Friday, 27 July 2018

Pantun dan Analogi oleh MB, pada penangguhan persidangan Dewan Negeri


“Di dalam kelapa ada tombong,
Mari disimpan di dalam peti,
Tidak dihairan orang yang sombong,
Orang hormat dek kerana budi”.

MENTERI BESAR DAN BEKAS MENTERI BESAR, DENGAN SEBAHAGIAN ANGGOTA EXCO KERAJAAN NEGERI... Yang turut menyertai sesi berfoto kumpulan ini ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato' Mohamad Jaafar (kiri sekali). 


DEWAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah menarik perhatian wakil rakyat sekelian dengan bacaan pantun serta beranalogi, ketika menyampaikan Ucapan Penangguhan sempena berakhirnya Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri ke-14 petang Jumaat, 27 Julai di sini.

Persidangan ini telah berlangsung selama lima (5) hari, bermula dengan Istiadat Pembukaan yang telah disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang pada pagi Isnin, 23 Julai yang lepas.    

Dato’ Sri Wan Rosdy sendiri yang mula dikenali kini dengan sikap berhemah, ‘cool-headed and soft-spoken’ dan tidak meninggi diri apatah lagi sombong, telah mendeklamasikan pantun empat (4) keratnya seperti berikut;  

“Di dalam kelapa ada tombong,
Mari disimpan di dalam peti,
Tidak dihairan orang yang sombong,
Orang hormat dek kerana budi”.  

Dan pantunnya ini segera mendapat reaksi positif dengan ada dalam kalangan anggota kumpulan ‘WhatsApp’ tertentu, telah memperkatakannya, termasuk yang membuat teka-teki daripadanya.

BERSAMA-SAMA AHLI-AHLI YANG BERHORMAT PEMBANGKANG... CUKUP TUJUH (7) WAKIL RAKYAT PEMBANGKANG DARI PAKATAN HARAPAN YANG MERUPAKAN AHLI-AHLI DAP. 


IBARAT MENGURUS MAJLIS KENDURI KAHWIN

Lanjutan itu, beliau yang kali kedua hadir pada persidangan Dewan Negeri ke-14 ini selaku Menteri Besar, telah menyatakan penghargaan dan terima kasihnya kepada semua yang terlibat, dalam menjayakan persidangan kali ini lalu beranalogi;  

“… yang saya ibaratkan, menguruskan kenduri kahwin; Majlisnya berjalan lancar, nasi minyaknya tak lembik, lauknya cukup, gulainya sedap, mempelai pengantin tiba tepat waktunya.  

“Tetamu datang beradab, penyambut tetamunya mesra, yang bersilat tidak berkelahi menghunus keris; maka, senanglah hati tuanrumahnya.

“Tuanrumahnya – itulah saya, dan saya amat bersyukur dengan segala-galanya, Alhamdulillah,” katanya yang mendapat perhatian sepenuhnya oleh wakil rakyat-wakil rakyat daripada kedua-dua pihak Kerajaan dan pembangkang.  

Berikut disarkan sebahagian lagi kata-kata penghargaannya terhadap mereka yang berkenaan;

BERSAMA-SAMA GENAP LAPAN PEMBANGKANG, DARI PARTI PAS... 


PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH BUAT SEMUANYA

“Mengambil kesempatan berada pada penghujung persidangan kita kali ini, sukacita saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan dan Yang Berhormat Timbalan Yang Dipertua Dewan, sehinggalah kepada Yang Hormat Setiausaha Dewan serta kakitangan-kakitangan di bawahnya.

“Atas komitmen tinggi dan kerja keras merekalah – ada yang masih bekerja hingga ke malam selepas tamat setiap hari persidangan; maka persidangan Dewan ini dapat berjalan lancar.

“Ucapan terima kasih juga ialah kepada Yang Hormat Ketua-ketua Jabatan Kerajaan serta Agensi Kerajaan yang telah hadir setiap hari, serta menyediakan butiran yang diperlukan kepada pihak Kerajaan untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan yang dibangkitkan.

“Saya turut berterima kasih kepada anggota-anggota Tentera Udara Diraja Malaysia yang telah melakukan perbarisan pada hari Istiadat Pembukaan, selain anggota-anggota polis yang memberikan khidmat keselamatan, serta kru kesihatan dengan sebuah ambulans ‘standby’, demi menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada yang memerlukan.

“Tidak lupa terima kasih saya kepada kakitangan Jabatan Kerja Raya (J.K.R) dan Majlis Perbandaran Kuantan (M.P.K), yang berperanan dalam penyediaan tapak serta hiasan pada hari Istiadat Pembukaan.

BUAT KENANG-KENANGAN... Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob, ialah wakil rakyat, Encik Mohd Sofian Abdul Jalil (PAS - Luit) yang merupakan adik kepada bekas Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Munawar Abdul Jalil.  


TEPATI JADUAL ASAL TEMPOH 5-HARI BERSIDANG

“Last but not least’, sudah tentulah ucapan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian, yang secara berhemah dan budiman (gentleman), berbahas dan terlibat aktif dalam sesi soal-jawab.

“Dengan sikap hemah dan budiman inilah, paling tidak, jadual asal kita untuk menyudahkan persidangan kita ini dalam tempoh lima (5) hari sahaja – tanpa perlu dipanjangkan; dapat terlaksana.

“Tahniah pula kerana menghormati persidangan Dewan – dengan menghormati Yang Berhormat Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua, serta Ahli-ahli Yang Berhormat; telah menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan Ahli-ahli Yang Berhormat semua.

“Sesungguhnya kita juga haruslah sedar betapa, akhlak itu adalah pakaian kita selamanya, budi-bahasa melambangkan jiwa mulia, dan tutur-kata menggambarkan isi dalam dada.

 “Selepas ini, saya berharap, kembalilah Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian ke kawasan masing-masing dan berkhidmatlah sebaik-baiknya demi memastikan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat yang kita masing-masing wakili.

“Semoga kita dapat berjumpa lagi, dalam suasana yang serupa sepertimana tempoh persidangan lima (5) hari ini; pada persidangan yang akan datang pula, insyaAllah”. – Khabar.


Monday, 23 July 2018

KDYMM Pemangku Raja Pahang sukacita;


# Dengan penurunan kuasa kelulusan kebenaran pindah milik dan gadaian tanah daripada Pihak Berkuasa Negeri/Menteri Besar kepada Pentadbir Tanah Daerah

# Diskaun pengurangan premium mesti menurut kadarnya 

“Saya berasa amat sukacita, kerana dalam tempoh tidak sampai 100 hari memimpin Kerajaan Negeri; Orang Tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, telah membuat beberapa keputusan penting yang berkaitan rakyat.

“Antaranya ialah penurunan kuasa daripada menteri besar atau pihak berkuasa negeri kepada pentadbir tanah daerah, bagi kelulusan kebenaran pindah milik tanah dan gadaian tanah.

“Bagi urusan pindah milik antara ‘waris qadim,’ kelulusan boleh diberikan dalam tempoh 1 atau 2 hari sahaja. Manakala, urusan pindah milik selain ‘waris qadim’ dan antara berlainan bangsa; kelulusan boleh diberikan dalam tempoh cuma 10 hari,” titah Baginda.

MEMERIKSA PERBARISAN...

DEWAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – KDYMM Pemangku Raja Pahang menzahirkan kesukacitaan Baginda dengan beberapa keputusan oleh Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, dalam tempoh tidak sampaipun 100 hari mentadbir negeri.

Keputusan-keputusan itu ialah berkenaan penurunan kuasa daripada Menteri Besar atau Pihak Berkuasa Negeri kepada Pentadbir Tanah Daerah, berkaitan kelulusan kebenaran pindah milik tanah dan gadaian tanah. 

Juga berkenaan penetapan kadar-kadar tertentu kepada diskaun yang boleh Kerajaan Negeri berikan terhadap permohonan untuk mengurangkan premium tanah.

Ini merupakan antara intipati kepada Titah DiRaja yang Baginda lafazkan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Negeri Ke-14 pada pagi Isnin, 23 Julai di sini.  

“Saya berasa amat sukacita, kerana dalam tempoh tidak sampai 100 hari memimpin Kerajaan Negeri; orang tua saya, yang amat berhormat menteri besar dan barisan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri, telah membuat beberapa keputusan penting yang berkaitan rakyat. 

MELAFAZKAN TITAH DIRAJA...


“Antaranya ialah penurunan kuasa daripada Menteri Besar atau Pihak Berkuasa Negeri kepada Pentadbir Tanah Daerah, bagi kelulusan kebenaran pindah milik tanah dan gadaian tanah. 

“Bagi urusan pindah milik antara ‘waris qadim,’ kelulusan boleh diberikan dalam tempoh satu (1) atau dua (2) hari sahaja. Manakala, urusan pindah milik selain ‘waris qadim’ dan antara berlainan bangsa; kelulusan boleh diberikan dalam tempoh cuma 10 hari.

“Selain itu, saya dimaklumkan bahawa semua pemotongan atau ‘diskaun’ yang diberi keatas permohonan mengurangkan premium tanah, mestilah menurut kadar yang berpatutan. Ianya melibatkan permohonan bagi tanah-tanah kerajaan yang baru diluluskan dan juga semua urusan berkaitan tukar syarat tanah. 

“Dengan ketegasan baru ini saya amat berharap, ia dapat menyumbang kepada peningkatan hasil negeri, insyaAllah,” titah Baginda.

Berikut disiarkan sepenuhnya Titah DiRaja tersebut;

MENGHADAP BAGI MENYEMBAH-SAMPAIKAN TITAH DIRAJA... Menteri Besar sedang mengorak langkah untuk menghadap Baginda bagi menyembah-sampaikan Titah DiRaja.  


Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya, dapat saya berangkat dan melafazkan Titah DiRaja dalam Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Dewan Negeri Pahang yang ke-14 pada pagi yang berbahagia ini. 

Saya turut bersyukur kerana Pilihanraya Umum kali ke-14 telah dapat dilaksanakan dalam suasana yang aman. Saya menghargai peranan yang dimainkan semua pihak dalam menjayakan pilihanraya umum yang lalu. Penghargaan juga kepada seluruh rakyat-jelata yang telah menggunakan hak dan menunaikan kewajipan untuk memilih kerajaan bagi mentadbir negeri. 

Pada kesempatan ini, amatlah bertepatan bagi saya untuk mengucapkan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada bekas Menteri Besar, Yang Berhormat Dato’ Sri Diraja Adnan bin Yaakob, yang telah berjaya mengemudi Kerajaan Negeri saya selama kira-kira 19 tahun dengan cemerlang. 

Saya berharap Yang Berhormat Dato’ Sri DiRaja dapat terus menyumbang khidmat baktinya, sungguhpun kini pada kedudukan yang berbeza pula. 

Sukacita juga saya menzahirkan ucapan tahniah kepada Orang Tua saya, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, atas pelantikan sebagai Menteri Besar Pahang dan juga kepada sekelian Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baru dilantik.  

Semoga  Kerajaan Negeri saya akan dapat terus meningkatkan kemakmuran negeri agar rakyat-jelata dapat terus hidup dengan penuh sejahtera, insyaAllah. 

SUASANA DALAM DEWAN YANG MULIA...

Kepada sekelian Ahli-ahli Yang Berhormat, saya turut ingin mengucapkan tahniah di atas kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum yang ke-14 tempoh hari.

Sesungguhnya, kepercayaan yang diberi itu datangnya bersama dengan amanah yang perlu digalas. Amanah yang diberi oleh rakyat ini bukanlah sesuatu yang boleh dipersenda dan diabaikan. Kerana itu, Allah Subhanahu Wata‘ala berfirman dalam Surah Al-Anfal ayat ke-27 : 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَخُونُواْ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓاْ أَمَٰنَٰتِكُمۡ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٢٧

 yang bermaksud:

 “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasulnya; dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada kamu, sedang kamu mengetahui.”

Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian.

KEBERANGKATAN KERABAT-KERABAT DIRAJA... YAM Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Abdullah, turut berangkat ke Istiadat pagi Isnin ini.


Sesungguhnya saya berasa sukacita melihat pertumbuhan positif ekonomi negeri Pahang, yang disumbangkan oleh sebahagian besarnya daripada iklim ekonomi negara yang memberangsangkan.

Prospek pertumbuhan ekonomi negara dianggarkan pada kadar 5.9 peratus bagi tahun 2017, berbanding 4.2 peratus bagi tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi yang sihat ini telah membantu Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan agenda pembangunan melalui pelaksanaan projek-projek Rancangan Malaysia ke-11 yang kini memasuki tempoh pelaksanaan ‘Rolling Plan’ yang ke-3. 

Saya merasa sangat sukacita dengan kelulusan sebanyak 300 projek yang bernilai RM2.2 bilion pada tahun 2017 untuk negeri Pahang di bawah ‘Rolling Plan’ ke-3 ini.

Adalah menjadi harapan saya agar kesinambungan Rancangan Malaysia ke-11 di negeri saya dapat diteruskan lagi terutamanya berhubung projek-projek yang memberi impak terus kepada rakyat jelata.

PAPAN TANDA BESAR DALAM PERKARANGAN WISMA SRI PAHANG INI... 


Sehubungan itu, adalah amat bertepatan bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri saya untuk terus bekerjasama tanpa mengira perbezaan fahaman politik. Saya turut menggesa Kerajaan Negeri untuk menyokong usaha-usaha Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan pembangunan ekonomi  negara dan seterusnya negeri saya.

Ahli-ahli Yang Berhormat.

Pelaburan di negeri saya telah meningkat kepada RM24.3 billion pada tahun 2017 berbanding RM16.7 billion pada tahun 2016.

Peningkatan pelaburan ini turut dipacu melalui usahasama di antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Kerajaan Negeri saya.

Tanah dan galian serta perhutanan terus menjadi tulang belakang dan penyumbang terbesar kepada hasil negeri. Bagi tahun 2018, kutipan hasil tanah dan galian dianggar menyumbang sejumlah RM337.7 juta; manakala hasil perhutanan bakal menyumbang sejumlah RM102.45 juta.

Saya berpandangan, negeri saya ini mempunyai potensi yang tinggi untuk meningkatkan lagi hasil negeri selain bergantung kepada hasil tanah dan galian, serta perhutanan semata-mata.

Kerajaan saya wajar bersikap proaktif dalam menggalakkan pelaburan swasta terutamanya dalam sektor pembuatan. Selain itu, Taman Teknologi Pahang mempunyai potensi yang tinggi untuk dijadikan ‘hub’ bagi industri-industri makanan halal, bioteknologi, teknologi maklumat, komunikasi dan agriteknologi. Industri-industri ini telah dikenal-pasti antara perniagaan global yang paling pantas berkembang ketika ini.

Peningkatan pelaburan dalam projek-projek berimpak tinggi dan pertumbuhan industri-industri ini kelak, bukan sahaja akan dapat meningkatkan hasil negeri; malahan ianya turut berupaya mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada rakyat saya. Misalannya, pembinaan ‘Malaysia-China Kuantan Industrial Park’ (MCKIP), bakal mewujudkan kira-kira 4,000 peluang pekerjaan baru.

Bagi merancakkan lagi pelaburan, adalah wajar bagi Kerajaan saya untuk turut membangunkan infrastruktur negeri. Melalui perancangan yang teliti dan peningkatan infrastruktur yang berterusan, Pelabuhan Kuantan berpotensi menjadi pelabuhan utama di wilayah pantai timur dan menjadi “gerbang utama ke Asia Pasifik.”

Disamping itu, pembinaan laluan keretapi ‘East Coast Rail Link’ (ECRL) akan meningkatkan pula saling hubungan kawasan-kawasan ekonomi dan perindustrian dari Pelabuhan Kuantan hingga ke Tumpat di Kelantan dan Pelabuhan Kelang di pantai barat.

Sehubungan itu, saya mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula kos pembinaan  laluan keretapi ini. Saya berharap, dengan terbinanya laluan keretapi ini kelak; lebih banyak kawasan pertumbuhan ekonomi yang bakal diwujudkan.

Selain itu, Kerajaan saya juga wajar memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan penternakan yang turut berpotensi tinggi dalam meningkatkan hasil negeri. Ianya juga adalah selari dengan hasrat negara untuk memaksimakan pendapatan melalui sektor ini.

Sehubungan itu, saya inginkan semua pihak berganding bahu dalam memastikan sektor pertanian dapat berkembang pada kadar 3.6 peratus. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan saya wajar menggalakkan penggunaan teknologi yang mampu meningkatkan produktiviti pertanian dan penternakan.

Saya ingin melihat negeri Pahang menjadi sebuah negeri pengeluar makanan hasil ternakan yang utama di Malaysia, seterusnya menyumbang kepada usaha untuk negara mencapai matlamat membekalkan bahan makanan yang cukup untuk keperluan negara.

Ahli-ahli Yang Berhormat.

Penerokaan sumber-sumber hasil yang baru secara tidak langsung akan memelihara alam sekitar kerana ianya akan berupaya untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil semulajadi semata-mata.

Tidak dinafikan bahawa sektor perhutanan boleh membekalkan sumber kayu-kayan yang tinggi nilainya. Namun demikian, aktiviti pembalakan yang tidak terkawal boleh membawa kepada kemusnahan hutan.

Bagi memelihara dan mengurus khazanah hutan negeri, saya menyeru Jabatan Perhutanan Negeri untuk memperkasakan amalan pengurusan hutan secara berkekalan ataupun “sustainable forest management.” Pendekatan holistik “forest beyond timbers” juga, wajar untuk diamalkan bagi memelihara khazanah hutan negeri saya.

Saya juga menyeru Kerajaan Negeri untuk melaksanakan program pemulihan ke atas hutan terosot atau “degraded forest” dan tanah-tanah terbiar.

Selain itu, ancaman utama kepada pemeliharaan khazanah hutan adalah aktiviti pembalakan haram. Bagi membendung gejala ini, Jabatan Perhutanan Negeri wajar menggunakan teknologi masa kini selain daripada bergantung kepada kaedah penguatkuasaan tradisional.

Penggunaan teknologi “remote sensing” dan “geographic information system mapping” boleh mengesan aktiviti pembalakan haram dalam masa yang singkat. Aktiviti pemantauan udara dengan menggunakan “unmanned ariel vehicle” juga boleh melipat-gandakan keberkesanan usaha-usaha pencegahan.

Begitu juga peri mustahaknya untuk memelihara sungai kerana ia mempunyai banyak kepentingan kepada kehidupan seharian rakyat jelata, terutamanya sebagai sumber air mentah.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini saya dapati, sikap mengambil mudah terhadap kepentingan sungai sangat jelas dipertontonkan. Sampah sarap dan sisa buangan industri telah disalur terus ke dalamnya seolah-olah tanpa kawalan. Perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini, telah mencemari sungai-sungai di negeri saya.

Oleh itu, saya ingin menyarankan kepada sekelian rakyat agar dapatlah bersama-sama menjaga kebersihan sungai-sungai dan alam sekitar. Kerajaan saya hendaklah mengambil tindakan yang tegas kepada mana-mana pihak yang mencemari sungai serta merosakkan alam semulajadi negeri saya.

Saya turut berharap, dalam melaksanakan projek-projek pembangunan; aspek kepentingan pemeliharaan alam sekitar hendahlah turut ditekankan.

Sesungguhnya, sama-samalah kita menginsafi bahawa apa yang kita nikmati pada hari ini adalah tinggalan daripada generasi yang terdahulu, dan apa yang kita lakukan hari ini menjadi tinggalan kepada generasi akan datang.

Oleh itu, berpada-padalah dalam meneroka sumber alam negeri. Jangan kelak kita menyesal apabila tiada lagi yang tinggal untuk diwarisi anak cucu kita.

Ahli-ahli Yang Berhormat.

Raja dan rakyat berpisah tiada. Denyutan nadi dan keluh resah rakyat jelata seringkali dirasai oleh saya.

Kerana itulah saya sangat bersimpati dengan sebilangan rakyat yang masih lagi dihimpit oleh tekanan sara hidup yang meningkat. Saya amat memahami bahawa ekonomi negara masih terkesan oleh keadaan dan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini.

Saya mengambil maklum bahawa kadar kemiskinan negeri telahpun menunjukkan penurunan daripada 0.7 peratus pada tahun 2014, kepada 0.2 peratus pada tahun 2016. Usaha-usaha hendaklah digiatkan agar penurunan kadar kemiskinan negeri dapat diteruskan. 

Kerana itu, saya sangat berbangga dan mengucapkan syabas kepada Kerajaan saya di atas pelaksanaan program rumah mampu milik di bawah “PR1MA Pahang” seperti yang telah diilhamkan oleh bekas Menteri Besar, Yang Berhormat Dato’ Sri DiRaja Adnan bin Yaakob pada tahun 2013.

Program “PR1MA Pahang” adalah aku-janji Kerajaan saya untuk membina 15,000 buah rumah mampu milik dalam tempoh 5 tahun antara tahun 2013 dan 2017; dengan nilai jualan yang rendah berbanding harga pasaran.

Saya bersyukur dan berbangga, kerana akujanji ini telah dapat ditunaikan. Sehingga Mei 2018, Kerajaan Negeri saya telah meluluskan sebanyak 109 projek melibatkan 35,813 buah rumah mampu milik di seluruh negeri.

Daripada jumlah ini, 8 projek dengan 2,652 buah rumah telah siap diduduki dan 21 projek yang melibatkan 4,983 buah rumah sedang rancak dalam pembinaan. Manakala, sejumlah 30 projek lagi dengan 7,807 buah rumah telah lulus kebenaran merancang.

Namun disebalik kejayaan ini, terdapat desas-desus mengenai segelintir kecil rakyat yang memiliki lebih dari sebuah rumah dan menyewakan rumah tersebut sebagai “homestay” ataupun rumah persinggahan.

Pada hemat saya, ini adalah merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab serta perlakuan yang tidak adil kepada rakyat yang benar-benar memerlukan rumah mampu milik. Sehubungan itu, saya menggesa Kerajaan saya untuk menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Ahli-ahli Yang Berhormat.

Saya juga merasa amat sukacita dengan usaha-usaha yang telah diambil khususnya oleh Yayasan Pahang, dalam meningkatkan akses dan kecemerlangan pendidikan rakyat jelata.

Saya sedia maklum, peruntukan yang besar telah disediakan bagi usaha-usaha tersebut. Sejumlah RM74 juta telah disalurkan melalui skim Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan RM272 juta lagi melalui skim Biasiswa Sekolah Menengah (BSM).

Bagi meningkatkan ekonomi rakyat, agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Pelajaran dan Jabatan Tenaga Kerja wajar memainkan peranan dalam membantu Kerajaan saya membangun dan memantapkan modal insan di negeri ini.

Ke arah itu, usaha-usaha seperti sumbangan bantuan pendidikan dan penyediaan kursus-kursus yang selaras dengan keperluan industri semasa, hendaklah dilipat gandakan lagi.

Saya juga menyeru institusi-institusi pengajian tinggi di negeri ini untuk terus menumpukan kepada pembangunan pekerja berkemahiran demi memenuhi keperluan semasa dan peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan.

Bagi aspek kebajikan rakyat, saya turut sukacita dengan peningkatan liputan bekalan air bersih kepada 98 peratus kawasan-kawasan luar bandar dan 100 peratus ke kawasan-kawasan bandar.

Bagi tahun 2018, Kerajaan saya telah memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi tujuan pembinaan projek-projek pembangunan infrastruktur bekalan air baru serta menaiktaraf sistem yang sedia ada.

Menyentuh mengenai aspek kesihatan rakyat-jelata, saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri yang terus berusaha dalam menambah fasiliti dan meninggikan kualiti perkhidmatan kesihatan di negeri saya.

Saya turut berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dengan pembukaan 2 buah pusat hemodialisis iaitu di Chemomoi, Bentong dan di Sungai Koyan, Lipis. Selain itu, perkhidmatan ambulan di seluruh negeri telah turut ditingkatkan melalui penyediaan sebanyak 19 buah ambulans baru.

Adalah menjadi harapan saya agar semua agensi berkaitan dapat mengembleng tenaga bagi mempromosikan kepentingan gaya hidup sihat. Melalui pendekatan ini, taraf kesihatan rakyat akan dapat ditingkatkan dan dalam masa yang sama akan dapat mengurangkan bebanan rakyat dengan kos perubatan yang semakin meningkat.

Mengenai masyarakat Orang Asli, saya berharap usaha dan langkah mewartakan tanah rezab mereka dapat dipercepatkan. Disamping itu, peluang ekonomi untuk Orang Asli hendaklah juga diusahakan. Orang Asli tidak lagi boleh mengamalkan kehidupan seperti dahulu, bahkan mereka mesti menyesuaikan diri dengan peredaran masa. Adalah wajar bagi Kerajaan saya untuk tidak mengabaikan kepentingan Orang Asli dan berterusan meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli.

Ahli-ahli Yang Berhormat.

Agama Islam adalah agama bagi Persekutuan seperti yang termaktub dalam perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai Ketua Agama Islam, saya inginkan ajaran Islam dijadikan sebagai panduan dalam semua urusan pentadbiran dan pembangunan di negeri saya.

Pendidikan agama juga adalah tidak kurang pentingnya. Maka, adalah wajar bagi Jabatan Pelajaran Negeri untuk meningkatkan kerjasama bagi menambah-baik dan membangunkan sekolah-sekolah agama rakyat di negeri saya.

Usaha juga perlu ditingkatkan bagi memperkasa Mahkamah Syariah dan pentadbiran undang-undang Islam negeri. Bagi mencapai hasrat ini, satu kajian khusus wajar dilaksanakan segera.

Malaysia adalah sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian bangsa dan agama. Semua rakyat jelata adalah bebas untuk mengamalkan agama yang dianuti mereka. Namun demikian, kebebasan ini tidaklah termasuk kebebasan untuk mencampuri urusan agama lain.

Nasihat saya, hentikanlah perdebatan berhubung sebarang isu-isu yang melibatkan sensitiviti agama. Perdebatan yang berterusan hanya kelak mengundang padah kepada keharmonian negeri.

Ahli-ahli Yang Berhormat.

Saya berasa amat sukacita, kerana dalam tempoh tidak sampai 100 hari memimpin Kerajaan Negeri; Orang Tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, telah membuat beberapa keputusan penting yang berkaitan rakyat.

Antaranya ialah penurunan kuasa daripada Menteri Besar atau Pihak Berkuasa Negeri kepada Pentadbir Tanah Daerah, bagi kelulusan kebenaran pindah milik tanah dan gadaian tanah.

Bagi urusan pindah milik antara ‘waris qadim,’ kelulusan boleh diberikan dalam tempoh 1 atau 2 hari sahaja. Manakala, urusan pindah milik selain ‘waris qadim’ dan antara berlainan bangsa; kelulusan boleh diberikan dalam tempoh cuma 10 hari.

Selain itu, saya dimaklumkan bahawa semua pemotongan atau ‘diskaun’ yang diberi keatas permohonan mengurangkan premium tanah, mestilah menurut kadar yang berpatutan. Ianya melibatkan permohonan bagi tanah-tanah kerajaan yang baru diluluskan dan juga semua urusan berkaitan tukar syarat tanah.

Dengan ketegasan baru ini saya amat berharap, ia dapat menyumbang kepada peningkatan hasil negeri, insyaAllah.

Saya juga ingin mengingatkan Kerajaan saya, serta semua penjawat awam dan penjawat di syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri agar sentiasa memegang amanah dan mengamalkan prinsip integriti yang tinggi. Amalan urus tadbir yang baik, akauntabiliti dan budaya kerja yang berkualiti; akan dapat meningkatkan keyakinan rakyat kepada Kerajaan saya.

Ahli-ahli Yang Berhormat

Pada kesempatan ini, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam termasuk Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia; serta semua jentera-jentera Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri di atas khidmat bakti yang telah dicurahkan bagi menjamin  keamanan, kemajuan dan kesejahteraan negeri saya.

Kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian, saya ingin berpesan agar menjadikan dewan yang mulia ini sebagai tempat untuk berkongsi kebijaksanaan dan bukannya tempat untuk beradu kekuatan.

Masa depan negeri dan rakyat jelata bukanlah sesuatu yang boleh diadu-domba. “Dayung sudah di tangan dan perahu sudah di air;” maka ayuhlah mendayung seiringan bagi mengemudi negeri Pahang ke arah kecemerlangan.

Mengakhiri titah, saya berdoa semoga Allah Subhanahu Wata‘ala melimpahkan rahmat dan kesejahteraan kepada rakyat dan negeri Pahang Darul Makmur. – Khabar

Saturday, 14 July 2018

“(Ia) satu amanah besar yang perlu dipikul apatah pula dengan landskap politik yang berubah,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.


Beliau diumumkan sebagai Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang yang baharu menggantikan Dato’ Sri DiRaja Adnan.

PELANTIKAN BAHARU... 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pelantikannya sebagai Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri yang baharu sebagai amanah besar yang perlu dipikul, dengan berlatar belakangkan keadaan politik negara yang sudah berubah.

Sambil itu beliau berharap agar rakan-rakannya dalam UMNO – pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli keseluruhan khususnya di Pahang; dapat membantunya dalam menjalan dan menunaikan amanah dan tanggungjawab tersebut.

“(Ia) satu amanah besar yang perlu dipikul apatah pula dengan landskap politik yang berubah,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy sebagai reaksi kepada pengumuman pelantikannya ke jawatan tersebut oleh Presiden UMNO, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi petang Sabtu, 14 Julai ini.

“(Saya ber)harap, (akan men)dapat sokongan rakan-rakan (pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli) UMNO untuk membantu,” katanya lagi yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands .

Pengumuman Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid ini dibuat dalam satu kenyataan media yang disiarkan oleh portal berita milik UMNO Malaysia – UMNO Online, di bawah tajuk Zahid Umum Ahli Majlis Tertinggi Lantikan dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri.

'BE YOUR OWNSELF'... Semoga kepimpinan baharu oleh Dato' Sri Wan Rosdy dapat berikan semangat yang diperbaharukan buat pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO Pahang sekelian.  


SATU PILIHAN YANG TEPAT

Untuk Pahang, selain Dato’ Sri Wan Rosdy; yang turut dilantik ialah Ahli Parlimen Rompin yang juga Ketua UMNO Bahagian Rompin, Dato’ Hasan Ariffin sebagai Timbalan Pengerusi; dan, Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Dato’ Sri Ab Hamid Nazahar atau lebih popular dengan panggilan Hamid Mandela, sebagai Setiausaha.

Sementara itu, dalam reaksinya kepada ‘follow-up’ oleh wartawan Utusan Malaysia, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob telah dilaporkan mengalu-alukan pelantikan Dato’ Sri Wan Rosdy ini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang menerajui Badan Perhubungan Negeri sejak empat (4) penggal lepas, percaya yang Dato’ Sri Wan Rosdy mampu menggalas tanggungjawab ini dengan baik.

“Satu pilihan yang tepat kerana beliau seorang Menteri Besar yang jujur, ikhlas dan bijaksana. Sangat sesuai,” sepertimana Dato’ Sri DiRaja Adnan kata mengenai penggantinya. – Khabar    




    

Friday, 6 July 2018

Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Mahkota Tengku Abdullah


YAM TENGKU PANGLIMA BESAR PAHANG YANG BAHARU... Ketika dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran 'Dato' Sri' oleh Paduka Ayahanda, Pemangku Raja Pahang pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan pada 24 Oktober 2016. 
   

BILIK GERAKAN NEGERI, TINGKAT 7, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Anakanda sulung KDYMM Pemangku Raja Pahang, YM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah kini ialah YAM Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

Ini dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail pada persidangan media khas mengenai tunggakan hasil negeri petang Jumaat, 6 Julai di sini.

Berikut ialah pemakluman tersebut yang di bawah tajuk Pengisytiharan Pelantikan Yang Amat Mulia Kerabat Bergelar;

Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang telah mengampuni perkenan mengurniakan gelaran Yang Amat Mulia Kerabat Bergelar ke atas tubuh Paduka Cucunda Baginda, Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah dengan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang berkuatkuasa pada 18 Jun 2018 bersamaan 4 Syawal 1439 Hijrah.

Sehubungan dengan gelaran yang dikurniakan, bermula dari tarikh tersebut, panggilan hormat yang digunakan adalah seperti berikut – Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

LULUSAN IJAZAH SARJANA MUDA DALAM HUBUNGAN ANTARABANGSA

Menurut Dato’ Sri Muhammad Safian, pengurniaan gelaran tersebut berikutan pulangnya ke rahmatullah penyandang sebelum ini pada akhir tahun lepas iaitu YAM Dato’ Tengku Ibrahim Tengku Sulaiman.

Sebagai latar belakang, YAM Tengku Panglima Besar Pahang, 22, yang sulung daripada sembilan beradik, telah diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan St Thomas di sini, sebelum melanjutkan pengajian menengah dan menengah atas masing-masing di Caldicott School dan Sherbone School di England;

Seterusnya melanjutkan pelajaran ke Geneva School of Diplomacy & International Relations, Switzerland sebelum memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam Hubungan Antarabangsa dengan menghadiri konvokesyen di sana pada minggu lepas. – Khabar  

RM2,200 juta daripada RM3,200 juta hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan lupus, jadi geran


“Dan, satu dasar telahpun dibuat oleh Kerajaan Persekutuan; apabila kita strukturkan semula  bekalan air di negeri Pahang ini maka secara otomatiknya, RM2.2 billion tadi akan dilupuskan bukan sebagai hutang,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri.


SERIUS MENERANGKAN... Aksi Dato' Sri Muhammad Safian pada persidangan media khas petang Jumaat ini. 


BILIK GERAKAN NEGERI, TINGKAT 7, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Sebanyak RM2,200 juta perbelanjaan berkaitan air daripada RM3,200 juta hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan lupus, menjadi geran; dengan berlakunya penstrukturan bekalan air kelak.

Demikian kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail pada persidangan media khas mengenai tunggakan hasil negeri petang Jumaat, 6 Julai di sini.

“Kita berhutang dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM3.2 billion. Kita tak ada masalah sangat nak membayarnya kerana, pertama ialah, daripada jumlah itu, RM2.2 billion adalah untuk bayaran berkaitan dengan bekalan air.

“Dan, satu dasar telahpun dibuat oleh Kerajaan Persekutuan; apabila kita strukturkan semula  bekalan air di negeri Pahang ini maka secara otomatiknya, RM2.2 billion tadi akan dilupuskan bukan sebagai hutang.

“Jadi kita dalam proses sekarang ini, menstrukturkan pengurusan PAIP ini. Kita punyai agensi yang berkaitan dengan air ini ialah PAIP – Pengurusan Air Pahang Bhd. So bila kita strukturkan semula esok, semua ini akan dijadikan sebagai geran.

PINJAM DIANGGAP HUTANG RM200 JUTA BAIKI KEMUDAHAN SEMASA SUKMA

“Jadi, RM2.2 billion hutang tadi, habis. Tinggal RM1 billion lagi,” katanya dan menambah betapa baki hutang RM1,000 juta ini pula ialah berkaitan tiga (3) perkara; pembinaan rumah kos rendah, penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan perbelanjaan semasa banjir besar beberapa tahun lepas.

Dengan tindakan Kerajaan Negeri untuk mengutip semula tunggakan sewa Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) yang berjumlah RM9.74 juta katanya, boleh digunakan untuk membayar kembali hutang di bawah kategori ini.

Semasa penganjuran SUKMA pula katanya, pinjaman kira-kira RM200 juta untuk pembinaan kemudahan sukan seperti kolam renang dan lapan sasar menembak serta kerja-kerja pembaikan stadium telah dianggap sebagai hutang.

Begitu juga semasa negeri ini dilanda banjir besar beberapa tahun lepas, apabila pinjaman sebanyak RM40 juta untuk menanganinya kata Dato’ Sri Muhammad Safian, juga dianggap Kerajaan Persekutuan sebagai hutang.

“Kita sekarang merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya menganggap ia sebagai geran, tidak sebagai hutang.

BAKI HUTANG SEPATUTNYA TINGGAL RM760 JUTA

“Jadi, kalau ada hutangpun, ‘balance’nya adalah lebih kurang RM760 juta. RM760 juta ini kita ada cara kita, termasuklah kita akan mengutip hutang-hutang kita dengan TNB umpamanya.

“Sebab dia (TNB) menggunakan air untuk ‘generate power’ – air di Cameron Highlands, air di Empangan Tekai. Kita akan tuntut bayaran. Diapun berhutang juga dengan kita,” katanya lagi.

‘Berapa lamakah tempoh untuk selesaikan perkara ini?’ tanya susulan wartawan kanan Berita Harian, dan Dato’ Sri Muhammad Safian secara spontan menjawab, “Saya diberi mandat oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini, selesaikan sebelum hujung tahun ini”.  – Khabar