Saturday 28 June 2014

Selamat berpuasa

BULAN RAMADAN YANG PEMURAH... Selain dikenali sebagai Ramadan Al-Mubarak atau bulan Ramadan yang mulia, bulan puasa bagi umat Islam ini juga dikenali sebagai Ramadan Al-Karim yang bermaksud, bulan Ramadan yang pemurah. 

Semoga kita dapat sama-sama melaluinya dengan penuh keinsafan, dengan bermulanya Ramadan untuk tahun 2014 ini pada Ahad, 29 Jun. - Khabar

"Junjung kasihlah ke sisi KDYTM Tengku Mahkota Pahang yang 'instrumental' dalam sumbangan USD10 juta oleh Kerajaan UAE"



… Menteri Besar buat saranan ini kepada khususnya mangsa-mangsa banjir yang bakal  memanfaati sumbangan tersebut.


SEMASA KUNJUNGAN BAGINDA KE MALAYSIA… Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohammed Zayed Al-Nahyan sedang memeriksa barisan kawalan kehormat semasa sambutan rasmi di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada tahun lepas.   
 


HOTEL M.S.GARDEN, KUANTAN – Rakyat Pahang khususnya mangsa-mangsa banjir, diminta bersyukur selain menjunjung kasih kepada KDYTM Tengku Mahkota Pahang yang berperanan utama dalam mendapatkan sumbangan USD10 juta atau RM32.24 juta dari Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk membantu mereka.

Ketika membuat saranan ini dalam ucapan luar teks 13-minit pada Majlis Penyampaian Bantuan Banjir daripada Kerajaan UAE yang disempurnakan oleh Baginda Tengku Mahkota pada malam Jumaat, 27 Jun di sini, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menegaskan betapa;

“Patik selaku Hamba Tua hanya berharap, supaya mangsa-mangsa banjir bersyukur ke hadrat Allah dan menjunjung kasih ke sisi KDYTM Tuanku kerana KDYTM Tuanku adalah dikatakan ‘instrumental’;

“Menjadi penyebab bagaimana Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohammed Zayed Al-Nahyan, telah memungkinkan Kerajaan UAE menyumbangkan USD10 juta untuk membantu mangsa banjir di negeri Pahang,” katanya disambut tepukan oleh para hadirin.
                             
“Ini semua berlaku kerana KDYTM Tuanku bersama-sama dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, ampun Tuanku – usia KDYTM Tuanku 55, usia Putera Mahkota Abu Dhabi 53; tetapi kedua-dua Putera Mahkota ini adalah sama-sama menuntut di Maktab Tentera -  Royal Military Academy Sandhurst, England.

PERSAHABATAN TERJALIN SEJAK DI AKADEMI TENTERA LAGI

“Persahabatan ini terjalin begitu lama sehinggalah ke saat ini, dan inilah yang telah memungkinkan UAE menyumbang USD10 juta kepada kita semua. Ini satu hakikat yang mesti difahami oleh bukan sahaja mangsa-mangsa banjiir di negeri Pahang, tetapi juga oleh seluruh rakyat negeri Pahang Darul Makmur.

“Kalaulah tidak kerana adanya persahabatan antara kedua-dua Putera Mahkota ini maka tidak mungkin bantuan USD10 juta ini dapat disalurkan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam menegaskan tentang hubungan baik antara kedua-dua Tengku Mahkota Pahang dan Putera Mahkota Abu Dhabi itu.

“It is undeniable that the aid is made possible due to the close relationship between the Crown Prince of Pahang, Tengku Abdullah and the Crown Prince of Abu Dhabi, His Highness Sheikh Mohammed Zayed Al-Nahyan.

“The relationship between the two Crown Princes go a long way, right from the time when both were cadets at the Royal Military Academy Sandhurst, England. And I am sure without this friendship, this aid would not have been possible.

“Even if it has been possible, it would not have been that fast to be extended to Pahang.

THANKING THE PRESIDENT OF UAE

“On that note, I would like to once again extend our thanks to the government of UAE especially the President of UAE, His Highness Sheikh Khalifah Zayed Al-Nahyan, and also not forgetting Mohammed Zayed Al-Nahyan, the Crown Prince of Abu Dhabi,” Dato’ SriDiRaja Adnan reiterated to the applause of those present.

Beliau juga berkata, betapa sumbangan dari Kerajaan UAE sebelum ini turut meliputi penghantaran 10 guru Bahasa Arab dari negara itu untuk mengajar bahasa berkenaan di sekolah-sekolah agama di negeri ini.

“… and this was also the result of the initiative taken by His Highness the Crown Prince of Pahang, Tengku Abdullah by indicating to His Highness Sheikh Mohammed Zayed Al-Nahyan that Pahang at that time, needed Arabic Language teachers badly so that they can be sent to the religious school in Pahang.

“And since then, the standard of Arabic language in the religious school in Pahang has been very very high indeed; has been improved so much that we have been able to take pride in the achievement of our students in mastering the Arabic language,” katanya lagi.

Pada awal ucapannya, Menteri Besar telah melahirkan rasa terharunya dengan keberangkatan KDYTM Tengku Mahkota ke majlis malam itu, yang menurutnya membuktikan betapa Baginda Tuanku sangat prihatin, dan mengambil berat tentang nasib malang yang menimpa hamba rakyat sekelian.

KDYTM TENGKU MAHKOTA SEBAGAI WARIS GANTI

“Keprihatinan KDYTM Tuanku mengingatkan patik pacal-pacal sekelian, saling tak tumpah dengan keprihatinan Paduka Ayahanda KDYMM Tuanku Sultan Pahang.

“Patik yakin dan percaya, sifat-sifat yang ada KDYTM Tuanku memberikan harapan yang cerah kepada rakyat-jelata di negeri Pahang pada masa-masa akan datang. Lebih-lebih lagi KDYTM Tuanku adalah waris ganti Kerajaan, takhta negeri Pahang Darul Makmur,” katanya.

Menurutnya, 100 orang akan menerima sumbangan pada malam ini, yang akan disusuli dengan penyampaian sumbangan yang sama kepada yang lainnya yang kini – menurut perkiraan dan pengesahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, telah mencecah kira-kira 40,000 orang.

Selain keberangkatan KDYTM Tengku Mahkota; yang turut hadir ialah Duta Besar UAE ke negara ini, Encik Abdullah Mattar Masrouie; wakil Kerajaan UAE yang turut berucap sebelum Dato’ Sri DiRaja Adnan, Encik Fahad Abdul Rahman Sultan;

Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah; Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang, Dato’ Sri Wan Wahid Wan Hassan; Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Mohamad;

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; serta Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri; wakil-wakil rakyat negeri; serta, ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. – Khabar

Tuesday 17 June 2014

Jangan keluar lesen judi untuk Berjaya Hills

… jika penentangan kita sebelum ini berjaya, begitulah juga diharapkan kali ini.

ASALNYA, BUKIT TINGGI RESORT... Sempena nama geografi kawasan di Bukit Tinggi, Bentong yang kemudian digantikan dengan nama sempena konglomerat berkenaan - Berjaya Hills. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Seperti diduga, Kumpulan Berjaya – pemilik pusat peranginan yang mereka namakan dengan gah, Berjaya Hills (asalnya, Bukit Tinggi Resort – nama menurut geografi kawasan) di Bukit Tinggi, Bentong, mahu membuat permohonan semula untuk mendapat lesen judi mengendali kasino bagi kegunaan resort ini.

Ini dipercayai ada kaitan dengan laporan berita sebelum ini tentang kebarangkalian Resorts World Genting (RWG) – pengendali tunggal bagi pusat perjudian di negara ini setakat ini, memohon menambah lagi 100 meja judi di pusat peranginannya di Genting Highlands dalam usaha menaik taraf  bernilai RM3,000 juta di sana.

Permohonan semula bagi mendapat lesen judi di Berjaya Hills ini mungkin berasaskan logik; jika RWG memohon dan dipertimbangkan untuk menambah lagi 100 meja judi, mengapa pula permohonan mereka (Kumpulan Berjaya) yang telah ditolak sebelum ini, tidak mendapat layanan sepertimana RWG?

Rancangan untuk memohon semula lesen judi ini disebut oleh pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan sepertimana laporan berita yang disiarkan dalam halaman pertama sisipan Business Times keluaran akhbar New Straits Times pada Selasa, 17 Jun.

Beliau dilaporkan berkata agar permohonan semula ini – dengan menyuntik pelaburan kira-kira RM3,000 juta (sama nilai sepertimana yang diumumkan oleh RWG untuk menaik taraf resort mereka di Genting Highlands); tidak akan menerima tentangan daripada mana-mana pihak.

PELAN LOKASINYA...


TAK BOLEH TUMPU KEPADA SATU PENGENDALI KASINO SAHAJA?

“Kami akan memohon semula lesen itu. Malaysia tidak boleh tertumpu kepada satu pengendali. Ia patut dikongsi dengan pengendali-pengendali lain memandangkan pembangunan pelancongan boleh menjana pendapatan yang banyak kepada negara,” Tan Sri Vincent dilaporkan sebagai berkata.

Beliau juga berkata, “Kami akan memasarkan Berjaya Hills secara global, sebagai destinasi kasino. Saya mempunyai tanah seluas 4,600 hektar di Berjaya Hills dan banyak yang boleh dilakukan dengan pemilikan lesen berkenaan.”

Seperti yang kita masih ingat, Kumpulan Berjaya telah pertama kali memohon mendapatkan lesen judi bagi Berjaya Hills pada awal tahun 2000, semasa negara masih di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, permohonan itu menerima tentangan keras terutamanya dari Kerajaan Negeri sendiri, yang ketika itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berada pada awal tempohnya sebagai Menteri Besar lagi.

Tentangan keras tersebut bukan sahaja dinyatakan dengan jelas dan dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan hingga mendapat reaksi serta sokongan padu daripada pihak-pihak seperti pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi turut disampaikan menerusi saluran betul dalam hubungan Kerajaan Negeri ke Karajaan Persekutuan.

COLMAR TROPICALE... Tarikan yang masih belum kuat hingga perlukan lesen judi?


“Bila pulalah Kerajaan suruh Berjaya bersaing dengan Genting?”

Ketika itu juga, penulis sendiri ada bertanyakan kepada seorang pegawai tinggi Kumpulan Berjaya tentang rasional di sebalik permohonan untuk lesen judi berkenaan yang jawabnya, ialah untuk bersaing dengan RWG.

“Bagaimana Kerajaan hendak berharap kami bersaing dengan Genting jika kami tidak diberikan lesen,” begitulah lebih kurang alasan yang diberikan, yang dalam hati penulis tertanya pula, “Bila pulalah Kerajaan suruh Berjaya bersaing dengan Genting?”.

Seingat penulis, semasa Kerajaan Negeri didatangi – ketika Tun Mohd Khalil Yaakob sebagai Menteri Besar; bagi permohonan untuk mendapatkan tanah Kerajaan di Bukit Tinggi itu, yang dicadangkan – sepertimana idea Dr Mahathir juga, ialah membangunkannya seperti kawasan peranginan tanahtinggi Alsace di timur Perancis.

Dan jika kita semak kembali apakah tempat-tempat tarikan di wilayah ini – daripada laluan Tour de France menerusi Lembah Munster, bandar Colmar di tengah-tengahnya atau Alsace Ecomuseum yang menempatkan 70 rumah ‘country’; tidak satupun yang menjurus kepada penganjuran aktiviti perjudian.

Kalaupun yang negatif ialah wujudnya tarikan Alsace Wine Route, yang membawa pengunjung menelusuri laluan dan sejarah pembuatan wainnya, yang dikatakan menghimpunkan kira-kira 1,000 pengeluar bahan minuman tersebut.

TARIKAN DI KAWASAN TANAHTINGGI WILAYAH ALSACE, FRANCE...


NAK JADI DESTINASI KASINO MENYIMPANG DARIPADA MATLAMAT ASAL

Maka kini, jika Kumpulan Berjaya hendak menjadikan kawasan tanahtinggi ini sebagai ‘destinasi kasino antarabangsa’ pula, jelas sekali ia telah menyimpang jauh daripada sasaran asal bagi memajukannya.

Kalau alasan untuk menjana pendapatan negara digunakan termasuk kononnya, bakal mewujudkan kira-kira 10,000 lagi peluang pekerjaan; maka kita boleh katakan kepada Tan Sri Vincent, ‘go fly a kite’lah.

Kita tidak perlukan ‘gula-gula’ sebegini yang, sungguhpun dijanjikan bulan dan bintang sekalipun, masih kita tidak perlukan yang sudah tentu tidak akan ada ‘barakah’nya (istilah dan maksud yang mungkin pula sukar difahami oleh orang bukan Islam).

Maka, jika permohonan daripada Kumpulan Berjaya sebelum ini ditolak oleh Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kewangan, ekoran bantahan keras daripada Kerajaan Negeri serta pelbagai pihak lain; begitulah juga diharapkan pada kali ini.

Untuk berlaku adil kepada semua – termasuk juga kepada kedua-dua Kumpulan Berjaya dan RWG (mengenai permohonan untuk tambahan 100 lagi meja judi itu), elok ditolak sahaja permohonan kedua-duanya serta tegaskan ‘once and for all’, cukuplah dengan apa yang telah diperolehi selama ini.

Tak kiralah jika pemilik atau pemimpin kedua-dua konglomerat ini boleh sahaja ‘berlaga bahu’ dengan ‘powers that be’ atau ber‘kenalan rapat’dengan mana-mana pihak istana, yang lebih utama, tentulah rakyat-jelata serta syiar Islam yang hendak terus dipertahankan di sebuah negara Islam seperti Malaysia. – Khabar



Tuesday 10 June 2014

Tuntutan kepada komitmen dan semangat tinggi bagi majukan persatuan belia

… sepertimana saranan Menteri Besar pada Malam Anugerah Belia Negara peringkat negeri Pahang 2014

MENTERI BESAR DAN PEMENANG-PEMENANG ANUGERAH...


HOTEL ZENITH, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan para belia agar dapat memberikan komitmen dan bersemangat tinggi dalam memajukan persatuan belia masing-masing.

Menurutnya, ketika beliau masih belasan tahun lagi dengan menyertai Persatuan Belia Bersekutu Mukim Bentong (PBBMB), banyak aktiviti belia dapat dilakukan secara sukarela dan dengan peruntukan yang terhad.     

“Bukan pula saya ingin menyatakan di sini iaitu Saudara-saudari mesti menghabiskan wang ringgit (sendiri) untuk kegiatan belia, tidak...

“Tetapi yang saya maksudkan ialah supaya sekurang-kurangnya komitmen, semangat itu mesti ada untuk memajukan persatuan belia kita,” katanya dalam ucapan luar teks 17-minit pada Malam Anugerah Belia Negara peringkat negeri 2014, Selasa, 10 Jun di sini.

Menurutnya lagi, menerusi penglibatan dalam persatuan belialah seseorang berpeluang untuk melatih diri dalam aspek kepimpinan – sama ada dalam kedudukan sebagai pengerusi mahupun jawatan-jawatan lain.  

KEBANGGAAN SEORANG MB, DAN SEBAGAI WAKIL RAKYAT... Kejayaan Persatuan Belia Satu Pelangai yang dinobatkan sebagai pemeang utama dengan membawa pulang wang tunai RM10,000, tentu sekali membanggakan Dato' Sri DiRaja Adnan yang juga wakil rakyat negeri (BN - Pelangai). 


‘BENARKAN YANG ADA TOKOH KE HADAPAN’

Dan beliau percaya betapa dalam persatuan belia di negeri ini, tidak banyak politiking seperti gejala guling-mengguling atau menganjurkan undi tidak percaya terhadap pemimpin.

“Seboleh-bolehnya biarlah kegiatan belia ini kita laksanakan sebaik-baiknya dan dalam masa pemilihan, biarlah proses itu berjalan supaya mereka yang ada ketokohan akan ke hadapan.

“Dan kita sebagai orang yang menyokong tetap menyokong, kalau ada yang menjadi ahli biasa, biarlah (berperanan sebagai) ahli biasa,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menyarankan agar golongan belia – selain memastikan mereka mendapat perhatian sewajarnya daripada Kerajaan, mereka juga mesti sedar betapa mereka adalah golongan yang penting dalam negara.

“Bermakna, kalau golongan belia kita ini mempunyai prestasi yang tinggi dalam bidang pendidikan, mempunyai disiplin yang tinggi dan setiap perkara yang kita lakukan, laksanakan adalah mengikut kaedah-kaedah tertentu yang menjamin kejayaan sesuatu perkara yang kita lakukan itu, maka ini akan menjamin masa depan negara,” katanya.

CEK BUAT IKON BELIA NEGERI... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan cek kepada pendakwah terkenal yang juga kakitangan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Encik Badli Shah Alauddin.


BELIA IALAH ANTARA 15 DAN 40 TAHUN

Beliau seterusnya memberikan takrifan kepada ‘belia’ sepertimana diistilahkan oleh Dasar Pembangunan Belia Negara, iaitu yang berumur antara 15 dan 40 tahun.

Dan di negara ini, terdapat 13.676 juta orang belia, yang membentuk kira-kira 49 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara yang kini mencecah kira-kira 28 juta orang.

Daripada 13.676 juta orang ini, belia lelaki ialah kira-kira 7.112 juta manakala belia perempuan ialah kira-kira 6.564 juta orang.

Di Pahang pula, jumlah belia ialah seramai 703,400 orang atau kira-kira 47 peratus daripada jumlah penduduk negeri yang seramai kira-kira 1.5 juta orang, yang daripadanya, belia lelaki ialah kira-kira 384,600 orang manakala belia perempuan ialah kira-kira 318,800 orang.

“Ini sahaja menjadikan golongan belia sebagai kumpulan umur terbesar di negara dan negeri ini, maka sewajarnya diberikan perhatian khusus terhadapnya,” katanya.

MESRA BERSAMA PESERTA CILIK... Mereka mungkin bukan belia, tetapi persembahan anak-anak cilik dalam seni mempertahankan diri pada Malam Anugerah ini telah turut menarik perhatian Menteri Besar.


ENAM PERKARA TENTANG BELIA DALAM MENIFESTO

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya mengulangi enam (6) perkara mengenai belia, yang termaktub dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 pada Mei tahun lepas.

Keenam-enamnya ialah untuk menyalurkan bantuan pengurusan kepada semua persatuan belia di peringkat akar umbi sebanyak rm 3,000 setahun; untuk menambahbaik dan melengkapkan semua gelanggang futsal dengan pencahayaan, pagar dan kemudahan tandas;

Bagi menyediakan premis perniagaan khusus untuk membangunkan usahawan belia di kawasan berdaya maju di semua daerah; ke arah memperkasakan capaian ekonomi di kalangan graduan anak pahang termasuklah dari timur tengah dengan melahirkan sekurang-kurangnya 100 usahawan dalam tempoh lima (5) tahun.

Demi mewujudkan tabung amanah usahawan muda bernilai RM5 juta; dan, untuk menggalakkan program sukarelawan bagi meningkatkan penglibatan belia di dalam masyarakat.

“Janji enam (6) perkara ini, memang sedang dalam usaha pelaksanaan. Kebanyakan daripadanya telahpun ada cuma perlu dipertingkatkan sahaja lagi.

CERIANYA MENTERI BESAR, DALAM MENYAMPAIKAN UCAPAN LUAR TEKS 17-MINITNYA...


BANTUAN PENGURUSAN DINAIKKAN KEPADA RM3,000

“Misalnya, daripada segi bantuan pengurusan untuk persatuan-persatuan belia, sebelum ini, Kerajaan Negeri salurkan ialah RM2,000 setahun kepada 16 persatuan yang di bawah Majlis Belia Negeri.

“Yang perlu dilaksanakan demi menetapi janji, ialah meningkatkan nilainya kepada RM3,000 setahun dan pula meliputi semua persatuan belia termasuk di peringkat akar-umbi,” katanya.

“Saya berharap, tuan-tuan dan puan-puan golongan belia sekelian, dapat bersabarlah. Saya pernah sebutkan sebelum ini, Kerajaan Negeri hanya berjanji atas perkara-perkara yang berupaya dilaksanakannya.

“Ia tidak sekali-kali menjanjikan ‘bulan dan bintang’ yang tentu tidak dapat tercapai,” katanya lagi.

Pun begitu, beliau menambah kata betapa janji untuk membina 15,000 unit rumah mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Negeri Pahang dalam tempoh antara 2014 dan 2018 seperti juga termaktub dalam Manifesto BN Negeri itu, turut melibatkan golongan belia.

BELIA DIUTAMAKAN UNTUK BELI PR1MA NEGERI PAHANG

Misalnya, kriteria yang ditetapkan bagi mereka yang layak memohon untuk memiliki unit-unit rumah di bawah PR1MA Negeri ini ialah – selain dianya rakyat Malaysia dengan keutamaan kepada rakyat KDYMM Sultan Pahang, berpendapatan seisi rumah tidak lebih RM5,000 sebulan, telah menetap di negeri ini secara berterusan tidak kurang lima (5) tahun ialah;

Keutamaan kepada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah atau kategori di bawah takrifan ‘belia’.

“Kita janji 15,000 ni kalau kot 15,000 ni payah dicapai. Rupanya mudah sangat, tak sampai setahun hampir dah 15,000. Kalau macam tu patut kita boleh janjikan 15 (,000) X 5, 75,000 unit!

“Di sini saya ingin sebutkan, kita akan teruskan usaha ini. Apabila sasaran (15,000 unit) telah dicapai, kita akan teruskan. Dan setakat ini, kita telahpun melaksanakan beberapa projek dan keluasan yang terlibat 29 kawasan, seluas 1,200 ekar,” katanya.

Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, yang turut hadir ialah Pengerusi, Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Mohd Johari Hussin; beberapa ahli Exco Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat;

Serta, Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Kamarulzaman Hassan Mansor; dan, Presiden, Majlis Belia Negeri, Encik Khairul Amin Osman. – Khabar