Monday 16 December 2019

Pahang terus komited demi kelestarian Cameron Highlands

TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI BESAR SERTA YANG LAIN PADA MESYUARAT JAWATANKUASA TINDAKAN BERSAMA PAGI ISNIN, 9 DISEMBER... 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Kerajaan Pahang terus komited dalam usaha untuk memelihara dan memulihara, serta membangunkan kawasan tanahtingggi Cameron Highlands secara lebih lestari.

Komitmen ini turut dinyatakan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Bangunan Utama, Parlimen Malaysia pagi ini, Isnin, 9 Disember lepas.

Sehubungan itu kata Dato’ Sri Wan Rosdy, Kerajaan Negeri mengalu-alukan keputusan menempatkan anggota-anggota keselamatan dalam kalangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM), sepanjang operasi penguatkuasaan khususnya ‘Ops Lestari’ dilaksanakan di kawasan tanahtinggi ini.

Kehadiran anggota-anggota ATM dan PGA ini katanya, ialah untuk tujuan kawalan keselamatan, rondaan serta ‘show of presence’ mereka yang dengan itu diharap, dapat menangani dan mengatasi isu-isu berkaitan pencerobohan tanah secara haram.

Bagi memudah-carakan aspek penempatan ini, Kerajaan Negeri mengenal pasti kuarters Kerajaan di Sungai Burung, Brinchang bagi maksud tersebut.  

DALAM PERJALANAN KE MESYUARAT JAWATANKUASA TINDAKAN BERSAMA... 
  

KERAJAAN NEGERI LULUS RM 150,000

Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan RM150,000 yang disalurkan menerusi Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH), bagi menampung keperluan makan-minum serta bekalan minyak kenderaan anggota-anggota keselamatan ini.

Peruntukan RM150,000 ini ialah untuk tempoh antara bulan Disember ini (2019) hinggalah bulan Mac tahun depan (2020). Bermula April 2020, peruntukan ini akan disediakan sendiri oleh masing-masing ATM dan PGA.

Sebagai tambahan kepada peranan ATM dan PGA, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang menggabungkan agensi-agensi penguatkuasaan Kerajaan Negeri, untuk turut membantu.

Sepertimana kita sedia maklum, operasi penguatkuasaan Fasa 2 ‘Ops Lestari’ yang berjalan sebelum ini pada April 2019 khususnya di Sungai Ichat, telah tertangguh ekoran tindakan injunksi yang diambil oleh 28 pekebun kecil.

Bagaimanapun pada 30 September 2019, injunksi ini telah ditarik balik yang membolehkan kerja-kerja penguatkuasaan dilaksanakan semula, melibatkan kawasan seluas 97.12 hektar (240 ekar).

KETETAPAN BAHARU BAGI MENDIRIKAN RUMAH PLASTIK... 


‘OPS LESTARI’ DITERUSKAN SEMULA

Ini merupakan sambungan kepada Fasa 1 ‘Ops Lestari’, melibatkan tanah seluas 24.28 hektar (60 ekar), yang bermula 25 Februari dan selesai dilakukan dengan jayanya pada 19 Mac 2019.

Bagi memastikan perancangan pembangunan yang mampan serta lestari di Cameron Highlands ini pula, sebuah perbadanan khusus telah diwujudkan dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH).

Enakmen Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands telah dibentang dan diluluskan pada persidangan Dewan Negeri – Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang ke-14 pada 22 November 2019.

Selain berperanan untuk mempromosi daerah Cameron Highlands sebagai pusat perdagangan, pelaburan dan logistik serta destinasi pelancongan, PKCH juga antara lain turut berperanan untuk merangsang pembangunan sosio-ekonomi, infrasturktur, kediaman dan pertanian.

Dato’ Sri Wan Rosdy sendiri akan mempengerusikan PKCH, dibantu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak sebagai Timbalan Pengerusi; manakala Anggota Perbadanan lain ialah lima (5) wakil Kerajaan Pahang, empat (4) wakil Kerajaan Persekutuan serta dua (2) wakil dalam kalangan pakar/profesional.

ARTIKEL SAMA SEPERTIMANA TERSIAR DALAM AKHBAR HARIAN METRO PADA SELASA, 17 DISEMBER...  


PEKEBUN PERLU DAPAT SIJIL MyGAP  

Selain itu, sepertimana dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama yang sama, Kerajaan Negeri juga telah mengambil beberapa lagi keputusan penting berkaitan dengan kawasan tanahtinggi Cameron Highlands ini yang antara lainnya ialah;

Kesemua tanah pertanian yang diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) sebelum ini – sebanyak 78 hakmilik yang berkeluasan kira-kira 5,519 hektar (13,637.75 ekar), telah diberi milik kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Negeri, yang kemudian akan menyewakannya dalam tempoh yang ditetapkan, kepada para pekebun.

Pekebun yang hendak menyewa tanah PSK ini pula mestilah memperolehi sijil MyGAP (Malaysian Good Agricultural Practice) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian sebelum kebenaran menyewa atau memperbaharuinya diberikan.

Sehubungan itu, Unit Kawal Selia MyGAP di bawah anak syarikat Kerajaan Negeri – Pahang Corporation Sdn Bhd, telah ditubuhkan bagi melaksanakan kerja-kerja mengawal-selia aspek pematuhan kepada kriteria yang ditetapkan oleh MyGAP.

Bagi menjamin pengurusan cerun yang lebih cekap pula, kesemua ‘sheltered farming’ (rumah plastik) yang didirikan oleh pekebun, perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH). 

SEMUA HSK DI CAMERON SEBAGAI TAMAN NEGERI

Penggunaan jentera berat pula perlu mendapat permit daripada sebuah jawatankuasa teknikal yang diwakili oleh PDTCH, MDCH, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan dan Jabatan Kerjaraya (JKR).

Bagi kawasan di Sungai Ichat dan sekitarnya yang berkeluasan 121.12 hektar (300 ekar), Kerajaan Pahang telah meluluskannya bagi maksud pengwartaan sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat, dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 13 Mac 2019.

Seluruh kawasan dalam daerah Cameron Highlands juga telah diluluskan bagi maksud pengwartaan sebagai kawasan operasi MDCH dalam mesyuarat MMK pada 17 September 2019.

Tambahan kepada itu, pengwartaan seluruh Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Gangan, HSK Batu Gangan Tambahan, HSK Hulu Ichat, dan HSK Sungai Terla B yang seluas kira-kira 2,289.62 hektar (kira-kira 5,657.77 ekar) sebagai Taman Negeri.

Ke arah memulihara kawasan-kawana yang dicerobohi haram, pasukan petugas khas ditubuhkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bagi menyelenggara program tanaman semula hutan khususnya di kawasan-kawasan rizab sungai.

S-GLC URUSAKN PEMBEKALAN/PUNCA AIR MENTAH

Sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Pahang (S-GLC) seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) atau PSK sendiri, juga akan dilantik sebagai pembekal air mentah bagi tujuan pertanian kepada pekebun-pekebun di Cameron Highlands.

Ini agar bekalan air mentah yang bersih diperolehi oleh pekebun selain memastikan, air mentah ini diperolehi dariupada sumber atau punca air yang terkawal kualiti ekoran terpeliharanya alam sekitarnya.

Dengan segala ketetapan tegas yang telah diambil yang membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri, adalah diharapkan Cameron Highlands akan dapat mengembalikan kegemilangannya sambil menjamin  kelestariannya. – Khabar

Wednesday 4 December 2019

Kerajaan Negeri masih berharap MPKKP tidak ditubuhkan


“… saya sangat dukacitalah sebab selama inipun, MPKK ini tidak ada masalah. Yang masalahnya cuma mereka (Pakatan Harapan) gagal menghantar lima (5) orang ahli untuk duduk di dalam MPKK ini,” kata Menteri Besar

PERSEPAKATAN PADU MENENTANG PENUBUHAN MPKKP... Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negerinya; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Indera Mohd Roslan Harun (barisan depan, tiga dari kiri), serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato' Dr Mohd Zakaria Ibrahim (barisan kedua, paling kanan). 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, BENTONG – Kerajaan Negeri masih berharap agar Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak meneruskan cadangan menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang keahlian sepenuhnya dikuasai oleh PH, bermula 1 Januari 2020.

“Saya masih mengharapkan supaya MPKKP ini tidak ditubuhkan,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada persidangan media sempena Majlis Transformasi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) 2020 pada tengah hari Rabu, 4 Disember di sini.

Dalam ucapan luar teks 24-minitnya sebelum itu, beliau telah menegaskan betapa Kerajaan Negeri akan mewujudkan kembali JKKK di negeri ini – menggantikan perkataan Keselamatan kepada Kemakmuran; jika hasrat penubuhan MPKKP tersebut diteruskan.

Untuk rekod, semasa Barisan Nasional (BN) menerajui Kerajaan Persekutuan selama lebih enam (6) dekad lepas, JKKK atau sebelum itu JKK – Jawatankuasa Kemajuan Kampung; ialah entiti tunggal yang mewakili suara penduduk kampung di seluruh negara.

Sejak mengambil-alih tampuk pemerintahan selepas Pilihanraya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 bagaimanapun, PH telah menukarkan JKKK tersebut kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

MESEJ JELAS YANG DATO' SRI MENTERI BESAR SAMPAIKAN... Dan khalayak yang dalam kalangan bakal-bakal Pengerusi JKKK - terdapat 542 kesemuanya; memberikan perhatian serius atas apa yang diamanatkan oleh Menteri Besar mereka.     


MPKKP BOLEH SEBABKAN PERPECAHAN

Bagi negeri-negeri bukan di bawah penguasaannya sepertimana Kerajaan Negeri pimpinan BN di Pahang, ia (Kerajaan Persekutuan PH) juga yang menetapkan agar Kerajaan Negeri melantik sendiri kesemua 13 Ahli MPKK dengan tambahan lima (5) lagi Ahli mesti dalam kalangan yang dicadangkan oleh PH.       

Mengulas lanjut tentang ketidak-setujuan Kerajaan Negeri terhadap cadangan penubuhan MPKKP tersebut, kata Dato’ Sri Wan Rosdy; “Kerana saya melihat; andainya MPKKP ini ditubuhkan di dalam satu kampung itu (akan) ada dua (2) pertubuhan yang mana kebanyakan kampung tidak ramai penduduk”.

“Dan ini kemungkinan besar akan berlaku sedikit-sebanyak percanggahan pendapat, berpecah-belah di dalam masyarakat,” katanya lagi.

Beliau turut berkata betapa; “… saya sangat dukacitalah sebab selama inipun MPKK ini tidak ada masalah. Yang masalahnya cuma mereka (Pakatan Harapan) gagal menghantar lima (5) orang ahli untuk duduk di dalam MPKK ini”.

Kepada soalan wartawan tentang apa tindakan Kerajaan Negeri jika Kerajaan Persekutuan pimpinan PH menarik balik cadangan pengwujudan MPKKP itu katanya, Kerajaan Negeri juga akan menarik balik usaha mewujudkan kembali JKKK berkenaan.


KEMESRAAN DAN BERHEMAHNYA... Dato' Sri Wan Rosdy sedang bersalaman dengan khalayak semasa tiba, memasuki Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah ini.   


KERAJAAN PH U-TURN

Beliau turut ditanya tentang bentuk elaun serta insentif lain yang akan dinikmati oleh Ahli-ahli JKKK sekiranya ditubuhkan kelak yang menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, belum masanya lagi beliau mengumumkannya.

“Saya tak boleh umumkan lagi sebab belum sampai tempoh (masa)nya lagi. Macam-macam boleh jadi, ada masa banyak hari lagi ini (sebelum 1 Januari 2020). Ada 26 hari lagi…

“Dan kitapun dah tahu, Kerajaan Pakatan Harapan ini terkenal dengan Kerajaan U-Turn. Yang ditubuh MPKKP inipun U-Turn juga (selepas menukarkan daripada JKKK kepada MPKK).

“Jadi, tidak mustahil MPKKP ini tidak ditubuhkan,” katanya.

Beliau juga berkata, cadangan Kerajaan Negeri mewujudkan kembali JKKK ialah sebagai langkah awalan dan persediaan, bagi menghadapi kemungkinan penubuhan MPKKP tersebut

ANTARA KHALAYAK TENGAH HARI RABU... 


HANYA TERIMA PAKAI JKKK
Dengan ini katanya, akan memudahkan penduduk kampung untuk menyalurkan aduan atau permohonan untuk mendapatkan bantuan kepada pihak-pihak berkaitan termasulah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pejabat Penghulu atau wakil rakyat-wakil rakyat setempat.

“Kerajaan Negeri (juga) telah buat keputusan andainya MPKKP ditubuhkan, saya telah maklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri supaya semua agensi-agensi Kerajaan Negeri khususnya, hanya menerima-pakai surat-surat yang ditandatangani oleh Pengerusi Jawatan Kemajuan dan Kemakmuran Kampung.

“Ini adalah bagi tujuan memudahkan aliran pentadbiran supaya salurannya dapat dikenalpasti dan yang mana yang perlu diutamakan. Jadi, arahan ini adalah untuk memudahkan semua pihaklah termasuk juga pihak JKKK,” tegasnya. 

Selain Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, yang turut hadir pada majlis sederhana tetapi penuh bersemangat ini ialah rakan-rakan dalam Muafakat Nasional dalam kalangan wakil rakyat-wakil rakyat PAS diketuai Timbalan Pesuruhjaya Negeri, Encik Andansura Rabu (PAS - Beserah). 


RAKAN 'STRATEGIK-LUHUR' MUAFAKAT NASIONAL KITA... Ahli-ahli MMK Negeri (dari kanan) - Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Dato' Sri Norol Azali Sulaiman, Dato' Abd Aziz Mat Kiram, Encik Abd Rahim Muda, dan Dato' Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, dan Ex-Officio, Dato' Indera Mohd Roslan; bersama-sama wakil rakyat-wakil rakyat PAS diketuai Encik Andansura (lima dari kiri). – Khabar  




Wednesday 27 November 2019

Pahang lulus 127.893 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) Sungai Yu untuk lindungi Harimau Malaya dan hidupan liar

“Oleh itu tepatlah keputusan Kerajaan Negeri ini yang dengannya juga, membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri bagi menjayakan Pelan Induk CFS yang dihasilkan menurut keperluan harimau belang yang memerlukan landskap hutan yang luas dan bersambung, terutamanya di Pahang,” kata Menteri Besar

HARIMAU MALAYA... Demi memelihara kehidupannya maka beberapa lagi keputusan positif diambil oleh Kerajaan Negeri yang jelas bukan setakat 'mesra-rakyat' malah juga 'mesra-hidupan liar'.  


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri meluluskan kawasan seluas kira-kira 127.893 hektar di Sungai Yu, Mukim Batu Yon, Lipis sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) demi melindungi hidupan liar termasuk Harimau Malaya.

Dengan ini, ia akan dapat menghubungkannya dengan HSK-HSK sedia ada iaitu HSK Ulu Jelai dan HSK Tanum, seterusnya membentuk apa yang dikenali sebagai Koridor Ekologi di bawah Pelan Induk Ekologi (CFS 1) yang terlibat secara langsung dengan rangkaian ‘Central Forest Spine’ (CFS).

Keputusan ‘mesra-alam’ dan ‘mesra-hidupan liar’ ini dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pagi Rabu, 27 November di Wisma Sri Pahang di sini, kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan media yang dikeluarkan petang ini.

Selain itu kata Dato’ Sri Wan Rosdy, Kerajaan Negeri juga bersetuju menutup Jalan Lama Sungai Yu sepanjang kira-kira 5.2 KM di situ, serta merizabkan Tanah Kerajaan seluas kira-kira 2.05 hektar sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang.

Mengenai penutupan Jalan Lama Sungai Yu katanya, ia wajar kerana jalan ini sudah jarang digunakan penduduk kampung berkenaan berikutan siapnya ‘Central Spine Road’ di kawasan itu.

'SELAMAT DATANG KE 'ECO-VIADUCT' DI SUNGAI YU... 


KAWASAN ‘ECO-VIADUCT’  

Menurutnya, kalaupun Jalan Lama Sungai Yu ini digunakan, ia hanya sebagai jalan alternatif untuk penduduk kampung berkenaan mereka ke kebun-kebun masing-masing.

Penutupan itu juga katanya wajar, berdasarkan cadangan oleh Perikatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT) – sebuah gabungan badan-badan bukan Kerajaan melibatkan Malaysian Nature Society (MNS), Traffic South East Asia, Wildlife Conservation Society-Malaysia Programme dan World Wildlife Fund (WWF)-Malaysia.

MYCAT memaklumkan bahawa, terdapat laporan menyatakan pemburu haram, penceroboh tanah dan pembalak haram menggunakan Jalan Lama Sungai Yu untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tidak sihat mereka.

Dengan penutupan Jalan Lama Sungai Yu dapat menghindarkan kemasukan secara mudah oleh pemburu haram, penceroboh hutan dan pembalak haram ke kawasan hutan bersebelahan ‘Eco-Viaduct’ – projek Kerajaan Persekutuan bernilai RM 60 juta di situ.

Menurut MYCAT kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, memang terdapat bukti bahawa harimau belang – Harimau Malaya, serta hidupan liar lain menggunakan ‘Eco-Viaduct’ ini dalam tempoh antara Februari dan April lepas (2019) yang menjadi sasaran bagi pemburu-pemburu haram.

CONTOH 'ECO-VIADUCT'... Menjadikan kawasan rayauan hidupan liar di bahagian bawahnya, tidak terbatas atau terganggu. 


PENYELIDIKAN TENTANG HUTAN SERTA FLORA & FAUNA PAHANG

“Oleh itu tepatlah keputusan Kerajaan Negeri ini yang dengannya juga, membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri bagi menjayakan Pelan Induk CFS yang dihasilkan menurut keperluan harimau belang yang memerlukan landskap hutan yang luas dan bersambung, terutamanya di Pahang,” tegasnya.

Mengenai keputusan merizabkan Tanah Kerajaan seluas kira-kira 2.05 hektar sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang katanya, ia melibatkan Taman Rekreasi Sungai Yu sedia ada.

Keputusan ini dibuat memandangkan kemudahan asas yang terdapat di Taman Rekreasi Sungai Yu katanya, telahpun uzur selain tahap kebersihannya kurang memuaskan akibat daripada peningkatan jumlah pelawat pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Menurutnya, dengan menjadikan Taman Rekreasi ini sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang akan dapat memberi peluang kepada para penyelidik – dalam dan luar negara, untuk membuat penyelidikan berkaitan hutan serta flora dan fauna negeri ini.

Menerusinya juga katanya, kerja-kerja menguruskan koridor ekologi CFS Negeri Pahang dapat dilakukan dengan lebih cekap termasuk aspek kewangan, menerusi fi penyelidikan yang bakal dikenakan. 


PADA MESYUARAT MINGGUAN MMK PAGI RABU, 27 NOVEMBER...  – Khabar


Sunday 24 November 2019

Sambutan hangat buat Rumah Makmur – rumah teres RM80,000 sebuah, bagi golongan berpendapatan seisi rumah di bawah RM5,000 sebulan.


“Dan Alhamdulillah, saya nampak daripada (segi) sambutannya begitu baik dan setakat ini, yang telahpun memohon, 1,700 (orang), tetapi rumah ini yang ada cuma 635 unit sahaja lebih kurang,” kata Menteri Besar tentang Rumah Makmur Kampung Tiram.

RASMI BERAMAI-RAMAI... Foto sepertimana tersiar dalam Fb Wan Rosdy.


TAPAK PERUMAHAN ‘RUMAH MAKMUR’, KAMPUNG TIRAM, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail melancarkan perumahan Rumah Makmur – rumah teres RM80,000 seunit di sini, yang mendapat sambutan hangat rakyat untuk memilikinya
  
“Dan Alhamdulillah,” katanya, “Saya nampak daripada (segi) sambutannya begitu baik dan setakat ini, yang telahpun memohon, 1,700 (orang), tetapi rumah ini yang ada cuma 635 unit sahaja lebih kurang.

“Tapi jangan bimbang kerana kita dalam masa terdekat – saya dimaklumkan oleh YB (Abd) Rahim (Muda), (Ahli) Exco Perumahan; dalam masa seminggu-dua ini, Kerajaan Negeri akan meluluskan lagi Rumah Makmur di kawasan seluas hampir 1,000 ekar (dengan) sebanyak lebih kurang 3,000 unit akan dapat dibina,” katanya lagi.

Lokasi kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar dengan sasaran pembinaan lagi 3,000 unit Rumah Makmur ini ialah berhampiran dengan kawasan perumahan Indera Sempurna di pinggir Jalan Kuantan-Pekan dekat sini.

Dan bagi sebuah rumah teres setingkat berharga RM80,000 seunit yang berkeluasan lantai 800 kaki persegi dengan keluasan tanah 1,200 kaki persegi menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, “harganya sangat murah”.      

SEMBANG SAMBIL SANTAI DI TANGGA... Selain Dato' Sri Wan Rosdy, yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Ishak; Encik Abd Rahim dan Tengku Dato' Nor Asmaliza (kiri sekali). 


SASARAN BINA 10,000 UNIT RUMAH MAKMUR

Beliau berkata demikian pada persidangan media pada Majlis Pelancaran Perumahan ‘Rumah Makmur’ Kampung Tiram – jenis rumah teres bagi golongan berpendapatan seisi rumah di bawah RM5,000 sebulan pada pagi Ahad, 24 November, di sini.    

Projek ini dibina oleh pemaju, Zon Majuria Sdn Bhd di kawasan seluas 100 ekar dengan jumlah unit Rumah Makmur yang akan dibina sebanyak 635 buah yang dijangka siap bagi fasa pertamanya sebanyak 100 unit pada tahun 2022.

Menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, Kerajaan Negeri menyasarkan agar sebanyak 10,000 unit Rumah Makmur dibina di negeri ini yang setakat ini, 7,088 unit telahpun diluluskan pembinaannya.

“Sasaran Kerajaan Negeri (ialah) 10,000 unit dan bila yang 1,000 ekar diluluskan (dengan jumlah untuk dibina lagi 3,000 unit), maknanya sasaran Kerajaan Negeri akan dapat dicapai,” katanya lagi.

Menjawab soalan tentang Rumah Makmur Kampung Tiram ini yang bertiang katanya, ia adalah hasil tinjauan serta pandangan rakyat, seterusnya bagi mewujudkan kelainan yang tetap menguntungkan pembeli.

MENINJAU PROSES MENERIMA PERMOHONAN BAKAL PEMBELI... 


TAK BOLEH JADIKAN ‘HOMESTAY’

“Sebabnya bila kita buat yang bertiang ini, ia ada ruang yang lebih berbanding dengan rumah-rumah yang siap sebelum ini. (Ber)makna, di bawah tu boleh dibuat sebagai tempat duduk (bersantai), tempat mereka minum teh petang-petang sebagai contohnya, mungkin untuk anak-anak bermain,” katanya lagi,

Ditanya lagi kot-kot ia bertiang bagi mengelak kejadian banjir di kawasan ini katanya, kemungkinan itu ada namun kawasan Rumah Makmur Kampung Tiram ini adalah lebih tinggi – kira-kira 3.2 meter dari aras laut.

“Tapi lebih pentingnya, ia ada ‘ample space’ untuk di bawah itu. Tapi ini tujuannya bukan untuk dibuat bilik, reban ayam, tidak… Ini untuk dia duduk santai, untuk anak-anak bermain sebagainya,” tegasnya.  

Kepada soalan jika Rumah Makmur ini boleh dibenarkan pemiliknya kelak untuk dijadikan sebagai ‘homestay’ katanya, “Oh tak boleh. ‘That one (will) beat the purpose’.

“Tujuan kita buat rumah ini untuk bantu rakyat yang berpendapatan RM5,000 ke bawah untuk ada rumah, bukan tujuan untuk jadi ‘homestay’ apa semua. Kalau ada kita rampas balik,” tegasnya.

SEBAHAGIAN DARIPADA YANG HADIR PADA PAGI AHAD INI... 


PREMIUM PERCUMA UNTUK TANAH KERAJAAN JADI RUMAH MAKMUR

Menurutnya, Kerajaan Negeri mengambil berat tentang usaha mengadakan rumah mampu-milik kepada rakyatnya memandangkan rumah merupakan satu daripada keperluan asas selain daripada makanan dan pakaian.

Oleh sebab itulah juga katanya, Kerajaan Negeri sanggup kehilangan hasil semata-mata bagi memastikan Rumah Makmur yang murah harganya ini, boleh dibina oleh pihak pemaju maju dengan kos sewajarnya.

Kehilangan hasil itu ialah dalam bentuk premium tanah yang tidak perlu dibayar oleh pihak pemaju kepada Kerajaan Negeri bagi membangunkan tanah Kerajaan Negeri dengan projek perumahan mampu-milik Rumah Makmur ini.

“… kalau tidak itu, tanah ini kena bayar premium. Tapi bila kita suruh buat Rumah Makmur, pemaju tak perlu bayarlah (premium tanah berkenaan bagi mengurangkan kos pemaju lalu dapatlah pemaju menawarkan harga jualan RM80,000 seunit).

“Itupun jenuh berkecek suruh buat – ‘Dato’ (pihak pemaju), tolonglah buat, ini untuk rakyat. Untung sikit(pun) sudahlah (asalkan) jangan rugi sudah’. Ha… sampai (begi)tu (permintaan Kerajaan Negeri kepada pemaju).

PADA PERSIDANGAN MEDIA... 


KALAU KENA BAYAR PREMIUM TANAH?

“Kalau kena (bayar) premium, lari teruslah… Kalau dia (pemaju) lari, tak tercapailah (hasrat dan sasaran Kerajaan Negeri untuk membina) Rumah Makmur. Lepas tu, kesian kepada rakyatlah (yang berpendapatan rendah),” katanya.

Antara yang turut hadir pada majlis pagi minggu ini ialah Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; Pengerusi, Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Encik Abd Rahim Muda; 

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, Dato' Sri Norol Azali Sulaiman; Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah; serta, Setiausaha Bahagian Perumahan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Azlan Mohd Yaman. – Khabar  

    

Monday 18 November 2019

Belanjawan Negeri 2020 bernilai RM744.02 juta!

… meningkat RM40.22 juta berbanding Belanjawan Negeri 2019 hanya RM703.80 juta.

PENYERAHAN SECARA SIMBOLIK... Dato' Sri Wan Rosdy sedang menerima secara simbolik, teks ucapan Belanjawan Negeri 2020 daripada Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Indera Mohd Roslan Harun. 

Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Dr Salehuddin Ishak, yang turut sama ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, Dato' Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (kanan sekali). Majlis ringkas ini berlangsung di Bilik Rehat, Dewan Negeri sejurus sebelum Dato' Sri Wan Rosdy membentangkannya dalam Dewan Negeri.   


DEWAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail membentangkan Belanjawan Negeri 2020 bernilai RM744.02 juta pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri ke-14 pagi Isnin, 18 November di sini.

Ini merupakan pembentangan Belanjawan Negeri kedua beliau lakukan, sejak dilantik sebagai Ketua Eksekutif Negeri pada 15 Mei 2018 menggantikan ‘mentor’nya, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Memulakan ucapan pembentangannya pada kira-kira pukul 11.27 pagi selepas sesi soal-jawab disusuli rehat bagi sarapan, ia berakhir kira-kira sejam 10 minit kemudian pada jam 12.37 tengah hari.

Kali pertama Dato’ Sri Wan Rosdy membentangkan Belanjawan Negeri ini ialah pada Isnin, 19 November 2018 – hanya kira-kira enam (6) bulan selepas mengemudi negeri, yang bernilai RM703.80 juta.

Dengan RM744.02 juta yang diperuntukkan bagi Belanjawan Negeri 2020 ini bermakna peningkatan RM40.22 juta berbanding Belanjawan Negeri 2019 yang bernilai RM703.80 juta.

INFOGRAFIK DISEDIAKAN OLEH UKOMP... Menteri Besar sedang menyampaikan ucapannya. Yang turut kelihatan ialah Ahli-ahli MMK Negeri, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin dan Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abd Razak. 


BELANJAWAN LEBIHAN CUMA RM4.13 JUTA

Peruntukan RM744.02 juta ini dijangka diperolehi daripada kutipan-kutipan hasil daripada tanah dan galian, RM417.79 juta; perhutanan, RM165.50 juta; air, RM3.77 juta; geran daripada Kerajaan Persekutuan, RM94.20 juta; dan, hasil-hasil lain, RM62.76 juta.

Belanjawan Negeri kali ini sepertimana yang sulungnya juga, merupakan Belanjawan Lebihan (Surplus Budget) kira-kira cuma RM4.13 juta, berdasarkan perbelanjaan yang dijangkakan tahun depan kira-kira RM739.89 juta (RM744.02 juta – RM739.89 juta = RM4.13 juta).

Belanjawan Lebihan bagi Belanjawan Negeri 2019 ialah kira-kira RM24.34 juta yang diperolehi daripada peruntukan/jangkaan hasil kira-kira RM703.80 juta berbanding jangkaan perbelanjaan kira-kira RM679.46 juta.  

Berikut ialah teks sepenuhnya bagi ucapan Belanjawan Negeri 2020 dengan tiga (3) fokus utama – Melonjak ekonomi ke arah negeri berdikari, Memperkasakan perkhidmatan dan modal insan, serta, Menyejahterakan kehidupan rakyat.

LAGI INFOGRAFIK... Yang ini pula disediakan oleh Unit Media Menteri Besar (UMMB). 

UCAPAN BELANJAWAN TAHUN 2020
YAB MENTERI BESAR PAHANG

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah inayahNya kita dapat hadir ke Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Yang Keempat Belas yang bermula pada hari ini.

Pada sidang kali ini, insya-Allah saya akan membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Darul Makmur bagi Tahun 2020.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

1. Dalam Belanjawan 2020, Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sejumlah 297 bilion ringgit, di mana 241 bilion ringgit adalah untuk Perbelanjaan Mengurus sementara 56 bilion ringgit adalah untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Peruntukan ini tidak termasuk Simpanan Luar Jangka berjumlah 2 bilion ringgit.

2. Di bawah Peruntukan Pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan sebanyak 31 bilion ringgit bersamaan 10.4 peratus yang merangkumi pengangkutan, perdagangan, industri, tenaga, kemudahan awam dan pertanian.

Sektor sosial akan menerima sejumlah 15 bilion ringgit iaitu 5.1 peratus. Manakala, bagi sektor keselamatan diperuntukkan sebanyak 6.5 bilion ringgit bersamaan 2.2 peratus, dan sektor pentadbiran am sebanyak 3.3 bilion ringgit bersamaan 1.1 peratus.

3. Kutipan hasil negara dijangka mencecah 244.5 bilion ringgit pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak 11.2 bilion ringgit berbanding tahun 2019, tanpa mengambil kira dividen khas PETRONAS sebanyak 30 bilion ringgit.

4. Dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang lalu, Kerajaan Pusat telah mengumumkan perkongsian 50 peratus hasil kutipan bagi cukai pelancongan yang akan diterima sebagai hasil kepada Kerajaan Negeri.

Alhamdulillah, Negeri Pahang telah menerima 7.86 juta ringgit daripada keseluruhan kutipan cukai pelancongan tahun 2018 yang berjumlah 15.72 juta ringgit. Kerajaan Negeri disarankan untuk menggunakan pemberian ini bagi maksud penyelenggaraan dan penyediaan kemudahan pelancongan, promosi dan pemasaran destinasi pelancongan.

5. Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan beberapa projek antaranya;

a) Peruntukan 810 juta ringgit untuk hal-hal berkaitan kebajikan peneroka FELDA di seluruh negara yang akan dimanfaati oleh 43,124 peneroka serta anggota keluarga FELDA di Pahang (jumlah teramai di negara ini).

b) Peruntukan 69.5 juta ringgit kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur atau dikenali sebagai East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) untuk meningkatkan lagi taraf infrastruktur Pelabuhan Kuantan.

c) Pinjaman bagi tiga (3) projek untuk mengatasi masalah bekalan air di Kawasan Perindustrian Gebeng, Semambu dan Raub bernilai 637 juta ringgit.

d) Membina klinik-klinik kesihatan baharu termasuklah sebuah di Cameron Highlands.

6. Sehubungan dengan kelulusan projek-projek ini, Kerajaan Negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan berharap, kerjasama baik ini dapat diteruskan dalam usaha untuk membangunkan ekonomi negeri dan yang paling penting adalah kesejahteraan rakyat.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

7. Menurut Laporan Buletin Suku Tahunan 2019 oleh Bank Negara, ekonomi Malaysia secara keseluruhannya merekodkan pertumbuhan stabil 4.9 peratus dalam tempoh suku tahun pertama dan kedua 2019.

8. Sehingga 15 November 2019, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil sebanyak 588 juta ringgit berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak 703.80 juta ringgit iaitu pencapaian sebanyak 83 peratus.

Kerajaan Negeri menjangkakan sehingga hujung tahun ini sasaran 90 peratus kutipan hasil yang telah disasarkan akan dapat dicapai berdasarkan trend kutipan hasil terutamanya hasil tanah.

Dalam tempoh yang sama, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah 530 juta ringgit berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak 679.46 juta ringgit iaitu pencapaian sebanyak 78 peratus untuk Perbelanjaan Mengurus.

Bagi Perbelanjaan Pembangunan pula sebanyak 36 juta ringgit telah dibelanjakan berbanding dengan sasaran 71 juta ringgit bersamaan dengan pencapaian prestasi 51 peratus.

Kerajaan Negeri juga berjaya menunjukkan lebihan dari bulan Ogos sehingga kini. Kita berjaya mencapai penjimatan yang ketara sekaligus menunjukkan ekonomi Pahang dalam keadaan baik dan sihat.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

9. Demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat, Belanjawan 2020 akan menyediakan peruntukan berjumlah 739.89 juta ringgit bagi Perbelanjaan Mengurus dan 120.75 juta ringgit bagi Perbelanjaan Pembangunan.

Belanjawan 2020 adalah belanjawan pengembangan dengan memberi tumpuan kepada perbelanjaan infrastruktur dan peningkatan Perbelanjaan Pembangunan sebanyak 22.70 juta ringgit daripada jumlah yang telah Kerajaan Negeri peruntukkan pada Belanjawan tahun 2019.

Daripada 120.75 juta ringgit Perbelanjaan Pembangunan tersebut, sejumlah 85.55 juta ringgit akan menggunakan pembiayaan cara langsung, manakala baki 35.20 juta ringgit adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air.

10. Daripada jumlah 739.89 juta ringgit yang diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus, 332.47 juta ringgit adalah untuk Emolumen; 165.48 juta ringgit untuk Perkhidmatan dan Bekalan; Manakala sebanyak 229.96 juta ringgit lagi adalah untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap; Sebanyak 7.67 juta ringgit diperuntukkan untuk Perbelanjaan Lain; dan 4.32 juta ringgit untuk Pembelian Aset.

Anggaran Perbelanjaan Mengurus untuk 2020 meningkat sebanyak 60.43 juta ringgit atau 8.9 peratus berbanding 2019.

11. Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri dijangka mengutip hasil sebanyak 744.02 juta ringgit iaitu peningkatan sebanyak 40.22 juta ringgit atau 5.71 peratus berbanding anggaran tahun 2019.

Kutipan hasil tahun 2020 dijangka diperolehi daripada hasil tanah sebanyak 417.79 juta ringgit; hasil perhutanan sebanyak 165.50 juta ringgit; hasil air sebanyak 3.77 juta ringgit; Geran Kerajaan Persekutuan sebanyak 94.2 juta ringgit; dan lain-lain hasil sebanyak 62.76 juta ringgit.

Kutipan hasil negeri dijangka akan mengalami peningkatan melalui pelaksanaan yang lebih bersepadu bagi kutipan cukai, premium dan hasil baharu bagi hasil tanah, hasil hutan dan duti hiburan.

12. Kesimpulannya, Belanjawan 2020 menganggarkan kutipan hasil negeri sebanyak 744.02 juta ringgit manakala Perbelanjaan Mengurus dijangka sebanyak 739.89 juta ringgit dengan lebihan 4.13 juta ringgit.

Walaubagaimanapun, jumlah sebenar bergantung kepada prestasi kutipan hasil dan perbelanjaan pada tahun 2020.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

13. Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) yang bermula pada tahun 2016 akan berakhir pada tahun 2020 kini memasuki fasa terakhir ke arah mencapai status negara maju yang bertemakan ‘Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’ memberi tumpuan kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

14. Negeri Pahang merupakan negeri yang menyumbang secara konsisten kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada tahun 2018, Negeri Pahang merekodkan nilai KDNK bagi tahun 2018 berjumlah 56.2 bilion ringgit berbanding 54.6 bilion ringgit pada tahun sebelumnya. Pahang mencatatkan KDNK sebanyak 4.4 peratus berbanding purata KDNK Nasional sebanyak 5.0 peratus.

Sektor perkhidmatan meningkat 6.5 peratus disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan lain dan perkhidmatan kerajaan. Sektor pembuatan kekal positif dengan merekodkan pertumbuhan 5.8 peratus didorong oleh subsektor bahan kimia dan produk kimia.

Walau bagaimanapun, sektor pertanian bertumbuh perlahan pada kadar 1.2 peratus selepas mencatatkan peningkatan kukuh 9.3 peratus pada tahun 2017, dipengaruhi oleh subsektor kelapa sawit yang menyusut kepada negatif 5.2 peratus.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

15. Kerajaan Negeri akan sentiasa menitikberatkan keseimbangan di antara keadaan ekonomi dan kesejahteraan rakyat selaras dengan ‘tagline’ ‘Maju Terus Pahang’ dan ‘Pahang 1st ’.

Pada masa yang sama juga, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk meningkatkan kutipan hasil dan sentiasa mengamalkan perbelanjaan secara berhemah untuk mengelakkan defisit fiskal.

Belanjawan 2020 memberi fokus kepada tiga (3) strategi utama:

Pertama : Melonjak Ekonomi ke arah Negeri Berdikari.
Kedua : Memperkasa Perkhidmatan dan Modal Insan
Ketiga : Mensejahterakan Kehidupan Rakyat

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

STRATEGI PERTAMA: MELONJAK EKONOMI KE ARAH NEGERI BERDIKARI

16. Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited bagi meningkatkan hasil negeri dan telah mensasarkan kutipan hasil sebanyak 1 bilion ringgit dalam tempoh tiga (3) atau empat (4) tahun akan datang.

Bagi meningkatkan kecekapan kutipan hasil, Kerajaan Negeri juga telah menetapkan Prestasi Petunjuk Utama kutipan hasil sebanyak 90 peratus.

Bagi mencapai tujuan tersebut, pelbagai inisiatif sedang dirangka, antaranya ialah memperkemaskan sistem penyampaian dengan memperkenalkan langkah-langkah proaktif yang akan meningkatkan pendapatan Kerajaan Negeri sekaligus mencapai hasrat kerajaan untuk menjadi Negeri Berdikari.

17. Pentadbiran Negeri Pahang sentiasa berusaha meningkatkan hasil dengan mengurangkan ketirisan.

Antara inisiatif yang telah diambil adalah penubuhan beberapa unit khas di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, iaitu Unit Kutipan Balik Hasil, Unit Petugas Khas Hasil, dan Unit Tender Khas.

18. Selain itu, beberapa langkah proaktif telah diambil termasuk yang melibatkan kutipan Duti Hiburan.

Pada tahun 2018, kutipan Duti Hiburan adalah 9.6 juta ringgit. Sehingga 15 November 2019, kutipan Duti Hiburan telah mencecah 15 juta ringgit. Jumlah ini dijangkakan meningkat pada tahun 2020 apabila Kerajaan Negeri mensyaratkan agar bayaran Duti Hiburan perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum lesen hiburan dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pengemaskinian prosedur ini, dijangka dapat meningkatkan kutipan hasil negeri dan PBT.

19. Untuk memperkasakan penguatkuasaan, sebanyak 1.9 juta ringgit telah diperuntukkan pada tahun ini bagi pembelian jentera berat iaitu dua (2) unit excavator, dua (2) unit backhoe dan satu (1) unit self-loader untuk melaksanakan kerja-kerja penguatkuasaan dan pemusnahan bangunan tanpa izin di atas tanah kerajaan.

Perolehan jentera ini adalah komitmen Kerajaan Negeri dalam menangani kes-kes pencerobohan yang secara tidak langsung dapat membendung ketirisan hasil negeri.

20. Sebanyak lima (5) operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan yang melibatkan pelbagai agensi sepanjang tahun 2019 antaranya; Ops Tanglung, Ops Lombong 4.0, Ops Tebas, Ops Ronda dan Ops Lombong Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang.

21. Sejak tahun 2018 sehingga Oktober 2019, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah membawa sembilan (9) kes kesalahan hutan untuk pertuduhan di mahkamah dan telah memenangi kesemua kes tersebut, pesalah telah dijatuhi hukuman denda dan penjara.

Sebanyak 764 ribu ringgit telah berjaya dikutip sebagai denda dan penalti pelbagai kesalahan hutan. Penyampaian Perkhidmatan yang lebih berkesan melalui Penyelarasan Kutipan Cukai Yang Mampan.

22. Selain daripada mengurangkan ketirisan melalui penyelarasan semula kadar Duti Hiburan dan memperkasakan kaedah kutipan, Kerajaan Negeri juga telah menyemak semula kadar fi dan permit untuk aktiviti-aktiviti di Taman Negara.

Sejak 70 tahun beroperasi, ini adalah kali pertama kadar-kadar ini disemak semula. Kadar baharu ini dilihat mampu menjamin kelestarian alam semulajadi serta kelangsungan kepelbagaian flora dan fauna selain daripada menambah pendapatan negeri.

Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan cukai katil seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang dan caj warisan di Negeri Melaka.

23. Majlis Tanah Negara ke-71 pada 14 Disember 2015, telah mengarahkan semua negeri supaya menyemak semula kadar Cukai Tanah di negeri masing-masing.

Sehubungan itu, Semakan Cukai di bawah Seksyen 101 Kanun Tanah Negara 1965 yang melibatkan kira-kira 700 ribu hak milik sedang giat dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada industri berat, perniagaan dan estet.

Kali terakhir semakan kadar Cukai Tanah dibuat adalah pada tahun 2007. Semakan dibuat agar kadar yang dikenakan adalah lebih adil, seragam dan teratur, sejajar dengan pembangunan semasa serta peningkatan nilai hartanah.

Kadar baharu ini akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2020.

24. Namun begitu, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, Kerajaan Negeri akan memastikan pindaan kadar Cukai Tanah yang dikenakan tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah (B40).

Ini sebaliknya lebih mensasarkan kepada syarikat-syarikat besar contohnya bagi pemilik tanah berkeluasan 101 hektar bersamaan 250 ekar di mana cukai semasa yang dikenakan sebanyak 235 ribu ringgit setahun, sedangkan keuntungan bersih tahunan pemilik tanah tersebut adalah sebanyak 55 juta ringgit setahun.

Maka dengan kadar cukai baharu, Kerajaan Negeri akan mengutip 5 juta ringgit setahun. Ini akan memberikan impak kenaikan hasil yang sangat besar kepada Kerajaan Negeri selari dengan kadar keuntungan yang diperolehi oleh pemilik tanah.

25. Kerajaan Negeri memberi jaminan kenaikan kadar cukai tidak akan membebankan pemilik tanah pertanian (kelapa sawit, getah, teh, koko, kopi, dusun dan hasil hutan) yang berkeluasan empat (4) hektar bersamaan 10 ekar ke bawah.

Dengan pelaksanaan kadar baharu ini, Kerajaan Negeri menganggarkan kutipan cukai pada tahun 2020, tidak termasuk pengeluaran hak milik baharu adalah sebanyak 617 juta ringgit berbanding kutipan Cukai Tanah sedia ada iaitu 192 juta ringgit, iaitu peningkatan sebanyak 425 juta ringgit setahun.

26. Kerajaan Negeri juga mengambil inisiatif mewujudkan Pengurusan Pasir Pahang Berhad (PPPB).

Pada bulan pertama PPPB beroperasi, Kerajaan Negeri telah menerima hasil daripada pengeluaran pasir melalui Lesen Pendudukan Sementara Bercantum Permit sebanyak 4 juta ringgit.

Adalah dianggarkan hasil pengeluaran pasir pada tahun 2020 sebanyak 26 juta ringgit.

27. Penubuhan Daerah Kecil Gebeng yang berkeluasan 20,297 hektar bersamaan 50,155 ekar dan Daerah Kecil Genting yang berkeluasan 6,668 hektar bersamaan 16,478 ekar juga akan menambahkan pendapatan langsung kepada Kerajaan Negeri melalui perubahan semakan pindaan kadar Cukai Tanah.

Pada tahun 2020, dianggarkan Daerah Kecil Gebeng menyumbang hasil sebanyak 200 juta ringgit setahun manakala Daerah Kecil Genting akan menyumbang hasil sebanyak 2 juta ringgit setahun.

28. Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk memperkasakan pengeluaran industri penternakan melalui pengkomersialan rizab padang ragut, Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Sebanyak 73 kawasan yang melibatkan jumlah keluasan 3,784 hektar bersamaan 9,350 ekar telah dikenalpasti untuk dimajukan.

Selain dapat mengelakkan tanah terbiar, diceroboh dan disalahgunakan, rizab padang ragut berkenaan akan dipajakkan secara tender terbuka untuk memberi peluang kepada pelabur yang menawarkan harga yang terbaik disamping dapat membantu pengeluaran ternakan ruminan di Negeri Pahang dengan menggunakan teknologi moden.

Sehingga kini, terdapat empat (4) kawasan yang sedang diproses untuk dipajakkan di daerah Pekan dan Kuantan.

29. Pelaburan dari dalam dan luar negeri adalah penting untuk Negeri Pahang. Setiap pelaburan sudah pasti akan memberikan kesan limpahan positif kepada negeri dan rakyat melalui penyediaan peluang pekerjaan kepada penduduk terutamanya dalam sektor perindustrian sama ada tenaga buruh mahir atau separuh mahir, meningkatkan KDNK negara dan menjamin pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Negeri Pahang telah berjaya mencapai beberapa kemajuan dalam pertumbuhan ekonomi. Pelaburan swasta di Pahang terus berkembang dengan sebahagian besarnya dipacu oleh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC dan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan projek-projek berimpak tinggi dan kerja-kerja infrastruktur awam.

30. Bagi tahun 2019, Kerajaan Negeri mengambil peluang untuk menarik kemasukan pelabur-pelabur baru dengan melaksanakan beberapa misi perdagangan.

Sebelum misi perdagangan diadakan, Kerajaan Negeri terlebih dahulu akan mengkaji potensi menarik pelaburan di Negara-negara berkenaan termasuk dari segi faedah yang akan diperolehi kerana kita tidak mahu usaha yang dilakukan adalah sia–sia tanpa sebarang hasil.

31. Dalam tempoh Januari sehingga Jun 2019, pelaburan tempatan dan pelaburan asing di Negeri Pahang mencatatkan nilai 6.44 billion ringgit. Ini melibatkan pelaburan dibawah Malaysian Investment Development Authority (MIDA), ECERDC dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang (PSK).

32. Pada tahun 2019, antara misi perdagangan yang telah Kerajaan Negeri jayakan adalah misi perdagangan ke Belgium, Belanda, Singapura dan terkini ke China.

Insya-Allah, selepas ini Kerajaan Negeri akan mengkaji peluang sektor pertanian di Thailand terutamanya dalam penggunaan teknologi moden.

33. Forum Pelaburan Pahang 2019 yang telah berlangsung di Singapura pada 1 dan 2 Ogos 2019 yang lalu, Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya menarik pelaburan kira-kira 1.134 bilion ringgit apabila menandatangani sebelas (11) Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa syarikat di Singapura.

34. Antara pelaburan komited berimpak tinggi ialah MoU yang telah ditandatangani bersama Syarikat Hercules Technologies Sdn. Bhd. yang akan melabur sehingga 450 juta ringgit melibatkan tiga projek berlainan.

Projek-projek itu ialah 200 juta ringgit untuk membangunkan pusat pembekalan simen, konkrit, dan 200 juta ringgit bagi pembinaan kilang bio-komposit, manakala baki 50 juta ringgit bagi penubuhan pusat latihan, kawalan kualiti dan pensijilan produk yang akan beroperasi di Kawasan Perindustrian Gebeng.

Pihak syarikat dijangka akan menandatangani perjanjian usahasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) pada tahun hadapan.

35. Selain itu, syarikat lain yang berminat untuk menjadikan Negeri Pahang sebagai destinasi pelaburan adalah Syarikat Zhong Hai Resources Group Private Limited, dengan jumlah pelaburan berjumlah 400 juta ringgit untuk membangunkan kawasan seluas 654 ekar di Muadzam Shah, Rompin sebagai Ladang Solar.

Bagi status terkini, pelan perniagaan bagi usahasama ini telah dirangka dan selanjutnya cadangan bagi mewujudkan terma perkongsian antara syarikat dan PKNP akan dilakukan dalam masa yang terdekat.

36. Pahang juga dijangka akan menerima pelaburan daripada IBN Corporation Private Limited berjumlah 100 juta ringgit bagi projek pembinaan kolam takungan dan pembekalan air terawat bagi memenuhi keperluan seluruh kawasan Genting Highlands.

Dengan pembekalan air terawat ini, IBN akan menjadi pelengkap kepada kawasan yang tidak mampu dibekalkan oleh Genting Utilities & Services Sdn Bhd.

37. Pahang juga bakal menerima kemasukan pelaburan dari China berjumlah 1.386 bilion ringgit ekoran termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dengan enam (6) syarikat dari negara tembok besar tersebut.

Keenam-enam syarikat terlibat ialah:

a. ND Paper (M) Bhd. dengan pelaburan 522.2 juta ringgit yang akan membina kilangnya di Bentong bagi pengeluaran kertas dan pulpa.

b. Syarikat TNP Power Sdn. Bhd. dengan nilai pelaburan berjumlah 341.74 juta ringgit bagi membina kilang di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) 1, Kuantan untuk penjanaan bersepadu tenaga dan haba;

c. Syarikat lain, adalah China Travel Service Meizian Company Limited yang melibatkan jumlah pelaburan 200 juta ringgit bagi mewujudkan Eco Tourism City di Bukit Tinggi, Bentong;

d. Zhongxin Resources Regeneration Technology Sdn. Bhd., dengan 122.48 juta ringgit nilai pelaburan bagi projek pengeluaran kertas dan habuk plastik di MCKIP 1.

Bagi tujuan pelaburan ini, Zhongxin Resources telah pun mendapat lesen pengilang daripada MIDA;

e. Wuxi Jinxie Industrial Company Limited dengan nilai pelaburan 100 juta ringgit bagi projek pembinaan turbin angin untuk menjana tenaga di Pulau Tioman, Rompin; dan

f. Power China Construction Group, dengan nilai pelaburan 100 juta ringgit bagi pembinaan kilang pengeluaran panel solar untuk kediaman di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

38. Bagi menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terlibat secara langsung dalam projek pelaburan yang baharu, Kerajaan Negeri mencadangkan untuk menetapkan satu peratus (1%) Golden Share diberikan kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dan lima peratus (5%) Preference Share (Syer Keutamaan) diberikan kepada Syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (State GLC) seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan sebagainya yang akan ditentukan pihak kerajaan.

39. Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) akan terus menjadi taman industri utama di Negeri Pahang.

Pelabur utama ialah Alliance Steel Sdn. Bhd. (ASSB) yang telahpun menjalankan pengeluaran percubaan dengan kapasiti pengeluaran produk besi keluli antara 25 hingga 50 peratus.

Kilang ASSB ini dijangka memulakan pengeluaran sepenuhnya pada 2020 dengan kapasiti 3.5 juta tan setahun. Pelaburan ASSB di MCKIP telah menawarkan 3,789 peluang pekerjaan yang mana 2,874 orang atau 75 peratus adalah pekerja tempatan.

40. Antara pelaburan lain yang komited dan berpotensi tinggi di MCKIP ialah:

a. Dongguan Jianhui Paper Company Limited bagi projek pengeluaran kertas dan pulpa dengan jumlah pelaburan 3.35 billion ringgit dan dijangka menyediakan sekurang-kurangnya 2,000 peluang pekerjaan;

b. TNP Power Sdn. Bhd. dengan pelaburan bernilai 250 juta ringgit dalam projek melibatkan tenaga dan haba; dan

c. MiGao Private Limited iaitu projek dalam bidang pembuatan baja potash (potash fertilizer) bernilai 300 juta ringgit.

41. Jumlah pelaburan yang diluluskan di MCKIP dari tahun 2016 sehingga tahun 2019 adalah sebanyak 8.279 billion ringgit, majoritinya melibatkan pelabur-pelabur dari Negara China.

42. Melihat kepada impak positif yang akan diterima dari segi limpahan ekonomi, ianya dijangka akan dapat membantu merancakkan lagi pembangunan dan penggunaan Pelabuhan Kuantan.

Melalui projek East Coast Rail Link (ECRL), selain pembinaan sebuah stesen penumpang berhampiran Pelabuhan Kuantan yang akan dinamakan sebagai Stesen Kuantan Port City 1, satu laluan keretapi kargo (spurline) ke dalam kawasan operasi Pelabuhan Kuantan akan turut dibina dalam fasa 2 projek tersebut.

Apabila siap kelak, laluan keretapi ini akan menghubungkan Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang yang bakal mewujudkan land bridge yang dijangka dapat meningkatkan mobiliti kargo di antara keduadua pelabuhan.

Projek yang melibatkan laluan yang menghubungkan lima (5) buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada Disember 2026.

43. Ini menunjukkan betapa Kerajaan Negeri amat serius dan komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan apa jua pelaburan yang dibuat akan terus berjaya.

Antara usaha yang dilaksanakan adalah dengan menyediakan segala prasarana industri yang terbaik dan persekitaran yang kondusif bagi memenuhi keperluan pihak pelabur. Ini termasuklah dua (2) projek bagi mengatasi masalah bekalan air di Kawasan Perindustrian Gebeng dan Semambu telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah 619 juta ringgit.

Dengan pelaksanaan Projek Bekalan Air ini, maka sistem bekalan air akan menjadi lebih baik.

44. Selain itu juga, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Pelabuhan Kuantan sedang berusaha meningkatkan keupayaan, kecekapan dan kapasiti pengendalian Pelabuhan Kuantan dengan kerjasama ECERDC dalam melaksanakan perancangan untuk membesarkan Pelabuhan Kuantan yang telah dimulakan sejak tahun 2013 lagi.

45. Pembesaran ini merangkumi pembinaan Terminal Baru Laut Dalam atau New Deep Water Terminal berserta kemudahan-kemudahan lain berkaitan antaranya pembinaan pemecah ombak sepanjang 4.7 kilometer, pembinaan tangki air untuk bekalan air ke Pelabuhan Kuantan, pembangunan infrastruktur jalan raya baharu melibatkan pembinaan trumpet interchange di Pintu Utara Pelabuhan Kuantan dan pembinaan prasarana yang berkaitan.

Pembinaan New Deep Water Terminal ini dapat meningkatkan kapasiti pengendalian kargo daripada 24 juta tan setahun kepada 50 juta tan setahun.

Sejak memulakan operasi pada Mac 2019, New Deep Water Terminal telah mengendalikan kargo mineral sebanyak hampir 3.5 juta tan atau purata hampir 500 ribu tan sebulan atau 30 peratus daripada jumlah pengendalian keseluruhan Pelabuhan Kuantan.

Ia juga telah membuka laluan baru kepada kapal-kapal yang lebih besar sehingga 150,000 displacement tonne, berbanding hanya 53,000 displacement tonne sahaja sebelum ini.

Kemasukan kapal-kapal yang lebih besar dapat membuka peluang bagi Pelabuhan Kuantan untuk menjadi pelabuhan pilihan dan utama ke Asia Timur dan lebih berdaya saing berbanding hanya menjadi pelabuhan sokongan (feeder port) sebelum ini.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua,

46. Industri Pelancongan dijangka akan terus berkembang pada tahun 2020, terutama melalui kempen Visit Malaysia 2020 yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi meningkatkan sasaran kedatangan pelancong ke Malaysia iaitu seramai 30 juta pelancong antarabangsa.

47. Pada tahun 2018, Negeri Pahang merupakan destinasi teratas yang dikunjungi pelancong domestik iaitu seramai 9.2 juta pelancong. Angka ini meletakkan Negeri Pahang sebagai penerima pelawat domestik tertinggi diikuti Negeri Johor dan Negeri Perak.

Pada tahun 2020, Kerajaan Negeri menyasarkan ketibaan seramai 15 juta pelancong domestik dan dijangka akan menerima limpahan pelancong terutama di destinasi-destinasi seperti Cameron Highlands, Kuantan, Genting Highlands, Pulau Tioman dan destinasi-destinasi lain.

48. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan 6 juta ringgit bagi memperkukuhkan industri ini melalui pembangunan infrastruktur untuk menarik pelaburan swasta di kawasan berpotensi tinggi seperti Mossy Forest Cameron Highlands, pintu masuk kedua ke Taman Negara Merapoh (Caving Paradise) dan Taman Negeri Endau-Rompin.

49. Kerajaan Pahang juga komited untuk melindungi dan melestarikan hidupan liar dengan mempertingkatkan lagi pewujudan Koridor Hidupan Liar (Wild Life Corridor) di beberapa daerah seperti Raub, Temerloh dan Lipis.

Ini amat penting bagi membolehkan pergerakan hidupan liar yang lebih bebas dan selamat serta mengelakkan kepupusan setempat.

50. Umum mengetahui, di bawah Kerajaan Negeri, setiap daerah mempunyai rumah rehatnya sendiri yang mempunyai nilai sejarah dan estetika yang diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Kerajaan Negeri melihat ini sebagai satu peluang untuk penjenamaan semula rumah-rumah rehat ini.

Dengan itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju memperuntukkan sebanyak 4.4 juta ringgit bagi kos baik pulih dan peralatan bagi kesemua rumah rehat yang terlibat. Urusan penjenamaan semula rumah rehat ini akan dipertanggungjawabkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

51. Pada masa ini, Negeri Pahang dihubungkan secara terus ke negara jiran Singapura melalui perkhidmatan penerbangan Firefly, Scoot, AirAsia dan Malaysia Airlines, dengan kapasiti 975 tempat duduk dalam seminggu.

Bagi meningkatkan lagi pelaburan serta pelancong dari Negara China, Kerajaan Negeri dalam perbincangan bersama Guangxi Beibu Airlines bagi penerbangan terus dari Nanning-Kuantan-Singapura dan sebaliknya.

Langkah ini diharap dapat meningkatkan kedatangan pelancong ke Negeri Pahang dan sekaligus meningkatkan ekonomi tempatan sejajar dengan peningkatan penggunaan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah.

52. Kerajaan Negeri turut melihat kepentingan muzium dalam konteks pengekalan warisan, pendidikan dan sektor pelancongan. Mulai 2019, Perbadanan Muzium Negeri Pahang sedang menaik taraf Muzium Seni Pahang dan bangunan bekas pejabat Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) di Kuantan kepada Muzium Sultan Haji Ahmad Shah.

53. Perbadanan Muzium Negeri Pahang dengan sokongan Kerajaan Negeri juga akan sentiasa menambah baik dan mengemaskini maklumatmaklumat berkaitan dengan pameran di dalam galeri-galeri sedia ada, mempelbagaikan program dan aktiviti bagi menarik minat pengunjung.

Antara program yang telah dijalankan seperti Program Bermalam di Muzium dan The Young and Our Heritage iaitu mewujudkan Mini Muzium di sekolah yang terpilih.

54. Tenun Pahang Diraja merupakan tradisi menenun sejak berabad lalu yang memperlihatkan secara halus hubungan di antara tradisi menenun ini dengan alam sekitar yang mencerminkan pemikiran serta jiwa rakyat masyarakat Pahang.

Eratnya hubungan dan ikatan antara raja dan rakyat seperti jalinan antara benang loseng dan pakan, jika tiada salah satunya maka kain tenun yang cantik tidak akan dapat dihasilkan, begitulah simboliknya hubungan antara raja dan rakyat.

55. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah memainkan peranan yang penting bagi memartabatkan seni Tenun Pahang Diraja ini.

Peranan dan usaha baginda dalam membantu serta mengangkat martabat Tenun Pahang Diraja ke peringkat yang lebih tinggi telah membuahkan hasil dengan tertubuhnya Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam bertempat di Pulau Keladi Pekan yang bertujuan untuk melahirkan golongan muda yang berketerampilan serta menjadi penenun mahir di dalam institusi Tenun Pahang Diraja.

56. Bagi memperkasakan lagi industri Tenun Pahang Diraja, Kerajaan Negeri berhasrat agar hari Khamis minggu pertama setiap bulan dijadikan Hari Tenun Pahang Diraja.

57. Bagi sektor pertanian, pada tahun 2020, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak 9.23 juta ringgit bagi memartabatkan industri pertanian melalui Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

58. Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan Program Pembangunan Industri Asas Tani dan buah-buahan dengan memperuntukkan sebanyak 5 juta ringgit secara keseluruhannya untuk membantu Jabatan Pertanian Negeri Pahang dalam usaha meningkatkan pengeluaran bahan makanan terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran untuk keperluan rakyat.

59. Selaras dengan hasrat pucuk pimpinan Kerajaan Negeri yang ingin melihat Negeri Pahang sebagai pengeluar utama bahan makanan di negara ini, Jabatan Pertanian akan membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang terbesar bagi sayur sayuran dan tanaman kontan seluas 80 hektar bersamaan 200 ekar di daerah Kuantan.

Sebanyak 1.3 juta ringgit disediakan pada tahun 2020 bagi Projek TKPM ini antaranya termasuklah di TKPM Jelai, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan 250 ribu ringgit untuk menambah baik kemudahan dan penyelenggaraan di kawasan projek pertanian berkenaan.

60. Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak 4.97 juta ringgit untuk Program Pembangunan Ruminan (PROPER) dan Projek Rintis Tenusu bagi memastikan pembangunan industri ternakan ditingkatkan sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri bagi mencapai hasrat sebagai pengeluar utama ternakan dan makanan negara.

61. Latihan kepada petani juga turut dilaksanakan bagi mempelbagaikan kemahiran petani dan pengusaha industri asas tani. Justeru itu, sebanyak 414 kursus dan latihan telah dirancang sepanjang tahun 2020 dengan penglibatan seramai 8,280 orang petani di seluruh Negeri Pahang.

62. Pembangunan industri pengeluaran makanan berasaskan ternakan terutama dalam industri ruminan iaitu pedaging dan tenusu boleh menjadi sumber kekayaan baru bagi Negeri Pahang.

Nilai pengeluaran ternakan bagi Negeri Pahang pada tahun 2018 hampir mencapai 1.47 bilion ringgit di mana komoditi daging ayam merupakan penyumbang utama iaitu 711 juta ringgit.

Ianya diikuti pengeluaran sarang walit berjumlah 463 juta ringgit, telur ayam 123 juta ringgit, daging lembu dan kerbau sebanyak 108 juta ringgit, susu 17.8 juta ringgit dan komoditi lain berjumlah 47.2 juta ringgit.

63. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 450 ribu ringgit bagi sektor perikanan yang meliputi tiga (3) projek pemuliharaan sumber perikanan darat iaitu 150 ribu ringgit untuk Khidmat Pengembangan Akuakultur, 100 ribu ringgit diperuntukkan bagi Program Pembangunan Komuniti Nelayan Darat dan 200 ribu ringgit untuk Pengurusan Sumber Perikanan Marin Secara Mapan.

64. Selain itu, sejumlah 1.27 juta ringgit telah disediakan bagi membaiki dan menaik taraf Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri, daerah dan Pusat Veterinar termasuk kuarters yang telah uzur bagi memastikan keselesaan kepada pelanggan dan kakitangan terjamin.

Ini termasuklah kerja-kerja menaik taraf Pusat Sumber Genetik Ternakan (PSGT) Bukit Kajang, Raub dan PSGT Lepar, Kuantan dengan kos 600 ribu ringgit bagi menghasilkan baka lembu Kedah-Kelantan dan Brahman yang berkualiti untuk diagihkan kepada penternak.

65. Sumber hutan merupakan aset semulajadi yang terpenting dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.

Pengurusan hutan memerlukan kebijaksanaan bagi mengimbangi permintaan pasaran terhadap pelbagai keluaran dan perkhidmatan hutan yang sentiasa berubah.

Jumlah keluasan hutan di Negeri Pahang sehingga Oktober 2019 adalah seluas 2.05 juta hektar bersamaan 6 juta ekar atau 57 peratus daripada keluasan tanah negeri yang bersaiz 3.6 juta hektar bersamaan 8.8 juta ekar.

66. Sektor perhutanan akan terus memainkan peranannya sebagai salah satu penyumbang utama kepada hasil Kerajaan Negeri. Sehingga 15 November 2019, pungutan cukai hasil hutan adalah sebanyak 80.7 juta ringgit.

Sektor ini akan terus menjadi salah satu penyumbang utama kepada sumber pendapatan negeri dengan jangkaan sumbangan hasil bagi tahun 2020 berjumlah 165 juta ringgit melalui kutipan bayaran premium, royalti dan caj-caj lain.

67. Projek-projek teras dan utama akan terus diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan sektor perhutanan merangkumi projek pembangunan berlandaskan penghutanan semula, penanaman semula dan pemulihan hutan.

68. Dalam meningkatkan usaha bagi kutipan hasil hutan, Kerajaan Negeri juga akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan untuk aktiviti memulihara dan melindungi kepelbagaian biologi hutan, air dan tanah untuk memastikan pengekalan dan penggunaannya secara terurus dan terancang.

Projek-projek yang berkaitan dengan eko-pelancongan dan biodiversiti hutan akan terus dijalankan bagi memastikan aspek kestabilan dan pengekalan alam sekitar terpelihara.

Usaha Kerajaan Negeri dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi dan khazanah biodiversiti diteruskan lagi dengan perancangan ke arah penggubalan Enakmen Biodiversiti Negeri Pahang.

Enakmen ini dirangka bagi melindungi kepentingan negeri dan rakyat daripada kehilangan hasil penyelidikan serta pengetahuan turun-temurun kepada orang luar tanpa memberi apa-apa pulangan kepada pihak yang sepatutnya.

69. Bagi usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di Pahang, Kerajaan Negeri telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan Carbon Trading bersama sektor korporat.

Memorandum ini bertujuan untuk menjalankan kajian bersama bagi melihat potensi penjanaan pendapatan baharu melalui penggunaan Carbon Credit di kawasan-kawasan konservasi di Negeri Pahang di samping menilai keupayaan terhadap potensi pelaksanaan projek bagi memelihara dan memulihara alam sekitar.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

STRATEGI KEDUA: MEMPERKASA PERKHIDMATAN DAN MODAL INSAN

70. Dalam usaha memantapkan pentadbiran Kerajaan Negeri, Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) sedang dibangunkan yang bakal menggantikan Wisma Sri Pahang yang telah berusia 49 tahun.

Semua pentadbiran kerajaan akan dikelompokkan dalam satu kawasan yang lebih terancang bagi memudahkan rakyat berurusan dan di samping mempercepatkan sistem penyampaian.

71. PPSAS bakal menjadi ikon terbaharu Negeri Pahang dengan reka bentuk bangunan kompleksnya diinspirasikan daripada Jata Negeri. Ia juga mengaplikasikan teknologi hijau demi penekanan kepada pemuliharaan alam sekitar.

Tarikh pemilikan dan pembinaan projek ini bermula pada tahun 2016 dan dijangka akan siap pada tahun hadapan.

72. Pahang Corporation Sdn. Bhd (Pahang Corp.) merupakan syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang ditubuhkan pada 21 Mac 2019.

Ia memainkan peranan sebagai satu badan komersial khas yang bertanggungjawab memantau, menyelaras dan menjalankan kerjasama strategik dengan badan-badan berkanun negeri di samping menilai cadangan-cadangan pelaburan agar Kerajaan Negeri mendapat pulangan terbaik.

73. Pahang Corp. kini sedang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pembaharuan dalam pengurusan aset-aset kerajaan bagi tujuan peningkatan kecekapan dan mengurangkan perbelanjaan modal dan kos selenggara.

Contohnya menerusi model Penyumber Luaran Fleet Kenderaan Kerajaan, melalui model pengurusan yang baharu, Kerajaan Negeri tidak lagi perlu membuat perolehan kenderaan yang baharu tetapi hanya membayar kos penyewaan kenderaan tersebut.

Dengan ini, Kerajaan Negeri tidak perlu menanggung kos selenggara yang tinggi dan semakin meningkat setiap tahun.

74. Kerajaan Negeri juga melalui anak syarikatnya PahangGo telah pun membangunkan platform kutipan hasil negeri secara digital. Bayaran bil utiliti, cukai dan pembayaran kompaun kini boleh dibuat melalui aplikasi mobile dan portal.

Dengan adanya platform ini, rakyat akan lebih mudah untuk membuat semakan tunggakan dan seterusnya membuat pembayaran. Usaha ini akan meningkatkan kutipan kompaun yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2020.

PahangGo juga akan mewujudkan pusat pengumpulan data berpusat dengan menempatkan pelayan (server) dan pangkalan data untuk agensi kerajaan dan PBT di satu lokasi.

Langkah ini akan membolehkan pemeriksaan bertindih (cross checking) dilakukan bagi setiap urusan.

Selain itu, dalam meningkatkan mutu pengurusan Kerajaan Negeri, PahangGo dipertanggungjawabkan untuk memoden dan mendigitalkan sistem pengurusan kerajaan melalui sistem yang lebih terkini dan memudahkan rakyat.

75. Antara inisiatif yang sedang dibangunkan ialah sistem parkir secara mobile di mana 50 ribu petak parkir milik sebelas (11) PBT akan diuruskan secara digital yang merupakan salah satu pilihan kepada kaedah pembayaran parkir menggunakan kupon pada ketika ini telah boleh dimuat turun bermula 23 Oktober 2019.

76. Kerajaan Negeri juga menubuhkan satu Unit Antarabangsa untuk membina jaringan strategik dengan agensi-agensi di peringkat antarabangsa bagi tujuan pembangunan kapasiti, sumber manusia, peluang pelaburan dan perniagaan. Melaksanakan Reformasi Pengurusan Pentadbiran

77. Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam meningkatkan perkhidmatan sistem penyampaian kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

Penubuhan Daerah Kecil Muadzam Shah dan Daerah Kecil Jelai adalah bukti kesungguhan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan pengukuhan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat, selain bertindak sebagai barisan hadapan jentera kerajaan dalam memudahcara penyampaian dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat setempat sama ada dari kawasan bandar mahupun luar bandar.

Inisiatif ini dibuat bagi memastikan tadbir urus dan perkhidmatan yang lebih berkesan dan cepat dapat disalurkan kepada rakyat.

78. Kerajaan Negeri dalam sidang dewan ini akan membentangkan kertas penubuhan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) yang bertujuan untuk merancang pembangunan di daerah Cameron Highlands selain bertindak sebagai agen pelaburan di daerah tersebut, selain itu juga, PKCH ini akan merangka, merancang dan mengawal pembangunan kawasan tanah tinggi secara bersepadu dengan mengekalkan kelestarian tanah tinggi dan mengambil kira keperluan pembangunan ekonomi meliputi pelancongan, pertanian dan penempatan.

PKCH ini kelak akan mengolah semula sistem Lesen Pendudukan Sementara bagi aktiviti pertanian dengan cara pajakan jangka pendek dan secara tidak langsung akan dapat membangunkan sosio-ekonomi setempat.

79. Pihak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang dalam kajian untuk menubuhkan semula Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) yang telah dibubarkan secara rasmi pada 1 November 2000.

80. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menyokong cadangan penubuhan semula DARA dan LKWJ dengan syarat peruntukan tahunan bagi tujuan pengurusan dan pembangunan wilayah berkenaan perlu disalurkan oleh pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) atau agensi Persekutuan lainnya, sama seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Lembaga Kemajuan Pulau Pinang (PERDA), manakala pentadbirannya hendaklah tidak menghakis kuasa dan kawalan negeri ke atasnya.

Kaedah terbaik bagi pelaksanaan cadangan ini juga hendaklah dirunding dengan pihak negeri sebelum dimuktamadkan.

81. Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) merupakan perantara di peringkat akar umbi yang akan menyalurkan maklumat, dasar-dasar kerajaan, permasalahan atau aduan rakyat kepada pihakpihak yang berkuasa dan berkaitan terhadap sesuatu isu yang timbul.

MPKK telah ditubuhkan atas persetujuan bersama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan sebelum ini telah berjalan dengan baik dan harmoni.

Walau bagaimanapun, kini Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk mewujudkan MPKK Persekutuan yang berasingan. Ini merupakan langkah yang ke belakang. Tindakan ini hanya akan mewujudkan jurang persefahaman antara dua (2) organisasi yang akan memecah belahkan penduduk kampung.

Justeru, Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan dengan MPKK yang telah ada dengan memperuntukkan sebanyak 7 juta ringgit bagi tahun 2020 dan sekiranya ianya tidak dipersetujui di Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk menubuhkan semula Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) bermula pada 1 Januari 2020.

82. Bagi sektor pendidikan, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang turut menyediakan Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) kepada murid di seluruh Negeri Pahang.

Sepanjang lebih tiga (3) dekad, jumlah bantuan pendidikan dan kebajikan yang telah dikeluarkan adalah lebih 1.2 bilion ringgit melibatkan 1.4 juta penerima.

Sejak diperkenalkan pada 2001, Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) telah memanfaatkan 108 ribu murid dengan implikasi kewangan berjumlah lebih 74 juta ringgit. Di peringkat sekolah menengah, Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) yang telah dibelanjakan adalah sebanyak 290 juta ringgit dan telah memanfaatkan seramai 169 ribu murid.

83. Bagi tahun 2020, agihan biasiswa ini akan memberi manfaat kepada 49,720 pelajar penerima Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan penerima Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) dengan peruntukan berjumlah 23.59 juta ringgit.

Yayasan Pahang juga akan memperuntukkan 5 juta ringgit bagi meneruskan pemberian Geran Bantuan Belajar ke IPT secara one-off kepada 11 ribu anak Pahang yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana (Masters) dan Kedoktoran (PhD).

84. Program pendidikan agama akan terus memberi fokus kepada pengukuhan pendekatan ajaran Islam bagi melahirkan generasi yang mempunyai jati diri dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran transformasi dan arus globalisasi.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak 114 ribu ringgit bagi membiayai Program Kelas Tahfiz Bistari di Sekolah Kebangsaan Tg. Gahai, Kuala Lipis dan 27 ribu ringgit bagi Program Pengajian Al-Quran dan Fardu Ain Remaja di FELDA Sungai Koyan bagi tahun 2020.

85. Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak 3 juta ringgit bagi pembayaran elaun kepada 350 orang guru kelas Al-Quran asrama yang bertanggungjawab mendidik para pelajar sekolah rendah dan menengah yang tinggal di asrama seluruh Negeri Pahang sama ada di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri (SMAN), mahupun di Sekolah Rendah Kebangsaan dan Menengah Kebangsaan.

86. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah membangunkan sistem e-Munakahat yang melibatkan kos berjumlah 929 ribu ringgit yang mempunyai fungsi lebih terperinci bagi memastikan setiap urusan penceraian dan permohonan khidmat nasihat direkodkan dengan lebih berkesan.

Kerajaan Negeri juga kini dalam melaksanakan proses pengimejan digital bagi sijil nikah, cerai dan rujuk dengan kerjasama kerjasama Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) yang dimulakan awal tahun 2019.

87. Bagi melahirkan pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) yang lebih kompetitif, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah 72.6 juta ringgit dalam belanjawan tahun 2020 bagi memperkasakan misi pendidikan bagi melahirkan pelajar aliran agama yang lebih kompetitif.

Ini termasuklah emolumen guru SMAN berjumlah 30.77 juta ringgit, elaun guru agama dan Al-Quran asrama berjumlah 4.32 juta ringgit dan 37.55 juta ringgit bagi bekalan dan perkhidmatan.

88. Bagi menyediakan persekitaran yang kondusif kepada semua pelajar, 3 juta ringgit juga telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 bagi tujuan penyelenggaraan bagi semua Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang.

89. Bagi memperkasakan ilmu falak, Kerajaan Negeri juga turut memperuntukkan 558 ribu ringgit bagi perolehan peralatan falak dan percetakan buku sukatan Kokurikulum Falak SMAN bagi melahirkan pelapis sebagai penyambung, pengembang serta pengamal ilmu falak yang memenuhi piawaian pihak berkuasa kepada generasi akan datang.

90. Kerajaan Negeri melalui Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) juga telah mengambil inisiatif dengan menjadi pusat rujukan dalam memperkasakan tulisan jawi dan Pusat Akademik Hadis sebagaimana yang telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sehingga kini, KUIPSAS telah menawarkan 28 program asasi sehinggalah ke peringkat Sarjana dan akan berkembang ke peringkat PhD pada tahun 2020.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan bagi tahun 2020 sebanyak 832 ribu ringgit untuk pembangunan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) bagi tujuan langganan buku jurnal, menambah baik kemudahan asrama, pemberian Geran Pembangunan dan penyelidikan inovasi, pembangunan akademik kakitangan serta naik taraf infrastruktur rangkaian kawasan setempat (WiFi).

91. Kerajaan Negeri melalui inisiatif Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (Pahang Skills) akan terus menyediakan latihan kemahiran dengan menekankan aspek pembangunan modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berpengetahuan serta relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan.

Selain itu, Pahang Skills telah menandatangani MoU dengan dua belas (12) syarikat antaranya Lynas Malaysia Sdn. Bhd., MKRS Bumi (M) Sdn. Bhd. dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang dan lain-lain bagi menjalin kerjasama strategik dalam bentuk sumbangan kepakaran atau mesin peralatan untuk melatih tenaga kerja mahir dalam bidang khusus yang amat diperlukan dalam industri.

92. Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan 1.18 juta ringgit bagi tujuan penggantian, naik taraf, selenggara peralatan makmal sedia ada dan makmal baru, penyenggaraan bangunan dan kampus.

93. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang telah membuat inisiatif memperkenalkan Program Buat Kerja Sekolah.

Inisiatif ini berikutan maklum balas dan keluhan oleh ibu bapa kepada pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang bahawa masih ramai anak-anak yang tidak menyiapkan kerja sekolah.

Program ini juga mendapat kerjasama erat daripada Jawatankuasa Penasihat Perpustakaan yang telah melibatkan seramai 13,350 orang pelajar turut serta dalam program ini di seluruh daerah dalam Negeri Pahang.

94. Matlamat daripada Program ini adalah untuk membantu pelajar membuat kerja sekolah dengan selesa di perpustakaan serta dapat membantu pelajar memperolehi bahan yang diperlukan dari koleksi sedia ada dan internet.

Selain itu, melalui program ini juga pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang dapat bekerjasama dengan ibubapa dalam menggalakkan anak-anak mereka membuat kerja sekolah di perpustakaan sekaligus memanfaatkan kemudahan yang ada.

95. Pihak Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan transformasi perkhidmatan awam ke arah people centric serta meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

Bagi mencapai hasrat ini, penggunaan teknologi maklumat perlu digarapkan bersekali dan disimulasikan dalam proses kerja semasa demi menghasilkan penyampaian perkhidmatan yang memenuhi aspektasi pelanggan dan rakyat.

96. Pihak Kerajaan Negeri akan memperuntukkan tambahan sewaan rangkaian sebanyak 1.6 juta ringgit bagi menghubungkan pejabatpejabat kerajaan di daerah dan mukim dengan ibu pejabat masing-masing menggunakan sambungan rangkaian internet yang lebih baik bagi membolehkan semua penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan.

Bagi memastikan capaian ini dapat berfungsi dengan baik, pembaharuan lesen-lesen perisian Information and Communications Technology (ICT) juga perlu dilaksanakan di mana peruntukan adalah berjumlah 1.5 juta ringgit akan disediakan.

Bagi tahun 2020, peruntukan sebanyak 1.7 juta ringgit akan disediakan bagi menaik taraf kapasiti simpanan data di Pusat Data Utama Negeri, naik taraf server di Pusat Pemulihan Bencana (DRC), penggantian infrastruktur switch rangkaian di empat belas (14) Pejabat Agama Islam Daerah dan lapan belas (18) buah Sekolah Menengah Agama Negeri serta penggantian kemudahan ICT di kaunter-kaunter kutipan hasil yang telah dikenalpasti.

Dengan peningkatan kapasiti rangkaian dan penggunaan perisian yang terkini ini, diharapkan penyampaian perkhidmatan agensi-agensi Kerajaan Negeri akan menjadi lebih baik dan produktif.

97. Selain dari itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhkan Unit Komunikasi dan Media Negeri Pahang (UKOMP) sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan imej Kerajaan Negeri melalui strategi penyampaian maklumat perkhidmatan yang cepat dan berkesan.

Melalui UKOMP, penyaluran maklumat dari pihak Kerajaan Negeri akan dapat disampaikan kepada kumpulan sasaran dengan lebih pantas, tepat dan berkesan.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

98. Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat. Dalam keadaan situasi kewangan yang sedia ada, Kerajaan Negeri akan tetap meneruskan usaha dan program pembangunan untuk mensejahterakan kebajikan rakyat dengan meneruskan bantuan kepada golongan yang memerlukan seperti Orang Kelainan Upaya (OKU), pesakit kronik, ibu tunggal yang miskin dan anak-anak yatim.

99. Bagi tahun 2020, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diperuntukkan sejumlah 13.71 juta ringgit untuk penerima Bantuan Am. Seramai 3,808 orang akan terus mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut dengan kadar bantuan 3 ratus ringgit sebulan.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga akan terus memperuntukkan maksimum 1 ribu ringgit kepada mangsa bencana alam yang layak melalui Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang.

100. Kerajaan Negeri Pahang juga sentiasa prihatin dan mengambil berat berkaitan perkembangan aktiviti sukan dengan memastikan program pembangunan sukan negeri dirancang dan dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh bagi mencapai objektif yang ditetapkan.

101. Untuk menghadapi SUKMA ke-20 pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah 2 juta ringgit sebagai persediaan atlet. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan 120 ribu ringgit bagi pembelian tiga (3) unit perahu layar di bawah Majlis Sukan Pahang.

Sebanyak 200 ribu ringgit juga telah diperuntukkan pada tahun 2020 bagi tujuan penyenggaraan dan pembaikan kemudahan sukan.

102. Golongan belia akan terus diperkasakan dengan pelbagai aktiviti dan program yang dapat membentuk jati diri. Mereka akan dibentuk dengan acuan yang berteraskan pelbagai kemahiran, pengetahuan dengan menampilkan semangat patriotisme yang tinggi bagi menghadapi cabaran globalisasi di samping menjadi penyumbang utama pembangunan sosial dan ekonomi negara.

103. Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap Pembangunan Orang Asli dengan pelaksanaan program-program pembangunan infrastruktur asas, peningkatan intelek dan pendidikan, dan pengupayaan ekonomi kepada semua lapisan masyarakat.

Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Unit Orang Asli bagi memantau 262 buah Kampung Orang Asli yang menempatkan hampir 76,697 orang penduduk.

Ianya berfungsi sebagai agen penyampaian perkhidmatan dan maklumat dari Kerajaan Negeri kepada penduduk Orang Asli selain mengurangkan kebergantungan Kerajaan Negeri kepada Agensi Persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

104. Selain itu juga, usahasama Kerajaan Negeri dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) bagi penanaman durian di kawasan rizab Orang Asli di Pantos, Jelai sebagai satu usaha bagi meningkatkan pendapatan dan tahap ekonomi Orang Asli.

Jabatan Perhutanan dalam proses mengenalpasti kesesuaian tapak lokasi yang dipilih.

105. Kerajaan Negeri juga bersetuju meneruskan Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (PETAMA) untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar ajaran Islam kepada masyarakat Orang Asli.

Kurikulum PETAMA telah diiktiraf dan dinaiktaraf mengikut keperluan pembangunan sumber manusia negara.

106. Wanita merupakan tulang belakang kepada pembangunan bangsa dan agama. Justeru, peranan yang dimainkan oleh wanita adalah penting dalam pembentukan keluarga, perpaduan, pembangunan masyarakat dan negara.

Bagi memastikan usaha ini lebih fokus, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju mewujudkan Unit Pembangunan Wanita yang akan merangka pelan tindakan bagi memastikan keterlibatan dan membolehkan capaian komunikasi kepada akar umbi dapat dibuat dengan cepat dan tepat.

Majlis Pembangunan Wanita Pahang di peringkat Parlimen turut akan diwujudkan di mana peruntukan sebanyak 140 ribu ringgit disediakan bagi menampung perbelanjaan penubuhan majlis ini.

Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita di peringkat Parlimen akan dipilih daripada wanita-wanita yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan berkongsi kesungguhan dalam memperkasakan peranan wanita.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

STRATEGI KETIGA: MENSEJAHTERAKAN KEHIDUPAN

107. Kerajaan Negeri terus memberi penekanan yang serius ke atas pembangunan di setiap pelusuk daerah untuk terus mendapat kemudahan terbaik. Kesejahteraan ekonomi yang berterusan adalah sasaran utama yang bakal memanfaatkan hampir 1.67 juta penduduk di Negeri Pahang.

108. Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan berjumlah 120 juta ringgit bagi memacu agenda pembangunan dengan membiayai lebih daripada 150 projek, sejumlah 85 juta ringgit akan menggunakan pembiayaan cara langsung, manakala baki 35 juta ringgit adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air.

109. Bagi memberi impak terus kepada golongan sasaran, sejumlah RM23 juta ringgit telah diperuntukkan bagi pelbagai Projek Pembangunan antaranya adalah projek kecil negeri, projek khas kampung serta projek kecil yang berupaya meneruskan momentum pembangunan masyarakat luar bandar di samping menjamin pentadbiran daerah yang berkesan.

110. Perumahan merupakan Sektor Utama yang sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri dalam memastikan usaha menyediakan rumah mampu milik dan berkualiti untuk dinikmati oleh rakyat.

Melalui Projek rumah mampu milik iaitu PR1MA Pahang, sehingga Oktober 2019, 17 projek yang telah lengkap Certificate of Completion and Compliance (CCC) iaitu bersamaan dengan 3842 buah rumah yang siap diduduki oleh rakyat di seluruh Negeri Pahang.

111. Kerajaan Negeri juga turut mengambil kira golongan yang berpendapatan rendah dengan memperkenalkan Projek Rumah Makmur yang menawarkan rumah teres setingkat mampu milik berharga 80 ribu ringgit bagi isi rumah yang berpendapatan di bawah 5 ribu ringgit sebulan.

Sehingga 31 Oktober 2019 sebanyak 21 projek dengan jumlah rumah sebanyak 7,088 unit rumah telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi tujuh (7) daerah.

112. Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak 1,000 buah unit PRIMA Pahang akan dapat disiapkan dan 2,000 tawaran rumah yang merangkumi projek PRIMA Pahang dan Rumah Makmur.

113. Dalam pembentangan belanjawan tahun 2019 yang lalu, Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan Tabung Perumahan Rakyat Pahang. Sebagai permulaan, tabung ini telah pun mula menerima sumbangan iaitu sebanyak hampir 216 ribu ringgit bagi tahun pertama.

Nilai ini dijangkakan akan bertambah sehingga 6 juta ringgit pada tahun 2020.

114. Tabung Amanah Bencana Kerajaan Negeri diwujudkan untuk membantu mangsa-mangsa bencana dari aspek keperluan asas rumah, pakaian, persekolahan dan pengangkutan, selain itu, ianya turut digunakan untuk penyenggaraan dan pembaikian rumah dan premis yang terlibat dengan bencana.

Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah 441 ribu ringgit untuk membantu mangsa-mangsa yang ditimpa bencana.

115. Selain itu, sebagai contoh bagi persediaan menghadapi musim tengkujuh ini, Kerajaan Negeri juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak 2 juta ringgit kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk perbelanjaan menghadapi bencana.

116. Negeri Pahang merupakan negeri yang mempunyai sumber air yang terbesar di Semenanjung Malaysia.

Namun begitu, bagi pembekalan air bersih kepada rakyat, sumber air ini perlulah dirawat terlebih dahulu dan dengan kadar tarif sedia ada, sehingga 31 Mei 2019, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menanggung kos operasi dan pentadbiran sebanyak 300 juta ringgit setahun, erti kata yang lain, pihak PAIP beroperasi dengan kerugian sebanyak 25 juta ringgit sebulan.

117. Sungguhpun begitu, Kerajaan Negeri juga amat merasai keluh resah rakyat berkenaan gangguan bekalan air yang sering berlaku contohnya di daerah Temerloh dan Raub.

Bagi memastikan rakyat Negeri Pahang mendapat bekalan air yang berkualiti dan berterusan, Kerajaan Negeri bercadang untuk meliberalisasikan industri perkhidmatan bekalan air di mana langkah ini akan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna dan menghasilkan tarif yang lebih berdaya saing.

118. Ketika ini, Kerajaan Negeri sedang memperhalusi beberapa cadangan daripada pemain-pemain industri berkenaan seperti Ranhill Holdings Berhad, YTL Power International Berhad dan Salcon Berhad yang menunjukkan minat untuk melabur di Pahang.

Walau bagaimanapun, perkara ini akan diteliti dengan rapi bagi memastikan kepentingan Kerajaan Negeri terpelihara dan rakyat memperoleh manfaat yang sepatutnya.

119. Kerajaan Persekutuan memberikan persetujuan supaya pinjaman Kerajaan Persekutuan berkaitan bekalan air diambil alih daripada Kerajaan Negeri dan dinovasikan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Kerajaan Negeri tidak lagi akan bertanggungjawab ke atas pinjaman tersebut. Melalui penstrukturan ini, pinjaman bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar yang berjumlah 1.01 billion ringgit akan dihapus kira dan baki pinjaman ini akan ditanggung semula oleh Pengurusan Air Pahang (PAIP) secara sewa pajakan selama 45 tahun.

120. Bagi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah memperuntukkan lebih 1.019 bilion ringgit untuk melaksanakan projek-projek pembangunan fasiliti kesihatan melibatkan 26 projek sambungan dan empat (4) projek baru terdiri daripada dua (2) projek hospital baru, lapan (8) Projek naiktaraf Hospital, 14 projek Klinik Kesihatan dengan kuarters, dua (2) Projek Klinik Kesihatan sahaja, tiga (3) Projek Pembinaan Kuarters dan satu (1) Projek Klinik Pergigian. Jaminan Keselamatan Awam

121. Kerajaan Negeri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus berusaha supaya kadar Indeks Jenayah di Negeri Pahang berada dalam keadaan terkawal.

Antara program yang telah dirangka bagi meneruskan usaha pada tahun 2020 bagi membendung kejadian jenayah dan masalah sosial di kalangan masyarakat Pahang adalah OPS RUMAH SELAMAT di musim perayaan dan Program Pencegahan Jenayah yang dijalankan di peringkat sekolah dan kampung-kampung.

Melalui program ini diharapkan pihak masyarakat dapat memberikan kerjasama kepada polis insya-Allah kadar jenayah akan dapat dikurangkan.

PENUTUP

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

122. Saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengambil kesempatan ini untuk menyembahkan setinggi-tinggi junjung kasih ke sisi Sultan Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

123. Di sebalik komitmen dengan urusan seharian selaku Raja Pemerintah untuk negara yang bersemayam di Istana Negara, hal-hal berkaitan negeri tumpah darah Baginda di Negeri Pahang Darul Makmur sentiasa dekat dihati.

124. Oleh sebab itulah juga apakala rakyat jelata di negeri ini ditimpa musibah dan bencana, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berkenan bercemar duli menziarahi serta menitahkan bantuan segera dilaksanakan oleh pihak-pihak berkenaan khususnya Kerajaan Negeri.

125. Dengan ini, Kerajaan Negeri sendiri sentiasa sahaja bersiap-siaga dalam apa jua keadaan sekalipun dan ini tentunya baik demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat jelata. Menjunjung kasih, Tuanku.

‘Kapal tidak akan mampu belayar tanpa nahkhodanya, kapal tanpa pembantu juga, tidak akan mampu memacu arah tujunya, begitulah moleknya hubungan kerjasama dan kebergantungan sesama kita’.

126. Dengan ini saya mewakili pihak Kerajaan Negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua Ahli Exco Kerajaan Negeri dan kesemua Ahli Dewan Negeri sama ada daripada kerajaan, rakan-rakan ADUN PAS menerusi gagasan Muafakat Nasional, mahupun pembangkang, yang telah memberikan kerjasama baik semasa kita berada pada persidangan Dewan Negeri ini.

127. Tidak lupa juga sekalung tahniah atas segala jasa dan pengorbanan penjawat awam selaku jentera pelaksana kepada segala dasar dan pembangunan negeri.

Penjawat awam diibaratkan tulang belakang kerajaan dan pencapaian yang kita kecapi sehingga kini tidak akan dapat diperolehi tanpa komitmen yang jitu, tanpa mereka pincanglah urus tadbir negeri.

Marilah kita bersatu padu,
Tekadkan hati berganding bahu,
Agenda Pembangunan telah diseru,
Kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

128. Sukacita saya ingin mengumumkan bahawa, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak 750 ringgit kepada kesemua kakitangan kerajaan tanpa pengecualian gred, kerana pencapaian yang kita perolehi hari ini adalah hasil usaha padu kita semua.

Seramai 8,000 penjawat awam akan menerima manfaat tersebut dan pembayaran dibuat pada bulan Disember ini. Jumlah peruntukan untuk Bayaran Khas Kewangan ini adalah sebanyak 6 juta ringgit.

129. Pemberian Bantuan Khas Kewangan ini bertambah berbanding dengan tahun lepas yang berjumlah 500 ringgit dan insya-Allah, pada tahun yang mendatang, sekiranya prestasi kewangan negeri bertambah kukuh, tidak mustahil Kerajaan Negeri akan memberikan Bantuan Khas Kewangan ini dengan lebih lagi, dalam bahasa mudahnya ‘Bagi tetap bagi, sikit banyak je tak tahu lagi’.

130. Harapan Kerajaan Negeri ialah agar pemberian ini dihargai semua, dan dapatlah juga kita sama-sama memahami akan falsafah saya sendiri betapa ‘Jika berbelanja janganlah sampai boros, dan jika berjimat janganlah sampai kedekut’.

Ke pinggir hutan bersama rakan,
Memungut petai berpapan-papan,
Selesai sudah saya bentangkan,
Belanjawan negeri tahun hadapan

Memungut petai berpapan-papan,
Sesudah pungut pulang ke rumah,
Belanjawan negeri tahun hadapan,
Mohon bahaslah dengan berhemah

Sesudah pungut pulang ke rumah,
Peraih dah tunggu di dalam lori,
Mohon bahaslah dengan berhemah,
Demi kemuliaan Dewan Negeri

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

131. Saya dengan ini membentangkan Belanjawan 2020 dan saya mohon mendapat sokongan semua, insya-Allah.

Saya mohon mencadangkan.

Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. – Khabar