Wednesday 29 June 2016

“Peranan kita penting, jadi jagalah elok-elok,” kata-nasihat Menteri Besar kepada anggota-anggota keselamatan kita.

… pada majlis Sepetang Pelayaran Ramadan & Berbuka Puasa Menteri Besar Bersama KD Terengganu di perairan ZEE

MENYAKSIKAN 'EVOLUSI PEMINDAHAN BARANG DI LAUT'... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyaksikan kerja-kerja pemindahan antara KD Terengganu yang dinaikinya, dengan kapal lebih kecil - KD Perdana. 


MARKAS WILAYAH LAUT 1, TANJUNG GELANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengingatkan anggota-angota pasukan keselamatan tentang peranan penting mereka demi memelihara keamanan negara.

“Yang penting ingat, tugas kita ini besar maknanya sebenarnya (demi keselamatan dan keamanan negara).

“Peranan kita penting, jadi jagalah elok-elok,” katanya dalam ucapan luar teks kira-kira 10-minit pada majlis ‘Sepetang Pelayaran Ramadan & Berbuka Puasa Menteri Besar Bersama KD Terengganu di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE)’ petang Rabu, 29 Jun, di sini.

Selain tuan rumah - Panglima Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1), Laksamana Muda Dato’ Azhari Abdul Rashid; yang turut hadir ialah Panglima, 4 Briged Mekanize, Brig-Jen Md Din Abu.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shafik Fauzan Sharif telah mengiringi Menteri Besar sepanjang majlis petang Rabu ini termasuk tinjauan ke kapal KD Terengganu yang menjalankan operasi rondaan di perairan ZEE di Laut China Selatan.

BARU TIBA... Dato' Sri DiRaja Adnan menuruni helikopter 'Fennec' milik Skuadron 501 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Penerbangan sejauh 22 batu nautika (atau, kira-kira 50 km daratan) dari Mawilla 1, Tanjung Gelang mengambil masa kira-kira 20-minit untuk mendarat di atas kapal KD Terengganu ini. 

Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Shafik (kanan sekali). 



NEGARA AMAN UNTUK DIWARISI ANAK-CUCU KITA

“Walau apapun, buatlah kerja elok-elok. Dengan adanya penjagaan keamanan negara oleh pasukan keselamatan, negara terus aman-damai untuk diwarisi anak-cucu akan datang,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan mereka supaya terus berdedikasi serta sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tugas harian dan peranan masing-masing.

Beliau kemudian turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Badan Amal Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT), Mawilla 1 ini; serta, masing-masing RM10,000 untuk setiap satu daripada tujuh unit di bawah pentadbiran Mawilla 1 yang sama. 

SAMBUTAN MESRA BUAT PEMIMPIN KITA... Dato' Sri DiRaja Adnan yang disusuli Dato' Shafik; disambut oleh Dato' Azhari (dua dari kiri) dan pegawai-pegawainya, semasa tiba di atas kapal KD Terengganu. 

MENANDATANGANI BUKU PELAWAT... 

SEMPAT DAN SUDI PULA SERTAI RAKAMAN TAKBIR RAYA... Rakaman ini ialah untuk siaran televisyen sebuah stesen swasta, pada Hari Raya kelak.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 10-MINITNYA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang berucap sebelum menunaikan solat terawih berjemaah di Auditorium Al-Haimi di Markas, Tanjung Gelang ini. 



BERSOLAT TERAWIH BERJEMAAH... 


KD TERENGGANU DAN KD PERDANA SEDANG BERLAYAR DI SAMUDERA... – Khabar    

Friday 24 June 2016

Berbuka puasa bersama media


“Saya bangga dengan ‘collaboration’ ini – Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Menteri Besar, serta dengan Pasdec, LKPP dan Yayasan Pahang,” kata Dato' Abdul Wahab 

CENDERAMATA BUAT SEMUA... Kelihatan, Dato' Shahaniza sedang menyampaikan cenderamata kepada Sdr 'Ben' - Ketua, Berita dan Ehwal Semasa (BES), RTM Pahang.

Yang turut kelihatan ialah (dari kiri ke kanan) Dato' Nik Naizi; Dato' Rozilan; Dato' Abdul Wahab; dan, Encik Nasrul Hakim (separuh terlindung). 
      

MANGALA RESORT & SPA, GAMBANG, KUANTAN – Kira-kira 100 pengamal media tempatan hadir pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media Pahang anjuran bersama Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Menteri Besar pada petang Jumaat, 24 Jun di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato’ Shahaniza Shamsuddin turut hadir sebagai tetamu utama bagi meraikan mereka.

Yang turut hadir ialah Ketua Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Dato’ Abdul Rahim Mohd Ali; Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Dato’ Rozilan Salleh;

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Dato’ Abdul Wahab Mohamad Ali; Timbalan Pengarah Penyiaran Pahang, Encik Nasrul Hakim Mohamad Nor; dan, Presiden, Kelab Media Pahang, Dato’ Nik Naizi Husin.

Kesemua organisasi media – Bernama, Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times, the Star, Sinar Harian, Kosmo!, Harian Metro, China Press, Sinchew Daily, RTM, TV3, Astro Awani, dan, TV Al Hijrah, serta, portal berita – PahangKu; telah diwakili pada majlis petang ini.

MESRA DALAM SESI BERFOTO KUMPULAN... Inilah sebahagian daripada yang hadir pada malam Jumaat ini.


PUJI KESEPAKATAN SESAMA PENGAMAL MEDIA PAHANG

Kakitangan-kakitangan pentadbiran dari Pejabat Menteri Besar dan dari Bahagian Komunikasi Korporat, Pasdec Holdings Bhd – anak syarikat PKNP; turut hadir bagi memeriahkan lagi majlis.

Kehadiran semua pada awal petang Jumaat ini telah disambut oleh kakitangan resort dengan penuh mesra, kemudian dibawa bersiar-siar ke sekeliling kawasan resort yang baharu dibuka dan terletak berhampiran Plaza Tol Gambang ini.

Berbuka puasa tepat jam 7.21 petang, majlis disusuli solat Maghrib berjemaah di surau berhampiran, persembahan-persembahan ucapan oleh Dato’ Shahaniza, Dato’ Rozilan, Dato’ Abdul Wahab dan Dato’ Nik Naizi, serta, penyampaian cenderamata disusuli sesi berfoto kumpulan.

Dalam ucapannya, Dato’ Shahaniza telah memuji kesepakatan dalam kalangan pengamal media di negeri ini sepertimana terserlah lagi dengan kehadiran mereka beramai-ramai ke majlis berbuka puasa ini.

Beliau turut memuji kesepakatan antara Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Menteri Besar sehingga berjaya menganjurkan bersama, majlis ini sepertimana juga yang telah dilakukan pada tahun lepas.

WAKIL-WAKIL DARI PENGAMAL MEDIA BUKAN MELAYU TURUT HADIR...  Selain Sdr 'Zek' dari Astro Awani (berbaju Melayu hitam) ialah wakil-wakil dari akhbar Sin Chew Daily dan China Press - Sdr Halim (berbaju Melayu biru) dan Sdr Wang (berbaju-T putih). 


BANGGA DENGAN ‘COLLABORATION’ PEJABAT PM/MB/AGENSI NEGERI

Oleh kerana adanya kesepakatan itulah juga, beliau mengesyorkan agar majlis yang lebih besar - Malam Media Pahang dapat dianjurkan dengan sekali lagi menjadikan dewan bankuet resort ini sebagai ‘venue’nya.

Sebelum itu, Dato’ Abdul Wahab dalam ucapannya, menyebut tentang penganjuran majlis ini yang merupakan hasil kerjasama Pejabat Perdana Menteri serta agensi-agensi Kerajaan Negeri - Pasdec Holdings Bhd, Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Negeri, dan, Yayasan Pahang.

“Saya bangga dengan ‘collaboration’ ini – Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Menteri Besar, serta dengan Pasdec, LKPP dan Yayasan Pahang. Selain cenderamata disediakan oleh Pejabat Perdana Menteri, Pasdec dan Yayasan Pahang; juadah berbuka dibiayai oleh LKPP.

“Saya berharap, kerjasama sebegini akan berterusan pada masa-masa akan datang,” katanya lagi. 

DALAM UCAPAN ALUANNYA... Dato' Abdul Wahab sedang menyampaikan ucapan alu-aluannya. 

KETENANGAN DAN KEDAMAIAN, DI MANGALA RESORT & SPA... Pemandangan dari arah kolam renang ke bangunan dewan bankuet di sana. – Khabar


Wednesday 22 June 2016

Kurangkan pergantungan pada pekerja asing – Perdana Menteri


CENDERAMATA BUAT PERDANA MENTERI... Dato' Sri Mohd Najib mengamati cenderamata yang diberikan kepadanya sebagai penghargaan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-70 ACCCIM. 

Selain Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato’ Ter Liong Yap (tiga dari kanan); serta, Tan Sri Lim Sing (dua dari kiri).
     
  
SULTAN AHMAD SHAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SASICC), KUANTAN – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak hari ini menggesa pemain industri dan sektor swasta di ngara ini supaya meningkatkan penggunaan inovasi dan teknologi bagi mengurangkan pergantungan pada pekerja asing.

Memberikan contoh dalam industri pembinaan, Dato’ Sri Mohd Najib berkata, pelaksanaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) – komponen dibuat dalam persekitaran terkawal atau teknologi robotic; telah terbukti berjaya meningkatkan produktiviti.

“Saya ada dengar bahawa perniagaan-perniagaan memerlukan lebih banyak pekerja asing untuk meningkatkan produktiviti, yang akan menjana lebih banyak pendapatan. Jika kita dapat gunakan teknologi yang lebih baik, kita boleh kurangkan pekerja asing.

“Saya mahu syarikat dan sektor swasta memberikan tumpuan dalam meningkatkan produktiviti di masa depan kerana kita perlu bersaing di peringkat lebih tinggi, bukan hanya peringkat kawasan tempatan,” katanya.

Dato’ Sri Mohd Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-70, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) pada pagi Rabu, 22 Jun di sini.

SAMBUTAN HANGAT BUAT PERDANA MENTERI... Dato' Sri Mohd Najib sedang bersalaman dengan para hadirin sambil Dato' Sri DiRaja Adnan menyusul di belakang. 


DOKUMENTASI ANTIPENCATUTAN

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob turut hadir pada majlis ini. Yang turut hadir ialah Presiden ACCCIM, Dato’ Ter Liong Yap; serta, Presiden Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina Pahang, Tan Sri Lim Sing.

Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab kata Dato’ Sri Mohd Najib, beliau sentiasa memberi perhatian terhadap isu dan masalah dibangkitkan oleh sektor swasta dan pemain industry bagi memastikan mereka menerima semua bantuan diperlukan untuk membangunkan perniagaan masing-masing.

“Dalam pertemuan sebelum ini dengan ACCCIM, anda ada sebut tentang kesulitan daripada segi dokumentasi Akta Antipencatutan dan ini merupakan sesuatu yang kami boleh kaji. Adakalanya birokrasi boleh mengatasi perkara yang betul.

“Saya percaya sebagai sebuah Kerajaan, kami perlu mempermudahkan untuk menjalankan perniagaan di negara ini dan undang-undang yang ada juga patut mempermudahkannya. Saya akan bangkitkan memorandum anda pada mesyuarat Kabinet akan datang.

“Diharapkan dengan saling bekerjasama, kita dapat memastikan perniagaan akan terus maju dan makmur di Malaysia,”
katanya yang disambut tepukan gemuruh daripada para hadirin.

SENYUM SEMUA... Dalam sesi berfoto kumpulan. 



PERLUNYA KESTABILAN DAN KEHARMONIAN

Dato’ Sri Mohd Najib turut menegaskan tentang perlunya komuniti perniagaan Cina dan Bumiputera saling bekerjasama dalam memperkukuhkan ekonomi negara dan pada masa sama membantu Kerajaan mencapai objektifnya untuk memperkukuhkan lagi perpaduan antara kaum.

“Kita tahu orang Cina bijak dalam menjana wang, tetapi anda perlukan kestabilan dan keharmonian yang dapat menarik kedatangan lebih banyak pelabur.

“Hanya Kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat menjamin itu. Kita terjemahkan konsep 1Malaysia iaitu kita boleh menyertai program perniagaan dan bekerjasama dan berkongsi kekayaan bersama-sama.

“Beritahu kami bagaimana kami dapat lakukannya dengan lebih baik lagi. Saya boleh beri jaminan kepada anda bahawa saya seorang pendengar yang baik. Saya tidak cakap banyak dan saya akan lakukan yang terbaik dalam apa yang saya lakukan.

“Mari bekerja bersama-sama. Saya percaya kita dapat lakukan lebih baik lagi dalam tahun-tahun mendatang, insya-Allah,” katanya lagi.

PADA MAJLIS MAKAN MALAM... Dato' Sri DiRaja Adnan turut meluangkan masa hadir malam sebelumnya, Selasa, 21 Jun pada Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun ke-70 Dewan Perusahaan dan Perniagaan Cina Pahang.
 

‘FAKTOR BERALIH SOKONGAN’?

Beliau yang juga Pengerusi BN, turut menyentuh tentang masyarakat Cina yang tampil memberikan sokongan psikologi kepada BN pada pilihan raya negeri Sarawak Mei lepas dan pada Pilihanraya Kecil Parlimen kawasan Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Sabtu lepas.

Apa yang boleh difahamkan daripada kemenangan BN itu ialah katanya, masyarakat Cina telah menunjukkan hasrat untuk menyokong BN – satu-satunya parti yang dapat menjamin perpaduan dalam kepelbagaian di Malaysia, kestabilan dan keharmonian yang amat penting untuk membolehkan perniagaan berkembang maju.

“Saya percaya, kebanyakan orang Cina tidak terikat kepada mana-mana parti, dan mungkin berlaku ‘faktor beralih sokongan’ dalam pilihan raya umum akan datang, kepada BN atau sebaliknya.

“Tetapi, terdapat petanda positif dalam tahun-tahun kebelakangan ini bahawa rakyat mula sedar bahawa perpecahan politik tanpa objektif dasar yang jelas sedang berlaku dalam parti-parti pembangkang,”
katanya. – Bernama/Khabar

Monday 20 June 2016

‘Morale booster’ & galakan kepada BN untuk bekerja kuat bagi hadapi PRU-14


… ekoran kemenangan BN pada kedua-dua Pilihanraya Kecil kawasan Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Kita menang betul – semua orang bertumpu membantu sebagainya. Tapi hakikat bekas wakil rakyat, Ahli Parlimen bekerja kuat selama ini juga membantu. Sikit-sebanyak orang kenang juga jasa Arwah kedua-duanya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.  

RIANG-GEMBIRA SEMUANYA... Tentu ada sesuatu yang melucukan dikatakan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan hingga menyebabkan mereka - para penerima sumbangan terutamanya, ketawa-riang. 

Yang turut kelihatan berkongsi sama keriangan itu ialah Penghulu Mukim Pelangai, Encik Nasaruddin Ahmad (berbaju Melayu hijau); dan, Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Dato' Ahmad Jaafar (di sebelah Encik Nasaruddin). 


PERKARANGAN MASJID, PROJEK AGROPOLITAN PELANGAI, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada kedua-dua Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar sebagai ‘morale booster’ atau penaik semangat kepada BN.

Yang dengan itu katanya yang juga Pengerusi BN Negeri, boleh menjadi daya galakan kepada ahli-ahli BN untuk bekerja kuat dalam menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

“Saya katakan kemenangan ini merupakan satu ‘morale booster’, penaik semangat kepada Barisan Nasional sebab - di kawasan kita, kita boleh tawan semula. Itu yang mustahak.

“Majoriti meningkat dan sebagainya itu, itu adalah merupakan satu galakan untuk kita bekerja kuat menghadapi PRU-14,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan kepada wartawan pada Majlis Berbuka Puasa Dewan Undangan Negeri kawasan Pelangai petang Isnin, 20 Jun di sini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan diminta mengulas mengenai kemenangan BN dengan majoriti besar pada kedua-dua PRK di Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor pada Sabtu, 18 Jun lepas.  

SUMBANGAN KEPADA YANG MEMERLUKAN... Kakak ini ialah sebahagian daripada 1,400 orang penerima sumbangan pada majlis petang Isnin ini. Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang menyampaikannya.


BOLEH MENANG JIKA ‘JAGA’ KAWASAN

Kedua-dua PRK itu diadakan ekoran Ahli Parlimen-Ahli Parlimen sebelum itu, masing-masing – Dato’ Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon; meninggal dunia dalam kejadian helikopter terhempas di Sarawak pada awal Mei lepas.   

Pada kedua-dua PRK ini, BN memperolehi kemenangan besar dengan calonnya di Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid – isteri kepada Allahyarham Dato’ Wan Mohammad Khair-il Anuar, memperolehi majoriti 6,969 undi; 

Manakala, calonnya di Sungai Besar, Encik Budiman Mohd Zohdi memperolehi majoriti 9,191 undi.

“Logiknya, kalau semua kawasan seperti Kuala Kangsar, Sungai Besar; kawasan kita, kita menang semula, maknanya - kalau wakil rakyat BN, ADUN BN, Ahli Parlimen BN menjaga kawasan masing-masing; kita masih boleh menang, masih boleh memerintah.

“Yang mustahak, semua wakil rakyat sekarang ini jalankan tugas masing-masing sebagaimana Allahyarham Dato’ Wan (Mohammad Khair-il Anuar) di Kuala Kangsar, Allahyarham Dato’ Noriah Kasnon di Sungai Besar.

KETUA AGENSI NEGERI TURUT TURUN PADANG... Dato' Abdul Rahim turut diminta oleh Dato' Sri DiRaja Adnan untuk menyampaikan sumbangan sepertimana beliau laksanakan ini. beliau diiringi Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Encik Nordin Ibrahim (berdiri, kanan sekali).


JASA ARWAH DIKENANG

“Sebab mereka bekerja kuat maka faktor kemenangan itu sentiasa ada. Kita jangan nafikan.

“Kita menang betul – semua orang bertumpu membantu sebagainya tapi hakikat bekas wakil rakyat, Ahli Parlimen bekerja kuat selama ini juga membantu. Sikit-sebanyak orang kenang juga jasa Arwah kedua-duanya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Beliau seterusnya mengulangi betapa kemenangan di kedua-dua PRK ini akan menjadi ‘morale booster’ untuk ahli-ahli BN terus bekerja kuat bagi mempertahankan kawasan masing-masing.

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga diminta mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kemenangan BN pada kedua-dua PRK tersebut ialah kerana faktor pemberian – wang dan kebendaan, kepada pengundi-pengundi di sana.

“Itu bukan soalnya. Soal sekarang kita menang. Apa cara menang tu, macam-macam. Pembangkangpun ada cara dia juga, tapi tak menjadi. Kita ini ada cara kita, kita menjadi. Itu sahaja bezanya.

SABAR MENUNGGU WAKTU BERBUKA PADA 7.26 PETANG... Ini ialah sebahagian lagi para penerima sumbangan, yang sabar menunggu waktu berbuka puasa.
 

ARAHAN SEDIAKAN SENARAI NAMA GOLONGAN MEMERLUKAN

“Untuk menang pilihanraya, semua orang akan bekerja untuk nak menangkan parti dia. Apa cara - asalkan tidak menyalahi undang-undang, jalan (teruskan),” katanya lagi.

Beliau turut diminta mengulas ucapan luar teks 14-minitnya sebelum itu, khususnya mengenai arahannya supaya kesemua UMNO Cawangan di Bentong seterusnya Pahang, menyenaraikan mereka yang memerlukan untuk dibantu.  

“Saya telah minta Ketua-ketua Cawangan di Bahagian Bentong untuk mendaftarkan orang yang memerlukan – OKU, orang yang terlantar, golongan miskin, anak-anak yatim;

“Dan ini akan dipanjangkan ke Cawangan-cawangan (UMNO) seluruh negeri Pahang yang bertujuan untuk kita membantu meringankan beban mereka,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Pada Majlis Berbuka Puasa ini, kira-kira 1,400 orang dalam kalangan yang memerlukan di kawasan DUN Pelangai yang Dato’ Sri DiRaja Adnan ialah juga wakil rakyatnya; turut menerima sumbangan RM250 setiap seorang.

DITEMUBUAL EKSKLUSIF OLEH TV AL-HIJRAH... Stesen televisyen Al-Hijrah milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berpengkalan di Pusat Islam, Kuala Lumpur, turut turun padang dengan menyumbang bubur lambuk yang diperolehi dari Masjid Kampung Baru pada majlis ini. 

Selain Dato' Azhar (kanan sekali) dan Dato' Ir Sharuddin (kiri, berbaju Melayu merah); yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Hamdan (belakang Dato' Sri DiRaja Adnan), dan seorang penduduk tempatan, Dato' Ahmad Tauzan Abdul Ghani (berkopiah putih). 
 

KETUA PEGAWAI KORPORAT TNB TURUT HADIR

Yang turut hadir pada Majlis Berbuka Puasa ini ialah Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Azhar Arshad; Ketua Pegawai Korporat, Tenaga Nasional Bhd (TNB), Dato’ Wira Ir Roslan Ab Rahman;

Pengurus Besar, TNB Negeri, Dato’ Ir Sharuddin Mohd Simin; Ketua Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Dato’ Abdul Rahim Mohd Ali; Ketua Pegawai Eksekutif, YP Plantation Holdings Bhd, Dato' Kamarudin Koskani Abd Hamid;

Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar, Dato' Hamdan Husin; Yang Dipertua, Majlis Daerah Bentong, Encik Mohammad Shahid Ismail; dan, Ketua Polis Bentong, Supt Mohd Mansor Mohd Nor. – Khabar