai MaBIQ Utama. Manakala pelajarnya dipindahkan kesemuanya ke sini.

Untuk mendapatkan tanah inipun satu hal, bagi membangunkannya ialah satu hal lagi. Maka terpaksalah beliau menjual apa yang ada termasuk tanah dan rumahnya, demi mencukupkan kewangan untuk membangunkannya.

Mujur beliau mempunyai seorang tukang yang mahir yang dengan itu, kos dapat dikurangkan sambil itu mutu kerja bangunan tidak dikompromikan. Maka kini, tersergamlah bangunan dua-setengah tingkat mengandungi 10 bilik darjah, surau, pejabat, bilik guru, asrama pelajdan dewan.

TANAM-TANAMAN DI KeLBIM... Disinilah pelatih turut diajar sedikit-sebanyak tentang ilmu pertanian termasuk penternakan seperti itik.  


KESEMUA 10 KELAS ADA ‘AIR-COND’

“Kesemua 10 kelas kami ada ‘air-cond’ berkuasa kuda 1.5 setiap satu. Ini supaya pelajar-pelajar kami dapat belajar dengan selesa,” katanya tetapi segera berkata betapa, demi berjimat, penghawa dingin ini akan dipasang bila perlu antara tiga dan empat jam sehari sahaja.

Dengan kekuatan tenaga pengajar berkelulusan diploma dan ijazah seramai 22 oranglah – termasuk Ustaz Jamal dan isteri, Ustazah Umee Ruziani, serta, tiga (3) lulusan dari Mesir – Ustaz Salem Korim Abdesalam Aly, pemegang Diploma Profesional Dalam Pendidikan dari Universiti Kaherah, serta Ustaz Muhammad Farhan Md Noor dan Ustaz Mohd Yuzairee Yusop, kedua-duanya pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Al-Azhar;

Kesemua 150 pelajar lelaki di sini diasuh bukan sahaja bagi memenuhi tuntutan kurikulum tetapi juga ko-kurikulum menerusi kelab-kelab seperti Kelab Huffaz, Kelab Bahasa, Kelab Seni Suara yang termasuk bidang tarannum dan nasyid, Kelab Usahawan Muda, Kelab Pakar Tani Ternak, Kelab Kimpalan, Kelab Chef Muda dan Kelab Pendekar.

Perancangan masa depan Ustaz Jamal untuk jangka pendek dan panjang ialah, bagi menukarkan sebahagian daripada kawasan seluas seekar di bahagian belakang MaBIQ 2 yang baharu dibelinya ini, menjadi padang bola sepak untuk pelajar-pelajar beriadah di atasnya.

Selain itu, beliau berimpikan untuk menjadikan kawasan seluas lima (5) ekar miliknya di Kampung Permatang Habib berdekatan, sebagai satu lagi produk MaBIQ iaitu Kem Latihan Berdikari Islam Malaysia atau KeLBIM.

SUMBER AIRPUN DARIPADA TELAGA YANG JERNIH AIRNYA... 


TIADA BEKALAN ELEKTRIK DI KeLBIM

Di KeLBIM yang tidak akan dibekalkan kuasa elektrik katanya, para pelajar/pelatih akan diajar untuk hidup berdikari, tahan lasak serta bersabar dengan segala dugaan hidup agar dapat menjadi manusia yang lebih cekal dan beriman.

“Belumpun projek ini bermula, idea penubuhannya telahpun mendapat reaksi baik termasuk dari Singapura, yang sedia hantar pelajar-pelajar mereka untuk menyertai program selama beberapa hari di KeLBIM,” katanya.

Dan penulis turut dibawa melawat ke tapak KeLBIM ini sambil beliau secara penuh ‘passion’ menerangkan mengenai impian dan cita-cita besarnya terhadap KeLBIM sepertimana juga yang sama terhadap MaBIQ.

Semoga MaBIQ terus mengecapi kejayaan, begitulah juga dengan para pelajarnya yang diharap dapat menjadi sepertimana yang dicita-citakan, insyaAllah. 

RESTORAN MaBIQ 2... Yang mudah didatangi dari Kuantan, selepas menuruni Jambatan Tanjung Lumpur dan melepasi kompleks perniagaan baharu Serambi Teruntum. Dan di seberang jalanya ialah Pusat Perubatan KPJ Kuantan. 

RESTORAN ASALNYA YANG TERUS DIKEKAL DAN TETAP DIKUNJUNGI PELANGGANNYA... – Khabar
  


Friday, 1 December 2017

Peliharalah perpaduan sesama Islam, titah KDYMM Pemangku Raja


“… keunikan Malaysia yang dilambangkan dengan keharmonian kaum, perlu dihargai dan jangan kita mensia-siakan keamanan serta kedamaian yang wujud di negeri ini,” titah Baginda yang teksnya dibacakan oleh Menteri Besar.

BERSAMA-SAMA PENERIMA ANUGERAH... Dato' Sri DiRaja Adnan yang ditemani Dato' Syed Ibrahim dan Dato' Mohd Nor; sedang bersesi foto berkumpulan dengan para penerima anugerah termasuk Dato' Rahimah (duduk).


MASJID NEGERI SULTAN AHMAD 1, KUANTAN – KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al Haj Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta‘in Billah menitahkan umat Islam di negeri ini supaya terus berusaha memelihara dan mengukuhkan perpaduan sesama mereka.

Baginda bertitah, usaha itu bukan hanya terletak pada bahu Kerajaan yang memerintah tetapi perlu turut dilaksanakan secara menyeluruh oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta setiap individu.

“Pada masa sama, keunikan Malaysia yang dilambangkan dengan keharmonian kaum perlu dihargai dan jangan kita mensia-siakan keamanan serta kedamaian yang wujud di negeri ini.

“Sama-samalah kita bersatu dalam menjaga negara daripada diceroboh oleh pihak yang mahu mengambil kesempatan,” titah Baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri pagi Jumaat, 1 Disember di sini.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang mewakili Baginda pada majlis ini sepertimana Berita Harian melaporkan, telah membacakan teks titah ucapan Baginda itu.  

DUDUK SAMA RENDAH... Bersama-sama para kenamaan dan antara yang turut kelihatan sambil merakamkan suasana majlis dengan 'smartphone'nya (kanan sekali) ialah Tan Sri Abdul Aziz. 


LIMA (5) PENERIMA ANUGERAH

Seramai lima (5) orang dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Negeri ini, dengan setiap seorang menerima trofi, wang tunai serta sijil yang antaranya ialah bekas wakil rakyat negeri (BN – Tahan), Dato’ Rahimah Muhammad Kawi, 80.

Beliau yang ditemui kemudiannya telah menyifatkan penerimaan anugerah kepadanya sebagai satu penghargaan ekoran sumbangannya dalam menganjurkan banyak aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di daerah-daerah Jerantut dan Lipis.

Dato’ Rahimah yang juga antara wanita terawal dipilih sebagai wakil rakyat pada era akhir 1980-an berkata, beliau tidak pernah bermimpi untuk menerima anugerah itu kerana usaha dan sumbangannya selama ini semata-mata mahu membantu orang ramai dan untuk kepuasan sendiri.

“Saya seronok melihat orang bertambah maju dan bijak, pelbagai cara dilakukan seperti mengajar membaca di kelas dewasa selain kelas agama untuk saudara baharu Orang Asli di sekitar daerah Jerantut.

“Jika ada yang susah, kita beri bantuan seikhlas hati. Jika ada anak orang kampung dapat peluang mengaji (belajar) tinggi, kita usahakan dapat biasiswa Yayasan Pahang.

MENYERTAI PERARAKAN... 


ADA YANG DITOLONG, JADI BERJAYA

“Bila mereka ucap terima kasih, kita sudah seronok dan tambah gembira bila berjumpa semula, ada yang masih ingat saya walaupun sudah tua dan mereka telah menjadi orang berjaya,” katanya.

Selain aktif dalam politik, Dato’ Rahimah juga membabitkan diri dalam pelbagai NGO seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Pertubuhan Perkumpulan Wanita cawangan Kuala Lipis.

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Jumaat ini ialah Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato' Sri Ishak Mohamad; Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad; 

Ketua Hakim Mahkamah Syariah Negeri, Dato’ Abdul Rahman Yunus; Presiden, Majlis Bekas-bekas Wakil Rakyat (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Indera Roslan Harun; dan, Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Mohd Nor Abdul Rani. – Khabar


Thursday, 30 November 2017

Tingkatkan semangat kesepaduan, setia dan sokong tidak berbelah-bahagi kepada Presiden parti


“Dengan mengatakan kita bersetia dengan Presiden, taat dengan Presiden dan taat-setia ini adalah juga termasuk mematuhi, mematuhi keputusan Presiden dalam menentukan calon-calon yang akan bertanding dalam PRU ke-14 ini,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

AKSI SEORANG PEMIMPIN...  Foto ini dirakam semasa temubual petang Rabu.  


NOTA EDITOR;

Bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini yang bermula Selasa, 5 Disember hinggalah Sabtu, 9 Disember di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sekali lagi diminta oleh pihak media untuk mendapatkan temubual khas dengannya bagi bercakap mengenainya.

Untuk tidak menghampakan mereka, permintaan daripada wartawan daripada akhbar-akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times (NST), dan Harian Metro dipenuhi dengan temubual tersebut diadakan pada petang Rabu, 29 November selepas selesai Dato’ Sri DiRaja Adnan mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri di Bilik Mesyuarat, Tingkat 6, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Kuantan.

Berikut ialah artikel ringkas disusuli sepenuhnya dalam bentuk ‘verbatim’, hasil daripada temubual berkenaan.      


RUANG REHAT, TINGKAT 6, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Tingkatkan semangat kesepaduan antara sesama ahli parti UMNO dan bersetialah serta beri sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Presiden, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak.

Inilah antara yang ditegaskan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob agar dapat diterapkan oleh para perwakilan bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini yang akan berlangsung minggu depan.

“Pertama sekali, semua perwakilan UMNO termasuk sayap-sayap, mesti menunjukkan kesepaduan. Yang pentingnya, semangat itu mesti ditingkatkan.

“Sebab, untuk menghadapi PRU, semangat itu mesti tinggi. Kalau pada mulanya semangat sudah tidak ada maka kita akan menghadapi masalah untuk menggerakkan jentera di peringkat bawah,” katanya.

“Yang keduanya,” menurutnya, “… kesemua perwakilan yang melambangkan UMNO itu sendiri, mesti menunjukkan kesetiaan dan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada Presiden parti. Dan sokongan ini boleh dilahirkan melalui ikrar dalam ucapan-ucapan oleh wakil-wakil negeri dan juga sayap-sayap” .

AMBIL ENDAH DAN AMBIL BERATNYA TERHADAP GOLONGAN YANG MEMERLUKAN... 


TAAT LALU AKUR KEPADA PEMILAHAN CALON  

“Dengan mengatakan kita bersetia dengan Presiden, taat dengan Presiden dan taat-setia ini adalah juga termasuk mematuhi, mematuhi keputusan Presiden dalam menentukan calon-calon yang akan bertanding dalam PRU ke-14 ini,” katanya lagi.

Berikut disiarkan sepenuhnya hasil temubual tersebut;

# Sebenarnya, PAU ini adalah satu perkara biasa. Termaktub dalam Perlembagaan UMNO, kita kena adakan setiap tahun sekali. Tetapi, PAU kali ini dia berbeza sedikit dan ada ‘significant’nya tersendiri.

Pertama, ia merupakan PAU sebelum PRU ke-14. Dan yang keduanya, oleh sebab ianya PAU sebelum PRU ke-14, ianya mesti menunjukkan sesuatu yang luar biasa sebagai persiapan menghadapi pilihanraya.

Pertama sekali, semua perwakilan UMNO termasuk sayap-sayap, mesti menunjukkan kesepaduan. Yang pentingnya, semangat itu mesti ditingkatkan. Sebab, untuk menghadapi PRU, semangat itu mesti tinggi. Kalau pada mulanya semangat sudah tidak ada maka kita akan menghadapi masalah untuk menggerakkan jentera di peringkat bawah.


SALURKAN PERUNTUKAN DARIPADA MB KEPADA YANG MEMERLUKAN... Inilah contoh bagaimana peruntukan yang disalurkan kepada wakil rakyat telah digunakan demi kebajikan golongan memerlukan. 

Foto ini menunjukkan wakil rakyat, Dato' Mustapha Long (BN - Padang Tengku) sedang menyampaikan sumbangan kepada adik Nur Syahira Shamsuddin, 11, yang menghidap penyakit jantung berlubang semasa kunjungan Dato' Mus ke rumah keluarga adik ini di Kampung Kechau Tui, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Lipis pada petang Khamis, 30 November ini. 
     

BAJET TERBAIK DALAM SEJARAH

Yang keduanya, kesemua perwakilan yang melambangkan UMNO itu sendiri, mesti menunjukkan kesetiaan dan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada Presiden parti. Dan sokongan ini boleh dilahirkan melalui ikrar dalam ucapan-ucapan oleh wakil-wakil negeri dan juga sayap-sayap.

Dengan mengatakan kita bersetia dengan Presiden, taat dengan Presiden dan taat-setia ini adalah juga termasuk mematuhi, mematuhi keputusan Presiden dalam menentukan calon-calon yang akan bertanding dalam PRU ke-14 ini.

Dan pada ketika yang sama saya juga berpendapat, wakil-wakil setiap negeri, setiap sayap, mesti membahaskan perkara-perkara yang nampak kontroversial, Nampak kontorversial yang menjadi isu, mesti diperbahaskan secara terbuka, dengan mempertahankan Presiden, juga Kerajaan.

Contoh isu 1MDB, contohnya BR1M yang dikatakan sebagai merasuah rakyat, dan kemudian itu oleh sebab Bajet kali ini pada pegalaman saya – daripada muda saya mengikuti Bajet, daripada zaman mendiang Tun Tan Siew Sin,

Kemudian tu Allahyarham Tun Abdul Razak, kemudian itu Allahyarham Tun Hussein, Tun Mahathir, Tun Abdullah sehingga Dato’ Sri Najib sekarang ini, saya berpendapat, ini Bajet yang terbaik dalam sejarah negara kita.


FOKUS SERTA HALA TUJUNYA YANG JELAS... 


GUNAKAN KEKUATAN BAJET 2018, TUNJUKKAN KERAJAAN PRIHATIN

Maka kita kena gunakan kekuatan Bajet ini untuk menunjukkan bahawa Kerajaan prihatin. Saya berpendapat, projek-projek besar tidak perlu dibincangkan sangat. Tapi, segala peruntukan, segala rancangan untuk membantu golongan-golongan tertentu – petani, penternak, nelayan, pelajar, orang miskin;

Mesti dibincangkan dan diutarakan untuk menunjukkan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang prihatin terhadap kehendak rakyat.

Begitu juga isu GST. Pembahas-pembahas mestilah membincangkan GST ini dengan mengambil pendekatan menunjukkan bahawa GST ini – selain daripada pendapatan dari cukai pendapatan, ia (GST) merupakan penyelamat kepada Belanjawan Negara. Ini kita kena tekankan.

Dan dalam bahasa yang mudah kita boleh beritahu bahawa, dengan GST inilah, kita gunakan duit itu untuk membayar gaji anak, isteri, suami, pak saudara, mak saudara, tok, nenek yang berkhidmat dengan Kerajaan terutamanya, seperti polis, tentera, kerani, ADO, pegawai eksekutif sebagainya dalam jabatan Kerajaan; inilah gunanya duit yang kita kutip dari GST.

# Ya, kita ada wakil yang akan berbahas, bercakap nanti. Antara perkara kita akan ‘highlight’kan, inilah dia. Kita akan tunjukkan bagaimana GST itu penting. Bagaimana 1MDB kalau tidak dikacau oleh sesiapa boleh menjadi satu syarikat Kerajaan yang besar, boleh mendatangkan keuntungan dan lain-lain perkara yang kontroversi , kita akan jawab secara logik.

THINKING AHEAD... 


BOLEH BINCANG ISU KONTROVERSI TAPI TETAP PERTAHANKAN KERAJAAN

Kita akan ‘guide’ wakil UMNO Negeri Pahang nanti untuk bercakap. Wakil Negeri Pahang akan bercakap, membincangkan isu-isu yang kontroversi dan pada ketika yang sama akan mempertahankan parti dan Kerajaan. 

UMNO daripada dulu sudah, cakap bodek-bodek ini tak ada dalam Perhimpunan Agung UMNO ini. Ada seorang (bekas) Menteri beritahu saya, dia lebih rela bercakap di United Nations General Assembly daripada bercakap pada ‘UMNO Assembly’.

Ada seorang bekas Menter beritahu saya. Sebab, dia menggambarkan, General Assembly UMNO ini terbuka. Dan dia tak ada ‘apple polishing’, tak ada. Bodek-bodek ini tak ada.     

# ‘You mean State’s issues? We don’t have much issues anyway. Not in Pahang, we don’t have many issues. Issues are more focused on the central government. Not here. 1MDB, RM2.6 billion, GST – these are non issues in Pahang.

‘Issues in Pahang revolve around assistance to the needy – the fishermen, farmers and also penternak (breeders). Di Pahang ini, ‘practically’ tak pernah timbul. Kita buat kajian sedikit-sebanyak, 1MDB ini jatuh nombor 17. Nombor 1 ialah kos sara hidup, nombor 2, ‘unemployed graduates’, nombor 3, ‘housing’. Itu sahaja.

PADA SESI TEMUBUAL PETANG RABU... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan dalam foto yang dirakam oleh jurufoto Utusan Malaysia, Sdr Mahathir Ali ini ialah; (menurut putaran jam) Sdr Amin Ridzuan Ishak (Berita Harian), 

Sdr Mohd Shariza Abdullah (Utusan Malaysia), Sdr Azam (berdiri, dari portal berita Pahang-ku), Sdr Hidir Reduan (NST), Sdr Fauzi (Harian Metro), Sdr Amir Rozaini Abd Rani (Pahang-ku), dan Sdr Zulkepli Osman (jurufoto NST).  


‘MORE OF BREAD AND BUTTER ISSUES’

1MDB, RM2.6 billion – nombor 17, nombor 18. Bila saya sebut 17, 18 saudara-saudara ketawa ingat saya main-main. ‘No, no, no… it’s number 17, number 18’.

‘Bread and butter issues’. What they can put on the table for their family. Probably about security, safety – that’s about all.

‘Probably in Pahang at one time, it was the bauxite issue but now, no more an issue. Almost settled.

‘Ya, I don’t want to play the blame game. But then you got to remember, all the agencies are under the Federal Government – JMG, Police, Customs, JPJ… Only one is under the State Government that is PTG.

‘So, once the Federal Government stepped in, now you can see the problem almost solved’. Even Andansura (wakil rakyat pembangkang dari Beserah) kata dalam Dewanpun, kawasannya cukup bersih dah sekarang.  

‘It is the question of attitude. If their attitude was right from the very beginning, this could have been a very lucrative and is a good industry which provide job opportunities to the lorry dirvers, to many people.

‘HAVE NO REGRETS’

‘But since they squandered the chance – they misused, abused the freedom given by the State Government, so the Federal Government got to step in. And that’s the result.

‘But whatever it is, I don’t have any regrets. I must thank the Federal Government for stepping in to resolve the problem. 

‘In many forum’, saya banyak bercakap – dalam MKT, Biro Politik; saya sentiasa mengenengahkan tiga (3) isu utama tadi iaitu kos sara hidup, kemudian itu siswazah menganggur dan masalah perumahan. 

Di Pahang ini, kita cuba selesaikan masalah perumahan. Walaupun dalam PRU Ke-13, dalam manifesto kita janjikan kita akan bina 15,000 unit rumah mampu milik tapi kini telah bina pada semua peringkat, 35 hingga 37,000 unit.

Tapi sayang sekali, kebanyakannya tidak dapat dimiliki kerana pemohon-pemohon tidak dapat pinjaman bank. Sekarang ini, terpulang kepada, bergantung kepada Kerajaan Persekutuan mungkin untuk mewujudkan dana khas sebagainya. Atau seperti yang pernah diumumkan oleh YB Tan Sri Noh Omar, kaedah sewa-beli.

PERLU WANG UNTUK BERGERAK

Dan saya telah bertanya pihak yang mahir dengan urusan ‘banking’ termasuk Tan Sri Wahid Omar. Semua pihak menyatakan memang bank suka beri pinjaman tetapi setelah diselidiki, pendapatan, potongan oleh setiap pemohon itu didapati, mereka tidak mampu untuk membayar balik pinjaman berkenaan. Itu sebab mereka tidak diberi kelulusan untuk mendapatkan pinjaman perumahan.

Ini, saya ingat, pihak ‘Federal Government’lah ‘tackle’. Kita dah siapkan rumah, terpulang kepada Kerajaan Persekutuan untuk menentukan ‘mechanism’ bagi membolehkan mereka ini membeli rumah.

# Pilhanraya beginilah. Setiap kali pilihanraya, kita memang bersiap-siaga. Jangan risaulah – dengan ‘war room’nya, dengan jentera, memang. Ia tunggu ‘whistle’ bunyi. ‘Whistle’ berbunyi dan ini, ini, ini, ini, ini… (sambil ‘gesture’ dengan jarinya menandakan wang). Itu sahaja…

Ada sikit-sebanyak. Walaupun pembangkang, mereka menggunakan, perlukan kewangan juga. Kita perlukan kewangan untuk bergerak.

Dan kita di Pahang ini sebenarnya, kita bersiap-sedia pada setiap masa untuk menghadapi pilihanraya ini.

EMPAT (4) KALI KETUAI PRU, LIMA (5) KALI KETUAI PRK

Yang ini bukan kali pertama. Saya sendiri telah empat (4) kali mengetuai Pilihanraya Umum, lima (5) kali Pilihanraya Kecil (PRK). Dan parti sendiri telah berapa kali? (Tahun 19)‘59, ‘64, ‘69, ‘74, ‘78, ‘82, ‘86, ‘90, ‘95, ‘99, 2004, 2008, 2013 – 13 pilihanraya.

Antara (cara menunjukkan) kesetiaan ialah menerusi percakapan, pertuturan kita. Menerusi isi perbahasan kita. Walaupun kita mengkritik apa yang dilakukan oleh Presiden, tetapi akhirnya kita mesti mengatakan bahawa kita menyokong Presiden.

Kritikan kita kalau ada, adalah untuk kebaikan. Bukan kritikan itu (untuk) menjatuhkan Presiden. Dan Presiden mesti tahu – saya kenal beliau sejak 40 tahun yang lalu; seorang yang ‘tolerant’, menerima kritikan, menerima pandangan.

Kadang-kadang orang bercakap, nampak benci. Tapi kita ni bercakap nampak sayang. Kadang-kadang orang bercakap, walaupun nampak nada baik, tapi sinis dan nampak benci.

Tapi kalau orang tu pandai pula bercakap – walaupun  dia nampak kasar, garang, bengis, macam biadap; tapi dia akhirnya menampakkan kesetiaan dan juga sayangkan, kasihnya kepada Presiden parti. Itu yang penting.

GOLONGAN ATAS PAGAR MENINGKAT KEPADA 60-70 PERATUS

# Yang saya tahulah, dahulunya golongan atas pagar yakni golongan yang tidak menunjukkan pendirian yang boleh ke sebelah sana atau ke sebelah sini; dalam 15 peratus.

Tapi sekarang ini, golongan ini telah meningkat kepada 60, 70 peratus. Dan kebanyakannya ialah golongan muda.

Walau apapun, yang pentingnya ialah ‘engagement’. Istilah orang sekarang ini – keterangkulan. Kalau wakil-wakil rakyat dalam UMNO cawangan, bahagian, kalau mereka mendekati golongan muda, ambil tahu keluhan mereka, selalu mengadakan mungki permainan, perjumpaan dengan mereka, mendengar masalah mereka; mereka akan ikut kita.

Sebenarnya, pilihanraya ini ialah soal memenangi hati dan pemikiran rakyat. Jadi golongan muda ini yang penting ialah untuk kita terus dekati dengan program-program kita teruskan.

Dan saya melawat kawasan – pusingan pertama saya fokuskan kepada membantu golongan miskin. Yang kedua esok, saya akan fokuskan pula ‘engagement’ dengan budak-budak muda, orang muda. Mungkin kita pergi bermain sukan dengan mereka, mendengar masalah mereka. Mungkin mereka memohon pekerjaan, kita mengeluarkan (surat) ‘recommendation’ sebagainya.

PENTINGNYA KETERANGKULAN, ‘ENGAGEMENT’

Yang penting keterangkulan. Engagement. Engagement itu penting tapi itulah, cara kita pengisian itu. Cara kita bercakap. Kita punya ‘demeanour’, gerak-geri kita macam mana. Itu amat penting.

Akhirnya, ‘bottomline’nya dia orang tengok sejauh mana mereka boleh mengharapkan seorang-seorang itu untuk membantu kes dia. Sebab itu penting kita mendekati mereka – selain mungkin kita bermain sukan sebagainya, kita mendengar masalah mereka.         

# Itupun boleh. Ini, ianya tidak boleh menandingi ‘personal contact’. Kadang-kadang online ni banyak bohong. Macam dalam Dewan, saya tak pernahpun ajak pembangkang bertumbuk. Saya kata kalau nak keluarlah. Nak keluarpun mungkin saya peluk dia, mungkin belanja (minum) kopi.

Lepas itu bila saya minta maaf, sebagaimana biasa, saya biasa minta maaf, dengan Speaker, Timbalan Speaker, ADUN yang saya agak terkasar sedikit; saya minta maaf, dia orang kata selepas menimbulkan kekecohan, MB minta maaf. Dia pusing itu (jadi) lain. Itu, biar dialah, tak apalah…

Yang pentingnya kita pergi jumpa ke bawah, orang tahu siapa kita. Adakah kita boleh membantu dia? Adakah kita benar-benar tidak memperdulikan sesiapa? Itu penting. Akhir-akhirnya dia tahu siapa kita. Itu mustahak.      

AGENDA PARTI, KERAJAAN BANGUNKAN SEMUA MASYARAKAT
         
# Kita menunggukan sedikit-sebanyak isi ucapan dari semua pemimpin termasuklah pemimpin Puteri, Pemuda, Wanita, Timbalan Presiden tetapi penting sekali, ialah ucapan dan amanat Presiden itu sendiri yang akan memberikan kita semangat, menunjukkan keyakinan beliau menghadapi pilihanraya.

Apakah visi dan misi beliau dalam membantu memperjuangkan rakyat, memperjuangkan ugama, bangsa. Memperjuangkan semua kelompok masyarakat termasuk masyarakat India, masyarakat Orang Asli. Ini masyarakat yang bileh dikatakan agak terpinggir.

Yang ini Perdana Menteri walaupun beliau Presiden parti, dalam Perhimpunan Agung UMNO; beliau wajib, mustahak, mengenengahkan juga agenda parti dan juga Kerajaan untuk membangunkan semua masyarakat Malaysia khususnya masyarakat golongan minoriti seperti India dan juga Orang Asli.          

Dan yang pentingya, Presiden tunjukkan bahawa Kerajaan kita ini ‘tolerant’, menerima teguran, dan kita tidak ambil beratlah kepada tuduhan-tuduhan yang tidak berasas. Presiden kena tunjukkan bahawa, ini hanya membazir masa sahaja untuk melayan ini semua.

Kita mesti teruskan dengan fokus kita untuk membangunkan negara seperti Malaysia – negara bukan besar tetapi pelbagai kaum dan ugama dan pada ketika yang sama, masyarakat antarabangsa sedang bergolak dengan berbagai-bagai isu – ‘terrorism’lah, ledakan maklumatlah, ‘globalization’… dan semua isu yang wajar kita tangani dari masa ke semasa.

THE HARDWORKING WAKIL RAKYAT OF UMNO/BN

# ‘Not only that. My wakil rakyat have been working very hard. In fact, based on the report on the ground, they have been to the constituencies meeting people every now and then.

‘And as the Chief MinIster, Menteri Besar, I also have been giving them fixed allocation for them to engage with the people. And that allocation is quite big. And, as far as I am aware, only Pahang does that.

‘So with the special allocation for them to use personally, in the sense that the accounting is not so rigid; they can engage with the people. With the allocation that I gave, they can solve most of the people’s problem – bus faires going to the hospital, medical fees.

‘In fact, with the money that I gave, they can solve almost every problems. So with that, I hope the people will appreciate and with the wakil rakyat showing that they are working hard, I think it is not that difficult for us to face the General Election’. – Khabar