Tuesday 30 October 2012

Unprecedented!!! (Tak pernah berlaku)


... perkataan popular tentang bencana angkara ‘superstorm Sandy’ di pantai timur Amerika Syarikat, serta,

berita baik mengenai # penemuan rizab minyak sehingga 64 juta tong di luar pantai Pahang, dan # pelaburan ratusan juta ringgit dalam pengeluaran ‘caviar’ (benih/telur ikan) di Jerantut.

BENCANA DAN BAHANA BAWAAN 'SANDY'... Inilah antara imej yang dapat kita sama-sama ikuti mengenai bencana 'superstorm Sandy' yang melanda New York. 


SEBUAH HOTEL, PUTRAJAYA ‘Unprecedented’ atau, tidak pernah berlaku sebelum ini.

Inilah perkataaan popular diucapkan khususnya oleh Dato’ Bandar New York, Encik Michael Rubens Bloomberg pada persidangan medianya selepas bencana ‘superstorm Sandy’ melanda bandaraya itu pada Selasa 30 Oktober.

Ini jugalah perkataan yang boleh kita juruskan kepada dua (2) berita gembira bagi rakyat Pahang sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak pada hari yang sama.

Dalam pada kita bersimpati dengan angkara ‘Sandy’ di New York serta bandar-bandar lain di pantai timur negara Uncle Sam itu, kita tentunya bersyukur kerana kejadian bencana tahap ‘ganas’ seumpama itu tidak berlaku di negara dan negeri ini.

Pun begitu, tiada jaminan bahawa bencana seumpama itu tidak akan melanda kerana ‘Sandy’juga – dan malapetaka besar yang dikesankannya; turut tidak pernah berlaku sebelumnya, hinggalah kejadian ngeri serta dahsyat pada 30 Oktober itu.

“SANDY... I’M IN MISERY’

Sehinggakan, terowong keretapi bawah tanah (subway) yang sudah terbina sejak lebih 100 tahun lamanya dan tidak pernah terjejas; tetapi kebanjiran dimasuki limpahan air laut berdekatan, akibat daripada bencana hari Selasa itu.

Jika seorang daripada penduduk New York yang ditemubual oleh stesen penyiaran British Broadcasting Corporation (BBC) sehari sebelum bencana melanda, ada berseloroh mengenai apa sangat yang boleh dilakukan oleh ‘Sandy’ – nama perempuan maka melambangkan kelembutan.

Beliau kini mungkin tidak boleh berseloroh lagi mengenainya. Penulis teringat lirik-lirik awal lagu ‘Sandy’ nyanyian penyanyi/pelakon, John Travolta dalam filem menggandingkannya dengan penyanyi/pelakon kelahiran Australia, Olivia Newton John – Grease, terbitan tahun penulis berada di tingkatan lima (5), 1978.

“Sandy... Can’t you see. I’m in misery...” atau diterjemahkan bermaksud, “Sandy... Tidak dapatkah kau lihat. Saya dalam kesengsaraan...”

Jika berita duka oleh Encik Michael – yang juga merupakan seorang daripada 10 tokoh terkaya di Amerika Syarikat dengan nilai kekayaan peribadi RM87,500 juta; turut menyentap perasaan kita lalu kita bersimpati dengannya.

SIMPATI DAN SYUKUR

Dan kita juga bersyukur.

Kita seharusnya bertambah bersyukur dengan berita-berita gembira yang dibawa oleh Perdana Menteri kita pada hari yang sama, khususnya mengenai penemuan pertama kalinya, rizab minyak 64 juta tong di luar pantai negeri kita.

Dengan penemuan itu dan apabila pengeluaran bermula kira-kira pada tahun 2014 kelak, Kerajaan Negeri telahpun dijanjikan pulangan sehingga RM100 juta setahun sebagai ‘wang ihsan’.

Ini segera disambut baik oleh Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang ditemui pemberita pada majlis Hadiah Pelajar Cemerlang Kokurikulum (HPCK) anjuran Yayasan Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, petang Selasa itu juga.

Satu lagi berita gembira oleh Dato’ Sri Mohd Najib ialah mengenai pelaburan ratusan juta ringgit yang bakal mengalir ke negeri ini khususnya daerah Jerantut, dengan persetujuan sebuah syarikat antarabangsa untuk pengeluaran ‘caviar’ (benih/telur ikan) di sana.

Dengan kedua-dua berita gembira ini yang bakal berlaku secara ‘real’ menurut jadualnya, pasti Pahang dapat terus menjadi – Negeri Makmur, Rakyat Sejahtera, insya-Allah. – Khabar     
  


Monday 29 October 2012

Pengangkutan rel awam cekap di kotaraya



SELESA DALAM KOC LRT… Ini merupakan antara perkhidmatan pengangkutan di bawah kendalian/seliaan Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB). Maka, jangkaan tinggi tentu terjurus kepada perkhidmatan bas awam RapidKuantan oleh SPNB, yang bakal beroperasi di Kuantan pada 1 Disember ini.
 

SEBUAH HOTEL BAJET, LORONG SULTAN, PETALING JAYA – Cekap, berkesan  serta perkhidmatan yang mesra-pengguna! Sungguhpun tidak dinafikan, masih ada ruang yang boleh dipertingkatkan lagi.  

Inilah yang dapat dikatakan mengenai perkhidmatan rel awam melibatkan komuter, transit rel ringan (LRT) serta monorel, di bandaraya Kuala Lumpur serta kawasan-kawasan sekitarnya.

Penulis sendiri mengalaminya pada kunjungan singkat dua hari, pada Sabtu, 27 Oktober dan Ahad, 28 Oktober ke bandaraya ini, dengan menginap di hotel bajet kegemaran penulis ini.

Kecuali komuter atau lebih dikenali sebagai KTM Komuter yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB); perkhidmatan-perkhidmatan LRT – LRT jaluran Ampang mahupun jaluran Kelana Jaya, dan monorel – KL Monorail, adalah milik serta di bawah pengurusan Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB).   

Oleh kerana SPNB jugalah yang akan memulakan operasi perkhidmatan bas awam miliknya – RapidKuantan pada 1 Disember ini, maka penduduk Kuantan juga bolehlah menjangkakan perkhidmatan yang cekap, berkesan dan mesra-pengguna daripadanya kelak.

BERSIH DAN SELESA DI STESEN LRT... Lihat sistem penerangan awam (PIS : Public Information System) yang bersinaran cahayanya. Dengan sistem ini, pengguna sering ditaklimatkan mengenai pengangkutan awam yang bakal mereka naiki.   


GUNA REL, ELAK ‘JAM’

Apakah alasan bagi seorang yang datang berkereta bersama-sama keluarganya dari Kuantan ke sini, memilih untuk menggunakan perkhidmatan rel awam sebagai kaedah pengangkutan utamanya?

Jawapannya; Pertama, hendak mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan kenderaan di atas jalan-jalan utama di bandaraya. Kedua, hendak mengelak daripada penulis berpening kepala untuk mencari laluan yang betul bagi sampai ke satu-satu destinasi (apatah pula dengan begitu banyak jalan sehala).

Ketiga, untuk mengelak daripada tercari-cari petak letak kereta yang bilangannya tidaklah mencukupi. Dan, Keempat, untuk mengelak daripada perlu membayar ‘parking ticket’ yang mahal kadarnya.

Maka, dari hotel ini berjalan kakilah kami ke Stesen LRT Taman Jaya yang berhampiran, tidak sampaipun 200 meter jaraknya. Kalaupun yang memenatkan, ialah perlu menjejaki anak-anak tangga untuk sampai ke bahagian ‘platform’ di sebelah atas.

Destinasi dituju – Kompleks Membeli-belah Pavillion, di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Memanglah tiada perkhidmatan terus ke sana dari Stesen LRT Taman Jaya ini. Maka, perlu menghala ke KL Sentral terlebih dahulu.

TEMPAH TIKET MENERUSI MESIN... Mudah lagi menjimatkan masa.


HARGA TIKET BERPATUTAN

Dengan membayar harga tiket cuma RM1.60 seorang, tidak sampai lima (5) minit, koc LRT Jaluran Kelana Jayapun tiba. Untuk ke KL Sentral, kami melepasi beberapa stesen – Universiti (berdepanan dengan Universiti Malaya), Kerinchi (Kampung), Abdullah Hukum (Kampung), dan Bangsar (Jalan).

Setibanya di KL Sentral, kami perlu menaiki perkhidmatan pengangkutan monorel. Dari situ, kami perlu turun ke tingkat bawah untuk berjalan kaki tidak sampai 300 meter lagi di laluan separuh berbumbung manakala separuh lagi tidak (yang boleh membasah-kuyupkan jika hujan), untuk sampai ke stesen KL Monorel.

Perkhidmatan ini membawa kami melepasi stesen-stesen Tun Sambanthan (Jalan), Maharajalela (Jalan), Hang Tuah (Jalan), Imbi (Jalan), dan Bukit Bintang (Jalan). Dari stesen Bukit Bintang, kami perlu menuruni tangga memasuki Kompleks Membeli-belah Lot 10 dan keluar, seterusnya menyeberangi Jalan Bukit Bintang untuk ke Kompleks Membeli-belah Pavillion berkenaan.

Setelah membeli-belah dan lebih banyak masanya ‘window shopping’, kami sekeluarga mengambil kesempatan untuk ‘makan-makan’ di restoran dua-tingkat The Loaf milik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lokasinya ialah di tingkat satu. Sebelum itu, kami membeli beberapa jenis roti di tingkat bawah sebelum kembali ke tingkat satu untuk menempah dan menikmati makanan-makanan secara ala-carte.

SESAK KENDERAAN DI ATAS JALAN BUKIT BINTANG...Untunglah ada LRT, jika tidak, inilah jalan sesak yang perlu ditempuhi. 
 

‘TUN’S BREAKFAST’

Dalam menu yang diberikan, ada satu yang menarik, ‘Tun’s Breakfast’. Dalam pada menikmati hidangan, ada pula dalam kalangan kami yang berangan-angan, kot-kot semasa menjamu, ayahanda Tun muncul meninjau restorannya secara mengejut. Tinggal angan-angan sahajalah.

Setelah puas, maka laluilah kami perjalanan pulang dengan memnggunakan kaedah pengangkutan serta laluan-laluan sepertimana kami datang tadi, dan berehatlah kami semalaman di hotel ini.

Keesokannya, ialah untuk mencuba pula perkhidmatan rel KTM Komuter. Hala tujunya ialah ke Kompleks Membeli-belah Midvalley, Bangsar. Sekali lagi, menggunakan perkhidmatan LRT jaluran Kelana Jaya dari Stesen Taman Jaya ke KL Sentral.

Dari situ, ke stesen KTM Komuter yang berhamnpiran untuk membeli tiket. Oleh kerana masih awal, kami menempah tiket untuk ke Kajang terlebih dahulu, maka seterusnya ke tingkat bawah untuk menunggu koc komuter berkenaan.

Tidak sampaipun lima (5) minit, koc berkenaan tiba dari arah Rawang. Selepas KL Sentral ini, kami menempuhi Stesen-stesen Midvalley (Kompleks Membeli-belah), Seputeh, Salak Selatan, Bandar Tasik Selatan, Serdang dan turun di Kajang.

BINTANG WALK, YANG SENTIASA SESAK DENGAN MANUSIA... Inilah keadaan sesaknya pada petang Sabtu. Namun, sesak sebegini boleh penulis terima; tidak jika perlu bersesak di atas jalan. 


WAKTU YANG ‘PRECISE’

Hanya beberapa minit di Kajang, kami mengambil perjalanan balik menghala ke KL Sentral untuk kali ini, benar-benar turun di Midvalley – sepertimana destinasi asal yang telah ditetapkan.

“Pukul berapa Encik, koc sampai?” tanya saya kepada petugas di kaunter semasa membuat pembayaran untuk tempahan tiket. Jawapnya, “10.42 (pagi)”. Amboi, ‘precise’ sungguh waktu yang diberi.

Dan ‘precise’ betullah kerana semasa koc berkenaan tiba, jam digital di stesen tersebut menunjukkan waktu tepat 10.42 pagi! Perjalanan menuju ke Midvalley sekali lagi mendamaikan dalam koc berpenghawa dingin yang nyaman, sungguhpun perlu berdiri sepanjang perjalanan.

Yang lainnya kata orang, ialah sejarah. – Khabar


Thursday 25 October 2012

Solat Aidil Adha berjemaah

... KDYTM Tengku Mahkota Pahang diiringi Menteri Besar menyertai solat pagi 10 Zulhijjah.

KHUTBAH DIBACA, JEMAAH TEKUN MENDENGARNYA... Dato' Abdul Rahman sedang menyampaikan khutbahnya sebelum turut menyertai jemaah bersolat sunat Aidil Adha yang diimamkan oleh Imam 1, Encik Mohd Khalil.
  

MASJID NEGERI SULTAN AHMAD 1, KUANTAN – KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Sultan Haji Amad Shah, telah berkenan mencemar duli berangkat ke sini pagi Jumaat, 26 Oktober bagi menyempurnakan solat sunat Aidil Adha.

Keberangkatan Baginda pagi 10 Zulhijjah, 1433 Hijrah ini ditemani isteri, KDYTM Tengku Puan Pahang, Tengku Hajah Azizah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, serta anakanda-anakanda.

Menter Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob turut mengiringi, begitulah juga dengan kenamaan-kenamaan serta ketua-ketua jabatan kerajaan.

Solat sunat Aidil Adha tersebut diimamkan oleh Imam 1, Encik Mohd Khalil Mohd Zari. Sebelum itu, khutbah disampaikan oleh Mufti Negeri, Sahibus Samahah Dato’ Abdul Rahman Osman.

Dalam khutbah tersebut antara lain, mengingatkan kembali agar umat Islam bersatu-padu yang kini dilihat berpecah-belah ekoran kefahaman politik yang berbeza antara parti-parti politik berkenaan.

MENYALAHI, SERTA TIDAK SENSITIF LANGSUNG... Inilah kerja-tangan orang yang tidak sensitif dan tidak pandai. Difahamkan, yang turut menjadi pihak yang menganjurkan 'event' ini ialah sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan yang sering memaparkan berita-berita mirip pembangkang serta asyik menghentam Kerajaan. 

Namun, apabila 'banner' mengenai penganjuran acara ini direntangkan di sebuah kompleks membeli-belah terkemuka di bandar Kuantan ini, yang dituding-jarikan ialah ke arah Kerajaan sedangkan Kerajaan tiada kena-mengena dengannya. 

Mudah betul menjadi pembangkang ya...  


SATU-PADUKAN PUAK ‘AUS & KHAZRAJ

Lalu diambil contoh bagaimana Nabi Muhammad S.A.W telah menyatu-padukan kedua-dua puak yang bertelegah sebelumnya – ‘Aus dan Khazraj, ketika mula-mula Baginda Rasulullah tiba setelah berhijrah dari Makkatul Mukaramah ke Madinatul Munawarah.

Selepas selesai bersolat jemaah, KDYTM Tengku Mahkota Pahang telah bersalaman dengan para jemaah. Begitulah yang dilakukan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan. – Khabar            

Selamat Hari Raya Qurban

SALAM AIDIL ADHA... Yang disambut pada Jumaat, 26 Oktober, 2012 bersamaan 10 Zulhijjah, 1433 H. Semoga semangat, pengorbanan daripada kisah melibatkan Nabi Ibrahim dan anakandanya, Nabi Ismail; dapat terus dicontohi. 


LONTARAN DI JAMRAH... Sambil menyambut Hari Raya Qurban, sudah pasti dikaitkan dengan pengerjaan serta penunaian ibadat haji di Mekah, termasuklah melontar di ketiga-tiga jamrah di Mina. 

Lihat struktur berbentuk bujur berbanding tiang pada masa-masa yang lepas, dan pula, binaan setinggi lima (5) tingkat telahpun siap, yang memudahkan jemaah untuk melaksanakan kewajipan ini tanpa lagi bimbang untuk berasak-asak. 

Semasa penulis menunaikan hajinya pada tahun 2006, atau diisytihar Haji Akbar pada tahun itu; struktur berbentuk bujur ini telahpun ada namun jumlah tingkatnya hanya satu (1), tetapi masih memudahkan serta selamat untuk melaksanakan aktiviti melontar ini. - Khabar 


 

Tuesday 23 October 2012

Raja Berdaulat, mesra serta dekat di hati rakyat!!!


DAULAT TUANKU... Ini sepertimana iklan sempena Hari Keputeraan KDYMM Sultan Pahang untuk siaran dalam akhbar Utusan Malaysia pada Rabu, 24 Oktober.


NOTA EDITOR :

Bersempena Hari Keputeraan KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhun Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu‘adzam Shah pada Rabu, 24 Oktober, sejak diputerakan pada Jumaat, 24 Oktober 1930 (dan dilantik sebagai KDYMM Sultan Pahang pada 7 Mei, 1974 serta ditabalkan setahun kemudian pada 8 Mei 1975); disiarkan di sini artikel mengenai Baginda.

Artikel ini ditulis oleh penulis yang sama dan ia sudahpun tersiar dalam satu-dua akhbar tempatan kira-kira enam tahun lepas. Bagi menepati kehendak semasa, beberapa pindaan kecil telah dilakukan yang masih tidak hilang keasliannya.

IKLAN DALAM AKHBAR TEMPATAN... Ini pula merupakan contoh iklan untuk siaran dalam akhbar-akhbar Berita Harian dan New Straits Times.  


Oleh YOPE KEY-DARE

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Kepada seorang kenalan dari luar Pahang yang berada di Masjid Sultan Ahmad 1 di sini pada satu malam bulan Ramadan, beberapa tahun lepas; apa yang dilihatnya pada malam kedua puasa itu adalah sesuatu yang membanggakannya.

Beliau melihat seorang Raja Pemerintah negeri, KDYMM Sultan Pahang, tidak kekok bersama-sama rakyat-jelata dalam menunaikan sembahyang Isya’ disusuli solat sunat Terawih berjemaah.

Yang lebih membanggakan, Baginda laksanakan ibadah ini dalam keadaan bersahaja – berjubah putih, berkopiah warna perang keemas-emasan serta duduk di saf paling depan tetapi selang empat-lima kedudukan ke kanan dari tempat imam.

Anakanda baginda, KDYTM Tengku Mahkota Pahang turut bersama-sama Baginda pada malam itu, dengan mengenakan pakaian dan bertingkah-laku yang bersahaja hampir serupa dengan ayahandanya.

Sebelum itu, Baginda tiba di perkarangan masjid lima minit sebelum masuk waktu Isya’ dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda warna putih.

SOLAT TERAWIH BERJEMAAH... KDYMM Sultan Pahang sedang menunaikan solat terawih di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.


TIDAK KEKOK ATAU JANGGAL DALAM KALANGAN RAKYAT

Sementara menunggu azan dilaungkan, Baginda selalu duduk dalam kedudukan ‘tahiyat awal’ serta kusyuk menunggu. Apabila solat hendak dimulakan, sambil berdiri dan menoleh-noleh ke saf belakang, Baginda menyila-nyila mereka yang di saf belakang supaya penuhkan tempat di saf lebih depan.

Begitulah seorang Raja yang langsung tidak janggal dalam kalangan rakyat Baginda hingga mempesona serta membanggakan kenalan penulis pada malam itu.

Yang turut membanggakan rakan kenalan penulis ini ialah beliau dapat turut hadir dalam kalangan jemaah yang antaranya ialah seorang Raja, yang kepada rakyat negeri ini mungkin sesuatu yang terlalu biasa, tetapi tidak kepadanya.

“Kalau ini pun membanggakan engkau, tunggulah hingga engkau lihat sendiri bagaimana Sultan kami turun padang meninjau apa-apa juga musibah yang menimpa rakyat,” kata penulis kepada kenalan tadi.

Dan penulis tidak sekadar bermain dengan kata-kata. Adalah hakikat bahawa ketokohan serta sikap mengambil berat Baginda akan sentiasa jelas terpancar tatkala Baginda berada dalam keadaan-keadaan itu.

KEBAJIKAN RAKYAT DIAMBIL KISAH, DIAMBIL BERAT... KDYMM Sultan Pahang kelihatan sedang meninjau kesihatan adik Nur Aleeya Qistiena Ahmad Fauzi - anak kurang upaya, yang juga merupakan mangsa banjir yang Baginda mencemar duli, ziarahi di balai raya Kampung Pia, Kundang Patah, Raub. 

Foto Bernama ini dirakam pada Jun 2007. 


‘INI TIDAK PATUT…’

Malah, apa-apa perkhabaran buruk mengenai rakyat Baginda dilanda musibah dan kesusahan, sentiasa menyentuh hati dan perasaan Baginda dan ini dapat disahkan oleh rakan-rakan Baginda sendiri.

Misalnya, dalam buku terbitan tahun 1983 – ‘Menjulang Kasih’ tulisan rakan baik baginda yang juga bekas menteri kabinet, Allahyarham Tan Sri Sharif Ahmad ada mengisahkan tentang perasaan terharu Baginda apabila terbaca laporan akhbar mengenai nasib penjaja gerai yang merupakan seorang bekas tentera.

Penjaja gerai itu dilaporkan membakar gerainya kerana rayuannya mengenai sesuatu perkara kepada pihak berkuasa tidak mendapat layanan yang sewajarnya.

“Ini tidak patut,” titah Baginda kemudian menyambung, “Askar itu menyabung nyawa untuk kita semua dapat hidup senang dan mewah”. Baginda kemudian menitahkan kepada setiausaha baginda, “Saya hendak laporan penuh. Bekas askar itu perlu ditolong”.

Dan dalam aspek membantu atau turun padang ini, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sendiri memberikan gambaran paling tepat mengenainya sepertimana ucapan beliau pada Malam Peterana Kasih di Istana Abu Bakar, Pekan, Isnin, 10 Mei 2004.

KDYMM SULTAN PAHANG TIBA LEBIH AWAL DARIPADA YANG LAIN

“Jika ada bala bencana, ada berlaku kecemasan; jarang sangat pacal-pacal sekelian, pemimpin-pemimpin yang boleh mengalahkan KDYMM Tuanku untuk sampai dahulu.

“Lebih kerap daripada tidak, KDYMM Tuanku pasti sampai lebih awal daripada hamba rakyat pembesar-pembesar yang yang lain.

“Sebagai contoh baru-baru ini, semasa peristiwa yang menimpa pendaki-pendaki Gunung Raja di Bentong yang menyebabkan dua orang terkorban dipanah petir; KDYMM Tuanku sampai lebih awal daripada pasukan penyelamat polis,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Apabila membantu pula, Baginda akan pastikan sendiri bantuan itu dihulurkan sebenar-benarnya serta dengan memperolehi hasil dan kesan yang diinginkan, tidak cukup secara ala kadar apatah lagi seperti melepaskan batuk di tangga.

Misalnya apa yang berlaku semasa banjir besar melanda Kuantan pada tahun 2001. Dalam banyak-banyak kunjungan Baginda menjengah nasib rakyat ketika itu, Baginda terserempak dengan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di sebuah dewan orang ramai, terpaksa menghadapi segala ketidak selesaan ekoran kemudahan asas tidak mencukupi.

TITAH PINDAHKAN MANGSA BANJIR SEGERA

Sekonyong-konyong itu juga Baginda menitahkan agar mereka dipindahkan ke tempat yang lebih selesa, yang memadai dan mencukupi kemudahan asas khususnya bekalan air dan elektrik.

Lalu, kerja memindahkan mangsa dilaksanakan segera dengan bantuan trak tentera dan Baginda berada di situ dari petang sehingga senja, hanya kerana mahu memastikan seluruh kerja pemindahan itu dilaksanakan dengan sempurna.

Mengenai sikap mengambil berat ini, Baginda sendiri ada menceritakan puncanya sepertimana wawancara eksklusif yang pernah diberikan kepada penulis di pejabat Baginda di Pekan, pada 31 Disember 1998. 

Wawancara ini disiarkan sepenuhnya dalam Khabar Pahang – majalah terbitan Kerajaan Negeri menerusi Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, keluaran sulungnya bertarikh 15 Januari 1999.

“Selama 43 tahun Almarhum ayahanda saya (Sultan Sir Abu Bakar) memerintah, memang saya ketika itu Tengku Mahkota; telah dititah… menjadi ‘royal command’ kepada saya untuk mengiringi Almarhum ke serata negeri.

‘NOT IN ME’ UNTUK TIDAK BUAT APA-APA

“Asas ini sudah terbina sejak pemerintahan Almarhum lagi. Ia satu asas yang sangat kukuh, yang menjadi dasar kepada kukuhnya pula tali silaturrahim antara pemerintah dengan rakyat.

“Di mana-mana sahaja, masa susah atau senang; Raja Pemerintah akan bersama-sama rakyat. Saya dan rakyat saya berpisah tiada. ‘It is not in me (bukan sikap saya) untuk tidak berbuat apa-apa apabila menyedari rakyat saya dalam kesusahan seperti ditimpa bencana,” titah Baginda.

Dan Baginda sepertimana yang telah disebutkan tadi, memang mementingkan kesan daripada apa yang telah Baginda laku dan usahakan, lalu berasa lega setelah melihatkan hasilnya itu.

Ini seperti titah Baginda lagi pada wawancara itu; “Bila saya membuat lawatan itu, saya akan minta tolong pihak-pihak berkenaan khususnya agensi-agensi kerajaan supaya mengambil tindakan segera bagi mengatasi apa juga masalah yang rakyat hadapi”.

Berhubung dengan ini, bekas Menteri Besar, TYT Tun Khalil Yaakob yang kini ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, ada memperkatakannya pada wawancara dengan penulis sempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda pada 8 Mei 1999.

KDYMM TUANKU PUNYA ‘PASSION’ UNTUK MENDENGAR

“Dan ini bukan satu perkara yang kita tetapkan. Ini datangnya daripada perasaan, jiwa KDYMM Tuanku sendiri untuk berdamping dengan rakyat. Ini menjadi tradisi yang kuat dalam keluarga Diraja sejak zaman-berzaman.

“Yang pentingnya dalam lawatan ini ialah sesi mendengar… Ini maknanya KDYMM Tuanku memiliki perasaan yang mendalam (passion) untuk mendengar.

“Kalau tidak ada ‘passion’, tidak ada ‘tolerance’ (tolak-ansur) untuk mendengar, mungkin lawatan-lawatan ini tidak akan berkesan,” kata Khalil.

Oleh kerana itulah, setelah bersemayam selama 38 tahun di singgahsana pemerintahan negeri, rakyat juga sudah menerima kini akan ungkapan keramat yang selalu dititahkan Baginda tentang betapa, ‘Raja, rakyat, sehati sejiwa;   Raja, rakyat, berpisah tiada’. – Khabar  


MATA KE MATA ;

*** Begitulah seorang Raja yang langsung tidak janggal dalam kalangan rakyat Baginda hingga mempesona serta membanggakan kenalan penulis pada malam itu.

Yang turut membanggakan rakan kenalan penulis ini ialah beliau dapat turut hadir dalam kalangan jemaah yang antaranya ialah seorang Raja, yang kepada rakyat negeri ini mungkin sesuatu yang terlalu biasa, tetapi tidak kepadanya.


*** “Jika ada bala bencana, ada berlaku kecemasan; jarang sangat pacal-pacal sekelian, pemimpin-pemimpin yang boleh mengalahkan KDYMM Tuanku untuk sampai dahulu.

“Lebih kerap daripada tidak, KDYMM Tuanku pasti sampai lebih awal daripada hamba rakyat pembesar-pembesar yang yang lain.”


*** “Selama 43 tahun Almarhum ayahanda saya (Sultan Sir Abu Bakar) memerintah, memang saya ketika itu Tengku Mahkota; telah dititah… menjadi ‘royal command’ kepada saya untuk mengiringi Almarhum ke serata negeri.

“Asas ini sudah terbina sejak pemerintahan Almarhum lagi. Ia satu asas yang sangat kukuh, yang menjadi dasar kepada kukuhnya pula tali silaturrahim antara pemerintah dengan rakyat.”
   

*** Di mana-mana sahaja, masa susah atau senang; Raja Pemerintah akan bersama-sama rakyat. Saya dan rakyat saya berpisah tiada. ‘It is not in me (bukan sikap saya) untuk tidak berbuat apa-apa apabila menyedari rakyat saya dalam kesusahan seperti ditimpa bencana.”  



 



 

Thursday 18 October 2012

'Kuantan Waterfront Resort City' - projek bernilai pembangunan kasar (GDV) RM1,600 juta yang bakal dibina


… di atas kawasan tebus-guna tanah seluas 202.5 hektar di Tanjung Lumpur, yang dengan itu tidak melibatkan pemindahan penduduk sedia ada mahupun pengambilan balik tanah mereka.

Mampu mendatangkan kesan-kesan sampingan ekonomi (economic spin-off effects) yang turut memanfaatkan penduduk tempatan serta negeri ini amnya.

PROJEK TEBUS-GUNA TANAH 202.5 HEKTAR... Dengan konsep pembangunan sebegini, tidak memerlukan penduduk asal perkampungan nelayan Tanjung Lumpur berpindah dan pula tidak akan ada pengambilan balik tanah yang mungkin menyusahkan penduduk. Sebaliknya, ia akan dapat merancakkan kegiatan ekonomi persekitaran yang turut bakal dimanfaati oleh penduduk sedia ada. 
  

HOTEL ZENITH, KUANTAN –  Bandar Kuantan bakal mempunyai mercutanda baharu lagi gah apabila projek bernilai pembangunan kasar (GDV) RM1,600 juta – Kuantan Waterfront Resort City, bakal dibangunkan menerusi konsep tebus-guna tanah seluas 202.5 hektar bersebelahan Tanjung Lumpur dekat sini, yang dijangka siap sepenuhnya antara 10 dan 15 tahun lagi.

Sebagai memulakan langkah, satu majlis menandatangani perjanjian telah diadakan antara pihak-pihak terlibat – Kerajaan Negeri, Newston International Group Sdn Bhd dan Ideal Heights Development Sdn Bhd, pada pagi Khamis, 18 Oktober di sini.

Kerajaan Negeri dan Newston International Group Sdn Bhd menandatangani perjanjian usahasama, manakala Newston International Group Sdn Bhd dan Ideal Heights Development Sdn Bhd menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) rakan strategik.

KDYMM Sultan Pahang telah berkenan berangkat menyaksikannya, diiringi Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob. Antara yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; dan ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri.

Begitu juga dengan kehadiran Pengerusi, Newston International Group Sdn Bhd, Tan Sri James Fong; serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Zailan Abdul Ghafar.  

SEPARUH DARIPADA KELUASAN PROJEK ALAH UNTUK PELANCONGAN

Antara ciri-ciri yang terdapat pada ‘Kuantan Waterfront Resort City’ atau Bandar Resort Pinggir Air Kuantan ini kelak ialah taman tema air dan taman tema ‘aquaria’; pusat membeli-belah; kedai bebas cukai; terminal kapal layar dan marina; restoran terapung.

Hotel, resort dan spa; pusat konvensyen; bangunan-bangunan kediaman seperti vila bersambung 2 ½ dan 3 tingkat, vila berkembar 2 ½ dan 3 tingkat, banglo dan vila antarabangsa.

Pusat perubatan dan penjagaan kesihatan, pusat terminal ‘cruise liners’, selain daripada pusat komersil meliputi menara korporat dan ruang pejabat, serta ‘hypermarket’.

Pada keseluruhannya, keluasan 202.5 hektar kawasan tebus-guna tanah ini akan dibangunkan – 50 peratus daripadanya dengan kemudahan-kemudahan tarikan pelancong; 25 peratus dengan kediaman; 15 peratus dengan ruang komersil; dan selebihnya 10 peratus dengan kemudahan perubatan dan penjagaan kesihatan.

Dalam ucapan 9-minitnya, Dato’ Sri DiRaja Adnan bekata; “Kuantan Waterfront Resort City ini, Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun, Sembah Patik, Mohon Diampun; sedikit-sebanyak mencipta satu kegiatan ekonomi yang baharu.

PROJEK TEBUS-GUNA TANAH MAKA TAK LIBATKAN PERPINDAHAN

“Projek ini apabila dilaksanakan kelak, akan menyediakan bukan sahaja kemudahan (pelancongan, komersil, kediaman dan kesihatan) tetapi juga turut memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Projek bernilai (GDV) RM1.6 billion ini akan menjana kegiatan ekonomi, termasuklah dalam sektor perkhidmatan,” katanya dan menambah betapa Kerajaan Negeri telah mengambil masa yang ‘tidak begitu lama, tidak juga begitu pendek’;

“Dalam tempoh lebih kurang lima (5) bulan bagi membincangkan projek ini, telah diberikan ‘presentation’ kepada Exco dan patik serta rakan-rakan dalam Exco mendapati bahawa projek ini adalah ‘viable’,” katanya.

Bahawa projek ini menggunakan konsep tebus-guna tanah katanya, akan mewujudkan satu kawasan baharu yang tidakpun melibatkan kawasan-kawasan tanah sedia ada khususnya di perkampungan nelayan Tanjung Lumpur.

“Jika ada pihak yang bimbang tentang pertempatan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku di Tanjung Lumpur, sebenarnya, kegusaran itu tak perlu timbul kerana projek ini tak akan ada perpindahan penduduk dan tidak akan ada pengambilan balik tanah,” tegasnya. – Khabar


MATA KE MATA ;


*** Kerajaan Negeri dan Newston International Group Sdn Bhd menandatangani perjanjian usahasama, manakala Newston International Group Sdn Bhd dan Ideal Heights Development Sdn Bhd menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) rakan strategik.


*** Pada keseluruhannya, keluasan 202.5 hektar kawasan tebus-guna tanah ini akan dibangunkan – 50 peratus daripadanya dengan kemudahan-kemudahan tarikan pelancong; 25 peratus dengan kediaman; 15 peratus dengan ruang komersil; dan selebihnya 10 peratus dengan kemudahan perubatan dan penjagaan kesihatan.


*** “Projek ini apabila dilaksanakan kelak, akan menyediakan bukan sahaja kemudahan (pelancongan, komersil, kediaman dan kesihatan) tetapi juga turut memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Projek bernilai (GDV) RM1.6 billion ini akan menjana kegiatan ekonomi, termasuklah dalam sektor perkhidmatan,”


*** Bahawa projek ini menggunakan konsep tebus-guna tanah katanya, akan mewujudkan satu kawasan baharu yang tidakpun melibatkan kawasan-kawasan tanah sedia ada khususnya di perkampungan nelayan Tanjung Lumpur.

“Jika ada pihak yang bimbang tentang pertempatan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku di Tanjung Lumpur, sebenarnya, kegusaran itu tak perlu timbul kerana projek ini tak akan ada perpindahan penduduk dan tidak akan ada pengambilan balik tanah.”


Wednesday 17 October 2012

Bersemuka dengan pembantah


… demi mendengar dan menangani sungutan dan bantahan Orang Asli terhadap Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Dua-tiga ‘kerat’ orang berbaju-T  Himpunan Hijau 2.0, turut berlegar dalam kalangan Orang Asli ini – usaha ‘menangguk di air yang keruh’; tetapi tidak lagi kelihatan setelah Menteri Besar mengajak Orang Asli berbincang dengannya di dalam kantin.  

PENDEKATAN 'HANDS-ON'... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menulis sesuatu semasa sesi perbincangan. Di sebelah kanannya ialah Encik Yusri manakala berdiri di belakangnya ialah Dato' Wan Rosdy. 


KANTIN, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Bermula dengan laung-laungan kecaman dan bantahan oleh kira-kira 120 Orang Asli terhadap Kerajaan, disusuli perbincangan tanpa sekatan dengan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sendiri.

Berakhir dengan senyuman dan kelegaan, sambil kedua-dua pihak menaruh harapan ke arah memupuk semangat setia-kawan yang lebih erat dan kepercayaan yang tinggi antara kedua-duanya.

Inilah yang dapat digambarkan pada kejadian siang Rabu, 17 Oktober, bermula di perkarangan berdepan dengan pintu masuk ke Blok A, Wisma Sri Pahang ini di bawah terik matahari pagi, dan berakhir dengan pertemuan yang lebih selesa di kantin ini.

Orang Asli berkenaan, yang menurut ‘head-count’ oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ialah kira-kira 120 orang; dikatakan membentuk apa yang dinamakan Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia Pahang (JKOASMP).

Mereka diketuai oleh Encik Yusri bin Ahon disamping 19 ahli jawatankuasanya –
Encik Ong Cong bin Siput, Encik Roman a/l Achai, Encik Ali a/l Deris, Puan Fatimah a/p Ban Sin, Encik Ismail bin Leh, Encik Jamal bin Tahir, Encik Sanday bin Leman, Encik Khairil Anuar bin Leman, Encik Maarof bin Jaafar.

MAHU PERTIKAI TENTANG JUMLAH KEHADIRAN?... Foto ini dirakam dari tingkat 2, Blok A, Wisma Sri Pahang. Maka benarlah kiraan 'head-count' oleh PDRM dengan kehadiran kira-kira 120 orang, tidak termasuk dua-tiga kerat orang berbaju-T Himpunan Hijau 2.0. 


MEMORANDUM MENGENAI TANAH DAN WILAYAH ADAT

Encik Rani bin Hamid, Encik Ismail bin Muhd, Encik Mohd Maham bin Nasir, Encik Sek a/l Tow, Encik Atan a/l Alim, Encik Abu a/l Debut, Encik Jef a/l Yanaman, Encik Harman a/l Daud, Encik Hanapi bin Titi, dan, Encik Faizal a/l Muharam.

Peristiwa bermula kira-kira 10.30 pagi apabila Orang Asli ini mula berkumpul di perkarangan Wisma Sri Pahang. Matlamat mereka ialah untuk menyerahkan sendiri memorandum – Orang Asli Menuntut Tanah dan Wilayah Adat, kepada Menteri Besar.

Antara kandungan memorandum berkenaan ialah tujuh tuntutan terhadap Kerajaan Negeri dan Persekutuan, antaranya ialah;

# Kami menuntut Kerajaan Pusat dan setiap Kerajaan Negeri mengiktiraf wilayah adat Orang Asli sama ada ianya tanah adat, laut dan tasik dengan mengikut proses izin-MABT iaitu dengan keizinan Maklumat Awal Bebas dan Telus kesemua perkampungan Orang Asli berkenaan.

Dengan berbekalkan makanan, mereka dikatakan bertekad tidak akan berundur dari situ selagi tidak dapat menyerahkan sendiri memorandum berkenaan ke tangan Dato’ Sri DiRaja Adnan.

PENYOKONG HIMPUNAN HIJAU ‘DICTATE’ WARTAWAN?

Dalam pada mengamati-amati tindak-tanduk mereka sementara menunggu kehadiran Menteri Besar, ternampak dua-tiga kerat orang berbaju-T lambang Himpunan Hijau 2.0 berlegar mundar-mandir dalam kalangan Orang Asli ini.

Apakah niat mereka turut berada di situ jika tidak kerana hendak ‘menangguk di air yang keruh’?    
Selain mereka yang dua-tiga kerat ini ialah dua (2) orang – lelaki dan wanita yang dalam ‘suit’ hitam mempunyai tanda Pemerhati daripada Jawatankuasa Peguam Negeri, serta wartawan-wartawan dari akhbar-akhbar The Star, Sin Chew Daily, Nanyang dan Sinar Harian, yang turut bersama.  

Pada satu ketika, kelihatan seorang daripada dua-tiga kerat berbaju-T Himpunan Hijau 2.0 tersebut, seolah-olah cuba ‘dictate’ (mempengaruhi) seorang daripada wartawan berkenaan dengan membawa wartawan tersebut untuk bertemu seseorang dalam kalangan Orang Asli tersebut.

Bagaimanapun, sebaik-baik Dato’ Sri DiRaja Adnan tiba pada kira-kira 11 pagi, kelibat dua-tiga kerat orang berbaju-T lambang Himpunan Hijau 2.0 tersebut sudah tidak kelihatan lagi, begitulah juga dengan dua orang yang dikatakan mewakili Jawatankuasa Peguam Negeri tadi.

DARIPADA BERBINCANG DI BAWAH PANAS TERIK, LEBIH BAIKLAH…

Sudah tentu Dato’ Sri DiRaja Adnan mahu menangani peristiwa bantahan tersebut dengan lebih sempurna, tidak di bawah panas terik matahari pagi lalu beliau silakan mereka ke kantin berdekatan yang lebih selesa untuk perbincangan.

Selepas dipujuk, maka beredarlah Orang Asli ini ke kantin berdekatan dan berlangsunglah perbincangan serta dialog, hingga akhirnya tamat kira-kira tiga (3) jam kemudian.

Dalam sesi perbincangan tersebut, Dato’ Sri DiRaja Adnan ada menyatakan betapa sebelum inipun, khususnya pada 7 Julai lepas, beliau telahpun menemui sebahagian daripada Orang Asli ini pada majlis makan malam di Kediaman Rasmi Menteri Besar dekat sini.

Beliau mengambil maklum tentang apa yang telah disuarakan oleh mereka pada malam tersebut khususnya tentang pencerobohan ke dalam tanah Orang Asli di negeri ini dan tindakan susulan terus segera diambil.

Hanya empat (4) hari selepas itu, pada 11 Julai, perkara tersebut dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang beliau pengerusikan, yang kemudian mengambl ketetapan betapa;

PERLU ‘DECLASSIFY’ DOKUMEN RAHSIA

Kesemua jabatan kerajaan berkenaan diingatkan agar, apabila mempertimbangkan permohonan tanah bagi projek-projek tertentu, hendaklah ianya tidak bertindan-tindih dengan antara lain kawasan tadahan air, rizab Taman Negara termasuklah tanah Orang Asli.

Sebagai membuktikan, Dato’ Sri DiRaja Adnan membacakan minit keputusan mesyuarat MMK tersebut dan katanya, sesalinan akan dihantar kepada Orang Asli ini selepas proses untuk ‘declassify’ dokumen tersebut daripada status ‘Rahsia’, dilaksanakan.

Akhirnya Dato’ Sri DiRaja Adnan merumuskan betapa, mana-mana bantahan atau tuntutan mereka yang kena-mengenai serta di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, akan dikaji untuk membuat keputusan dan diambil tindakan ke atasnya dalam kadar sesegera yang boleh.

Manakala, bantahan atau tuntutan mereka yang berkaitan dengan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, akan beliau bawa ke pengetahuan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk diuruskan.

Yang turut hadir ialah ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Sharkar Shamsuddin dan Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli Negeri. – Khabar             


MATA KE MATA ;


*** Orang Asli berkenaan, yang menurut ‘head-count’ oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ialah kira-kira 120 orang; dikatakan membentuk apa yang dinamakan Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia Pahang (JKOASMP).


*** Dalam pada mengamati-amati tindak-tanduk mereka sementara menunggu kehadiran Menteri Besar, ternampak dua-tiga kerat orang berbaju-T lambang Himpunan Hijau 2.0 berlegar mundar-mandir dalam kalangan Orang Asli ini.

Apakah niat mereka turut berada di situ jika tidak kerana hendak ‘menangguk di air yang keruh’?    


*** Pada satu ketika, kelihatan seorang daripada dua-tiga kerat berbaju-T Himpunan Hijau 2.0 tersebut, seolah-olah cuba ‘dictate’ (mempengaruhi) seorang daripada wartawan berkenaan dengan membawa wartawan tersebut untuk bertemu seseorang dalam kalangan Orang Asli tersebut.

Bagaimanapun, sebaik-baik Dato’ Sri DiRaja Adnan tiba pada kira-kira 11 pagi, kelibat dua-tiga kerat orang berbaju-T lambang Himpunan Hijau 2.0 tersebut sudah tidak kelihatan lagi, begitulah juga dengan dua orang yang dikatakan mewakili Jawatankuasa Peguam Negeri tadi.


*** Sudah tentu Dato’ Sri DiRaja Adnan mahu menangani peristiwa bantahan tersebut dengan lebih sempurna, tidak di bawah panas terik matahari pagi lalu beliau silakan mereka ke kantin berdekatan yang lebih selesa untuk perbincangan.


Sunday 14 October 2012

"Warga Felda dapat lebih daripada yang lebih"


… akui Encik Ismail Yusof atau ‘Bapak Roket’, peneroka Felda yang juga bekas penyokong kuat pembangkang yang kini insaf lalu menyertai UMNO


'BAPAK ROKET' SERTAI UMNO... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menerima borang keahlian UMNO daripada Encik Ismail sambil yang lain memerhatikan. (Sumber foto : Utusan Malaysia)


RANCANGAN TANAH FELDA BUKIT MENDI, BERA“Sekarang kita warga Felda ini, (kita menerima manfaat) lebih daripada yang lebih. Lebih daripada yang lebih,” demikian kata Encik Ismail Yusof atau ‘Bapak Roket’, peneroka Felda di sini yang insaf dan menyertai UMNO.

Dalam ucapan luar teks 20-minit pada majlis yang beliau sendiri anjurkan bagi menyerahkan borang keahlian UMNO bersama-sama 85 yang lain kepada Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob petang Jumaat, 12 Oktober di sini katanya;

“Saya Hj Ismail bin Hj Yusof, bukan seorang pensyarah. Peneroka Felda biasa sahaja. Saya sudah kenyang makan hasil Felda. (Selama) 45 tahun saya di negeri Pahang. Hari inilah hari yang saya paling gembira. Saya nak bertemu sangat dengan Dato’ Sri (DiRaja) Adnan,” yang disusuli secara spontan tepukan oleh para hadirin.

“Daripada tahun 2008 lagi, saya berjanji dengan Allah Taala, ‘Ya Allah ya Tuhanku, panjangkanlah umurku satu penggal lagi’. Insya-Allah, Tuhan panjangkan umur saya hingga ke hari ini,” katanya lagi.

Encik Ismail yang berusia 75 tahun itu seterusnya mengingatkan; “Tuan-tuan mesti kena ingat, terutama sekali warga peneroka. (Sudahpun mempunyai) rumah banglo, kereta mewah; (masih) hentam lagi UMNO, hentam lagi Kerajaan.

TEMUBUAL DENGAN TV3... Encik Ismail sedang ditemubual oleh wartawan TV3 di perkarangan majlis di depan sebaris kedai milik beliau. 


TAK MAHU BANGSA MELAYU DIPERKOTAK-KATIKKAN

“Ingatlah Tuan-tuan. Saya tidak mahu bangsa Melayu diperkotak-katikkan oleh bangsa Melayu sendiri Tuan-tuan. Saya sudah tua Tuan, ingin ke sana (akhirat) sahaja. Kemungkinan inilah kali terawal, kemungkinan inilah kali terakhir.

“Saya dah tak mampu nak berjalan, nak berjalanpun dah tak mampu. Saya tak mampu. Saya pesanlah kepada Tuan-tuan dan Puan-puan, banyak-banyaklah Tuan-tuan fikir. Fikir sampai lima kali, (jika masih) tak masuk jalan yang betul, fikir sampai 10 kali!

“Kalau 10 kali fikir tak masuk juga jalan yang betul, nauzubillah, Allah Taala tunjuk, turun bala yang amat berat sekali. Ingat, ingat kita. Kalau kita nak bercakap Islam kena mengaji, belajar dulu.

“Ingatlah. UMNO sahaja hak orang Melayu. Tumbang Melayu apa akan jadi? Jangan awak suka-suka nak perkotak-katik nak memilih pemimpin tu, pemimpin ini, jangan... Saya minta ampun, minta maaf banyak-banyak.

“Saya tidak mahu bangsa saya dijajah. Semua ini bangsa saya ni semua ini. Fikir habis Tuan-tuan, fikir habis-habis. Ingatlah. Dalam masa dua-tiga bulan ini sahaja lagi (sebelum pilihanaya umum) Tuan boleh berfikir. Ingat,” katanya.

PANDANGAN DARI TAPAK ROSTRUM... Dari kedudukan inilah Dato' Sri DiRaja Adnan berucap. Antara khemah VVIP di depan sederet kedai Encik Ismail ini, dengan khemah hadirin di seberang sana, ialah jalan masuk menuju ke Rancangan Tanah Felda Bukit Mendi ini. 

Maka tidak hairanlah, ucapan 40-minit Dato' Sri DiRaja Adnan, sekali-sekala terusik dengan kenderaan yang lalu-lalang di depannya, lalu beliau telah secara berseloroh berkata; "Ini dalam sejarah hari ini," disusuli ketawa para hadirin. 

"Tak pernah lagi saya macam ini sebenarnya. Luar biasa... Kita berucap, orang mendengar seberang jalan. Inilah hebatnya Bukit Mendi. Kerana apa? Kerana Tuan Haji Ismail sendiri. Semua kedai dia punya sahaja saya difahamkan. 

“Kalau macam inilah… Teringat kisah orang Janda Baik pergi ke Kuala Lumpur kali pertama. Orang Janda Baik menyebut kereta tu, kereto. Dia setiap kali nak melintas kena angkat kaki.

“Jadi diapun, lepas balik dari Kuala Lumpur orang tanya; “Macam mana, seronok tidak pergi Kuala Lumpur. Tak seronok katanya. Kenapa? Dia kata, ‘Angkat kaki, kereto, angkat kaki kereto”. Kita tak faham apa benda. Rupanya, setiap kali dia angkat kaki nak melintas, kereta lalu, setiap kali dia angkat kaki nak melintas, kereta lalu. Maknanya, dia sehari suntuk tak dapat melintas…     
   
"Ha, hari ini begitu jugalah (yakni, sedang bercakap, kenderaan lalu di depannya."


SAYA BENCI ORANG DAP

Menerangkan penglibatannya dengan parti pembangkang DAP yang majoriti ahli dan penyokongnya ialah kaum Cina, Encik Ismail mengakui betapa beliau ‘berkecimpung’ dengan parti tersebut kira-kira 25 tahun lamanya.

Pun begitu, beliau tidak memegang apa-apa jawatan, malah tidak juga mengisi borang untuk menjadi ahli parti tersebut.

“Berapa kali orang besar-besar DAP panggil saya ceramah, saya tak mahu. Isi borang (keahlian DAP)pun saya tak mahu,” kata Encik Ismail yang kini ialah juga seorang usahawan dengan sebaris kedai di perkarangan majlis ini diadakan, ialah miliknya.

Sehubungan dengan itu, Encik Ismail mengingatkan; “Kalau sesiapa yang ingin tahu, nak mengundi DAP, tanya saya dululah… Saya bukan bencikan DAP. Saya benci orang DAP.

“Sekarang Tuan-tuan sendiri lihat dan tengok. Akhbar, televisyen semua ada, radio. Apa sudahnya? Dia (DAP) baharu memerintah Pulau Pinang, sahaja begitulah. Selangorpun (yang diperintah oleh parti pembangkang) lebih kurang,” katanya lagi.

‘JANGAN TAK DAPAT BAJU SEHELAI, MERAJUK’

Beliau seterusnya mengingatkan agar masyarakat termasuk para peneroka, tidak menjadi golongan yang meminta-minta melainkan berusaha sedaya-upaya bagi menjayakan diri sendiri.

“Nak duit saja macam mana? Tak ada siapa yang akan beri duit saja…. Kena (perlu) kerja, kena kerja. Jangan, (apabila) jumpa menteri nak duit, jumpa wakil rakyat nak duit. Tak dapat baju sehelaipun tarik diri (merajuk),” katanya berterus-terang.

Beliau kemudian membawa kisah tok guru pondok zaman dahulu dengan anak muridnya, bagi menggambarkan sikap ‘cakap tak serupa bikin’ sesetengah pihak yang tidak harus dipercayai dan diteladani oleh masyarakat.  

Tok guru pondok itu katanya, ada berpesan kepada anak muridnya supaya tidak membuang air kecil sambil berdiri dan menghadap ke arah kiblat di Mekah, Saudi Arabia.

Bagaimanapun katanya, anak murid tersebut yang sering memerhatikan gelagat tok gurunya, ada ternampak tok gurunya itu berbuat demikian disebalik pesan-tegahannya itu, lalu anak muridpun bertanya;

PUTAR-BELIT PEMBANGKANG YANG ENCIK ISMAIL TAK MAHU

“‘Tok Guru. Semalam saya tengok Tok Guru kencing berdiri menghadap kiblat’. Apa kata Tok Guru tu? ‘Aku belok xxxxx aku,’ dia kata, ‘Mu jangan main-main. Aku belok xxxxx aku…’” yang sederap itu menyebabkan hadirin ketawa berdekah-dekah.

“Ha… inilah (putar-belit) yang saya tak mahu ni. Aku tak mahu pakai dasar ini,” kata Encik Ismail dan menambah kata, “Kalau ingin jadi ketua, jalan baik-baik, ikut mana sekalipun”.

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang berucap selepas itu, mengalu-alukan penganjuran majlis petang Jumaat itu khususnya dengan keputusan Encik Ismail serta 85 yang lain, untuk menyertai UMNO.

Pada persidangan media kemudian, Dato Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri turut menyentuh tentang apa yang telah dikatakan oleh warganegara emas itu.

“Tadi kita telah lihat, bagaimana sokongan mereka beri kepada Kerajaan terutama seperti yang disuarakan oleh Tuan Haji Ismail tadi. Beliau selama ini terkenal sebagai orang yang tak pernah menyokong Kerajaan.

PETANDA BAIK MENJELANG PILIHANRAYA

“Tapi hari ini, beliau telah membuat majlis ini dan telah dapat menarik beberapa orang ahli parti pembangkang untuk menyertai UMNO dengan menyerahkan borang UMNO pada hari ini.        

“Dan kita lihat, dalam ucapannya tadi, beliau menasihatkan kita semua supaya bersama-samalah dengan Kerajaan yang ada. Ini satu petanda baik menjelang pilihanraya umum yang akan datang.

“Kalau boleh, ramai lagi mereka yang sedar seperti Tuan Haji Ismail ini, maka ia satu petanda baik untuk Kerajaan insya-Allah. Majlis seperti ini sepatutnya diadakan lagi dalam bentuk bersantai, lebih kurang, dengan mengenepikan protokol,” katanya.

Antara yang turut hadir pada majlis petang Jumaat ini ialah kedua-dua wakil rakyat – Encik Fadil Osman (BN – Kemayan) dan Encik Norul Azali Sulaiman (BN – Guai), serta Setiauaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Mohd Azizan Che Omar. – Khabar
          

MATA KE MATA ;


*** “Saya Hj Ismail bin Hj Yusof, bukan seorang pensyarah. Peneroka Felda biasa sahaja. Saya sudah kenyang makan hasil Felda. (Selama) 45 tahun saya di negeri Pahang. Hari inilah hari yang saya paling gembira. Saya nak bertemu sangat dengan Dato’ Sri (DiRaja) Adnan.

“Daripada tahun 2008 lagi, saya berjanji dengan Allah Taala, ‘Ya Allah ya Tuhanku, panjangkanlah umurku satu penggal lagi’. Insya-Allah, Tuhan panjangkan umur saya hingga ke hari ini.”  
  

*** “Tuan-tuan mesti kena ingat, terutama sekali warga peneroka. (Sudahpun mempunyai) rumah banglo, kereta mewah; (masih) hentam lagi UMNO, hentam lagi Kerajaan.

“Ingatlah Tuan-tuan. Saya tidak mahu bangsa Melayu diperkotak-katikkan oleh bangsa Melayu sendiri Tuan-tuan. Saya sudah tua Tuan, ingin ke sana (akhirat) sahaja. Kemungkinan inilah kali terawal, kemungkinan inilah kali terakhir.”


***  “Ingatlah. UMNO sahaja hak orang Melayu. Tumbang Melayu apa akan jadi? Jangan awak suka-suka nak perkotak-katik nak memilih pemimpin tu, pemimpin ini, jangan... Saya minta ampun, minta maaf banyak-banyak.

“Saya tidak mahu bangsa saya dijajah. Semua ini bangsa saya ni semua ini. Fikir habis Tuan-tuan, fikir habis-habis. Ingatlah. Dalam masa dua-tiga bulan ini sahaja lagi (sebelum pilihanaya umum) Tuan boleh berfikir. Ingat.”


*** “Dan kita lihat, dalam ucapannya tadi, beliau menasihatkan kita semua supaya bersama-samalah dengan Kerajaan yang ada. Ini satu petanda baik menjelang pilihanraya umum yang akan datang.

“Kalau boleh, ramai lagi mereka yang sedar seperti Tuan Haji Ismail ini, maka ia satu petanda baik untuk Kerajaan insya-Allah. Majlis seperti ini sepatutnya diadakan lagi dalam bentuk bersantai, lebih kurang, dengan mengenepikan protokol.”