Thursday 28 June 2012

Menggiat ekonomi, membangunkan prasarana sukan baharu dan diperbaharui



… selain tema Sukan Malaysia XV Pahang 2012 – Sukan Menjana Perpaduan

PRASARANA SUKAN YANG DIPERTINGKATKAN... Inilah wajah baharu Stadium Darul Makmur, yang dengan dana yang disumbangkan oleh Kerajaan Persekutuan demi Sukan Malaysia XV Pahang 2012, dapat ditambah-baikkan keadaannya. 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Dalam tempoh sebulan-dua ini, Pahang khususnya Kuantan, semakin terasa akan terlalu hampirnya penganjuran Sukan Malaysia XV yang Pahang menjadi tuanrumah kali ini.

Ini nyata jika melalui atau menghampiri ke kawasan-kawasan yang berdekatan dengan ‘venue-venue’ pertandingan seperti Stadium Darul Makmur bagi acara perasmian dan penutupan serta acara sukan olahraga;

Wisma Belia yang menempatkan stadium hoki (untuk lelaki) dan kolam renang, Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) yang menempatkan gelanggang-gelanggang tertutup bagi acara-acara gimnastik, badminton, menembak, ‘lawn bowl’ serta stadium hoki terbuka (untuk wanita).

Apatah lagi dengan kerancakan kerja ke arah menyempurnakan segala persiapan pada saat-saat akhir terhadap ‘venue-venue’ tersebut, menjelang hari berlangsungnya kejohanan sukan berprestij ini, antara 7 dan 16 Julai.

Jika tema Sukan Malaysia XV Pahang 2012 ini ialah Sukan Menjana Perpaduan yang tentunya tepat sekali, penulis melihat dengan kerancakan yang dialami, sukan ini juga turut menjana ekonomi menerusi kerja-kerja penambah-baikan ‘venue-venue’ berkenaan.

DARIPADA YANG TAK BERBUMBUNG KEPADA BERBUMBUNG... Foto ini dirakamkan pada pagi Khamis, 28 Jun di kolam renang, Wisma Belia. Kerja-kerja akhir dilaksanakan bagi menyempurnakannya. 


PENJANAAN EKONOMI DINIKMATI LANGSUNG, TAK LANGSUNG

Penjanaan ini pasti berlaku sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Manfaat daripadanya bukan sekadar dinikmati oleh para kontraktor, malah sub-kontraktor, pembekal-pembekal serta yang berkaitan dengannya.

Kali terakhir Pahang selaku tuanrumah ialah kira-kira 16 tahun lepas, pada tahun 1996.

Kira-kira 6,436 orang atlit dan pegawai akan terlibat pada kejohanan Sukan Malaysia XV Pahang 2012 ini, bertanding dalam 24 acara sukan iaitu; akuatik, angkat berat, berbasikal, bolasepak, badminton.

Gimnastik (artistik), gimnastik (gimrama), hoki lelaki dan wanita, ‘lawn bowl’, memanah, menembak, olahraga, pencak silat, skuasy, ‘tenpin bowling’, wushu, karate, perahu layar.

Sepaktakraw, taekwando, bolatampar, golf, ‘petanque’, ‘equestrian’ (‘endurance’), ‘equestrian’ (‘show jumping’ dan ‘dressage’), serta tinju.

‘VENUE-VENUE’ KEJOHANAN

Sungghunpun tempoh kejohanan ialah antara 7 dan 16 Julai, ada sesetengah acara sukan bermula sebelum itu lagi seperti karate (1 dan 2 Julai), taekwando (3 hingga 6 Julai), berbasikal (4 hingga 14 Julai), bolasepak (4 hingga 15 Julai), gimnastik (artistik) (6 hingga 10 Julai), hoki lelaki (5 hingga 15 Julai), dan perahu layar (6 hingga 11 Julai).     
     
Selain Stadium Darul Makmur, Wisma Belia dan SUKPA, ‘venue-venue’ lain ialah Politekenik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) (memanah), Kelab Golf DiRaja Pahang (golf), Kompleks Sukan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Indera Mahkota (sepaktakraw).

Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang (karate, taekwando dan wushu), Pusat Boling Megalane, Berjaya Megamall (‘tenpin bowling’), SRJK (C) Chung Ching  dan SMK Tanah Putih (bolatampar).

SMK Bukit Rangin (tinju), Gelanggang Ekuestrian, Tanjung Lumpur (‘equestrian’), Pusat Rekreasi Air Balok (perahu layar), Gelanggang ‘petanque’, Balok (‘petanque’), Padang MPK 1 & 2 (bolasepak), Gelanggang Skuasy, Taman Gelora (skuasy), Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan (angkat berat).

Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Lanchang (pencak silat), dan, Kuala Gandah, Lanchang (berbasikal). – Khabar      


MATA KE MATA;

*** Jika tema Sukan Malaysia XV Pahang 2012 ini ialah Sukan Menjana Perpaduan yang tentunya tepat sekali, penulis melihat dengan kerancakan yang dialami, sukan ini juga turut menjana ekonomi menerusi kerja-kerja penambah-baikan ‘venue-venue’ berkenaan.

*** Penjanaan ini pasti berlaku sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Manfaat daripadanya bukan sekadar dinikmati oleh para kontraktor, malah sub-kontraktor, pembekal-pembekal serta yang berkaitan dengannya.

*** Kira-kira 6,436 orang atlit dan pegawai akan terlibat pada kejohanan Sukan Malaysia XV Pahang 2012 ini, bertanding dalam 24 acara sukan.

*** Sungghunpun tempoh kejohanan ialah antara 7 dan 16 Julai, ada sesetengah acara sukan bermula sebelum itu lagi seperti karate (1 dan 2 Julai), taekwando (3 hingga 6 Julai), berbasikal (4 hingga 14 Julai), bolasepak (4 hingga 15 Julai), gimnastik (artistik) (6 hingga 10 Julai), hoki lelaki (5 hingga 15 Julai), dan perahu layar (6 hingga 11 Julai).     
     

Saturday 16 June 2012

Taman Bandar -- satu lagi taman rekreasi menarik dan mendamaikan di bandar Kuantan


tapi… trek ‘jogging’nya keras berbanding yang berpasir lagi ‘natural’ di Taman Gelora

TAMAN BANDAR YANG MENDAMAIKAN... Selain tasik yang luas, seluas tiga hektar, ialah bangunan KDN (kelihatan di celah pokok) dan jeti kecil. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Taman Bandar atau nama rasminya, Taman Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Indera Mahkota dekat sini, ialah satu lagi taman rekreasi tumpuan awam di bandar ini selain daripada yang lebih popular di Taman Gelora.

Berbanding Taman Gelora yang terletak di tepian laut – Laut China Selatan, Taman Bandar ialah di pinggir bandar Kuantan ini (kira-kira 10-minit perjalanan berkenderaan) tanpa laut atau sungai menyempadaninya.

Yang bersempadan dengannya hanyalah;

Ke sebelah timur, stadium tertutup Sukan Pahang (SUKPA) dan jimnasium serta stadium mini hoki terbuka dan lapangan sasar menembak yang sedang giat diperbaiki dan dinaikkan taraf untuk Sukan Malaysia ke-15 yang bakal Pahang jadi tuanrumah antara 7 dan 16 Julai ini serta, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan.

Ke barat, bangunan kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) negeri serta beberapa lagi pejabat kerajaan berstruktur bangunan menarik seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Pelesenan dan Pendaftaran Minyak Sawit (PORLA).

GELANGGANG ‘WOODBALL’ YANG DIABAIKAN

Ke utara, jalanraya Pintasan Kuantan-Pelabuhan Kuantan yang semakin memudah-lancarkan perjalanan ke Pelabuhan Kuantan menerusi kawasan perindustrian Gebeng atau ke sempadan negeri Terengganu dekat Jabor dengan laluan empat-lorongnya.

Dan, ke selatan, pusat perniagaan ala-Pekan Rabu, Alor Setar – Kompleks Dagangan Mahkota (KDM) yang didirikan oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC) yakni Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) serta hotel 3-bintang terbaharu dibangunkan swasta, Hotel Sri Manja.

Ciri utama Taman Bandar bagaimanapun, ialah sebuah tasik luas kira-kira tiga (3) hektar yang dikelilingi trek ‘jogging’ dengan beberapa kemudahan senaman di sepanjang laluan ini dan beberapa ‘wakaf’ serta sebuah gelanggang ‘woodball’ dan bola keranjang yang semakin terbiar, daif.

Sejak penulis berpindah ke sini pada awal tahun ini dari kuarters kerajaan di Jalan Teluk Sisek yang berdekatan dengan Taman Gelora; Taman Bandar ialah sasaran hujung minggu bagi aktiviti ber‘jogging’ dan ber‘brisk-walking’ sekeluarga.

MENTERI BESAR DI TAMAN BANDAR... Menteri Besar, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob disamping Presiden, Majlis Belia Negeri, Encik Norol Azali Sulaiman yang juga wakil rakyat (BN - Guai) turut berada di Taman Bandar sempena sambutan Hari Belia peringkat negeri pada Mei lepas.   


HANYA 15 ½ MINIT UNTUK SATU PUSINGAN

Dengan mengambil perjalanan berkenderaan tidak sampai lima (5) minit, melalui Jalan Sultan Abdullah melepasi dua (2) lampu isyarat di persimpangan jalan-persimpangan jalan berdekatan Sekolah Menengah Panglima Perang dan Jalan Sultan Abdullah/Jalan Sungai Lembing; belok ke kiri melepasi KDM, Hotel Sri Manja dan KDN, maka sampailah ke Taman Bandar yang mempunyai banyak petak parkir kereta ini.

Turun sahaja dari kenderaan, penulis dan keluarga terus ke trek ‘jogging’. Pada Sabtu, 16 Jun, ‘timing’ yang diambil ialah; mula pada 7.23 pagi dan berakhir pada 7.54 pagi atau 31 minit untuk dua pusingan atau kira-kira 15 ½ minit satu pusingan.

Selain penulis dan keluarga ialah ramai lagi penduduk Kuantan berdekatan termasuk murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota (SKIM) yang berdekatan. Dan, kemeriahan di sini tidak jauh berbeza daripada yang pernah penulis alami di Taman Gelora.

Dan, penulis lebih gembira kerana sepanjang ber‘jogging’ dan ber‘brisk-walking’ di sini, belum lagi penulis terserempak dengan mana-mana ‘joggers’ atau ‘brisk-walkers’ yang berpakaian-T berlambangkan logo anti projek RM2,300 juta pemprosesan logam tanah jarang Lynas di Gebeng.

Jika di Taman Gelora, pada hari-hari biasa tanpa berpakatpun cuma adalah empat-lima ‘kerat’ yang mengenakan pakaian-T tersebut (dan bila dilakukan secara berpakat, tidakpun sampai 700 orang).

TREK KERAS?... Hingga turut menyakitkan tapak kaki dan seluruh badan. Perlu ditukarkan kepada yang lebih 'natural' sepertimana d Taman Gelora?


LANGSUNG TIADA PUAK ANTI-LYNAS DI TAMAN BANDAR INI

Di Taman Bandar ini, langsung tiada seorang maka kesimpulan yang boleh penulis ambil ialah; isu anti-Lynas langsung tidak ‘laku’ di sini. Jadi, cukup-cukuplah kepada puak segelintir penentang projek ini.

Kalaupun ada apa-apa ‘complaint’, datangnya daripada sahabat penulis, Dato’ Ismail Mohd Noor, bekas Pengarah, Jabatan Bekalan Air Negeri (kini diperbadankan dikenali Pengurusan Air Pahang atau PAIP) yang jawatan terakhir sebelum bersara ialah ketua, Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) yang penulis temui pagi itu.

"Haji, bagi tahulah MPK (Majlis Perbanaran Kuantan), buatlah ‘jogging track’ macam di Taman Gelora tu. Di sini, keraslah…,” katanya dengan isteri di sisi, dan mereka tinggal di kawasan perumahan Indera Mahkota 2 berdekatan.

Penulis juga bersetuju dengan ‘complaint’ Dato’ Ismail tentang trek ‘jogging’ berlapisan batu simen itu tetapi, tidaklah cukup besar dan amat merungsingkan hingga perlu membuat ‘complaint’ rasmi terhadapnya. – Khabar     


MATA KE MATA;

*** Ciri utama Taman Bandar ialah sebuah tasik luas kira-kira tiga (3) hektar yang dikelilingi trek ‘jogging’ dengan beberapa kemudahan senaman di sepanjang laluan ini dan beberapa ‘wakaf’ serta sebuah gelanggang ‘woodball’ dan bola keranjang yang semakin terbiar, daif.

*** Penulis lebih gembira kerana sepanjang ber‘jogging’ dan ber‘brisk-walking’ di sini, belum lagi penulis terserempak dengan mana-mana ‘joggers’ atau ‘brisk-walkers’ yang berpakaian-T berlambangkan logo anti projek RM2,300 juta pemprosesan logam tanah jarang Lynas di Gebeng.

*** Di Taman Bandar ini, langsung tiada seorang maka kesimpulan yang boleh penulis ambil ialah; isu anti-Lynas langsung tidak ‘laku’ di sini. Jadi, cukup-cukuplah kepada puak segelintir penentang projek ini.

*** "Haji, bagi tahulah MPK (Majlis Perbanaran Kuantan), buatlah ‘jogging track’ macam di Taman Gelora tu. Di sini, keraslah…,” katanya dengan isteri di sisi, dan mereka tinggal di kawasan perumahan Indera Mahkota 2 berdekatan.

  

Wednesday 13 June 2012

Jadilah 'mata', 'telinga' serta 'tangan' Kerajaan!


… saranan Menteri Besar kepada pemimpin-pemimpin akar umbi termasuk badan-badan bukan kerajaan

MENDEKATI RAKYAT... Di bawah panas terik matahari -- luar dari pentas utama dan rostrum di bawah khemah VVIP, Menteri Besar berucap demi mendekatkan dirinya kepada mereka yang hadir pada majlis di Kampung Desa Baru Purun ini.


KAMPUNG DESA BARU PURUN, KERDAU, TEMERLOH – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan para pemimpin akar umbi termasuk dalam kalangan badan-badan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak setakat menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’, tetapi juga ‘tangan’ Kerajaan.  

Sebagai ‘mata’ dan ‘telinga’ Kerajaan katanya pada persidangan media selepas merasmikan program Mesra Rakyat pada tengah hari Selasa, 12 Jun d sini, peranan itu ialah bagi mendekati seterusnya mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Sebagai ‘tangan’ Kerajaan pula, ialah melakukan kerja-kerja lanjutan termasuk memaklumkan masalah-masalah tersebut menerusi saluran Kerajaan seperti kepada wakil-wakil rakyat, Pegawai Daerah (DO), ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri mahupun Menteri Besar. 

Ekoran daripada itulah katanya, bantuan dapat disalurkan dalam tempoh yang wajar seterusnya dapat menangani serta mengatasi apa juga masalah yang dihadapi oleh rakyat-jelata.

“Saya ingin mengulang untuk kesekian kali iaitu peranan pemimpin-pemimpin peringkat akar umbi seperti ketua kampung, ketua-ketua badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Komuniti 1Malaysia;

CEK BESAR, NILAIPUN BESAR... Kata dikota, janji ditepati. Maka pada tengah hari Selasa itu, para belia dari tiga (3) kampung berkenaan -- Desa Baru Purun, Teluk Sentang dan Badok, benar-benar diserahkan cek peruntukan bagi mengusahakan penternakan ikan sangkar di tebing Sungai Pahang berdekatan.


TIDAK PULA BOLEH SALUR PERUNTUKAN SEKEHENDAK HATI

“Mereka ini perlu memainkan peranan bukan setakat sebagai mata dan telinga, dia tangan juga mesti berjalan. Iaitu, dia nampak ada masalah kampung, katalah orang miskin, tak ada orang menjaga sebagainya.

“Dan dia pasang telinga, apa cerita dia pergi tengok, tangan dia buatlah surat, beritahu wakil rakyat, beritahu DO, beritahu Exco, beritahu Menteri Besar. Sebab, Kerajaan ada peruntukan untuk tolong orang-orang sedemikian,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Sungguhpun begitu katanya, Kerajaan tidaklah pula boleh menyalurkan peruntukan-peruntukan tersebut sewenang-wenangnya kecuali kepada mereka yang benar-benar layak memperolehinya. 

“Kalau kita menyalurkan sekehendak hati, ramailah yang menjadi orang ‘miskin’ pula. Kitapun nak jadi ‘miskin’ kalau (dengan) menjadi ‘miskin’ dapat duit banyak,” katanya mengingatkan.

Dato’ Sri DiRaja Adnan merasionalkan saranannya tentang keperluan para pemimpin akar umbi menjadi bukan setakat ‘mata’ dan ‘telinga’, malah sebagai ‘tangan’ Kerajaan itu.

MANFAAT UNTUK SEMUA, TAK KIRA KAWAN ATAU SETERU POLITIK... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan skrol yang mengandungi suratan hak milik sebagai peserta Felcra kepada Encik Hasanuddin yang mewakili ayahnya, sambil turut disaksikan oleh Syed Ibrahim. 


TURUN PADANG JENGAH/ZIARAH YANG MEMERLUKAN

Ia berdasarkan beberapa siri amalan turun padangnya secara spontan serta luar jadual asal khususnya semasa menjengah dan menziarahi ke rumah-rumah golongan-golongan yang memerlukan.

“Sebab saya pergi banyak tempat. Bila saya memanjat rumah-rumah orang miskin (serta yang memerlukan) ini, orang sakit terlantar; pada masa itulah baharu ketua kampung, penghulupun mendapat tahu (tentang masalah penduduk berkenaan),” katanya.

“Maknanya,” kata Menteri Besar lagi, “Pemimpin peringkat akar umbi ini penting. Mereka dapat menyalurkan maklumat kepada wakil rakyat sebagainya, orang ni (kemudian) dapat dibantu (yang kerana itulah, baharulah) bermakna mereka telah memainkan peranan yang sangat besar”.

“Bayangkan, kalau mereka (pemimpin akar umbi) tidak memainkan peranan, (lalu menyebabkan) orang yang patut dapat bantuan terabai…,” katanya sambil menegaskan betapa saranannya ini tidak pula menandakan pemimpin-pemimpin ini telah mengabaikan peranan masing-masing.

Saraannya itu dibuat sedemikian rupa dengan harapan agar ‘keadaan ini diperbaiki lagi’ selain meningkatkan lagi kecekapan mereka supaya banyak maalah yang dihadapi leh rakyat-jelata dapat dtangani dan diatasi.

PECAHKAN TANAH... Yang akan memanfaati daripada usaha ini ialah kira-kira 100 penduduk kampung yang bakal menerima kira-kira sesuku ekar seorang. 


ORANG PASPUN TERIMA SURATAN HAKMILIK FELCRA

“Contoh mudah, wakil rakyat datang bercakap, berjanji macam-macam. Ah… kita akan beri tiga kampung 56 sangkar (ikan). Wakil rakyat berjanji, Menteri Besar pula mengulang lagi, benda (sangkar ikan) tak sampai, rakyat marah.

“Sebenarnya bukannya kita mungkir janji. Terlampau banyak sangat yang kita nak buat sehingga kita lupa. Ha… itu kerja dia orang (para pemimpin akar umbi untuk) mengingatkan kita.

“Saya berterima kasih sebabnya penduduk di kawasan Desa Baru Purun in selalu mengingatkan kita, proaktif. Sehingga hari ini, Kerajaan membelanjakan hampir setengah juta ringgit (RM500,000) untuk tiga buah kampung bagi projek sangkar ikan,” katanya.

Pada program Mesra Rakyat itu, selain Menteri Besar menyerahkan cek bernilai RM498,000 bagi aktiviti ekonomi penternakan ikan sangkar kepada belia-belia di kampung ini sendiri serta dua (2) lagi kampung berdekatan iaitu Kampung Teluk Sentang dan Kampung Badok;

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyerahkan suratan hak milik sebagai peserta Felcra Kampung Berhala kepada 126 orang termasuk Encik Hasanuddin Salim (yang mewakili ayahnya) – calon PAS yang menentang calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad pada pilihanraya kecil kawasan Kerdau, tahun lepas.  

PEMIMPIN YANG PRAKTIKAL, MENERUSI GERAK-KERJA PRAKTIKAL JUGA.... Apakah kenderaan yang lebih wajar dan praktikal untuk melakukan lawat-tinjau projek-projek pembangunan di kawasan luar bandar selain daripada motosikal?

Dengan bermotosikallah, Dato' Sri DiRaja Adnan meninjau dua (2) unit gerai yang dibiayai oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), kemudian ke tebing Sungai Pahang yang berdekatan yang dikenal pasti sebagai tapak bagi usaha penternakan ikan sangkar.   


LAGI 12.2 HEKTAR UNTUK PEMBESARAN KAMPUNG

Beliau kemudian turut diberi penghormatan bagi merasmikan tapak 12.2 hektar (30 ekar) di kawasan berhampiran, untuk dijadikan tapak pembesaran kampung sedia ada melibatkan 100 orang, masing-masing seorang menerima suku ekar.

Selain Syed Ibrahim (BN – Kerdau) sendiri, yang turut hadir ialah Dato’ Mohamad Jaafar (BN – Jenderak) serta Pengurus Besar Felcra Pahang, Dato’ Mohd Ghazali Karim. – Khabar


MATA KE MATA;

*** Sebagai ‘tangan’ Kerajaan pula, ialah melakukan kerja-kerja lanjutan termasuk memaklumkan masalah-masalah tersebut menerusi saluran Kerajaan seperti kepada wakil-wakil rakyat, Pegawai Daerah (DO), ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri mahupun Menteri Besar. 

*** “Sebab saya pergi banyak tempat. Bila saya memanjat rumah-rumah orang miskin (serta yang memerlukan) ini, orang sakit terlantar; pada masa itulah baharu ketua kampung, penghulupun mendapat tahu (tentang masalah penduduk berkenaan).”  

*** “Contoh mudah, wakil rakyat datang bercakap, berjanji macam-macam. Ah… kita akan beri tiga kampung 56 sangkar (ikan). Wakil rakyat berjanji, Menteri Besar pula mengulang lagi, benda (sangkar ikan) tak sampai, rakyat marah.

*** Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyerahkan suratan hak milik sebagai peserta Felcra Kampung Berhala kepada 126 orang termasuk Encik Hasanuddin Salim (yang mewakili ayahnya) – calon PAS yang menentang calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad pada pilihanraya kecil kawasan Kerdau, tahun lepas.  

Tuesday 12 June 2012

Dana Khas RM150 juta untuk bangunkan kawasan-kawasan tinggalan LKWJ dan DARA


… atau kira-kira RM50 juta setahun (2010 – 2012) bagi menjayakan 291 projek berorientasikan atau demi manfaat rakyat
BERSAMA-SAMA PENYEWA GERAI... Cerianya para penyewa dengan kunci olok-olok yang mereka terima sebelumnya daripada Dato' Sri DiRaja Adnan. Antara yang turut kelihatan ialah Dato' Jebasingham (rambut putih di belakang), Dato' Fazilla, Dato' Ismail dan Wan Salman. 
 

ANJUNG SELERA JENGKA, JENGKA, MARAN – Kerajaan telah menyalurkan RM150 juta bagi membangunkan kawasan-kawasan tinggalan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pahang Tenggara (DARA) sejak 2010 hingga kini.

Penyaluran ini di bawah Dana Khas Kerajaan Persekutuan, ialah menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kepada pihak berkuasa tempatan-pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan meliputi Maran, Temerloh, Bera, dan Jerantut, serta Rompin dan Pekan.

Kedua-dua LKWJ dan DARA – yang semasa kewujudannya bertanggungjawab membangun dan menyediakan perkhidmatan perbandaran di kawasan-kawasan yang diliputinya dengan dana diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan juga; telah dibubarkan pada tahun 1997.

Sejak itu hinggalah 2009, kawasan-kawasan liputan dan tinggalan LKWJ dan DARA ini kembali dipertanggungjawabkan ke atas PBT-PBT terbabit namun oleh sebab kekangan kewangan, kawasan-kawasan ini seperti dipinggirkan. 

Dan di pekan kecil Jengka ini sahaja, RM10 juta disalurkan bagi membangunkan Terminal Pengangkutan Bersepadu Jengka Sentral (Jengka Sentral) dan RM2.66 juta lagi bagi pembinaan medan selera Anjung Selera Jengka ini.

TANDATANGAN DITURUNKAN... Tanda, rasmilah sudah Anjung Selera Jengka ini. 


JENGKA SENTRAL DIJANGKA SIAP NOVEMBER INI

Jengka Sentral yang sedang dalam pembinaan, dijangka siap dan mula beroperasi November ini manakala Anjung Selera Jengka telah siap, yang perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada pagi Isnin, 4 Jun lepas.

Kedua-dua projek Jengka Sentral dan Anjung Selera Jengka ini dijangka memberi manfaat kepada keseluruhan kira-kira 50,000 penduduk Jengka termasuk kira-kira 10,000 pelajar UiTM Kampus Khazanah Alam yang berhampiran.

Jengka Sentral ialah terminal pengangkutan bersepadu berkeluasan 46,000 kaki persegi, mempunyai ciri-ciri kemudahan modern termasuk gelanggang boling, lot-lot kedai runcit dan medan selera, selain kawasan menunggu berhawa dingin.

Anjung Selera Jengka pula dengan 24 lot gerai berserta kemudahan surau dan tandas, ialah pembinaan semula tapak asalnya dikenali sebagai Medan Selera Tapak Ekspo yang menempatkan gerai-gerai makan dari binaan kayu dan beratapkan zink.  

Selain kedua-dua projek ini ialah pelaksanaan projek-projek kecil termasuk pembinaan serta menaik-taraf jalan, balai raya dan perparitan di kampung-kampung serta kawasan-kawasan berkenaan.

TAK PERLU RISAU TENTANG KEMUDAHAN PERKHIDMATAN

Kesemua 291 projek ini kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media kemudiannya, adalah di bawah penyeliaan dan pengawasan ECERDC dan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-PEN) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kedua-dua entiti ini akan menyelia, menyelaraskan segala keperluan dan akan memantau pelaksanaaan projek-projek. Setakat ini kita puas hati (dengan peranan kedua-duanya) untuk pastikan projek dapat berjalan lancar dan dilaksanakan cepat,” katanya.

B-PEN juga katanya, akan membuat pemantauan mengenai tahap serta mutu projek-projek tersebut agar ia dapat benar-benar memanfaatkan rakyat di kawasan-kawasan yang terlibat.

“Maknanya, penduduk di dua kawasan ini iaitu (kawasan tinggalan) LKWJ dengan DARA, tak perlu risau tentang kemudahan perkhidmatan yang ada seperti pembesaran jalan, membersihkan kawasan, membina dan membaiki gerai-gerai,” katanya lagi.

Dalam pada itupun katanya, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak ada mengarahkan agar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) turut membantu  penduduk di kampung-kampung tradisional yang berhampiran, dengan membaiki rumah-rumah mereka.

RIANG-GEMBIRA PENYEWA DI GERAI BAHARU DIRASMIKAN... Inilah suasana selesa di Anjung Selera Jengka.  


FELDA DIARAH BANTU KAMPUNG TRADISIONAL BERDEKATAN

“Perdana Menteripun beritahu baru-baru ini, kampung-kampung tradisional berhampiran Felda, Felda akan bantu untuk memperbaiki. Beliau akan minta Felda kendalikan sedikit-sebanyak kawasan kampung tradisional yang berhampiran Felda misalnya, Kampung Rumpun Makmur dekat sini,” katanya lagi.

Selain Ketua Pegawai Eksekutif, ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John, yang turut hadir pada perasmian Anjung Selera Jengka ini ialah Pegawai Daerah-Pegawai Daerah Maran dan Jerantut, Dato’ Fazillah Salleh dan Dato’ Syed Mutalib Syed Hassan;

serta, Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato’ Ismail Said, wakil-wakil rakyat Wan Salman Wan Ismail (BN-Jengka), Dato’ Shahaniza Shamsuddin (BN-Kuala Sentul) dan, Dato’ Ahmad Munawar Abdul Jalil (BN-Luit) serta Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri, Dato’ Rosni Zahari. – Khabar


MATA KE MATA ;

*** Di pekan kecil Jengka ini sahaja, RM10 juta disalurkan bagi membangunkan Terminal Pengangkutan Bersepadu Jengka Sentral (Jengka Sentral) dan RM2.66 juta lagi bagi pembinaan medan selera Anjung Selera Jengka ini.

*** Kedua-dua projek Jengka Sentral dan Anjung Selera Jengka ini dijangka memberi manfaat kepada keseluruhan kira-kira 50,000 penduduk Jengka termasuk kira-kira 10,000 pelajar UiTM Kampus Khazanah Alam yang berhampiran.

*** Selain kedua-dua projek ini ialah pelaksanaan projek-projek kecil termasuk pembinaan serta menaik-taraf jalan, balai raya dan perparitan di kampung-kampung serta kawasan-kawasan berkenaan.

*** Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak ada mengarahkan agar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) turut membantu  penduduk di kampung-kampung tradisional yang berhampiran dengan membaiki rumah-rumah mereka.